Oleh Victor A Pogadaev
TAMAN CANAIMA DAN AIR TERJUN SALTO ANGLE, VENEZUELA
Setiap kerajaan biasanya berusaha mengawal situasi bahasa di negaranya. Ia meskipun dengan peringkat keaktifan berlainan, menggalakkan keadaan yang sedia wujud atau mengubahnya, bagi menyokong perkembangan satu bahasa dan mengekang peranan bahasa lain. Itulah dinamakan dasar bahasa. Dalam masyarakat industri yang diutamakan ialah keperluan persefahaman dan persis keperluan itu dilayani oleh dasar bahasa. Jalan yang paling berkesan ialah mengutamakan satu bahasa yang sama untuk seluruh negara. Bahasa itu tentu menduduki status yang paling tinggi dan status itu biasanya dikukuhkan secara undang-undang. Dalam hal itu, ia dinamakan bahasa negara atau rasmi. Perhatian terhadap kepelbagaian bahasa menjadi lebih besar. Bersamaan dengan itu peranan beberapa bahasa terutama bahasa Inggeris menjadi lebih nyata Biasanya bahasa negara itu ialah bahasa penduduk majoriti dalam bentuk persuratan: Bahasa Inggeris di Inggeris, bahasa Perancis di Perancis, bahasa Jepun di Jepun, bahasa Russia di Russia dan bahasa Melayu di Malaysia. Dalam kes itu, untuk penduduk majoriti keperluan persefahaman dan jati diri dipenuhi tetapi penduduk minoriti terpaksa menjadi penutur dwibahasa.
Ada negara di mana tidak satu bahasa pun boleh dipandang sebagai bahasa penduduk majoriti. Dalam kes itu dasar bahasa boleh bermacam-macam. Salah satu contoh mungkin ditunjukkan oleh Switzerland di mana tidak satu bahasa pun boleh dianggap sebagai bahasa majoriti dan setiap kaum ada hak menguasai satu bahasa saja. Untuk menganuti prinsip itu secara tekun agak susah. Misalnya dasar Switzerland itu diterima oleh bekas Czechoslovakia. Pada 1950-an bahkan ulasan selari pertandingan bola sepak dibuat berselang oleh pengulas Czech dan Slovakia (dalam bahasa Czech serta bahasa Slovakia), tetapi persamaan penuh taraf bahasa tidak pernah dicapai: Bahagian Czech lebih berkembang ekonominya, di Czechia terletak ibu negara dan penduduk Czech lebih ramai daripada penduduk Slovakia. Oleh kerana itu, peratus penduduk Slovakia yang tahu bahasa Czech jauh lebih tinggi daripada peratus penduduk Czech yang bercakap dalam bahasa Slovakia dan orang Czech bergaul dengan orang Slovakia sebahagian besarnya dalam bahasa Czech. Di negara itu ada penduduk kaum lain (orang Hungari, Jerman, Ukraine) tetapi hak bahasa mereka tidak pernah dijamin.
Cara kedua ialah penggunaan bahasa luar sebagai bahasa negara iaitu bahasa bekas penjajah. Kadang-kadang bahasa itu menjadi bahasa rasmi seperti di kebanyakan negara Afrika. Kadang-kadang ada semacam dua peringkat bahasa negara. Di India 16 bahasa negara tetapi semuanya kecuali bahasa Inggeris dan Sanskrit (bahasa agama) ialah bahasa rasmi negeri bahagian dan di peringkat negara bahasa Inggeris diutamakan. Ada juga cara ketiga yakni penggunaan bahasa salah satu kaum minoriti. Itu mungkin bahasa minoriti berkulit putih yang pernah berkuasa misalnya di Afrika Selatan dahulu. Di Indonesia, selepas tercapainya kemerdekaan bahasa rasmi menjadi bahasa Melayu yang dinamakan sebagai bahasa Indonesia. Orang Melayu di Indonesia bukan penduduk majoriti dan bahkan bukan minoriti yang terbesar. Tetapi bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan diketahui di seluruh negara; bahasa lain meskipun jumlah penuturnya lebih besar tidak tersebar begitu luas. Situasi serupa terjadi di negara Afrika Timur: Tanzania dan Kenya. Bahasa Swahili di sana bukan bahasa penduduk majoriti tetapi diketahui sebagai bahasa perdagangan oleh semua suku bangsa.
Sekarang di Tanzania bahasa Swahili berkuasa di semua bidang kehidupan, melainkan di Kenya berkongsi fungsinya dengan bahasa Inggeris. Era pascaindustri memperlihatkan bukan saja konflik bahasa dan perang. Di banyak negara, terutama negara maju, dasar bahasa menjadi lebih lunak. Sekolah dengan bahasa minoriti dibuka, bahasa itu digunakan dalam pentadbiran pada peringkat akar ubi. Semakin besar perhatian diberikan kepada dialek. Murid sekolah di Jepun bahkan diajarkan bercakap betul dalam dialek dan rakaman ucapan dalam dialek yang betul disimpan sebagai kekayaan negara bersama dengan rakaman ucapan orang ternama. Perhatian terhadap kepelbagaian bahasa menjadi lebih besar. Bersamaan dengan itu peranan beberapa bahasa terutama bahasa Inggeris menjadi lebih nyata. Perhubungan antarabangsa menjadi sangat cergas dan sering komunikasi melalui penterjemah tidak mencukupi. Bahasa antarabangsa diperlukan, maka dalam kebanyakan hal peranan bahasa itu dimainkan oleh bahasa Inggeris. Ramai orang terutama usahawan dan saintis terpaksa mahu tidak mahu belajar bahasa itu. Perkembangan pesat telekomunikasi dan internet memperkuat peranan bahasa Inggeris.
Segala-galanya itu ialah lumrah kerana mencukupi keperluan persefahaman dalam keadaan baru. Tetapi proses itu ada keburukannya juga. Timbul unsur keterpaksaan, kadang-kadang perasaan jati diri ternyata tersinggung. Di beberapa negara terutama di Perancis kerajaan mengambil tindakan untuk menyokong peranan bahasanya sendiri, melindunginya daripada ‘serangan’ bahasa Inggeris. Pada waktu akhir-akhir ini keprihatinan terhadap proses itu terasa di Russia juga. Dalam keadaan berkenaan, strategi terbaik ialah memperhitungkan keperluan semua penduduk dan mencuba mencari titik tolak yang boleh diterima oleh semua.
Penulis ialah sarjana Russia yang sekarang berkhidmat sebagai Profesor Madya di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya
SUMBER
BERITA HARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan