JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



10 Oktober 2010

ISU KESIHATAN : HIDUP SIHAT DENGAN MAKANAN ORGANIK

Makanan organik masih terlalu asing bagi masyarakat di negara ini. Tidak banyak pendedahan mengenainya dilakukan walaupun makanan ini telah popular di beberapa negara lain di dunia. Walaupun ada yang mengatakan makanan organik ini lebih mahal, namun kebaikan di sebaliknya lagi ‘mahal’ untuk kesihatan jangka masa panjang. Sekiranya telah mencuba buat pertama kali terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran, pasti hendak lagi kerana kelainan rasa berbanding dengan yang ditanam dengan konvensional. Rasanya lebih sedap dan manis, begitu juga dengan roti yang dibuat daripada tepung organik dan jus organik. Keasliannya memang terasa. Tidak rugi walaupun terpaksa mengeluarkan wang yang lebih. Ia memberi kepuasan yang tidak terhingga.
 
Sebenarnya, memakan makanan organik bukan sahaja mengubah gaya hidup dan kesihatan seseorang malah boleh menyelamatkan bumi daripada terus tercemar dengan bahan kimia akibat aktiviti pertanian. Banyak persepsi mengenai makanan organik ini. Antaranya ialah makanan khusus untuk mereka yang telah dihidapi penyakit terutamanya kanser atau makanan golongan atasan. Itu tidak benar, ia adalah makanan untuk semua yang pentingkan kesihatan dan mencintai alam semula sekitar. Malah ia juga boleh melindungi generasi akan datang daripada terus memakan makanan yang dicemari selain melindungi kualiti air, menjimatkan tenaga, membaiki gaya hidup dan sistem nilai, mengekalkan nutrien dan lebih penting lagi rasanya lebih sedap berbanding dengan bukan organik. Gaya hidup dengan memakan makanan organik masih lagi belum popular di Malaysia, ini kerana tidak ada kesedaran dan pendedahan dilakukan secara serius mengenai makanan tersebut. Makanan organik bukan sekadar untuk kesihatan tetapi membantu menyelamatkan alam sekitar daripada tercemar. Ini kerana organik ialah makanan yang ditanam tanpa menggunakan baja kimia atau disembur racun perosak. Satu kelebihan tanaman organik ialah pencemaran kimia dan racun perosak dapat dikurangkan hampir ke tahap kosong.

Sedikit demi sedikit pemahaman masyarakat mengenainya akan meningkat juga kerana kini kesedaran menjaga kesihatan dan kos perubatan yang tinggi menyebabkan orang ramai lebih prihatin dalam segi pemakanan sejak muda lagi. Ini terbukti apabila semakin banyak kedai menjual produk organik telah wujud di seluruh negara dan kerajaan juga turut menggalakkan pertanian organik sebagai pilihan kepada petani. Jika makanan bukan organik, kita terpaksa berhadapan dengan penyakit yang bakal dihidapi dan kos perubatan tinggi untuk mengubatinya akibat daripada bahan kimia yang terkandung di dalamnya sejak tanamannya lagi sehinggalah diproses. Sebenarnya membeli makanan organik ialah pelaburan jangka masa panjang. Jika kesihatan kita baik, maka kita tidak perlu mengeluarkan kos tinggi untuk perubatan, tidak juga dihidapi penyakit yang boleh membuat kita menderita dan yang penting ialah bumi kita selamat daripada racun perosak dan bahan tercemar.  Sebagai contohnya, jika kita membeli sebotol jus epal di luar, ia mengandungi bahan sintetik, gula dan campuran air, ia tidak asli tetapi jika jus epal organik, ia jus asli, tiada gula atau air yang perlu ditambah.

Begitu juga dengan sayur-sayuran organik yang tiada semburan bahan kimia, racun serangga, fungus dan baja tiruan yang boleh menjejaskan kesihatan serta amalan pertanian itu boleh membantu mengekalkan nutrien pada tanah. Pengambilan roti organik juga boleh memberi nilai kepada kesihatan. Walaupun harganya lebih mahal daripada roti biasa, tetapi faedah yang tersembunyi tidak terhingga tinggi nilainya untuk kehidupan gaya sihat. Hakikatnya,  makanan organik merupakan pelaburan jangka masa panjang bagi kita. Pertanian organik melindungi tanah, air dan udara daripada tercemar. Sebagai contoh, seorang petani yang mengusahakan kebunnya secara tidak organik boleh mengalirkan racun perosak yang digunakannya dan mencemarkan sistem pengairan. Racun itu juga akan meresap di dalam tanah. Semburan racun perosak itu juga mencemarkan udara. Keadaan ini tidak mungkin akan berlaku kepada pekebun organik yang tidak menggunakan racun perosak atau bahan kimia. Pertanian organik melibatkan penggunaan buruh secara intensif seperti kerja-kerja merumpai dan tidak menggunakan racun rumpai seperti pertanian konvensional. Inilah yang dimaksudkan keuntungan yang tidak nampak pada waktu ini walaupun terpaksa membayar harga yang mahal sedikit, tetapi bakal memberi senyuman sehingga akhir hayat.

Ibu bapa yang mempunyai anak kecil harus memberi pendedahan kepada anak-anak mengenai makanan oraganik sejak mereka kecil lagi. Hal ini demikian kerana anak-anak yang diberi makanan organik, apabila dewasa nanti, mereka hanya memilih dan memakan bahan-bahan yang menyihatkan. Begitu juga dengan pendedahan kepada pelajar kolej kerana mereka bakal menjadi pemimpin suatu hari nanti. Mereka haruslah digalakkan menceburi bidang ini supaya makanan organik ini boleh cepat berkembang. Masa depan makanan organik di Malaysia adalah cerah kerana sokongan kerajaan yang ingin menjadikan pertanian organik sebagai salah satu cara pertanian di negara ini. Setiap keluarga boleh mengubah corak pemakanan secara beransur-ansur iaitu dengan bertukar kepada produk organik seperti beras perang, gula perang, tepung perang dan garam laut.



Tiada ulasan: