Rencana ini ditulis oleh:
SOPIE SAMAILE dan FIRDAUS HASSAN
Kisah legenda Pengembaraan Keling dan
Kumang dari Batang Ai yang sebelum ini hanya diceritakan secara lisan oleh
orang dulu-dulu kini dipentaskan secara komersial hasil inisiatif Kampung
Budaya Sarawak (SCV) di Kuching. Keling dan Kumang merupakan kisah masyarakat
kaum Iban yang mempunyai banyak versi penceritaan dan diturunkan daripada satu
generasi ke satu generasi. Majoriti generasi muda hari ini kurang mengenali
siapa Keling dan Kumang. Mungkin mereka pernah mendengar nama itu tetapi tidak
pernah menghayati kisahnya. Pada kemuncak Festival Menuai Sedunia (WHF) 2012 di
Kuching baru-baru ini, SCV melalui produksinya mementaskan penggambaran drama
tari tersebut yang disifatkan berada dalam kelasnya tersendiri.
Berdurasi selama 45 minit dan
menggunakan 90 orang pelakon berusia seawal enam tahun sehingga 70 tahun, ia
turut menggabungkan artis-artis SCV dan Sekolah Seni Kuching. Bagi menjayakan
drama tari itu, para penari dan pelakon mengambil masa lebih dua minggu untuk
berlatih. Kira-kira 2,000 pengunjung yang hadir pada malam itu rata-rata kagum
dengan karakter Keling pada awal penceritaan yang mendayung perahu menyeberangi
tasik yang berada betul-betul di hadapan penonton. Melalui plot tersebut,
penonton dibawa mendalami watak Keling iaitu seorang lelaki gagah yang memiliki
kesaktian. Keling berasal dari alam bunian atau dunia langit yang turun ke
bumi.
Percintaan Keling dan Kumang
berhadapan dengan pelbagai rintangan sebelum mereka dapat hidup bersama. Tidak
sukar untuk para penonton memahami dan menghayati jalan cerita yang dialun
dengan gerak tari dan alunan muzik tradisional sebagai latarnya. Pegawai
Warisan Kampung Budaya Sarawak, Maspah Brahim berkata, drama tari itu diolah
semula berdasarkan buku cerita hasil tulisan Heidi Munan, seorang wanita
kelahiran Switzerland yang mengahwini lelaki Iban. Ia bukan sekadar hiburan,
sebaliknya ia turut disisipkan dengan unsur-unsur budaya kaum Iban zaman
dahulu. Menurutnya, dengan mementaskan kisah legenda yang diwarisi daripada
satu generasi ke generasi, secara tidak langsung adat tersebut dipelihara dan
tidak dimamah zaman.
Generasi sekarang hanya percaya dengan
apa yang dilihat dengan mata kepala sendiri. Jadi, pementasan ini banyak
membantu memberi kefahaman kepada penonton berhubung kehidupan masyarakat
dahulu kala. Maspah berkata, melalui kisah itu, antara nilai budaya yang
diselitkan ialah ngayap. Dalam erti kata lain, ia mengisahkan dua orang kekasih
bertemu yakni ketika Keling dan Kumang yang dipanah asmara bertentangan mata di
tepi sungai. Selain itu, drama tari ini turut menyelitkan pertandingan beradu
kekuatan kaum Iban yang dikenali sebagai batak lampung antara Keling dengan
abang Kumang iaitu Aji. Pementasan drama tari ini juga menampilkan kehidupan
gadis Iban yang pandai memasak, cantik, sopan dan menghormati orang tua.
Beliau berkata, pementasan yang
diadaptasi daripada kisah legenda Batang Ai itu turut diselitkan unsur kisah
percintaan kaum Iban zaman dahulu, adat perkahwinan serta cara masyarakat itu
berbahasa serta berkarya. Sementara itu, Pengurus Besar SCV, Jane Lian Labang
berkata, pementasan drama tari yang berlatar belakang alam semula jadi seumpama
itu tidak dipersembahkan di tempat lain. Beliau menjelaskan, keunikan drama
tari SCV itu benar-benar mampu membangkitkan perasaan penonton. Ini merupakan
pendekatan yang menarik bagi mendorong minat orang ramai lebih-lebih lagi
generasi muda supaya mereka mencintai sesuatu budaya lama. Pementasan drama
tari berbahasa Inggeris ini bukan sahaja sebagai hiburan malah ia bertujuan
untuk memelihara budaya dan adat kaum Iban terdahulu.
Jane memberitahu, pementasan itu yang
menggunakan keistimewaan yang terdapat di SCV seperti rumah panjang, tasik dan
latar belakang Gunung Santubong nyata menaikkan lagi perasaan keterujaan para
penonton. Pengunjung yang menonton pementasan tersebut turut diajak merasai
persembahan drama tari berkenaan hinggakan sebahagian daripada mereka
berinteraksi dengan para pelakon. Apa yang lucu, ada penonton lelaki
bersorak-sorak nakal apabila melihat watak Kumang yang mandi di dalam tasik
dengan berkemban. Menurut Jane, antara cabaran utama dalam pementasan itu ialah
faktor cuaca terutama pada hari pementasan drama kerana jika hujan ia akan
merencatkan kelancaran persembahan. Setakat ini, SCV berjaya mementaskan 16
drama yang diangkat daripada cerita-cerita rakyat di Sarawak sempena sambutan
WHF setiap tahun sejak tahun 1996.
Kisah-kisah tersebut ialah Simanggeng
yang dipentaskan pada 1996, Agan Tadun (1997), Pertarungan Bukit Sadok (1998),
Sibauk (1999), Kedatangan Tuhan (2000), Belawan Bureing (2001), Manggeng (2002)
dan Legasi Simpang-Impang (2003). Sementara itu, pada tahun 2004, cerita rakyat
yang dipentaskan ialah Agan Tadun diikuti Wek Jongan pada tahun 2005, Rentap
(2006), Belawan Burieng (2007), Panglima Kulow (2008), Simpang Impang 2 (2009),
Batang Arong dan Dewi Langit (2010) serta Selanting Kuning (2011).
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
Sumber :
Kosmo Online
1 Jun 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan