20 Oktober 2011

ISU PENDIDIKAN : TANGANI SEGERA MASALAH LULUSAN MATRIKULASI, ELAK LEBIH RAMAI TERCICIR KE IPTA


COLISEUM DI ROM, ITALI

Berita eksklusif muka depan akhbar ini kelmarin melaporkan mengenai kehampaan pelajar lepasan Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran yang gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), walaupun mencapai kelayakan yang diperlukan. Menurut laporan itu, 28 peratus daripada pelajar lepasan matrikulasi yang mencapai kelayakan minimum tidak mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke IPTA. Ini bermakna hampir 12,000 pelajar yang kebanyakannya daripada aliran sains dan sebelum ini mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berada dalam keadaan terumbang-ambing menantikan nasib selanjutnya. Sekilas pandang, masalah ini boleh dilihat sebagai sesuatu yang tidak harus berlaku. Persoalan yang timbul, apakah pihak bertanggungjawab terhadap pengambilan pelajar matrikulasi dan pengambilan pelajar ke IPTA tidak terlebih dulu menyelaraskan pengambilan pelajar agar tidak timbul soal limpahan pelajar ini.

Timbul persoalan kenapa selepas setahun setengah mengikuti pengajian pada peringkat matrikulasi, baru pelajar ini mendapati mereka tidak mempunyai tempat di IPTA? Kita yakin kedua-dua kementerian terbabit dalam isu ini, iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah duduk semeja dan membincangkan soal penyelarasan pengambilan masing-masing. Namun pihak terbabit tidak pernah menjanjikan setiap pelajar yang lulus akan mendapat tempat untuk mengikuti kursus pilihan mereka di IPTA. Seperti dijelaskan Kementerian Pengajian Tinggi, antara punca pelajar ini tercicir ialah mereka tersalah pilih atau memilih kursus kritikal. Apabila memilih kursus kritikal ini, lepasan matrikulasi ini terpaksa pula bersaing dengan pelajar lepasan program asasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma untuk mendapat tempat di IPTA. Sudah tentu persaingan bagi kursus seperti ini sengit dan mereka yang gagal dipilih harus menerima hakikat tempat ditawarkan terhad.

Kegagalan untuk mendapat tempat tidak bermakna program matrikulasi dikendalikan Kementerian Pelajaran gagal sepenuhnya. Kita juga tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi demi masa depan pelajar terbabit khususnya Melayu, kedua-dua kementerian wajar menangani masalah ini dengan segera bagi mengelak lebih ramai pelajar Melayu tercicir peluang meneruskan pengajian ke IPTA. Meskipun demikian, mengikut perangkaan bagi setiap seorang lepasan matrikulasi yang gagal mendapat tempat, hampir tiga yang lain berjaya. Antara yang gagal mendapat tempat pula ada juga menolak tawaran ke IPTA berikutan tidak bersetuju dengan kursus ditawarkan. Ini bermakna jumlah yang layak dan benar-benar tidak mendapat tempat sebenarnya tidaklah sebesar digambarkan. Apa pun, seperti kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pelajar terbabit masih boleh membuat rayuan, selain menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
20 OKTOBER 2011


Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...