Rencana ini ditulis
oleh :
Fauziah Arof
Apabila Rang
Undang-undang Umur Persaraan Minimum 2012 yang mewajibkan umur persaraan
pekerja sektor swasta dilanjutkan daripada 55 kepada 60 tahun dibentangkan buat
bacaan kali pertama di Dewan Rakyat kelmarin, ia menjadi satu topik hangat dan
menarik yang tidak habis-habis diperkatakan di tempat-tempat kerja terutamanya
syarikat swasta. Ada yang bersetuju dan bersyukur dengan langkah berkenaan
manakala tidak kurang pula mempersoalkan tahap kemampuan pekerja pada usia
warga emas itu untuk meneruskan perkhidmatan selamalima tahun lagi. Selain itu,
ada yang berhujah lanjutan usia persaraan itu bakal menyebabkan ramai golongan
muda profesional tidak dapat naik pangkat dan pada masa sama boleh meningkatkan
kadar pengangguran lepasan diploma dan ijazah mahupun sijil di negara ini.
Saya akui wujud pro
dan kontra terhadap cadangan ini. Namun dalam kita asyik menilai kepada hanya
kesan yang buruk-buruk sahaja, kita juga harus memikirkan nasib golongan yang
terpaksa bekerja walaupun sudah pencen kerana masih mempunyai banyak tanggungan
hutang dan menyara keluarga. Adakah golongan seperti ini boleh dibilang dengan
jari di negara ini? Kita boleh lihat ramai dalam usia emas ini terpaksa
berniaga kecil-kecilan, ada yang membuat kerja-kerja sampingan di rumah,
bekerja sebagai pengawal keselamatan, bekerja di restoran-restoran dan
sebagainya terutamanya yang hidup di bandar. Ini secara langsung m engakibatkan
bertambahnya golongan miskin bandar di negara ini. Dengan kos sara hidup yang
semakin meningkat golongan ini tidak mampu hidup ‘goyang kaki’ selepas pencen
kerana terpaksa meneruskan kelangsungan hidup.
Anak-anak pula tidak
boleh digantungkan harapan kerana masih kecil dan bersekolah. Trend kahwin
lewat di negara ini juga sedikit sebanyak menyumbang kepada perkara ini. Peningkatan
kos perubatan turut membuatkan pesara akan lebih tersepit apabila terpaksa
mendapatkan rawatan untuk diri sendiri dan keluarga. Sekiranya mereka masih
bekerja, syarikat boleh menanggung kos perubatan mereka termasuk keluarga. Oleh
itu, lanjutan usia persaraan ini akan memberi peluang kepada pekerja-pekerja
swasta ini mengumpul lebih wang. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
melaporkan, 73 peratus daripada pencarumnya mempunyai simpanan kurang daripada
RM50,000 sewaktu bersara manakala hanya 17 peratus mempunyai simpanan melebihi
RM100,000.
Maka, bagaimanakah
pekerja ini boleh menyara kehidupan selepas bersara dengan simpanan sebanyak
RM50,000 itu dalam tempoh mungkin 20 tahun lagi? Jangka hayat penduduk di
negara ini dianggarkan 75 tahun. Dengan hutang piutang yang masih berkepuk,
anak yang masih bersekolah dan ada juga yang masih belajar di peringkat
pengajian tinggi, hari tua akan dilalui dengan keperitan. Sebenarnya di seluruh
dunia, agak sukar untuk kita menemui negara yang menetapkan umur persaraan di
bawah 60 tahun. Kebanyakan negara Eropah telah lama menetapkan 65 sebagai umur
persaraan. Negara seperti Amerika Syarikat dan Jerman pula menetapkan 67 tahun. Thailand pun sudah menetapkan 60 sebagai
umur persaraan. Jadi kenapa pekerja swasta di negara ini tidak boleh bekerja
dalam usia itu. Adakah kita sudah membuat setting sendiri, apabila mencapai
usia 50-an produktiviti kita bekerja mulai menurun? Dan apakah kita pasti dalam
usia 20-an, 30-an dan 40-an kita mempunyai produktiviti yang tinggi dan
menunjukkan kerajinan yang luar biasa?
Kita pun maklum,
dalam usia muda, ada juga yang tidak memberi sumbangan kepada syarikat dan
bekerja secara ala kadar hanya menunggu gaji pada akhir bulan. Golongan ini
ibarat ‘tua sebelum waktunya’ dan jika di pejabat hanya menunggu waktu tamat
bekerja dan bila habis waktu, tergesa-gesa pulang ke rumah. Maka tidak adil
kita menilai golongan warga emas ini sebagai tidak produktif. Dengan lanjutan
usia persaraan, syarikat menerima manfaatnya dengan membolehkan pekerja-pekerja
berpengalaman dan berkemahiran dipanjangkan lagi khidmat mereka. Golongan ini
adalah aset kepada syarikat dan negara, kepakaran mereka tidak boleh dibiarkan
habis begitu sahaja. Jadi, janganlah terlalu menyimpulkan langkah ini dengan
cara yang simplistik dengan mengaitkan lanjutan usia persaraan ini dengan belia
menganggur, kemudian menjadi mat rempit dan melakukan jenayah. Banyak penyumbang lain kepada faktor
pengangguran dan peningkatan jenayah. Untuk berlaku adil, seharusnya kita
melihat cadangan lanjutan usia persaraan ini sebagai peluang dan pada masa sama
cabaran kepada semua.
Pohon bersandar,
pohon cemara,
Menderu angin,
bergoyang dahan,
Jangan sekadar,
membaca sahaja,
Tulislah komen,
berilah cadangan.
Sumber
Mingguan Malaysia
17 Jun 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan