07 Jun 2012

ISU BAHASA : KITA TAK PERLU BAHASA RASMI KEDUA


Rencana ini ditulis oleh :
Rejal Arbee
Penulis ialah Felo Kanan di UKM
rejal@mcoba.org


Baru-baru ini penaung diraja Persatuan Pengajar Bahasa Inggeris Malaysia (Melta), Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menyatakan keresahannya terhadap kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat negara ini dengan menyorot kepada kemungkinan ada rakyat yang menganggap tidak patriotik untuk mempelajari bahasa itu.  Baginda juga berkata, ada dalam kalangan mereka itu tidak dapat menerima bahawa menguasai bahasa kedua tiada kena mengena dengan cinta kepada negara. Tanggapan baginda itu tidak salah, bahkan mungkin ada alasan. Malangnya, kenyataannya itu diputarbelitkan sebuah stesen radio swasta yang diketahui mengabaikan penggunaan bahasa Melayu untuk dijadikan bahan perbincangan satu rancangan bual bicara edisi petangnya, Khamis lalu.

Stesen radio itu dengan sengaja memberikan tanggapan lain daripada kenyataan Raja Zarith Sofiah untuk dijadikan bahan perbincangan dengan pendengarnya. Tajuk yang digunakannya ialah apakah perisytiharan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua negara ini tindakan tidak patriotik dengan menyorot kepada apa yang dinyatakan Raja Zarith Sofiah itu. Tiada siapa pun pernah menimbulkan perlunya bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kedua negara sebagai usaha memaksa rakyat memberi tumpuan terhadap penguasaan bahasa itu. Jauh sekali berpendirian usaha menguasai bahasa Inggeris adalah suatu perkara tidak patriotik.  Ramai mengakui penguasaan bahasa Inggeris memang merosot dan perlu dibaiki supaya dapat dikuasai sejumlah besar rakyat negara ini sekiranya mahu melonjak menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 nanti.

Diakui kita sebagai negara yang bergantung kuat kepada perdagangan antarabangsa harus dapat menguasai bahasa itu dengan baik. Bahasa Inggeris sudah dianggap sebagai bahasa antarabangsa. Ini tiada siapa pun menafikan termasuk pencinta bahasa Melayu. Tetapi untuk menyatakan kononnya hanya dengan mengisytiharkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi baru rakyat akan berusaha untuk menguasainya adalah syor melampau, lebih-lebih lagi dikaitkan dengan semangat patriotik seseorang kepada negaranya. Seperti diharapkan pengendali acara bual bicara radio itu, ramailah antara mereka yang menelefon memberi pandangan mempersoalkan kenapa penguasaan bahasa Inggeris mahu dikaitkan dengan perasaan patriotik. Corak perbincangan itu lebih menjengkelkan dengan kebanyakan pemanggil menyokong syor menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua negara ini.

Mereka termasuk ketiga-tiga pengacaranya tidak pula menyatakan apakah hanya dengan perisytiharan itu baru rakyat memberi tumpuan penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris? Tidak dinafikan ramai antara lulusan sekolah kebangsaan termasuk graduan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) amat lemah penguasaan bahasa itu sehingga ada yang gagal mendapat pekerjaan di sektor swasta. Yang perlu dilakukan ialah meningkatkan pembelajaran bahasa Inggeris sejak peringkat sekolah rendah lagi. Usaha ini sudah dilaksanakan Kementerian Pelajaran dengan menambah masa pelajaran bahasa Inggeris daripada 240 minit seminggu kepada 330 minit. Demikian pula bagi pelajar di IPTA perlu diberi perhatian untuk menguasai bahasa itu dengan baik sebelum diberi ijazah. Sehingga kini sebahagian besar graduan IPTA tidak diterima berkerja oleh syarikat swasta kerana penguasaan bahasa Inggeris amat lemah.

Malangnya oleh kerana kelemahan itu ramai antara mereka dianggap tidak boleh berfikir dengan baik. Pihak swasta seolah-olah mahu menyamakan pengetahuan dan kepintaran minda seseorang dengan penguasaan bahasa Inggeris. Kurangnya penguasaan bahasa itu mahu disamakan dengan daya pemikiran yang lemah. Apa kena mengena penguasaan bahasa Inggeris dengan kepintaran minda seseorang tidak pula dinyatakan. Baiknya usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan graduan sudah dilaksanakan di beberapa IPTA. Usaha itu diharap bukan saja menyekat kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris tetapi meningkatkan penguasaannya dalam kalangan ramai rakyat. Tentu usaha itu tidak memerlukan bahasa Inggeris diisytihar sebagai bahasa rasmi kedua.

Walaupun tanpa perisytiharan sedemikian ramai antara rakyat, khususnya kelas menengah dan yang tinggal di bandar besar terus mengagungkan bahasa Inggeris lebih-lebih lagi pihak swasta hingga ada yang tergamak mengabaikan terus penggunaan bahasa Melayu.  Bukan setakat itu saja, hingga sekarang ini pun masih ramai rakyat tidak boleh bertutur bahasa Melayu atau memahaminya. Ruangan ini sudah beberapa kali menimbulkan isu kurangnya perhatian sesetengah rakyat negara ini terhadap penggunaan bahasa Melayu kerana tidak fikir mereka perlu mengetahuinya kerana hanya mahu bergaul sesama bangsa tanpa mahu berinteraksi dengan rakyat yang berlainan kaum.  

Oleh itu ramai lulusan sekolah Cina masih tidak dapat menguasai bahasa Melayu walaupun lulus dalam mata pelajaran itu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka mempelajarinya hanya kerana terpaksa untuk lulus SPM bukan kerana mahu memahaminya atau boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan itu.  Mahkamah masih perlu menyediakan jurubahasa kepada tertuduh keturunan Cina atau India kerana mereka tidak boleh memahami pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Melayu. Apakah kesimpulan yang boleh kita ambil daripada keadaan demikian ini?  Bukankah keadaan ini sudah berleluasa walaupun tanpa bahasa Inggeris diisytihar sebagai bahasa rasmi. Apa agaknya yang akan berlaku jika pengisytiharan demikian dilaksanakan? Tentu lebih ramai rakyat negara ini akan terus mengabaikan penggunaan bahasa Melayu. Mungkinkah ini yang dikehendaki orang sebegini?

Sila berikan komen anda. Terima Kasih.

Sumber
Berita Harian
7 Jun 2012

06 Jun 2012

ISU IPT : TAHUKAH PELAJAR APA YANG MEREKA CAKAPKAN?


Oleh AZZMAN ABDUL JAMAL
PENULIS ialah pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM)


Ramai orang sedar bahawa pelajar-pelajar di peringkat universiti, insya-Allah akan menjadi pemimpin pada masa akan datang. Persoalannya, adakah mereka bersedia untuk didedahkan dengan isu politik? Mengetahui tentang politik dan mengundi merupakan salah satu tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia. Tetapi, tahukah mengapa kita mengundi terhadap seseorang? Perkara ini selalu dipersoalkan oleh rakyat terutamanya pelajar. Jika pergi ke mana-mana kedai mamak, topik yang selalu disembangkan adalah isu politik. Sebagai seorang pelajar, saya juga ingin mengambil tahu tentang isu ini kerana sedar isu ini juga ada kaitan dengan hidup saya. Jadi, sebelum membuka mulut tentang sesuatu perkara, saya harus mengumpul sebanyak maklumat yang mungkin supaya tahu apa yang saya cakapkan.

Malang sekali, kaedah ini tidak digunakan oleh sesetengah orang. Disebabkan ini saya tertanya-tanya, di manakah mereka mendapat maklumat? Sebelum ini, saya ada bertanya beberapa pelajar tentang isu ini. Soalan saya adalah "adakah pelajar bersedia untuk didedahkan dengan isu politik, dan adakah mereka layak untuk didedahkan dengan isu ini?" Kebanyakan jawapan saya terima amat menyedihkan. Pelajar menyatakan bahawa mereka patut didedahkan dengan isu ini. Tetapi, berdasarkan komen-komen yang saya terima, sumber rujukan mereka menjadi persoalan utama saya. Selain daripada bertanya, saya juga perasan ada yang berani post di dalam laman sosial Facebook dengan maksud yang tersirat, menyokong pihak-pihak tertentu. Orang yang post status tersebut menarik perhatian saya, kerana saya ingin tahu mengapa orang tersebut sungguh yakin dengan pihak yang beliau sokong.

Jika kita (rakyat) membuka telinga dan memberi perhatian dengan teliti, kita sebenarnya boleh perasan bahawa kes tuduh-menuduh sesetengah pihak sudah semakin berleluasa. Malah, ada yang menyatakan tentang rasuah. Pada mulanya, saya keliru kerana tidak mengetahui sumber apa yang patut saya rujuk. Di sini, saya mengambil kesempatan untuk mengucap terima kasih kepada pensyarah-pensyarah saya kerana merekalah yang sebenarnya membuka mata saya. Salah seorang pensyarah saya menyatakan "Teenagers are very critical". Maksud beliau adalah remaja-remaja terlalu cepat membuat kesimpulan. Dengan kata lain, cepat sangat menuduh. Disebabkan kenyataan tersebut, saya mendapat ilham untuk memandang isu politik dengan lebih mendalam. Walaupun ilmu saya tidaklah setanding dengan ahli politik, saya kini sedar dan tahu di manakah kesilapan pelajar-pelajar yang ingin mengetahui tentang isu politik.

Sumber rujukan selalu menjadi persoalan saya. Seperti contoh, ada sesetengah orang berani menuduh sesetengah pihak terlibat dalam rasuah. Tetapi, yang melucukannya adalah, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) baru hendak mengkaji tentang isu itu. Maksud saya, bagaimana orang yang menuduh pihak-pihak tertentu boleh membuat kesimpulan lebih pantas daripada SPRM. Perkara ini yang patut difikirkan oleh orang yang suka buat tuduhan. Bagi pendapat saya, rasuah adalah tindakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri. Walaupun yang melakukan rasuah berada dalam salah satu parti ataupun kumpulan, ia tidak bermaksud bahawa parti dan kumpulan tersebut terlibat sekali. Ini yang selalu orang salah faham. Jika mahu diringkaskan, orang yang membuat rasuah bertindak di atas kemahuannya sendiri dengan mengambil kesempatan dan menyalahgunakan kuasa yang diberi. Itu tidak bermaksud seluruh kumpulan tersebut terbabit dalam isu ini.

Selain itu, ada yang menyatakan "Malaysia tidak ada kebebasan bersuara". Jadi, saya bertanya, apakah yang dimaksudkan dengan kebebasan bersuara? Walaupun saya tidak mengetahui tentang akta-akta tertentu, tetapi Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri menyatakan rakyat juga ada hak bersuara tetapi ia mestilah berdasarkan undang-undang Malaysia. Bukankah itu bermaksud rakyat juga mempunyai hak bersuara? Jadi kenapa isu ini disuarakan? Sebab itulah saya tekankan sebelum kita membuat keputusan, rujuk dahulu dengan sumber-sumber yang ada. "Jangan main hentam sahaja." Bagaimana kita hendak memilih pemimpin kita? Siapa yang kita hendak mengundi? Saya percaya setiap orang mempunyai hak untuk memilih pemimpin negara. Tetapi, dari sudut mana yang patut kita pandang? Daripada kita tuduh-menuduh sesetengah pihak, apa salahnya jika kita pandang dari sudut yang positif? Fikir balik sebagai rakyat apa yang kita sudah dapat. Jangan kita mengundi berdasarkan perbandingan pemimpin dari sudut negatif.

Sebelum kita hendak mengundi sesuatu pihak, kita harus fikir semula dan bersedia dengan apa yang bakal kita tempuhi. Rujuklah sumber-sumber yang boleh dipercayai, janganlah kita membuat keputusan berdasarkan "gossip". Sebagai pelajar dan juga rakyat Malaysia, saya percaya, untuk mengetahui tentang sesuatu isu, kita harus fikir dengan lebih dalam. Dan jika kita tidak berpuas hati dengan sesuatu, kita harus menegur dan juga memberi penyelesaian. Bukannya tegur dan buat kesimpulan. Janganlah kita lupa, di Malaysia rakyatlah yang bertanggungjawab untuk memilih pemimpin, bukan sebaliknya. Sebab itulah pentingnya untuk kita menjalankan tugas kita sebagai rakyat untuk mengundi.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
6 Jun 2012

ISU PENDIDIKAN : ALIRAN SAINS ATAU ALIRAN SASTERA?


Oleh Ihsan Noorzali


Entah mengapa aliran sains dan sastera sering kali dijadikan perbandingan masyarakat hingga timbul ‘konfrantasi’ tidak munasabah. Ada melabelkan sains sebagai aliran elegan dan berprestij sementara sastera lebih menyuntik nilai kemanusiaan serta estetika. Walaupun sering dilanda kritikan dan konflik, sesiapa pun tidak boleh menafikan kepentingan dua aliran berkenaan dalam menjana pembangunan proses pendidikan serta pembangunan negara menerusi cara masing masing. Persoalannya, mengapa masih ada pihak yang tidak faham?

Pensyarah kanan di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Madya Dr Abdul Halim Ali berkata, sama ada sains atau sastera, kepentingan utama perlu didahulukan iaitu melahirkan pelajar yang boleh menjadi aset berguna negara. Menurutnya, kedua-dua aliran itu bersifat subjektif dan hanya asas mengukur kemampuan pencapaian akademik pelajar. Justeru, tidak perlulah ia digembar-gemburkan secara keterlaluan hingga ‘melukakan’ hati sesetengah pihak. Kedua-duanya hanya aliran yang diwujudkan bagi memenuhi keperluan semasa. Sama ada sains atau sastera, yang perlu ditekankan ialah bagaimana mahu melahirkan pelajar seperti dikehendaki Falsafah Pendidikan Negara. Pertikaian atau diskriminasi itu hanya menjadikan pelajar mahupun dunia pendidikan negara berkecamuk, sekali gus boleh menggagalkan usaha dilakukan.

Isu berat sebelah aliran sains dan sastera yang disensasikan berupaya mewujudkan senario ‘diskriminasi’ kurang sihat antara satu sama lain. Tanggapan bahawa aliran diikuti adalah yang terbaik secara dalamannya menjadikan proses pendidikan negara berlangsung dalam suasana tidak harmoni. Padahal pendidikan bertujuan melahirkan insan berhemah dan berkualiti dengan ilmu serta proses pendidikan diikuti. Bukannya melahirkan kelompok yang membuat perbandingan berdasarkan status aliran. Ini bercanggah dan lari daripada konsep penerapan ilmu disasarkan. Beliau tidak menolak kepentingan sains dalam dunia aliran moden, namun mengakui sastera juga mempunyai fungsi tersendiri serta penting dalam menjana kemajuan. Menurutnya, jika semuanya berpaksikan sains dan teknikal semata-mata, nilai kemanusiaan pasti hilang, sekali gus melahirkan ‘manusia – mesin.

Biarpun konsep sains dan sastera berbeza, namun kedua-duanya penting untuk melahirkan insan dengan aplikasi ilmu yang mampu dimanfaatkan bersama. Sains dan sastera lahiriahnya tidak boleh dipisahkan biarpun globalisasi dunia menjadi agenda utama. Gabungan kedua-duanya berperanan melahirkan kemajuan. Tidak adil apabila salah satu pihak mendabik dada mengatakan dialah yang terbaik. Ditekankan, dalam proses menuntut ilmu, semuanya baik asalkan tidak melanggar batasan,” katanya mengakui gabungan sains dan sastera mampu melahirkan pelajar yang bukan saja sensitif juga praktikal. Sensitif dengan nilai kemanusiaan dan emosi sementara praktikal dalam menjana proses kehidupan yang berteraskan material. Dunia moden hari ini memerlukan gabungan semua aspek, justeru tidak perlu menjadikan sains atau sastera sebagai penanda aras tertentu. Pelajar berjaya adalah mereka yang bijak mengaplikasikan pelbagai nilai dalam kehidupan dan tahu mewujudkan peluang.

Beliau juga menolak tanggapan pelajar aliran sastera kurang bijak. Mengambil contoh ilmuwan terkenal seperti Albert Einstein, dia berkata, di samping menjadi ahli sains, mereka juga tidak mengetepikan kepentingan sastera. Mereka adalah golongan bijak sains, namun tetap mahu memartabatkan sastera. Mengapa? Sebab tahu nilai ilmu diperoleh tinggi dan tidak terbatas. Malah gabungan kedua-duanya memudahkan mereka meletakkan diri dalam pelbagai situasi. Tidakkah ini membuktikan kedua-duanya sama penting? Ilmu biar apapun kondisinya, jika mampu memberi manfaat tetap berguna,” katanya yang meminta semua pihak memberi sokongan kepada pelajar biar apa pun alirannya. Paling penting, mereka berjaya merentas dunia pendidikan dengan baik dan menjadi insan berguna dan berilmu.

Ketua Jabatan Biologi UPSI, Dr Hasimah Alimon berkata, perubahan pesat dunia dan teknologi moden hari ini menjadikan sains satu keperluan asas paling utama. Beliau juga tidak menidakkan keperluan sastera, namun sangat berharap supaya kapasiti pelajar sains sentiasa dipertingkatkan. Keperluan zaman sentiasa berubah dengan sains dan teknikal mendominasi carta permintaan dunia hari ini. Disebabkan permintaan itu, semua pihak tiada pilihan selain menyahut cabaran disediakan supaya kita mampu berdiri sama tinggi dengan yang lain. Benar, sastera juga ada kepentingannya, namun kerana senario yang menguasai keadaan, pilihan utama perlu didahulukan. Walaupun dianggap berprestij dan penting, aliran itu bagaimanapun masih belum mampu menarik minat sebahagian besar pelajar memilihnya. Subjek sukar, akuinya, adalah faktor mengapa ia kurang menjadi pilihan biarpun prospek ditawarkan cukup cerah. Jika sastera ada cabarannya, sains juga begitu kerana aliran ini ‘bergelut’ untuk menarik perhatian pelajar. Taraf prestij tidak menjanjikan ia menjadi pilihan. Justeru, biar apa pun pilihan aliran, masing-masing ada kepentingannya kepada penjanaan proses pendidikan negara.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Harian Metro
4 Jun 2012


04 Jun 2012

ISU AGAMA : BERTUDUNG TETAPI BERPAKAIAN SEPERTI TELANJANG?


Rencana ini ditulis oleh :
DAYANA BAHAZELAN
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam


Sejak akhir-akhir ini kita dapat melihat gaya wanita bertudung kepala ibarat sudah menjadi satu trend di Malaysia. Ini memberi petanda yang baik kepada negara kita yang merupakan sebuah negara majoriti penduduknya orang Melayu yang beragama Islam. Seperti kita sedia maklum pemakaian tudung serta menutup aurat adalah satu kewajipan yang harus dipatuhi sebagai seorang Muslim. Tetapi ada segelintir wanita seolah-olah mempersendakan agama dengan cara pemakaian tudung mereka. Soalnya, mengapa bertudung tetapi masih memakai pakaian seolah-olah bertelanjang? "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihani." (Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab: Ayat 59)

Ambil iktibar berdasarkan petikan surah ini yang menyeru kita sebagai kaum hawa harus mengetahui bahawa menutup aurat itu wajib dan aurat harus dipelihara agar martabat wanita Islam sentiasa dipandang tinggi. Amat jelas sekali, Islam menjaga maruah wanitanya supaya tidak mudah dijadikan sebagai objek pemuas nafsu dan sasaran pandangan jahat lelaki di dunia, dengan cara Islam menetapkan adab berpakaian memelihara aurat bagi mereka. Tetapi malang sekali ramai yang tidak menyedari akan hal ini dan masih ramai gagal memelihara aurat seperti yang termaktub di dalam al-Quran.

Evolusi tudung di Malaysia semakin pesat berkembang sejak akhir-akhir ini dengan pelbagai jenis tudung dijual di pasaran. Pelbagai corak, warna dan bentuk dapat lihat di mana-mana premis perniagaan. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang yang menarik. Labuci berwarna-warni dijahit pula di atasnya serta berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan surat khabar fesyen untuk wanita yang bertudung. Rekaan itu semua bukannya untuk mengelakkan fitnah tetapi menambahkan fitnah ke atas wanita tersebut. Tudung tidak lengkap dipakai, ada segelintir wanita Islam bertudung tetapi masih menampakkan leher dan dada. Ada pula yang memakai tudung tetapi pada masa sama memakai kain belah atau berseluar ketat dan sebagainya. Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita Islam itu adalah bukan sahaja menutup auratnya malah menutup maruahnya sebagai seorang wanita.

Bila wanita bertudung tetapi masih lagi berhias secara berlebihan, maka terjadilah seperti pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan rasa sombong, riak dan bangga dalam diri. Mereka merasakan pemakaian tudung merekalah yang paling bergaya, mengikut trend dan mempunyai kelas tersendiri. Nilai pemakaian tudung itu sendiri dicemari oleh golongan seperti ini. Bagi wanita Islam lain yang ingin mengikut jejak langkah wanita bertudung ini, niatnya tersekat melihatkan sikap mereka yang mencemari hukum Islam. Bukan itu sahaja, bagi golongan bukan Islam pula mereka terasa tawar hati untuk mengenali Islam kerana melihat sikap segelintir umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hukum Islam. Walaupun mereka bertudung tetapi tingkah laku mereka tidak melambangkan ciri-ciri seorang wanita Islam dan tingkah laku mereka adalah sama sahaja dengan orang bukan beragama Islam.

Perlu diingatkan bahawa, jika seseorang menutup aurat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya atau dalam kata lain, tatkala itu dia hanya berdosa sekali iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar daripada dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir. Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, atas faktor tidak ikhlas, tidak mahu hipokrit dan sebagainya, tindakannya itu menjadikannya berdosa di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa dua kali. Dosa di peringkat pertama dan kedua sekali gus, malah lebih musnah apabila dosa peringkat pertama itu sangat mudah bercambah jika ia berjangkit kepada orang lain. Contohnya apabila sahaja mata lelaki bukan mahram melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihatnya.

Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas, dia sudah terselamat daripada cambahan dosa mata lelaki. Kalau kita menutup aurat tetapi tidak cuba memperbaiki diri, kitalah punca kegagalan bagi menyampaikan matlamat agama Islam itu sendiri secara menyeluruh. Jangan mengikut atau melihat orang lain. Jika kita ingin berubah ia harus bermula daripada hati kita sendiri. Hal ini tidak juga bermakna jika seseorang itu bertudung secara langsung akhlaknya juga boleh menjadi baik. Aurat memang wajib ditutup dan cubalah untuk memperbaiki diri sedikit demi sedikit. Bertudung dan menjaga aurat di luar bermakna hati kita hendaklah bersih dan menghindari diri daripada melakukan perkara yang mencemarkan status orang yang bertudung serta menutup aurat. Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak dengan didikan agama yang sempurna.

Ajarlah mereka dari awal tentang apa yang wajib dipatuhi sebagai umat Islam dan nasihati anak-anak terutamanya yang perempuan agar memakai tudung dan menutup aurat dan tidak mencemarkan pemakaian tudung dengan memakai pakaian yang singkat, sendat, menampakkan susuk tubuh dan sebagainya. Selain itu, para peniaga tudung haruslah berfikir secara rasional sebelum menjual atau mengeluarkan rekaan tudung. Rekalah tudung yang mengikut ciri-ciri keislaman dan janganlah hanya memikirkan keuntungan sehingga menggadai maruah agama dengan menjual tudung yang singkat dan tidak melambangkan nilai dan ciri Islam. Jika kita sudah berjaya menutup aurat secara keseluruhannya jangan pula kita abaikan tingkah laku atau tanggungjawab kita sebagai seorang Islam. Akhlak kita juga harus dipelihara seiring dengan cara pemakaian kita. Jangan hanya menutup aurat, tetapi tingkah laku masih lagi tidak mencerminkan diri kita sebagai Muslim sejati.

Akhirnya hayatilah sebuah hadis Rasulullah ketika baginda dalam Israk dan Mikraj yang berbunyi: "Aku menjenguk ke dalam neraka, maka ku lihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita, yang demikian disebabkan oleh kerana kurang taat kepada Allah dan Rasulullah dan suami mereka dan kerana banyak bertabarruj dedah aurat dan berhias-hias".

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
4 Jun 2012


ISU SUKAN : DEMAM EURO 2012 BOLEH JEJASKAN PRODUKTIVITI KERJA


Rencana ini ditulis oleh :
Manja Ismail
manja@nstp.com.my


Kejohanan bola sepak Eropah atau lebih dikenali sebagai EURO 2012, pertandingan kedua terbesar sukan itu selepas Piala Dunia, akan bermula Sabtu ini. Seperti biasa, Malaysia walaupun sudah lama di tempat tercorot dalam senarai gergasi bola sepak serantau, akan menghadapi ‘demam’ sepanjang tiga minggu kejohanan itu. Dalam kata lain, sebahagian besar rakyat negara ini akan 'tidur bola, makan bola', manakala isteri dan suri rumah yang tidak meminati bola sepak bakal mengeluh kerana terabai untuk sementara waktu. Majikan pula sama ada jabatan awam atau swasta terpaksa menghadapi masalah ponteng kerja, meningkatnya cuti sakit atau pekerja datang lewat. Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan kejatuhan produktiviti pekerja sepanjang kejohanan EURO 2012 akan disiarkan secara langsung oleh beberapa stesen televisyen di negara ini. Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan, dilaporkan berkata, berdasarkan pengalaman lalu, majikan perlu bersedia menghadapi masalah ponteng kerja atau cuti sakit pada tempoh kejohanan EURO 2012 dan Sukan Olimpik selepas itu.

Pemilihan tarikh pembentangan belanjawan negara lebih awal daripada kebiasaannya itu menimbulkan spekulasi kuat kononnya pilihan raya umum akan diadakan sebelum Ramadan. Jika ini berlaku, bermakna rakyat Malaysia akan menghadapi dua demam serentak iaitu demam pilihan raya umum dan deman EURO 2012 atau Sukan Olimpik yang bermula Julai hingga Ogos. “Dua kejohanan itu amat popular di Malaysia dan ramai yang akan menonton siaran secara langsung. Disebabkan perbezaan waktu, kebanyakan siaran langsung itu pada awal pagi dan mereka yang menonton tentunya letih dan mengantuk apabila bekerja selepas itu. Mereka tidak mungkin mampu memberi tumpuan 100 peratus kepada tugas,” katanya.  Kajian MEF sebelum Piala Dunia 2010 mendapati 120 ahli persatuan itu menjangkakan 14.2 peratus pekerja mereka mengambil cuti sakit, manakala tahap produktiviti jatuh 15.5 peratus.

Dari sudut lain pula, kejohanan EURO 2012 mungkin dapat mengurangkan seketika demam Pilihan Raya Umum Ke-13, yang melanda sejak tahun lalu dan suhunya kian meningkat sekarang. Selepas beberapa ramalan mengenai tarikh Parlimen dibubarkan meleset, beberapa tarikh baru pula diramalkan seperti pada Julai, selepas Aidilfitri atau selepas pembentangan Bajet 2013, yang jatuh pada 28 September. Pemilihan tarikh pembentangan belanjawan negara lebih awal daripada kebiasaannya itu menimbulkan spekulasi kuat kononnya pilihan raya umum akan diadakan sebelum Ramadan. Jika ini berlaku, bermakna rakyat Malaysia akan menghadapi dua demam serentak iaitu demam pilihan raya umum dan deman EURO 2012 atau Sukan Olimpik yang bermula Julai hingga Ogos.  Secara kebetulan, tiga kejohanan Piala Eropah sebelum ini iaitu pada 1964, 2004 dan 2008 diadakan pada tahun sama Malaysia mengadakan pilihan raya umum.

Sekiranya satu kejohanan sukan itu berlaku serentak dengan tempoh berkempen pilihan raya umum, tumpuan rakyat pastinya terbahagi dua. Walaupun bukan semua rakyat meminati bola sepak atau Olimpik, tidak kurang juga mereka yang sudah bosan dengan politik. Kerana itu, siaran langsung kejohanan EURO 2012 dan Sukan Olimpik nanti mungkin melegakan mereka yang sudah bosan dengan pelbagai berita politik serta kenyataan dan tingkah laku pemainnya. Pada masa sama, kehadiran kejohanan sukan popular seperti ini ketika demam pilihan raya umum turut mencabar kebijaksanaan orang politik bagaimana mereka boleh mengalih perhatian rakyat kepada kempen masing-masing. Kerana itu, kita tidak hairan jika di sepanjang kejohanan EURO 2012 nanti ada ceramah atau kegiatan politik diaturkan serentak dengan acara menonton siaran langsung perlawanan bola sepak terutama di kalangan pengundi muda yang menjadi rebutan parti politik.

Sama ada tempoh berkempen pilihan raya umum nanti serentak dengan EURO 2012 atau tidak, yang pasti perhatian rakyat sepanjang bulan ini tidak lagi tertumpu kepada politik semata-mata. Stesen televisyen dan syarikat penaja mengaturkan pelbagai acara bagi menarik penonton dan meningkatkan jualan produk masing-masing. Seperti sepanjang kejohanan Piala Dunia, EURO 2012 menyediakan pelbagai pesta untuk peminat bola sepak. Walaupun majikan berdepan dengan kejatuhan produktiviti pekerja, kejohanan sukan seperti ini mampu mengalih perhatian rakyat daripada pertelingkahan politik yang bagaikan tidak berkesudahan untuk sementara waktu. Sekurang-kurangnya keseronokan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kedudukan ketika menyokong pasukan masing-masing dalam suasana penuh ceria nanti, menyedarkan kita politik bukan segala-galanya dalam kehidupan ini.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Berita Harian
4 Jun 2012

ISU IPT : CABARAN UNIVERSITI HEBAT


Coretan Marhaen


Tahniah diucapkan kepada Universiti Malaya (UM) kerana berjaya mengekalkan statusnya sebagai universiti utama di Malaysia, empat tahun berturut-turut! Kita patut berbangga dengan pencapaian UM menduduki tangga ke-35 keseluruhan di Asia bagi 2012 mengikut ranking yang didedahkan hasil kaji selidik QS ke atas lebih 500 universiti. Nampaknya UM terus mendominasi kedudukan sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) paling top di Malaysia. Kalau di Amerika Syarikat atau United Kingdom, status UM ini boleh dikatakan setaraf dengan universiti Ivy League seperti Universiti Harvard, Princeton dan Yale, yang cukup terkenal dengan kehebatan akademik, syarat kemasukan yang cukup ketat dan sifat elitisnya. Bukan lagi rahsia, ramai penuntut dan ahli akademik memasang impian untuk melanjutkan pengajian ke universiti tersebut kerana mahukan reputasi yang dibawa dalam resume masing-masing sebagai alumninya.

Sekarang ini pun, UM cukup popular dalam kalangan pelajar asing apabila menduduki tempat keempat dalam program pertukaran pelajar universiti di Asia. Dengan pelbagai kejayaan yang dikecapi terutamanya mencapai kedudukan ke-35 terbaik di Asia, misi UM untuk menempatkan universiti itu antara 100 terbaik di dunia pada 2015, bukan sesuatu yang mustahil. Namun sebagai universiti terbaik di Malaysia dan antara terbaik di Asia, UM yang terletak di Lembah Pantai, Kuala Lumpur (KL) - mungkin tidak seperti yang dibayangkan selayaknya sebuah kampus induk universiti bertaraf dunia. Janganlah cuba-cuba hendak mencari Dataran UM atau UM Square seperti yang terdapat di Harvard. Lokasinya yang cukup hampir dengan pusat bandar, mengehadkan saiz kampus ini. Tambahan bangunan baru pentadbiran, fakulti dan kolej kediaman - kini hingga ke-12 - menyesakkan lagi kampus yang sudah cukup padat itu. Walaupun ada dua pintu masuk dan keluar iaitu dari pintu KL dan Petaling Jaya (PJ) - laluannya tetap sama iaitu jalan dua lorong sehala mengelilingi tasik UM untuk ke destinasi dalam kawasan kampus - walaupun jalan keluar sudah ditambah melalui pintu Damansara.

Isu ini mungkin remeh. Lebih-lebih lagi bagi pentadbir UM yang sedang menumpukan usaha mengejar ranking dunia. Apa sangatlah isu jalan dan saiz kampus hendak dibincangkan. Namun bagi penulis, universiti terbaik sepatutnya hebat serba-serbi. Pengalaman terperangkap dua jam dalam kesesakan dari pintu masuk PJ menghala ke pintu keluar Damansara yang tidak sampai pun berapa kilometer pada Ahad minggu lepas, sungguh mengecewakan. Difahamkan pada hari itu seramai 2,000 pelajar baru Asasi Sains UM mendaftar masuk dan ditempatkan di Kolej Kediaman Ke-12, yang kebetulan terletak di laluan menghala ke Damansara. Bayangkan jika setiap pelajar dihantar oleh ahli keluarga masing-masing dengan sebuah kereta, ini bermakna sebanyak 2,000 kenderaan masuk ke kampus pada hari itu. Namun maklum sahajalah budaya rakyat Malaysia, kegembiraan menghantar anak masuk universiti selalunya dikongsi dengan saudara-mara, jadi mungkin ada yang pergi dua tiga kereta.

Bagi yang datang dari luar KL seperti Kelantan, Terengganu, negeri di Utara dan Johor misalnya, inilah masanya untuk berjalan-jalan di kota raya. Jadi pihak pentadbir universiti sepatutnya sudah boleh mengagak kesesakan yang akan berlaku dengan kehadiran serentak mereka dalam sela masa terhad yang ditetapkan. Sayangnya perkara remeh ini nampaknya tidak termasuk dalam pertimbangan dan perhatian. Difahamkan pada hari yang sama, terdapat tiga acara lain berlangsung di tempat yang berdekatan antaranya temasya sukan untuk anak yatim dan pertunjukan makyung. Bayangkan sahaja jumlah kenderaan yang memasuki kawasan kampus UM yang tidak sebesar mana itu, belum dikira kereta pensyarah, penuntut dan staf sedia ada. Tidak mustahil ada yang terpaksa mengikat perut kelaparan, terlepas solat atau pitam kerana tersangkut tidak dapat bergerak ke mana gara-gara kesesakan teruk itu.

Memandangkan UM sudah pun memperoleh kuasa autonomi mulai tahun ini, sudah tiba masanya ia merancang memperbesarkan keluasan kampusnya, mungkin dengan mencari tapak sesuai di tempat lain. Bukan berpindah tetapi menambah kampus cawangan. Mengambil contoh Universiti Harvard sendiri mempunyai tiga kampus. Kampus induk seluas 85 hektar di Harvard Yard, Cambridge, Kampus Perubatan di Longwood Medical Area manakala Kampus Allston menempatkan Fakulti Perniagaan dan kemudahan sukan termasuk stadium. Sementara menunggu UM mempunyai kampus baru, sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan sistem penyuraian trafik di dalam kampus dan penyusunan jadual acara universiti diurus sebaik-baiknya. Jika tidak pun menaikkan ranking akademik, sistem trafik yang teratur dan lancar terutama ketika UM dikunjungi pelawat, sudah pasti meletakkan imej universiti itu di tempat yang tinggi di mata orang luar.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
3 Jun 2012

ISU ICT : PEPERANGAN PC DAN TELEFON PINTAR

Rencana ini disusun oleh :
NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Komputer peribadi (PC) telah mendominasi kehidupan moden manusia selama 25 tahun tetapi peralatan dan komponen yang besar dan berat semakin kalah kepada alat elektronik lebih kecil terutamanya telefon pintar dan komputer tablet. Pengusaha sektor jualan PC kini berusaha keras untuk meneruskan kelangsungan perniagaan mereka selepas dilanda fenomena telefon pintar yang dimulakan pengasas Apple, mendiang Steve Jobs. Gergasi teknologi Hewlett-Packard (HP) yang masih berpegang kepada perniagaan teras berasaskan PC dan mesin cetak baru-baru ini mengumumkan pengurangan sebanyak lapan peratus daripada kakitangannya iaitu 27,000 pekerja menjelang 2014. Langkah itu dijangka akan menjimatkan sekurang-kurangnya AS$3 bilion (RM9.46 bilion) kos operasi syarikat tersebut.

Pengurusan syarikat itu juga dilaporkan mengakui kepada Wall Street bahawa HP akan bergerak sebagai sebuah syarikat lebih kecil kelak. Walaupun merupakan pengeluar terbesar PC dunia, HP dikatakan gagal memenuhi tuntutan pengguna untuk penghasilan komputer tablet dan telefon pintar. Teknologi peralatan canggih baru dan mudah alih itu kini kelihatan dikuasai syarikat Apple berpusat di Silicon Valley, Amerika Syarikat dan Samsung di Korea Selatan. Pada 2007, Jobs menyatakan Apple akan memperbaharui telefon bimbit. Ketika melancarkan iPad pada 2010, mendiang menyebut pula visi 'dunia pasca-PC'. Kebanyakan pengeluar komputer lain tidak mengambil serius visinya itu dan meneruskan penghasilan PC yang besar serta komputer riba. Selepas beberapa tahun, pilihan Jobs terbukti tepat dan menjadi pilihan para pengguna. Dahulu, kata-katanya seakan-akan 'cakap besar' tetapi kini skrin sentuh telah menjadi standard prestasi dan pengambilan baru pada telefon bimbit.

Produk iPhone Apple dilihat telah mengubah corak industri kerana buat kali pertama pendekatan diambil untuk memberi fokus kepada perisian aplikasi dan bukannya kepada produk itu sendiri. Di awal 2010, mendiang Jobs memberi 'pukulan maut' kepada industri PC apabila melancarkan komputer tablet Apple dengan nama iPad yang melonjakkan syarikat itu ke satu tahap lebih tinggi. Dalam suku pertama 2012 sahaja, sebanyak 12 juta iPad dan 35 juta iPhone telah dijual di seluruh dunia. Untuk perbandingan, sebanyak 89 juta PC telah dijual dalam tempoh sama tetapi mengambil kira kesemua pengeluar komputer sedangkan Apple berdiri sendiri. Ketika Apple menunggang arus perkembangan teknologi mudah alih dengan iPad dan iPhone serta MacBook dalam pasaran komputer notebook, HP pula masih belum mempunyai komputer tablet ataupun telefon pintar sendiri.

HP pernah membeli syarikat telefon pintar, Palm pada 2010 tetapi pihak pengurusan memilih untuk menghentikan operasi tidak lama kemudian kerana menganggap syarikat itu tidak kompetitif. Syarikat-syarikat PC sebenarnya telah cuba mengeluarkan komputer tablet sendiri jauh lebih awal daripada Apple. Lebih 10 tahun lalu, pengasas Microsoft, Bill Gates berkongsi visinya untuk sebuah komputer digital di Las Vegas sementara telefon pintar pula bukannya ciptaan Jobs dan telah lama berada di pasaran. Bagaimanapun, alternatif yang ditawarkan terlalu mahal kepada kebanyakan pengguna, sukar untuk digunakan atau mempunyai penampilan 'buruk' untuk menjadi pujaan ramai. Kini, pengeluar PC terpaksa mengejar fenomena yang dimulakan Apple dan berharap mereka tidak terus ketinggalan.

Dunia pengkomputeran mudah alih ini dilihat hanya meninggalkan ruang kecil untuk HP dan pengeluar PC lain seperti Dell yang rata-rata mencatatkan penurunan jualan yang dikaitkan dengan kegagalan dalam mengikut peralihan teknologi dan inovasi baru. Namun, masih ada antara pengeluar yang tetap fokus kepada pasaran PC dengan jayanya seperti Lenovo di China yang lebih gemar menganggap zaman ini sebagai 'era tambahan PC'. Tetapi untuk syarikat besar seperti HP, mereka tidak boleh berubah secara mendadak kerana telah bertahun-tahun berusaha mencapai kesempurnaan dalam perniagaan teras sebagai penjual komputer. Ditambah produk sampingan seperti mesin cetak dan khidmat pelanggan, HP mencapai kemuncak industri 10 tahun lalu selepas pembelian mahal pesaingnya, Compaq.

Perubahan dalam sektor tersebut bagaimanapun menyebabkan syarikat itu hilang keseimbangan apabila jualan perkakasan komputer menurun sementara cabang perisian komputer HP pula gagal mengejar pertumbuhan pesat dalam industri. Prospek syarikat itu dijangka akan lebih baik selepas pengumuman pengurangan kakitangan dengan harga saham HP dilaporkan telah meningkat tiga peratus hujung minggu lalu. – Agensi

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Mingguan Malaysia
3 Jun 2012

01 Jun 2012

ISU SENI : LAGENDA KELING DAN KUMANG DALAM MASYARAKAT IBAN DI SARAWAK


Rencana ini ditulis oleh:
SOPIE SAMAILE dan FIRDAUS HASSAN


Kisah legenda Pengembaraan Keling dan Kumang dari Batang Ai yang sebelum ini hanya diceritakan secara lisan oleh orang dulu-dulu kini dipentaskan secara komersial hasil inisiatif Kampung Budaya Sarawak (SCV) di Kuching. Keling dan Kumang merupakan kisah masyarakat kaum Iban yang mempunyai banyak versi penceritaan dan diturunkan daripada satu generasi ke satu generasi. Majoriti generasi muda hari ini kurang mengenali siapa Keling dan Kumang. Mungkin mereka pernah mendengar nama itu tetapi tidak pernah menghayati kisahnya. Pada kemuncak Festival Menuai Sedunia (WHF) 2012 di Kuching baru-baru ini, SCV melalui produksinya mementaskan penggambaran drama tari tersebut yang disifatkan berada dalam kelasnya tersendiri.

Berdurasi selama 45 minit dan menggunakan 90 orang pelakon berusia seawal enam tahun sehingga 70 tahun, ia turut menggabungkan artis-artis SCV dan Sekolah Seni Kuching. Bagi menjayakan drama tari itu, para penari dan pelakon mengambil masa lebih dua minggu untuk berlatih. Kira-kira 2,000 pengunjung yang hadir pada malam itu rata-rata kagum dengan karakter Keling pada awal penceritaan yang mendayung perahu menyeberangi tasik yang berada betul-betul di hadapan penonton. Melalui plot tersebut, penonton dibawa mendalami watak Keling iaitu seorang lelaki gagah yang memiliki kesaktian. Keling berasal dari alam bunian atau dunia langit yang turun ke bumi.

Percintaan Keling dan Kumang berhadapan dengan pelbagai rintangan sebelum mereka dapat hidup bersama. Tidak sukar untuk para penonton memahami dan menghayati jalan cerita yang dialun dengan gerak tari dan alunan muzik tradisional sebagai latarnya. Pegawai Warisan Kampung Budaya Sarawak, Maspah Brahim berkata, drama tari itu diolah semula berdasarkan buku cerita hasil tulisan Heidi Munan, seorang wanita kelahiran Switzerland yang mengahwini lelaki Iban. Ia bukan sekadar hiburan, sebaliknya ia turut disisipkan dengan unsur-unsur budaya kaum Iban zaman dahulu. Menurutnya, dengan mementaskan kisah legenda yang diwarisi daripada satu generasi ke generasi, secara tidak langsung adat tersebut dipelihara dan tidak dimamah zaman.

Generasi sekarang hanya percaya dengan apa yang dilihat dengan mata kepala sendiri. Jadi, pementasan ini banyak membantu memberi kefahaman kepada penonton berhubung kehidupan masyarakat dahulu kala. Maspah berkata, melalui kisah itu, antara nilai budaya yang diselitkan ialah ngayap. Dalam erti kata lain, ia mengisahkan dua orang kekasih bertemu yakni ketika Keling dan Kumang yang dipanah asmara bertentangan mata di tepi sungai. Selain itu, drama tari ini turut menyelitkan pertandingan beradu kekuatan kaum Iban yang dikenali sebagai batak lampung antara Keling dengan abang Kumang iaitu Aji. Pementasan drama tari ini juga menampilkan kehidupan gadis Iban yang pandai memasak, cantik, sopan dan menghormati orang tua.


Beliau berkata, pementasan yang diadaptasi daripada kisah legenda Batang Ai itu turut diselitkan unsur kisah percintaan kaum Iban zaman dahulu, adat perkahwinan serta cara masyarakat itu berbahasa serta berkarya. Sementara itu, Pengurus Besar SCV, Jane Lian Labang berkata, pementasan drama tari yang berlatar belakang alam semula jadi seumpama itu tidak dipersembahkan di tempat lain. Beliau menjelaskan, keunikan drama tari SCV itu benar-benar mampu membangkitkan perasaan penonton. Ini merupakan pendekatan yang menarik bagi mendorong minat orang ramai lebih-lebih lagi generasi muda supaya mereka mencintai sesuatu budaya lama. Pementasan drama tari berbahasa Inggeris ini bukan sahaja sebagai hiburan malah ia bertujuan untuk memelihara budaya dan adat kaum Iban terdahulu.

Jane memberitahu, pementasan itu yang menggunakan keistimewaan yang terdapat di SCV seperti rumah panjang, tasik dan latar belakang Gunung Santubong nyata menaikkan lagi perasaan keterujaan para penonton. Pengunjung yang menonton pementasan tersebut turut diajak merasai persembahan drama tari berkenaan hinggakan sebahagian daripada mereka berinteraksi dengan para pelakon. Apa yang lucu, ada penonton lelaki bersorak-sorak nakal apabila melihat watak Kumang yang mandi di dalam tasik dengan berkemban. Menurut Jane, antara cabaran utama dalam pementasan itu ialah faktor cuaca terutama pada hari pementasan drama kerana jika hujan ia akan merencatkan kelancaran persembahan. Setakat ini, SCV berjaya mementaskan 16 drama yang diangkat daripada cerita-cerita rakyat di Sarawak sempena sambutan WHF setiap tahun sejak tahun 1996.

Kisah-kisah tersebut ialah Simanggeng yang dipentaskan pada 1996, Agan Tadun (1997), Pertarungan Bukit Sadok (1998), Sibauk (1999), Kedatangan Tuhan (2000), Belawan Bureing (2001), Manggeng (2002) dan Legasi Simpang-Impang (2003). Sementara itu, pada tahun 2004, cerita rakyat yang dipentaskan ialah Agan Tadun diikuti Wek Jongan pada tahun 2005, Rentap (2006), Belawan Burieng (2007), Panglima Kulow (2008), Simpang Impang 2 (2009), Batang Arong dan Dewi Langit (2010) serta Selanting Kuning (2011).

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Kosmo Online
1 Jun 2012


31 Mei 2012

ISU SOSIAL : PASTIKAN RAKYAT BERPENDAPATAN RENDAH MILIKI RUMAH SETANDING DENGAN PENDAPATAN


Rencana ini ditulis oleh:
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan
Pusat Pengajian Perakaunan (SOA)
Dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe)
Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia


Kenyataan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bahawa lebih kurang 60 peratus kakitangan sektor awam yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan terutamanya di Lembah Klang tidak mampu memiliki rumah sendiri tidak boleh sama sekali dipandang remeh. Ini kerana dalam kehidupan manusia, rumah merupakan tempat perlindungan untuk setiap insan berteduh dan beristirehat. Tanpa rumah, manusia akan hidup bergelandangan dan pelbagai masalah sosial akan berlaku. Berpunca daripada masalah sosial inilah akan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara. Sebagai contoh, anak-anak akan terbiar dan terjebak dalam pelbagai masalah sosial dan akhirnya modal insan berkualiti tidak dapat dibangunkan secara holistik bagi membina kemajuan negara.

Cuba kita lihat di negara-negara lain yang rakyatnya ramai yang tidak mampu memiliki rumah dan hidup bergelandangan. Kadar jenayah di situ amatlah tinggi. Jenayah yang tinggi menyebabkan ekonomi negara tersebut tidak dapat dimajukan sebaik mungkin. Para pelabur dalam dan luar negara tidak berani melabur di situ, seterusnya merencatkan kemajuan negara itu. Penulis amat yakin bukan sahaja kakitangan sektor awam yang bergaji di bawah RM3,000 sebulan yang tidak mampu membeli rumah tetapi juga para pekerja sektor swasta yang berpendapatan rendah tidak mampu membeli rumah yang selesa kerana harganya yang semakin mahal. Jika mereka memiliki rumah kos rendah tetapi keadaannya amat sempit berbanding jumlah isi rumah yang ramai akan menyebabkan mereka seisi keluarga menjalani kehidupan yang kurang selesa. Cuba kita teliti di kawasan perumahan sebegitu, banyak masalah sosial dan jenayah berbanding di kawasan perumahan yang lebih baik dan selesa.

Justeru, sudah sampai masanya kerajaan bertindak segera agar rakyat berpendapatan rendah bukan sahaja mampu memiliki rumah tetapi mendiami rumah yang selesa. Kini, harga rumah yang selesa untuk satu keluarga bersaiz sederhana berharga RM200,000 ke atas. Harga rumah sebegini sebenarnya tidak mampu dibeli oleh mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan. Bayangkan harga rumah berharga RM200,000, mereka terpaksa membayar ansuran bulanan lebih kurang RM1,200 sebulan selama 30 tahun? Wang lebihan mereka pastinya tidak mencukupi untuk menanggung keluarga seperti makan dan minum, pakaian, belanja persekolahan, bil-bil bulanan dan belanja pengangkutan. Ini belum termasuk untuk menghantar anak-anak ke pusat tuisyen bagi memperoleh pendidikan terbaik. Implikasinya, anak-anak golongan berpendapatan rendah akan kekal status quo mereka sebagai berpendapatan rendah apabila sudah dewasa nanti.

Justeru satu model perumahan rakyat wajar digubal secara holistik di bawah Dasar Perumahan Negara yang dilancarkan pada Februari 2011. Di bawah model perumahan rakyat, golongan berpendapatan rendah mampu memiliki rumah yang harganya setanding dengan pendapatan. Pada masa sama, keselesaan rumah tersebut juga wajar diberi keutamaan tertinggi. Umpamanya, harga rumah tidak melebihi RM100,000 dan mempunyai sekurang-kurangnya tiga bilik. Rumah tersebut tidak boleh terlalu sempit dan perlu mempunyai keluasan yang sewajarnya agar penghuninya selesa. Rumah kategori ini tidak boleh dibeli oleh golongan berpendapatan tinggi. Sementara itu, bagi golongan berpendapatan sederhana pula boleh dipertimbangkan jika masih ada kekosongan. Model perumahan rakyat juga perlu mencakupi golongan berpendapatan sederhana yang belum memiliki rumah dengan harga rumah lebih tinggi sedikit berbanding harga rumah untuk golongan berpendapatan rendah.

Selain harga rumah dan saiznya, kerajaan juga perlu melihat secara mendalam kos-kos lain seperti duti setem, yuran guaman dan juga insurans. Segala kos ini wajar dikurangkan untuk pembeli rumah pertama yang berpendapatan rendah dan sederhana. Di samping itu, kadar pinjaman seratus peratus diberikan kepada mereka. Kadar faedahnya pula adalah paling minimum dan tidak mengikut kadar semasa. Lokasi-lokasi strategik terutamanya di bandar-bandar besar seperti Pulau Pinang dan Kuala Lumpur perlu diberikan perhatian segera oleh kerajaan selain membina lebih banyak rumah di kawasan lain. Pemilikan dan harga tanah di bandar besar antara isu terpenting yang patut diselesaikan di bawah model perumahan rakyat. Selain itu, kelestarian kawasan perumahan yang bakal dibangunkan perlu dikekalkan di bawah model perumahan rakyat. Jangan sesekali bukit-bukau digondolkan seperti mana yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab pada masa kini yang akhirnya boleh memberi kesan bencana alam kepada penduduk setempat seperti banjir dan tanah runtuh.

Melalui model perumahan rakyat yang holistik, kebajikan majoriti rakyat akan terpelihara selaras dengan gagasan rakyat didahulukan. Bahkan, pembangunan ekonomi negara akan dapat dipertingkatkan. Selama ini, ramai yang beranggapan, sumbangan besar sektor hartanah banyak bergantung pada hartanah berstatus mewah sahaja. Yakinilah, negara akan lebih maju sekiranya majoriti rakyat berpendapatan sederhana dan rendah mampu memiliki rumah selesa. Ini kerana permintaan ke atas sektor-sektor lain seperti perabot dan barang-barang keperluan rumah akan melonjak tinggi dek kerana rakyat akan sanggup berbelanja lebih untuk rumah sendiri berbanding rumah yang bukan milik mereka.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
31 Mei 2012

ISU SOSIAL : APABILA MUSIM CUTI SEKOLAH, KEMALANGAN JALAN RAYA PUN MENINGKAT


Rencana ini ditulis oleh :
M JASNI MAJED


Biasanya, pada musim cuti sekolah begini, pergerakan kenderaan bertambah tidak kira sama ada di lebuh raya mahupun di jalan-jalan biasa. Ramai antara kita menjadi sibuk dengan pelbagai urusan dan menggunakan kenderaan untuk bergerak ke mana-mana. Pada musim cuti beginilah, ramai yang mengambil kesempatan membawa keluarga makan angin. Tidak kurang pula yang bergerak jauh untuk menghadiri majlis kenduri-kendara. Selebihnya pulang ke kampung halaman untuk bertemu ayah bonda dan sanak-saudara. Oleh sebab sikap orang kita yang sudah hendak berkongsi kenderaan, maka bilangan kenderaan di jalan raya pun bertambah. Dalam sebuah rumah pun, kalau hendak balik kampung, belum tentu boleh balik dalam kenderaan yang sama. Anak-anak yang sudah besar panjang tidak mahu menumpang kereta ibu bapa kerana sudah ada kereta sendiri. Kesibukan kerja malah pelbagai alasan lain diberikan untuk tidak balik bersama dan sudahnya jalan sesak oleh kenderaan.

Selalunya, pada musim cuti sekolah begini, statistik kemalangan dan kematian di jalan raya makin meningkat. Jika pada hari-hari biasa, purata kematian di jalan raya selalunya tidak sampai 15 orang, tetapi pada musim cuti sekolah, angkanya meningkat mencecah 18 atau 20 kematian sehari. Usaha untuk mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya tidak semestinya diletakkan seratus-peratus di bahu pihak berkuasa untuk menanganinya. Individu atau pengguna jalan raya mesti memainkan peranan penting memastikan kemalangan dapat dikurang atau dielakkan. Perancangan yang rapi sebelum memulakan perjalanan perlu dilakukan demi memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat. Persediaan dari segi mental dan fizikal mesti diutamakan kerana dengan mengabaikan dua aspek ini, kemalangan mudah berlaku.

Oleh sebab ramai yang menganggap sikap kita sebagai orang Timur hilang ketika kita berada di jalan raya, sikap ini perlu diubah supaya imej kita sebagai orang Timur kekal sebagai sebagai masyarakat yang bersopan santun apatah lagi di jalan raya. Untuk bersopan-santun di jalan raya bukanlah susah. Jika kita mengikut semua peraturan yang ditetapkan, ini bermakna kita sudah dianggap telah bersopan-santun. Malah tindakan kita itu disenangi oleh pihak lain dan yang pentingnya tidak menyusahkan diri dan orang lain. Sementara itu, untuk memperlengkap sikap sopan-santun ini, kita juga mesti membuang segala tindakan negatif di jalan raya seperti terburu-buru, mementingkan diri sendiri dan bongkak.

Bagi kenderaan awam seperti bas ekspres dan juga teksi, tanggungjawab pemandu sangat berat kerana keselamatan ramai penumpang berada di tangan mereka. Syarikat-syarikat bas tidak semestinya memikirkan keuntungan semata-mata kerana sikap ini selalunya membawa kesan negatif seperti kemalangan dan kematian. Sejarah membuktikan betapa insiden-insiden yang pernah berlaku membabitkan bas ekspres di negara kita sangat menyayat hati kerana mengorbankan banyak jiwa dalam sekelip mata. Bagi bas yang melakukan perjalanan jauh, pemandu kedua mesti disediakan dan waktu rehat yang secukupnya mesti diberikan kepada mereka sebelum melakukan tugas. Malah, bagi meringankan tugas pihak berkuasa dalam menangani kemalangan dan kematian di jalan raya, sudah sewajarnya pengguna jalan raya memikirkan sendiri kesan-kesan negatif kemalangan di jalan raya. Selain kematian, mereka mesti memikirkan kesan-kesan jangka panjang ke atas diri dan juga keluarga mereka.

Bagi yang mengalami kecederaan kekal, sesalan akan dirasai dalam jangka masa yang panjang. Jika begini keadaannya, masa yang sudah berlalu tidak boleh ditarik balik. Pepatah ada mengatakan, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Oleh itu, sebagai pengguna jalan raya, sikap berhati-hati sangat penting demi memastikan keselamatan diri dan orang lain. Orang tua-tua selalu berpesan, ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
30 Mei 2012

ISU KENEGARAAN : MENSYUKURI NIKMAT HIDUP DI MALAYSIA


Rencana ini ditulis oleh :
ZULKIFLI JALIL


Kalaulah kita boleh duduk dan tenang-tenang sebentar. Kemudian ambil masa sedikit hirup udara segar. Dan renung-renungkan betapa bernasib baik dan beruntungnya kita tinggal di bumi Malaysia bertuah ini. Bukan memaksa, tapi cubalah. Barangkali, tentu dan akan ada ungkapan 'apa aku kisah' kerana apa sahaja prasarana, kemudahan asas sehinggalah penyaluran subsidi 'itu memang tanggungjawab kerajaan. Kerajaan banyak duit dan itu adalah duit rakyat'. Dan memang wajarlah ia dibelanjakan oleh kerajaan untuk rakyat. 'Itukan hak rakyat'. Demikian juga dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan barangkali apa sahaja yang berkaitan dengan pengumuman peruntukan, antaranya Felda, Belanjawan Negara dan dan apa sahajalah...'itu duit rakyat'. Boleh diterimakah tanggapan sebegini?

Untuk pergi jauh menjengah isu ini, maka marilah kita luangkan sedikit masa sekejap menilai fakta-fakta seterusnya ini. Ya! kita tidak seperti negara-negara tetangga di rantau ini. Di Indonesia, kerajaannya hanya memberi subsidi untuk golongan berpendapatan rendah. Antaranya, beras (gred rendah), gas LPG (berat tong 3 kilogram) dan petrol RON88. Lain-lain produk tidak disubsidikan atau dijual pada harga pasaran. Thailand pula hanya memberi subsidi untuk diesel bagi golongan nelayan manakala Singapura tidak memberi apa-apa subsidi kepada mana-mana barang atau produk keperluan harian. Kadar tanggungan subsidi bagi setiap negara jiran tidak diketahui. Malaysia - berasaskan fakta, mempunyai tanggungan subsidi tertinggi berbanding negara jiran. Negara ini menanggung subsidi bagi tujuh barang keperluan seperti beras, gula, tepung gandum, minyak masak, petrol, diesel, LPG dan termasuk bil elektrik, pendidikan dan kesihatan.

Dalam aspek ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah diberikan peruntukan berjumlah RM200 juta untuk melaksanakan Program Penyeragaman Harga di pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi tahun ini. Peruntukan ini bertujuan membiayai perkhidmatan transporter yang telah dilantik untuk mengedar dan membekalkan barang keperluan bersubsidi iaitu gula, tepung gandum, minyak masak, Beras Nasional, gas memasak (LPG 14 kg), petrol dan diesel bagi memastikan masyarakat di pedalaman menikmati faedah subsidi kerajaan. Sebagai contoh di Ba'kelalan, Sarawak, harga gas memasak sebelum pelaksanaan projek adalah RM70/tong, gula RM5/kg, beras nasional RM45/kg, petrol dan diesel RM5.50/liter. Harga selepas projek pula dilaksanakan mematuhi harga ditetapkan kerajaan iaitu bagi gas memasak adalah RM26.60/tong, gula RM2.50/kg, beras nasional RM18/kg, petrol RM1.90/liter dan diesel RM1.80/liter, setelah kerajaan menanggung kos pengangkutan yang tinggi.

Pelaksanaan program ini membantu golongan sasaran yang berpendapatan rendah di kawasan pedalaman hidup dengan kos sara hidup yang rendah. Sepanjang pelaksanaan program penyeragaman harga ini (2009-2011), sejumlah 1.77 juta penduduk (Semenanjung, sabah dan Sarawak) telah memperolehi manfaat penjimatan boleh guna hasil daripada penyeragaman harga kawalan ini. Kawasan yang dipilih bagi pelaksanaan projek adalah berdasarkan kedudukan harga runcit barang keperluan pengguna di tempat berkenaan melebihi 15% daripada harga kawalan kerajaan. Kesukaran penduduk tempatan mendapatkan barang keperluan adalah disebabkan oleh keadaan muka bumi dan kos pengangkutan yang tinggi, menyebabkan barang keperluan menjadi mahal.

Contohnya, di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan jalan berturap dan hanya menggunakan kenderaan pacuan 4 roda sahaja yang mampu melalui kawasan tersebut. Terdapat juga kawasan yang hanya boleh dihubungi melalui jalan air seperti sungai, tasik dan laut. Barang keperluan yang dibekalkan di sesuatu kawasan tersebut adalah untuk kegunaan penduduk setempat dalam komuniti berkenaan sahaja. Contohnya seperti kegunaan petrol dan diesel bagi bot sangkut persendirian, set penjana elektrik, mesin padi dan jentera-jentera persendirian. Langkah kawalan harga barangan perlu oleh kerajaan merupakan faktor penyumbang kepada pengekalan kadar inflasi yang sederhana di negara ini. Ia telah dapat memastikan harga barangan perlu adalah lebih rendah berbanding dengan negara-negara jiran di rantau ini.

Kawalan harga telah memberikan impak yang minimum ke atas harga barang-barang perlu dalam negara walaupun harga makanan dan komoditi di pasaran dunia semakin meningkat. Bagaimana peranan rakyat untuk memanfaatkan konsep subsidi barangan ini supaya ia bukan suatu pembaziran kepada kerajaan dan benar-benar menyumbang kepada ekonomi dalam negara? Kerana itu, rakyat perlu 'mengubah cara hidup' ke arah kesederhanaan dan berbelanja mengikut kemampuan dan secara berhemah.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
31 Mei 2012