Rencana ini ditulis oleh :
M JASNI MAJED
Biasanya, pada musim cuti sekolah begini,
pergerakan kenderaan bertambah tidak kira sama ada di lebuh raya mahupun di
jalan-jalan biasa. Ramai antara kita menjadi sibuk dengan pelbagai urusan dan
menggunakan kenderaan untuk bergerak ke mana-mana. Pada musim cuti beginilah,
ramai yang mengambil kesempatan membawa keluarga makan angin. Tidak kurang pula
yang bergerak jauh untuk menghadiri majlis kenduri-kendara. Selebihnya pulang
ke kampung halaman untuk bertemu ayah bonda dan sanak-saudara. Oleh sebab sikap
orang kita yang sudah hendak berkongsi kenderaan, maka bilangan kenderaan di
jalan raya pun bertambah. Dalam sebuah rumah pun, kalau hendak balik kampung,
belum tentu boleh balik dalam kenderaan yang sama. Anak-anak yang sudah besar
panjang tidak mahu menumpang kereta ibu bapa kerana sudah ada kereta sendiri.
Kesibukan kerja malah pelbagai alasan lain diberikan untuk tidak balik bersama
dan sudahnya jalan sesak oleh kenderaan.
Selalunya, pada musim cuti sekolah
begini, statistik kemalangan dan kematian di jalan raya makin meningkat. Jika pada
hari-hari biasa, purata kematian di jalan raya selalunya tidak sampai 15 orang,
tetapi pada musim cuti sekolah, angkanya meningkat mencecah 18 atau 20 kematian
sehari. Usaha untuk mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya tidak
semestinya diletakkan seratus-peratus di bahu pihak berkuasa untuk
menanganinya. Individu atau pengguna jalan raya mesti memainkan peranan penting
memastikan kemalangan dapat dikurang atau dielakkan. Perancangan yang rapi
sebelum memulakan perjalanan perlu dilakukan demi memastikan kenderaan berada
dalam keadaan selamat. Persediaan dari segi mental dan fizikal mesti diutamakan
kerana dengan mengabaikan dua aspek ini, kemalangan mudah berlaku.
Oleh sebab ramai yang menganggap sikap
kita sebagai orang Timur hilang ketika kita berada di jalan raya, sikap ini
perlu diubah supaya imej kita sebagai orang Timur kekal sebagai sebagai
masyarakat yang bersopan santun apatah lagi di jalan raya. Untuk
bersopan-santun di jalan raya bukanlah susah. Jika kita mengikut semua
peraturan yang ditetapkan, ini bermakna kita sudah dianggap telah
bersopan-santun. Malah tindakan kita itu disenangi oleh pihak lain dan yang
pentingnya tidak menyusahkan diri dan orang lain. Sementara itu, untuk
memperlengkap sikap sopan-santun ini, kita juga mesti membuang segala tindakan
negatif di jalan raya seperti terburu-buru, mementingkan diri sendiri dan
bongkak.
Bagi kenderaan awam seperti bas
ekspres dan juga teksi, tanggungjawab pemandu sangat berat kerana keselamatan
ramai penumpang berada di tangan mereka. Syarikat-syarikat bas tidak semestinya
memikirkan keuntungan semata-mata kerana sikap ini selalunya membawa kesan
negatif seperti kemalangan dan kematian. Sejarah membuktikan betapa
insiden-insiden yang pernah berlaku membabitkan bas ekspres di negara kita
sangat menyayat hati kerana mengorbankan banyak jiwa dalam sekelip mata. Bagi
bas yang melakukan perjalanan jauh, pemandu kedua mesti disediakan dan waktu
rehat yang secukupnya mesti diberikan kepada mereka sebelum melakukan tugas. Malah,
bagi meringankan tugas pihak berkuasa dalam menangani kemalangan dan kematian
di jalan raya, sudah sewajarnya pengguna jalan raya memikirkan sendiri
kesan-kesan negatif kemalangan di jalan raya. Selain kematian, mereka mesti
memikirkan kesan-kesan jangka panjang ke atas diri dan juga keluarga mereka.
Bagi yang mengalami kecederaan kekal,
sesalan akan dirasai dalam jangka masa yang panjang. Jika begini keadaannya,
masa yang sudah berlalu tidak boleh ditarik balik. Pepatah ada mengatakan,
sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Oleh itu, sebagai
pengguna jalan raya, sikap berhati-hati sangat penting demi memastikan
keselamatan diri dan orang lain. Orang tua-tua selalu berpesan, ingat sebelum
kena, jimat sebelum habis.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
Sumber
Utusan Malaysia
30 Mei 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan