22 Oktober 2011

ISU ANTARABANGSA : BUDAK KENA GILIS DI CHINA MANGSA UNDANG-UNDANG LAPOK

Oleh Khaidir A Majid


ALHAMBRA, SEPANYOL

Media di China dan pelayar internet di seluruh dunia awal minggu ini mengecam ketandusan nilai kemanusiaan yang dipaparkan penduduk bandar Foshan di wilayah Guandong berikutan satu kemalangan membabitkan seorang kanak-kanak kecil.  Insiden berkenaan menyaksikan kanak-kanak perempuan yang berusia dua tahun itu dilanggar dua kali oleh dua van berlainan di sebuah jalan raya. Kanak-kanak itu yang berlumuran darah dan terbaring di tepi jalan, tidak langsung dibantu oleh lebih 10 orang yang lalu lalang di jalan yang sempit itu. Insiden pada 13 Oktober itu dirakam oleh kamera kawalan dan disiarkan oleh stesen televisyen Southern Television Guangdong (TVS). Penonton televisyen di Malaysia turut menyaksikan insiden itu apabila ia disiarkan sebagai berita utama oleh TV3. Pemandu van putih yang pertama melanggar kanak-kanak itu meninggalkan mangsa kecilnya itu berlumuran darah di tepi jalan. Kira-kira enam minit kemudian, lebih 10 orang lalu di jalan itu dan tidak seorang pun melakukan apa-apa untuk membantunya.

Kanak-kanak itu kemudian digelek oleh sebuah van lagi dan hanya selepas itu seorang wanita tua yang mengutip sampah membantu mangsa. Wanita tua itu memberitahu ibu kanak-kanak itu mengenai nasib malang anaknya. Mangsa yang dibawa ke hospital kini dalam keadaan koma. Doktor berkata kanak-kanak perempuan itu kini dianggap ‘mati otak’ dan pada bila-bila masa boleh menghembus nafas terakhirnya. Walaupun sejak itu pemandu kedua-dua van terbabit sudah ditahan polis, insiden berkenaan memeranjatkan orang ramai dan mencetuskan debat mengenai tahap moral di negara itu. Apakah nilai kemanusiaan sudah lenyap langsung di China? Apakah pembangunan pesat sesebuah negara akan membuatkan seseorang terlalu sibuk mengejar kemewahan sehingga tidak lagi hirau mengenai nasib insan yang lain? Debat yang sama turut berlaku di Britain apabila seorang pelajar Malaysia dipukul perusuh yang berpura-pura membantu mangsanya yang jatuh daripada basikal yang ditungganginya.

Selepas insiden berkenaan, penduduk Britain mula menyoal keruntuhan tahap moral di negara itu. Mereka mula melihat apakah punca keruntuhan itu dan mempersoalkan sama ada sistem pendidikan negara menyumbang kepadanya.  Namun insiden terbaru di China itu bukan saja membabitkan soal moral. Kanak-kanak kecil terbabit mungkin juga menjadi mangsa kepada undang-undang yang tidak memihak kepada mereka yang membantu mangsa kemalangan. Ramai di China enggan membantu mangsa kemalangan kerana bimbang mereka akan dipersalahkan kemudian. Beberapa kes berprofil tinggi sebelum ini menyaksikan mereka yang membantu disaman oleh mangsa yang dibantunya. Mungkin atas alasan inilah lebih 10 orang yang lalu lalang di depan kanak-kanak malang berkenaan enggan membantunya. Apa sekali pun moral yang tinggi yang dibanggakan rakyat China sebelum ini kini dilihat mula lenyap, digantikan dengan kegilaan mencari keuntungan dan menghimpun material. Apa-apa undang-udang dirangka sekali pun tidak akan menyelesaikan masalah keruntuhan nilai kemanusiaan ini. Apa yang penting ia harus dipupuk oleh pendidikan baik di sekolah, mahupun di rumah.

SUMBER
BERITA HARIAN
22 OKTOBER 2011


VIDEO PERISTIWA INI






ISU BAHASA : DASAR BAHASA TUNTUT KETEGASAN KITA

Oleh Victor A Pogadaev


TAMAN CANAIMA DAN AIR TERJUN SALTO ANGLE, VENEZUELA

Setiap kerajaan biasanya berusaha mengawal situasi bahasa di negaranya. Ia meskipun dengan peringkat keaktifan berlainan, menggalakkan keadaan yang sedia wujud atau mengubahnya, bagi menyokong perkembangan satu bahasa dan mengekang peranan bahasa lain. Itulah dinamakan dasar bahasa. Dalam masyarakat industri yang diutamakan ialah keperluan persefahaman dan persis keperluan itu dilayani oleh dasar bahasa. Jalan yang paling berkesan ialah mengutamakan satu bahasa yang sama untuk seluruh negara. Bahasa itu tentu menduduki status yang paling tinggi dan status itu biasanya dikukuhkan secara undang-undang. Dalam hal itu, ia dinamakan bahasa negara atau rasmi. Perhatian terhadap kepelbagaian bahasa menjadi lebih besar. Bersamaan dengan itu peranan beberapa bahasa terutama bahasa Inggeris menjadi lebih nyata Biasanya bahasa negara itu ialah bahasa penduduk majoriti dalam bentuk persuratan: Bahasa Inggeris di Inggeris, bahasa Perancis di Perancis, bahasa Jepun di Jepun, bahasa    Russia di Russia dan bahasa Melayu di Malaysia. Dalam kes itu, untuk penduduk majoriti keperluan persefahaman dan jati diri dipenuhi tetapi penduduk minoriti terpaksa menjadi penutur dwibahasa.

