Rencana ini ditulis oleh
Amir Tan
Syarikat Penerbangan
Malaysia (MAS) kini berada di persimpangan jalan. Masa depannya tergantung kepada
dana yang diperoleh untuk membiayai kos operasinya masa kini dan seterusnya
'menyelamat' MAS daripada terus tenggelam dalam industri penerbangan komersil
serantau dan global seandainya semua usaha yang dirancang menemui jalan buntu
atau gagal. Inilah realiti yang dihadapi MAS sekarang. Untuk menyelamat atau
memulihkan kedudukan MAS, ia dilaporkan memerlukan dana berjumlah RM9 bilion
yang mungkin diperoleh daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat
pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) atau sumber-sumber lain yang belum pasti. Seandainya
GLC dan GLIC bersedia membiayainya, maka pelan 'menyelamat' menjadi mudah dan
melegakan para pelabur yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan
MAS.
Angka RM9 bilion
adalah sangat besar bagi sesuatu pelaburan. Namun, pelaburan itu mungkin
menjadi wajar untuk menggiatkan operasi sebuah syarikat multinasional seperti
MAS. MAS menjadi lambang penerbangan negara yang telah menebarkan sayapnya di
ruang angkasa serantau dan antarabangsa selama lebih empat dekad lamanya.
Dengan dipertaruhkan dana sebanyak itu ia mungkin berbaloi untuk 'menyelamat'
dan seterusnya memastikan syarikat penerbangan nasional ini kekal beroperasi. Dalam
dunia perniagaan tanpa mengambil kira apa jua bidangnya, untung dan rugi
menjadi pertaruhan yang tidak dapat dielakkan. Banyak faktor yang menyumbang
kepada kedua-dua senario itu. Antaranya ialah aspek pengurusan dan sumber
tenaga manusia.
Selain daripada
menerap sistem pentadbiran yang telus dan ikhlas, ia mesti didokong oleh
sejumlah dana untuk membiayai kos operasi berskala besar, seperti yang
dikehendaki MAS sekarang. MAS kini bukan sahaja terpaksa bersaing dalam
penerbangan domestik dan antarabangsa. Syarikat-syarikat penerbangan
multinasional antrabangsa seperti JAL, Qantas, KLM, Air France, Cathay Pacific,
British Airways dan lain-lain tidak dapat tidak menjalankan 'perang harga' yang
mungkin menjejaskan MAS kerana masalah modal yang dihadapinya sekarang. MAS
juga tidak mampu mengatur usaha sama strategik akibat kelemahan itu. Mana
mungkin syarikat yang untung mahu membantu yang rugi? Oleh kerana itu, MAS
dilihat seperti bersendirian untuk keluar daripada permasalahannya. Mahu tidak
mahu, MAS perlu mewujudkan pelan tindakannya sendiri tanpa bergantung kepada
mana-mana pihak yang bersikap seperti seteru kepada MAS.
Wang adalah bukan
segalanya walaupun sangat diperlukan oleh sesebuah syarikat. Ia juga sangat
memerlukan sumber manusia yang jujur, ikhlas serta bersatu hati untuk membangun
syarikat yang menjadi tempat mereka bernaung. Dalam hal ini, MAS mungkin
beruntung kerana nilai-nilai ini telah diterapkan sejak MAS mula beroperasi. Lantaran
itu, anggota Kesatuan Pekerja MAS (MASEU) yang mewakili 20,000 orang pekerja
tidak banyak mencetuskan kerenah meskipun MAS berada dalam keadaan gawat. Ini
adalah aset yang sangat berharga kepada MAS. Salah satu sebab tekanan terhadap
operasi MAS ialah kenaikan harga bahan api yang semakin meningkat. Ditokok
dengan kos pengurusan yang tinggi telah menyebabkan pendapatan MAS menyusut.
MAS mengalami kerugian dari tahun ke tahun.
Di sebalik kesulitan
ini, kewujudan MAS terus dipertahan oleh pasukan pengurusan yang berintegriti
dan disertai dengan iltizam politik yang tinggi oleh pihak kerajaan. Namun,
penghujung jalannya belum lagi cerah dan jelas sehingga kini. MAS mungkin akan
menerima satu pasukan peneraju yang baru apabila RM9 bilion diperoleh. Pasukan
ini pastinya memiliki iltizam yang lebih tinggi untuk melihat MAS kekal di
persada syarikat penerbangan komersil antarabangsa. Selain itu, pasukan ini
juga dipercayai akan membelanjakan dana yang diperoleh dengan cermat dan
bijaksana. Dengan demikian, dana itu akan menjadi lebih berharga dan bermakna
dari jumlah yang sebenarnya.
Dalam pelan
'menyelamat' ini pengurusan sekarang atau yang baru seharusnya memikirkan
bagaimana harga tambang MAS lebih kompetitif tanpa mengorbankan keselesaan para
penumpang. Pihak pengurusan MAS mungkin terlepas pandang, harga tambang
domestik amat tinggi dan telah menyebabkan pelanggan lari dan membuat pilihan
yang lain. MAS sewajarnya mengkaji tambang jarak dekat, seperti KL-Kota Bharu,
KL-Pulau Pinang, KL-Kuantan, KL-Senai, KL-Alor Setar dan KL-Kuala Terengganu.
MAS boleh menyediakan perkhidmatan yang asas sahaja tanpa menyediakan minuman
sepanjang perjalanan ke destinasi-destinasi tersebut. Pengurusan MAS juga wajar
memperkenalkan tambang murah dengan kadar berpatutan kepada 50 penumpang yang
pertama (first 50 customers) bagi menggalakkan mereka menaiki pesawat MAS.
Penumpang selebihnya perlu membayar tambang biasa, tetapi kompetitif harganya.
Untuk menjimatkan
kos, MAS wajar menswastakan executive lounge di semua lapangan terbang domestik
dan antarabangsa sebagai langkah berjimat cermat. Kos yang dibelanjakan untuk
ruang itu mungkin boleh digunakan dan diserapkan ke dalam tambang domestik. Dengan
langkah ini, MAS mungkin dapat memancing semula para pelanggan yang kian
menjauhkan diri daripada penerbangan MAS semata-mata kerana harga tambang yang
tinggi. Pihak pengurusan tidak boleh terlepas pandang bahawa budaya pengembara
masa kini ialah memilih perkhidmatan yang murah dan baik. Dengan mengorbankan
sedikit apa yang dikatakan keselesaan atau comfort, tambang MAS mungkin menjadi
lebih kompetitif pada masa hadapan. Tidak mustahil mereka yang menjauhkan diri
akan kembali menikmati perkhidmatan MAS secara lebih wajar dan adil.
Walau apa sahaja
langkah atau tindakan 'menyelamat' MAS diatur dan dilaksanakan, MAS mesti
dihindar daripada terjebak dengan isu kontroversi yang boleh melemahkan
semangat mereka yang dipertanggungjawabkan. Semua pihak mesti memberi peluang
kepada mereka menyusun strategi yang tepat dan selamat untuk membangun semula
MAS sebagai syarikat penerbangan terunggul di rantau ini dan global. Rakyat
sudah pastinya sayang dan cintakan MAS kerana ia telah berjaya memenuhi
tanggungjawab sosialnya sejak mula diperbadankan. Rakyat sewajarnya memberi
sokongan supaya MAS boleh meraih keuntungan dengan pelan-pelan terbarunya. Setiap
orang mesti memainkan peranan 'menyelamat' MAS sebagai satu komitmen yang tidak
boleh diabaikan. Nescaya dengan semangat ini, MAS akan kembali cemerlang dan
unggul sepanjang zaman. Bagaimanapun, semua perkara itu tidak seharusnya
mendorong peneraju syarikat mengambil mudah apabila diamanah mentadbir dan
mengurus syarikat itu. Ia mesti dilakukan sejujur mungkin melalui strategi
perniagaan iaitu pengurusan yang bersih.
Pohon bersandar,
pohon cemara,
Menderu angin,
bergoyang dahan,
Jangan sekadar,
membaca sahaja,
Tulislah komen,
berilah cadangan.
Sumber
Utusan Malaysia
01 Julai 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan