Rencana ini ditulis oleh
:
AZNUR 'ALYAA SOFIA
AZIZ
Fakulti Komunikasi
dan Pengajian Media
UiTM Shah Alam
Bayangkan keadaan di
mana negara mengalami inflasi, pengangguran meningkat seterusnya berlakunya
kenaikan harga barangan keperluan yang tidak dapat dikawal sehinggakan golongan
ibu bapa terpaksa melakukan dua pekerjaan untuk menyara keluarga. Hal ini boleh
menyebabkan institusi kekeluargaan lama-kelamaan boleh runtuh kerana ibu bapa
tidak mempunyai masa untuk diluangkan bersama anak-anak kerana kesibukan
bekerja. Dalam pada itu pula, pendidikan dijadikan perniagaan untuk mengaut
keuntungan. Ekoran itu, yang miskin keciciran untuk melanjutkan pengajian ke
peringkat tinggi. Ini semua boleh berlaku disebabkan perubahan kuasa memerintah
negara yang diambil alih oleh pihak lain
Apakah ini bakal
berlaku? Mungkin juga, kerana ramai lagi dalam kalangan kita yang masih tidak
mendaftar dan tidak ambil kisah untuk mengundi setiap kali pilihan raya umum
diadakan. Mereka ini sama ada tidak sedar atau tidak tahu akan kepentingan
mengundi. Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), seramai 4.3 juta
rakyat di negara ini yang berusia 21 tahun dan ke atas masih belum mendaftar.
Kajian menunjukkan sikap rakyat yang tidak mengutamakan untuk mengundi adalah
faktor utama mereka tidak mendaftar. Memang diakui kebanyakan rakyat di negara
ini terutamanya golongan muda gagal untuk memahami politik tanah air atau tidak
ambil peduli mengenainya. Ini memberikan impak yang sangat kuat selepas pilihan
raya. Golongan ini bagaikan tidak berbangga menjadi rakyat Malaysia. Ini
mungkin kerana mereka tidak pernah berdepan dengan penjajahan dan mengalami
sendiri keperitan akibat dijajah.
Berikutan disebabkan
pemahaman mengenai politik yang kurang, mereka tidak terdedah dengan semangat
dan perkara-perkara yang memberi manfaat kepada bangsa dan negara. Dalam pada
itu, mereka sering didedahkan dengan berita atau maklumat-maklumat yang kurang
tepat mengenai kerajaan yang menyebabkan mereka mengalami kecelaruan maklumat
sekali gus membenci kerajaan. Mereka juga mungkin kurang peka negara ini yang
mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Berdasarkan sistem beraja sebelum
penjajahan British, raja mempunyai kuasa yang mutlak dalam setiap pemerintahan
dan pentadbiran negeri. Raja dibantu oleh pembesar-pembesar yang dilantik.
Setelah Tanah Melayu dijajah, kuasa raja mula terbatas iaitu raja harus
menerima nasihat Residen British dalam semua perkara kecuali adat istiadat
Melayu.
Perkara ini berulang
semasa Malayan Union diperkenalkan seterusnya British bertindak untuk
menghapuskan kuasa raja-raja Melayu. Perkara ini ditentang hebat oleh orang
Melayu dan kuasa raja-raja dikembalikan semula semasa Persekutuan Tanah Melayu
diperkenalkan. Institusi beraja telah dikekalkan selaras dengan sistem
demokrasi yang diamalkan Malaysia hingga ke hari ini. Raja berperlembagaan
bertindak mengikut perlembagaan yang ditetapkan. Kita sebagai rakyat boleh
mengekalkan sistem beraja ini dengan cara mengundi. Dengan cara ini juga kita
boleh mempertahankan kepentingan bangsa Melayu. Jika tampuk pemerintahan kita
bertukar tangan, berkemungkinan besar kuasa raja dikurangkan atau terhapus sama
sekali.
Generasi muda ialah
orang yang tepat dan bertanggungjawab untuk menentukan nasib bangsa pada masa
depan. Justeru mereka harus tahu akan kepentingan mengundi. Daripada
menyalahkan pemimpin yang mentadbir negara kononnya tidak betul, seharusnya
kita sama-sama membantu kerajaan membangunkan negara, bukan memusnahkannya
dengan mengikut telunjuk mana-mana pihak yang ingin menjatuhkan negara ini. Sebagai
rakyat, kita mestilah membantu kerajaan untuk mengekalkan keharmonian negara.
Sesungguhnya urusan politik negara, bukan hanya terletak dalam kalangan
pemimpin negara sahaja. Politik ada kaitannya dengan masa depan rakyat Malaysia
termasuk golongan muda di negara ini.
Sebagai rakyat
Malaysia, kita sepatutnya mempertahankan hak keistimewaan yang disediakan.
Setiap rakyat Malaysia berhak menentukan masa depan masing-masing dengan
mengundi pemimpin atau parti politik yang mampu menjaga kepentingan bangsa dan
negara. Bukan hanya untukmelindungi kepentingan individu atau parti. Setiap
rakyat pasti mahukan yang terbaik untuk masa depan mereka. Sebagai pewaris
bangsa, golongan muda haruslah sedar akan tanggungjawab dan melakukan sesuatu
untuk membuktikan bahawa kita juga berperanan besar dalam menentukan masa depan
bangsa dan negara. Perjuangkan hak anda selagi mampu. Walaupun Malaysia adalah
negara yang aman dan rakyat berada dalam keadaan yang selesa tetapi keadaan ini
tidak akan berterusan jika kerajaan tidak mendapat sokongan rakyat.
Di samping itu, kita
ditugaskan untuk mempertahankan kemerdekaan yang dicapai hasil keberanian dan
keperitan pejuang-pejuang kemerdekaan. Ramai yang terkorban dalam mencapai
kemerdekaan itu. Maka, janganlah kita mempersia-siakan pergorbanan mereka. Justeru
golongan muda berhak mengundi pemimpin yang dirasakan mampu mempertahankan
bangsa dan negara. Cuba fikir sejenak, pihak mana yang banyak membantu rakyat
selama ini manakala pihak mana pula hanya mencetuskan kekacauan.
Pohon bersandar,
pohon cemara,
Menderu angin,
bergoyang dahan,
Jangan sekadar,
membaca sahaja,
Tulislah komen,
berilah cadangan.
Sumber
Utusan Malaysia
12 Jun 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan