11 Disember 2018

KEYAKINAN TERHADAP BAHASA MELAYU PERLU DIPERKUKUH

SUMBER: BERITA HARIAN ONLINE
TARIKH:3 DISEMBER 2018
PENULIS: SITI HALIZA YUSOP

Bahasa Iceland masih wujud meskipun dikatakan akan pupus dua abad yang lalu, tidaklah salah untuk mengatakan bahasa Melayu juga akan terus bertahan dalam menghadapi gelombang besar bahasa Inggeris ketika ini. Walau bagaimanapun, perkara yang mungkin lebih sukar di sebalik cabaran itu ialah ‘melayani’ krisis keyakinan yang nampaknya kuat berakar dalam diri sebahagian masyarakat sehingga ada menganggap bahasa Melayu bukan bahasa ilmu. Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Supyan Hussin, menyifatkan mereka yang menganggap bahasa Melayu bukan bahasa ilmu sebagai tidak berpijak pada bumi nyata. Beliau berkata, sebagai bahasa Malayo-Polinesia merentasi sempadan negara ini, bahasa Melayu yang dituturkan lebih 330 juta penduduk di seluruh Nusantara sudah lama digunakan untuk menyampaikan pelbagai ilmu melalui buku dan kitab.

Di negara ini, peranan itu terutamanya berlaku ketika bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar sepenuhnya di sekolah dan di universiti awam (UA) menyebabkan buku ilmiah, jurnal serta kuliah dan pengajaran disampaikan dalam bahasa Melayu. Sejak itu, berlaku pertambahan istilah baharu dalam daftar leksikon kamus dan bilangan buku ilmiah dalam bahasa Melayu daripada pelbagai bidang termasuk sains, teknologi, perubatan, seni bina serta kejuruteraan.

BAHASA MELAYU BAHASA ILMU

Menurut Prof Dr Supyan Hussin lagi, kehadiran buku ilmiah dan makalah dalam bahasa Melayu sebagai sumber ilmu ini turut membolehkan bahasa ini terus berkembang sebagai bahasa ilmu apabila semakin ramai sarjana Eropah, Amerika, dan Australia menguasai bahasa ini demi mendalami ilmu alam Melayu.  Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bahasa Iceland yang terus hidup di sebalik tekanan bahasa Inggeris yang dibawa teknologi moden, sama seperti apa yang berlaku kepada bahasa Melayu kini. Dituturkan 350,000 penduduk kepulauan Atlantik Utara, bahasa Iceland nampaknya terus hidup meskipun 200 tahun lalu ia diramalkan sesetengah pihak sebagai akan mati dan terus pupus. Ramalan kepupusan bahasa Iceland itu sebahagiannya berpunca daripada ketiadaan perancangan pemerintahnya dalam memulihara kelangsungan dan kekuatan bahasa sebagai usaha kelestarian bahasanya.

Usaha konkrit untuk memulihara bahasa Iceland itu, hanya disedari selepas berpuluh-puluh tahun dan kewujudan badan penggerak ala Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di negara itu membantu Iceland untuk melihat semula kelangsungan bahasa mereka. Polisi bahasa, peruntukan wang untuk penggalakan bahasa, insentif dan penguatkuasaan bahasa, menjadikan bahasa Iceland kembali subur serta terus dilestari malah kini menjadi bahasa kebanggaan rakyat mereka. Oleh itu, pemerkasaan DBP perlu dilakukan termasuk melalui peruntukan belanjawan dan undang-undang bertujuan menguatkuasakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi negara. Perkara yang paling penting, kita juga memerlukan iltizam politik oleh pemimpin negara untuk memartabatkan bahasa kebangsaan di negara sendiri, seperti berlaku dalam kes bahasa Iceland.

KERAJAAN BAHARU PERLU TEGAS

Prof Dr Supyan Hussin mengatakan antara cabaran terbesar bahasa Melayu pada ketika ini ialah untuk memastikan masyarakat terus berpegang kepada Perlembagaan terutamanya Akta 152 yang menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara. Kegagalan berpegang kepada akta ini termasuk Dasar Bahasa Kebangsaan akan memberi kesan yang sangat buruk kepada pembangunan negara bangsa. Kegagalan rakyat termasuk pemimpin parti politik untuk berpegang kepada Akta 152 dan Dasar Bahasa Kebangsaan akan menyebabkan berlakunya kecelaruan dalam pembangunan negara bangsa. Di sinilah pentingnya kerajaan baharu untuk tegas dalam mempertahankan Akta 152 dan Dasar Kebangsaan dalam sebarang urusan rasmi negara. Perlembagaan tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris dan tidak menghalang rakyat mahu mengembangkan bahasa ibunda mereka tetapi bukan untuk menggantikan bahasa kebangsaan dengan bahasa lain.

APAKAH MAKNA ICERD?


SUMBER : UTUSAN ONLINE
TARIKH: 4 NOVEMBER 2018
PENULIS ARTIKEL: SHAMRAHAYU A. AZIZ
Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination, (ICERD) ialah perjanjian antarabangsa yang bertujuan untuk menghapuskan semua bentuk diskriminasi kaum. Ia telah dibuka untuk ditanda tangani dan seterusnya disahkan oleh negara-negara sejak 21 Disember 1965. Sehingga kini, 15 buah negara masih belum menandatangani dan membuat ratifikasinya, antaranya ialah Malaysia. Ratifikasi (ratification) dalam undang-undang antarabangsa bermaksud suatu negara menyatakan persetujuannya untuk terikat kepada suatu perjanjian jika pihak-pihak tersebut berhasrat untuk menunjukkan persetujuan mereka untuk terikat walaupun tidak dipaksa untuk mengikat. Perbincangan tentang ICERD memerlukan kefahaman pemakaian undang-undang antarabangsa dalam sistem perundangan Malaysia. Terdapat dua teori penerimaan dan pemakaian undang-undang antarabangsa dalam suatu negara; (1) Doktrin Diperbadankan (Doctrine of Incorporation) dan (2) Doktrin Transformasi (Doctrine of Transformation).

Menurut ‘Doktrin Diperbadankan’, undang-undang antarabangsa secara automatik dimasukkan dalam undang-undang domestik setelah ia diratifikasi sehingga undang-undang tempatan dan undang-undang antarabangsa menjadi satu, sama dan serupa (monism). “Doktrin Transformasi” pula bermaksud undang-undang antarabangsa tidak secara automatik menjadi undang-undang tempatan. Dalam teori transformasi ini, undang-undang antarabangsa dan undang-undang tempatan adalah dua entiti berbeza dan berasingan (dualism). Penerimaan undang-undang antarabangsa dalam sistem perundangan negara hanya boleh dibuat melalui proses perundangan negara. Malaysia menerima doktrin transformasi kerana tiada peruntukan Perlembagaan yang menetapkan penerimaan undang-undang antarabangsa secara automatik. Oleh itu, semua instrumen yang menjadi sumber undang-undang antarabangsa, seperti Triti, Perjanjian dan Konvensyen tidak akan menjadi undang-undang negara kita sehinggalah kita meminda atau membuat undang-undang tempatan berkaitannya.

Perkara 74 dan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memberikan kesan bahawa kuasa untuk membuat atau menandatangi dan meratifikasi triti atau perjanjian di peringkat antarabangsa adalah terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan. Ia juga menunjukkan bahawa Badan Eksekutif mempunyai kuasa untuk membuat perjanjian antarabangsa atau menandatangani apa-apa perjanjian antarabangsa, manakala kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang antarabangsa tersebut adalah terletak hak kepada Parlimen. Oleh itu, bagi membolehkan suatu perjanjian antarabangsa itu berkuat kuasa Parlimen hendaklah meluluskan undang-undang bagi menjelmakan atau membuat pernyataan khusus tentang perkara-perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian tersebut bagi tujuan pelaksanaanya. Sekiranya tiada, maka instrumen antarabangsa yang telah dipersetujui oleh Badan Eksekutif tidak akan mengikat atau tidak boleh diamalkan atau tidak boleh diterima di mahkamah (prinsip berbeza dalam kes melibatkan Undang-Undang Adat Antarabangsa).

Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan menyatakan, antara lain bermaksud, sesuatu undang-undang yang bertujuan melaksanakan perjanjian antarabangsa yang dipersetujui Malaysia di peringkat antarabangsa tidak boleh dibuat sekiranya undang-undang tersebut melibatkan hal-hal berkaitan hukum Syarak, adat orang Melayu atau undang-undang atau adat anak negeri Sabah dan Sarawak. Sementara itu, sesuatu rang undang-undang yang berkaitan dengan triti, perjanjian dan konvensyen yang ditandatangani oleh Persekutuan tidak boleh diperkenalkan dalam Parlimen tanpa rundingan dengan kerajaan mana-mana Negeri dalam Persekutuan. Peruntukan ini walau bagaimanapun masih belum ditafsirkan oleh mana-mana mahkamah di negara ini.

Bercanggah

Kesimpulannya, amalan Malaysia dalam penerimaan triti atau perjanjian antarabangsa adalah berdasarkan kepada ‘doktrin transformasi’. Walaupun Kerajaan (Eksekutif) telah mengesahkan perjanjian antarabangsa, tetapi ia tidak mempunyai kesan undang-undang dalam negara kecuali Parlimen telah meluluskan undang-undang untuk menguatkuasakan undang-undang bagi tujuan untuk perjanjian antarabangsa tersebut. Inilah hujah yang sering digunakan oleh pihak yang menyokong cadangan meratifikasi ICERD. Hujah lain yang kelihatan dalam bicara berkaitan ICERD ialah, sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk menandatangani dan meratifikasi sesebuah Perjanjian Antarabangsa, Kerajaan boleh meletakkan reservation atau pengecualian; atau kerajaan boleh membuat interpretative declaration.

Maksudnya kerajaan tidak perlu menerima keseluruhan perjanjian tersebut, tetapi boleh meletakkan pengecualian-pengecualian tentang perkara-perkara yang didapati bercanggah dengan undang-undang atau dasar negara, termasuk Perlembagaan Persekutuan, Akta atau Enakmen. Atau, kerajaan boleh menyatakan definisi tersendiri kepada mana-mana peruntukan dalam perjanjian antarabangsa. (Lihat Guide to Practice on Reservations to Treaties 2011). Namun begitu, menurut Guide to Practice on Reservations to Treaties 2011 pengecualian kepada suatu ratifikasi perjanjian antarabangsa akan hanya diterima sekiranya ia tidak ditolak oleh negara-negara lain dan antara alasan yang boleh diberikan oleh negara-negara lain ialah, pengecualian tersebut menyebabkan objektif suatu perjanjian tersebut tidak tercapai. Pengecualian tersebut juga hendakalh diterima oleh 2/3 daripada negara-negara lain (Perkara 20 ICERD).

Dalam kes ICERD, sekiranya kerajaan mahu menandatangani dan meratifikasi perjanjian ini, perincian-perincian tentang pengecualian tersebut perlu didedahkan dan dibahaskan dengan matang supaya ia dapat difahami dan diterima oleh rakyat terbanyak. Selain itu, PBB mempunyai mekanisme tertentu untuk pelaksanaan perjanjian-perjanjian yang ditandatangani. Mekanisme ini diwujudkan bagi memastikan setiap perjanjian yang diratifikasi oleh negara-negara mencapai objektifnya. Dalam kes ICERD, ia menyatakan dengan jelas bahawa suatu Jawatankuasa, yang dikenali sebagai Committee on the Elimination of Racial Discrimination (Perkara 8 ICERD). Walaupun mekanisme PBB ini umumnya tidak begitu cekap dalam amalannya, tetapi, ia mempunyai sisten dan kekuatan tersendiri.Perkara pokok yang perlu dibincangkan dalam kes cadangan kerajaan untuk menandatangani dan meratifikasi ICERD ini ialah, adakah keistimewaan-keistimewaan yang diberikan kepada Melayu dan Anak Negeri serta kepentingan sah komuniti-komuniti lain seperti yang ada dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah berbentuk diskriminasi?

Sekiranya ia adalah diskriminasi maka kesannya nanti ialah, PBB boleh menggunakan mekanismenya untuk meletakkan tekanan ke atas negara kita untuk mengubah apa jua undang-undang serta polisi-polisi berkaitan. Namun begitu,  sekiranya Perkara 153 yang menjamin keistimewaan dan kepentingan sah tersebut adalah suatu special measures yang satu-satunya bertujuan “securing adequate advancement of certain racial or ethnic group or individuals…in order to ensure …(their) enjoyment or exercise of human rights and fundamental freedom”, ia bukanlah suatu diskriminasi perkauman. Sekiranya begitu, ia masih boleh terus diamalkan negara sehingga tujuan tersebut telah dicapai. Sekiranya special measures tersebut telah mencapai objektifnya, ia hendaklah dimansuhkan untuk mencapai objektif ICERD (Perkara 1(4) ICERD). Ini adalah asas kepada mereka yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan meratifikasi ICERD.

Pandangan ini mempunyai asas yang kukuh untuk menangani kesan negatif ICERD ke atas sensitiviti bangsa Melayu untuk jangkamasa panjang kepada ratifikasi ICERD. Oleh kerana ICERD ini masih diragui tentang kesan jangka panjang ke atas nilai dan identiti bangsa, perbincangan dan wacana intelektual perlu diteruskan dalam khalayak warga Malaysia sebelum ia dibawakan ke Parlimen untuk dibincangkan oleh para elit politik. Malaysia tidak perlu terburu-buru menandatangani ICERD dan kita tidak perlu beremosi, menuding jari dan mengambil kepentigan kepartian, bincanglah dengan waras dan penuh wibawa. Ini soal nilai dan identiti bangsa dan negara kita yang berdaulat.

08 Disember 2018

PENGETUA MESTI BUANG SIKAP JAGA NAMA BAIK SEKOLAH DAN LINDUNGI PENJENAYAH.


SUMBER : UTUSAN MALAYSIA ONLINE
TARIKH : 15 NOVEMBER 2018


Guru besar atau pengetua sekolah perlu membuang sikap menjaga nama baik atau imej sekolah sehingga melindungi perlakuan jenayah termasuk seksual yang melibatkan warga sekolah, kata seorang penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar.  Menurut beliau, sikap sedemikian tidak membantu mana-mana pihak malah pelaku berkecenderungan mengulangi jenayahnya jika tindakan yang diambil hanya ditukarkan sekolah. Guru besar atau pengetua kena amanah apabila terima laporan. Perlu jalankan tanggungjawab tanpa kompromi. Apabila terima laporan daripada pelajar atau ibu bapa, terus lapor kepada pihak polis bukannya melindungi pesalah demi nak jaga nama atau imej sekolah.

Budaya ini beri peluang bukan pengajaran kepada pesalah. Jika dibiar atau kenakan tindakan tidak tegas seperti kaunseling sahaja, akan jadi serius selain jatuhkan nama baik warga pendidik. Akhbar mengulas pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai tawaran hubungan seks kepada guru sebagai habuan bagi mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang. Akhbar yang juga Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi Universiti HELP, berkata situasi itu tidak boleh dipandang remeh, malah pelajar yang menjadi mangsa juga harus berani tampil membuat laporan dan tidak menyembunyikan perkara itu.

Pelajar perlu jaga etika pemakaian, percakapan serta perlakuan yang boleh mendorong berlakunya jenayah seksual antara pelajar dan warga pendidik," katanya memetik tiga faktor mengundang jenayah hasil penyelidikan Cohen (amp) Felson iaitu 'motivated offender, suitable victim and absence of a capable guardian' (menggalakkan pelaku, mangsa sesuai dan ketiadaan penjaga berkemampuan). Presiden Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim pula berkata kes sedemikian tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan warga pendidik yang sememangnya dipandang mulia oleh masyarakat sejak dahulu lagi.

Beliau mahu tindakan lebih tegas dan hukuman setimpal dikenakan ke atas pelaku sekiranya didapati bersalah selain menggesa ibu bapa agar menjadi pendengar setia kepada anak masing-masing dan bukan sekadar memastikan hanya memberi pendidikan dan wang ringgit sahaja. Adalah menjadi kewajipan orang dewasa untuk lapor sekiranya menerima aduan. Warga pendidik yang ada sikap atau terima habuan seks tidak perlu ada dalam industri," katanya. Berkongsi mengenai Akta Kanak-Kanak 2001, Noor Azimah berkata individu yang mengambil sikap 'berpeluk tubuh' daripada melaporkan sebarang kes penderaan kanak-kanak juga berdepan hukuman kerana mereka wajib melindungi golongan itu. Mengikut Seksyen 27, 28 dan 29 Akta Kanak-Kanak Pindaan 2016, tiga pihak iaitu pengamal perubatan, anggota keluarga dan pengasuh, masing-masing wajib melaporkan sebarang kes penderaan. Sekiranya gagal, hukuman penjara dan denda boleh dikenakan terhadap mereka.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia Kamarozaman Abd Razak menyifatkan perlakuan itu sebagai mencemari profesion guru yang selama ini sinonim dengan pepatah 'guru ibarat lilin, membakar diri menerangi orang lain'. "Perkara seumpama ini tidak patut berlaku kerana ia secara langsung menjadi titik pencemaran keperibadian guru itu sendiri. Sedikit sebanyak menghakis kepercayaan dan penghormatan masyarakat terhadap warga pendidik," katanya. Beliau berharap warga pendidik menjaga nama baik profesion selain merealisasikan saranan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang mahu melihat sekolah sebagai tempat yang selamat dan selesa untuk pelajar dan guru.



GURU MALAYSIA PALING BERDEDIKASI DI DUNIA. TAHNIAH



Bancian Pendidikan Global yang pertama kali diadakan mendapati guru di Malaysia paling menyukai pekerjaan mereka dan antara golongan pendidik di dunia paling berdedikasi bagi memastikan pelajar mereka mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Kumpulan pendidikan dari Penilaian Pendidikan Antarabangsa Universiti Cambridge yang menjalankan bancian itu berkata, sebanyak 70 peratus guru di negara ini merasakan tugas mendidik mempunyai ganjaran tersendiri. Bancian juga mendapati sebanyak tiga daripada empat guru di Malaysia mengadakan kelas tambahan untuk membantu murid mereka mencapai keputusan peperiksaan yang baik. Keputusan peperiksaan dicapai oleh murid-murid di Malaysia juga yang paling tinggi dicapai antara negara-negara terlibat dalam bancian ini. Bancian itu melihat keadaan persekolahan pelajar berumur antara 12 hingga 19 tahun dan guru di 10 negara termasuk Argentina, China, India, Indonesia, Pakistan, Sepanyol, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat. Sebanyak 477 pelajar dan 634 guru di negara ini terlibat dalam bancian tersebut.




BUDAK BERUMUR 8 TAHUN RAIH PENDAPATAN RM91.7 JUTA SETAHUN



Walaupun baru berusia lapan tahun, namun Ryan mampu menjadi pencipta kandungan video YouTube yang meraih pendapatan tertinggi daripada laman terbabit. BBC yang memetik laporan majalah Forbes sebagai berkata, Ryan yang mewujudkan saluran Ryan ToysReview memperoleh pendapatan sebanyak AS$22 juta (RM91.7 juta) sepanjang tahun 2017. Ini menjadikan Ryan muncul sebagai penerima bayaran ter­tinggi YouTube selepas berada di tempat kelapan. Pendapatan Ryan, tidak termasuk cukai dan bayaran kepada ejen serta peguam, telah meningkat dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Ketika ditanya oleh saluran televisyen NBC mengapa kanak-kanak suka melihat videonya, Ryan menjawab: “Kerana saya menghiburkan dan kelakar.”

Sejak salurannya diwujudkan oleh ibu bapanya pada Mac 2015, sebanyak 26 bilion tontonan telah dicatat dan Ryan kini mempunyai 17.3 juta pengikut di laman tersebut. Menurut Forbes, AS$1 juta (RM4.1 juta) daripada pendapatan keseluruhannya diperoleh menerusi iklan dan selebihnya menerusi tajaan pelbagai pihak. Walmart mula menjual pelbagai barangan eks­klusif milik Ryan seperti pakaian dan patung permainan dikenali sebagai Ryan’s World. Hasil jualan barangan eks­klusif milik Ryan bersama Walmart itu akan meningkatkan lagi jumlah pendapatannya pada tahun 2019. Namun begitu, 15 peratus daripada jumlah pendapatannya akan dimasukkan ke dalam bank akaun, yang hanya boleh diakses ketika Ryan sudah dewasa.

22 November 2018

RENCANA : SAMPAH BUKAN HARTA PUSAKA ANAK CUCU


Akhbar Utusan Online (21 November 2018)

Penulis :
Nora Farina Mohd. Halim
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.

Isu sampah ini bukanlah satu perkara baharu dan bukan sahaja tertumpu di negara kita. Isu sampah telah menjadi satu isu global. Pembuangan sampah secara berleluasa ini telah memberikan impak besar kepada alam sekitar. Hasil sisa bua­ngan ini bertambah dari setahun ke setahun tetapi kadar keseda­ran tentang penjagaan alam sekitar masih di tahap lama. Umum mengetahui kesan utama daripada pembuangan sampah secara berleluasa ini memberi impak yang besar kepada alam sekitar kerana menyebabkan pencemaran alam. Pencemaran ini secara tidak langsung menjadi satu punca kepada masalah ketidakseimbangan ekosistem. Kesan kepada ketidakseimbangan ekosistem ini menyebabkan kualiti udara tidak sihat, keadaan cuaca tidak menentu, pemanasan global dan lain-lain lagi.

Di negara ini, penyumbang kepada pembuangan sampah lebih tertumpu di kawasan bandar berbanding di kawasan luar bandar. Ini disebabkan oleh cara hidup penduduk di kawasan bandar yang lebih moden. Sebagai contoh, disebabkan kesibukan ibu bapa mencari rezeki untuk keluarga, mereka cenderung untuk membeli makanan dari luar yang rata-rata menggunakan plastik atau kertas untuk membungkus makanan. Kebanyakan masyarakat di Malaysia sering membuang sampah merata-rata. Ekoran itu kita dapat melihat sampah di mana-mana sahaja tidak kira di rumah, pejabat, kedai, taman rekreasi dan seumpamanya. Hal ini terjadi kerana kurangnya rasa tanggungjawab sesetengah masyarakat terhadap alam sekitar.

Jika ini dibiarkan secara berte­rusan, ia akan menyebabkan kea­daan sekeliling berbau dan akan menarik haiwan perosak seperti lalat dan tikus. Secara tidak langsung boleh membawa penyakit seperti taun. Selain itu, takungan air di kawasan pembuangan sampah boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Keadaan ini akan menjadi punca penyakit demam denggi yang boleh mengundang maut kepada manusia. Selain impak kepada alam sekitar, salah satu daripada kesan pembuangan sampah sarap merata-rata boleh menyebabkan keindahan satu-satu kawasan itu terjejas. Ia juga boleh memberi gambaran bahawa penduduk di kawasan berkenaan tidak menjaga kebersihan walaupun hanya dilakukan oleh sebahagian daripada mereka. Reputasi sesebuah negara juga boleh tercemar disebabkan oleh masalah pembuangan sampah sarap secara berleluasa.

Pelbagai langkah telah diambil untuk mengatasi masalah pembuangan sampah ini antaranya memperkenalkan konsep reduce, reuse and recycle (3R) iaitu meminimumkan atau me­ngurangkan, gunakan semula dan kitar semula sampah sarap. Contoh langkah yang diambil sekarang adalah seperti ‘hari tiada beg plastik’ di beberapa pasar raya bagi mengurangkan kadar pembuangan sampah jenis plastik. Budaya hijau turut ditekankan yang meliputi pelbagai bidang seperti bangunan hijau, rekaan hijau, pemasaran hijau dan lain-lain lagi bagi melestarikan alam sekitar. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing bagi menjamin kesejahteraan hidup masa kini serta generasi akan datang. Kerjasama daripada pelbagai pihak ini diharapkan dapat mengatasi masalah berkenaan hingga ke akar umbi.

14 November 2017

CATATAN CIKGU ZUL: AWAK TAK ADA MASA ATAU MASA TAK ADA AWAK?


Demi masa sesungguhnya manusia kerugian
Melainkan yang beriman dan beramal soleh
Demi masa sesungguhnya manusia kerugian
Melainkan nasihat kepada kebenaran dan kesabaran

Gunakan kesempatan yang masih diberi
Moga kita takkan menyesal
Masa usia kita jangan disiakan
Kerana ia tak akan kembali

Bait-bait lirik lagu “Demi Masa” nyanyian Kumpulan Raihan ini sentiasa mengingatkan kita supaya menghargai masa. Manusia sentiasa berkonflik dengan masa. Konflik itu tidak pernah selesai kerana manusia lebih suka membazir masa sehingga kenikmatan hidup mereka ditarik sedikit demi sedikit sampai mereka tiada peluang untuk membaiki segala kekhilafan diri. Kita sering mendengar ungkapan “Saya tak ada masa” apabila kita meminta maklumbalas terhadap sesuatu yang telah lama dimaklumkan kepadanya. Mereka akan menceritakan kesibukan yang selalu merantai hidup mereka seolah-olah mereka ibarat Presiden Donald Trump yang mentadbir negara sebenar USA. Ungkapan ‘Saya tak ada masa’ itu akan disusuli dengan kerja yang tidak siap atau terbengkalai dan tanpa rasa bersalah mereka akan terus berputus asa sehingga mendatangkan kesan buruk terhadap orang lain. Apakah betul kita tidak cukup masa? Mengapakah kita tidak cukup masa? Bagaimanakah cara untuk kita mengatasi masalah tidak cukup masa. Masa ada untuk kita tidak ada masa untuk masa?

MASA SELALU ADA AWAK

Mereka yang menghargai masa akan sentiasa menyayangi dan mengisi masa yang ada dengan pelbagai kerja yang mendatangkan kemaslahatan kepada diri, keluarga, dan orang lain. Mereka takut kehilangan masa-masa yang berharga. Mereka sentiasa bersyukur dengan setiap detik masa yang datang dalam hidup mereka. Golongan ini sentiasa sibuk tetapi mereka bijak menggunakan masa 24 jam sejari yang Allah berikan kepada mereka. Kebijaksanaan itu akan menjadikan mereka sentiasa bahagia menjalani hidup pada setiap hari. Mereka sentiasa mencari masa demi melunaskan tanggungjawab dan khidmat bakti kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara. Mereka tidak pernah dirantai rasa sesal dan resah apabila masa berlalu pergi kerana mereka puas menggunakan masa untuk kecemerlangan, kesuksesan, kebahagiaan, dan kemenjadian diri sebagai manusia yang tahu menghargai masa. Golongan ini sentiasa mempunyai budaya kerja yang tersusun, sistematik dan teratur sehingga menyerlahkan impak atau keberkesanannya.

Orang yang selalu ada masa akan terus belajar dan belajar kerana mereka sentiasa ada masa untuk melakukan semua itu. Mereka sentiasa dahagakan ilmu dan sedaya upaya meraih pengalaman selagi diberikan kudrat dan kesempatan. Mereka jarang tertinggal di belakang kerana sentiasa memilih untuk duduk di barisan hadapan kerana mereka tahu di situ dapat lebih tumpuan dan mudah fokus serta mudah melakukan tindakan. Golongan ini tidak perlu minta dihormati kerana penghormatan itu akan wujud tanpa dipaksa setelah orang menyaksikan hasil kerja yang dipamerkan. Golongan ini tidak perlu berseloka di kedai kopi atau bebalas pantun di pejabat semata-mata untuk mengemis simpati dan sanjungan melimpah. Semua itu akan menyusul dalam pelbagai bentuk kebaikan dan pahala daripada Allah Yang Maha Berkuasa. Kehidupan yang mereka lalui sentiasa indah kerana mereka sentiasa bahagia di rumah dan sejahtera di tempat kerja. Kehadiran mereka disenangi biarpun mereka selalu tidak ikut bersama melepak di kedai kopi.

Masa yang datang dalam hidup mereka tidak akan datang dengan tangisan atau kesugulan akibat tidak dipedulikan. Masa akan datang dengan senyuman dan berlalu pergi dengan keceriaan. Masa begitu rasa dirinya dihargai sehingga rakan-rakannya mencuri masa daripada golongan masa tak ada awak untuk diberikan secara percuma kepada yang dimuliakan itu. Itulah kehebatan orang yang tahu menghargai dan memaknai masa. Jika mereka berkeluarga, anak dan isteri tidak pernah terabai kerana mereka sentiasa ada masa untuk menikmati hari-hari indah bersama mereka. Kasih sayang ibarat aliran air di kali yang sentiasa mengalir bagi menyuburi jiwa mereka agar tidak gersang dan kontang. Apabila masa selalu ada untuk kita maka kehidupan kita akan jadi lebih aman dan tenteram. Jambatan kasih yang menghubungkan hati kita dengan hati insan-insan yang mengenali dan menyayangi kita akan terbina kukuh. Embun kesejahteraan sentiasa merenjis manis-manis bahagia dalam hidup kita.

Golongan yang sentiasa menghargai masa ini selalu meluangkan masa yang ada untuk bersujud syukur kepada Allah. Mereka tidak pernah lari daripada tanggungjawab untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu, mereka sentiasa memperoleh keberkatan dan ketenangan. Sesungguhnya, sesibuk manapun kita dan sesukar manapun perjalanan yang kita lalui, seandainya kita minta Allah restui setiap perancangan yang telah kita atur untuk diri kita.

MASA TAK ADA AWAK

Mereka yang tidak menghargai masa akan sentiasa mengatakan masa selalu tiada. Masa sentiasa berlalu dengan cepat kerana rasa rimas apabila berada di samping mereka. Mereka menggunakan masa dengan pelbagai perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Golongan ini banyak menghabiskan masa dengan bersembang kosong tentang isu-isu politik, artis popular, dan cerita-cerita sensasi dalam masyarakat. Golongan ini merupakan “Profesor Serba Tahu” kerana mereka akan mengulas pelbagai perkara seolah-olah dunia ini mereka yang punya. Jika diberikan kerja mereka akan menepis kerana “terlalu sibuk” wahal satu kerja pun tidak dia lakukan dengan berkesan. Golongan ini ceritanya tidak pernah habis sehinggakan seekor nyamuk melintas pun boleh dijadikan modal untuk dijadikan bahan cerita. Mereka sering tidak cukup masa untuk melakukan kerja-kerja yang wajib lantaran sudah ditunangi budaya sembang kedai kopi.

Masa selalu kesedihan kerana mereka tiada disisi. Masa mengejar mereka tetapi masa juga akan berlalu pergi kerana berada di samping mereka ibarat melukut di tepian gantang. Mereka tidak pernah berterima kasih dengan kurniaan Allah untuk mereka. Akibatnya, kerja bertimbun tidak dilangsaikan. Mereka terkejar-kejar ke sana dan ke sini. Keadaan diri selalu tidak terurus. Meja di pejabat berterabur tidak tersusun. Jawapannya, mudah iaitu “Saya selalu sibuk” atau “Saya tiada masa”. Golongan ini akan menjadi manusia yang terlalu sensitif kerana darjah kestabilan emosi mereka ibarat gelombang yang tidak pernah berhenti mendesir di pantai. Jika tidak kena pada gaya, orang yang tidak bersalah pun turut dimarah. Golongan ini suka melakukan kerja pada saat-saat akhir sehingga mengakibatkan pelbagai kesalahan yang adakalanya mengundang ketidakpuasan dan menokok dosa.

Biasanya golongan ini cepat naik ke atas kerana mereka bijak bekerja menggunakan mulut bukannya mempamerkan hasil kerja. Majikan yang kurang ilmu atau azalinya seperahu dengan mereka mudah terpikat dan tertawan dengan gerak lakon dan seni tari bodek mereka yang lemah gemalai. Walau bagaimanapun, mana-mana jawatan yang diribai atau mana-mana jabatan yang diterajui oleh golongan ini kebanyakannya tersungkur menyembah bumi . Jangka hayat populariti mereka biasanya tidak kekal lama kerana satu demi satu kegagalan yang mendatang turut membogelkan maruah mereka pada masa lalu. Mereka mudah naik menggunakan cara yang salah tetapi mudah turun dengan tidak bermaruah. Inilah kitaran hidup apabila kita selalu berada dalam lingkungan ‘masa tiada untuk awak’. Pujangga pernah mengungkapkan keseronokan yang dinikmati dalam seminit dua boleh menghancurleburkan hidup kita selama-lamanya.


Masa itu akan membawa keindahan. Masa itu akan membawa kerahmatan. Masa itu akan membawa kebahagiaan. Masa itu akan membawa kesejahteraan. Masa yang diberikan kepada setiap manusia adalah sama. Akan tetapi, kenapakah ada yang gagal dan ada yang berjaya? Setiap hati kita harus melakukan refleksi diri tentang cara kita menggunakan masa. Ada ketikanya kita khilaf menggunakan banyak masa untuk mengumpat dan mempersendakan kebolehan orang lain maka berhentilah. Ada masanya kita gunakan masa dengan berinteraksi kosong di media sosial sehingga berjam-jam sampai mengabaikan tanggungjawab yang wajib kita laksanakan. Jika kita sedar, kurangkanlah. Ada kalanya kita seronok melayan hobi sampai lupa meluangkan masa bersama anak dan isteri serta alpa mencari rezeki, maka aturlah masa kita semula. Masa itu tidak pernah membohongi kehadirannya disisi kita. Akan tetapi, mengapakah kita selalu gagal mengisi kantung masa dengan limpahan rezeki dan ilmu yang bermanfaat untuk diri kita. Ayuh, hargailah masa. Binalah kehidupan yang lebih bermakna dan berjaya. Jika orang lain boleh, kita pun boleh. Kita semua sama sahaja bah. Ohhhh haaa.

CETUSAN MINDA BESTARI
Cikgu Zulkarnain Farihin
Sibu, Sarawak

13 November 2017

CATATAN CIKGU ZUL : PENGUNA BAYAR BEG PLASTIK RM0.20, DUIT ITU UNTUK SIAPA? BERKESANKAH STRATEGI INI?


Sewaktu saya pergi beli-belah di sebuah pasar raya di Sibu, saya bawa sebuah troli yang penuh dengan barangan yang dibeli. Semasa tiba di kaunter bayaran, tanpa bertanya juruwang terus ambil beg plastik dan scan harga beg plastik itu sebanyak RM0.20 sen. Saya tak kisah kerana bagi saya nilai itu mampu saya bayar dan saya memang maklum akan perkara itu. Kemudian, dia ambil lagi satu beg plastik dan scan lagi sebanyak RM0.20, maknanya harga untuk beg plastik meningkat jadi RM0.40. Apabila dia hendak scan lagi satu beg plastik maka saya pun bertanya awak kenakan caj untuk semua beg plastik ini ke, dik? Dia pun jawab, ya abang. Otak saya mula menjana keuntungan pasar raya itu daripada beg plastik sahaja dalam sejari. Jika ada 1000 beg plastik dikenakan bayaran dalam sehari maka keuntungan mereka adalah sebanyak RM200.00. Dalam tempoh sebulan keuntungan daripada beg plastik sahaja ialah RM6000.00. Jumlah ini cukup untuk mengaji 6 orang pekerja yang bergaji RM900.00 sebulan. Pasar raya ini mengenakan caj untuk beg plastik sebanyak 3 hari iaitu Sabtu, Ahad, dan Isnin. Ini bermakna purata keuntungan daripada beg plastik sahaja ialah RM600.00 untuk 3 hari. Bayangkan jumlah yang diperoleh dalam sebulan.

Jika tujuan kenakan caj RM0.20 untuk sehelai beg plastik bukan untuk memelihara dan memulihara alam sekitar moleklah kiranya dibatalkan tindakan ini. Lebih baik wajibkan pembeli membeli beg kitar semula.

Saya pernah juga beli-belah di pusat beli belah terkemuka di Kuala Lumpur yang turut mengenakan caj untuk beg plastik tetapi mereka cuma caj sekali sahaja sebanyak RM0.20. Pasar raya ini mengenakan caj RM0.20 untuk setiap beg plastik. Apakah ini dasar baharu? Jika dasar baharu, apakah caj yang diterima daripada beg plastik ini juga dikira sebagai pendapatan pasar raya itu atau jumlah itu dilenyapkan daripada kutipan cukai? Saya risau tahun depan pula beg plastik akan dikenakan caj GST sebanyak 6%. Saya amat kurang jelas dengan perkara ini. Apakah tujuan dan matlamat mengenakan denda sebegini. Jika semua pasar raya berbuat demikian saya cuma beranggapan tindakan ini bukan untuk mendidik pengguna tetapi lebih kepada keuntungan. Saya tidak kisah jika keuntungan yang diperoleh daripada caj beg plastik itu digunakan untuk membiayai program-program alam sekitar di kawasan setempat.

Membebankan Pengguna

Bagi orang berada dan mereka yang kaya raya, caj untuk beg plastik itu mungkin sedikit sahaja. Akan tetapi, bayangkan kalau orang yang berpendapatan rendah dan sederhana. Jika mereka membeli belah sebanyak 4 kali seminggu dan dikenakan caj sebanyak 10 kali maka mereka kena mengeluarkan sejumlah wang sebanyak RM2.00 untuk beg plastik sahaja. Jika seorang kita mungkin nampak sedikit. Jika 1000 orang, jumlahnya mencecah RM2000.00. Niat ini mungkin nampak baik pada asalnya tetapi tujuan dan matlamat kutipan itu mesti jelas. Jangan sampai menyusahkan pengguna yang dah sedia nazak. Pihak pengusaha kompleks beli-belah harus menjelaskan kepada juruwang tujuan duit itu dikumpul dan ke manakah duit itu disalurkan. Jika masuk ke poket sendiri, saya rasa hentikanlah program ini sebab tiada manfaatnya kepada pengguna dan alam sekitar! Lebih baik wajibkan pengguna beli beg kitar semula.

Cetusan Idea Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin

Sibu Sarawak

CATATAN CIKGU ZUL : GURU KELAHIRAN SARAWAK KURANG BERKUALITI? LAMANYA KITA TERTIDUR


Saya tidak melatah apabila membaca kenyataan daripada seorang Menteri kelahiran Sarawak Bumi Kenyalang yang diviralkan di pelbagai saluran media sosial baru-baru ini. Saya berasa amat bersyukur. Saya bersyukur kerana setelah puluhan tahun isu ini menjadi isu barulah ada orang yang menyedarinya. Walau bagaimanapun, saya tidak bersetuju dengan pernyataan yang saya klasifikasikan sebagai tuduhan melulu apabila kita mengatakan “Guru Kelahiran Sarawak Kurang Berkualiti”. Sebelum mengeluarkan kenyataan sebegini, alangkah moleknya jika pihak tersebut turun ke lapangan dengan melakukan pemantauan dan pemerhatian di segenap ceruk negeri Sarawak untuk melihat budaya kerja guru yang dikatakan tidak berkualiti. Cuba-cubalah pergi ke sekolah-sekolah di pedalaman yang serba serbi kekurangan dan ketiadaan namun guru tetap gigih mendidik dan menyampaikan ilmu tanpa mengira penat dan jemu. Apakah ini yang dikatakan guru tidak berkualiti? Tepuk dada tanya selera. Tindakan membuat kesimpulan tanpa merasai perit dan pedih bekerja tanpa kemudahan dan kedaifan amatlah tidak adil dan tidak berperikemanusiaan.

TINGKATKAN KUALITI FASALITI

Apabila kita berbicara mengenai kualiti guru kita harus melihat persekitaran tempat kerja guru tersebut. Alangkah kecewanya kita apabila menyaksikan para guru masih lagi berkhidmat di sekolah yang tiada bekalan air bersih, elektrik 24 jam, dan kemudahan jalan raya. Setelah menginjak usia 60 tahun merdeka, kebanyakan sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak masih daif dan tidak diperbaharui. Saya sendiri mendapat pendidikan di SRK Nanga Engkuah pada tahun 1981, tempoh masa itu terlalu lama bagi saya. Akan tetapi, setiap kali balik ke kampung halaman, saya masih melihat keadaan di sekolah itu tidak berubah. Asramanya makin usang, bangunan kelasnya tetap begitu juga malahan tempat tinggal guru Pi Mai Pi Mai Tang Tu juga. Bagaimanakah kita mahu menyelar guru di situ tidak berkualiti? Mereka mengajar saban hari seperti guru-guru di Semenanjung Malaysia akan tetapi keadaan persekitaran pelajar yang daif memang tidak membantu dalam melahirkan pelajar yang cemerlang.

Saya sendiri merupakan anak pedalaman yang pernah merasakan peritnya bersaing setelah keluar dari kepompong kedaifan bersekolah di pedalaman. Di sekolah, saya merupakan pelajar cemerlang yang sentiasa membolot hadiah tempat pertama keseluruhan dan merangkul beberapa anugerah subjek terbaik. Saya dilantik menjadi pengawas sekolah. Guru-guru yang mendidik saya memang komited dan bersungguh-sungguh. Mereka mahu kami berjaya. Walau bagaimanapun, usaha guru-guru kami tidak berkesan kerana tiada sokongan daripada ibu bapa kami yang masih belum sedar tentang kepentingan pendidikan. Ibu bapa kami tidak pernah ambil tahu tentang prestasi kami. Kami tidak pernah menghadiri kelas tuisyen. Yang kami tahu, selepas habis waktu sekolah kami bermain di sungai Katibas sehingga Guru Besar kami membawa rotan dan merotan kami barulah kami balik ke asrama. Kami memang tiada minat untuk belajar kerana kami tidak tahu tujuan kami datang ke sekolah. Walau bagaimanapun, apabila bersaing dengan budak-budak yang bersekolah di bandar saya agak ketinggalan dalam banyak perkara terutamanya dari segi pengalaman dan kebolehan berbahasa Inggeris. Saya tidak mengatakan guru Bahasa Inggeris saya tidak berkualiti. Beliau mengajar kami salibus yang sama dengan budak-budak di bandar tetapi persekitaran di kawasan pedalaman itulah penghalang utama yang menyebabkan saya tidak mahu belajar Bahasa Inggeris!

Saya selalu memikirkan hal ini kerana selagi kemudahan sekolah-sekolah di pedalaman tidak dinaiktaraf setanding dengan sekolah-sekolah di bandar terutamanya di Semenanjung Malaysia, agak sukar untuk melahirkan ramai pelajar cemerlang. Jika diimport guru dari pelbagai ceruk dunia inipun belum tentu kualiti yang ada pada mereka mampu mengubah segalanya. Saya kagum dengan pengorbanan rakan-rakan guru yang mengajar di pedalaman terutamanya mereka yang sudah bekeluarga. Anak-anak ditinggalkan bersama isteri atau penjaga di bandar manakala mereka sendiri sanggup melawan arus sungai Rejang yang deras dan meredah hutan belantara demi melunaskan tanggungjawab mendidik dan mengasuh anak-anak kita. Oleh itu, saya berpendapat amatlah keterlaluan jika kita mengatakan guru kelahiran Sarawak tidak berkualiti hanya dengan satu alasan yang berpaksikan kesimpulan singkat, kita tidak mampu merealisasikan dasar 90:10.

GURU SARAWAK PUN CEMERLANG

Saya tidak nampak perbezaan antara anak Sarawak dengan orang lain dalam bidang perguruan. Kita belajar di maktab, Institut perguruan, dan universiti yang sama dalam bidang kepakaran masing-masing termasuklah guru-guru baru yang mengikuti Program Intrem. Dasar-dasar kerajaan dan program-program yang diarahkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia adalah menyeluruh. Jika kita mengatakan kualiti guru-guru di Sarawak itu kerana kekurangan guru-guru yang mengajar Bahasa Inggeris dan subjek-subjek sains maka binalah usaha yang padu dan jitu ke arah itu. Mengapakah kita tidak bersungguh-sungguh melatih anak tempatan Sarawak yang sedang menganggur untuk mengisi kekosongan yang ada? Kualiti itu hanya akan lahir jika semua pihak yang merangka dasar dan melaksanakan dasar juga berkualiti. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahkan satu pihak sahaja. Jika kualiti itu diukur daripada jumlah guru cemerlang, saya rasa bilangan guru cemerlang di Sarawak pun banyak seperti di Semenanjung Malaysia. Kita harus sedar, mengukur kualiti tidak semudah mengukur kuantiti sebab kualiti ini mencakupi pelbagai aspek.

Jika kita pergi ke sekolah dan melihat rutin harian para guru, kita akan menggelengkan kepala kerana kita tidak menyangka kehidupan yang mereka lalui tidak seindah yang dibayangkan oleh masyarakat bukan guru. Seawal 5:00 pagi (ada yang lebih awal daripada itu) mereka bangun untuk menyiapkan keperluan diri dan anak-anak. Pada ketika ini, kakitangan awam dan swasta di jabatan lain masih lena dibuai mimpi indah. Kemudian, mereka akan ke sekolah seawal jam 6:00 pagi. Sebaik sahaja tiba di sekolah maka bermulalah kerja mengajar dan menguruskan disipin pelajar. Bagi sekolah-sekolah yang besar pula, sesetengah guru tidak sempat sarapan pagi disebabkan pelbagai perkara yang perlu disiapkan dengan kadar segera. Selepas habis sesi persekolahan, para guru ini pula kena melatih pelajar bagi menyediakan mereka mewakili sekolah dalam kejohanan sukan dan aktiviti sokongan kurikulum. Bukannya senang untuk melatih pelajar. Contohnya, bagi mewujudkan sebuah pasukan tarian yang mantap dan hebat, latihan mesti dilakukan sekurang-kurangnya 2 hingga 4 jam sehari. Sekumpulan guru lain pula mengadakan kelas bimbingan bagi pelajar-pelajar yang lemah. Jadi, guru-guru ini akan balik ke rumah pada pukul 5:00 petang (Paling awal). Selepas melakukan senaman dan makan malam, mereka akan siapkan pelbagai tugas pengisian data secara online atau menyemak buku latihan pelajar. Semua guru melakukan rutin harian ini baik di Sarawak mahupun di Semenanjung Malaysia. Jadi, amat tidak adil kalau kita katakan guru kelahiran Sarawak tidak berkualiti.

DASAR 90:10 PERLUKAN MASA

Saya akui untuk menjayakan dasar ini dalam masa yang singkat bukannya mudah kerana kita tidak boleh tangkap muat. Bukan semua yang memohon itu berjiwa guru dan menyintai kerjaya perguruan dengan penuh ikhlas. Jika ada yang melaksanakan tugas ibarat melepaskan batok di tangga, janganlah diterima kerana saya sendiri sebagai guru dan ibu bapa memang tidak mahu guru yang tidak berkualiti mengajar anak saya. Walau bagaimanapun, tidak mustahil juga dasar ini dapat dicapai jika kita benar-benar mencari dan terus mencari anak-anak Sarawak yang berpotensi bagi mengisi kekosongan ini. Setiap dasar perlu dilengkapi dengan perancangan yang rapi kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Semua pihak harus memahami dasar ini dengan penuh ikhlas demi masa depan anak-anak Sarawak. Bagi saya, dasar ini baik namun saya masih ragu-ragu, apakah dengan terlaksananya dasar ini nanti mutu pendidikan di Sarawak dapat dipacu ke tahap yang tertinggi? Jika nanti kita masih tercorot dan ketinggalan apakah dasar ini akan dikebumikan begitu sahaja.

Dasar ini harus menyimpang daripada elemen kenegerian dan dijauhi daripada campurtangan orang lain yang bukan mahir dalam selok belok dunia pendidikan di Sarawak. Kita tidak boleh membiarkan diri kita dirantai oleh pemikiran emosional kerana dasar ini diwujudkan demi memacu pendidikan di Sarawak agar setanding dengan orang lain. Lihatlah kemenjadian diri kita sendiri, siapakah guru-guru kita dahulu? Bagaimanakah mereka mengajar kita? Dari manakah mereka berasal? Apakah asal usul guru itu yang menentukan kualiti pendidikan di sesebuah negeri? Kemajuan dan pencapaian kita sebenarnya banyak bergantung kepada kualiti diri kita sendiri. Guru hanya mendidik dan menyampaikan ilmu. Yang menggunakan ilmu itu ialah anak didik. Sejauh manakah ilmu itu berkesan kepada mereka, penentunya ialah usaha dan komitmen mereka terhadap pelajaran. Jika kita asyik bermain, tidur, dan makan sepanjang hari, kualiti guru tidak dapat membantu kita menjana kejayaan kerana kualiti itu bukan keajaiban yang ditonton dalam cerita Doremon.

UBAH CARA MELIHAT DAN BERFIKIR

Jika kita mahu maju ke hadapan bukan sahaja mentaliti guru yang perlu diubah tetapi mentaliti semua pihak yakni segenap lapisan masyarakat yang bermaustautin di segenap empat penjuru negeri Sarawak. Perubahan mentaliti akan melahirkan ramai cendikiawan yang mampu bersaing di persada dunia. Usaha mengubah mentaliti ini harus bermula dengan memperkasakan minda dengan satu pertanyaan, iaitu apakah tujuan saya datang ke sekolah? (Pelajar), Apakah tujuan saya menghantar anak ke sekolah? (Ibu bapa), Apakah yang perlu saya lakukan bagi meningkatkan kualiti pendidikan di Sarawak (pentadbir). Guru dan sekolah akan jadi hebat jika disokong oleh pelbagai pihak. Jika harapan demi harapan, sindiran demi sindirian, cemuhan demi cemuhan dilontarkan kepada golongan guru, saya percaya 1000 tahun lagipun kita tidak mampu mencapai hasrat untuk memajukan bidang pendidikan di Sarawak. Turunlah ke lapangan dan lihatlah keadaan sebenar di sekolah-sekolah terutama sekolah pedalaman. Bangkitkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa tentang kepentingan pendidikan. Jangan terlalu bergantung harap kepada guru untuk melahirkan anak-anakyang berjaya sedangkan pihak bukan guru ambil langkah mudah menunding jari kepada golongan guru apabila kita gagal. Ingatlah, satu jari yang kita tunding kepada orang lain dibalas dengan empat jari yang ditunding ke arah diri kita sendiri.

Semua warga guru di seluruh dunia ini mempunyai jiwa yang sama. Tugas menyampaikan ilmu merupakan tugas utama mereka. Semuanya berkualiti dan mempunyai visi kudsi yang jelas dan terarah. Guru yang tidak berkualiti terdapat di mana-mana sahaja bukan sahaja dalam kalangan anak-anak Sarawak. Jika wujud golongan ini pun mereka tidak harus dipersalahkan kerana mereka ditapis dan dinilai semasa temuduga dan ujian kelayakan. Yang menemuduga dan menguji mereka bukannya guru anak Sarawak!. Guru-guru yang berasal dari Sarawak semuanya anak-anak Sarawak yang gigih berusaha mendidik, mengasuh, dan mengajar. Mereka juga mempunyai cita-cita, impian, dan wawasan. Mereka juga memiliki keinginan dan kemahuan. Akan tetapi, mereka selalu terhimpit dengan kedaifan dan kekurangan. Orang yang tidak merasai keperitan itu pasti akan menyelar tetapi bagi yang memahami mereka akan bersimpati. Sekarang, siapakah sebenarnya yang tidak berkualiti? Biarlah hanya hati yang menjawab.

Catatan Bestari Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
Sibu Sarawak 

22 September 2017

CATATAN CIKGU ZUL : PERGINYA BIDADARI SURIHATI CIKGU SITI AISYAH BINTI MAULUD, BEKAS JURULATIH UTAMA BAHASA MELAYU STPM NEGERI SEMBILAN. AL-FATIHAH


Tanggal 22 September 2017, Jumaat, bersempena Awal Muharam tanpa diduga air mata saya gugur lagi setelah membaca khabar yang dikirimkan di saluran Telegram Guru Bahasa Melayu Tingkatan Enam 1Malaysia yang menyampaikan berita yang tidak diduga. Mesej yang ditulis oleh seorang guru dari Negeri Sembilan itu berbunyi, “Dimaklumkan Puan Siti Aisyah Maulud, Guru Bahasa Melayu Tingkatan Enam TMS, telah kembali ke rahmatullah jam 1.10 pagi di Hospital KPJ. Jenazah akan dibawa ke Kg. Batu, Rembau. Akan dikebumikan selepas solat Jumaat hari ini’. Sebaik sahaja membaca berita itu hati saya sungguh sayu dan pilu sambil mengucapkan “Innalillahiwainnailaihirajion, Semoga roh allahyarhamah dirahmati Allah, diampuni dosanya dan diterima segala  amalnya”. Kehilangan arwah amat meninggalkan kesan di hati. Apabila saya mengingatkan yang arwah selalu meminta supaya saya mendoakan kesihatannya dalam setiap doa sepanjang beliau terlantar sakit lebih kurang 2 tahun yang lalu. Ya Allah, sesungguhnya Engkau lebih menyayangi dan mengasihinya.

Arwah suka bergurau dan mengusik saya.
Kini, semuanya akan tinggal kenangan.
Pemergian arwah amat meninggalkan kesan
dalam hati kami, rakan-rakan seperjuangan
beliau yang selalu mendoakan dan 
mengharapkan arwah pulih seperti sedia kala
daripada kesakitan yang dideritainya.

Semasa hayatnya, beliau selalu menghubungi saya untuk meminta pelbagai bahan untuk mengajar Bahasa Melayu walaupun beliau tidak pergi ke sekolah tetapi bahan-bahan itu diberikan kepada guru-guru di sekolah beliau untuk digunakan. Apabila saya bertanya tentang kesihatan beliau, arwah akan mengalihkan cerita kepada gurau senda sambil meminta, “Zul, doakan akak, insyallah berkat doa Zul, akak akan sembuh”. Walaupun jauh, terasa diri ini amat dekat dengan arwah kerana setiap kali mesyuarat di peringkat kebangsaan arwah sentiasa ceria dan tutur katanya yang mengundan lawak jenaka sentiasa mencuit hati kami. Arwah mengundur diri daripada khidmat sebagai Jurulatih Utama Bahasa Melayu secara tiba-tiba pada tahun 2013, dan saya hanya mengetahui beliau mengidap sakit barah pada tahun 2014. Arwah amat berahsia tentang penyakit yang dihidapinya. Keceriaan dan kata-kata lucu yang selalu diucapkan dari bibir arwah menjadikan kami amat selesa apabila arwah bersama dan rasa kehilangan apabila arwah tiada.

Saya memang berhajat dan berhasrat untuk melawat arwah tetapi disebabkan oleh jarak dan keterbatasan waktu, niat itu selalu terbatal. Hanya doa-doa sahaja yang mampu saya hadiahkan dalam sujud untuk arwah yang berada di kejauhan. Saya selalu mengirimkan mesej dan kata-kata semangat kepada arwah tanpa jemu. Walaupun sejak akhir-akhir ini amat susah untuk menghubungi arwah kerana akaun Facebooknya sudah ditutup, tetapi saya sentiasa mengharapkan arwah sihat dan sembuh serta bersama kami lagi menyumbang khidmat dan bakti sebagai Jurulatih Utama Bahasa Melayu STPM. Akan tetapi, pagi ini, khabar hiba tentang pemergian arwah amat meruntun hati. Saya teringat akan kata-kata seorang ustaz, “Barang siapa jenazahnya meninggal dan dikebumikan daripada  mahgrib Khamis hingga mahgrib Jumaat, terlepaslah dia daripada azab kubur”. Ya, alhamdulillah semoga allahyarhammah mendapat rahmat dan kemuliaan itu. Amin.

Allahyarhammah Puan Siti Aisyah Binti Maulud, bukanlah primadona yang menjadi pujaan jutaan manusia. Beliau hanyalah seorang guru yang sentiasa menakluki hati insan-insan yang mengenalinya dengan keramahan, kemesraan, dan telatahnya yang sentiasa tersenyum. Allahyarhammah akan terus bersemadi di tugu ingatan kami kawan-kawan seperjuangan beliau. Saya agak terkilan sebab tidak dapat menunaikan pelawaan beliau untuk datang memberi ceramah Bahasa Melayu STPM di sekolah tempat beliau menabur bakti iaitu Sekolah Menengah Tuanku Muhammad Kuala Pilah. Arwah selalu meminta, “Zul, bantulah pelajar-pelajar akak. Bantulah guru-guru sekolah akak. Pelajar-pelajar akak baik-baik”. Insyallah, jika dipanjangkan umur saya akan tunaikan hasrat arwah. Insyallah.

Ya Allah, ampunilah dosa-dosanya, kasihanilah ia, lindungilah ia dan maafkanlah ia, muliakanlah tempat kembalinya, lapangkan kuburnya, bersihkanlah ia dengan air, salju dan air yang sejuk. Bersihkanlah ia dari segala kesalahan, sebagaimana Engkau telah membersihkan pakaian putih dari kotoran, dan gantilah rumahnya -di dunia- dengan rumah yang lebih baik -di akhirat- serta gantilah keluarganya -di dunia- dengan keluarga yang lebih baik, dan pasangan di dunia dengan yang lebih baik. Masukkanlah ia ke dalam surga-Mu dan lindungilah ia dari siksa kubur atau siksa api neraka).”
Amin

‎إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون
‎اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ،
‎ وَوَسِّعْ مَدْخَلَهُ، وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبَ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ، وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ، وَأدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابَ الْقَبْرِ وَفِتْنَتِهِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ

Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia,  ampunilah kesalahannya, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburannya, cucilah kesalahannya dengan air dan embun  sebagaimana mencuci pakaian putih dari kotoran, gantilah rumahnya dengan rumah yang lebih baik,hindarkanlah dari fitnah kubur dan siksa neraka.


Arwah bertudung merah

Semoga roh Allahyarhammah Puan Siti Aisyah Maulud akan dicucuri rahmat daripada Yang Maha Esa. Semoga permata hatinya, suaminya, ibunya, dan seluruh ahli keluarga arwah bersabar dengan ujian Allah ini. Ya Allah, kau ampunilah dia. Kau letakkan rohnya dalam kalangan hamba-Mu yang beriman. Kau muliakanlah dia sahabat kami Puan Siti Aisyah Binti Maulud, Ya Allah. Sesungguhnya kaulah Yang Maha Pengampun dan Yang Maha Mengasihani. Amin Ya Robbillalamin.