Ada negara di mana tidak satu bahasa pun boleh dipandang sebagai bahasa penduduk majoriti. Dalam kes itu dasar bahasa boleh bermacam-macam. Salah satu contoh mungkin ditunjukkan oleh Switzerland di mana tidak satu bahasa pun boleh dianggap sebagai bahasa majoriti dan setiap kaum ada hak menguasai satu bahasa saja. Untuk menganuti prinsip itu secara tekun agak susah.  Misalnya dasar Switzerland itu diterima oleh bekas Czechoslovakia. Pada 1950-an bahkan ulasan selari pertandingan bola sepak dibuat berselang oleh pengulas Czech dan Slovakia (dalam bahasa Czech serta bahasa Slovakia), tetapi persamaan penuh taraf bahasa tidak pernah dicapai: Bahagian Czech lebih berkembang ekonominya, di Czechia terletak ibu negara dan penduduk Czech lebih ramai daripada penduduk Slovakia. Oleh kerana itu, peratus penduduk Slovakia yang tahu bahasa Czech jauh lebih tinggi daripada peratus penduduk Czech yang bercakap dalam bahasa Slovakia dan orang Czech bergaul dengan orang Slovakia sebahagian besarnya dalam bahasa Czech. Di negara itu ada penduduk kaum lain (orang Hungari, Jerman, Ukraine) tetapi hak bahasa mereka tidak pernah dijamin.

Cara kedua ialah penggunaan bahasa luar sebagai bahasa negara iaitu bahasa bekas penjajah. Kadang-kadang bahasa itu menjadi bahasa rasmi seperti di kebanyakan negara Afrika. Kadang-kadang ada semacam dua peringkat bahasa negara. Di India 16 bahasa negara tetapi semuanya kecuali bahasa Inggeris dan Sanskrit (bahasa agama) ialah bahasa rasmi negeri bahagian dan di peringkat negara bahasa Inggeris diutamakan.  Ada juga cara ketiga yakni penggunaan bahasa salah satu kaum minoriti. Itu mungkin bahasa minoriti berkulit putih yang pernah berkuasa misalnya di Afrika Selatan dahulu. Di Indonesia, selepas tercapainya kemerdekaan bahasa rasmi menjadi bahasa Melayu yang dinamakan sebagai bahasa Indonesia. Orang Melayu di Indonesia bukan penduduk majoriti dan bahkan bukan minoriti yang terbesar. Tetapi bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan diketahui di seluruh negara; bahasa lain meskipun jumlah penuturnya lebih besar tidak tersebar begitu luas. Situasi serupa terjadi di negara Afrika Timur: Tanzania dan Kenya. Bahasa Swahili di sana bukan bahasa penduduk majoriti tetapi diketahui sebagai bahasa perdagangan oleh semua suku bangsa.

Sekarang di Tanzania bahasa Swahili berkuasa di semua bidang kehidupan, melainkan di Kenya berkongsi fungsinya dengan bahasa Inggeris. Era pascaindustri memperlihatkan bukan saja konflik bahasa dan perang. Di banyak negara, terutama negara maju, dasar bahasa menjadi lebih lunak. Sekolah dengan bahasa minoriti dibuka, bahasa itu digunakan dalam pentadbiran pada peringkat akar ubi. Semakin besar perhatian diberikan kepada dialek. Murid sekolah di Jepun bahkan diajarkan bercakap betul dalam dialek dan rakaman ucapan dalam dialek yang betul disimpan sebagai kekayaan negara bersama dengan rakaman ucapan orang ternama. Perhatian terhadap kepelbagaian bahasa menjadi lebih besar. Bersamaan dengan itu peranan beberapa bahasa terutama bahasa Inggeris menjadi lebih nyata. Perhubungan antarabangsa menjadi sangat cergas dan sering komunikasi melalui penterjemah tidak mencukupi. Bahasa antarabangsa diperlukan, maka dalam kebanyakan hal peranan bahasa itu dimainkan oleh bahasa Inggeris. Ramai orang terutama usahawan dan saintis terpaksa mahu tidak mahu belajar bahasa itu. Perkembangan pesat telekomunikasi dan internet memperkuat peranan bahasa Inggeris.

Segala-galanya itu ialah lumrah kerana mencukupi keperluan persefahaman dalam keadaan baru. Tetapi proses itu ada keburukannya juga. Timbul unsur keterpaksaan, kadang-kadang perasaan jati diri ternyata tersinggung. Di beberapa negara terutama di Perancis kerajaan mengambil tindakan untuk menyokong peranan bahasanya sendiri, melindunginya daripada ‘serangan’ bahasa Inggeris. Pada waktu akhir-akhir ini keprihatinan terhadap proses itu terasa di Russia juga. Dalam keadaan berkenaan, strategi terbaik ialah memperhitungkan keperluan semua penduduk dan mencuba mencari titik tolak yang boleh diterima oleh semua.

Penulis ialah sarjana Russia yang sekarang berkhidmat sebagai Profesor Madya di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya

SUMBER
BERITA HARIAN
22 OKTOBER 2011


21 Oktober 2011

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : KE ARAH MINAT SAINS YANG MENDALAM

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman IslamMalaysia (IKIM)


OMBAK RINDU
DITAYANGKAN DI PAWAGAM 
1 DISEMBER 2011

Jika membaca akhbar-akhbar utama negara, berita-berita tentang Bajet 2012 dan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU) merupakan antara topik yang mendapat perhatian. Manakan tidak, kedua-duanya, secara langsung atau tidak amat berkaitan dengan kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Namun, mari kita berehat sebentar dan alihkan perhatian terhadap perbincangan lain pula. Perbincangan yang dimaksudkan adalah tentang dunia sains, yang sebenarnya penting tetapi kelihatan amat terasing dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Perhatikan sekeliling. Bila bercakap tentang bajet mahupun PRU, semua orang merasakan mereka layak dan boleh berbicara tentang dua isu itu tetapi bila bercakap tentang dunia sains, ramai berasakan biarlah pihak pakar sahaja yang menguruskannya. Ini satu cara berfikir yang salah kerana peranan ahli masyarakat sebenarnya penting dalam usaha melonjakkan dunia sains negara ke arah kejayaan dan dalam masa sama dapat dipastikan bahawa aktiviti sains berjalan pada landasan yang benar.

Dalam sebuah buku bertajuk Science and Ethics yang ditulis oleh Bernard E. Rollin, seorang profesor dalam bidang veterinar dan kini memberi tumpuan terhadap persoalan nilai dan etika dalam dunia sains, terdapat beberapa perkara menarik yang boleh dikongsikan bersama. Di dalam buku ini dinyatakan bahawa satu ketika dulu, dunia sains merupakan satu dunia yang hebat dan dikagumi di Barat. Maka, tidak hairanlah, ada kumpulan yang menganggap sains sebagai satu "agama" baru. Namun, kehebatan dunia sains itu semakin terhakis dan tercemar. Menurut Rollin, hal ini berlaku kerana pengabaian terhadap aspek-aspek nilai dan etika dalam sains. Beliau merujuk contoh permasalahan alam sekitar kini sebagai sebahagian daripada pengabaian terhadap nilai dan etika sains. Oleh itu, Rollin menyeru ahli sains kembali kepada nilai dan etika kerana dengan cara ini, bukan sahaja dapat mengelakkan salah laku dalam kegiatan sains tetapi dalam masa sama dapat mengembalikan kepercayaan dan minat masyarakat terhadap sains.

Katanya, jika ahli sains tidak cuba membincangkan serta melibatkan nilai dan etika dalam kegiatan sainsnya, maka persoalan itu akan dibincangkan oleh "orang lain" yang bukan pakar dalam sains. Perbincangan oleh orang lain ini akan hanya memburukkan keadaan, iaitu melemahkan imej sains dan saintis. Antara 'orang lain' yang dimaksudkan Rollin ialah golongan agama. Dalam masa sama, Rollin melihat bahawa ahli sains perlu bergaul dengan pakar-pakar atau individu dari pelbagai bidang lain. Ini kerana kesepaduan pelbagai pakar atau ahli dalam pelbagai bidang boleh membentuk aspek check and balance dalam kegiatan sains. Hal ini perlu kerana bagi Rollin, saintis kadang kala gagal melihat sesuatu perkara atau kegiatannya dari sudut etika, maka kumpulan dalam bidang lain itu akan bertindak sebagai 'tukang tegur'. Berdasarkan penerangan di atas, elok juga kita lihat perbincangan Rollin ini dalam konteks negara Malaysia. Secara umumnya, penulis tidak nampak masyarakat Malaysia hilang keyakinan terhadap sains dan saintis.

Ini kerana, pada asalnya pun, masyarakat Malaysia seolah-olah tidak peduli akan sains dan apa yang dilakukan oleh saintis. Antara masyarakat dan dunia sains di Malaysia seolah-olah ada satu jurang. Malah boleh dikatakan bahawa masyarakat tidak tahu (dan mungkin tidak peduli) apa yang dilakukan saintis. Jika ini diterima maka persoalan hilang keyakinan sebenarnya tidak wujud langsung. Namun, dari satu sudut lain, banyak perkara yang berlaku di sekeliling memerlukan penjelasan dan penyelesaian dari sudut sains. Malah, jika dilihat dalam konteks masyarakat Muslim di Malaysia, penjelasan dan penyelesaian sains demi kelangsungan dan kelancaran hidup masyarakat Muslim, adalah amat diperlukan. Pada masa kini, dengan perkembangan sains dan teknologi yang pesat, penjelasan dan penyelesaian sains dalam aspek-aspek pemakanan dan perubatan amat diperlukan. Misalnya, isu makanan ubah suai genetik, biofarmaseutikal, pendermaan organ, kesan merokok, pengklonan, bank genetik, kaedah persenyawaaan tiruan dan yang terbaru Bank Susu Ibu, semuanya memerlukan penjelasan dan penyelesaian sains.

Penjelasan dan penyelesaian sains ini pula tidak seharusnya berdiri sendiri tetapi perlu dibantu dari sudut syariah Islam. Dengan itu, peranan ahli agama amat diperlukan. Oleh itu, dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia, golongan agamawan tidak boleh dianggap sebagai "memburukkan keadaan" seperti mana yang dijelaskan di atas. Sewajarnya, golongan ini dianggap sebagai pelengkap kepada kegiatan dan dunia sains demi kesejahteraan umat Islam di Malaysia. Malah, golongan saintis seharusnya melihat golongan agama sebagai salah satu 'rakan pergaulan dari pelbagai bidang' seperti mana yang disarankan Rollin. Dalam hal ini, kerjasama saintis dan ahli-ahli dalam pelbagai bidang bukan bersifat 'sekali-sekali'. Malah, sewajarnya menjadi budaya dalam masyarakat kita, saintis dan ahli-ahli dalam pelbagai bidang berbincang dan berdebat tentang pelbagai persoalan sains pada setiap masa. Walaupun ini agak sukar dilakukan namun jaringan hubungan seperti ini wajar diusahakan, sama ada dalam keadaan formal mahupun tidak.

Akhirnya, kesepaduan seperti ini akan memberi manfaat besar kepada umat Islam terutamanya dari segi menyelesaikan masalah sains yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat Muslim. Di Malaysia, terdapat pelbagai isu berkaitan sains yang memerlukan pandangan dan penyelesaian dari sudut syariah Islam, misalnya dalam bentuk fatwa. Pada ketika ini, masyarakat bukan sahaja perlu mematuhi apa-apa fatwa yang dikeluarkan tetapi dalam masa sama memahami sebab-sebab fatwa tersebut dikeluarkan dan kesannya dalam kehidupan mereka. Bukan itu sahaja, dengan perkembangan pesat dunia sains dan teknologi masa kini, perbincangan, penjelasan dan penyelesaian dari sudut sains dan syariah Islam dapat digerakkan secara bersepadu dan segera jika wujudnya kerjasama yang baik antara saintis, golongan agama dan pakar-pakar dalam bidang lain seperti sosial, ekonomi, budaya dan sebagainya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 OKTOBER 2011


ISU PENDIDIKAN : MENGHARMONI DAN MENGINOVATIFKAN PENDIDIKAN

Oleh MOHAMAD IQBAL AB WAHAB
PENULIS ialah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIAM


CAPPADOCIA DAN 
LEMBAH GOREME DI TURKI

Pada 7 Oktober lalu, Perdana Menteri telah membentangkan Bajet 2012 dengan peruntukan sebanyak RM232.8 bilion berbanding RM212 bilion yang telah dibentangkan pada tahun lalu. Perangkaan Bajet 2012 bertemakan "Dasar Transformasi Nasional: Bajet membela rakyat, mensejahtera Negara" memberi penekanan kepada lima fokus utama iaitu meligat pelaburan, mengungguli modal insan, program transformasi luar bandar, memperkejap perkhidmatan awam dan meredakan inflasi serta mengimarah kehidupan rakyat. Dalam peruntukan bajet kali ini, suatu tindakan yang harus dipuji adalah keberanian kerajaan untuk memanfaatkan dana bagi tujuan pendidikan, termasuklah pemberian baucar buku sebanyak RM200 kepada para pelajar tingkatan enam, matrikulasi, IPTA mahupun IPTS, bantuan persekolahan sebanyak RM100 bagi pelajar sekolah rendah dan menengah dari tahun satu hingga tingkatan lima dan pemansuhan yuran pendidikan sekolah rendah dan menengah mulai tahun hadapan.

Dalam masa yang sama juga, terdapat galakan yang diberikan oleh kerajaan secara tidak langsung dalam usaha menginjeksi pendanaan pendidikan dalam kalangan syarikat melalui potongan cukai untuk pemberian biasiswa oleh syarikat tersebut serta potongan dua kali belanja bagi syarikat yang menyediakan latihan internship. Perkara ini adalah cukup penting dalam usaha untuk mempersiapkan produk-produk yang mampu untuk mengaplikasi teori-teori bilik kuliah dalam dalam konteks praktikal, secara tidak langsung berlakunya proses peningkatan kecekapan tenaga kerja. Begitu juga, sumbangan orang perseorangan kepada sekolah-sekolah seperti sekolah agama, kebangsaan, persendirian dan jenis kebangsaan, akan dikenakan potongan cukai sebagai suatu rangsangan untuk menggalakkan orang ramai menyumbang kepada sekolah-sekolah tersebut. Sememangnya, usaha untuk mewujudkan pendidikan percuma dalam kalangan rakyat adalah merupakan satu usaha yang baik dalam usaha untuk menjana modal insan yang mampu untuk mentransformasikan cara pemikiran dan corak pergerakan masyarakat yang akan merubah landskap negara daripada sebuah negara membangun kepada negara maju.

Ditambah pula, bagi melahirkan tenaga kerja yang berbakat, berkemahiran tinggi, mempunyai daya kreativiti dan inovatif, sektor pendidikan telah diberikan sebanyak RM50.2 bilion. Maka, melalui pendanaan yang cukup banyak dalam sektor pendidikan, perkara yang harus diteliti adalah berkaitan dengan penggunaan dana secara efektif dan efisien dalam usaha untuk memastikan amaun yang dilaburkan dalam sektor pendidikan tersebut mampu untuk memenuhi tujuan asal pelaburan. Selaras dengan hasrat untuk memproduktivitikan dan menginovatifkan pendidikan melalui pengeluaran produk-produknya, telah juga diumumkan tahun 2012 sebagai tahun Gerakan Inovasi Nasional dengan peruntukan sebanyak 100 juta ringgit melalui inisiatif strategik seperti pelaksanaan program penerapan dan pembangunan inovasi di peringkat sekolah dan IPTA serta kawasan luar bandar, penerusan Jejak Inovasi, pengenalan Anugerah Cipta 1Malaysia (CIPTA) dan pengkomersialan 300 harta intelek dalam bentuk produk dan teknologi baru daripada universiti oleh syarikat swasta.

Usaha untuk mengharmonikan pendidikan dan penciptaan produk melalui kajian dan penyelidikan (R&D) bakal meningkatkan daya saing dalam kalangan masyarakat yang diharapkan mampu menembusi pasaran antarabangsa dalam usaha untuk memastikan kualiti produk yang dikeluarkan serta idea-idea yang digagaskan bersifat glokal, yakni produknya berkualiti global. Namun, idea asal yang menjadi rangka kepada penciptaan itu bersifat lokal. Inilah peri pentingnya pelaburan dalam kedua-dua sektor pendidikan dan penyelidikan. Dalam konteks meredakan inflasi, pemberian bantuan sebanyak RM500 kepada isi pendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, merupakan satu usaha yang baik. Namun, perkara paling asas dalam meredakan inflasi adalah memastikan harga barangan dalam pasaran tidak meningkat secara mendadak. Pemberian tunai sebanyak RM500 tersebut akan menyebabkan lambakan tunai dalam masyarakat, lantas menyebabkan inflasi menjadi lebih teruk. Maka, pihak yang bertanggungjawab harus mengambil inisiatif untuk melaksanakan mekanisme ini dengan lebih berkesan bagi memastikan keredaan inflasi itu benar-benar berlaku.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 OKTOBER 2011


20 Oktober 2011

ISU PENDIDIKAN : TANGANI SEGERA MASALAH LULUSAN MATRIKULASI, ELAK LEBIH RAMAI TERCICIR KE IPTA


COLISEUM DI ROM, ITALI

Berita eksklusif muka depan akhbar ini kelmarin melaporkan mengenai kehampaan pelajar lepasan Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran yang gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), walaupun mencapai kelayakan yang diperlukan. Menurut laporan itu, 28 peratus daripada pelajar lepasan matrikulasi yang mencapai kelayakan minimum tidak mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke IPTA. Ini bermakna hampir 12,000 pelajar yang kebanyakannya daripada aliran sains dan sebelum ini mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berada dalam keadaan terumbang-ambing menantikan nasib selanjutnya. Sekilas pandang, masalah ini boleh dilihat sebagai sesuatu yang tidak harus berlaku. Persoalan yang timbul, apakah pihak bertanggungjawab terhadap pengambilan pelajar matrikulasi dan pengambilan pelajar ke IPTA tidak terlebih dulu menyelaraskan pengambilan pelajar agar tidak timbul soal limpahan pelajar ini.

Timbul persoalan kenapa selepas setahun setengah mengikuti pengajian pada peringkat matrikulasi, baru pelajar ini mendapati mereka tidak mempunyai tempat di IPTA? Kita yakin kedua-dua kementerian terbabit dalam isu ini, iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah duduk semeja dan membincangkan soal penyelarasan pengambilan masing-masing. Namun pihak terbabit tidak pernah menjanjikan setiap pelajar yang lulus akan mendapat tempat untuk mengikuti kursus pilihan mereka di IPTA. Seperti dijelaskan Kementerian Pengajian Tinggi, antara punca pelajar ini tercicir ialah mereka tersalah pilih atau memilih kursus kritikal. Apabila memilih kursus kritikal ini, lepasan matrikulasi ini terpaksa pula bersaing dengan pelajar lepasan program asasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma untuk mendapat tempat di IPTA. Sudah tentu persaingan bagi kursus seperti ini sengit dan mereka yang gagal dipilih harus menerima hakikat tempat ditawarkan terhad.

Kegagalan untuk mendapat tempat tidak bermakna program matrikulasi dikendalikan Kementerian Pelajaran gagal sepenuhnya. Kita juga tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi demi masa depan pelajar terbabit khususnya Melayu, kedua-dua kementerian wajar menangani masalah ini dengan segera bagi mengelak lebih ramai pelajar Melayu tercicir peluang meneruskan pengajian ke IPTA. Meskipun demikian, mengikut perangkaan bagi setiap seorang lepasan matrikulasi yang gagal mendapat tempat, hampir tiga yang lain berjaya. Antara yang gagal mendapat tempat pula ada juga menolak tawaran ke IPTA berikutan tidak bersetuju dengan kursus ditawarkan. Ini bermakna jumlah yang layak dan benar-benar tidak mendapat tempat sebenarnya tidaklah sebesar digambarkan. Apa pun, seperti kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pelajar terbabit masih boleh membuat rayuan, selain menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
20 OKTOBER 2011


ISU SOSIAL : JALAN KELUAR UNTUK HAPUS JENAYAH WAGRA AFRIKA DI MALAYSIA

Bersama Rejal Arbee


MILFORD SOUND AND THE MITRE PEAK, NEW ZEALAND 

Isu rakyat asing, khususnya dari Afrika yang berterusan membanjiri negara ini kononnya untuk belajar, tetapi sebenarnya kerana mahu melakukan pelbagai jenayah dan aktiviti tidak sihat lain timbul lagi.  Antara jenayah yang sering mereka terbabit, termasuk pelbagai macam penipuan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan internet, merekrut gadis menjadi keldai dadah menyeludup dadah ke luar negara dan jenayah perdagangan manusia. Malangnya pihak berwajib nampak seolah-olah tidak bermaya untuk menangani atau menghapuskan masalah yang semakin meruncing ini. Dalam keghairahan begitu banyaknya kolej swasta diwujudkan sudah timbul persaingan tidak sihat untuk mendapatkan pelajar hinggakan ada kolej tidak kisah apakah yang memohon pelajar sahih yang benar-benar mempunyai kelulusan sah diperlukan. Dulu pun sudah banyak diperkatakan bagaimana ada sesetengah kolej swasta diwujudkan hanya untuk menyediakan kemudahan kepada orang asing demikian ini mudah mendapatkan visa untuk tinggal di sini melakukan pelbagai macam kegiatan jenayah. Ruangan ini pun pernah timbulkan soal ini, tetapi masalahnya berterusan dengan berleluasanya tanpa ada usaha berkesan mengatasinya dan kini ia bukan saja tidak dapat dibendung, malah menjadi-jadi pula.

Apakah pihak berkuasa kita tidak prihatin bagaimana anak gadis kita begitu mudah dipengaruhi warga Afrika dan Iran untuk menjadi keldai dadah sehinggakan beratus-ratus gadis kita yang mudah terpedaya kini merengkuk dalam penjara di serata dunia?  Apakah pihak yang menjalankan kolej swasta ini akan sedar bahaya mereka dengan mudahnya mengeluarkan surat mengesahkan seorang warga asing khususnya dari Afrika adalah pelajar hanya apabila anak gadis mereka sendiri turut terjerumus menjadi mangsa penjenayah asing ini?  Pihak berwajib di imigresen pernah awal tahun ini menyatakan 20 kolej swasta disenarai hitamkan kerana menyalahgunakan visa pelajar. Apa gunanya disenaraihitamkan jika tidak ada tindakan menghalang kolej itu daripada menerima pelajar asing atau pun kolej itu terus ditutupkan saja. Tentunya sekarang polis sudah pun mempunyai senarai kolej mana yang mempunyai pelajar terbanyak terjebak dalam perlakuan jenayah warga Afrika yang sudah ditahan dan senarai negara asal mereka itu. Sudah tiba masa diwujudkan satu peruntukan supaya mana-mana kolej tidak lagi dibenarkan mengambil pelajar dari luar mengikuti sebarang kursus ditawarkan.  Inilah saja jalan harus diambil, jika tidak mahu terus menutup saja kolej terbabit. Tindakan drastik begini saja yang nampaknya boleh mengatasi masalah itu.

Tentunya ramai rakyat negara ini mahu tahu sejak bertahun ini sudah berapa kolej swasta pernah dikenakan tindakan kerana menyalahgunakan surat sokongan mereka kepada rakyat asing? Jika masih tidak ada, Kementerian Pengajian Tinggi perlu memberikan penjelasan.  Kini timbul pula pendedahan bahawa sudah ada pula kemudahan visa pelajar mudah diperoleh hanya dengan membayar antara RM500 dan RM1,000 kepada orang tengah tanpa perlu berurusan dengan Jabatan Imigresen lagi. Persoalannya bagaimana pula hal ini boleh berlaku? Jalan mudah yang boleh diambil kerajaan mengatasi perlakuan ini ialah dengan tidak lagi membenarkan kemasukan rakyat Nigeria atau Kenya atau mana-mana pun negara di mana warganya banyak melakukan jenayah di sini. Kita sememangnya tidak perlukan rakyat negara terbabit ke mari membawa pelbagai masalah kepada rakyat. Seharusnya sudah ada peraturan kita hanya boleh terima warga negara itu dengan syarat ketat, misalnya jika diperakukan kerajaan mereka sendiri. Tidak harus wujud lagi kenyataan janggal baik daripada menteri atau mana-mana juga ketua jabatan kononnya kita akan ambil tindakan.  Rakyat tidak lagi mahu dengar kenyataan seperti itu. Rakyat mahukan tindakan menyekat kemasukan anasir penjenayah sedemikian. Negara akan lebih aman kiranya peraturan ini diwujudkan.  

Pihak polis kelmarin ada mengeluarkan kenyataan satu sindiket penipuan warga Afrika menggunakan laman sosial seperti Facebook dan e-mel menipu wanita profesional berjaya ditumpaskan. Ini hanya satu daripada sindiket sedemikian. Jika sudah ditumpaskan apa jadi dengan anasir yang dicekup menjalankan kegiatan itu. Ini tidak pula diterangkan. Orang ramai ingin tahu apa tindakan yang sudah dilakukan? Berapa ramai rakyat Afrika yang ditahan dan dikemukakan ke muka pengadilan dan disabitkan dan berapa ramai pula yang sudah dinyahkan dari negara ini dengan disenaraihitamkan supaya tidak lagi dapat masuk ke mari? Berapa ramai antara kita yang sering saja menerima e-mel tipu menceritakan bagaimana dia seorang janda mewarisi berjuta-juta dolar, tetapi perlu mendapatkan khidmat orang lain untuk mengeluarkan wang itu dengan janji memberikan sehingga 40 peratus daripada jumlahnya tetapi sebelum itu orang yang disasar itu perlu memasukkan sejumlah wang dalam akaunnya kononnya untuk memudahkan urusan. Saya hairan bagaimana orang boleh percaya dengan penipuan begini? Kini dikatakan ada sehingga 110,000 pelajar asing berada dalam negara ini. Daripada jumlah itu seramai 30,000 kononnya mengikuti kursus latihan kemahiran teknikal selama enam bulan. Apakah selepas tamat tempoh enam bulan itu kesemuanya kembali ke negara masing-masing atau masih terus berada di sini? Apakah Kementerian Pengajian Tinggi tidak boleh bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen untuk menghapuskan gejala buruk ini hingga ke akar umbi supaya tidak berlaku lagi dalam negara ini.

Penulis ialah Felo Kanan UKM

SUMBER
BERITA HARIAN
20 OKTOBER 2011


ISU ALAM SEKITAR : BANJIR JEJAS SUMBER MAKANAN ASIA

Susunan
MOHD. HASRIQ AMIRUDDIN


KEINDAHAN TERES SAWAH PADI 
DI BANAUE, FILIPINA

Banjir besar telah memusnahkan tanaman padi di beberapa negara pengeluar padi di Asia, sekali gus mendorong kenaikan harga makanan serta menambah beban kepada petani-petani yang merupakan golongan termiskin di rantau ini. Dianggar kira-kira 1.5 juta hektar tanaman padi di Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam musnah serta berdepan risiko dilanda banjir terburuk di negara terbabit dalam tempoh beberapa tahun. Hujan lebat di Laos dan Kemboja turut menyebabkan kerugian besar sejak beberapa minggu lalu, dan pakar menyatakan air banjir kini mengalir ke Delta Sungai Mekong, Vietnam yang merupakan pengeluar beras utama dunia, sekali gus menjadikan ia negara terbaru dilanda banjir. Di bahagian barat Asia pula, banjir yang menjejaskan tanaman padi dan tanaman lain di Pakistan menyebabkan negara itu menanggung kerugian hampir AS$2 bilion (RM6 bilion). "Seluruh rantau asia kini terjejas dengan kenaikan harga makanan ekoran tanaman padi yang musnah. Kemusnahan tersebut sangat serius pada tahun ini dan ia akan memakan masa yang agak lama untuk pulih sebelum masyarakat boleh meneruskan kehidupan secara normal," kata Ketua Penyelaras Pemulihan Kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Margareta Wahlstrom dalam satu kenyataan.

Di Thailand, pengeksport beras terbesar dunia, sawah padi seluas sejuta hektar iaitu kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan tanaman, musnah akibat banjir yang turut meragut 244 nyawa. Kemusnahan akibat banjir berlaku tatkala kebimbangan mengenai kesan terhadap harga beras dunia di bawah skim baru kerajaan Thailand untuk menaikkan harga minimum hasil tanaman yang diterima oleh petani. Sementara Vietnam merupakan pengeksport kedua terbesar dunia dan Delta Mekong di selatan negara itu mengeluarkan separuh daripada hasil padi. "Air di bahagian hulu sudah mulai surut, namun di sini paras air meningkat tiga hingga lima sentimeter sehari," kata Pengarah Bahagian Pertanian di daerah Dong Thap, Duong Nghia Quoc, baru-baru ini. Dong Thap dan daerah berjiran, An Giang merupakan kawasan yang terjejas teruk akibat banjir. Pegawai Vietnam itu berkata, seramai 11 orang maut manakala 27,000 rumah dimasuki air dan hampir 6,000 hektar tanaman padi musnah. Sebelum itu, pegawai berkata, 99,000 hektar tanaman padi di negara ini turut 'berhadapan risiko' yang sama. "Pengeluaran hasil pertanian terjejas teruk pada tahun ini disebabkan banjir, malah lebih teruk dari apa yang kami jangkakan," kata Vuong Huu Tien, pegawai Bahagian Kawalan Banjir dan Ribut di An Giang, di mana beribu-ribu askar dikerahkan untuk membantu memindahkan penduduk ke tempat selamat.

Di Kemboja pula, lebih daripada 330,000 tanaman padi rosak teruk, manakala kira-kira 100,000 hektar lagi musnah sepenuhnya, kata pegawai kanan Kementerian Pertanian, Ngin Chhay. Katanya, 'kerugian besar' itu mungkin memberi kesan kepada stok beras pada tahun ini, yang dijangka mencecah kira-kira tiga juta tan beras. Banjir di Kemboja menyebabkan 160 terbunuh dan hanya sebahagian kecil beras yang dieksport tetapi tanaman tersebut menyumbang kira-kira 7.5 peratus untuk pendapatan kasar negara itu. Sementara itu, negara termiskin Asia, Laos turut terjejas selepas ribut tropika yang melanda pada Jun lalu, menyebabkan 23 penduduk terbunuh serta memusnahkan lebih daripada 60,000 tanaman padi. Keadaan bertambah buruk apabila lebih banyak tanaman yang musnah apabila sebuah empangan di Mekong melepaskan air untuk mengurangkan paras air bagi menampung jumlah hujan pada akhir September lalu. Pakar beras yang berpangkalan di Delta Mekong, Vo Tong Xuan berkata, penyumbang utama banjir yang melanda pada tahun ini berpunca daripada hujan lebat yang luar biasa di Thailand dan Laos, di mana mengalir dan memenuhi sungai Mekong. Menurut pakar ramalan kaji cuaca, Bui Minh Tang, perluasan sistem tampungan di delta tersebut menambah lagi masalah.  Sistem itu menghalang aliran air di beberapa kawasan, sekali gus menyebabkan kawasan lain dilanda banjir. Akhbar berbahasa Inggeris, Vietnam News melaporkan di wilayah Dong Thap sahaja sudah mencatatkan kerugian berjumlah AS$2.7 juta (RM5.1 juta). – AFP

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
20 OKTOBER 2011


ISU SOSIAL : MEMPROMOSIKAN KERJA SUKARELA

TAN SRI LEE LAM THYE
Bekas Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara


PESTA CARNAVAL 
DI RIO DE JANEIRO, BRAZIL

Sebagai bekas Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, saya mengalu-alukan cadangan pembentukan Briged Sukarelawan Khidmat Negara untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana alam seperti banjir, kebakaran, tanah runtuh dan sebagainya. Briged ini terdiri daripada ahli-ahli Alumni Program Latihan Khidmat Negara yang sehingga kini berjaya melatih kira-kira 500,000 belia dari seluruh negara sejak penubuhannya pada 2004. Sebelum saya bersara daripada Program Latihan Khidmat Negara, saya pernah menyuarakan keperluan menggerakkan semua bekas Pelatih Khidmat Negara dengan menggunakan pengetahuan mereka perolehi dari Program Latihan Khidmat Negara untuk memanjangkan perkhidmatan sukarela kepada negara dalam waktu yang amat memerlukan. Saya percaya penubuhan Briged Sukarelawan Khidmat Negara boleh membantu mempromosi konsep sukarelawan di kalangan belia dalam bidang khidmat kemasyarakatan.

Melalui Briged Sukarelawan kita boleh mengukuhkan semangat sukarelawan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara dalam masa yang amat memerlukan. Sukarelawan ini boleh digerakkan bukan sahaja untuk membantu mangsa bencana tetapi juga mengadakan program gotong-royong di tempat awam dan membantu menjaga alam sekitar. Mereka juga boleh menganjurkan dan mengambil bahagian dalam aktiviti untuk memupuk kasih sayang dan semangat patriotik dalam pelbagai cara. Sebagai contoh, penanaman pokok atau membersihkan tempat-tempat awam adalah amalan yang patriotik untuk menunjukkan cinta sayang kita kepada negara. Saya ingin mencadangkan agar Briged Sukarelawan diberikan latihan dalam bantuan bencana dan pendedahan dalam semua aspek keselamatan serta kesihatan supaya tatkala menjalankan tugas murni itu, mereka akan lebih berpengetahuan demi menjamin keselamatan dan kesihatan mereka.

Walaupun telah didedahkan kepada modul latihan khidmat komuniti sebagai sebahagian daripada program Latihan Khidmat Negara selama tiga bulan di kem Khidmat Negara, ia masih menjadi keperluan bagi ahli briged untuk diberi pengetahuan tambahan dari semasa ke semasa dalam semua aspek kerja-kerja sukarela. Kerajaan harus memantau dengan rapat aktiviti Sukarelawan Briged Khidmat Negara dan tidak perlu teragak-agak untuk memberikan sokongan dalam memastikan kejayaan briged tersebut dan mampu memberi sumbangan penting kepada negara. Kejayaan untuk menjadi sebuah negara maju banyak bergantung kepada keupayaan kepimpinan generasi muda sekarang. Generasi muda merupakan aset terpenting yang akan mewarisi kepimpinan negara pada masa depan. Oleh itu, generasi muda hari ini perlu dibimbing dan dipersiapkan mengikut kehendak arus pembangunan negara. Kemajuan yang berteraskan kemajuan material perlu diselarikan dengan kemajuan kerohanian.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
20 OKTOBER 2011


ISU BAHASA : BAHASA ETNIK PERLU PEMBELAAN

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM


MASJID BIRU, HAGIA SOFIA, TURKI

Bahasa adalah petunjuk bangsa, umpama sinonimnya gula dengan rasa manisnya, garam dengan masinnya. Pepatah Melayu, 'Bahasa Jiwa Bangsa' mempunyai kebenarannya kerana tanpa bahasa sesuatu bangsa itu langsung tidak bermakna atau lebih tepat lagi bakal pupus di dunia ini. Tragedi itulah yang terjadi kepada Bahasa Sanskrit dan Latin yang sedikit waktu dahulu merupakan bahasa lingua franca dunia, tetapi kini hanya tinggal sejarah, kekal pun hanya sekadar tatapan bahan pameran di muzium bahasa atau digunakan sebagai bahasa untuk terma-terma tertentu seperti nama-nama saintifik yang khusus bagi tumbuhan dan perundangan sahaja. Menurut seorang pakar bahasa, Michael Krauss, dunia pada masa ini mempunyai lebih 6,000 jenis bahasa dalam pelbagai dialek dan selepas abad ke-21, lebih separuh daripadanya akan pupus termasuklah secara khususnya bahasa minoriti etnik di Sabah, antaranya Iranun. Beliau dalam kajiannya menyebut bahawa sepertiga daripada jumlah bahasa itu terdapat di Asia. Sebanyak 50 peratus jumlah itu disifatkannya sebagai 'moribund' atau nazak iaitu bahasa yang tidak diajar dan dipelajari oleh kanak-kanak yang dilahirkan dalam masyarakat itu.

Sementara itu, 40 peratus lagi berada dalam keadaan 'endangered' iaitu bahasa yang jika tidak dibantu mungkin tidak akan diamalkan atau dituturkan oleh generasi mendatang dan ini bermakna cuma 10 peratus daripada jumlah bahasa dunia boleh disifatkan sebagai 'selamat'. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang juga Penaung Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun Sabah (BKI) mempunyai pandangan sinikal apabila mendedahkan bahawa bahasa Iranun, Kota Belud, Sabah akan mati dan lenyap selepas daripada generasinya, sekiranya tiada usaha gigih dilakukan termasuk daripada pihak kerajaan sendiri. Malah beliau mengakui bahawa anak-anaknya tidak pandai bertutur dalam bahasa etniknya iaitu bahasa Iranun, katanya pada majlis perasmian bangunan Taska Bahasa Iranun BKI di Kampung Payas-Payas, Kota Belud, Sabah baru-baru ini. Bukan mengungkit tetapi sekadar luahan mengenai hak dan nasib etnik bumiputera yang seakan terlepas pandang oleh kerajaan, Pandikar berkata, kerajaan sanggup mengeluarkan peruntukan lebih RM1 bilion setahun untuk perkembangan sekolah jenis kebangsaan terutama Cina, tetapi apabila pendokong bahasa etnik memohon permohonan, ia seperti diragui dan dipersoalkan.

Sedangkan, katanya, kumpulan bumiputera etnik di negara ini tanpa kompromi pada setiap masa akur dan taat kepada negara, langsung tanpa sebarang perasaan berbelah bahagi apabila menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perpaduan dan integrasi. "Apabila diajukan kepada Pejabat Pelajaran Daerah untuk sedikit peruntukan bantuan taska, alasan yang diberikan ialah kita tidak mampu dan tiada tenaga kerja mahir. "Jawapan penyelesaiannya amat mudah, kerana masih terdapat di kalangan komuniti etnik ini yang masih fasih berbahasa etnik sendiri, maka tempatkan mereka dalam kawasan masing-masing barulah kosnya tidak meningkat. "Negara Papua New Guinea mempunyai lebih 200 dialek tetapi kerajaan mereka memberikan bantuan supaya bahasa masing-masing dipelihara dan diajar kepada golongan kanak-kanak. "Memanglah bunga rasmi Malaysia adalah Bunga Raya, tetapi ia akan kelihatan amat janggal dan langsung tidak cantik apabila dibiarkan sendiri tanpa ada pokok-pokok hiasan dan bunga lain di sekelilingnya, fungsinya untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Begitulah kaitannya antara bahasa kebangsaan dan bahasa etnik," katanya.Terkadang apabila diperhatikan dasar kerajaan seperti tiada kesinambungan.

Contohnya Kementerian Pelancongan amat mementingkan 'penjualan' produk budaya etnik dengan memaparkan gambar rakyat berpakaian tradisional etnik pelbagai kaum di negara ini di papan-papan iklan. Tetapi pada masa sama, dasar menjaga bahasa etnik yang menjadi jiwa kepada bangsanya agak kabur. Perlu diingat jika dibiarkan berlarutan, kebudayaan etnik ini akan lenyap selari dengan pupusnya bahasa mereka, sekali gus hilanglah 'aset' produk pelancongan negara. Menyentuh mengenai bahasa Iranun, ia digunakan oleh kira-kira 20,000 orang Iranun yang tinggal di 26 perkampungan di Kota Belud; tiga perkampungan di Lahad Datu iaitu di Kampung Barigas, Bakolod dan Kampung Nala dan satu kampung di Daerah Kudat iaitu Kampung Indarason. Penubuhan BKI merupakan inisiatif kumpulan itu bagi menghalang kepupusan bahasa ibunda mereka, dengan Pandikar bertindak sebagai penasihatnya dan didokong oleh tokoh-tokoh masyarakat dalam komuniti berkenaan di seluruh Sabah. Langkah awal yang dibuat BKI untuk memulihara bahasanya adalah dengan mengambil inisiatif sendiri membentuk sistem ejaan dan penulisan 'orthography' bahasa Iranun pada 1998 dengan bantuan secara percuma daripada Profesor Howard P. Mc Kaughan dan pegawai-pegawai Summer Institutes of Linguistic (SIL) Sabah iaitu Jim dan Karla Smith.

Tiga siri bengkel diadakan sejak 1999, untuk memperkenalkan dan melatih peserta dalam penggunaan sistem ejaan bahasa Iranun untuk menulis buku-buku dalam bahasa itu. Bengkel-bengkel susulan telah diadakan yang bertujuan menggalak dan merangsang peserta untuk menulis cerita-cerita rakyat, buku kanak-kanak, kamus bergambar dan adat istiadat Iranun. Kesemua tulisan itu telah dicetak sebagai bahan bacaan dan rujukan untuk masyarakat Iranun. Kesemua kerja yang dihasilkan oleh komputer dibuat oleh pelatih dilatih oleh Jim dan Karla. Sehingga kini, projek bahasa Iranun menghasilkan lebih 80 buah buku kecil termasuk buku kanak-kanak dan kalendar. Untuk masa depan, BKI akan mendirikan pusat latihan dan perpustakaan di setiap zon yang dikenalpasti untuk menempatkan semua buku Iranun dan lain-lain bahan bacaan termasuk bahasa lain. Objektif utama projek ini untuk mengadakan kelas-kelas pra sekolah dengan menggunakan bahasa Iranun sebagai bahasa pengantar selain menyediakan sebanyak mungkin bahan bacaan dan rujukan untuk diserahkan kepada Kementerian Pelajaran bagi ditimbangkan untuk Bahasa Iranun diajar di sekolah-sekolah sebagai POL (People own language) dan akhirnya sebagai mata pelajaran.

Walaubagaimanapun cantik dan elok perancangannya, ia masih berkait rapat dengan faktor kewangan bagi melancarkan segala usaha murni itu. Oleh itu, usaha kumpulan etnik minoriti ini selain memerlukan bantuan kewangan daripada kerajaan, mereka juga amat mengharapkan sokongan, dorongan dan kepakaran daripada pihak lain seperti pertubuhan bukan kerajaan, korporat dan institusi pengajian tinggi.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
20 OKTOBER 2011