Bersama Rejal Arbee
MILFORD SOUND AND THE MITRE PEAK, NEW ZEALAND
Isu rakyat asing, khususnya dari Afrika yang berterusan membanjiri negara ini kononnya untuk belajar, tetapi sebenarnya kerana mahu melakukan pelbagai jenayah dan aktiviti tidak sihat lain timbul lagi. Antara jenayah yang sering mereka terbabit, termasuk pelbagai macam penipuan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan internet, merekrut gadis menjadi keldai dadah menyeludup dadah ke luar negara dan jenayah perdagangan manusia. Malangnya pihak berwajib nampak seolah-olah tidak bermaya untuk menangani atau menghapuskan masalah yang semakin meruncing ini. Dalam keghairahan begitu banyaknya kolej swasta diwujudkan sudah timbul persaingan tidak sihat untuk mendapatkan pelajar hinggakan ada kolej tidak kisah apakah yang memohon pelajar sahih yang benar-benar mempunyai kelulusan sah diperlukan. Dulu pun sudah banyak diperkatakan bagaimana ada sesetengah kolej swasta diwujudkan hanya untuk menyediakan kemudahan kepada orang asing demikian ini mudah mendapatkan visa untuk tinggal di sini melakukan pelbagai macam kegiatan jenayah. Ruangan ini pun pernah timbulkan soal ini, tetapi masalahnya berterusan dengan berleluasanya tanpa ada usaha berkesan mengatasinya dan kini ia bukan saja tidak dapat dibendung, malah menjadi-jadi pula.
Apakah pihak berkuasa kita tidak prihatin bagaimana anak gadis kita begitu mudah dipengaruhi warga Afrika dan Iran untuk menjadi keldai dadah sehinggakan beratus-ratus gadis kita yang mudah terpedaya kini merengkuk dalam penjara di serata dunia? Apakah pihak yang menjalankan kolej swasta ini akan sedar bahaya mereka dengan mudahnya mengeluarkan surat mengesahkan seorang warga asing khususnya dari Afrika adalah pelajar hanya apabila anak gadis mereka sendiri turut terjerumus menjadi mangsa penjenayah asing ini? Pihak berwajib di imigresen pernah awal tahun ini menyatakan 20 kolej swasta disenarai hitamkan kerana menyalahgunakan visa pelajar. Apa gunanya disenaraihitamkan jika tidak ada tindakan menghalang kolej itu daripada menerima pelajar asing atau pun kolej itu terus ditutupkan saja. Tentunya sekarang polis sudah pun mempunyai senarai kolej mana yang mempunyai pelajar terbanyak terjebak dalam perlakuan jenayah warga Afrika yang sudah ditahan dan senarai negara asal mereka itu. Sudah tiba masa diwujudkan satu peruntukan supaya mana-mana kolej tidak lagi dibenarkan mengambil pelajar dari luar mengikuti sebarang kursus ditawarkan. Inilah saja jalan harus diambil, jika tidak mahu terus menutup saja kolej terbabit. Tindakan drastik begini saja yang nampaknya boleh mengatasi masalah itu.
Tentunya ramai rakyat negara ini mahu tahu sejak bertahun ini sudah berapa kolej swasta pernah dikenakan tindakan kerana menyalahgunakan surat sokongan mereka kepada rakyat asing? Jika masih tidak ada, Kementerian Pengajian Tinggi perlu memberikan penjelasan. Kini timbul pula pendedahan bahawa sudah ada pula kemudahan visa pelajar mudah diperoleh hanya dengan membayar antara RM500 dan RM1,000 kepada orang tengah tanpa perlu berurusan dengan Jabatan Imigresen lagi. Persoalannya bagaimana pula hal ini boleh berlaku? Jalan mudah yang boleh diambil kerajaan mengatasi perlakuan ini ialah dengan tidak lagi membenarkan kemasukan rakyat Nigeria atau Kenya atau mana-mana pun negara di mana warganya banyak melakukan jenayah di sini. Kita sememangnya tidak perlukan rakyat negara terbabit ke mari membawa pelbagai masalah kepada rakyat. Seharusnya sudah ada peraturan kita hanya boleh terima warga negara itu dengan syarat ketat, misalnya jika diperakukan kerajaan mereka sendiri. Tidak harus wujud lagi kenyataan janggal baik daripada menteri atau mana-mana juga ketua jabatan kononnya kita akan ambil tindakan. Rakyat tidak lagi mahu dengar kenyataan seperti itu. Rakyat mahukan tindakan menyekat kemasukan anasir penjenayah sedemikian. Negara akan lebih aman kiranya peraturan ini diwujudkan.
Pihak polis kelmarin ada mengeluarkan kenyataan satu sindiket penipuan warga Afrika menggunakan laman sosial seperti Facebook dan e-mel menipu wanita profesional berjaya ditumpaskan. Ini hanya satu daripada sindiket sedemikian. Jika sudah ditumpaskan apa jadi dengan anasir yang dicekup menjalankan kegiatan itu. Ini tidak pula diterangkan. Orang ramai ingin tahu apa tindakan yang sudah dilakukan? Berapa ramai rakyat Afrika yang ditahan dan dikemukakan ke muka pengadilan dan disabitkan dan berapa ramai pula yang sudah dinyahkan dari negara ini dengan disenaraihitamkan supaya tidak lagi dapat masuk ke mari? Berapa ramai antara kita yang sering saja menerima e-mel tipu menceritakan bagaimana dia seorang janda mewarisi berjuta-juta dolar, tetapi perlu mendapatkan khidmat orang lain untuk mengeluarkan wang itu dengan janji memberikan sehingga 40 peratus daripada jumlahnya tetapi sebelum itu orang yang disasar itu perlu memasukkan sejumlah wang dalam akaunnya kononnya untuk memudahkan urusan. Saya hairan bagaimana orang boleh percaya dengan penipuan begini? Kini dikatakan ada sehingga 110,000 pelajar asing berada dalam negara ini. Daripada jumlah itu seramai 30,000 kononnya mengikuti kursus latihan kemahiran teknikal selama enam bulan. Apakah selepas tamat tempoh enam bulan itu kesemuanya kembali ke negara masing-masing atau masih terus berada di sini? Apakah Kementerian Pengajian Tinggi tidak boleh bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen untuk menghapuskan gejala buruk ini hingga ke akar umbi supaya tidak berlaku lagi dalam negara ini.
Penulis ialah Felo Kanan UKM
SUMBER
BERITA HARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan