17 Jun 2012

ISU UMUM : TUA TIDAK SEMESTINYA PRODUKTIVITI KERJA MENURUN


Rencana ini ditulis oleh :
Fauziah Arof


Apabila Rang Undang-undang Umur Persaraan Minimum 2012 yang mewajibkan umur persaraan pekerja sektor swasta dilanjutkan daripada 55 kepada 60 tahun dibentangkan buat bacaan kali pertama di Dewan Rakyat kelmarin, ia menjadi satu topik hangat dan menarik yang tidak habis-habis diperkatakan di tempat-tempat kerja terutamanya syarikat swasta. Ada yang bersetuju dan bersyukur dengan langkah berkenaan manakala tidak kurang pula mempersoalkan tahap kemampuan pekerja pada usia warga emas itu untuk meneruskan perkhidmatan selamalima tahun lagi. Selain itu, ada yang berhujah lanjutan usia persaraan itu bakal menyebabkan ramai golongan muda profesional tidak dapat naik pangkat dan pada masa sama boleh meningkatkan kadar pengangguran lepasan diploma dan ijazah mahupun sijil di negara ini.

Saya akui wujud pro dan kontra terhadap cadangan ini. Namun dalam kita asyik menilai kepada hanya kesan yang buruk-buruk sahaja, kita juga harus memikirkan nasib golongan yang terpaksa bekerja walaupun sudah pencen kerana masih mempunyai banyak tanggungan hutang dan menyara keluarga. Adakah golongan seperti ini boleh dibilang dengan jari di negara ini? Kita boleh lihat ramai dalam usia emas ini terpaksa berniaga kecil-kecilan, ada yang membuat kerja-kerja sampingan di rumah, bekerja sebagai pengawal keselamatan, bekerja di restoran-restoran dan sebagainya terutamanya yang hidup di bandar. Ini secara langsung m engakibatkan bertambahnya golongan miskin bandar di negara ini. Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat golongan ini tidak mampu hidup ‘goyang kaki’ selepas pencen kerana terpaksa meneruskan kelangsungan hidup.

Anak-anak pula tidak boleh digantungkan harapan kerana masih kecil dan bersekolah. Trend kahwin lewat di negara ini juga sedikit sebanyak menyumbang kepada perkara ini. Peningkatan kos perubatan turut membuatkan pesara akan lebih tersepit apabila terpaksa mendapatkan rawatan untuk diri sendiri dan keluarga. Sekiranya mereka masih bekerja, syarikat boleh menanggung kos perubatan mereka termasuk keluarga. Oleh itu, lanjutan usia persaraan ini akan memberi peluang kepada pekerja-pekerja swasta ini mengumpul lebih wang. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaporkan, 73 peratus daripada pencarumnya mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 sewaktu bersara manakala hanya 17 peratus mempunyai simpanan melebihi RM100,000.

Maka, bagaimanakah pekerja ini boleh menyara kehidupan selepas bersara dengan simpanan sebanyak RM50,000 itu dalam tempoh mungkin 20 tahun lagi? Jangka hayat penduduk di negara ini dianggarkan 75 tahun. Dengan hutang piutang yang masih berkepuk, anak yang masih bersekolah dan ada juga yang masih belajar di peringkat pengajian tinggi, hari tua akan dilalui dengan keperitan. Sebenarnya di seluruh dunia, agak sukar untuk kita menemui negara yang menetapkan umur persaraan di bawah 60 tahun. Kebanyakan negara Eropah telah lama menetapkan 65 sebagai umur persaraan. Negara seperti Amerika Syarikat dan Jerman pula menetapkan 67 tahun.     Thailand pun sudah menetapkan 60 sebagai umur persaraan. Jadi kenapa pekerja swasta di negara ini tidak boleh bekerja dalam usia itu. Adakah kita sudah membuat setting sendiri, apabila mencapai usia 50-an produktiviti kita bekerja mulai menurun? Dan apakah kita pasti dalam usia 20-an, 30-an dan 40-an kita mempunyai produktiviti yang tinggi dan menunjukkan kerajinan yang luar biasa?

Kita pun maklum, dalam usia muda, ada juga yang tidak memberi sumbangan kepada syarikat dan bekerja secara ala kadar hanya menunggu gaji pada akhir bulan. Golongan ini ibarat ‘tua sebelum waktunya’ dan jika di pejabat hanya menunggu waktu tamat bekerja dan bila habis waktu, tergesa-gesa pulang ke rumah. Maka tidak adil kita menilai golongan warga emas ini sebagai tidak produktif. Dengan lanjutan usia persaraan, syarikat menerima manfaatnya dengan membolehkan pekerja-pekerja berpengalaman dan berkemahiran dipanjangkan lagi khidmat mereka. Golongan ini adalah aset kepada syarikat dan negara, kepakaran mereka tidak boleh dibiarkan habis begitu sahaja. Jadi, janganlah terlalu menyimpulkan langkah ini dengan cara yang simplistik dengan mengaitkan lanjutan usia persaraan ini dengan belia menganggur, kemudian menjadi mat rempit dan melakukan jenayah.       Banyak penyumbang lain kepada faktor pengangguran dan peningkatan jenayah. Untuk berlaku adil, seharusnya kita melihat cadangan lanjutan usia persaraan ini sebagai peluang dan pada masa sama cabaran kepada semua.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Mingguan Malaysia
17 Jun 2012

14 Jun 2012

ISU IPT : DITIMPA PENYAKIT RASA BAGUS


Rencana ini ditulis oleh :
Ruhaiza Rusmin


Kisah mahasiswa Melayu yang sering dikategori kelas kedua bukan isu baru malah menimbulkan pelbagai polemik di kalangan masyarakat. Malah, senarai panjang mahasiswa Melayu yang hanya mampu mendapat keputusan sederhana menyebabkan masyarakat tiada pilihan selain memberi tanggapan serupa. Mendominasi sebahagian besar tempat di menara gading, kecemerlangan mahasiswa Melayu masih boleh dibilang jari hingga menimbulkan persoalan, mengapa mereka sukar mencipta kejayaan membanggakan? Apa bezanya di antara mahasiswa Melayu dan bangsa asing, sedangkan mereka belajar di kampus yang sama?

Pengarah Pusat Akreditasi Pembelajaran Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Khaidzir Ismail, berkata soal tidak pandai bukan pokok persoalan namun bagaimana mentransformasikan minda mereka supaya keluar dari zon selesa. Beliau berkata, pengukuhan terhadap zon itu menyebabkan minda mahasiswa Melayu tidak mampu menjana informasi lain menyebabkan mereka mudah tergelincir daripada matlamat asal di menara gading. “Sebahagian besar mahasiswa kita berada dalam zon selesa. Mereka kumpulan majoriti yang menjadikan menara gading sebagai transit ilmu yang penuh kebebasan. Pentafsiran salah akhirnya akan memakan diri kerana kebebasan itu diolah dengan cara dan makna tidak tepat. Sepatutnya, menara gading tempat cabaran sebenar dan bakal menentukan mereka menjadi manusia berguna atau tidak,” katanya.

Sangat klise mengaitkan pencapaian mahasiswa Melayu di institusi pengajian tinggi negara namun itulah terpaksa ditelan apabila keputusan peperiksaan sebahagian besarnya hanya bertahap sederhana atau cukup makan. Keputusan itu cukup mendukacitakan selain tidak setimpal keputusan cemerlang diperoleh dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). “Masyarakat akan mempertikaikan adakah universiti memang membuat pilihan calon yang betul mengikut kriteria? Mereka layakkah? Kalau ya, mengapa hasilnya menghampakan?” soalnya. Enggan menafikan, beliau berkata kebanyakan mahasiswa Melayu mudah terleka dengan sogokan janji manis hingga mereka tersungkur. Pendirian mereka rapuh. Awalnya memang berkobar-kobar dan berjanji belajar bersungguh-sungguh. Namun, apabila khayal dengan sogokan tertentu, janji yang dipahat dulu hilang sekelip mata. Mahasiswa hari ini tampak cukup hebat fizikalnya namun rapuh dalaman menyebabkan mereka mudah ‘tumbang,” katanya.

Mereka pandai namun menyalurkan kepandaian itu pada tempat tidak sepatutnya. “Definisi pandai sangat subjektif. Memperoleh keputusan semua A, memang bijak tapi adakah mereka juga pandai membawa diri? Pandaikah mereka bergaul dengan rakan lain, membahagikan masa atau menepis godaan yang datang? Minta maaf kerana pemerhatian saya mendapati kebanyakan kepandaian mereka disalurkan pada kegiatan kurang berfaedah,” katanya. Katanya, mahasiswa Melayu perlu disedarkan bahawa tiada lagi jaminan menanti jika hanya mampu memperoleh keputusan sederhana. “Dulu mungkin boleh tetapi kini keadaan sudah berubah. Masing-masing berusaha ‘memintas’ antara satu sama lain menjadikan peluang semakin mengecil. “Tidak boleh lagi berangan-angan dan bersikap tunggu dan lihat. Alasan tertentu bagi menyedapkan hati juga sudah tidak berguna kerana yang penting bangkit mengejar peluang. Malangnya, sebahagian besar mereka masih terlena dan berpegang pada kepercayaan, mahasiswa Melayu ada jaminan dan keistimewaan. Ini silap,” katanya.

Beliau berharap mahasiswa mengikis sikap tinggi diri yang menjulang hanya kerana kejayaan pencapaian sebelumnya. “Bukan menuduh tapi kebanyakan mahasiswa kita selalu ‘ditimpa’ penyakit perasaan bagus dan bangga diri hanya kerana diterima masuk universiti. Di universiti, mereka belajar cara tidak konsisten, pasif, malu bertanya, melaksanakan tugasan di saat akhir serta sentiasa mengharapkan bantuan pensyarah. Asalkan mampu menamatkan pengajian, itu sudah memadai. Budaya yang perlu dikikis dari minda mahasiswa Melayu,” katanya.  Begitupun, beliau tetap optimis, mahasiswa Melayu boleh cemerlang sekali gus menutup mulut masyarakat yang memperlekehkan pencapaian mereka,” katanya.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
11 Jun 2012



12 Jun 2012

ISU UMUM : ANTARA EURO 2012 DAN RATU CANTIK


Rencana ini ditulis oleh :
Johardy Ibrahim


Apa beza kejohanan bola sepak negara-negara Eropah atau Euro 2012, berbanding pertandingan Ratu Cantik? Tidak banyak. Mungkin daripada segi tempoh lama, kejohanan bolasepak Euro mengambil masa tiga minggu berbanding Ratu Cantik yang hanya seminggu. Tetapi tidak selama permainan kriket. Persoalan di atas saya kemukakan kerana kebanyakan kaki bola sudah pun membuat ulang kaji mengenai pasukan dan pemain yang bertanding dalam Euro 2012, bermula Jumaat lalu. Kaki bola yang dimaksudkan itu merangkumi kedua-dua jantina, meskipun kadar kaum adam jauh lebih tinggi berbanding hawa. Ekoran itu, kaum hawa sering diejek dalam ayat begini: ''Tatkala lelaki menonton permainan, wanita menonton pemain''. Maka berlakulah perdebatan setiap kali musim bolasepak sama ada Euro atau Piala Dunia atau Piala ASEAN. Namun, bagi anda yang sering ke stadium sama ada menyokong pasukan dalam Liga Perdana Malaysia atau menyorak skuad Malaysia, kehadiran penyokong wanita adalah ketara ramai.

Jika dulu lazimnya wanita datang bersama pasangan atau ahli keluarga tetapi kini, mereka datang sendiri dalam gerombolan kawan yang besar. Daripada segi sukan, pertambahan bilangan penyokong wanita adalah bagus, merangkumi aspek komersial iaitu pembelian jersi replika pasukan yang duitnya boleh dipusingkan semula ke dalam kelab. Fakta bilangan wanita yang ramai meminati bolasepak, masih dipandang enteng oleh lelaki terutama yang tebal sifat chauvinis. Maka berulang kembali ejekan : ''wanita menonton pemain''. Wanita dituduh tidak mengerti pun bagaimana sesuatu format permainan, apa dimaksudkan set-pieces, formasi diamond atau counter-attacking. Tuduhan lebih berat ialah wanita tidak tahu pun senarai pemain negara, kecuali hero-hero peribadi mereka yang bermain dalam kelab di Liga Perdana Inggeris atau Sepanyol. Betapa kekeliruan begitu kronik apabila seorang gadis yang ditemubual dalam radio mengenai Euro 2012 menjawab 'dia menyokong Argentina kerana Lionel Messi bermain untuk Barcelona'.

Bila wanita suka bolasepak kerana pemain, butir-butir perbualan mereka akan berkisar kepada ketampanan dan badan tegap Cristiano Ronaldo (Portugal), Robin van Persie (Belanda) dan Steven Gerrard (England). Ramai lagi sebenarnya. Ini sekadar contoh. Persepsi ini juga tidak dibantu oleh stesen televisyen sukan yang mengenengahkan pengacara wanita dengan pakaian seksi dan tumpuan perbualan lebih kepada personaliti tampan. Namun kebelakangan ini, terdapat perubahan yang positif. Pengacara wanita tidak ditampilkan sebagai tarikan seks semata-mata dalam program bual bicara bolasepak. Secara umumnya tuduhan itu semua akan setuju tetapi jangan pandang rendah. Ini kerana makin ramai wanita yang belajar mengenai teknik dan format bolasepak. Mempelajari format bolasepak bukan bermakna hendak melatih isteri menjadi pengurus pasukan suatu hari nanti. Malah, anda patut mendengar pernyataan marah orang rumah saya terhadap pengadil Hong Kong bagi perlawanan Malaysia dan Singapura, Jumaat lepas.

Siap dengan perincian dari mula gerakan sehingga bagaimana Khairul Fahmi hilang fokus dan gol penyamaan di minit terakhir perlawanan tetapi jika diulangi pernyataan marahnya di sini, mungkin akan menyebabkan saya digantung oleh FIFA. Seorang teman memberitahu, dia tidak lokek berkongsi pengetahuan dengan isterinya semasa menonton bola di televisyen. ''Dengan ilmu, isteri saya tidak akan cepat jemu dan boleh menemani saya sehingga tamat perlawanan," itu rasionalnya. Kalau sorak sama tidak mengapa. Kalau suami sokong Liverpool, isteri sokong Manchester United keadaan akan jadi agak sensitif. Menurut satu kaji selidik firma Repucom terbaru, wanita di Jerman dan Itali kini mewakili hampir 50 peratus daripada keseluruhan penyokong negara tersebut Malah ia jauh lebih tinggi berbanding England, yang mana Liga Perdananya adalah paling popular di dunia tetapi hanya menerima sekitar 33 peratus sokongan wanita.

Menurut kaji selidik itu, perbezaan angka sokongan itu ada kaitan dengan prestasi lemah England di peringkat antarabangsa tetapi impak ke atas jenama yang dijana oleh England begitu ketara pada jualan baju replika. Dalam konteks ini, England jauh ke depan. Jadi apa bezanya menonton bolasepak dan pertandingan ratu cantik? Daripada segi penonton, secara kumulatif hampir 5 bilion dijangka menonton Euro sejak Jumaat lepas hingga 1 Julai ini. Setiap perlawanan dianggarkan menarik kira-kira 150 juta penonton di seluruh dunia. Bagi pertandingan ratu cantik pula, ia telah menarik lebih 1 bilion penonton di 190 negara menyaksikan Ratu Angola, Leila Lopes dimahkotakan sebagai Ratu Universe pada tahun lalu. Sekiranya, lelaki cauvinis berterusan menempelak wanita sebagai 'menonton pemain, bukan permainan bolasepak', apa bezanya lelaki menonton pertandingan ratu cantik? Apakah kerana kaum lelaki menyokong program kebajikan yang diusahakan oleh seseorang peserta ratu cantik atau teruja dengan ayat 'demi keamanan dunia' semata-mata? Tiada beza, kan?

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
12 Jun 2012


ISU UMUM : BERTINDAK DEMI MASA ANDA DAN NEGARA


Rencana ini ditulis oleh :
AZNUR 'ALYAA SOFIA AZIZ
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTM Shah Alam


Bayangkan keadaan di mana negara mengalami inflasi, pengangguran meningkat seterusnya berlakunya kenaikan harga barangan keperluan yang tidak dapat dikawal sehinggakan golongan ibu bapa terpaksa melakukan dua pekerjaan untuk menyara keluarga. Hal ini boleh menyebabkan institusi kekeluargaan lama-kelamaan boleh runtuh kerana ibu bapa tidak mempunyai masa untuk diluangkan bersama anak-anak kerana kesibukan bekerja. Dalam pada itu pula, pendidikan dijadikan perniagaan untuk mengaut keuntungan. Ekoran itu, yang miskin keciciran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi. Ini semua boleh berlaku disebabkan perubahan kuasa memerintah negara yang diambil alih oleh pihak lain

Apakah ini bakal berlaku? Mungkin juga, kerana ramai lagi dalam kalangan kita yang masih tidak mendaftar dan tidak ambil kisah untuk mengundi setiap kali pilihan raya umum diadakan. Mereka ini sama ada tidak sedar atau tidak tahu akan kepentingan mengundi. Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), seramai 4.3 juta rakyat di negara ini yang berusia 21 tahun dan ke atas masih belum mendaftar. Kajian menunjukkan sikap rakyat yang tidak mengutamakan untuk mengundi adalah faktor utama mereka tidak mendaftar. Memang diakui kebanyakan rakyat di negara ini terutamanya golongan muda gagal untuk memahami politik tanah air atau tidak ambil peduli mengenainya. Ini memberikan impak yang sangat kuat selepas pilihan raya. Golongan ini bagaikan tidak berbangga menjadi rakyat Malaysia. Ini mungkin kerana mereka tidak pernah berdepan dengan penjajahan dan mengalami sendiri keperitan akibat dijajah.

Berikutan disebabkan pemahaman mengenai politik yang kurang, mereka tidak terdedah dengan semangat dan perkara-perkara yang memberi manfaat kepada bangsa dan negara. Dalam pada itu, mereka sering didedahkan dengan berita atau maklumat-maklumat yang kurang tepat mengenai kerajaan yang menyebabkan mereka mengalami kecelaruan maklumat sekali gus membenci kerajaan. Mereka juga mungkin kurang peka negara ini yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Berdasarkan sistem beraja sebelum penjajahan British, raja mempunyai kuasa yang mutlak dalam setiap pemerintahan dan pentadbiran negeri. Raja dibantu oleh pembesar-pembesar yang dilantik. Setelah Tanah Melayu dijajah, kuasa raja mula terbatas iaitu raja harus menerima nasihat Residen British dalam semua perkara kecuali adat istiadat Melayu.

Perkara ini berulang semasa Malayan Union diperkenalkan seterusnya British bertindak untuk menghapuskan kuasa raja-raja Melayu. Perkara ini ditentang hebat oleh orang Melayu dan kuasa raja-raja dikembalikan semula semasa Persekutuan Tanah Melayu diperkenalkan. Institusi beraja telah dikekalkan selaras dengan sistem demokrasi yang diamalkan Malaysia hingga ke hari ini. Raja berperlembagaan bertindak mengikut perlembagaan yang ditetapkan. Kita sebagai rakyat boleh mengekalkan sistem beraja ini dengan cara mengundi. Dengan cara ini juga kita boleh mempertahankan kepentingan bangsa Melayu. Jika tampuk pemerintahan kita bertukar tangan, berkemungkinan besar kuasa raja dikurangkan atau terhapus sama sekali.

Generasi muda ialah orang yang tepat dan bertanggungjawab untuk menentukan nasib bangsa pada masa depan. Justeru mereka harus tahu akan kepentingan mengundi. Daripada menyalahkan pemimpin yang mentadbir negara kononnya tidak betul, seharusnya kita sama-sama membantu kerajaan membangunkan negara, bukan memusnahkannya dengan mengikut telunjuk mana-mana pihak yang ingin menjatuhkan negara ini. Sebagai rakyat, kita mestilah membantu kerajaan untuk mengekalkan keharmonian negara. Sesungguhnya urusan politik negara, bukan hanya terletak dalam kalangan pemimpin negara sahaja. Politik ada kaitannya dengan masa depan rakyat Malaysia termasuk golongan muda di negara ini.

Sebagai rakyat Malaysia, kita sepatutnya mempertahankan hak keistimewaan yang disediakan. Setiap rakyat Malaysia berhak menentukan masa depan masing-masing dengan mengundi pemimpin atau parti politik yang mampu menjaga kepentingan bangsa dan negara. Bukan hanya untukmelindungi kepentingan individu atau parti. Setiap rakyat pasti mahukan yang terbaik untuk masa depan mereka. Sebagai pewaris bangsa, golongan muda haruslah sedar akan tanggungjawab dan melakukan sesuatu untuk membuktikan bahawa kita juga berperanan besar dalam menentukan masa depan bangsa dan negara. Perjuangkan hak anda selagi mampu. Walaupun Malaysia adalah negara yang aman dan rakyat berada dalam keadaan yang selesa tetapi keadaan ini tidak akan berterusan jika kerajaan tidak mendapat sokongan rakyat.

Di samping itu, kita ditugaskan untuk mempertahankan kemerdekaan yang dicapai hasil keberanian dan keperitan pejuang-pejuang kemerdekaan. Ramai yang terkorban dalam mencapai kemerdekaan itu. Maka, janganlah kita mempersia-siakan pergorbanan mereka. Justeru golongan muda berhak mengundi pemimpin yang dirasakan mampu mempertahankan bangsa dan negara. Cuba fikir sejenak, pihak mana yang banyak membantu rakyat selama ini manakala pihak mana pula hanya mencetuskan kekacauan.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
12 Jun 2012

ISU UMUM : 2012 - 2016 TEMPOH TRANSFORMASI CYBERJAYA


Rencana ini ditulis oleh
THOMAS CHONG


Masih segar dalam ingatan Pengerusi Setia Haruman Sdn. Bhd. (SHSB), Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar bagaimana syarikatnya terpaksa menawarkan kadar sewa subsidi bagi menarik lebih banyak pelabur ke Cyberjaya. Saban malam, beliau gagal memejamkan mata kerana memerah otak memikirkan masa depan Cyberjaya. Namun masa-masa sukar yang meninggalkan kenangan pahit tersebut sudah jauh berlalu, Mustapha Kamal yang meneraju SHSB sebagai pemaju utama Cyberjaya kini boleh tersenyum bangga dengan usaha yang telah beliau taburkan. Daripada sebuah ladang kelapa sawit, Cyberjaya kini menempatkan empat institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) selain syarikat dan organisasi antarabangsa terkenal seperti Shell, Dell, HP, HSBC, IBM, BMW, Ericsson, Huawei dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Walaupun begitu, suasana sunyi yang membosankan akan mula dirasai sebaik sahaja memasuki waktu senja apabila pekerja-pekerja syarikat antarabangsa dan penuntut IPTS di Cyberjaya mula 'mengosongkan' bandar ini. Kenyataan ini memang ada benarnya kerana berdasarkan statistik terkini, populasi Cyberjaya pada waktu siang sekitar 54,000 orang tetapi angka tersebut mengucup mendadak menjelangnya waktu malam. Adalah sukar untuk melihat Cyberjaya sebagai bandar yang bertenaga pada waktu malam kerana sebaik-baik matahari membenam, pejabatnya akan kosong dan jalan-jalan pula menjadi lengang. Cuma di satu dua kawasan sahaja kelihatan kelibat para penuntut berborak-borak di kedai-kedai mamak atau restoran. Ada juga yang mendakwa situasi ini disebabkan oleh ketiadaan pusat-pusat hiburan di Cyberjaya.

Penduduk Cyberjaya pada masa ini hanya sekitar 13,000 orang berbanding populasi di bandar bersebelahan iaitu Putrajaya yang melebihi 85,000 orang. Namun perlu diingatkan bahawa pembangunan dan perkembangan Putrajaya boleh dikatakan dipacu oleh sektor awam di mana pembinaan kuarters dan pejabat kerajaan membawa kepada pertambahan penduduk secara mendadak. Berlainan dengan Putrajaya, Cyberjaya mempunyai cabaran yang tersendiri kerana ia tidak dirancang sebagai sebuah bandar 'penjawat awam' sebaliknya pembangunannya perlu dipacu sektor swasta. Sebagai sebuah bandar baru, Cyberjaya memiliki pelbagai kelebihan yang tidak dimiliki oleh bandar-bandar lain kerana pembangunannya dijalankan secara terancang mengikut perkembangan teknologi binaan dan perancangan bandar yang baik.

Cabaran utama Cyberjaya bagaimanapun terletak pada kemampuannya untuk menjadi sebuah bandar bertenaga seperti Kuala Lumpur, Puchong atau Subang Jaya. Atas kesedaran ini, SHSB sebagai pemaju utama telah mewujudkan pelan gelombang baru Cyberjaya di mana syarikat itu bersama 16 pemaju lain dijangka melabur RM20 bilion mulai tahun ini hingga 2016. Dalam tempoh tersebut, SHSB sendiri dijangka melabur RM2.5 bilion dalam empat projek iaitu masing-masing dua projek komersial dan perumahan. Projek komersial SHSB melibatkan pembinaan pusat beli-belah, kedai, pejabat, kemudahan santai dan hiburan serta unit pejabat rumah (SOHO). Trend pelaburan dalam perumahan komersial sepanjang 2012 hingga 2016 menampakkan usaha untuk meningkatkan populasi Cyberjaya serta menjadikannya sebagai sebuah bandar yang bertenaga tidak kira siang atau malam.

Mustapha Kamal melihat tempoh 2012 hingga 2016 sebagai fasa pembangunan yang penting buat Cyberjaya kerana ia bakal menentukan kejayaan bandar itu sebagai Lembah Silikon Malaysia. Sememangnya SHSB mempunyai cita-cita yang besar untuk menjadikan Cyberjaya setaraf seperti Bangalore yang merupakan Lembah Silikon India. ''Kita menyasarkan supaya selepas fasa pembangunan 2012 hingga 2016, kita akan bersedia untuk membawa masuk syarikat-syarikat berimpak tinggi yang boleh memberi kesan penting kepada ekonomi negara. ''Kita mahu membawa syarikat bermutu yang mampu menyediakan peluang pekerjaan profesional kepada rakyat Malaysia," katanya dalam taklimat media baru-baru ini. Cita-cita untuk menjadikan Cyberjaya setaraf Bangalore malahan Santa Clara Valley iaitu Lembah Silikon India dan Amerika Syarikat sememangnya mencabar, tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil.

Ia berasaskan kepada hakikat bahawa Cyberjaya telah menunjukkan pembangunan mantap sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan banyak pelabur baru mengintai potensi tempat ini yang terletak di sebelah Putrajaya dan tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Putrajaya, Cyberjaya dan KLIA, ketiga-tiga tempat ini asalnya hanya ladang kelapa sawit tetapi kini masing-masing menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, pusat pelaburan berimpak tinggi dan pintu masuk utama ke Malaysia. ''Dengan aktiviti pembangunan yang begitu pesat di Cyberjaya, kita menjangkakan Cyberjaya akan memasuki gelombang baru lima tahun akan datang. Ia akan menjadi sebuah bandar yang bertenaga dan selesa diduduki," kata Mustapha Kamal.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
12 Jun 2012

08 Jun 2012

ISU SOSIAL : PENGIKTIRAFAN PERPADUAN MALAYSIA


Rencana ini ditulis oleh
PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia


Perpaduan menjadi kekuatan negara ini. Banyak negara yang punah akibat ketegangan hubungan warganya sehingga berakhir dengan konflik berterusan namun Malaysia masih aman. Dalam senarai Indeks Keamanan Global (GPI), kedudukan Malaysia tahun lalu meningkat ke tangga ke-19 berbanding tempat ke-22 tahun sebelumnya; mendahului Singapura dan kedudukan paling atas dalam kalangan negara Asia Tenggara dan kedua di belakang Jepun di Asia. Selepas 55 tahun, kita masih bercakap mengenai perpaduan dalam kalangan masyarakat yang rencam. Apakah perpaduan gagal hari ini ataupun keupayaan mengurus kepelbagaian oleh pihak berwajib membolehkan negara terus dilimpah dengan pengiktirafan dan penghormatan oleh dunia luar? Dalam pertemuan dengan ketua-ketua agama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menyampaikan hasrat hati bahawa tanpa adanya perpaduan, kerajaan akan gagal merealisasikan Pelan Transformasi di bawah kepimpinan beliau.

Apabila menyampaikan ucapan pelancaran Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi pada April lalu sempena tiga tahun Najib menjadi Perdana Menteri, kesemua perincian pencapaian adalah kerana adanya sifat kepunyaan dan unjuran dasar untuk memastikan transformasi sebagai satu perjalanan tidak terganggu disebabkan oleh pelbagai aliran politik yang berbeza. Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dalam titah sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong minggu lalu turut bertitah agar rakyat bersatu padu dan tidak bermusuhan antara satu sama lain yang boleh membawa musibah jika terlalu selesa dengan apa yang dinikmati selama ini. Dalam persekitaran sedemikian rupa, kita mesti mengimbas semula - mengapakah pemimpin era kemerdekaan bersedia melakukan pengorbanan dan kompromi yang cukup bermakna ketika itu? Adakah ia bersifat strategi politik semata-mata atau sememangnya pemimpin-pemimpin ketika itu sudah boleh menjangkakan rakyat negara ini akan bertelagah jika tidak digambarkan wujudnya ikatan kepimpinan pelbagai etnik sebagai teras untuk memimpin dan menerajui kerajaan.

Kerajaan yang ampuh adalah berasaskan kepada tadbir urus yang memahami keperluan dan kemahuan rakyat sebagaimana yang telah dan sedang dilakukan oleh pentadbir hari ini. Yang nyata, pemimpin menjadi lambang kekuatan dalam sesebuah negara pelbagai etnik dan jika mahu meninggalkan negara yang makmur, sejahtera dan hidup berukun untuk generasi akan datang, maka pilihannya ada pada rakyat sendiri. Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah turut bertitah bahawa: "Sekalipun atas nama politik atau apa-apa organisasi janganlah sehingga sanggup meletakkan ia melebihi kepentingan negara, hatta mengucar-kacirkan keharmonian. Ini ternyata suatu perkembangan yang tidak sihat dan sewajibnya dielakkan." Sehingga ke hari ini, Malaysia masih merupakan salah satu model yang menjadi rujukan kepada perpaduan dan keamanan dunia. Ramai yang sangsi kemampuan Malaysia membina sebuah negara-bangsa berakarkan kepada kepelbagaian etnik.

Walaupun melalui proses pasang-surutnya terutama ketika berlaku rusuhan perkauman 13 Mei 1969 diikuti dengan peristiwa Kg. Rawa pada tahun 1998 dan Kg. Medan 2001 serta beberapa percakaran berterusan, akhirnya Malaysia masih gagah walau diasak dengan pelbagai cabaran dan rintangan untuk mengurus kepelbagaian etnik. Malahan, perpaduan Malaysia diiktiraf dunia. Kejayaan untuk menyatupadukan rakyatnya dari berhadapan dengan konflik perkauman menerima sanjungan pemimpin dunia dan pengiktirafan sebagai sebuah negara contoh. Keharmonian kekal. Antara realiti dan persepsi, yang nyata kemuafakatan adalah simbol penyatuan masyarakat pelbagai etnik. Sambutan pelbagai perayaan turut menjadi salah satu petunjuk bahawa ia bebas diteruskan kerana adanya warisan daripada nenek-moyang sesebuah etnik. Zahirnya, persekitaran untuk meneruskan amalan dan ritual sendiri juga terkelompok dalam kepompong ini.

Namun, apakah hari ini kesopanan dan kesusilaan yang turut menjadi kerangka Rukunegara sudah mula luntur akibat manipulasi percaturan politik? Di manakah titik keseimbangan yang dipersetujui sebelum ini melalui kontrak sosial dan apakah sudah mula hadir individu yang menyoal kedudukan institusi Raja-raja Melayu kerana fahaman kepartian politik atau kerana partisipasi politik yang jumud dengan idealisme sendiri tanpa mahu menebuk ruang kosong untuk melihat kelemahan mereka sendiri. Kepercayaan yang pelbagai tidak menyekat seseorang untuk bertanggungjawab ke atas nilai etnik dan kenegaraan tetapi sama ada ia boleh terus stabil bergantung kepada sikap yang rasional terutama dalam mengetepikan kepentingan politik mahu berkuasa dan berkedudukan dalam struktur pentadbiran negara. Kepentingan jangka pendek perlu ditolak jika negara menjadi kepentingan mutlak kesemua rakyat negara ini. Penggunaan pendekatan negatif yang berkecenderungan untuk membawa kepada kepincangan dan mengganggu apa yang sudah dibina selama ini. Pendekatan ini tidak boleh dibenarkan kerana ia akan lebih merugikan dan menyebabkan institusi yang selama ini berfungsi untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat diperkosa oleh mereka yang tidak bertanggungjawab melainkan mahu memenuhi nafsu politik sendiri.

Negara ini sudah pesat membangun. Negara ini tidak boleh mencapai modenisasi dan industrilisasi tanpa pemimpin yang berwibawa dan rakyat yang berteduh di bawah payung panji-panji penginstitusian yang sedemikian rupa acuannya disesuaikan dengan komposisi kependudukan, geografi serta tatacara kemasyarakatannya. Mencorakkan budaya hidup ke arah pembentukan masyarakat berdaya saing adalah kerajaan dan pemerintah yang sentiasa cuba menghindari permusuhan etnik dan perbezaan keagamaan agar nilai muhibah tidak gugur angkara golongan yang tidak bertanggungjawab. Pengiktirafan perpaduan tidak diberikan kepada mana-mana negara kecuali sebagai satu penghormatan kepada yang berkelayakan dan Malaysia merupakan salah satu yang tergolong dalam kumpulan tersebut. Jika badan luar boleh melihat kecemerlangan Malaysia memperkasakan nilai keharmonian, mengapa masih ada yang menjadi warga bertopengkan kewarganegaraan Malaysia tetapi mengkritik setiap langkah yang diambil oleh pihak berwajib? Apakah kepentingan politik melangkaui kepentingan kenegaraan sehingga memalukan negara dan kerajaan kerana berbeza mazhab politik?

Perlu diakui mengurus hubungan etnik merupakan satu usaha berterusan dan sentiasa memerlukan pemantauan dan mekanisme yang disesuaikan dengan perubahan persekitaran. Kejayaan hanya boleh dipertahankan jika masing-masing jujur dan ikhlas dalam memastikan perpaduan tidak dikompromi dengan desakan unsur politik. Kelemahan diakui dan langkah penambahbaikan diambil oleh kepimpinan hari ini dan penyampaian yang jauh lebih baik juga bergantung kepada rasa tanggungjawab rakyat sendiri. Persimpangan perpaduan banyak ranjau dan onak yang perlu dilalui tetapi jika kesemua warga memahami dan mahu memahami kepentingan ia disuburkan dengan nilai kemanusiaan tanpa ada perasaan syak wasangka dan curiga serta kepentingan sendiri, pengiktirafan ke atas Malaysia akan dianggap sebagai berkat kesinambungan warisan kepimpinan yang tidak menyimpang daripada amanat pemimpin kemerdekaan agar kompromi dan pengorbanan dipertahankan demi generasi akan datang. Dalam meraikan pengiktirafan perpaduan, ia adalah pemilikan kita; warga yang bangga menjadi rakyat Malaysia bersama dalam susah dan senang menempuhi kemelut dalaman dan luaran negara.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
6 Jun 2012

07 Jun 2012

ISU BAHASA : KITA TAK PERLU BAHASA RASMI KEDUA


Rencana ini ditulis oleh :
Rejal Arbee
Penulis ialah Felo Kanan di UKM
rejal@mcoba.org


Baru-baru ini penaung diraja Persatuan Pengajar Bahasa Inggeris Malaysia (Melta), Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menyatakan keresahannya terhadap kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat negara ini dengan menyorot kepada kemungkinan ada rakyat yang menganggap tidak patriotik untuk mempelajari bahasa itu.  Baginda juga berkata, ada dalam kalangan mereka itu tidak dapat menerima bahawa menguasai bahasa kedua tiada kena mengena dengan cinta kepada negara. Tanggapan baginda itu tidak salah, bahkan mungkin ada alasan. Malangnya, kenyataannya itu diputarbelitkan sebuah stesen radio swasta yang diketahui mengabaikan penggunaan bahasa Melayu untuk dijadikan bahan perbincangan satu rancangan bual bicara edisi petangnya, Khamis lalu.

Stesen radio itu dengan sengaja memberikan tanggapan lain daripada kenyataan Raja Zarith Sofiah untuk dijadikan bahan perbincangan dengan pendengarnya. Tajuk yang digunakannya ialah apakah perisytiharan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua negara ini tindakan tidak patriotik dengan menyorot kepada apa yang dinyatakan Raja Zarith Sofiah itu. Tiada siapa pun pernah menimbulkan perlunya bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kedua negara sebagai usaha memaksa rakyat memberi tumpuan terhadap penguasaan bahasa itu. Jauh sekali berpendirian usaha menguasai bahasa Inggeris adalah suatu perkara tidak patriotik.  Ramai mengakui penguasaan bahasa Inggeris memang merosot dan perlu dibaiki supaya dapat dikuasai sejumlah besar rakyat negara ini sekiranya mahu melonjak menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 nanti.

Diakui kita sebagai negara yang bergantung kuat kepada perdagangan antarabangsa harus dapat menguasai bahasa itu dengan baik. Bahasa Inggeris sudah dianggap sebagai bahasa antarabangsa. Ini tiada siapa pun menafikan termasuk pencinta bahasa Melayu. Tetapi untuk menyatakan kononnya hanya dengan mengisytiharkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi baru rakyat akan berusaha untuk menguasainya adalah syor melampau, lebih-lebih lagi dikaitkan dengan semangat patriotik seseorang kepada negaranya. Seperti diharapkan pengendali acara bual bicara radio itu, ramailah antara mereka yang menelefon memberi pandangan mempersoalkan kenapa penguasaan bahasa Inggeris mahu dikaitkan dengan perasaan patriotik. Corak perbincangan itu lebih menjengkelkan dengan kebanyakan pemanggil menyokong syor menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua negara ini.

Mereka termasuk ketiga-tiga pengacaranya tidak pula menyatakan apakah hanya dengan perisytiharan itu baru rakyat memberi tumpuan penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris? Tidak dinafikan ramai antara lulusan sekolah kebangsaan termasuk graduan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) amat lemah penguasaan bahasa itu sehingga ada yang gagal mendapat pekerjaan di sektor swasta. Yang perlu dilakukan ialah meningkatkan pembelajaran bahasa Inggeris sejak peringkat sekolah rendah lagi. Usaha ini sudah dilaksanakan Kementerian Pelajaran dengan menambah masa pelajaran bahasa Inggeris daripada 240 minit seminggu kepada 330 minit. Demikian pula bagi pelajar di IPTA perlu diberi perhatian untuk menguasai bahasa itu dengan baik sebelum diberi ijazah. Sehingga kini sebahagian besar graduan IPTA tidak diterima berkerja oleh syarikat swasta kerana penguasaan bahasa Inggeris amat lemah.

Malangnya oleh kerana kelemahan itu ramai antara mereka dianggap tidak boleh berfikir dengan baik. Pihak swasta seolah-olah mahu menyamakan pengetahuan dan kepintaran minda seseorang dengan penguasaan bahasa Inggeris. Kurangnya penguasaan bahasa itu mahu disamakan dengan daya pemikiran yang lemah. Apa kena mengena penguasaan bahasa Inggeris dengan kepintaran minda seseorang tidak pula dinyatakan. Baiknya usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan graduan sudah dilaksanakan di beberapa IPTA. Usaha itu diharap bukan saja menyekat kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris tetapi meningkatkan penguasaannya dalam kalangan ramai rakyat. Tentu usaha itu tidak memerlukan bahasa Inggeris diisytihar sebagai bahasa rasmi kedua.

Walaupun tanpa perisytiharan sedemikian ramai antara rakyat, khususnya kelas menengah dan yang tinggal di bandar besar terus mengagungkan bahasa Inggeris lebih-lebih lagi pihak swasta hingga ada yang tergamak mengabaikan terus penggunaan bahasa Melayu.  Bukan setakat itu saja, hingga sekarang ini pun masih ramai rakyat tidak boleh bertutur bahasa Melayu atau memahaminya. Ruangan ini sudah beberapa kali menimbulkan isu kurangnya perhatian sesetengah rakyat negara ini terhadap penggunaan bahasa Melayu kerana tidak fikir mereka perlu mengetahuinya kerana hanya mahu bergaul sesama bangsa tanpa mahu berinteraksi dengan rakyat yang berlainan kaum.  

Oleh itu ramai lulusan sekolah Cina masih tidak dapat menguasai bahasa Melayu walaupun lulus dalam mata pelajaran itu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka mempelajarinya hanya kerana terpaksa untuk lulus SPM bukan kerana mahu memahaminya atau boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan itu.  Mahkamah masih perlu menyediakan jurubahasa kepada tertuduh keturunan Cina atau India kerana mereka tidak boleh memahami pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Melayu. Apakah kesimpulan yang boleh kita ambil daripada keadaan demikian ini?  Bukankah keadaan ini sudah berleluasa walaupun tanpa bahasa Inggeris diisytihar sebagai bahasa rasmi. Apa agaknya yang akan berlaku jika pengisytiharan demikian dilaksanakan? Tentu lebih ramai rakyat negara ini akan terus mengabaikan penggunaan bahasa Melayu. Mungkinkah ini yang dikehendaki orang sebegini?

Sila berikan komen anda. Terima Kasih.

Sumber
Berita Harian
7 Jun 2012

06 Jun 2012

ISU IPT : TAHUKAH PELAJAR APA YANG MEREKA CAKAPKAN?


Oleh AZZMAN ABDUL JAMAL
PENULIS ialah pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM)


Ramai orang sedar bahawa pelajar-pelajar di peringkat universiti, insya-Allah akan menjadi pemimpin pada masa akan datang. Persoalannya, adakah mereka bersedia untuk didedahkan dengan isu politik? Mengetahui tentang politik dan mengundi merupakan salah satu tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia. Tetapi, tahukah mengapa kita mengundi terhadap seseorang? Perkara ini selalu dipersoalkan oleh rakyat terutamanya pelajar. Jika pergi ke mana-mana kedai mamak, topik yang selalu disembangkan adalah isu politik. Sebagai seorang pelajar, saya juga ingin mengambil tahu tentang isu ini kerana sedar isu ini juga ada kaitan dengan hidup saya. Jadi, sebelum membuka mulut tentang sesuatu perkara, saya harus mengumpul sebanyak maklumat yang mungkin supaya tahu apa yang saya cakapkan.

Malang sekali, kaedah ini tidak digunakan oleh sesetengah orang. Disebabkan ini saya tertanya-tanya, di manakah mereka mendapat maklumat? Sebelum ini, saya ada bertanya beberapa pelajar tentang isu ini. Soalan saya adalah "adakah pelajar bersedia untuk didedahkan dengan isu politik, dan adakah mereka layak untuk didedahkan dengan isu ini?" Kebanyakan jawapan saya terima amat menyedihkan. Pelajar menyatakan bahawa mereka patut didedahkan dengan isu ini. Tetapi, berdasarkan komen-komen yang saya terima, sumber rujukan mereka menjadi persoalan utama saya. Selain daripada bertanya, saya juga perasan ada yang berani post di dalam laman sosial Facebook dengan maksud yang tersirat, menyokong pihak-pihak tertentu. Orang yang post status tersebut menarik perhatian saya, kerana saya ingin tahu mengapa orang tersebut sungguh yakin dengan pihak yang beliau sokong.

Jika kita (rakyat) membuka telinga dan memberi perhatian dengan teliti, kita sebenarnya boleh perasan bahawa kes tuduh-menuduh sesetengah pihak sudah semakin berleluasa. Malah, ada yang menyatakan tentang rasuah. Pada mulanya, saya keliru kerana tidak mengetahui sumber apa yang patut saya rujuk. Di sini, saya mengambil kesempatan untuk mengucap terima kasih kepada pensyarah-pensyarah saya kerana merekalah yang sebenarnya membuka mata saya. Salah seorang pensyarah saya menyatakan "Teenagers are very critical". Maksud beliau adalah remaja-remaja terlalu cepat membuat kesimpulan. Dengan kata lain, cepat sangat menuduh. Disebabkan kenyataan tersebut, saya mendapat ilham untuk memandang isu politik dengan lebih mendalam. Walaupun ilmu saya tidaklah setanding dengan ahli politik, saya kini sedar dan tahu di manakah kesilapan pelajar-pelajar yang ingin mengetahui tentang isu politik.

Sumber rujukan selalu menjadi persoalan saya. Seperti contoh, ada sesetengah orang berani menuduh sesetengah pihak terlibat dalam rasuah. Tetapi, yang melucukannya adalah, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) baru hendak mengkaji tentang isu itu. Maksud saya, bagaimana orang yang menuduh pihak-pihak tertentu boleh membuat kesimpulan lebih pantas daripada SPRM. Perkara ini yang patut difikirkan oleh orang yang suka buat tuduhan. Bagi pendapat saya, rasuah adalah tindakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri. Walaupun yang melakukan rasuah berada dalam salah satu parti ataupun kumpulan, ia tidak bermaksud bahawa parti dan kumpulan tersebut terlibat sekali. Ini yang selalu orang salah faham. Jika mahu diringkaskan, orang yang membuat rasuah bertindak di atas kemahuannya sendiri dengan mengambil kesempatan dan menyalahgunakan kuasa yang diberi. Itu tidak bermaksud seluruh kumpulan tersebut terbabit dalam isu ini.

Selain itu, ada yang menyatakan "Malaysia tidak ada kebebasan bersuara". Jadi, saya bertanya, apakah yang dimaksudkan dengan kebebasan bersuara? Walaupun saya tidak mengetahui tentang akta-akta tertentu, tetapi Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri menyatakan rakyat juga ada hak bersuara tetapi ia mestilah berdasarkan undang-undang Malaysia. Bukankah itu bermaksud rakyat juga mempunyai hak bersuara? Jadi kenapa isu ini disuarakan? Sebab itulah saya tekankan sebelum kita membuat keputusan, rujuk dahulu dengan sumber-sumber yang ada. "Jangan main hentam sahaja." Bagaimana kita hendak memilih pemimpin kita? Siapa yang kita hendak mengundi? Saya percaya setiap orang mempunyai hak untuk memilih pemimpin negara. Tetapi, dari sudut mana yang patut kita pandang? Daripada kita tuduh-menuduh sesetengah pihak, apa salahnya jika kita pandang dari sudut yang positif? Fikir balik sebagai rakyat apa yang kita sudah dapat. Jangan kita mengundi berdasarkan perbandingan pemimpin dari sudut negatif.

Sebelum kita hendak mengundi sesuatu pihak, kita harus fikir semula dan bersedia dengan apa yang bakal kita tempuhi. Rujuklah sumber-sumber yang boleh dipercayai, janganlah kita membuat keputusan berdasarkan "gossip". Sebagai pelajar dan juga rakyat Malaysia, saya percaya, untuk mengetahui tentang sesuatu isu, kita harus fikir dengan lebih dalam. Dan jika kita tidak berpuas hati dengan sesuatu, kita harus menegur dan juga memberi penyelesaian. Bukannya tegur dan buat kesimpulan. Janganlah kita lupa, di Malaysia rakyatlah yang bertanggungjawab untuk memilih pemimpin, bukan sebaliknya. Sebab itulah pentingnya untuk kita menjalankan tugas kita sebagai rakyat untuk mengundi.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
6 Jun 2012

ISU PENDIDIKAN : ALIRAN SAINS ATAU ALIRAN SASTERA?


Oleh Ihsan Noorzali


Entah mengapa aliran sains dan sastera sering kali dijadikan perbandingan masyarakat hingga timbul ‘konfrantasi’ tidak munasabah. Ada melabelkan sains sebagai aliran elegan dan berprestij sementara sastera lebih menyuntik nilai kemanusiaan serta estetika. Walaupun sering dilanda kritikan dan konflik, sesiapa pun tidak boleh menafikan kepentingan dua aliran berkenaan dalam menjana pembangunan proses pendidikan serta pembangunan negara menerusi cara masing masing. Persoalannya, mengapa masih ada pihak yang tidak faham?

Pensyarah kanan di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Madya Dr Abdul Halim Ali berkata, sama ada sains atau sastera, kepentingan utama perlu didahulukan iaitu melahirkan pelajar yang boleh menjadi aset berguna negara. Menurutnya, kedua-dua aliran itu bersifat subjektif dan hanya asas mengukur kemampuan pencapaian akademik pelajar. Justeru, tidak perlulah ia digembar-gemburkan secara keterlaluan hingga ‘melukakan’ hati sesetengah pihak. Kedua-duanya hanya aliran yang diwujudkan bagi memenuhi keperluan semasa. Sama ada sains atau sastera, yang perlu ditekankan ialah bagaimana mahu melahirkan pelajar seperti dikehendaki Falsafah Pendidikan Negara. Pertikaian atau diskriminasi itu hanya menjadikan pelajar mahupun dunia pendidikan negara berkecamuk, sekali gus boleh menggagalkan usaha dilakukan.

Isu berat sebelah aliran sains dan sastera yang disensasikan berupaya mewujudkan senario ‘diskriminasi’ kurang sihat antara satu sama lain. Tanggapan bahawa aliran diikuti adalah yang terbaik secara dalamannya menjadikan proses pendidikan negara berlangsung dalam suasana tidak harmoni. Padahal pendidikan bertujuan melahirkan insan berhemah dan berkualiti dengan ilmu serta proses pendidikan diikuti. Bukannya melahirkan kelompok yang membuat perbandingan berdasarkan status aliran. Ini bercanggah dan lari daripada konsep penerapan ilmu disasarkan. Beliau tidak menolak kepentingan sains dalam dunia aliran moden, namun mengakui sastera juga mempunyai fungsi tersendiri serta penting dalam menjana kemajuan. Menurutnya, jika semuanya berpaksikan sains dan teknikal semata-mata, nilai kemanusiaan pasti hilang, sekali gus melahirkan ‘manusia – mesin.

Biarpun konsep sains dan sastera berbeza, namun kedua-duanya penting untuk melahirkan insan dengan aplikasi ilmu yang mampu dimanfaatkan bersama. Sains dan sastera lahiriahnya tidak boleh dipisahkan biarpun globalisasi dunia menjadi agenda utama. Gabungan kedua-duanya berperanan melahirkan kemajuan. Tidak adil apabila salah satu pihak mendabik dada mengatakan dialah yang terbaik. Ditekankan, dalam proses menuntut ilmu, semuanya baik asalkan tidak melanggar batasan,” katanya mengakui gabungan sains dan sastera mampu melahirkan pelajar yang bukan saja sensitif juga praktikal. Sensitif dengan nilai kemanusiaan dan emosi sementara praktikal dalam menjana proses kehidupan yang berteraskan material. Dunia moden hari ini memerlukan gabungan semua aspek, justeru tidak perlu menjadikan sains atau sastera sebagai penanda aras tertentu. Pelajar berjaya adalah mereka yang bijak mengaplikasikan pelbagai nilai dalam kehidupan dan tahu mewujudkan peluang.

Beliau juga menolak tanggapan pelajar aliran sastera kurang bijak. Mengambil contoh ilmuwan terkenal seperti Albert Einstein, dia berkata, di samping menjadi ahli sains, mereka juga tidak mengetepikan kepentingan sastera. Mereka adalah golongan bijak sains, namun tetap mahu memartabatkan sastera. Mengapa? Sebab tahu nilai ilmu diperoleh tinggi dan tidak terbatas. Malah gabungan kedua-duanya memudahkan mereka meletakkan diri dalam pelbagai situasi. Tidakkah ini membuktikan kedua-duanya sama penting? Ilmu biar apapun kondisinya, jika mampu memberi manfaat tetap berguna,” katanya yang meminta semua pihak memberi sokongan kepada pelajar biar apa pun alirannya. Paling penting, mereka berjaya merentas dunia pendidikan dengan baik dan menjadi insan berguna dan berilmu.

Ketua Jabatan Biologi UPSI, Dr Hasimah Alimon berkata, perubahan pesat dunia dan teknologi moden hari ini menjadikan sains satu keperluan asas paling utama. Beliau juga tidak menidakkan keperluan sastera, namun sangat berharap supaya kapasiti pelajar sains sentiasa dipertingkatkan. Keperluan zaman sentiasa berubah dengan sains dan teknikal mendominasi carta permintaan dunia hari ini. Disebabkan permintaan itu, semua pihak tiada pilihan selain menyahut cabaran disediakan supaya kita mampu berdiri sama tinggi dengan yang lain. Benar, sastera juga ada kepentingannya, namun kerana senario yang menguasai keadaan, pilihan utama perlu didahulukan. Walaupun dianggap berprestij dan penting, aliran itu bagaimanapun masih belum mampu menarik minat sebahagian besar pelajar memilihnya. Subjek sukar, akuinya, adalah faktor mengapa ia kurang menjadi pilihan biarpun prospek ditawarkan cukup cerah. Jika sastera ada cabarannya, sains juga begitu kerana aliran ini ‘bergelut’ untuk menarik perhatian pelajar. Taraf prestij tidak menjanjikan ia menjadi pilihan. Justeru, biar apa pun pilihan aliran, masing-masing ada kepentingannya kepada penjanaan proses pendidikan negara.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Harian Metro
4 Jun 2012


04 Jun 2012

ISU AGAMA : BERTUDUNG TETAPI BERPAKAIAN SEPERTI TELANJANG?


Rencana ini ditulis oleh :
DAYANA BAHAZELAN
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam


Sejak akhir-akhir ini kita dapat melihat gaya wanita bertudung kepala ibarat sudah menjadi satu trend di Malaysia. Ini memberi petanda yang baik kepada negara kita yang merupakan sebuah negara majoriti penduduknya orang Melayu yang beragama Islam. Seperti kita sedia maklum pemakaian tudung serta menutup aurat adalah satu kewajipan yang harus dipatuhi sebagai seorang Muslim. Tetapi ada segelintir wanita seolah-olah mempersendakan agama dengan cara pemakaian tudung mereka. Soalnya, mengapa bertudung tetapi masih memakai pakaian seolah-olah bertelanjang? "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihani." (Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab: Ayat 59)

Ambil iktibar berdasarkan petikan surah ini yang menyeru kita sebagai kaum hawa harus mengetahui bahawa menutup aurat itu wajib dan aurat harus dipelihara agar martabat wanita Islam sentiasa dipandang tinggi. Amat jelas sekali, Islam menjaga maruah wanitanya supaya tidak mudah dijadikan sebagai objek pemuas nafsu dan sasaran pandangan jahat lelaki di dunia, dengan cara Islam menetapkan adab berpakaian memelihara aurat bagi mereka. Tetapi malang sekali ramai yang tidak menyedari akan hal ini dan masih ramai gagal memelihara aurat seperti yang termaktub di dalam al-Quran.

Evolusi tudung di Malaysia semakin pesat berkembang sejak akhir-akhir ini dengan pelbagai jenis tudung dijual di pasaran. Pelbagai corak, warna dan bentuk dapat lihat di mana-mana premis perniagaan. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang yang menarik. Labuci berwarna-warni dijahit pula di atasnya serta berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan surat khabar fesyen untuk wanita yang bertudung. Rekaan itu semua bukannya untuk mengelakkan fitnah tetapi menambahkan fitnah ke atas wanita tersebut. Tudung tidak lengkap dipakai, ada segelintir wanita Islam bertudung tetapi masih menampakkan leher dan dada. Ada pula yang memakai tudung tetapi pada masa sama memakai kain belah atau berseluar ketat dan sebagainya. Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita Islam itu adalah bukan sahaja menutup auratnya malah menutup maruahnya sebagai seorang wanita.

Bila wanita bertudung tetapi masih lagi berhias secara berlebihan, maka terjadilah seperti pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan rasa sombong, riak dan bangga dalam diri. Mereka merasakan pemakaian tudung merekalah yang paling bergaya, mengikut trend dan mempunyai kelas tersendiri. Nilai pemakaian tudung itu sendiri dicemari oleh golongan seperti ini. Bagi wanita Islam lain yang ingin mengikut jejak langkah wanita bertudung ini, niatnya tersekat melihatkan sikap mereka yang mencemari hukum Islam. Bukan itu sahaja, bagi golongan bukan Islam pula mereka terasa tawar hati untuk mengenali Islam kerana melihat sikap segelintir umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hukum Islam. Walaupun mereka bertudung tetapi tingkah laku mereka tidak melambangkan ciri-ciri seorang wanita Islam dan tingkah laku mereka adalah sama sahaja dengan orang bukan beragama Islam.

Perlu diingatkan bahawa, jika seseorang menutup aurat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya atau dalam kata lain, tatkala itu dia hanya berdosa sekali iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar daripada dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir. Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, atas faktor tidak ikhlas, tidak mahu hipokrit dan sebagainya, tindakannya itu menjadikannya berdosa di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa dua kali. Dosa di peringkat pertama dan kedua sekali gus, malah lebih musnah apabila dosa peringkat pertama itu sangat mudah bercambah jika ia berjangkit kepada orang lain. Contohnya apabila sahaja mata lelaki bukan mahram melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihatnya.

Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas, dia sudah terselamat daripada cambahan dosa mata lelaki. Kalau kita menutup aurat tetapi tidak cuba memperbaiki diri, kitalah punca kegagalan bagi menyampaikan matlamat agama Islam itu sendiri secara menyeluruh. Jangan mengikut atau melihat orang lain. Jika kita ingin berubah ia harus bermula daripada hati kita sendiri. Hal ini tidak juga bermakna jika seseorang itu bertudung secara langsung akhlaknya juga boleh menjadi baik. Aurat memang wajib ditutup dan cubalah untuk memperbaiki diri sedikit demi sedikit. Bertudung dan menjaga aurat di luar bermakna hati kita hendaklah bersih dan menghindari diri daripada melakukan perkara yang mencemarkan status orang yang bertudung serta menutup aurat. Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak dengan didikan agama yang sempurna.

Ajarlah mereka dari awal tentang apa yang wajib dipatuhi sebagai umat Islam dan nasihati anak-anak terutamanya yang perempuan agar memakai tudung dan menutup aurat dan tidak mencemarkan pemakaian tudung dengan memakai pakaian yang singkat, sendat, menampakkan susuk tubuh dan sebagainya. Selain itu, para peniaga tudung haruslah berfikir secara rasional sebelum menjual atau mengeluarkan rekaan tudung. Rekalah tudung yang mengikut ciri-ciri keislaman dan janganlah hanya memikirkan keuntungan sehingga menggadai maruah agama dengan menjual tudung yang singkat dan tidak melambangkan nilai dan ciri Islam. Jika kita sudah berjaya menutup aurat secara keseluruhannya jangan pula kita abaikan tingkah laku atau tanggungjawab kita sebagai seorang Islam. Akhlak kita juga harus dipelihara seiring dengan cara pemakaian kita. Jangan hanya menutup aurat, tetapi tingkah laku masih lagi tidak mencerminkan diri kita sebagai Muslim sejati.

Akhirnya hayatilah sebuah hadis Rasulullah ketika baginda dalam Israk dan Mikraj yang berbunyi: "Aku menjenguk ke dalam neraka, maka ku lihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita, yang demikian disebabkan oleh kerana kurang taat kepada Allah dan Rasulullah dan suami mereka dan kerana banyak bertabarruj dedah aurat dan berhias-hias".

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
4 Jun 2012