Rencana ini ditulis oleh
:
ROZAINAH ABDUL RAHIM
Pelajar di Fakulti
Komunikasi dan Pengajian Media,
UiTM Shah Alam
Kadar pengangguran di
kalangan siswazah di negara ini semakin hari kian bertambah, apa puncanya dan
adakah ia relevan berlaku kepada pelajar lepasan universiti? Apakah sebenarnya
masalah yang menyebabkan mereka menjadi penganggur? Kebanyakannya bukan tidak
mendapat pekerjaan atau sebarang tawaran tetapi mungkin kerjaya yang ditawarkan
tidak bersesuaian dengan minat mereka. Kebanyakan mereka masih mencari kerjaya
yang dirasakan bersesuaian dengan status mereka sebagai lepasan universiti. Antara
faktor yang menyebabkan pengangguran ialah sikap siswazah yang terlalu memilih
pekerjaan atau tidak berminat dengan sesuatu pekerjaan yang ditawarkan kerana
beranggapan tidak setaraf dengan kelulusan mereka semasa menuntut di universiti
malah lebih suka tinggal di rumah tanpa melakukan apa-apa pekerjaan daripada
bekerja yang bukan dalam bidang mereka.
Pemikiran minda
graduan yang beranggapan lebih baik menganggur selagi belum ada kerja yang
sesuai seharusnya dibuang kerana sikap ini merugikan diri sendiri dan sektor
pekerjaan yang memerlukan tenaga kerja. Jika dilihat, banyak sebenarnya peluang
pekerjaan ditawarkan tetapi para graduan tidak pandai mengambil peluang yang
ada. Selain itu, mereka juga boleh memperolehi pekerjaan dengan pelbagai cara
selain bergantung pada sektor pekerjaan sedia ada. Sebagai contoh, mereka boleh
memulakan perniagaan sendiri dengan menggunakan ilmu yang telah dipelajari
semasa menuntut di universiti. Ini kerana, pelajar universiti telah sedia
dilatih dengan ilmu semangat keusahawanan yang membolehkan mereka berniaga
sendiri yang ternyata boleh membawa keuntungan tanpa bergantung kepada majikan
kerana pendapatan adalah atas hasil usaha sendiri. Sememangnya persaingan
antara graduan merupakan salah satu masalah besar yang mendorong kepada pengangguran
siswazah terutama faktor kelulusan yang tidak sesuai dengan permintaan dunia
kerjaya. Terdapat senarai kriteria yang dispesifikasikan oleh majikan dalam
memilih graduan yang diingini.
Graduan yang
mempunyai kelulusan yang tidak memuaskan atau cemerlang akan menghadapi masalah
dan terpaksa menganggur dalam masa yang lebih lama. Pengangguran di kalangan
siswazah akan terus terjadi sekiranya mereka tidak berusaha mencari alternatif
membina kerjaya sendiri atau menceburkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti
bidang keusahawanan yang boleh membantu menggerakkan ekonomi di samping dapat
mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan lain. Peluang bagi golongan
siswazah menceburi pelbagai bidang pekerjaan persendirian, perniagaan dan
keusahawanan amat luas. Bidang-bidang yang boleh diceburi ini bagaimanapun
memerlukan inisiatif dan kegigihan selain pemikiran yang kreatif untuk menuju
kejayaan. Penguasaan penggunaan bahasa Inggeris dengan baik juga merupakan
faktor penting yang memudahkan seseorang graduan itu mendapat peluang pekerjaan
yang diinginkan selain kebanjiran para siswazah dari institusi pengajian tinggi
awam dan juga swasta yang terlalu banyak sehinggakan jumlah penganggur dan
kerja kosong tidak sama rata.
Kemahiran bahasa
ketiga merupakan bonus kepada diri siswazah kerana ia satu kelebihan yang
melengkapi pakej seseorang dalam urusan kerja yang memerlukan perhubungan
dengan pihak luar seperi bahasa Mandarin, Jepun, Perancis, Jerman, Arab dan
Korea. Majikan semestinya akan memilih untuk mengambil pekerja yang mempunyai
kelebihan seperti penguasaan bahasa ketiga yang akan menyumbang kemudahan
kepada syarikatnya pada masa akan datang. Para siswazah juga hendaklah
membiasakan diri dengan aktiviti luar dan sosial seperti aktiviti
kemasyarakatan dan tidak menumpukan pada akademik semata-mata. Mereka juga
perlu melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang akan melatih diri bagaimana
menghadapi khalayak ramai, menyelesaikan masalah, berorganisasi, dan melakukan
tugas dengan baik. Aktiviti bersosial boleh memberi banyak kelebihan pada diri
seseorang berbanding duduk di rumah sahaja menunggu panggilan kerja yang belum
tentu. Pihak majikan biasanya mementingkan pengalaman berbanding dengan akademik
kerana jika mereka mengadakan latihan intensif untuk pekerja baru, ia akan
memerlukan perbelanjaan dan mengambil masa.
Pengangguran siswazah
tidak memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara.
Masalah ini haruslah dibendung segera oleh siswazah dengan bersikap tidak
terlalu memilih pekerjaan dan berfikir secara profesional terhadap sesuatu
pekerjaan dan mempunyai sikap bertanggungjawab kepada diri, keluarga,
masyarakat dan negara. Selain itu juga, pihak kerajaan dan IPTA turut memainkan
peranan penting dalam menangani masalah pengangguran dengan melaksanakan
program di sekolah atau universiti berkaitan kerjaya. Kursus-kursus dan
perancangan mengenai kerjaya perlu diadakan untuk graduan dalam pelbagai bidang
bagi mewujudkan modal insan yang terlatih. Para pendidik juga memainkan peranan
besar dalam membimbing para pelajar yang masih di bangku sekolah atau di IPT
supaya bersedia dan merancang lebih awal untuk memilih bidang kerjaya sesuai
dengan kemahiran dan kehendak persaingan di pasaran supaya mendapat tempat
dalam pekerjaan yang sesuai. Oleh itu, graduan perlu berfikir secara
profesional dan bijak merancang masa hadapan dan tidak salah jika bermula dari
bawah untuk memperolehi pengalaman dan bukannya terus berada di atas.
Pohon bersandar,
pohon cemara,
Menderu angin,
bergoyang dahan,
Jangan sekadar,
membaca sahaja,
Tulislah komen,
berilah cadangan.
Sumber
Utusan Malaysia
18 Jun 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan