Rencana ini ditulis oleh
:
NUR AMALINA ZAHARI
Pelajar Fakulti
Komunikasi dan Pengajian Media,
UiTM Shah Alam
Setiap manusia
mempunyai keinginan memiliki kereta, keluarga dan rumah sendiri apabila bekerja
kelak. Rumah atau tempat berteduh merupakan keperluan utama dalam kehidupan.
Namun, dengan kos sara hidup yang saban hari kian meningkat, adakah memiliki
kediaman sendiri hanya sekadar menjadi impian? Ini ekoran kenyataan
membimbangkan dengan skala harga rumah yang terpaksa dihadapi oleh semua rakyat
Malaysia pada 2020 apabila pendapatan rakyat Malaysia mesti mencapai RM12,000
sebulan untuk memiliki hanya sebuah rumah teres. Tidakkah ini amat menakutkan
untuk ditempuhi oleh golongan yang baru menapak dalam pekerjaan atau generasi
akan datang? Atau mungkin tatkala negara sudah di ambang negara maju, mata kita
akan melihat longgokan penempatan di kaki lima jalan atau hanya di bawah
jambatan dek kerana tidak mampu mempunyai kediaman sendiri.
Tambahan pula,
kenaikan harga barangan keperluan yang menyebabkan wang semakin hilang
nilainya. RM50 hanya sekelip mata habis dibelanjakan waima dengan hanya membeli
rencah dan bahan-bahan untuk dibuat hidangan makan tengah hari sahaja. Bayangkan
bagaimana golongan berpendapatan rendah dan sederhana terpaksa mencatu gaji
bulanan untuk meneruskan hidup, lebih-lebih lagi di era yang segalanya perlu
dibayar dengan wang. Namun isu kenaikan harga segala barang ini jika ditulis
hingga kiamat pun tiada sudahnya, terus-menerus menuding jari pada sesetengah
pihak sehingga berbuih mulut pun masih tiada nokhtahnya. Mengapa tidak di
tuding jari di muka sendiri? Bukan menempelak sikap sesetengah pihak, tetapi
jika dinilai gaji bulanan hanya cukup makan, namun berbelanja seperti mereka
manusia paling kaya di dunia.
Anak-anak pula
ditabur dengan segala kemewahan, dari permintaan telefon pintar, komputer
tablet, pakaian berjenama, dan segalanya wajib tercanggih. Tidak kurang juga
pelajar di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta, wang pinjaman
dijadikan tiket berbelanja sakan mengalahkan ahli perniagaan lagaknya,
hujungnya mi segera menjadi santapan harian dek kekeringan wang. Jika senario
perbelanjaan rakyat Malaysia berterusan begini, tidak keterlaluan dikatakan
impian untuk memiliki rumah sendiri akan hanya menjadi angan-angan. Dihitung
secara kasar, ada logiknya rakyat harus mempunyai pendapatan RM12,000 sebulan
untuk membeli sebuah rumah waima rumah teres pada 2020. Pada masa kini sahaja
harga rumah di Malaysia sudah mencecah nilai jutaan ringgit, inikan pula di
zaman maju 2020.
Senario kenaikan
harga rumah untuk lima tahun kebelakangan ini, bukan sahaja setakat berlegar di
kawasan Lembah Klang malah sudah mula berjangkit di sekitar Kajang, Bangi,
Sungai Buloh, Rawang dan di sekitar Semenyih. Contohnya, beberapa lokasi harga
rumah teres baru di Semenyih dengan keluasan 24×70 kaki (7×21 meter) kini sudah
mencecah harga RM460,000. Harga rumah bersaiz 22×70 kaki pula sudah mencapai
RM510,000. Harga rumah di Rawang untuk keluasan rumah 20×65 kaki dijual pada
harga sekitar RM288,000. Dan harga rumah di Sungai Buloh bermain-main pada
harga RM398,000 untuk keluasan 22×75 kaki. Senarai ini tidak termasuk lagi
jenis rumah seperti Kondominium One Menerung di Bangsar yang seluas 2,000 kaki
(185 meter) persegi dijual pada harga RM2.4 juta seunit. Sementara, sebuah
rumah semi-D di Sri Hartamas berharga RM1.5 juta manakala rumah teres dua
tingkat di Cheras bermula dari harga RM500,000. Tidakkah ini amat memeritkan?
Jawapannya, tidak
lain tidak bukan, mula berjimat dan menabung sedikit demi sedikit. Bukankah
lama-lama akan menjadi bukit? Bercakap memang mudah berbanding mengamalkannya,
tetapi jika dibajai dengan kesabaran, hasilnya pasti lumayan. Kepada pelajar,
jangan sia-siakan peluang belajar dengan tekun bagi mendapatkan kelas pertama
demi menjadikan pinjaman bertukar kepada biasiswa. Kepada yang tidak mampu
mendapatkan kelas pertama, belajarlah untuk berjimat mudah-mudahan dengan baki
pinjaman masih di simpanan dapat meringankan beban untuk pembayaran kelak. Bagi
mereka yang sudah mula bekerja, janganlah terburu-buru membeli kereta, jika
masih mempunyai pilihan, gunakan kemudahan kenderaan awam seperti LRT,
Monorail, Bas Rapid dan sebagainya. Dahulukan membeli aset seperti rumah
dijadikan agenda utama di dalam hidup, kenderaan menjadi impian kedua. Jangan
lupa, langsaikan dahulu bayaran balik hutang pinjaman anda.
Peranan ibu bapa
pula, didik anak-anak berbelanja dengan berhemah, juga amalkan sikap suka
menabung demi masa hadapan. Untuk lebih jimat, wujudkan walau sedikit ruang
untuk menanam sendiri jenis sayuran yang sering digunakan untuk masakan,
misalnya daun kunyit, cili, sawi, serai dan sebagainya. Hasilnya bukan sahaja
jimat malah menyihatkan tubuh badan dengan dapat mengurangkan bahan-bahan kimia
yang selalunya digunakan ke atas bahan mentah yang terdapat di pasaran kini. Penjimatan
kos air dan elektrik juga perlu diambil kira. Hadkan penggunaan keduanya dengan
sentiasa memastikan penggunaan air dengan kadar yang perlu sahaja, dan sentiasa
pastikan tutup suis-suis elektrik yang tidak digunakan. Kesimpulannya, kita
tidak akan dapat menyekat kenaikan harga setiap inci benda yang semakin
meningkat saban waktu, berhenti menuding jari. Setiap permasalahan ada
penyelesaiannya.
Pohon bersandar,
pohon cemara,
Menderu angin,
bergoyang dahan,
Jangan sekadar,
membaca sahaja,
Tulislah komen,
berilah cadangan.
Sumber
Utusan Malaysia
27 Jun 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan