Coretan Marhaen
Tahniah diucapkan
kepada Universiti Malaya (UM) kerana berjaya mengekalkan statusnya sebagai
universiti utama di Malaysia, empat tahun berturut-turut! Kita patut berbangga
dengan pencapaian UM menduduki tangga ke-35 keseluruhan di Asia bagi 2012
mengikut ranking yang didedahkan hasil kaji selidik QS ke atas lebih 500
universiti. Nampaknya UM terus mendominasi kedudukan sebagai institusi
pengajian tinggi awam (IPTA) paling top di Malaysia. Kalau di Amerika Syarikat
atau United Kingdom, status UM ini boleh dikatakan setaraf dengan universiti
Ivy League seperti Universiti Harvard, Princeton dan Yale, yang cukup terkenal
dengan kehebatan akademik, syarat kemasukan yang cukup ketat dan sifat
elitisnya. Bukan lagi rahsia, ramai penuntut dan ahli akademik memasang impian
untuk melanjutkan pengajian ke universiti tersebut kerana mahukan reputasi yang
dibawa dalam resume masing-masing sebagai alumninya.
Sekarang ini pun, UM
cukup popular dalam kalangan pelajar asing apabila menduduki tempat keempat
dalam program pertukaran pelajar universiti di Asia. Dengan pelbagai kejayaan
yang dikecapi terutamanya mencapai kedudukan ke-35 terbaik di Asia, misi UM
untuk menempatkan universiti itu antara 100 terbaik di dunia pada 2015, bukan
sesuatu yang mustahil. Namun sebagai universiti terbaik di Malaysia dan antara
terbaik di Asia, UM yang terletak di Lembah Pantai, Kuala Lumpur (KL) - mungkin
tidak seperti yang dibayangkan selayaknya sebuah kampus induk universiti
bertaraf dunia. Janganlah cuba-cuba hendak mencari Dataran UM atau UM Square
seperti yang terdapat di Harvard. Lokasinya yang cukup hampir dengan pusat
bandar, mengehadkan saiz kampus ini. Tambahan bangunan baru pentadbiran,
fakulti dan kolej kediaman - kini hingga ke-12 - menyesakkan lagi kampus yang
sudah cukup padat itu. Walaupun ada dua pintu masuk dan keluar iaitu dari pintu
KL dan Petaling Jaya (PJ) - laluannya tetap sama iaitu jalan dua lorong sehala
mengelilingi tasik UM untuk ke destinasi dalam kawasan kampus - walaupun jalan keluar
sudah ditambah melalui pintu Damansara.
Isu ini mungkin
remeh. Lebih-lebih lagi bagi pentadbir UM yang sedang menumpukan usaha mengejar
ranking dunia. Apa sangatlah isu jalan dan saiz kampus hendak dibincangkan. Namun
bagi penulis, universiti terbaik sepatutnya hebat serba-serbi. Pengalaman
terperangkap dua jam dalam kesesakan dari pintu masuk PJ menghala ke pintu
keluar Damansara yang tidak sampai pun berapa kilometer pada Ahad minggu lepas,
sungguh mengecewakan. Difahamkan pada hari itu seramai 2,000 pelajar baru Asasi
Sains UM mendaftar masuk dan ditempatkan di Kolej Kediaman Ke-12, yang
kebetulan terletak di laluan menghala ke Damansara. Bayangkan jika setiap
pelajar dihantar oleh ahli keluarga masing-masing dengan sebuah kereta, ini
bermakna sebanyak 2,000 kenderaan masuk ke kampus pada hari itu. Namun maklum
sahajalah budaya rakyat Malaysia, kegembiraan menghantar anak masuk universiti
selalunya dikongsi dengan saudara-mara, jadi mungkin ada yang pergi dua tiga
kereta.
Bagi yang datang dari
luar KL seperti Kelantan, Terengganu, negeri di Utara dan Johor misalnya,
inilah masanya untuk berjalan-jalan di kota raya. Jadi pihak pentadbir
universiti sepatutnya sudah boleh mengagak kesesakan yang akan berlaku dengan
kehadiran serentak mereka dalam sela masa terhad yang ditetapkan. Sayangnya
perkara remeh ini nampaknya tidak termasuk dalam pertimbangan dan perhatian. Difahamkan
pada hari yang sama, terdapat tiga acara lain berlangsung di tempat yang
berdekatan antaranya temasya sukan untuk anak yatim dan pertunjukan makyung. Bayangkan
sahaja jumlah kenderaan yang memasuki kawasan kampus UM yang tidak sebesar mana
itu, belum dikira kereta pensyarah, penuntut dan staf sedia ada. Tidak mustahil
ada yang terpaksa mengikat perut kelaparan, terlepas solat atau pitam kerana
tersangkut tidak dapat bergerak ke mana gara-gara kesesakan teruk itu.
Memandangkan UM sudah
pun memperoleh kuasa autonomi mulai tahun ini, sudah tiba masanya ia merancang
memperbesarkan keluasan kampusnya, mungkin dengan mencari tapak sesuai di
tempat lain. Bukan berpindah tetapi menambah kampus cawangan. Mengambil contoh
Universiti Harvard sendiri mempunyai tiga kampus. Kampus induk seluas 85 hektar
di Harvard Yard, Cambridge, Kampus Perubatan di Longwood Medical Area manakala
Kampus Allston menempatkan Fakulti Perniagaan dan kemudahan sukan termasuk
stadium. Sementara menunggu UM mempunyai kampus baru, sesuatu perlu dilakukan
untuk memastikan sistem penyuraian trafik di dalam kampus dan penyusunan jadual
acara universiti diurus sebaik-baiknya. Jika tidak pun menaikkan ranking
akademik, sistem trafik yang teratur dan lancar terutama ketika UM dikunjungi
pelawat, sudah pasti meletakkan imej universiti itu di tempat yang tinggi di
mata orang luar.
Sila berikan komen
anda. Terima kasih.
Sumber
Utusan Malaysia
3 Jun 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan