PENULIS ialah Pegawai
Penyelidik, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam
Malaysia (IKIM)
Kadar jangka hayat manusia
di Malaysia kini adalah sekitar 75 tahun. Angka ini dilihat bertambah baik
tahun demi tahun seiring dengan perkembangan dalam amalan dan polisi kesihatan
negara, begitu juga gaya hidup yang lebih sihat oleh rakyatnya. Umumnya,
individu akan mula bersara pada usia sekitar 55 tahun. Ini menjadikan secara
kasarnya, kita mempunyai hingga 20 tahun untuk terus hidup selepas bersara. Baru-baru
ini kerajaan mengumumkan cadangan umur persaraan minimum bagi pekerja swasta di
negara ini dilanjutkan sehingga 60 tahun bermula Januari 2013 berbanding 55
tahun sekarang. Ini dikatakan selaras dengan amalan kebanyakan negara maju
dalam meningkatkan produktiviti negara. Pertambahan tempoh perkhidmatan ini
dilihat sebagai satu peluang yang menarik bagi sesetengah individu dan
sebaliknya bagi yang lain. Ini kerana sesetengahnya masih memerlukan pekerjaan
pada usia emas bagi menampung keperluan keluarga ataupun semata-mata kerana
masih lagi komited kepada kerjaya manakala sebahagian lain mula menurun
produktivitinya sekali gus tidak lagi boleh menyumbang dengan baik kepada
majikan.
Persoalan yang timbul
daripada penguatkuasaan akta ini sekiranya diluluskan adalah berkenaan kesannya
terhadap masyarakat dan negara umumnya. Perkara pertama dikhuatiri masyarakat
adalah peluang pekerjaan kepada generasi muda semakin kurang. Hal demikian
boleh sahaja berlaku sekiranya peluang pekerjaan yang baru kepada generasi muda
tidak diperbanyakkan. Kedua, pekerja yang melewati usia persaraan dikatakan
tidak lagi boleh menyumbang dengan baik sebaliknya menjadi liabiliti kepada
organisasi. Perkara ini tidak semestinya benar terutama sekali melibatkan
individu yang mempunyai kemahiran atau kepakaran yang khusus seperti guru
bahasa dan sebagainya. Realiti tenaga kerja di Malaysia yang terdiri daripada
80 peratus berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memberi maklumat kepada
kita bahawa umur mula bekerja bagi sebahagian besar rakyat negara ini adalah
sekitar 18 tahun. Namun begitu, angka ini harus mengambil kira juga individu
yang bekerja menggunakan kelulusan SPM biarpun mempunyai kelulusan yang lebih
tinggi atas pelbagai alasan.
Antara sebab mengapa
perkara ini berlaku adalah dikatakan bahawa peluang pekerjaan di pasaran adalah
kurang berbanding jumlah graduan yang dikeluarkan oleh Institut Pengajian
Tinggi (IPT). Disebabkan peluang terhad dan persaingan sengit, ramai graduan
memilih untuk melibatkan diri dalam kerjaya yang tidak sepadan dengan
kelulusan. Selain itu, para graduan juga dikatakan tidak memiliki ciri-ciri
yang diperlukan majikan seperti berkemahiran, berkeyakinan, rajin dan berani
mengambil risiko. Sikap tidak yakin dan tidak berani mencabar diri menyebabkan
ada graduan yang memilih kerjaya yang tidak sepadan. Jika masalah ini
berterusan, kita akan dapati bahawa agak sukar untuk menjadikan umur 60 tahun
sebagai umur yang kompetitif untuk bersara. Sebaliknya, ia bakal mengundang
lebih banyak masalah pada masa hadapan.
Cadangan pertambahan
had umur persaraan juga sebenarnya memberikan kita petunjuk bahawa gaya hidup
rakyat Malaysia telah berubah. Walaupun had persaraan yang semakin panjang
dapat memperbanyakkan simpanan, ramai di antara kita masih lagi memerlukan
pekerjaan pada usia emas disebabkan menanggung anak yang masih kecil, membayar
ansuran pinjaman rumah dan sebagainya. Ini adalah satu petunjuk bahawa ramai
telah memilih untuk berkahwin pada usia sedikit lewat maka kebanyakan daripada
mereka masih mempunyai anak yang kecil ketika umur persaraan. Selain itu,
tempoh membayar balik pinjaman yang panjang melewati usia persaraan menunjukkan
trend berhutang yang tinggi berlaku dalam masyarakat. Dalam perkara ini,
kerajaan perlu meneliti polisi perbankan sedia ada bagi mengekang trend
membayar balik pinjaman yang panjang akibat jumlah hutang yang tinggi kerana
pada dasarnya, had umur persaraan dinaikkan tidak sama sekali dengan tujuan
menggalakkan orang ramai berhutang dalam tempoh yang lama.
Sekiranya perkara ini
terlepas pandang, kita akan dapati gaya hidup berhutang akan semakin galak
dipromosi secara tidak langsung. Dalam masa beberapa tahun lagi, Malaysia
dikatakan akan mengalami krisis populasi tua di mana sebahagian besar rakyat
adalah warga tua dan tidak berada dalam peringkat produktif kepada negara. Walaupun
kenaikan had persaraan adalah sebahagian daripada penyelesaian perkara ini,
usaha-usaha ke arah keseimbangan umur dalam populasi perlu dilaksanakan bermula
dari sekarang antara lain ialah dengan menyediakan sokongan kepada institusi
kekeluargaan. Jika ini tidak dilakukan, negara pada masa akan datang terpaksa
mengeluarkan belanja yang besar bagi menampung keperluan populasi tua yang
tidak berkeupayaan untuk menyumbang lagi.
Selain itu,
penyediaan prasarana ke arah pemantapan kualiti hidup tenaga kerja berusia
perlu dimantapkan. Ini termasuklah polisi kesihatan yang ditambah baik dengan
memberikan pelepasan kepada pekerja berusia 50 ke atas untuk menjalani
pemeriksaan kesihatan sekerap yang diperlukan. Rombakan cara kerja berpasukan
juga perlu dilakukan bagi memastikan kepakaran yang ada pada seseorang pekerja
itu dapat dikongsi dengan yang lain terutama sekali oleh generasi muda dengan
pengenalan sistem pembimbing yang tersusun di tempat kerja. Penambahan usia had
persaraan tenaga kerja di Malaysia adalah satu manifestasi penghargaan kepada
warga kerja yang berdedikasi. Namun begitu, pelan jangka masa panjang yang
berkesan perlu dilakukan bagi menampung golongan ini untuk bekerja dalam
persekitaran yang mesra usia selain daripada membuka lebih banyak peluang
pekerjaan kepada generasi muda. Seterusnya, baki usia sekitar hingga 15 tahun
setelah persaraan dapat dinikmati dengan lebih berkualiti.
Pohon bersandar,
pohon cemara,
Menderu angin,
bergoyang dahan,
Jangan sekadar,
membaca sahaja,
Tulislah komen,
berilah cadangan.
Sumber
Utusan Malaysia
18 Jun 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan