JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



20 Oktober 2011

ISU ALAM SEKITAR : BANJIR JEJAS SUMBER MAKANAN ASIA

Susunan
MOHD. HASRIQ AMIRUDDIN


KEINDAHAN TERES SAWAH PADI 
DI BANAUE, FILIPINA

Banjir besar telah memusnahkan tanaman padi di beberapa negara pengeluar padi di Asia, sekali gus mendorong kenaikan harga makanan serta menambah beban kepada petani-petani yang merupakan golongan termiskin di rantau ini. Dianggar kira-kira 1.5 juta hektar tanaman padi di Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam musnah serta berdepan risiko dilanda banjir terburuk di negara terbabit dalam tempoh beberapa tahun. Hujan lebat di Laos dan Kemboja turut menyebabkan kerugian besar sejak beberapa minggu lalu, dan pakar menyatakan air banjir kini mengalir ke Delta Sungai Mekong, Vietnam yang merupakan pengeluar beras utama dunia, sekali gus menjadikan ia negara terbaru dilanda banjir. Di bahagian barat Asia pula, banjir yang menjejaskan tanaman padi dan tanaman lain di Pakistan menyebabkan negara itu menanggung kerugian hampir AS$2 bilion (RM6 bilion). "Seluruh rantau asia kini terjejas dengan kenaikan harga makanan ekoran tanaman padi yang musnah. Kemusnahan tersebut sangat serius pada tahun ini dan ia akan memakan masa yang agak lama untuk pulih sebelum masyarakat boleh meneruskan kehidupan secara normal," kata Ketua Penyelaras Pemulihan Kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Margareta Wahlstrom dalam satu kenyataan.

Di Thailand, pengeksport beras terbesar dunia, sawah padi seluas sejuta hektar iaitu kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan tanaman, musnah akibat banjir yang turut meragut 244 nyawa. Kemusnahan akibat banjir berlaku tatkala kebimbangan mengenai kesan terhadap harga beras dunia di bawah skim baru kerajaan Thailand untuk menaikkan harga minimum hasil tanaman yang diterima oleh petani. Sementara Vietnam merupakan pengeksport kedua terbesar dunia dan Delta Mekong di selatan negara itu mengeluarkan separuh daripada hasil padi. "Air di bahagian hulu sudah mulai surut, namun di sini paras air meningkat tiga hingga lima sentimeter sehari," kata Pengarah Bahagian Pertanian di daerah Dong Thap, Duong Nghia Quoc, baru-baru ini. Dong Thap dan daerah berjiran, An Giang merupakan kawasan yang terjejas teruk akibat banjir. Pegawai Vietnam itu berkata, seramai 11 orang maut manakala 27,000 rumah dimasuki air dan hampir 6,000 hektar tanaman padi musnah. Sebelum itu, pegawai berkata, 99,000 hektar tanaman padi di negara ini turut 'berhadapan risiko' yang sama. "Pengeluaran hasil pertanian terjejas teruk pada tahun ini disebabkan banjir, malah lebih teruk dari apa yang kami jangkakan," kata Vuong Huu Tien, pegawai Bahagian Kawalan Banjir dan Ribut di An Giang, di mana beribu-ribu askar dikerahkan untuk membantu memindahkan penduduk ke tempat selamat.

Di Kemboja pula, lebih daripada 330,000 tanaman padi rosak teruk, manakala kira-kira 100,000 hektar lagi musnah sepenuhnya, kata pegawai kanan Kementerian Pertanian, Ngin Chhay. Katanya, 'kerugian besar' itu mungkin memberi kesan kepada stok beras pada tahun ini, yang dijangka mencecah kira-kira tiga juta tan beras. Banjir di Kemboja menyebabkan 160 terbunuh dan hanya sebahagian kecil beras yang dieksport tetapi tanaman tersebut menyumbang kira-kira 7.5 peratus untuk pendapatan kasar negara itu. Sementara itu, negara termiskin Asia, Laos turut terjejas selepas ribut tropika yang melanda pada Jun lalu, menyebabkan 23 penduduk terbunuh serta memusnahkan lebih daripada 60,000 tanaman padi. Keadaan bertambah buruk apabila lebih banyak tanaman yang musnah apabila sebuah empangan di Mekong melepaskan air untuk mengurangkan paras air bagi menampung jumlah hujan pada akhir September lalu. Pakar beras yang berpangkalan di Delta Mekong, Vo Tong Xuan berkata, penyumbang utama banjir yang melanda pada tahun ini berpunca daripada hujan lebat yang luar biasa di Thailand dan Laos, di mana mengalir dan memenuhi sungai Mekong. Menurut pakar ramalan kaji cuaca, Bui Minh Tang, perluasan sistem tampungan di delta tersebut menambah lagi masalah.  Sistem itu menghalang aliran air di beberapa kawasan, sekali gus menyebabkan kawasan lain dilanda banjir. Akhbar berbahasa Inggeris, Vietnam News melaporkan di wilayah Dong Thap sahaja sudah mencatatkan kerugian berjumlah AS$2.7 juta (RM5.1 juta). – AFP

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
20 OKTOBER 2011


Tiada ulasan: