Oleh AZZMAN ABDUL
JAMAL
PENULIS ialah pelajar
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Ramai orang sedar
bahawa pelajar-pelajar di peringkat universiti, insya-Allah akan menjadi
pemimpin pada masa akan datang. Persoalannya, adakah mereka bersedia untuk
didedahkan dengan isu politik? Mengetahui tentang politik dan mengundi
merupakan salah satu tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia. Tetapi,
tahukah mengapa kita mengundi terhadap seseorang? Perkara ini selalu
dipersoalkan oleh rakyat terutamanya pelajar. Jika pergi ke mana-mana kedai
mamak, topik yang selalu disembangkan adalah isu politik. Sebagai seorang
pelajar, saya juga ingin mengambil tahu tentang isu ini kerana sedar isu ini
juga ada kaitan dengan hidup saya. Jadi, sebelum membuka mulut tentang sesuatu
perkara, saya harus mengumpul sebanyak maklumat yang mungkin supaya tahu apa
yang saya cakapkan.
Malang sekali, kaedah
ini tidak digunakan oleh sesetengah orang. Disebabkan ini saya tertanya-tanya,
di manakah mereka mendapat maklumat? Sebelum ini, saya ada bertanya beberapa
pelajar tentang isu ini. Soalan saya adalah "adakah pelajar bersedia untuk
didedahkan dengan isu politik, dan adakah mereka layak untuk didedahkan dengan
isu ini?" Kebanyakan jawapan saya terima amat menyedihkan. Pelajar
menyatakan bahawa mereka patut didedahkan dengan isu ini. Tetapi, berdasarkan
komen-komen yang saya terima, sumber rujukan mereka menjadi persoalan utama
saya. Selain daripada bertanya, saya juga perasan ada yang berani post di dalam
laman sosial Facebook dengan maksud yang tersirat, menyokong pihak-pihak
tertentu. Orang yang post status tersebut menarik perhatian saya, kerana saya
ingin tahu mengapa orang tersebut sungguh yakin dengan pihak yang beliau
sokong.
Jika kita (rakyat)
membuka telinga dan memberi perhatian dengan teliti, kita sebenarnya boleh
perasan bahawa kes tuduh-menuduh sesetengah pihak sudah semakin berleluasa.
Malah, ada yang menyatakan tentang rasuah. Pada mulanya, saya keliru kerana
tidak mengetahui sumber apa yang patut saya rujuk. Di sini, saya mengambil
kesempatan untuk mengucap terima kasih kepada pensyarah-pensyarah saya kerana
merekalah yang sebenarnya membuka mata saya. Salah seorang pensyarah saya
menyatakan "Teenagers are very critical". Maksud beliau adalah
remaja-remaja terlalu cepat membuat kesimpulan. Dengan kata lain, cepat sangat
menuduh. Disebabkan kenyataan tersebut, saya mendapat ilham untuk memandang isu
politik dengan lebih mendalam. Walaupun ilmu saya tidaklah setanding dengan
ahli politik, saya kini sedar dan tahu di manakah kesilapan pelajar-pelajar
yang ingin mengetahui tentang isu politik.
Sumber rujukan selalu
menjadi persoalan saya. Seperti contoh, ada sesetengah orang berani menuduh
sesetengah pihak terlibat dalam rasuah. Tetapi, yang melucukannya adalah,
Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) baru hendak mengkaji tentang isu
itu. Maksud saya, bagaimana orang yang menuduh pihak-pihak tertentu boleh
membuat kesimpulan lebih pantas daripada SPRM. Perkara ini yang patut
difikirkan oleh orang yang suka buat tuduhan. Bagi pendapat saya, rasuah adalah
tindakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri
sendiri. Walaupun yang melakukan rasuah berada dalam salah satu parti ataupun
kumpulan, ia tidak bermaksud bahawa parti dan kumpulan tersebut terlibat
sekali. Ini yang selalu orang salah faham. Jika mahu diringkaskan, orang yang
membuat rasuah bertindak di atas kemahuannya sendiri dengan mengambil
kesempatan dan menyalahgunakan kuasa yang diberi. Itu tidak bermaksud seluruh
kumpulan tersebut terbabit dalam isu ini.
Selain itu, ada yang
menyatakan "Malaysia tidak ada kebebasan bersuara". Jadi, saya
bertanya, apakah yang dimaksudkan dengan kebebasan bersuara? Walaupun saya
tidak mengetahui tentang akta-akta tertentu, tetapi Tun Dr. Mahathir Mohamad
sendiri menyatakan rakyat juga ada hak bersuara tetapi ia mestilah berdasarkan
undang-undang Malaysia. Bukankah itu bermaksud rakyat juga mempunyai hak
bersuara? Jadi kenapa isu ini disuarakan? Sebab itulah saya tekankan sebelum
kita membuat keputusan, rujuk dahulu dengan sumber-sumber yang ada.
"Jangan main hentam sahaja." Bagaimana kita hendak memilih pemimpin
kita? Siapa yang kita hendak mengundi? Saya percaya setiap orang mempunyai hak
untuk memilih pemimpin negara. Tetapi, dari sudut mana yang patut kita pandang?
Daripada kita tuduh-menuduh sesetengah pihak, apa salahnya jika kita pandang
dari sudut yang positif? Fikir balik sebagai rakyat apa yang kita sudah dapat.
Jangan kita mengundi berdasarkan perbandingan pemimpin dari sudut negatif.
Sebelum kita hendak
mengundi sesuatu pihak, kita harus fikir semula dan bersedia dengan apa yang
bakal kita tempuhi. Rujuklah sumber-sumber yang boleh dipercayai, janganlah
kita membuat keputusan berdasarkan "gossip". Sebagai pelajar dan juga
rakyat Malaysia, saya percaya, untuk mengetahui tentang sesuatu isu, kita harus
fikir dengan lebih dalam. Dan jika kita tidak berpuas hati dengan sesuatu, kita
harus menegur dan juga memberi penyelesaian. Bukannya tegur dan buat
kesimpulan. Janganlah kita lupa, di Malaysia rakyatlah yang bertanggungjawab
untuk memilih pemimpin, bukan sebaliknya. Sebab itulah pentingnya untuk kita
menjalankan tugas kita sebagai rakyat untuk mengundi.
Sila berikan komen
anda. Terima kasih.
Sumber
Utusan Malaysia
Utusan Malaysia
6 Jun 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan