Oleh MOHAMAD IQBAL AB WAHAB
PENULIS ialah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIAM
CAPPADOCIA DAN
LEMBAH GOREME DI TURKI
Pada 7 Oktober lalu, Perdana Menteri telah membentangkan Bajet 2012 dengan peruntukan sebanyak RM232.8 bilion berbanding RM212 bilion yang telah dibentangkan pada tahun lalu. Perangkaan Bajet 2012 bertemakan "Dasar Transformasi Nasional: Bajet membela rakyat, mensejahtera Negara" memberi penekanan kepada lima fokus utama iaitu meligat pelaburan, mengungguli modal insan, program transformasi luar bandar, memperkejap perkhidmatan awam dan meredakan inflasi serta mengimarah kehidupan rakyat. Dalam peruntukan bajet kali ini, suatu tindakan yang harus dipuji adalah keberanian kerajaan untuk memanfaatkan dana bagi tujuan pendidikan, termasuklah pemberian baucar buku sebanyak RM200 kepada para pelajar tingkatan enam, matrikulasi, IPTA mahupun IPTS, bantuan persekolahan sebanyak RM100 bagi pelajar sekolah rendah dan menengah dari tahun satu hingga tingkatan lima dan pemansuhan yuran pendidikan sekolah rendah dan menengah mulai tahun hadapan.
Dalam masa yang sama juga, terdapat galakan yang diberikan oleh kerajaan secara tidak langsung dalam usaha menginjeksi pendanaan pendidikan dalam kalangan syarikat melalui potongan cukai untuk pemberian biasiswa oleh syarikat tersebut serta potongan dua kali belanja bagi syarikat yang menyediakan latihan internship. Perkara ini adalah cukup penting dalam usaha untuk mempersiapkan produk-produk yang mampu untuk mengaplikasi teori-teori bilik kuliah dalam dalam konteks praktikal, secara tidak langsung berlakunya proses peningkatan kecekapan tenaga kerja. Begitu juga, sumbangan orang perseorangan kepada sekolah-sekolah seperti sekolah agama, kebangsaan, persendirian dan jenis kebangsaan, akan dikenakan potongan cukai sebagai suatu rangsangan untuk menggalakkan orang ramai menyumbang kepada sekolah-sekolah tersebut. Sememangnya, usaha untuk mewujudkan pendidikan percuma dalam kalangan rakyat adalah merupakan satu usaha yang baik dalam usaha untuk menjana modal insan yang mampu untuk mentransformasikan cara pemikiran dan corak pergerakan masyarakat yang akan merubah landskap negara daripada sebuah negara membangun kepada negara maju.
Ditambah pula, bagi melahirkan tenaga kerja yang berbakat, berkemahiran tinggi, mempunyai daya kreativiti dan inovatif, sektor pendidikan telah diberikan sebanyak RM50.2 bilion. Maka, melalui pendanaan yang cukup banyak dalam sektor pendidikan, perkara yang harus diteliti adalah berkaitan dengan penggunaan dana secara efektif dan efisien dalam usaha untuk memastikan amaun yang dilaburkan dalam sektor pendidikan tersebut mampu untuk memenuhi tujuan asal pelaburan. Selaras dengan hasrat untuk memproduktivitikan dan menginovatifkan pendidikan melalui pengeluaran produk-produknya, telah juga diumumkan tahun 2012 sebagai tahun Gerakan Inovasi Nasional dengan peruntukan sebanyak 100 juta ringgit melalui inisiatif strategik seperti pelaksanaan program penerapan dan pembangunan inovasi di peringkat sekolah dan IPTA serta kawasan luar bandar, penerusan Jejak Inovasi, pengenalan Anugerah Cipta 1Malaysia (CIPTA) dan pengkomersialan 300 harta intelek dalam bentuk produk dan teknologi baru daripada universiti oleh syarikat swasta.
Usaha untuk mengharmonikan pendidikan dan penciptaan produk melalui kajian dan penyelidikan (R&D) bakal meningkatkan daya saing dalam kalangan masyarakat yang diharapkan mampu menembusi pasaran antarabangsa dalam usaha untuk memastikan kualiti produk yang dikeluarkan serta idea-idea yang digagaskan bersifat glokal, yakni produknya berkualiti global. Namun, idea asal yang menjadi rangka kepada penciptaan itu bersifat lokal. Inilah peri pentingnya pelaburan dalam kedua-dua sektor pendidikan dan penyelidikan. Dalam konteks meredakan inflasi, pemberian bantuan sebanyak RM500 kepada isi pendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, merupakan satu usaha yang baik. Namun, perkara paling asas dalam meredakan inflasi adalah memastikan harga barangan dalam pasaran tidak meningkat secara mendadak. Pemberian tunai sebanyak RM500 tersebut akan menyebabkan lambakan tunai dalam masyarakat, lantas menyebabkan inflasi menjadi lebih teruk. Maka, pihak yang bertanggungjawab harus mengambil inisiatif untuk melaksanakan mekanisme ini dengan lebih berkesan bagi memastikan keredaan inflasi itu benar-benar berlaku.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan