Saya tidak melatah apabila
membaca kenyataan daripada seorang Menteri kelahiran Sarawak Bumi Kenyalang
yang diviralkan di pelbagai saluran media sosial baru-baru ini. Saya berasa
amat bersyukur. Saya bersyukur kerana setelah puluhan tahun isu ini menjadi isu
barulah ada orang yang menyedarinya. Walau bagaimanapun, saya tidak bersetuju
dengan pernyataan yang saya klasifikasikan sebagai tuduhan melulu apabila kita
mengatakan “Guru Kelahiran Sarawak Kurang Berkualiti”. Sebelum
mengeluarkan kenyataan sebegini, alangkah moleknya jika pihak tersebut turun ke
lapangan dengan melakukan pemantauan dan pemerhatian di segenap ceruk negeri
Sarawak untuk melihat budaya kerja guru yang dikatakan tidak berkualiti.
Cuba-cubalah pergi ke sekolah-sekolah di pedalaman yang serba serbi kekurangan
dan ketiadaan namun guru tetap gigih mendidik dan menyampaikan ilmu tanpa
mengira penat dan jemu. Apakah ini yang dikatakan guru tidak berkualiti? Tepuk
dada tanya selera. Tindakan membuat kesimpulan tanpa merasai perit dan pedih
bekerja tanpa kemudahan dan kedaifan amatlah tidak adil dan tidak
berperikemanusiaan.
TINGKATKAN KUALITI FASALITI
Apabila kita berbicara
mengenai kualiti guru kita harus melihat persekitaran tempat kerja guru
tersebut. Alangkah kecewanya kita apabila menyaksikan para guru masih lagi
berkhidmat di sekolah yang tiada bekalan air bersih, elektrik 24 jam, dan
kemudahan jalan raya. Setelah menginjak usia 60 tahun merdeka, kebanyakan
sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak masih daif dan tidak diperbaharui. Saya
sendiri mendapat pendidikan di SRK Nanga Engkuah pada tahun 1981, tempoh masa
itu terlalu lama bagi saya. Akan tetapi, setiap kali balik ke kampung halaman,
saya masih melihat keadaan di sekolah itu tidak berubah. Asramanya makin usang,
bangunan kelasnya tetap begitu juga malahan tempat tinggal guru Pi Mai Pi Mai
Tang Tu juga. Bagaimanakah kita mahu menyelar guru di situ tidak berkualiti?
Mereka mengajar saban hari seperti guru-guru di Semenanjung Malaysia akan
tetapi keadaan persekitaran pelajar yang daif memang tidak membantu dalam
melahirkan pelajar yang cemerlang.
Saya sendiri merupakan anak
pedalaman yang pernah merasakan peritnya bersaing setelah keluar dari kepompong
kedaifan bersekolah di pedalaman. Di sekolah, saya merupakan pelajar cemerlang
yang sentiasa membolot hadiah tempat pertama keseluruhan dan merangkul beberapa
anugerah subjek terbaik. Saya dilantik menjadi pengawas sekolah. Guru-guru yang
mendidik saya memang komited dan bersungguh-sungguh. Mereka mahu kami berjaya.
Walau bagaimanapun, usaha guru-guru kami tidak berkesan kerana tiada sokongan
daripada ibu bapa kami yang masih belum sedar tentang kepentingan pendidikan.
Ibu bapa kami tidak pernah ambil tahu tentang prestasi kami. Kami tidak pernah
menghadiri kelas tuisyen. Yang kami tahu, selepas habis waktu sekolah kami
bermain di sungai Katibas sehingga Guru Besar kami membawa rotan dan merotan
kami barulah kami balik ke asrama. Kami memang tiada minat untuk belajar kerana
kami tidak tahu tujuan kami datang ke sekolah. Walau bagaimanapun, apabila
bersaing dengan budak-budak yang bersekolah di bandar saya agak ketinggalan
dalam banyak perkara terutamanya dari segi pengalaman dan kebolehan berbahasa
Inggeris. Saya tidak mengatakan guru Bahasa Inggeris saya tidak berkualiti.
Beliau mengajar kami salibus yang sama dengan budak-budak di bandar tetapi
persekitaran di kawasan pedalaman itulah penghalang utama yang menyebabkan saya
tidak mahu belajar Bahasa Inggeris!
Saya selalu memikirkan hal
ini kerana selagi kemudahan sekolah-sekolah di pedalaman tidak dinaiktaraf
setanding dengan sekolah-sekolah di bandar terutamanya di Semenanjung Malaysia,
agak sukar untuk melahirkan ramai pelajar cemerlang. Jika diimport guru dari
pelbagai ceruk dunia inipun belum tentu kualiti yang ada pada mereka mampu
mengubah segalanya. Saya kagum dengan pengorbanan rakan-rakan guru yang
mengajar di pedalaman terutamanya mereka yang sudah bekeluarga. Anak-anak
ditinggalkan bersama isteri atau penjaga di bandar manakala mereka sendiri
sanggup melawan arus sungai Rejang yang deras dan meredah hutan belantara demi
melunaskan tanggungjawab mendidik dan mengasuh anak-anak kita. Oleh itu, saya
berpendapat amatlah keterlaluan jika kita mengatakan guru kelahiran Sarawak
tidak berkualiti hanya dengan satu alasan yang berpaksikan kesimpulan singkat,
kita tidak mampu merealisasikan dasar 90:10.
GURU SARAWAK PUN CEMERLANG
Saya tidak nampak perbezaan
antara anak Sarawak dengan orang lain dalam bidang perguruan. Kita belajar di
maktab, Institut perguruan, dan universiti yang sama dalam bidang kepakaran
masing-masing termasuklah guru-guru baru yang mengikuti Program Intrem.
Dasar-dasar kerajaan dan program-program yang diarahkan oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia adalah menyeluruh. Jika kita mengatakan kualiti guru-guru
di Sarawak itu kerana kekurangan guru-guru yang mengajar Bahasa Inggeris dan
subjek-subjek sains maka binalah usaha yang padu dan jitu ke arah itu.
Mengapakah kita tidak bersungguh-sungguh melatih anak tempatan Sarawak yang
sedang menganggur untuk mengisi kekosongan yang ada? Kualiti itu hanya akan
lahir jika semua pihak yang merangka dasar dan melaksanakan dasar juga
berkualiti. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahkan satu pihak sahaja. Jika
kualiti itu diukur daripada jumlah guru cemerlang, saya rasa bilangan guru
cemerlang di Sarawak pun banyak seperti di Semenanjung Malaysia. Kita harus
sedar, mengukur kualiti tidak semudah mengukur kuantiti sebab kualiti ini
mencakupi pelbagai aspek.
Jika kita pergi ke sekolah
dan melihat rutin harian para guru, kita akan menggelengkan kepala kerana kita
tidak menyangka kehidupan yang mereka lalui tidak seindah yang dibayangkan oleh
masyarakat bukan guru. Seawal 5:00 pagi (ada yang lebih awal daripada itu)
mereka bangun untuk menyiapkan keperluan diri dan anak-anak. Pada ketika ini,
kakitangan awam dan swasta di jabatan lain masih lena dibuai mimpi indah.
Kemudian, mereka akan ke sekolah seawal jam 6:00 pagi. Sebaik sahaja tiba di
sekolah maka bermulalah kerja mengajar dan menguruskan disipin pelajar. Bagi
sekolah-sekolah yang besar pula, sesetengah guru tidak sempat sarapan pagi
disebabkan pelbagai perkara yang perlu disiapkan dengan kadar segera. Selepas
habis sesi persekolahan, para guru ini pula kena melatih pelajar bagi menyediakan
mereka mewakili sekolah dalam kejohanan sukan dan aktiviti sokongan kurikulum.
Bukannya senang untuk melatih pelajar. Contohnya, bagi mewujudkan sebuah
pasukan tarian yang mantap dan hebat, latihan mesti dilakukan
sekurang-kurangnya 2 hingga 4 jam sehari. Sekumpulan guru lain pula mengadakan
kelas bimbingan bagi pelajar-pelajar yang lemah. Jadi, guru-guru ini akan balik
ke rumah pada pukul 5:00 petang (Paling awal). Selepas melakukan senaman dan
makan malam, mereka akan siapkan pelbagai tugas pengisian data secara online
atau menyemak buku latihan pelajar. Semua guru melakukan rutin harian ini baik
di Sarawak mahupun di Semenanjung Malaysia. Jadi, amat tidak adil kalau kita
katakan guru kelahiran Sarawak tidak berkualiti.
DASAR 90:10 PERLUKAN MASA
Saya akui untuk menjayakan
dasar ini dalam masa yang singkat bukannya mudah kerana kita tidak boleh
tangkap muat. Bukan semua yang memohon itu berjiwa guru dan menyintai kerjaya
perguruan dengan penuh ikhlas. Jika ada yang melaksanakan tugas ibarat
melepaskan batok di tangga, janganlah diterima kerana saya sendiri sebagai guru
dan ibu bapa memang tidak mahu guru yang tidak berkualiti mengajar anak saya.
Walau bagaimanapun, tidak mustahil juga dasar ini dapat dicapai jika kita
benar-benar mencari dan terus mencari anak-anak Sarawak yang berpotensi bagi
mengisi kekosongan ini. Setiap dasar perlu dilengkapi dengan perancangan yang
rapi kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Semua pihak harus memahami
dasar ini dengan penuh ikhlas demi masa depan anak-anak Sarawak. Bagi saya,
dasar ini baik namun saya masih ragu-ragu, apakah dengan terlaksananya dasar
ini nanti mutu pendidikan di Sarawak dapat dipacu ke tahap yang tertinggi? Jika
nanti kita masih tercorot dan ketinggalan apakah dasar ini akan dikebumikan begitu sahaja.
Dasar ini harus menyimpang
daripada elemen kenegerian dan dijauhi daripada campurtangan orang lain yang
bukan mahir dalam selok belok dunia pendidikan di Sarawak. Kita tidak boleh
membiarkan diri kita dirantai oleh pemikiran emosional kerana dasar ini
diwujudkan demi memacu pendidikan di Sarawak agar setanding dengan orang lain.
Lihatlah kemenjadian diri kita sendiri, siapakah guru-guru kita dahulu? Bagaimanakah
mereka mengajar kita? Dari manakah mereka berasal? Apakah asal usul guru itu
yang menentukan kualiti pendidikan di sesebuah negeri? Kemajuan dan pencapaian
kita sebenarnya banyak bergantung kepada kualiti diri kita sendiri. Guru hanya
mendidik dan menyampaikan ilmu. Yang menggunakan ilmu itu ialah anak didik.
Sejauh manakah ilmu itu berkesan kepada mereka, penentunya ialah usaha dan
komitmen mereka terhadap pelajaran. Jika kita asyik bermain, tidur, dan makan
sepanjang hari, kualiti guru tidak dapat membantu kita menjana kejayaan kerana
kualiti itu bukan keajaiban yang ditonton dalam cerita Doremon.
UBAH CARA MELIHAT DAN
BERFIKIR
Jika kita mahu maju ke
hadapan bukan sahaja mentaliti guru yang perlu diubah tetapi mentaliti semua
pihak yakni segenap lapisan masyarakat yang bermaustautin di segenap empat
penjuru negeri Sarawak. Perubahan mentaliti akan melahirkan ramai cendikiawan
yang mampu bersaing di persada dunia. Usaha mengubah mentaliti ini harus
bermula dengan memperkasakan minda dengan satu pertanyaan, iaitu apakah tujuan
saya datang ke sekolah? (Pelajar), Apakah tujuan saya menghantar anak ke
sekolah? (Ibu bapa), Apakah yang perlu saya lakukan bagi meningkatkan kualiti
pendidikan di Sarawak (pentadbir). Guru dan sekolah akan jadi hebat jika
disokong oleh pelbagai pihak. Jika harapan demi harapan, sindiran demi
sindirian, cemuhan demi cemuhan dilontarkan kepada golongan guru, saya percaya
1000 tahun lagipun kita tidak mampu mencapai hasrat untuk memajukan bidang
pendidikan di Sarawak. Turunlah ke lapangan dan lihatlah keadaan sebenar di
sekolah-sekolah terutama sekolah pedalaman. Bangkitkan kesedaran dalam kalangan
ibu bapa tentang kepentingan pendidikan. Jangan terlalu bergantung harap kepada
guru untuk melahirkan anak-anakyang berjaya sedangkan pihak bukan guru ambil
langkah mudah menunding jari kepada golongan guru apabila kita gagal. Ingatlah,
satu jari yang kita tunding kepada orang lain dibalas dengan empat jari yang
ditunding ke arah diri kita sendiri.
Semua warga guru di seluruh
dunia ini mempunyai jiwa yang sama. Tugas menyampaikan ilmu merupakan tugas
utama mereka. Semuanya berkualiti dan mempunyai visi kudsi yang jelas dan
terarah. Guru yang tidak berkualiti terdapat di mana-mana sahaja bukan sahaja
dalam kalangan anak-anak Sarawak. Jika wujud golongan ini pun mereka tidak
harus dipersalahkan kerana mereka ditapis dan dinilai semasa temuduga dan ujian
kelayakan. Yang menemuduga dan menguji mereka bukannya guru anak Sarawak!. Guru-guru
yang berasal dari Sarawak semuanya anak-anak Sarawak yang gigih berusaha
mendidik, mengasuh, dan mengajar. Mereka juga mempunyai cita-cita, impian, dan
wawasan. Mereka juga memiliki keinginan dan kemahuan. Akan tetapi, mereka
selalu terhimpit dengan kedaifan dan kekurangan. Orang yang tidak merasai
keperitan itu pasti akan menyelar tetapi bagi yang memahami mereka akan
bersimpati. Sekarang, siapakah sebenarnya yang tidak berkualiti? Biarlah hanya
hati yang menjawab.
Catatan Bestari
Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain
Farihin
Sibu Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan