02 Julai 2012

ISU ALAM : KISAH MISTIKAL BUAYA SARAWAK


Rencana ini ditulis oleh :
Johardy Ibrahim


Seminggu ini cerita buaya Sarawak menjadi FAQ (Soalan Kerap Ditanya), menenggelamkan peristiwa kekalahan Jerman kepada tandukan Mario Balotelli, atau kes serangan 'pengganas upahan' ke atas bangunan Kedutaan Malaysia di Jakarta gara-gara berebut hak pemilikan tarian Tor Tor yang mereka sendiri tidak peduli pun selama ini. Kisah buaya Bujang Seblak (nama diambil daripada sungai kejadian) menjadi tajuk utama muka depan, sekali gus menyemarakkan semula legenda buaya makan manusia yang menjadi Godfather Sungai Batang Lupar di bahagian Sri Aman sejak 1980-an lagi. Sama seperti legenda Bujang Senang, kisah buaya Bujang Seblak ini diwarnai oleh kedua-dua elemen saintifik dan mistikal. Bujang Senang misalnya, walaupun telah diisytiharkan mati dan ada gambar mengiringi berita itu oleh Utusan Malaysia pada 22 Mei 1992, masih ada lagi yang mendakwa buaya raksasa itu sebenarnya, masih hidup dan dilihat berenang di sungai tersebut pada 2004. Jadi buaya mana yang ditumpaskan pada 1992?

Bujang Seblak pula, walau diumpan tetapi 'bijak' melepas diri dari jerat tetapi dua ekor buaya lain bersaiz sederhana telah sangkut. Dua ekor ini didakwa sebagai 'konco-konco'. Setakat ini, Bujang Seblak masih bebas dan penduduk percaya ia sememangnya wujud. Sekurang-kurangnya keluarga mangsa yang dibaham sudah melepaskan dendam mereka. Pembabitan dukun buaya dalam pemburuan spesies reptilia ini meningkatkan elemen mistik dan pantas menarik imaginasi pembaca. Kes Bujang Seblak ini membabitkan penduduk kampung Iban dan dukun Indet anak Sanabong adalah berketurunan Iban yang semestinya membaca mantera dalam bahasa Iban. Dalam setiap masyarakat, mesti ada seseorang yang memiliki kemahiran ini. Dukun seumpamanya ada di Semenanjung Malaysia malah di pulau Jawa dan Sumatera (tetapi tak perlulah 'klaim' profesion dukun buaya itu milik kita). Dukun ini menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri untuk berkomunikasi secara batin dengan buaya. Mereka seolah-olah memahami bahasa buaya atau apakah buaya itu mahir pelbagai bahasa?

Seorang zoologis tempatan ketika dihubungi berkata reptilia ini boleh hidup antara 50 tahun hingga 100 tahun. Dalam tempoh itu ia boleh membesar ke saiz luar biasa terutama spesies buaya air masin. Ia boleh membesar ke saiz 19 kaki (5.8 meter) hingga 23 kaki (7 meter) dan berat 1,100 hingga 1,360 kilogram. Satu catatan ditemui dalam Internet, buaya terbesar pernah dilihat pada 1920 sepanjang 33 kaki panjang (10 meter) dan dipercayai berusia 200 tahun. Oleh itu, bila ada saksi mendakwa Bujang Senang dan Bujang Seblak bersaiz sebesar kereta Kancil, ia tidak boleh dipinggirkan sama sekali. Masalahnya, buaya-buaya ini pandai menyorok tiap kali sesiapa membawa kamera. Zaman Twitter hari ini, akan pantas mencemuh jika tiada bukti Instagram. Maka berterusanlah ia sekadar menjadi mitos pada kebanyakan orang.

Hangat

Mengapakah cerita buaya ini menjadi topik yang hangat? Sementara kesugulan dan ketakutan yang dialami penduduk di Sungai Seblak berikutan kematian anggota keluarga akibat dibaham buaya, seharusnya dibaca dengan rasa simpati. Dan disebabkan elemen mistik membabitkan dukun buaya Indet yang menceritakan ia boleh 'memukau' buaya sebelum membunuh dua ekor, cerita ini dianggap mengagumkan dan berakhir dengan berita gembira. Hutang darah dibalas darah. Ada juga yang mengulas caj perkhidmatan memburu buaya sebanyak RM3,000 oleh beliau itu sebagai mahal. Saya rasa ia berpatutan. Tuai rumah panjang pun sanggup membayar lebih lagi kerana puas hati dengan tangkapan dua ekor buaya oleh Indet. Anda yakin apakah anda atau sahabat anda sanggup mengambil alih tugasnya memburu buaya di sungai Seblak? Mengikut logik, mana mungkin manusia boleh bertutur dengan buaya. Tetapi masyarakat kita tidak lekang daripada unsur mistik seumpamanya. Bagaimana lagi hendak menjelaskannya? Hujah seorang rakan semasa berbahas mengenai isu ini. Dia memberi contoh penyakit kayap yang 'terkena' padanya semasa menebas rumput di halaman rumah.

Semasa terkena katanya, ia seperti gigitan nyamuk tepat di bahagian dada ulu hati. Malam itu dia tidak dapat tidur disebabkan sakit yang mencubit-cubit dada dan didapati tiga bintik merah timbul. Selang beberapa jam ia menjalar ke kiri menuju ke ketiak kiri. Menjelang subuh, ibu mengesahkan ia kayap ular yang diyakini bila bertemu kembali ke titik permulaan boleh membawa maut. Awal pagi dia ke hospital dan diberi sejenis ubat semburan umpama gam yang mengekang kayap itu daripada merebak. Malam kedua kesakitan makin teruk. Ia mendorong ibunya meminta bantuan sepupu untuk membawa 'parang perang warisan keluarga'. Hari kedua, sepupu membawa parang. Petuanya ialah mengalirkan air ke parang yang kemudian ditadah ke dalam mangkuk. Air itu dibaca dengan ayat al-Quran dan disapu ke tempat kayapnya. Setelah disapu beberapa kali dalam tempoh 12 jam, kayap ular itu mati.

Senarionya ialah penyakit ini yang secara saintifik dinamakan shingles adalah sejenis virus yang juga menyebabkan demam campak, menggunakan ubat hospital gagal segera menyembuhkan tetapi 'parang perang' berhasil. Ramai daripada kita percaya kayap ular adalah sejenis penyakit kulit yang boleh 'dikirim' melalui alam mistikal atau sihir. Dalam konteks rakan itu, dia percaya dia telah berada di laluan 'sihir kayap' semasa menebas rumput secara kebetulan. Lintasan kata orang. Oleh kerana ia datang secara ghaib, penawarnya hendaklah mengikut kriteria tersebut dan ubat semburan hospital tidak akan menjadi. Lama juga hendak memikirkan kaitan antara mitos buaya ganas di Sarawak dengan kisah kayap ular ini. Terserah kepada anda untuk membuat rumusan masing-masing. Bagi saya, ia mudah. Berpegang pada prinsip segalanya dalam dunia ini adalah kerana Tuhan yang ad-din, kedua-dua kisah ini harus dibaca dengan hati terbuka dan sebagai bacaan ringan hari minggu anda.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
01 Julai 2012

27 Jun 2012

ISU SOSIAL : MALAYSIA MODEL CONTOH MENENTANG RASUAH


Rencana ini ditulis oleh :
NURUL ANUAR KARI

Artikel penuh tulisan Hershman itu boleh dibaca melalui laman web akhbar Huffington Post, www.huffingtonpost. com/michael-j-hershman/malaysia-anti- corruption_b_1619111.html.


Pihak yang sering mencanang Malaysia sebagai sebuah negara yang diselubungi rasuah minggu lalu menerima tamparan hebat apabila sebuah media Barat mengangkat negara ini sebagai model contoh dalam menentang aktiviti rasuah. Bagai meletakkan 'garam ke luka' bagi musuh kepimpinan negara, penulis rencana itu juga adalah pengasas bersama Transparency International, Michael J. Hershman yang menganggap sistem anti rasuah Malaysia di bawah program transformasi Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sesuatu yang komprehensif dan unik. Hershman dalam artikel bertarikh 22 Jun itu menasihatkan agar negara yang terlibat dalam rusuhan 'Arab Spring' mahupun negara yang berisiko mengalami nasib serupa melihat kepada model inovatif Malaysia dalam menentang rasuah, isu utama yang membawa kepada kebangkitan rakyat di sana.

Antara contoh yang dipuji beliau adalah penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2008, satu badan tetap bagi mengatasi kelemahan yang timbul dalam usaha menentang gejala rasuah dalam kerajaan, dunia perniagaan dan masyarakat setempat. Selain itu, penglibatan kakitangan awam dan komuniti perniagaan dalam usaha itu turut dipuji melalui Perjanjian Integriti secara sukarela yang bukan sahaja memberi insentif tertentu malahan implikasi besar jika terlibat dengan aktiviti rasuah. Hershman turut mengaitkan ketelusan dan pembaharuan perundangan sebagai salah satu strategi penting bagi Malaysia menentang aktiviti rasuah terutamanya penubuhan mahkamah anti rasuah dan memendekkan perjalanan kes rasuah dalam tempoh 12 bulan sahaja. Peningkatan penggunaan pangkalan data elektronik untuk proses pemerolehan, akauntabiliti, memudahkan ketelusan penuh, kemampuan mengaudit serta penubuhan Akademi Anti Rasuah Malaysia turut dilihat satu kejayaan bagi Malaysia.

Walaupun masih ada ruang penambahbaikan, beliau mengakui sistem anti rasuah Malaysia masih dalam proses pembangunan tetapi menegaskan komitmen dan sasaran jelas telah ditonjolkan di bawah program transformasi untuk kerajaan dan ekonomi oleh Perdana Menteri. Bagi pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling, apa yang ditulis Hershman itu merupakan satu pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap kualiti pentadbiran dan pengurusan negara. "Usul Hershman agar Malaysia dijadikan model contoh negara luar dalam menentang rasuah bertepatan kerana kerajaan telah memberi kuasa besar kepada SPRM sehingga berjaya menurunkan kadar rasuah. "Rakyat kita juga perlu sedar keberkesanan usaha kerajaan menentang rasuah sedangkan orang luar sendiri telah memperakuinya," katanya.

Tegasnya, walaupun langkah-langkah yang diambil kerajaan positif dan berkesan, pengiktirafan terhadap kejayaan itu juga sesuatu yang penting. Menurutnya lagi, proses transformasi menentang rasuah sejak 2008 menggambarkan kesungguhan Perdana Menteri membawa pembaharuan dan meningkatkan kualiti dalam urus tadbir negara dan masyarakat. "Ini bagi menjamin kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat dan negara ini. Apa yang ditulis Hershman itu perlu dilihat secara positif dan secara meluas kerana ia satu pengiktirafan. Mereka yang kutuk atau kritik artikel beliau itu menunjukkan usaha memburukkan imej SPRM dan kerajaan di mata rakyat demi kepentingan peribadi, sedangkan ia benda baik dan berfaedah," ujarnya. Berkenaan komen negatif terhadap artikel Hersman yang dipaparkan melalui blog dan media alternatif, Mohamad Faisol beranggapan minda pemikiran dan sifat semulajadi pembangkang adalah untuk bangkang sahaja dan cuba mengaburi mata rakyat terhadap kebaikan yang dilakukan kerajaan.

"Malang bila orang kita sendiri runtuhkan negara sedang orang lain memuji. Masyarakat sepatutnya bersama membantu usaha menentang rasuah ini dan menilai hasilnya secara adil. Pembaharuan dalam sesuatu dasar akan mengambil masa dan tidak mungkin melihat hasilnya dalam sekelip mata," tegasnya. Beliau berpendapat proses transformasi minda dan sikap manusia berkaitan amalan rasuah adalah yang paling sukar dan akan mengambil masa panjang. Tambahnya, walaupun ada sudut yang boleh ditingkatkan, pengiktirafan antarabangsa dalam tempoh singkat program transformasi oleh Perdana Menteri menjadi bukti ia satu kejayaan bagi negara.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak pula berpendapat mereka yang jujur dan tiada kepentingan politik pasti dapat menilai apa yang dicapai Malaysia dalam menentang rasuah. "Bukan sahaja rasuah, kita juga telah berusaha keras mengurangkan jurang sosioekonomi antara orang kaya dan miskin, lebih-lebih lagi bila melibatkan jurang etnik. Bila satu kaum dilihat kaya dan satu lagi miskin, ini berpotensi membawa ketidakstabilan. Kita telah mengenalpasti masalah itu dan menjadikan usaha menanganinya satu agenda nasional," katanya. Usaha mengurangkan jurang antara yang kaya dan miskin itu tegasnya, juga dapat mengurangkan potensi berlakunya rasuah. Jelas beliau, Arab Spring berlaku apabila kumpulan majoriti merasakan mereka tiada apa-apa sementara yang minoriti dan pemerintah ada segalanya.

"Kita berjaya urus dan bangunkan negara sehingga kekayaan dapat dikongsi. Walaupun ada yang tidak berpuas hati, sekurang-kurangnya tidak sampai tahap rakyat merasakan tiada apa-apa. "Demokrasi sahaja tidak cukup, perlu ada dasar kurangkan jurang kaya-miskin, menentang rasuah dan pendidikan. Inilah resipi rahsia kita sejak merdeka," ujarnya. Tambahnya, kombinasi pelbagai faktor ini memainkan peranan penting dan sekalipun Malaysia tidak bersih sepenuhnya, sekurang-kurangnya negara ini tidak sekumpulan dengan negara yang teruk amalan rasuahnya. "Jika mahu banding, lihat kepada situasi rasuah di Indonesia, Thailand dan Filipina. Mereka juga ada demokrasi tetapi rasuah tetap banyak berlaku. Jangan pula dibanding dengan Singapura yang sudah capai negara maju serta pendapatan per kapita yang tinggi," tegasnya. Menurutnya lagi, Singapura juga lebih kecil dan penduduknya jauh lebih sedikit dengan sebilangan besar daripada mereka membayar cukai berbanding sekitar satu juta rakyat Malaysia sahaja membayar cukai individu.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
27 Jun 2012

ISU SOSIAL : UTAMAKAN DAHULU BELI RUMAH , BARU KERETA!


Rencana ini ditulis oleh :
NUR AMALINA ZAHARI
Pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
UiTM Shah Alam


Setiap manusia mempunyai keinginan memiliki kereta, keluarga dan rumah sendiri apabila bekerja kelak. Rumah atau tempat berteduh merupakan keperluan utama dalam kehidupan. Namun, dengan kos sara hidup yang saban hari kian meningkat, adakah memiliki kediaman sendiri hanya sekadar menjadi impian? Ini ekoran kenyataan membimbangkan dengan skala harga rumah yang terpaksa dihadapi oleh semua rakyat Malaysia pada 2020 apabila pendapatan rakyat Malaysia mesti mencapai RM12,000 sebulan untuk memiliki hanya sebuah rumah teres. Tidakkah ini amat menakutkan untuk ditempuhi oleh golongan yang baru menapak dalam pekerjaan atau generasi akan datang? Atau mungkin tatkala negara sudah di ambang negara maju, mata kita akan melihat longgokan penempatan di kaki lima jalan atau hanya di bawah jambatan dek kerana tidak mampu mempunyai kediaman sendiri.

Tambahan pula, kenaikan harga barangan keperluan yang menyebabkan wang semakin hilang nilainya. RM50 hanya sekelip mata habis dibelanjakan waima dengan hanya membeli rencah dan bahan-bahan untuk dibuat hidangan makan tengah hari sahaja. Bayangkan bagaimana golongan berpendapatan rendah dan sederhana terpaksa mencatu gaji bulanan untuk meneruskan hidup, lebih-lebih lagi di era yang segalanya perlu dibayar dengan wang. Namun isu kenaikan harga segala barang ini jika ditulis hingga kiamat pun tiada sudahnya, terus-menerus menuding jari pada sesetengah pihak sehingga berbuih mulut pun masih tiada nokhtahnya. Mengapa tidak di tuding jari di muka sendiri? Bukan menempelak sikap sesetengah pihak, tetapi jika dinilai gaji bulanan hanya cukup makan, namun berbelanja seperti mereka manusia paling kaya di dunia.

Anak-anak pula ditabur dengan segala kemewahan, dari permintaan telefon pintar, komputer tablet, pakaian berjenama, dan segalanya wajib tercanggih. Tidak kurang juga pelajar di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta, wang pinjaman dijadikan tiket berbelanja sakan mengalahkan ahli perniagaan lagaknya, hujungnya mi segera menjadi santapan harian dek kekeringan wang. Jika senario perbelanjaan rakyat Malaysia berterusan begini, tidak keterlaluan dikatakan impian untuk memiliki rumah sendiri akan hanya menjadi angan-angan. Dihitung secara kasar, ada logiknya rakyat harus mempunyai pendapatan RM12,000 sebulan untuk membeli sebuah rumah waima rumah teres pada 2020. Pada masa kini sahaja harga rumah di Malaysia sudah mencecah nilai jutaan ringgit, inikan pula di zaman maju 2020.

Senario kenaikan harga rumah untuk lima tahun kebelakangan ini, bukan sahaja setakat berlegar di kawasan Lembah Klang malah sudah mula berjangkit di sekitar Kajang, Bangi, Sungai Buloh, Rawang dan di sekitar Semenyih. Contohnya, beberapa lokasi harga rumah teres baru di Semenyih dengan keluasan 24×70 kaki (7×21 meter) kini sudah mencecah harga RM460,000. Harga rumah bersaiz 22×70 kaki pula sudah mencapai RM510,000. Harga rumah di Rawang untuk keluasan rumah 20×65 kaki dijual pada harga sekitar RM288,000. Dan harga rumah di Sungai Buloh bermain-main pada harga RM398,000 untuk keluasan 22×75 kaki. Senarai ini tidak termasuk lagi jenis rumah seperti Kondominium One Menerung di Bangsar yang seluas 2,000 kaki (185 meter) persegi dijual pada harga RM2.4 juta seunit. Sementara, sebuah rumah semi-D di Sri Hartamas berharga RM1.5 juta manakala rumah teres dua tingkat di Cheras bermula dari harga RM500,000. Tidakkah ini amat memeritkan?

Jawapannya, tidak lain tidak bukan, mula berjimat dan menabung sedikit demi sedikit. Bukankah lama-lama akan menjadi bukit? Bercakap memang mudah berbanding mengamalkannya, tetapi jika dibajai dengan kesabaran, hasilnya pasti lumayan. Kepada pelajar, jangan sia-siakan peluang belajar dengan tekun bagi mendapatkan kelas pertama demi menjadikan pinjaman bertukar kepada biasiswa. Kepada yang tidak mampu mendapatkan kelas pertama, belajarlah untuk berjimat mudah-mudahan dengan baki pinjaman masih di simpanan dapat meringankan beban untuk pembayaran kelak. Bagi mereka yang sudah mula bekerja, janganlah terburu-buru membeli kereta, jika masih mempunyai pilihan, gunakan kemudahan kenderaan awam seperti LRT, Monorail, Bas Rapid dan sebagainya. Dahulukan membeli aset seperti rumah dijadikan agenda utama di dalam hidup, kenderaan menjadi impian kedua. Jangan lupa, langsaikan dahulu bayaran balik hutang pinjaman anda.

Peranan ibu bapa pula, didik anak-anak berbelanja dengan berhemah, juga amalkan sikap suka menabung demi masa hadapan. Untuk lebih jimat, wujudkan walau sedikit ruang untuk menanam sendiri jenis sayuran yang sering digunakan untuk masakan, misalnya daun kunyit, cili, sawi, serai dan sebagainya. Hasilnya bukan sahaja jimat malah menyihatkan tubuh badan dengan dapat mengurangkan bahan-bahan kimia yang selalunya digunakan ke atas bahan mentah yang terdapat di pasaran kini. Penjimatan kos air dan elektrik juga perlu diambil kira. Hadkan penggunaan keduanya dengan sentiasa memastikan penggunaan air dengan kadar yang perlu sahaja, dan sentiasa pastikan tutup suis-suis elektrik yang tidak digunakan. Kesimpulannya, kita tidak akan dapat menyekat kenaikan harga setiap inci benda yang semakin meningkat saban waktu, berhenti menuding jari. Setiap permasalahan ada penyelesaiannya.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
27 Jun 2012

22 Jun 2012

ISU KESIHATAN : TUBUH UNIT KAUNSELING SAKIT MENTAL ONLINE


Rencana ini ditulis oleh :
DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI SABRI
Penyelaras/pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia


Jika disoroti sejak kebelakangan ini, masyarakat dikejutkan pelbagai kes bunuh diri dan cubaan membunuh diri. Lebih terkejut, apabila ada golongan profesional seperti doktor dan peguam yang mengambil keputusan membunuh diri, ramai yang tidak dapat memahami kenapa jalan terakhir itu yang dipilih. Belum lagi dikira dengan kes terminum racun dan terjatuh bangunan. Jika orang dewasa yang matang tidak dapat mengawal perasaan, apatah lagi remaja dan kanak-kanak. Semuanya dikaitkan dengan tekanan dan konflik hidup sebagai puncanya. Masalah mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.

Kini, masalah mental menjadi salah satu ancaman utama kepada seluruh penduduk dunia dan penduduk Malaysia khususnya. Tinjauan Kesihatan Mobiliti dan Kesihatan 2011 menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental. Statistik ini amat menakutkan, iaitu satu angka yang tinggi kerana menunjukkan seorang daripada enam (1:6) rakyat negara ini ada penyakit mental. Pada masa kini, masyarakat menganggap mereka yang mengalami masalah mental sebagai satu ancaman kepada keselamatan awam kerana akhbar sering melaporkan pelbagai kes amuk, bunuh dan gangguan-gangguan yang dilakukan oleh mereka yang mengalami masalah mental. Keadaan ini menyebabkan masyarakat membuat tanggapan negatif kepada mereka yang mengalami masalah mental ini tanpa mengkaji sebab mereka berkelakuan sedemikian.

Ironinya kita tidak didedahkan secara sepenuhnya mengenai penyakit mental ini. Masyarakat hanya memandang pesakit mental adalah orang 'gila'. Tetapi jika diperhatikan kembali hanya terdapat segelintir masyarakat yang mempunyai pengetahuan mengenai masalah mental sahaja yang dapat menerima serta membantu pesakit mental. Saya ingin mengusulkan, melihat kepada perkembangan semasa ini, mungkin pendedahan boleh diberikan di peringkat sekolah memandangkan sekolah merupakan medium terbaik dalam penjanaan ilmu pengetahuan serta memupuk sikap para pelajar dan masyarakat. Pesakit mental tidak seharusnya dipinggirkan oleh masyarakat kerana mereka yang mengalami masalah mental mempunyai peluang untuk pulih semula dan menjadi sebahagian daripada masyarakat.

Mereka sepatutnya diberi perhatian kerana ada dalam kalangan mereka mengalami tekanan dalam hidup yang berat sehingga mereka cenderung menghidap masalah mental. Oleh itu, setiap individu perlu mengubah perspektif negatif mereka terhadap pesakit mental dan memberikan sokongan-sokongan yang diperlukan agar mereka tidak merasa terpinggir daripada kelompok masyarakat. Bagi saya wujudnya 45 jabatan psikiatri di seluruh negara di samping empat buah hospital mental untuk pesakit mental menjalani rawatan pemulihan dengan sebaik mungkin tidak memberi erti jika sikap prejudis masyarakat menghalang pesakit untuk mendapatkan rawatan. Di samping itu, saya menyarankan Klinik Mental 1Malaysia perlu diwujudkan di setiap DUN dan Parlimen. Ketika ini kita hanya ada 233 pakar sakit jiwa seluruh Malaysia untuk jumlah penduduk hampir 30 juta. Nisbahnya ialah 0.8 pakar untuk 100,000 penduduk. Satu angka yang tidak masuk akal. Sesuatu perlu dilakukan segera.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Negeri sebagai tunggak pengurusan orang Islam di negara ini perlu proaktif dengan menubuhkan unit kaunseling berteraskan online di setiap kariah, daerah dan negeri. Tapi perhatikan saja laman web mereka, ada yang tidak pernah dikemas kini berbulan-bulan lamanya. Saya bukan seorang yang anti-agama lain namun jika dibuat perbandingan dengan NGO lain seperti Befriender, mereka nampaknya lebih ke hadapan menangani isu ini sedangkan mereka hanya bergerak menerusi dana-dana 'sedekah'. Saya amat menekankan perkhidmatan kaunseling dan psikoterapi kerana ia berperanan menyediakan ruang untuk mangsa tekanan mental meluahkan isi hati mereka. Kaunseling juga dapat memberikan nasihat agar membantu individu tersebut menyelesaikan masalahnya.

Kaunseling juga perlu diberikan kepada keluarga penyakit mental supaya mengurangkan tekanan mereka yang terpaksa menjaga pesakit. Dengan itu, jelaslah bahawa kaunseling dan perkhidmatan psikoterapi merupakan satu langkah yang penting dalam mengelakkan tekanan mental. Bukan semua individu dapat menangani tekanan hidup dengan baik. Cara dan tahap seseorang menerima sesuatu tekanan adalah berbeza. Mungkin bagi individu A, masalah dihadapi individu B dianggap remeh, tetapi tidak bagi individu B. Begitulah juga sebaliknya. Harus disedari bahawa prinsip suka menyendiri akan cenderung ke arah sakit mental. Ini kerana menyendiri akan menyebabkan kita mudah mengikut rasa dan nafsu, apatah lagi kita akan mudah mengikut telunjuk syaitan. Justeru dalam hidup ini, kita perlu mempunyai hubungan yang akrab dengan keluarga dan rakan-rakan. Sedarlah kita perlu hidup bermasyarakat, dan tidak perlu kita menjadi 'kera sumbang' kerana siapalah kita tanpa masyarakat. Marilah kita belajar hidup bermasyarakat.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
22 Jun 2012

21 Jun 2012

ISU SOSIAL : AWANG HITAM BERLAGAK, PELAJAR, PELANCONG ATAU PENGACAU?


Rencana ini ditulis oleh :
Fauziah Arof


Mereka dikatakan masuk dengan visa pelajar, tapi gaya tak macam pelajar universiti atau kolej pun. Tiada buku, fail atau beg yang digalas. Ke hulu ke hilir berpeleseran tidak kira siang atau malam. Jadi, masa bila pula mereka masuk kelas? Difahamkan ‘pelajar Awang Hitam’ ini juga mampu berbelanja mewah, boleh menyewa kenderaan yang beribu-ribu ringgit sebulan. Boleh selalu duduk melepak di pub-pub dan kelab-kelab setiap malam. Dan kalau bekerja, tak juga nampak seperti pekerja. Hari-hari mereka boleh dilihat ‘bersidai’ di tempat-tempat awam. Jadi apa mereka buat di sini? Kita tidak mempersoalkan sekiranya mereka memang belajar dan melancong di sini. Tetapi macam mana hendak pastikan mereka benar-benar pelajar, pekerja profesional atau pelancong.

Mungkinkah mereka masuk sebagai pelajar tetapi buat kerja lain? Ini yang pihak berkuasa kena selalu periksa dan pantau. Lambakan warga Afrika terutamanya di sekitar Lembah Klang dan bandar-bandar di negara ini sudah di tahap cukup merimaskan. Kalau mereka ini duduk diam tidak mengapa. Ini banyak masalah sosial yang ditimbulkan golongan ini termasuk kes jenayah. Bandar Sunway, Puchong, Cheras dan Klang adalah antara penempatan warga Afrika yang popular di Lembah Klang. Dan selalunya kalau mereka sudah bermastautin di sesuatu kawasan itu, agak malanglah penduduk tempatan yang tinggal di situ. Dan dikatakan, harga rumah di kawasan berkenaan akan jatuh nilainya kerana faktor kebanjiran warga asing. Sebabnya, kalau dah ramai, mereka ini sukar dikawal. Masalah utama adalah dari segi keselesaan dan keselamatan. Mereka ini gemar membuat bising, bergaduh sesama mereka, mabuk dan tak kurang juga mencari gaduh dengan penduduk tempatan sekiranya perangai mereka ditegur.

Tidak cukup dengan itu, Awang Hitam ini juga suka mengganggu wanita, tidak kira anak dara atau isteri orang. Kejadian pecah rumah di kawasan terbabit dan kenderaan yang dirosakkan juga sering berlaku. Kawan saya yang menetap di Pangsa Puri Mentari Court di Bandar Sunway memberitahu saya, dia terpaksa menyewakan rumahnya di situ dan berpindah ke tempat lain. Sebabnya, lambakan warga asing, terutamanya warga Afrika yang menjadikan kawasan penempatan di situ seperti mereka yang punya dan bersikap ibarat buta undang-undang. ‘‘Tidak sesuailah dengan kehidupan berkeluarga, bising sangat dan macam-macam aktiviti yang mereka buat. Rasa macam duduk di negara mereka pula," kata kawan saya itu.

Dan kita juga sudah biasa mendengar jerat pemuda warga Afrika yang memperdaya gadis tempatan untuk mengikis wang, menjadikan mangsa keldai dadah, penipuan menggunakan rangkaian Internet, Black Money dan lain-lain. Itu belum masuk lagi cerita kelompok Awang Hitam ini berniaga di kawasan-kawasan perumahan di ibu kota seperti di Desa Aman Puri Kepong yang dilaporkan oleh akhbar Kosmo! semalam yang mana pelanggan mereka ialah warga Afrika sendiri. Kita sudah ada beberapa kawasan yang telah lama dikuasai oleh warga asing Indonesia di negara ini dari segi penempatan dan kawasan perniagaan. Adakah kita juga akan membiarkan tempat-tempat tertentu dijadikan seperti kampung halaman warga asing dari Afrika, Bangladesh, Vietnam dan Nepal pula?

Memang Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan mempunyai ekonomi yang baik di rantau ini, maka ramai warga luar yang mahu menumpang tuah di negara ini dengan mencari rezeki dan mengumpul kekayaan apabila pulang ke negara masing-masing. Namun sekiranya kebanjiran mereka membuatkan penduduk tempatan menjadi resah, merasa tidak selamat dan tidak selesa berada di negara sendiri, sesuatu memang perlu dilakukan. Sudah tentu, kita tidak mahu kualiti hidup kita tergugat dek kerana mahu memberi ruang dan peluang kepada warga asing yang kemudiannya membalas dengan membuat pasal di negara ini.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
21 Jun 2012

ISU UMUM : KERJASAMA STRATEGIK ANGKASA LEPAS


Rencana ini ditulis oleh:
Azmi Hassan
GeoStrategis Institut GeoSpatial dan
Sekolah Perdana UTM


Apa jua perkembangan terbaru yang berpunca dari China tidak kira sama ada bidang ekonomi, teknologi, ketenteraan, sosial malah sukan akan diperhatikan dengan teliti oleh masyarakat global kerana kesannya adalah begitu mendalam sekali. Kejayaan kapal angkasa Shenzhou-9 berlabuh di modul makmal angkasa Tiangong-1 beberapa hari lepas merupakan kejayaan besar China dalam sektor teknologi angkasa lepas yang pada ketika ini diungguli oleh Amerika Syarikat (AS) dan Rusia. Walaupun kehadiran angkasawan wanita Liu Yang sedikit sebanyak mencuri perhatian dunia, tetapi kejayaan berlabuh di makmal angkasa telah memberi petunjuk baru mengenai kesungguhan China menerokai bidang penuh mencabar ini.

Seperti mana permodenan angkatan tentera China mempunyai seribu makna dan tujuan tersirat, begitu juga kesanggupan China berbelanja besar dalam penerokaan angkasa lepas sedangkan AS dan Eropah mengekang perbelanjaan masing-masing sudah pasti niat sebenar Beijing menjadi tanda tanya. Bermula dengan angkasawan pertama Yang Liwei berjaya mencapai orbit pada 2003 dan disusuli dengan misi kapal angkasa manusia pertama melalui Shenzhou-5 pada 2005, kejayaan terbaru ini adalah manifestasi kesungguhan China dalam bidang angkasa. Makmal Tiangong-1 merupakan asas cita-cita China membangunkan makmal yang lebih besar dan kekal menjelang tahun 2020. Berbeza dengan nasib Makmal Angkasa Antarabangsa (ISS) yang dibangunkan oleh AS, Eropah, Rusia, Kanada dan Jepun yang besar kemungkinan ditamatkan hayatnya pada 2028, Tiangong-1 dijangka akan menjadi lebih besar. Peringkat awal ketika China mula membuat persiapan menghantar angkasawan pertama ke angkasa satu dekad lepas, ramai yang memperlekehkan cita-cita itu kerana menuduh Beijing hanya berminat untuk simbolik sahaja, iaitu mengejar prestij.

Tetapi hari ini kejayaan China telah melampaui keperluan hanya untuk bermegah kerana kehebatan teknologi angkasa mereka telah melimpah memberi manfaat kepada bidang lain seperti ketenteraan, ekonomi, saintifik dan geopolitik. Kekuatan China dalam kesemua bidang ini seiring dengan Beijing yang dianggap sebagai kuasa besar dunia. Beberapa negara Eropah melalui Agensi Angkasa Eropah (ESA) menaruh minat menjalin kerjasama dengan China kerana banyak manfaat yang boleh diraih oleh kedua-dua pihak. Manakala Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) AS pula enggan bekerjasama gara-gara bimbang China akan mendapat keuntungan yang lebih kerana teknologi angkasa AS adalah lebih jauh ke hadapan. Memandangkan hubungan diplomatik di antara Kuala Lumpur dan Beijing adalah begitu akrab sekali, Malaysia melalui Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) sepatutnya mengambil peluang dengan menjalin kerjasama yang lebih erat dengan China dalam bidang penuh mencabar ini.

Seperti mana China, Malaysia juga telah melampaui keperluan asal ketika menghantar angkasawan pertama negara Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke ISS pada 2007. Kejayaan tersebut digunakan sebagai pemangkin untuk membangunkan kepakaran teknologi angkasa lepas negara dan sehingga kini dua satelit telah dilancarkan iaitu TiungSat dan RazakSat. Mungkin ramai cuba menafikan kepentingan teknologi angkasa lepas memandangkan Malaysia hanya sebuah negara kecil dan tidak mampu memperuntukkan perbelanjaan besar dalam bidang ini. Tetapi perlu ditekankan teknologi angkasa lepas, terutama sekali berkaitan satelit komunikasi mempunyai kepentingan strategik kerana keperluannya merangkumi bukan sahaja sektor ekonomi malah pertahanan.

Sebagai contohnya ramai yang mengambil mudah mengenai peranan disandang oleh beberapa siri satelit komunikasi yang dinamakan Measat milik syarikat Malaysia kerana rangkuman satelit ini adalah begitu luas sekali. Kehadiran satelit Measat tidak menjadi isu pada ketika ini kerana pemilikannya adalah masih dikawal oleh syarikat Malaysia. Tetapi apa yang pasti adalah kepentingan satelit akan menyerlah apabila pemilikan satelit Measat bertukar terutama sekali oleh negara asing. Jika Malaysia mampu menghantar Dr. Sheikh Muszaphar ke angkasa tanpa melibatkan kos tambahan melalui program ofset pembelian jet pejuang Sukhoi dengan Rusia, bukan sesuatu yang mustahil Malaysia menjalin kerjasama yang lebih erat dengan China dalam bidang ini. Sebagaimana China dikatakan begitu agresif melibatkan diri dalam pembangunan fizikal sesebuah negara termasuk Malaysia dengan menyediakan pinjaman mudah, strategi sama digunakan Beijing untuk menjalin kerjasama dalam bidang angkasa lepas.

Umpamanya China Great Wall Industry Corporation (CGWIC) yang ditubuhkan 1980 bukan sahaja memberi pinjaman mudah untuk pembangunan teknologi angkasa lepas tetapi menyediakan kemudahan pemindahan teknologi dan kepakaran teknikal tanpa banyak soal. Pakistan, Venezuela, Nigeria dan Indonesia mengambil peluang yang disediakan oleh CGWIC untuk membangun dan melancarkan satelit masing-masing. Memang benar Malaysia perlu berhati-hati dalam melaksanakan program angkasa lepas negara dan ini termasuklah program membangunkan satelit. Tetapi satu perkara perlu difahami dan tidak dapat dielakkan adalah peruntukan besar adalah diperlukan jika Malaysia serius menceburi bidang itu dan disinilah kerjasama strategik dengan China memainkan peranan yang penting untuk menjayakan misi tersebut. Teknologi angkasa lepas merupakan manifestasi sebenar kekuatan Malaysia supaya negara tidak ketinggalan jauh dalam bidang ini. Ini adalah kerana teknologi ini bukan hanya merangkumi ruang lingkup angkasa lepas tetapi yang lebih penting ia memberi kesan terhadap kepentingan geostrategik negara.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
21 Jun 2012

19 Jun 2012

ISU SOSIAL : KE ARAH KUALITI HIDUP YANG LEBIH TINGGI REALISASIKAN WAWASAN 2020


Rencana ini ditulis oleh :
DR. MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD
Unit Ekonomi Islam dan Kajian Polisi,
Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
  

Laporan Kualiti Hidup Malaysia 2011 telah dikeluarkan pada 11 Jun 2012 lepas. Laporan dari Unit Perancang Ekonomi ini boleh dijadikan kayu ukur kepada pencapaian negara dalam merealisasikan Wawasan 2020. Komponen kualiti hidup yang diambil kira mencakupi aspek pendidikan, pengangkutan dan komunikasi, perumahan, kebudayaan dan liburan, pendapatan dan agihan, keselamatan awam, kesihatan, penyertaan sosial, alam sekitar, kehidupan keluarga dan persekitaran kerja. Berbanding dengan kualiti hidup pada tahun 2000 (tahun rujukan), kualiti hidup pada 2010 telah meningkat sebanyak 11.9 peratus berdasarkan indeks kualiti hidup. Rakyat Malaysia mengecapi peningkatan kualiti tertinggi dalam komponen pendidikan dengan peningkatan sub-indeks sebanyak 20.4 peratus.

Komponen pengangkutan dan komunikasi menunjukkan peningkatan kualiti kedua tertinggi dan diikuti oleh peningkatan kualiti perumahan. Meskipun begitu, masih banyak penambahbaikan perlu kita lakukan bersama dalam menjadikan Malaysia tempat kediaman yang berkualiti tinggi. Daripada laporan yang dikeluarkan, didapati kualiti persekitaran kerja dan kehidupan keluarga mencatatkan peningkatan terendah dari keseluruhan komponen yang disebutkan di atas. Sub-indeks bagi komponen persekitaran kerja dan kehidupan keluarga mencatatkan nilai indeks yang sama iaitu pada 104.6 mata. Dalam kata lain, kualiti persekitaran kerja dan kehidupan keluarga di Malaysia hanya meningkat sebanyak 4.6 peratus dalam tempoh 10 tahun. Kedua-dua komponen ini sangat kritikal dalam menjamin mutu hidup seseorang. Ini kerana masa kita banyak diperuntukkan di tempat kerja dan setelah penat bekerja, kita pulang ke rumah untuk beristirehat.

Namun, jika kedua-dua komponen ini hanya menunjukkan peningkatan yang sedikit (terendah daripada kesemua komponen), setiap kita perlu berganding bahu bagi memastikan persekitaran kerja lebih kondusif dan suasana kekeluargaan di rumah lebih bermutu. Peningkatan kualiti persekitaran kerja di Malaysia dinilai dari penurunan jumlah kemalangan perusahaan (95,006 kes pada tahun 2000 kepada 60,405 kes pada 2010), penurunan pertikaian perusahaan (436 kes kepada 344) dan penurunan jumlah kehilangan hari bekerja kerana tindakan perusahaan. Namun, sub-indeks persekitaran kerja sedikit terjejas dengan peningkatan kadar pengangguran dari 3 peratus pada tahun 2000 kepada 3.4 peratus pada 2010. Bagi memperbaiki persekitaran kerja, isu keselamatan di tempat kerja perlu menjadi keutamaan di samping keperluan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan baru bagi mengurangkan kadar pengangguran.

Peningkatan sebanyak 4.6 peratus bagi sub-indeks kehidupan keluarga pula didorong oleh pengurangan jenayah juvana (0.12 peratus pada tahun 2000 kepada 0.06 peratus pada 2010) dan peningkatan pendapatan purata isi rumah di Malaysia (daripada RM2,640 pada tahun 2000 kepada RM4,206 pada 2010). Bagaimanapun, peningkatan sub-indeks kehidupan keluarga menjadi sederhana oleh bertambahnya peratusan kes perceraian. Kadar perceraian mencatat peningkatan daripada 0.13 peratus pada tahun 2000 kepada 0.22 pada 2010. Sub-indeks alam sekitar turut mencatatkan peningkatan sederhana iaitu sebanyak 6.6 peratus dalam tempoh sedekad. Kualiti alam sekitar di Malaysia adalah sederhana berikutan masalah jerebu yang serius.Di samping itu, isu pencemaran sungai turut perlu diambil perhatian dalam usaha meningkatkan kualiti alam sekitar negara.

Dapat dirumuskan di sini bahawa bagi ketiga-tiga komponen yang mencatatkan peningkatan terendah iaitu kualiti alam sekitar (6.6 peratus), persekitaran kerja (4.6 peratus) dan kehidupan keluarga (4.6 peratus), semuanya melibatkan sikap dan nilai sivik rakyat Malaysia. Ia menggambarkan kadar progres transformasi mentaliti dan minda kita semua. Hanya dengan mengamalkan akhlak dan nilai sivik yang tinggi, ketiga-tiga komponen ini akan mendapat lonjakan yang besar.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
19 Jun 2012

ISU IPT : BERGANTUNG KEPADA KEMAMPUAN


Rencana ini disediakan oleh :
Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my


Apakah reaksi anda jika anak yang belum menggenggam segulung ijazah membuka mulut memberitahu ingin berkahwin? Ramai menganggap mahasiswa berkahwin ketika belajar di menara gading hanya memperjudikan nasib dan masa depan. Apatah lagi tanpa sokongan kewangan kukuh sementelaah usia masih mentah, perkahwinan dianggap landasan merealisasikan perasaan yang membara. Berilah apa jua alasan, ironinya masyarakat tetap beranggapan perkahwinan semasa belajar bukan pilihan terbaik untuk memiliki kejayaan. Persoalannya, sejauh manakah tepatnya tanggapan itu? Bagaimana pula mereka yang berkahwin namun mampu cemerlang?

Timbalan Pendaftar Kanan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zainab Othman, berkata berkahwin atau tidak, ia bergantung kepada kemampuan individu itu menentukan corak pengajian. Beliau berkata, penerimaan individu mengenai perkahwinan berbeza, justeru tiada jawapan konkrit sama ada ia boleh menghancur atau menjayakan pengajian seseorang. Perkahwinan fitrah manusia dan bukan sesuatu yang perlu ditakuti. Cuma, apabila pelaksanaannya dilakukan sewaktu melanjutkan pengajian, ada pihak akan mempertikaikan. Dan, pertikaian itu berkait rapat faktor tertentu seperti ekonomi dan usia. Pada dasarnya tidak menolak cuma melahirkan rasa kebimbangan. Perkahwinan bukan suka-suka kerana komitmennya terlalu tinggi. Cuba yang berkahwin itu tidak belajar, pasti tiada pertikaian. Perkahwinan semasa belajar meskipun tidak menjadi kesalahan, ia masih mampu mengundang kesangsian kerana dianggap penyekat kejayaan mahasiswa. Meskipun ada yang berjaya membuktikan sebaliknya, ramai beranggapan mereka hanyalah segelintir golongan bernasib baik.

Yang lain, terkandas di tengah jalan atau terpaksa membuat pilihan sukar sama ada meneruskan pengajian atau mengorbankan perkahwinan. Beliau berkata, aspek perlu ditekankan ialah bagaimana mahasiswa itu pandai membahagikan masa serta membuat perancangan yang baik sepanjang pengajian. Ada yang tidak berkahwin namun hidupnya tetap kelam kabut, tidak terurus hingga mengakibatkan keputusan diterima mengecewakan. Yang berkahwin pula lebih cemerlang. Keadaan sebaliknya juga boleh berlaku sekali gus membuktikan semuanya bergantung pada sikap dan kemahuan diri,” katanya tidak menafikan perkahwinan menuntut mahasiswa berusaha berkali ganda berbanding mahasiswa bujang. Berkahwin semasa belajar bukan saja memikul tanggungjawab pengajian malah membabitkan permainan emosi, persefahaman pasangan, keluarga dan sebagainya. Jika tiada kekuatan diri dan emosi, semuanya boleh tunggang langgang. Sebab itu, kalau ingin berkahwin, pastikan benar-benar bersedia.

Faktor inilah menyebabkan masyarakat terutama ibu bapa kurang selesa jika anak meminta kebenaran berkahwin. Bukan tidak faham tapi takut mereka kecundang. Ditanya apakah faktor menyebabkan mahasiswa mengambil keputusan menamatkan zaman bujang ketika rakan lain berseronok melayari alam pengajian, beliau berkata perhubungan terjalin lama selain alasan sudah bertemu teman sehati sejiwa menjadikan mereka bulat tekad berkahwin. Ikutkan logik, alasan diterima masih boleh ditangguhkan. Bagaimanapun selepas membuat pilihan, timbul pula persoalan adakah melakukannya selepas berfikir semasak - masaknya atau hanya mengikut gelora hati? Paling dibimbangi mereka hanya terbayangkan keseronokan berkahwin tanpa peduli tanggungjawab yang lain. Maklumlah sedang asyik dilambung perasaan. Pada saya, kahwinlah jika yakin boleh melakukannya selain jangan ketepikan peranan keluarga. Mereka boleh menjadi tempat bimbingan emosi serta kewangan.Pastikan jika berkahwin, jangan gadaikan pengajian semata-mata kerana perkahwinan.

Bagi pasangan suami isteri dari Tawau, Sabah, Ng King Kwong dan isterinya, Nur Iman Maryam Yusop, perkahwinan mereka penuh dengan cabaran. Ng, 25, mahasiswa Sarjana Pendidikan Matematik dan isterinya yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Geografi, berkata selain usia muda, soal agama juga menjadi dugaan hebatnya. “Kami berdua ingin memeluk Islam dan melangsungkan perkahwinan. Biarpun mendapat tentangan keluarga untuk berkahwin, kami harungi juga dengan janji membawa pelajaran bersama. Kami akui, cabaran selepas berkahwin lebih hebat. Di samping terpaksa menyesuaikan diri dengan suasana baru, tanggungjawab juga semakin bertambah. Saya akui, ada kalanya timbul emosi negatif, namun cuba mencari jalan penyelesaian supaya perkahwinan ini tidak menjadi cemuhan,” katanya. Mengakui isterinya sangat memahami, beliau menyifatkan perkahwinan sebagai landasan untuk lebih berjaya. “Prosesnya lebih mudah kerana kami dapat mengulang kaji bersama-sama di mana-mana jua. Kami saling memberi dorongan dan tunjuk ajar. Ini satu motivasi dan nikmat perkahwinan masih belajar. Kami sentiasa pastikan segala perancangan tidak keciciran,” katanya.

Manakala pasangan Ahmad Rafei Ab Halim, 22, dan isterinya, Norhafiza Mahasan, 23, dari Terengganu, lebih bernasib baik kerana keluarga menyokong penuh keputusan mereka berkahwin semasa belajar. Ahmad Rafei yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Kemahiran Hidup manakala Norhafiza Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Ekonomi Rumahtangga, berkata keluarga memahami hasrat mereka selain memastikan tidak terjebak perkara tidak diingini. “Apabila menyuarakan hasrat, keluarga tidak membantah sebaliknya yakin kami bersedia memikul tanggungjawab. Mereka memberi penuh sokongan dan kebebasan. Malah, perkahwinan ini satu nikmat apabila prestasi pengajian lebih meningkat hingga mampu memperoleh Anugerah Dekan bersama. Semuanya terpulang pada diri sendiri sama ada mahukan kejayaan atau kegagalan. Perkahwinan hanya sekelumit penyebab,” katanya.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Jun 2012

18 Jun 2012

ISU UMUM : DI SEBALIK KENAIKAN HAD UMUR PERSARAAN


PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Kadar jangka hayat manusia di Malaysia kini adalah sekitar 75 tahun. Angka ini dilihat bertambah baik tahun demi tahun seiring dengan perkembangan dalam amalan dan polisi kesihatan negara, begitu juga gaya hidup yang lebih sihat oleh rakyatnya. Umumnya, individu akan mula bersara pada usia sekitar 55 tahun. Ini menjadikan secara kasarnya, kita mempunyai hingga 20 tahun untuk terus hidup selepas bersara. Baru-baru ini kerajaan mengumumkan cadangan umur persaraan minimum bagi pekerja swasta di negara ini dilanjutkan sehingga 60 tahun bermula Januari 2013 berbanding 55 tahun sekarang. Ini dikatakan selaras dengan amalan kebanyakan negara maju dalam meningkatkan produktiviti negara. Pertambahan tempoh perkhidmatan ini dilihat sebagai satu peluang yang menarik bagi sesetengah individu dan sebaliknya bagi yang lain. Ini kerana sesetengahnya masih memerlukan pekerjaan pada usia emas bagi menampung keperluan keluarga ataupun semata-mata kerana masih lagi komited kepada kerjaya manakala sebahagian lain mula menurun produktivitinya sekali gus tidak lagi boleh menyumbang dengan baik kepada majikan.

Persoalan yang timbul daripada penguatkuasaan akta ini sekiranya diluluskan adalah berkenaan kesannya terhadap masyarakat dan negara umumnya. Perkara pertama dikhuatiri masyarakat adalah peluang pekerjaan kepada generasi muda semakin kurang. Hal demikian boleh sahaja berlaku sekiranya peluang pekerjaan yang baru kepada generasi muda tidak diperbanyakkan. Kedua, pekerja yang melewati usia persaraan dikatakan tidak lagi boleh menyumbang dengan baik sebaliknya menjadi liabiliti kepada organisasi. Perkara ini tidak semestinya benar terutama sekali melibatkan individu yang mempunyai kemahiran atau kepakaran yang khusus seperti guru bahasa dan sebagainya. Realiti tenaga kerja di Malaysia yang terdiri daripada 80 peratus berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memberi maklumat kepada kita bahawa umur mula bekerja bagi sebahagian besar rakyat negara ini adalah sekitar 18 tahun. Namun begitu, angka ini harus mengambil kira juga individu yang bekerja menggunakan kelulusan SPM biarpun mempunyai kelulusan yang lebih tinggi atas pelbagai alasan.

Antara sebab mengapa perkara ini berlaku adalah dikatakan bahawa peluang pekerjaan di pasaran adalah kurang berbanding jumlah graduan yang dikeluarkan oleh Institut Pengajian Tinggi (IPT). Disebabkan peluang terhad dan persaingan sengit, ramai graduan memilih untuk melibatkan diri dalam kerjaya yang tidak sepadan dengan kelulusan. Selain itu, para graduan juga dikatakan tidak memiliki ciri-ciri yang diperlukan majikan seperti berkemahiran, berkeyakinan, rajin dan berani mengambil risiko. Sikap tidak yakin dan tidak berani mencabar diri menyebabkan ada graduan yang memilih kerjaya yang tidak sepadan. Jika masalah ini berterusan, kita akan dapati bahawa agak sukar untuk menjadikan umur 60 tahun sebagai umur yang kompetitif untuk bersara. Sebaliknya, ia bakal mengundang lebih banyak masalah pada masa hadapan.

Cadangan pertambahan had umur persaraan juga sebenarnya memberikan kita petunjuk bahawa gaya hidup rakyat Malaysia telah berubah. Walaupun had persaraan yang semakin panjang dapat memperbanyakkan simpanan, ramai di antara kita masih lagi memerlukan pekerjaan pada usia emas disebabkan menanggung anak yang masih kecil, membayar ansuran pinjaman rumah dan sebagainya. Ini adalah satu petunjuk bahawa ramai telah memilih untuk berkahwin pada usia sedikit lewat maka kebanyakan daripada mereka masih mempunyai anak yang kecil ketika umur persaraan. Selain itu, tempoh membayar balik pinjaman yang panjang melewati usia persaraan menunjukkan trend berhutang yang tinggi berlaku dalam masyarakat. Dalam perkara ini, kerajaan perlu meneliti polisi perbankan sedia ada bagi mengekang trend membayar balik pinjaman yang panjang akibat jumlah hutang yang tinggi kerana pada dasarnya, had umur persaraan dinaikkan tidak sama sekali dengan tujuan menggalakkan orang ramai berhutang dalam tempoh yang lama.

Sekiranya perkara ini terlepas pandang, kita akan dapati gaya hidup berhutang akan semakin galak dipromosi secara tidak langsung. Dalam masa beberapa tahun lagi, Malaysia dikatakan akan mengalami krisis populasi tua di mana sebahagian besar rakyat adalah warga tua dan tidak berada dalam peringkat produktif kepada negara. Walaupun kenaikan had persaraan adalah sebahagian daripada penyelesaian perkara ini, usaha-usaha ke arah keseimbangan umur dalam populasi perlu dilaksanakan bermula dari sekarang antara lain ialah dengan menyediakan sokongan kepada institusi kekeluargaan. Jika ini tidak dilakukan, negara pada masa akan datang terpaksa mengeluarkan belanja yang besar bagi menampung keperluan populasi tua yang tidak berkeupayaan untuk menyumbang lagi.

Selain itu, penyediaan prasarana ke arah pemantapan kualiti hidup tenaga kerja berusia perlu dimantapkan. Ini termasuklah polisi kesihatan yang ditambah baik dengan memberikan pelepasan kepada pekerja berusia 50 ke atas untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sekerap yang diperlukan. Rombakan cara kerja berpasukan juga perlu dilakukan bagi memastikan kepakaran yang ada pada seseorang pekerja itu dapat dikongsi dengan yang lain terutama sekali oleh generasi muda dengan pengenalan sistem pembimbing yang tersusun di tempat kerja. Penambahan usia had persaraan tenaga kerja di Malaysia adalah satu manifestasi penghargaan kepada warga kerja yang berdedikasi. Namun begitu, pelan jangka masa panjang yang berkesan perlu dilakukan bagi menampung golongan ini untuk bekerja dalam persekitaran yang mesra usia selain daripada membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda. Seterusnya, baki usia sekitar hingga 15 tahun setelah persaraan dapat dinikmati dengan lebih berkualiti.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Jun 2012

ISU IPT : SISWAZAH MAMPU SELESAIKAN MASALAH PENGANGGURAN


Rencana ini ditulis oleh :
ROZAINAH ABDUL RAHIM
Pelajar di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
UiTM Shah Alam


Kadar pengangguran di kalangan siswazah di negara ini semakin hari kian bertambah, apa puncanya dan adakah ia relevan berlaku kepada pelajar lepasan universiti? Apakah sebenarnya masalah yang menyebabkan mereka menjadi penganggur? Kebanyakannya bukan tidak mendapat pekerjaan atau sebarang tawaran tetapi mungkin kerjaya yang ditawarkan tidak bersesuaian dengan minat mereka. Kebanyakan mereka masih mencari kerjaya yang dirasakan bersesuaian dengan status mereka sebagai lepasan universiti. Antara faktor yang menyebabkan pengangguran ialah sikap siswazah yang terlalu memilih pekerjaan atau tidak berminat dengan sesuatu pekerjaan yang ditawarkan kerana beranggapan tidak setaraf dengan kelulusan mereka semasa menuntut di universiti malah lebih suka tinggal di rumah tanpa melakukan apa-apa pekerjaan daripada bekerja yang bukan dalam bidang mereka.

Pemikiran minda graduan yang beranggapan lebih baik menganggur selagi belum ada kerja yang sesuai seharusnya dibuang kerana sikap ini merugikan diri sendiri dan sektor pekerjaan yang memerlukan tenaga kerja. Jika dilihat, banyak sebenarnya peluang pekerjaan ditawarkan tetapi para graduan tidak pandai mengambil peluang yang ada. Selain itu, mereka juga boleh memperolehi pekerjaan dengan pelbagai cara selain bergantung pada sektor pekerjaan sedia ada. Sebagai contoh, mereka boleh memulakan perniagaan sendiri dengan menggunakan ilmu yang telah dipelajari semasa menuntut di universiti. Ini kerana, pelajar universiti telah sedia dilatih dengan ilmu semangat keusahawanan yang membolehkan mereka berniaga sendiri yang ternyata boleh membawa keuntungan tanpa bergantung kepada majikan kerana pendapatan adalah atas hasil usaha sendiri. Sememangnya persaingan antara graduan merupakan salah satu masalah besar yang mendorong kepada pengangguran siswazah terutama faktor kelulusan yang tidak sesuai dengan permintaan dunia kerjaya. Terdapat senarai kriteria yang dispesifikasikan oleh majikan dalam memilih graduan yang diingini.

Graduan yang mempunyai kelulusan yang tidak memuaskan atau cemerlang akan menghadapi masalah dan terpaksa menganggur dalam masa yang lebih lama. Pengangguran di kalangan siswazah akan terus terjadi sekiranya mereka tidak berusaha mencari alternatif membina kerjaya sendiri atau menceburkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti bidang keusahawanan yang boleh membantu menggerakkan ekonomi di samping dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan lain. Peluang bagi golongan siswazah menceburi pelbagai bidang pekerjaan persendirian, perniagaan dan keusahawanan amat luas. Bidang-bidang yang boleh diceburi ini bagaimanapun memerlukan inisiatif dan kegigihan selain pemikiran yang kreatif untuk menuju kejayaan. Penguasaan penggunaan bahasa Inggeris dengan baik juga merupakan faktor penting yang memudahkan seseorang graduan itu mendapat peluang pekerjaan yang diinginkan selain kebanjiran para siswazah dari institusi pengajian tinggi awam dan juga swasta yang terlalu banyak sehinggakan jumlah penganggur dan kerja kosong tidak sama rata.

Kemahiran bahasa ketiga merupakan bonus kepada diri siswazah kerana ia satu kelebihan yang melengkapi pakej seseorang dalam urusan kerja yang memerlukan perhubungan dengan pihak luar seperi bahasa Mandarin, Jepun, Perancis, Jerman, Arab dan Korea. Majikan semestinya akan memilih untuk mengambil pekerja yang mempunyai kelebihan seperti penguasaan bahasa ketiga yang akan menyumbang kemudahan kepada syarikatnya pada masa akan datang. Para siswazah juga hendaklah membiasakan diri dengan aktiviti luar dan sosial seperti aktiviti kemasyarakatan dan tidak menumpukan pada akademik semata-mata. Mereka juga perlu melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang akan melatih diri bagaimana menghadapi khalayak ramai, menyelesaikan masalah, berorganisasi, dan melakukan tugas dengan baik. Aktiviti bersosial boleh memberi banyak kelebihan pada diri seseorang berbanding duduk di rumah sahaja menunggu panggilan kerja yang belum tentu. Pihak majikan biasanya mementingkan pengalaman berbanding dengan akademik kerana jika mereka mengadakan latihan intensif untuk pekerja baru, ia akan memerlukan perbelanjaan dan mengambil masa.

Pengangguran siswazah tidak memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara. Masalah ini haruslah dibendung segera oleh siswazah dengan bersikap tidak terlalu memilih pekerjaan dan berfikir secara profesional terhadap sesuatu pekerjaan dan mempunyai sikap bertanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Selain itu juga, pihak kerajaan dan IPTA turut memainkan peranan penting dalam menangani masalah pengangguran dengan melaksanakan program di sekolah atau universiti berkaitan kerjaya. Kursus-kursus dan perancangan mengenai kerjaya perlu diadakan untuk graduan dalam pelbagai bidang bagi mewujudkan modal insan yang terlatih. Para pendidik juga memainkan peranan besar dalam membimbing para pelajar yang masih di bangku sekolah atau di IPT supaya bersedia dan merancang lebih awal untuk memilih bidang kerjaya sesuai dengan kemahiran dan kehendak persaingan di pasaran supaya mendapat tempat dalam pekerjaan yang sesuai. Oleh itu, graduan perlu berfikir secara profesional dan bijak merancang masa hadapan dan tidak salah jika bermula dari bawah untuk memperolehi pengalaman dan bukannya terus berada di atas.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Jun 2012