Rencana ini ditulis
oleh:
Azmi Hassan
GeoStrategis Institut
GeoSpatial dan
Sekolah Perdana UTM
Apa jua perkembangan
terbaru yang berpunca dari China tidak kira sama ada bidang ekonomi, teknologi,
ketenteraan, sosial malah sukan akan diperhatikan dengan teliti oleh masyarakat
global kerana kesannya adalah begitu mendalam sekali. Kejayaan kapal angkasa
Shenzhou-9 berlabuh di modul makmal angkasa Tiangong-1 beberapa hari lepas
merupakan kejayaan besar China dalam sektor teknologi angkasa lepas yang pada
ketika ini diungguli oleh Amerika Syarikat (AS) dan Rusia. Walaupun kehadiran angkasawan
wanita Liu Yang sedikit sebanyak mencuri perhatian dunia, tetapi kejayaan
berlabuh di makmal angkasa telah memberi petunjuk baru mengenai kesungguhan
China menerokai bidang penuh mencabar ini.
Seperti mana
permodenan angkatan tentera China mempunyai seribu makna dan tujuan tersirat,
begitu juga kesanggupan China berbelanja besar dalam penerokaan angkasa lepas
sedangkan AS dan Eropah mengekang perbelanjaan masing-masing sudah pasti niat
sebenar Beijing menjadi tanda tanya. Bermula dengan angkasawan pertama Yang
Liwei berjaya mencapai orbit pada 2003 dan disusuli dengan misi kapal angkasa
manusia pertama melalui Shenzhou-5 pada 2005, kejayaan terbaru ini adalah
manifestasi kesungguhan China dalam bidang angkasa. Makmal Tiangong-1 merupakan
asas cita-cita China membangunkan makmal yang lebih besar dan kekal menjelang
tahun 2020. Berbeza dengan nasib Makmal Angkasa Antarabangsa (ISS) yang
dibangunkan oleh AS, Eropah, Rusia, Kanada dan Jepun yang besar kemungkinan
ditamatkan hayatnya pada 2028, Tiangong-1 dijangka akan menjadi lebih besar. Peringkat
awal ketika China mula membuat persiapan menghantar angkasawan pertama ke
angkasa satu dekad lepas, ramai yang memperlekehkan cita-cita itu kerana
menuduh Beijing hanya berminat untuk simbolik sahaja, iaitu mengejar prestij.
Tetapi hari ini
kejayaan China telah melampaui keperluan hanya untuk bermegah kerana kehebatan
teknologi angkasa mereka telah melimpah memberi manfaat kepada bidang lain
seperti ketenteraan, ekonomi, saintifik dan geopolitik. Kekuatan China dalam
kesemua bidang ini seiring dengan Beijing yang dianggap sebagai kuasa besar
dunia. Beberapa negara Eropah melalui Agensi Angkasa Eropah (ESA) menaruh minat
menjalin kerjasama dengan China kerana banyak manfaat yang boleh diraih oleh
kedua-dua pihak. Manakala Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan
(NASA) AS pula enggan bekerjasama gara-gara bimbang China akan mendapat
keuntungan yang lebih kerana teknologi angkasa AS adalah lebih jauh ke hadapan.
Memandangkan hubungan diplomatik di antara Kuala Lumpur dan Beijing adalah
begitu akrab sekali, Malaysia melalui Agensi Angkasa Negara (ANGKASA)
sepatutnya mengambil peluang dengan menjalin kerjasama yang lebih erat dengan
China dalam bidang penuh mencabar ini.
Seperti mana China,
Malaysia juga telah melampaui keperluan asal ketika menghantar angkasawan
pertama negara Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke ISS pada 2007. Kejayaan tersebut
digunakan sebagai pemangkin untuk membangunkan kepakaran teknologi angkasa
lepas negara dan sehingga kini dua satelit telah dilancarkan iaitu TiungSat dan
RazakSat. Mungkin ramai cuba menafikan kepentingan teknologi angkasa lepas
memandangkan Malaysia hanya sebuah negara kecil dan tidak mampu memperuntukkan
perbelanjaan besar dalam bidang ini. Tetapi perlu ditekankan teknologi angkasa
lepas, terutama sekali berkaitan satelit komunikasi mempunyai kepentingan
strategik kerana keperluannya merangkumi bukan sahaja sektor ekonomi malah
pertahanan.
Sebagai contohnya
ramai yang mengambil mudah mengenai peranan disandang oleh beberapa siri
satelit komunikasi yang dinamakan Measat milik syarikat Malaysia kerana
rangkuman satelit ini adalah begitu luas sekali. Kehadiran satelit Measat tidak
menjadi isu pada ketika ini kerana pemilikannya adalah masih dikawal oleh
syarikat Malaysia. Tetapi apa yang pasti adalah kepentingan satelit akan
menyerlah apabila pemilikan satelit Measat bertukar terutama sekali oleh negara
asing. Jika Malaysia mampu menghantar Dr. Sheikh Muszaphar ke angkasa tanpa
melibatkan kos tambahan melalui program ofset pembelian jet pejuang Sukhoi
dengan Rusia, bukan sesuatu yang mustahil Malaysia menjalin kerjasama yang
lebih erat dengan China dalam bidang ini. Sebagaimana China dikatakan begitu
agresif melibatkan diri dalam pembangunan fizikal sesebuah negara termasuk
Malaysia dengan menyediakan pinjaman mudah, strategi sama digunakan Beijing
untuk menjalin kerjasama dalam bidang angkasa lepas.
Umpamanya China Great
Wall Industry Corporation (CGWIC) yang ditubuhkan 1980 bukan sahaja memberi
pinjaman mudah untuk pembangunan teknologi angkasa lepas tetapi menyediakan
kemudahan pemindahan teknologi dan kepakaran teknikal tanpa banyak soal.
Pakistan, Venezuela, Nigeria dan Indonesia mengambil peluang yang disediakan
oleh CGWIC untuk membangun dan melancarkan satelit masing-masing. Memang benar
Malaysia perlu berhati-hati dalam melaksanakan program angkasa lepas negara dan
ini termasuklah program membangunkan satelit. Tetapi satu perkara perlu
difahami dan tidak dapat dielakkan adalah peruntukan besar adalah diperlukan
jika Malaysia serius menceburi bidang itu dan disinilah kerjasama strategik
dengan China memainkan peranan yang penting untuk menjayakan misi tersebut. Teknologi
angkasa lepas merupakan manifestasi sebenar kekuatan Malaysia supaya negara
tidak ketinggalan jauh dalam bidang ini. Ini adalah kerana teknologi ini bukan
hanya merangkumi ruang lingkup angkasa lepas tetapi yang lebih penting ia
memberi kesan terhadap kepentingan geostrategik negara.
Pohon bersandar,
pohon cemara,
Menderu angin,
bergoyang dahan,
Jangan sekadar,
membaca sahaja,
Tulislah komen,
berilah cadangan.
Sumber
Utusan Malaysia
21 Jun 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan