JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



10 Oktober 2010

ISU SOSIAL : GANGGUAN SEKSUAL

Jika anda menganggap gangguan seksual di tempat kerja hanya wujud apabila pelaku menggunakan teknik sentuhan dan percakapan terhadap mangsanya, anda silap. Kebanyakan orang tidak memahami secara tepat atau menyeluruh apa yang dimaksudkan dengan istilah gangguan seksual di tempat kerja.  Tidak keterlaluan dikatakan, ada individu yang menganggap gangguan seksual di tempat kerja hanya membabitkan mangsa wanita. Tetapi sebenarnya ia turut ‘menyerang’ lelaki.

Kod Amalan Untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual Di Tempat Kerja menerangkan, gangguan seksual adalah sebarang perlakuan berunsur seksual yang tidak diingini penerima atau mangsa. Dikeluarkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), kod amalan itu turut menggariskan bahawa gangguan seksual boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu berbentuk ugutan seks dan ancaman seks. Penolong Pengarah Tenaga Kerja Kanan JTKSM Putrajaya, Johana Bakar berkata, berdasarkan kod amalan yang ada, gangguan seksual berbentuk ugutan seks bermaksud apabila seseorang pegawai atasan yang mempunyai kuasa menentukan gaji dan pangkat misalnya, cuba mengugut pekerja bawahan supaya memberi layanan seksual kepadanya.

Katanya, pekerja itu perlu mengikut jika ingin memperoleh faedah berkaitan kerja dan jika menolak ugutan berkenaan, faedah akan dinafikan. Manakala gangguan seksual berbentuk ancaman adalah apabila tingkah laku yang ditunjukkan pelaku dilihat mangsa sebagai ancaman, ugutan atau penghinaan tetapi ia tiada kaitan langsung dengan faedah pekerjaan. Bagaimanapun, tingkah laku itu menimbulkan suasana yang tidak tenteram kepada mangsa untuk terus bekerja. “Gangguan seksual di tempat kerja juga bukan hanya berlaku dalam pejabat atau organisasi, malah ia turut membabitkan gangguan seksual di luar tempat kerja yang wujud daripada hubungan dan tanggungjawab berkaitan pekerjaan.

“Misalnya melalui majlis-majlis sosial berhubung pekerjaan, menjalankan tugas di luar tempat kerja, persidangan atau latihan berkaitan pekerjaan, ketika dalam perjalanan berkaitan tugasan, telefon dan media elektronik. “Ingin ditekankan di sini, gangguan seksual itu sendiri bermakna tingkah laku seksual yang tidak diingini dan tidak disenangi mangsa serta tanpa diminta atau dibalas balik mangsa,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui di gerai pameran dan maklumat JTKSM pada sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2010 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, baru-baru ini. Menurut Johana, gangguan seksual merangkumi bermacam-macam tingkah laku seksual yang boleh dibahagikan kepada lima jenis. Ujarnya, satu daripadanya adalah gangguan secara lisan yang mana pelaku menggunakan kata-kata, komen, gurauan, usikan, bunyi dan soalan berbentuk ancaman atau cadangan seksual.

Jelasnya, gangguan seksual jenis bukan lisan pula wujud apabila pelaku memandang atau mengerling yang membayangkan niat, menjilat bibir, memegang sesuatu secara menggoda, membuat isyarat tangan, menggunakan bahasa isyarat yang menunjukkan perlakuan seks atau tingkah laku mengurat yang berterusan. Bagi gangguan seksual jenis visual, katanya, pelaku menunjukkan bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berunsur seksual, menayangkan bahagian sulit badan yang tidak sepatutnya didedahkan dan sebagainya. Selain itu, ujarnya, jika pelaku mengulangi jemputan sosial yang telah ditolak, memujuk rayu berterusan untuk keluar bersama atau ingin bercumbuan, ia digelar gangguan seksual psikologi.

Tambahnya, bagi gangguan seksual jenis fizikal, pelaku akan menggunakan cara sentuhan seperti memegang, menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk, mencium atau serangan seksual tanpa kerelaan mangsa. Johana berkata, kes gangguan seksual di tempat kerja perlu dilaporkan sama ada kepada pegawai atasan, polis atau kementerian bagi memastikan pesalah dikenakan tindakan sewajarnya. Laporan itu juga perlu dibuat bagi mengekang masalah sosial itu daripada terus melarat di kalangan masyarakat sehingga menimbulkan suasana tidak selamat sepanjang berada di tempat kerja atau menjalankan urusan pejabat. “Namun, kebanyakan mangsa enggan melaporkan gangguan yang diterima kerana malu, tiada tempat mengadu, bimbang disindir atau takut diberhentikan kerja.

“Di Malaysia, mangsa kes ini menghadapi masalah membuat laporan kerana tiada prosedur jelas untuk dijadikan panduan bagaimana dan di mana untuk mengadu. “Maka, saya menggesa mangsa membuat laporan kepada polis, majikan atau kementerian dan mendapatkan maklumat lengkap berhubung gangguan seksual termasuk di tempat kerja melalui laman web kementerian atau maklumat di Internet supaya tidak terus ditindas,” katanya.

 
Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN
UTUSAN MALAYSIA
07 OKTOBER 2010
 

Tiada ulasan: