Pandangan IKIM
PENULIS ialah Felo
Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia
(IKIM).
Sesuatu yang menggembirakan apabila baru-baru ini
kerajaan mengumumkan akan menubuhkan pusat kesihatan mental komuniti bagi
setiap negeri. Ini sememangnya langkah bijak dan proaktif bagi meningkatkan
tahap penjagaan kesihatan mental masyarakat di negara ini. Semua anggota
masyarakat berasa sungguh bertuah kerana aspek penjagaan kesihatan mental kini
mula mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya. Bagi pesakit dan keluarga
mereka khususnya, hak mereka untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya dan
bebas daripada stigma buruk dan negatif menjadi semakin cerah. Jika ditinjau
dari segi sejarah perkembangan kesihatan mental di negara ini, pada peringkat
awal (akhir kurun ke-18) ia lebih tertumpu kepada merawat pesakit mental dalam
persekitaran yang amat terhad dan hanya melibatkan sekelompok pakar perubatan
dan kesihatan mental.
Dalam fasa pertama
ini, perkhidmatan hanya terdapat di hospital-hospital mental sahaja. Pesakit
pula akan ditempatkan di hospital berkenaan dalam tempoh yang amat panjang dan
berjauhan dengan keluarga. Secara tidak langsung, mereka akan tersisih daripada
masyarakat awam. Keadaan ini tidak membantu proses untuk pulih yang menyeluruh.
Di samping menyisihkan pesakit dari dunia luar, keluarga mereka dan masyarakat
awam, ia juga meningkatkan stigma negatif dan pandangan buruk masyarakat
terhadap golongan pesakit mental. Malahan, ia turut meningkatkan beban
penjagaan dan kos rawatan para pesakit dan kewangan negara. Kaum keluarga dan
masyarakat pula semakin menjauhi dan menganggap pesakit sebagai makhluk yang
pelik dan ganjil. Ini kerana pada ketika ini, pesakit mental dilihat sebagai
mangsa kerasukan makhluk halus dan roh jahat dan lain-lain pengaruh berkaitan
alam ghaib. Hanya pada sekitar pertengahan kurun ke-19, gerakan reformasi dalam
sistem perkhidmatan kesihatan mental bergerak aktif dalam usaha untuk memberi
harapan baru kepada para pesakit dan keluarga mereka, memperbaiki kaedah
rawatan dan mengiktiraf peranan penting masyarakat dalam membantu proses
pemulihan.
Fasa kedua ini
menyaksikan kesan dalam pemodenan sistem perkhidmatan kesihatan dan peningkatan
mutu kajian serta kewujudan penemuan-penemuan baru dalam bidang sains perubatan
yang akhirnya mengubah persepsi dunia terhadap bidang kesihatan mental. Jika di
peringkat fasa pertama masalah berkaitan gangguan mental dilihat berpunca
daripada pengaruh makhluk halus dan roh jahat, pada fasa kedua ini, masalah itu
dilihat berpunca akibat ketidakseimbangan hormon tertentu dalam badan pesakit
yang menjejaskan tahap kesihatannya. Seterusnya pada awal dan menjelang
pertengahan kurun ke-20, perkhidmatan kesihatan mental memasuki fasa ketiga di
mana ia menjadi semakin berkembang dan maju. Di antara beberapa petanda
kemuncak dalam perkhidmatan ini pada peringkat ini adalah kewujudan pusat-pusat
kesihatan mental komuniti dan masyarakat. Di antara peranan perkhidmatan
pusat-pusat kesihatan mental seperti ini adalah mewujudkan proses pemulihan itu
berlaku di peringkat komuniti.
Ia juga merupakan
pendekatan untuk mengintegrasikan peranan setiap anggota keluarga dan
masyarakat dalam proses pemulihan dan penjagaan kesihatan mental yang lebih
bersepadu. Di samping itu, pendekatan ini juga membentuk dan mendidik
masyarakat supaya lebih bersikap terbuka dan positif terhadap kesihatan mental
dan memahami apakah penyakit mental serta lebih menerima pesakit dan keluarga
pesakit tersebut. Ia akhirnya diharapkan dapat menghilangkan pandangan buruk
anggota masyarakat terhadap perkara ini dan seterusnya menghapuskan sebarang
stigma berkaitan penyakit mental. Walaupun pendekatan seperti ini lama
diamalkan oleh negara maju, namun ia baru dilaksanakan di negara ini. Memang
ini merupakan satu langkah yang baik, namun terdapat banyak perkara yang perlu
dilakukan bagi mencapai matlamat penubuhannya dan untuk memastikan usaha murni
bagi memperbaiki taraf kesihatan mental ke tahap yang lebih baik lagi untuk
kebaikan masyarakat dan negara dapat dicapai.
Beberapa langkah dan
aktiviti tertentu ke arah usaha dan matlamat ini perlu dilakukan seperti
menyediakan kemudahan mencukupi, khususnya dari segi sumber tenaga manusia. Pendekatan
ini merupakan satu usaha untuk memasyarakatkan sistem perkhidmatan kesihatan
mental kepada orang ramai. Oleh kerana ia lebih tertumpu kepada masyarakat,
sudah pasti ia tidak lagi tertumpu di hospital besar, dan sudah pasti juga
jumlah tenaga pakar perubatan dan kesihatan akan menjadi lebih terhad. Masalah
ini perlu di atasi segera seperti menempatkan pusat-pusat tersebut berhampiran
hospital besar bagi tujuan rujukan dan kecemasan bagi kemudahan berkaitan dan
jika berlaku perkara tidak diingini. Begitu juga, peranan anggota masyarakat
yang terbabit untuk membantu usaha murni ini perlu diperbanyakkan lagi dan
diberi latihan khusus. Perlu ada perancangan kerajaan bagi tujuan ini. Adakah
wajar dengan menempatkan pakar berkaitan, atau beberapa pakar kesihatan mental
yang lain?
Di negara yang lebih
maju, lebih ramai anggota masyarakat yang pakar dan diiktiraf dalam
perkhidmatan kesihatan mental terlibat seperti pakar psikiatri komuniti, pakar
psikologi klinikal, pekerja sosial, dan kaunselor profesional. Adakah negara
kita mempunyai orang seperti ini dengan jumlah yang mencukupi, diiktiraf dan
telah menerima latihan yang kukuh dan bersesuaian? Ini kerana sekadar melantik
dan melatih sesiapa sahaja yang berminat bukan satu langkah bijak, malah mereka
gagal untuk berperanan secara aktif dalam menyumbang ke arah mencapai matlamat
yang murni itu, lantas menggagalkan matlamat penubuhan pusat kesihatan mental
masyarakat seperti yang dicadangkan.
Pohon bersandar,
pohon cemara,
Menderu angin,
bergoyang dahan,
Jangan sekadar,
membaca sahaja,
Tulislah komen,
berilah cadangan.
Sumber
Utusan Malaysia
02 Julai 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan