Rencana ini ditulis
oleh :
Johardy Ibrahim
Apa beza kejohanan
bola sepak negara-negara Eropah atau Euro 2012, berbanding pertandingan Ratu
Cantik? Tidak banyak. Mungkin daripada segi tempoh lama, kejohanan bolasepak
Euro mengambil masa tiga minggu berbanding Ratu Cantik yang hanya seminggu.
Tetapi tidak selama permainan kriket. Persoalan di atas saya kemukakan kerana
kebanyakan kaki bola sudah pun membuat ulang kaji mengenai pasukan dan pemain
yang bertanding dalam Euro 2012, bermula Jumaat lalu. Kaki bola yang
dimaksudkan itu merangkumi kedua-dua jantina, meskipun kadar kaum adam jauh
lebih tinggi berbanding hawa. Ekoran itu, kaum hawa sering diejek dalam ayat
begini: ''Tatkala lelaki menonton permainan, wanita menonton pemain''. Maka
berlakulah perdebatan setiap kali musim bolasepak sama ada Euro atau Piala
Dunia atau Piala ASEAN. Namun, bagi anda yang sering ke stadium sama ada
menyokong pasukan dalam Liga Perdana Malaysia atau menyorak skuad Malaysia,
kehadiran penyokong wanita adalah ketara ramai.
Jika dulu lazimnya
wanita datang bersama pasangan atau ahli keluarga tetapi kini, mereka datang
sendiri dalam gerombolan kawan yang besar. Daripada segi sukan, pertambahan
bilangan penyokong wanita adalah bagus, merangkumi aspek komersial iaitu
pembelian jersi replika pasukan yang duitnya boleh dipusingkan semula ke dalam
kelab. Fakta bilangan wanita yang ramai meminati bolasepak, masih dipandang
enteng oleh lelaki terutama yang tebal sifat chauvinis. Maka berulang kembali
ejekan : ''wanita menonton pemain''. Wanita dituduh tidak mengerti pun
bagaimana sesuatu format permainan, apa dimaksudkan set-pieces, formasi diamond
atau counter-attacking. Tuduhan lebih berat ialah wanita tidak tahu pun senarai
pemain negara, kecuali hero-hero peribadi mereka yang bermain dalam kelab di
Liga Perdana Inggeris atau Sepanyol. Betapa kekeliruan begitu kronik apabila
seorang gadis yang ditemubual dalam radio mengenai Euro 2012 menjawab 'dia
menyokong Argentina kerana Lionel Messi bermain untuk Barcelona'.
Bila wanita suka
bolasepak kerana pemain, butir-butir perbualan mereka akan berkisar kepada
ketampanan dan badan tegap Cristiano Ronaldo (Portugal), Robin van Persie
(Belanda) dan Steven Gerrard (England). Ramai lagi sebenarnya. Ini sekadar
contoh. Persepsi ini juga tidak dibantu oleh stesen televisyen sukan yang
mengenengahkan pengacara wanita dengan pakaian seksi dan tumpuan perbualan
lebih kepada personaliti tampan. Namun kebelakangan ini, terdapat perubahan
yang positif. Pengacara wanita tidak ditampilkan sebagai tarikan seks
semata-mata dalam program bual bicara bolasepak. Secara umumnya tuduhan itu
semua akan setuju tetapi jangan pandang rendah. Ini kerana makin ramai wanita
yang belajar mengenai teknik dan format bolasepak. Mempelajari format bolasepak
bukan bermakna hendak melatih isteri menjadi pengurus pasukan suatu hari nanti.
Malah, anda patut mendengar pernyataan marah orang rumah saya terhadap pengadil
Hong Kong bagi perlawanan Malaysia dan Singapura, Jumaat lepas.
Siap dengan perincian
dari mula gerakan sehingga bagaimana Khairul Fahmi hilang fokus dan gol
penyamaan di minit terakhir perlawanan tetapi jika diulangi pernyataan marahnya
di sini, mungkin akan menyebabkan saya digantung oleh FIFA. Seorang teman
memberitahu, dia tidak lokek berkongsi pengetahuan dengan isterinya semasa
menonton bola di televisyen. ''Dengan ilmu, isteri saya tidak akan cepat jemu
dan boleh menemani saya sehingga tamat perlawanan," itu rasionalnya. Kalau
sorak sama tidak mengapa. Kalau suami sokong Liverpool, isteri sokong
Manchester United keadaan akan jadi agak sensitif. Menurut satu kaji selidik
firma Repucom terbaru, wanita di Jerman dan Itali kini mewakili hampir 50
peratus daripada keseluruhan penyokong negara tersebut Malah ia jauh lebih
tinggi berbanding England, yang mana Liga Perdananya adalah paling popular di
dunia tetapi hanya menerima sekitar 33 peratus sokongan wanita.
Menurut kaji selidik
itu, perbezaan angka sokongan itu ada kaitan dengan prestasi lemah England di
peringkat antarabangsa tetapi impak ke atas jenama yang dijana oleh England
begitu ketara pada jualan baju replika. Dalam konteks ini, England jauh ke
depan. Jadi apa bezanya menonton bolasepak dan pertandingan ratu cantik?
Daripada segi penonton, secara kumulatif hampir 5 bilion dijangka menonton Euro
sejak Jumaat lepas hingga 1 Julai ini. Setiap perlawanan dianggarkan menarik
kira-kira 150 juta penonton di seluruh dunia. Bagi pertandingan ratu cantik
pula, ia telah menarik lebih 1 bilion penonton di 190 negara menyaksikan Ratu
Angola, Leila Lopes dimahkotakan sebagai Ratu Universe pada tahun lalu. Sekiranya,
lelaki cauvinis berterusan menempelak wanita sebagai 'menonton pemain, bukan
permainan bolasepak', apa bezanya lelaki menonton pertandingan ratu cantik?
Apakah kerana kaum lelaki menyokong program kebajikan yang diusahakan oleh
seseorang peserta ratu cantik atau teruja dengan ayat 'demi keamanan dunia'
semata-mata? Tiada beza, kan?
Pohon bersandar,
pohon cemara,
Menderu angin,
bergoyang dahan,
Jangan sekadar,
membaca sahaja,
Tulislah komen,
berilah cadangan.
Sumber
Utusan Malaysia
12 Jun 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan