I write not to seek praise but to share thoughts sincerely as an educator. If my ideas are beneficial, use them as guidance; if there are flaws, forgive me as I am still learning. My writing is general, without targeting anyone or chasing popularity. I believe even a small piece of knowledge holds value when shared with honesty. I have no wealth to leave, only these words—may they shine even from a simple lantern of understanding.
23 Mei 2023
20 Mei 2023
SIKAP KITA YANG SUKA MEMBANDING-BANDINGKAN SEKOLAH ADALAH SALAH
Budaya suka membanding-bandingkan ini telah merasuk jiwa masyarakat hingga menjadi topik utama di kedai kopi atau di meja mesyuarat. Yang akan terus ditekan dan tertekan ialah warga guru yang mengajar di sekolah tersebut. Masyarakat pula sentiasa memandang rendah hingga sanggup memindahkan anak ke sekolah lain yang konon-kononnya memiliki tenaga pengajar yang lebih bagus. Hakikatnya, tenaga guru yang diamanahkan mengajar di semua sekolah adalah sama. Mereka mendapatkan ilmu di universiti yang sama dan memperoleh ijazah yang sama. Walau bagaimanapun, terdapat banyak kekangan yang menyebabkan pencapaian antara sekolah A dan sekolah B berbeza. Biar kita ambil contoh, sekolah A merupakan sekolah yang mempunyai prasarana yang lengkap dan kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak bersekolah di sekolah A ialah ibu bapa yang berkemampuan membeli kelengkapan belajar dan memberikan sumbangan kepada sekolah untuk meningkatkan kualiti pembelajaran. Persatuan PIBG di sekolah A amat kuat. Segala keperluan guru disediakan kerana ibu bapa di sekolah A semuanya atau 90% berkemampuan.
Sekolah B pula terletak di luar bandar yang rata-ratanya ibu bapa daripada golongan B40. Yuran PIBG pun hanya RM15.00 setahun. Itupun ramai yang tidak mampu membayar. Jangankan Yuran PIBG, baju Pendidikan Jasmani, Buku Kerja, Buku latihan pun tidak terbeli. Pakaian sekolah pun ada yang tetap guna walaupun sudah sendat. Ibu bapa mereka kebanyakannya bekerja jauh. Anak-anak mereka tidak menghadiri kelas tuisyen dan mereka tidak pernah dipaksa belajar apabila di rumah. Ibu bapa mereka sedar tentang kepentingan pelajaran tetapi bersikap acuh tidak acuh memberikan dorongan kerana persekitaran hidup yang tidak ada persaingan. Saya sendiri berhadapan dengan situasi ini sejak tahun 2016 selepas berpindah daripada sebuah sekolah yang berprestasi cemerlang di bandar. Apabila sampai di sekolah baharu saya terkejut. Perbezaannya amatlah ketara terutamanya dari segi mentaliti pelajar terhadap kepentingan pendidikan. Jika ditanya cita-cita, mereka hanya menyebut bidang pekerjaan yang terlalu sensitif untuk saya tulis di sini. Jika saya tanya 100 orang pelajar hanya 10 orang sahaja yang menyebut menjadi Peguam, Doktor, Saintis, Jurutera, Arketik, dan Juruterbang. Yang lain tidak. Apabila disenaraikan pekerjaan tersebut, mereka kata mereka tidak akan mampu. Mereka terlalu merendah diri.
Kita harus faham situasi dan keadaan di sesebuah sekolah. Saya pernah mengajar selama lebih kurang 19 tahun 5 bulan di sekolah yang mempunyai kemudahan yang lengkap. Kelas tempat belajar baharu, luas, dan bersih. Bilik guru amat selesa dan serba serbi ada. Dalam bilik guru kami, tersedia mesin fotostat yang boleh digunakan bila-bila masa. Sekolah saya itu dahulu mempunyai Dewan yang boleh memuatkan 3000 orang pada suatu-suatu masa. Terdapat dewan kuliah untuk mengajar dan sebagainya. Kemudian, tahun 2016 saya dipindahkan ke sebuah sekolah kategori luar bandar yang mempunyai 3000 orang pelajar. Sekolah itu tiada dewan. Kemudahan yang ada amat terhad. Bilangan pelajar dalam sebuah kelas antara 35 hingga 45 orang. Tahun kedua saya di sekolah itu, hampir semua bilik ditukar menjadi bilik darjah kerana bilangan pelajar yang bertambah. Tahun 2020 pula, saya dipindahkan lagi ke sebuah sekolah yang memang betul-betul di luar bandar. Bangunan lama dan usang. Kemudahan asas amat menyedihkan. LCD untuk mengajar pun guru-guru berebut. Kelas sangat kecil (saiz bangunan tahun 1980-an). Jendela semua sudah tiada. Memang serba kekurangan. Jika diberikan peruntukan untuk membaik pulih kerosakan, RM1 juta, belum tentu cukup kerana sistem pendawaian di sekolah sudah lama. Perkara seperti ini harus diambil kira apabila kita membuat perbandingan.
Kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam kalangan ibu bapa dan komitmen guru-guru di sekolah rendah yakni asas awal kanak-kanak menerima pendidikan juga harus dilihat dengan terperinci sebelum kita membuat perbandingan. Kelemahan pelajar dalam subjek teras amat ketara selepas berlakunya COVID-19 dan pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Majoriti pelajar yang masuk ke Tingkatan 1 masih tidak tahu membaca atau dengan istilah buta huruf. Guru-guru yang mengajar selalu mengeluh. Salibus KSSM pula menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) tetapi pelajar masih tergagap-gagap membaca. Mereka bergantung penuh kepada guru untuk memulihkan atau mengasah kemahiran asas itu dahulu. Bayangkan betapa susahnya guru Matematik menyampaikan isi pelajaran kerana subjek Matematik KSSM amat sukar. Subjek lain pun begitu! Situasi ini hanya guru-guru di sekolah pedalaman dan luar bandar yang merasai dan mengalami. Orang hanya melihat dan membuat konklusi selepas menganalisis keputusan peperiksaan dengan mencadangkan itu dan ini atau menyalahkan usaha pihak sekolah. Pahitnya hanya mereka yang mengalaminya tahu. Mereka bukan tidak berusaha. Usaha mereka terpaksa berhadapan dengan kekangan masa untuk memperbetul kelemahan-kelemahan asas yang tidak sepatutnya.
Adalah tidak salah jika kita membuat perbandingan sekali sekala tetapi perbandingan itu harus membawa manfaat kepada sekolah yang dibandingkan. Jangan sesekali membandingkan pencapaian antara sekolah-sekolah dengan niat menyalahkan atau menghukum hingga memalukan atau menjatuhkan maruah tenaga pendidik di sesebuah sekolah. Yang membandingkan juga perlu menjaga tutur kata, jangan sampai ada hati yang terguris dan jiwa yang terhiris. Percayalah, tiada sesiapapun guru di mana-mana sekolah yang mahu melihat anak didik mereka gagal menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam peperiksaan terutamanya SPM dan STPM. Mereka sentiasa mahu anak didik mereka lebih berjaya daripada mereka selepas menamatkan alam persekolahan. Namun begitu, ramai pelajar dalam usia muda diuji dengan pelbagai kisah hidup yang boleh menitiskan air mata. Ramai yang menjadi mangsa perceraian, hidup terhimpit dalam kemiskinan, dan banyak lagi permasalahan yang menyebabkan mereka mengabaikan pelajaran. Hanya guru yang memahami mereka. Guru bukan tidak mendorong. Guru pun bukan tidak memotivasi. Kelas intervensi diadakan untuk meningkatkan pencapaian. Jika begitulah keputusan yang diperoleh kita redha tetapi yang tidak redha ialah orang yang diluar sekolah.
Subjek Matematik Bunuh Masa Depan Pelajar?
Ketika menjadi Penolong Kanan Pentadbiran yang banyak menguruskan hal ehwal berkaitan dengan akdemik, perkara yang amat merungsingkan para guru ialah prestasi pelajar dalam subjek Matematik. Keadaan ini semakin buruk apabila Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) mula diperkenalkan. Pencapaian pelajar dalam ujian topikal, peperiksaan peringkat sekolah dan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia, memang mendukacitakan. Bayangkan, pelajar aliran sain tulen pun hanya mencapai markah kurang daripada 30 peratus wahal subjek lain mereka mendapat markah melebihi 60 peratus. Apabila keputusan SPM diumumkan, beza pencapaian pelajar dalam SPM sebenar dengan peperiksaan percubaan SPM tidak terlalu jauh. Pelajar yang memperoleh Gred F atau Gagal adalah banyak. Guru-guru yang mengajar di sekolah pelajar terpilih seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah-sekolah di bandar mungkin tidak berhadapan dengan masalah ini. Akan tetapi, kami yang mengajar sekolah di luar bandar dan pedalaman dapat melihat masalah ini dengan nyata.
19 Mei 2023
Kisah Pelajar Universiti Dari Keluarga B40 Terpaksa Catu Makanan Tetapi Dicuri Pula Oleh Rakan Serumah
Saya
membaca sebuah artikel dalam akhbar Berita Harian yang memaparkan kisah seorang
pelajar yang datang daripada keluarga B40. Kisahnya terlalu dekat dengan diri
saya. Oleh sebab terlalu menghayati kisah pelajar itu yang terpaksa mencatu
makanan selain bergantung penuh pada wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Negara (PTPTN) bagi menampung yuran pengajian dan kos lain seperti sewa rumah
menyebabkan air mata saya menitis. Cerita anak orang miskin yang mengikat perut
dan merantai nafsu di universiti telah berlaku sejak dahulu lagi. Saya sendiri
datang daripada keluarga yang saya klasifikasikan “KELUARGA B80” semasa belajar
dahulu pernah merasai seksanya hidup di universiti demi mendapatkan segulung
ijazah untuk mendapatkan pekerjaan dan membahagiakan keluarga. Apabila membaca
cerita pelajar ini yang duduk di rumah sewa dan stok makanannya ada kalanya
dicuri rakan serumah saya amat bersimpati dan memahami.
Saya
doakan agar pelajar-pelajar daripada golongan B40 ini terus cekal dan tabah belajar.
Jangan berhenti. Teguhkan hati untuk terus menamatkan pengajian. Saya dan
rakan-rakan dahulu hanya makan mi maggi setiap hari untuk mengalas perut.
Bezanya dahulu dan sekarang hanyalah nilai wang. Jika dahulu harga sebungkus mi
maggie (dalam ada lima) hanyalah RM2.50 sahaja, sekarang harganya meningkat ke
RM4.00 ke atas mengikut jenis. Kami hanya masak mi maggi dalam baldi kecil
dengan air sejuk dan makan berkongsi. Allah memberkati hidup kami, walaupun
makan sebegitu kami tetap sihat dan aktif untuk hadir kuliah sehingga
menamatkan pengajian. Kini, walaupun kami bukanlah sesiapa, alhamdulillah kami
mempunyai pekerjaan dan mampu membahagiakan diri dan keluarga.
Kemiskinan
banyak mengajar kita untuk cekal dan tabah mara ke hadapan. Walau bagaimanapun,
jangan sesekali jauhkan diri daripada kepercayaan kepada Tuhan. Segala masalah
yang datang akan menjadi lebih mudah andai kita selalu bersyukur dan menikmati
hidup seadanya. Pelajar yang miskin jika sentiasa melihat cermin untuk refleksi
diri, insya-Allah urusannya akan dipermudah. Jangan sesekali bersikap hipokrit
dan berbelanja melebihi yang kita ada. Jika kita mengenali diri kita, saya
yakin kita dapat merancang perbelanjaan dengan lebih mudah. Pada masa yang
sama, kita haruslah pandai menyesuaikan diri supaya mempunyai ramai kawan dan
kenalan. Saya yakin, pelajar yang tahu membawa diri mesti akan berjumpa dengan
kawan yang berkemampuan dan pemurah. Insya-Allah.
Saya
akui, kemiskinan kadang kala menguji kita tanpa batas. Kita didesak untuk
membeli keperluan belajar yang bukan sedikit seperti laptop ataupun komputer.
Ya Allah, saya amat memahami masalah sebegini. Ketika kita terlalu fokus untuk
mencapai kejayaan dan memburu cita-cita, kita diuji dengan masalah keluarga satu
persatu. Adik beradik kita pula ramai. Kita rasa amat terhimpit dan mengambil
keputusan untuk menamatkan pengajian. Inilah yang selalu berlaku terhadap
ribuan pelajar yang datang daripada keluarga B40. Saya selalu berfikir supaya
kerajaan melebihkan bayaran PTPTN untuk golongan ini sahaja. Saya amat memahami
situasi sebegini kerana saya pernah mengalaminya.
Saya
doakan agar semua pelajar yang datang daripada keluarga B40 yang sedang
berjuang di kolej dan universiti untuk mendapatkan sijil, diploma, ijazah,
ijazah sarjana dan Doktor Falsafah akan berjaya dalam pengajian mereka. Jika
boleh, jangan berhenti. Kemiskinan itu memang memeritkan tetapi kemiskinan itu
jugalah yang menjadi pembangkit semangat untuk kita terus berjuang hingga mampu
mengapai kejayaan. Nikmatnya berjaya bagi golongan seperti kita tidak ternilai
harganya dengan intan permata kerana perjuangan kita diperoleh setelah puas
berendam air mata dan kemiskinan yang seolah-olah tidak mahu melepaskan kita.
Kemiskinan ini menyebabkan kita tersisih tetapi jangan patah hati untuk terus
berjuang kerana sinar pasti ada di
penghujung perjalanan orang yang selalu cekal dan sabar.
18 Mei 2023
Program Jom Membaca 10 Minit
Program Jom Membaca 10 Minit pada tahun ini diadakan di seluruh negara pada 18 Mei 2013, iaitu hari Khamis. Program ini diadakan pada pukul 10:00 pagi di seluruh negara sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia. Saya memang menyokong program seumpama ini kerana saya mendapati budaya membaca semakin terpinggir sejak akhir-akhir ini disebabkan pengaruh media sosial. Saya sebagai seorang guru subjek Bahasa Melayu memang menyedari perkara ini sejak dahulu. Apabila pelajar kurang membaca, kualiti penulisan karangan mereka amat lemah. Mereka tiada pengetahuan sedia ada tentang tajuk karangan yang hendak dijawab. Perkara yang amat menyedihkan mereka lebih suka memasukkan istilah dan kosa kata yang viral di media sosial dalam penulisan karangan.
Pujangga Moh. Hatta pernah berkata, "Aku rela dipenjara bersama buku kerana dengan buku aku bebas". Kata-kata ini menggambarkan bahawa orang yang leka membaca dan menikmati perkara yang dibaca tidak sedar masa berlalu kerana mereka begitu menghayati perkara yang didedahkan oleh penulis dalam bahan yang dibaca. Saya sendiri sentiasa meluangkan waktu untuk membaca bahan-bahan ilmiah selama satu hingga dua jam sehari. Walau bagaimanapun, apabila bahan bacaan itu sebuah buku, saya akan teruskan membaca hingga terlupa waktu solat tiba. Budaya membaca yang sudah mendarah daging dalam kehidupan seseorang menyebabkan mereka tidak keruan apabila tidak membaca. Mereka akan cuba mencari bahan bacaan yang sesuai untuk melepaskan ketagihan membaca.
Saya masih melanggan majalah Dewan Masyarakat dan Pelita Bahasa hingga kini. Saya membaca kedua-dua majalah ini kerana penulis-penulis yang menulis di kedua-dua majalah itu sentiasa memaparkan maklumat terkini dengan ayat-ayat yang puitis dan gramatis. Saya juga suka membaca buku-buku motivasi. Saya mempunyai banyak koleksi buku motivasi daripada penulis-penulis terkenal di rumah. Hobi saya ialah saya suka mengumpul kosa kata, frasa menarik dan ayat yang gramatis daripada pelbagai bahan bacaan untuk digunakan dalam penulisan saya sendiri. Tabiat ini sudah lama saya amalkan. Saya masih membaca majalah Gila-Gila untuk menghiburkan hati dan mengasah minda. Saya memperoleh banyak pengajaran dalam majalah sebegini kerana kita dipaparkan dengan lawak yang mempunyai mesej. Jangan tidak tahu, bahasa yang digunakan dalam majalah Gila-Gila terutama dalam ruangan Minah Leter dan Mat Romeo amat menarik!
Hobi yang paling tidak merugikan ialah membaca. Kita tidak akan menjadi miskin kerana suka membaca. Kita tidak akan menjadi miskin kerana suka membeli buku. Semakin banyak kita membaca maka semakin banyak ilmu yang kita tahu. J.K Rowling pernah berkata, "Jika kita ragu akan sesuatu perkara, pergilah ke perpustakaan". Ini bermakna buku-buku yang ada di perpustakaan akan memberikan jawapan yang paling tepat untuk menjelaskan keraguan kita. Babra W. Tachman pernah mengungkapkan, "Buku adalah pembawa peradaban. Tanpa buku, sejarah itu sunyi, sastera itu bodoh, sains lumpuh, pemikiran dan spekulasi akan terhenti. Buku adalah mesin perubahan, jendela di dunia, dan menara api yang didirikan di lautan waktu".
17 Mei 2023
Masalah Kekurangan Guru dan Sikap Malas Membaca, Punca Utama Mata Pelajaran Sastera Tidak Diminati
Penulis Rencana
Siti Aminah Mohd Yusof - Mei 9, 2023 @ 10:54am
Sikap tidak suka membaca memberi
cabaran kepada subjek Kesusasteraan Melayu sehinggakan banyak sekolah tidak
lagi menawarkan mata pelajaran itu. Hal ini diburukkan lagi dengan kekurangan
guru opsyen malah selepas subjek itu dijenamakan semula sebagai Kesusasteraan
Melayu Komunikatif (KMK), ia dilihat masih kurang mampu menarik perhatian
murid. Apatah lagi KMK adalah subjek elektif. Hal ini tentu berbeza dengan subjek
Sejarah yang meskipun turut menuntut murid banyak membaca tetapi ia disebabkan
mata pelajaran wajib, pelajar tiada pilihan.
Presiden Persatuan Penulisan
Budiman Malaysia (BUDIMAN), Prof Dr Abdul Halim Ali, berkata fenomena penutupan
kelas KMK adalah 'tidak sihat'. Katanya, beliau maklum banyak kelas KMK di
sekolah-sekolah sekitar Melaka, Perak, Selangor dan Johor selain Kedah, Perlis, Terengganu, Negeri Sembilan
serta Kuala Lumpur semakin berkurangan ketika ini. Bagaimanapun di negeri
seperti Kelantan, Sabah, Sarawak masih banyak menawarkan mata pelajaran itu
pada peringkat menengah dan prauniversiti. Beliau yang juga Pensyarah di
Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berkata antara faktor yang biasa
disebut oleh pihak sekolah yang tidak menawarkan subjek KMK termasuklah murid
kurang minat membaca dan tiada guru opsyen.
"Apa yang berlaku, kurang
kefahaman dan maklumat mengenai kepentingan KMK dalam kalangan pentadbir dan
murid-murid di sekolah. Selain itu wujud persepsi salah terhadap KMK sebagai
mata pelajaran tidak bernilai komersial turut menyebabkan perkara ini berlaku. Ia
juga turut berpunca daripada pilihan mata pelajaran elektif yang banyak,
komposisi kelompok mata pelajaran elektif dihadkan atau ditutup," katanya.
Abdul Halim berkata subjek KMK di sekolah tidak seharusnya dilihat semata-mata
sebagai satu pelajaran elektif sebaliknya ia perlu dilihat sebagai wadah
pembinaan dan pengukuhan jati diri bangsa. Kesusasteraan Melayu katanya adalah
satu daripada juzuk khazanah peradaban bangsa Melayu. Ia adalah identiti bangsa
pemiliknya sekali gus menjadi sumber yang memperkenalkan adab dan kesantunan
serta kekayaan akal budi bangsa.
"Bagaimana bangsa Malaysia
pada masa hadapan dapat diterapkan nilai-nilai murni budi pekerti yang kaya
dalam sastera Melayu jika sekiranya mata pelajaran ini tidak ditawarkan kepada
murid-murid? Mengajar subjek ini juga bererti kita menyambung mata rangkai
warisan bangsa yang akan disambung generasi baharu kemudiannya," ujarnya. Katanya,
kurang minat membaca boleh ditangani dengan memperbanyakkan usaha itu oleh
sekolah dan ibu bapa. Katanya ia boleh bermula di tapak perhimpunan dengan
aktiviti NILAM, sesi pengajaran dan pembelajaran, sisipan jadual waktu untuk
murid membuat aktiviti bacaan di pusat sumber selain aktiviti kokurikulum dan
aktiviti lanjutan pada masa senggang dan cuti sekolah.
Tambah beliau lagi "Jika
Dasar 1 Murid 1 Sukan boleh dilaksanakan, apa susahnya melaksanakan aktiviti 1
murid 1 buku 1 hari 1 cerita ? "Guru adalah manusia kreatif dan inovatif.
Mereka tahu untuk merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti sesuai dengan
tahap murid dan kemudahan yang ada. Persoalannya, sejauh manakah sesuatu dasar
atau aktiviti itu dapat dilaksanakan secara konsisten dan berimpak. Pandangan
yang menyebut KMK kurang nilai ekonomi adalah salah dan tidak benar. Malah, ia
adalah pandangan yang semborono, tidak disokong dengan data yang boleh
dipertanggungjawabkan. Tambahnya, murid-murid di sekolah adalah kelompok
generasi akan datang yang bakal mengisi keperluan modal insan. Justeru, mereka
bukan sekadar perlu bijak menguasai teknologi maklumat tetapi juga mesti
bijaksana membuat pertimbangan moral, kemahiran sosial dan kemanusiaan yang
tinggi.
Sementara itu, Kementerian
Pendidikan (KPM) menerusi Unit Komunikasi Korporatnya ketika dihubungi
mengesahkan antara punca penutupan kelas KMK di sekolah disebabkan kurang
permintaan terhadap mata pelajaran itu dengan bilangan murid sedikit yang tidak
memenuhi syarat pembukaan kelas. "Selain itu, murid turut dilihat
cenderung kurang berminat mengambil mata pelajaran yang memerlukan banyak
pembacaan. "Berdasarkan statistik seramai 13,044 calon berdaftar bagi
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2022, berbanding 14,045 pada
2021, 14,972 (2020), 15,857 (2019) dan 16,394 (2018). "Sebagai rekod
terdapat seramai 29,544 murid membabitkan 1,132 buah kelas yang mengambil mata
pelajaran Kesusasteraan Bahasa Melayu di seluruh negara," katanya.
Menurut KPM, Kesusasteraan Melayu
(KM) adalah subjek elektif bagi Tingkatan Empat dan Lima dalam kurikulum
Kebangsaan turut dilaksanakan dalam Kurikulum Baharu Sekolah Menengah (KBSM)
sehingga 2019. Bagaimanapun mulai tahun 2020 bermula pelaksanaan Kurikulum
Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi murid Tingkatan Empat dan Lima, KM
dijenamakan semula dengan KMK bagi memugar kembali KM dengan beberapa
penambaikan yang mengikut situasi semasa. Walaupun terdapat penjenamaan semula
KM kepada KMK namun 'roh' KM masih kekal malah karya yang digunakan sewaktu KM
masih diguna pakai sehingga hari ini. Sesuai perkembangan semasa dan keperluan
RI 4.0, elemen baharu dalam pembelajaran Kesusasteraan Melayu perlu diterapkan.
Untuk itu mata pelajaran KM yang dijenamakan semula sebagai KMK menerapkan
elemen multimedia sastera dalam KMK bagi membantu usaha KPM melaksanakan
pendigitalan pendidikan.
Melalui elemen baharu ini, aspek
didik hibur juga diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) KMK dengan
KPM akan terus mempergiat usaha dalam menjelaskan kepentingan mata pelajaran
KMK dalam kalangan murid sekolah dan dalam masyarakat. Subjek itu akan
diteruskan dan tiada cadangan untuk memansuhkannya. Bagaimanapun ia bergantung
kepada tawaran mata pelajaran elektif peringkat sekolah masing-masing.
Anugerah Paling Indah Dalam Hidup Saya ialah Kejayaan Pelajar Saya, Sejarah paling Manis Apabila Melihat Mereka Berdikari dan Menjadi Warganegara Yang Berguna
Tahun
ini merupakan tahun ke-26 saya meraikan Hari Guru. Walau bagaimanapun jika
dikira dari tarikh saya menjadi Guru Sandaran (semasa menunggu keputusan STPM)
tahun ini merupakan tahun ke-30 saya meraikan hari guru. Saya mulakan hari ini
dengan membacakan al-fatihah untuk diri sebagai tanda kesyukuran. Nikmat dan
bahagia menjadi guru tidak dapat ceritakan satu persatu. Guru merupakan
cita-cita saya sejak mula mengenali erti kejayaan. Saya tidak mengimpikan
kerjaya lain walaupun saya tahu kehebatan sesuatu kerjaya kerana saya sedar,
anak orang miskin apatah lagi berasal dari kawasan pedalaman susah untuk pergi
jauh. Kekangan utama bukan keinginan dan keupayaan tetapi masalah kewangan.
Alhamdulillah,
setelah menjadi guru saya berjaya meningkatkan prestasi diri dalam bidang
akademik. Segala perbelanjaan untuk menampung kos pengajian saya menggunakan
gaji yang diperoleh daripada berkhidmat sebagai guru. Saya tidak pernah
mendabik dada tetapi saya amat bersyukur kerana penempatan pertama saya di
salah sebuah sekolah primer terkenal, iaitu SMK Sacred Heart telah memberikan
banyak peluang dan ruang untuk saya berkembang dalam bidang perguruan.
Sepanjang tempoh 19 tahun 5 bulan berkhidmat di SMK Sacred Heart saya pernah
mengajar Tingkatan Peralihan hingga Tingkatan Enam. Saya memegang pelbagai
jawatan atas kepercayaan pihak pentadbir daripada Guru Akademik Biasa hingga
menjadi Guru Kanan Mata Pelajaran.
Saya
menjawat jawatan Guru Cemerlang Bahasa Melayu dan dilantik menjadi Guru
Akademik Tingkatan Enam hingga menjadi Jurulatih Utama Bahasa Melayu STPM
Sarawak dan Malaysia. Saya terlibat dengan pelbagai tugas-tugas penting
berkaitan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Enam di peringkat
daerah, negeri, dan kebangsaan. Saya tidak pernah bermimpi dapat duduk semeja
bertukar-tukar pendapat dan pandangan dengan guru-guru dan pensyarah-pensyarah
hebat di Malaysia. Semua ini berlaku dalam hidup saya bagai mimpi tetapi inilah
realiti yang betul-betul saya alami. Benarlah kata orang, jika kita ikhlas
mendidik Allah pasti balas dengan nikmat hidup dalam pelbagai bentuk. Saya
tidak pernah lupa bersyukur kepada-Mu, ya Allah.
Pada bulan Mei 2016, saya dengan berat hati berpindah dari SMK Sacred Heart ke SMK Sibu Jaya yakni sekolah yang mempunyai populasi murid terbesar di daerah Sibu. Jumlah murid di SMK Sibu Jaya mencecah 3000 orang. Saya datang ke SMK Sibu Jaya bukan sebagai guru biasa tetapi menjawat jawatan Penolong Kanan Kokurikulum. Tugas ini merupakan satu lagi tugas yang saya tidak pernah saya duga. Yang mengenali saya memang tahu bahawa saya mempunyai kepakaran dalam mengajar. Jika terlibat dalam kokurikulum, saya hanya jurulatih untuk pertandingan pidato, bahas dan berbalas pantun. Pengalaman di SMK Sacred Heart saya gunakan sebaik mungkin untuk melakukan yang terbaik. Pada awalnya, saya takut dengan jawatan PKKK ini, saya takut saya akan gagal. Walau bagaimanapun, saya cekalkan hati dan bulatkan azam untuk menerima amanah ini dengan tangan terbuka.
Alhamdulillah,
saya dikelilingi oleh ramai guru yang hebat dan komited di SMK Sibu Jaya.
Mereka membantu saya dalam banyak perkara, begitu juga dengan Pengetua pada
masa itu Encik Yusri Azhar bin Takip. Beliau memang tahu saya bukan guru yang
mahir dalam kokurikulum tetapi beliau selalu membimbing dan memberikan
dorongan. Sepanjang 4 tahun di SMK Sibu Jaya, banyak jugalah kejayaan dalam
bidang kokurikulum sekolah peroleh. SMK Sibu Jaya merangkul Naib Johan Sekolah
Cemerlang Kokurikulum Peringkat Kebangsaan (Kategori Luar Bandar) pada tahun
2017 dan 2018.
Pada
tahun ke-3 di SMK Sibu Jaya, saya sudah mulai minat menjadi Penolong Kanan
Kokurikulum kerana tertarik dengan sokongan ramai guru. Siapa sangka siapa
menduga, semasa orang sibuk berkurung dek bahana Covid-19, saya menerima surat
untuk berpindah ke SMK Durin pada Mei 2020. Ketika itu, saya sedang mengikuti
Kursus NPQEL dan berhempas pulas menyiapkan tesis PHD. Perjalanan hidup saya
agak mencabar sewaktu mula-mula sampai ke SMK Durin kerana Pengetua, Encik Law
Tua Beng dilantik menjadi SiPartner di Pejabat Pendidikan Sibu. Saya pula
dilantik memangku jawatan Pengetua. Cabarannya hanya Tuhan yang tahu. Setiap
hari saya kena susun jadual sebagai peserta kursus NPQEL, pelajar PHD dan
pemangku Pengetua. Ada kalanya, saya tertidur keletihan apabila balik ke rumah.
Pengalaman ini semua amat berharga buat saya. Saya tulis di diari perjalanan
hidup kerana bukan semua guru akan melalui jalan seperti yang saya lalui.
Hari
ini, 16 Mei 2023, saya masih di SMK Durin. Saya bahagia kerana guru-guru yang
bekerja dengan saya amat hebat dan komited. Saya juga mempunyai pentadbir yang
amanah, rajin, dan berwawasan. Kami sentiasa seia sekata sehati sejiwa mendidik
dan mengasuh anak murid seramai 577 orang. Saya mohon agar saya terus diberikan
kesihatan dan kesejahteraan agar dapat terus berbakti hingga hari bersara. Saya
suka menjadi guru. Walaupun bukan jutawan di dunia tetapi saya yakin saham
akhirat yang saya kumpul cukup sebagai bekalan apabila sampai waktunya. Saya
bukanlah guru hebat. Saya tidak pernah ada anugerah. Akan tetapi, dengan rezeki
yang diperoleh saya tidak pernah lupa untuk terus belajar dan belajar agar
dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada nusa dan bangsa.Saya tidak impikan
anugerah kerana anugerah terindah yang saya dapat ialah kejayaan anak-anak
didik saya. Sejarah yang paling hebat ialah apabila saya berjaya mendidik hingga
mereka mampu berdiri di atas kaki sendiri dan menjadi insan yang berguna kepada
nusa dan bangsa.
16 April 2023
Pelajar Aktif Sukan dan Kokurikulum hingga Pelajaran Terabai, Adakah masa depan untuk mereka?
Saya telah lama memerhatikan perkara ini. Bagi pelajar yang cemerlang dalam Kurikulum, kokurikulum dan Sukan, masa hadapan mereka sememangnya cerah asalkan mereka tidak terpengaruh dengan perkara-perkara yang boleh merosakkan diri di kolej atau universiti. Oleh itu, saya masih ingat apabila melatih pelajar dalam Pertandingan Pidato Piala Diraja saya selalu nasihatkan pelajar yang saya latih itu supaya tidak mengabaikan akademik. Alhamdulillah, pelajar saya kebanyakannya berjaya. Salah seorang pelajar yang saya ingat bernama Chia Wei Lung yang beberapa kali memenangi Pertandingan Pidato Piala Diraja, keputusan SPM dia cemerlang dan melanjutkan pelajaran ke Institut Perguruan, kini menjadi seorang pendidik.
Yang saya selalu berasa kasihan ialah pelajar yang mewakili sekolah dalam sukan sehingga ke peringkat kebangsaan tetapi akademik mereka ini teruk. Apabila gagal dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka pun menerima nasib yang sama dengan pelajar yang tidak aktif. Kita seolah-olah tidak menyediakan saluran khas untuk golongan ini. Sekolah pula seolah-olah tidak menghargai jasa dan pengorbanan mereka. Saya tahu dan faham, kelemahan dalam bidang akademik merupakan kekangan utama untuk membantu mereka tetapi mereka telah menghabiskan banyak masa untuk mengikuti latihan sehingga masa untuk membetulkan kelemahan itu tertutup.
Bilangan pelajar yang cemerlang dalam kokurikulum dan sukan tetapi lemah dalam akademik ini tidaklah ramai. Walau bagaimanapun, saya yakin kumpulan ini ada di semua sekolah di Malaysia. Oleh itu, suatu alternatif wajar difikirkan bagi membantu golongan ini. Hakikatnya, kecemerlangan dalam sukan dan kokurikulum memang membantu seseorang untuk cemerlang dalam akdemik tetapi bagi pelajar yang memang sukar menerima pelajaran, mereka mungkin perlukan masa yang lebih untuk belajar. Barangkali mereka boleh diminta belajar setahun lagi di Tingkatan 5 bagi membolehkan mereka belajar semula dan menduduki peperiksaan SPM semula. Cara ini mungkin boleh membantu sekurang-kurangnya 40 hingga 60% dalam kalangan mereka yang terlibat. Nasihat saya kepada pelajar yang aktif dalam sukan, permainan, dan aktiviti kokurikulum yang lain di sekolah, jangan abaikan akademik. Anda sebenarnya pelajar yang bertuah kerana Allah kurniakan bakat yang tiada pada pelajar-pelajar yang lain. Pepatah Melayu menyatakan, belakang parang kalau diasah nescaya akan tajam, selemah-lemahnya anda dalam pelajaran jika anda rajin saya yakin kejayaan pasti digenggaman.
Jamah Lubah Amat Meh Datai, Pemujur Kitai Mensia Sigi Enda Sebaka, Asal Anang Putus Pengarap Ka Diri Empu Ketegal Alah Laban Penguji
Aku endang ari kelia sigi enda kala makit diri enggau sapa-sapa laban sigi nemu diri empu enda ulih bejalai kelalu jampat lalu belanda kelalu laju baka orang bukai. Pemujur orang aku ambi nyadi ka perangsang. Aku sigi nitih enggau gaya serta chara aku empu. Laban aku nemu nadai sapa-sapa orang ulih nyukung tauka nulung kitai mansang ka pengidup diri kelimpah ari kitai empu. Tang kitai mesti bisi juluk ati deka dijapai. Enti kitai nadai juluk ati, pemendar kitai gawa tauka kerja enda dipeda asil laban kitai nadai utai deka digagai. Taja mayuh orang madah orang tik mujur ia nyak sida ka pintar dalam perajar sekula. Nyak endang amat. Tang enti nuan enda mujur dalam perajar sekula ukai retinya nuan alu nadai peluang ngemansang ka diri.
Semua orang sigi bisi peluang nyepi pengidup tik senang tauka menyana, asal kitai enda lembau berfikir baka ni deka ngemutar ka penguji tik nuntung diri empu. Kitai mesti cukup pengarap ka diri empu. Kebuah pia, orang ka nadai pengarap ka diri empu sigi tusah deka mujur laban pengeran ati ia enda tetap, sari tok baka tok, pagila tau nyadi lain laban runding ia selalu malik ngagai penanggur. Ari nyak semua kerja ia enda nyadi lalu ngujung ka nadai asil tauka penguntung. Siti agi penemu aku enti kitai deka mujur dalam pengidup ia nyak anang guai manjung sebedau datai ba pala wong. Diato mensia kelalu gagit berkongsi cerita pemujur diri empu aba media sosial, tauka ngelangkung diri enggau macam-macam leka jako. Ambil ka banding, baru aja dikangau ka orang temuduga, udah bisi jako gerah enda menuku dikungsi ka aba media sosial ngambi orang mayuh nemu. Pengawa ka baka tok tau lubah digaga, nurun aja dulu. Udah mujur bulih baru tau dikunsi enggau bala mayuh. Pia mega kitai ka baru muka kedai tau ka pengawa bukai.
Tok semina penemu aku aja. Penemu tok nadai sangkut enggau sapa-sapa kelebih agi sida ka ngelala tauka damping pengidup enggau aku. Runding ka nulis penemu ka baka tok ngambi ka kitai sama-sama berunding ngemetul ka diri empu awak ka nyadi lebih manah agi ari ka udah. Pengidup kitai bepanggai aba atur kitai empu, baka ni kitai mai diri, baka ni kitai nyingkang ka kaki, baka ni kitai netapka juluk ati, sigi nentu ka pengidup kitai dudi ari. Jalai ditujah sigi enda sebaka, nalan digagai sigi enda sama. Kitai mesti selalu sedia enggau penguji ka datai laban sigi enda mudah nyadi orang ka mujur, penguji sigi mayuh, enti enda tan ati, kitai tau salah runding lalu nyurut ka diri.
09 April 2023
KISAH SEORANG IBU FITNAH GURU DI MEDIA SOSIAL, APAKAH TUJUANNYA MEMFITNAH GURU YANG MENDIDIK ANAKNYA SENDIRI?
Kisah seorang ibu memfitnah seorang guru di media sosial sehingga memaksa guru tersebut melaporkan perkara yang dituduh oleh Si Ibu kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKM). Saya teringat suatu ketika kisah seumpama ini berlaku di sekolah tempat saya mengajar. Bilangan pelajar sekolah saya agak ramai, iaitu melebihi 2500 orang. Apabila balik dari sekolah pelajar lelaki kebiasannya akan mengusik kawan, tumbuk menumbuk dan kejar mengejar di luar pintu pagar sekolah dalam perjalanan balik ke rumah. Perjalanan balik ke rumah akan melewati kawasan perumahan yang berdekatan dengan kawasan sekolah saya. Pada hari Jumaat, sesi persekolahan tamat pada pukul 11.30 pagi. Situasi akan menjadi kelam kabut apabila pelajar sesi pagi masuk dan pelajar sesi petang keluar. Karenah pelajar memang memeningkan kepala kerana teruja hendak menikmati hujung minggu. Alkisah, seorang ibu sempat merakamkan sekumpulan pelajar lelaki yang sedang bergurau senda seolah-olah berlaku suatu pergaduhan. Video itu disebarkan olehnya di Facebook dengan tajuk yang berbunyi, "Samseng SMK XYZ sedang bergaduh". Petangnya, kami terkejut apabila dimaklumkan oleh rakan-rakan dan orang awam tentang kes itu. Apabila disiasat, puncanya dari seorang ibu yang kemaruk berkongsi cerita di media sosial tanpa memikirkan akibatnya. Bayangkan, berita itu keluar di saluran TV1. Ya Allah, saya dan barisan pentadbir, guru disiplin dan beberapa orang guru terpaksa bersekang mata menyelesaikan kes tersebut.
Ibu yang menyebarkan kes itu memang dikenakan tindakan oleh pihak polis walaupun dia menafikan tiada niat buruk berkongsi berita sebegitu. Perkara ini mengajar kita supaya berhati-hati apabila mengambil video atau gambar tentang orang lain dan menyebarkannya di media sosial tanpa kita mengetahui hujung pangkal cerita sebenar. Perkara tersebut bukan sahaja mendatangkan kesusahan kepada kita sendiri malah orang yang tidak terlibat pun terpaksa berkorban masa berharga untuk menyelesaikan masalah kita. Pada pandangan saya, segelintir suri rumah yang kemaruk berkongsi berita di media sosial seperti WhatsApp, TikTok dan Facebook ini mungkin memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada suami dan ahli keluarga yang lain. Apabila bersendirian di rumah, tangan tidak berhenti-henti daripada memberikan komen, membalas chat dan membaca berita-berita tentang ragam manusia di media sosial, lama kelamaan mereka semakin berani untuk memberikan pendapat atau berkongsi berita yang akhirnya memakan diri sendiri. Barangkali inilah situasi yang dialami oleh si ibu yang berkongsi cerita paksu kononnya si guru makan di dalam kelas semasa bulan Ramadan. Bagaimanakah si ibu boleh berfikir sampai ke tahap itu untuk memburuk-burukkan guru yang mendidik dan mengasuh anaknya sendiri?
Perasaan hormat terhadap orang lain semakin terhakis dari jiwa umat manusia pada zaman globalisasi ini. Semua orang berlumba-lumba untuk menunjukkan bahawa dirinya yang terbaik dalam kalangan penduduk bumi ini. Mereka akan jadi bongkak dan riak apabila sesuatu yang dikongsikan di media sosial mendapat ribuan tanda suka dan komen yang memuji atau menyokong tindakannya. Golongan ini tidak segan-segan mengadakan sesi siaran langsung untuk mengumpul pengikut agar mereka dikenali oleh sebahagian besar penduduk bumi. Walau bagaimanapun, amatlah tidak wajar andai kita sengaja mereka-reka cerita untuk menghasut orang lain supaya membenci orang yang kita tidak suka. Golongan guru mempunyai risiko untuk difitnah memandangkan mereka amat dekat dengan ibu bapa dan pelajar. Saya amat rimas apabila ada ibu bapa dipanggil ke sekolah untuk membincangkan hal akademik dan disiplin anak sanggup merakamkan perbualan atau membuat video dalam sesi itu. Saya akan tamatkan perbincangan itu kalau saya tahu. Hal ini dikatakan demikian kerana hal-hal pendidikan ini kurang manis dikongsikan di media sosial. Jika ada guru yang berkongsi video mengenai perlakuan anak saya tanpa kebenaran saya akan ambil tindakan terhadap guru tersebut. Begitu juga dengan ibu bapa yang melakukan perkara yang sama.
Tugas guru mendidik pada zaman ini tidak mudah dengan sikap segelintir manusia yang memandai-mandai menunjukkan yang betul dan yang salah. Seharusnya, kita sebagai ibu bapa haruslah berterima kasih dan memberikan sokongan terhadap guru. Walaupun kita berpangkat, berharta, dan jutawan tunjukkanlah rasa syukur kerana ada guru yang membantu mendidik dan mengasuh anak kita hingga menjadi insan yang berguna suatu hari nanti. Perbuatan sengaja memfitnah dan menceritakan tentang baik buruk seseorang guru hendaklah dihentikan. Jika betul guru itu melakukan kesilapan atau kesalahan, kita sebagai ibu bapa harus menggunakan saluran yang betul. Baik guru atau ibu bapa perlulah matang dan rasional jika mahu berkongsi sesuatu berita atau video di media sosial. Tindakan melulu tanpa berfikir panjang boleh mendatangkan masalah yang menuntut masa dan komitmen untuk menyelesaikannya. Saya terlalu takut melihat perkongsian tentang ragam dan karenah murid tahun 1 di media sosial walaupun perkongsian itu dengan izin atau dikongsikan oleh ibu bapa murid itu sendiri. Walau bagaimanapun, siapalah orang seperti saya untuk melarang orang daripada melakukan semua itu? Oleh itu, jauh di sudut hati saya mendoakan agar mereka dihindari daripada masalah akibat daripada perkongsian sebegitu. Ingatlah, hari ini kita mungkin bangga dan suka kerana dikagumi oleh jutaan orang yang membaca dan menonton perkongsian kita, jangan pula esok kita menyesalinya kerana sesal selalu datang kemudian.
08 April 2023
SEJARAH TERCIPTA MINGGU PERTAMA SESI PERSEKOLAHAN YANG MENYENANGKAN
Pemimpin harus berani membawa perubahan ke arah kebaikan. Itulah gambaran yang saya lihat apabila satu demi satu pembaharuan dalam bidang pendidikan disabdakan oleh Yang Berhormat Puan Fadhlina Sidek sejak beliau menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia pada 3 Disember 2022. Alhamdulillah, akhirnya Malaysia mempunyai seorang menteri yang mampu berfikir ke hadapan terutama dalam hal mengurangkan tekanan dan beban guru. Pada ketika ini, segala tindakan beliau untuk memadanikan warga pendidik dan pelajar di segenap empat penjuru negara amatlah baik. Awalnya, semasa beliau dilantik menjadi Menteri Pendidikan saya melayari Internet untuk mengenali beliau dengan lebih terperinci.
Saya selalu tertarik dengan penggunaan bahasa Melayu beliau yang sungguh hebat. Saya sering berkongsi semua kosa kata yang digunapakai dalam ucapan dan temu bual yang melibatkan beliau. Kemahiran berbahasa Menteri Pendidikan pada kali ini memang antara yang terbaik, apabila beliau berucap dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu, sedap didengar dan mudah difahami. Beliau mampu mengeluarkan pendapat secara spontan dengan mengeluarkan idea yang tersusun. Apabila beliau mengumumkan tujuh perkara yang akan dilaksanakan dalam sesi persekolahan 2023/2024 baru-baru ini saya menarik nafas lega. Inilah Menteri Pendidikan Malaysia yang betul-betul amanah, ikhlas, jujur dan berkarisma dalam menunaikan tanggungjawab kepada nusa dan bangsa.
Bertahun-tahun warga guru bertungkus lumus bersedia pada hari pertama persekolahan kerana sekumpulan pegawai akan datang ke sekolah untuk melihat PdP berlangsung. Oleh sebab itu, masa cuti guru jadi singkat kerana dipanggil datang ke sekolah untuk membuat persediaan. Minggu pertama persekolahan memang sepatutnya minggu bersedia untuk belajar ibarat kita bersenam, aktiviti memanaskan badan harus dilakukan terlebih dahulu. Kalau tidak, muka guru sentiasa moyok dan keletihan kerana terus mengajar, kalau tidak mengajar mereka terpaksa berhadapan dengan teguran. Minggu ini sesi persekolahan amat berbeza, sesi suai kenal antara warga sekolah dan ibu bapa begitu menceriakan suasana. Keadaannya amat manis dan indah.
Guru-guru pula kelihatan amat bersemangat menyediakan diri untuk memulakan sesi PdP pada minggu hadapan. Pelbagai aktiviti diadakan seperti aerobik beramai-ramai, surat khas untuk guru, Tak Kenal Maka Tak Cinta, Berat Sama Dipikul Ringan Sama Dijinjing (Istilah Aktiviti Gotong-royong) dan lain-lain. Suasana menjadi lebih kondusif dan damai. Saya saksikan pelajar dan guru bersatu dan berpadu menceriakan kelas masing-masing seindah yang mereka mampu dan mahu. Kreativiti mereka terserlah. Yang paling utama, ikatan kasih antara mereka terjalin sudah. Jadi, sesi persekolahan pada minggu hadapan akan menjadi lebih bermakna.
Semua Menteri Pendidikan sejak dahulu selalu berjanji meringankan beban guru tetapi yang berlaku sebaliknya. Beban guru kian bertambah, resah dan tekanan guru semakin meningkat. Mereka bukan tidak hebat tetapi mereka mungkin tidak menghayati dengan lebih mendalam. Biarpun terlalu awal untuk memuji Puan Fadhlina Sidek namun saya percaya sedikit sebanyak warga guru mulai mengagumi beliau seperti saya. Warga guru memerlukan menteri yang benar-benar boleh membawa pembaharuan dalam dunia pendidikan negara kerana maju mundur negara pada masa hadapan bergantung kepada generasi yang kita bentuk akal dan mindanya di semua sekolah pada hari ini. Guru seperti saya bukan pembuat dasar, kami merupakan yang sedia berkhidmat walaupun kami tahu dasar itu akan secara tidak langsung menaikkan bacaan darah tinggi kami. Yang Berhormat Puan Fadhlina Sidek, saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk puan dan pasukan di Kementerian Pendidikan. Insya-Allah, dalam tempoh lima tahun akan nampaklah hasilnya.









