07 Jun 2011

ISU PENDIDIKAN : BIASISWA JPA, KENAKAN SYARAT TAMBAHAN


Kerajaan diminta mengenakan syarat tambahan kepada pelajar yang menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memastikan golongan itu kembali berkhidmat di negara ini selepas menamatkan pengajian di luar negara. Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Mohd. Faizal Mohd. Salleh berkata, syarat tambahan itu perlu sebagai syarat kelayakan kepada pelajar berkenaan bagi memastikan negara tidak kekurangan tenaga kerja profesional pada masa depan. Melalui pengenalan syarat itu kata beliau, pelajar yang melanjutkan pelajaran di luar negara secara automatik diwajibkan pulang dan berkhidmat di negara ini selepas menamatkan pengajian mereka sama ada secara terus atau mengikut tempoh tertentu yang ditetapkan. GPMS Selangor menyambut baik langkah kerajaan untuk mengenakan tindakan termasuk menetapkan supaya pelajar tajaan JPA yang enggan pulang ke tanah air membayar balik biasiswa.

Keengganan pelajar ini sebenarnya merugikan negara daripada banyak sudut. Negara bukan sahaja rugi tenaga kerja profesional tetapi juga dari segi peruntukan kewangan besar yang diberikan kepada mereka. Justeru, dicadangkan agar kerajaan tetapkan syarat tertentu kepada pelajar yang menerima biasiswa JPA ini seperti mewajibkan mereka kembali berkhidmat di negara ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengatakan bahawa JPA akan mengambil tindakan undang-undang termasuk bayaran balik biasiswa oleh para pelajar tajaannya yang enggan berkhidmat di negara ini selepas menamatkan pengajian di luar negara. Menurut Mohamed Nazri, kebanyakan pelajar yang enggan pulang merupakan penuntut universiti di Eropah dan Amerika Syarikat dengan menerima biasiswa JPA berjumlah antara RM400,000 hingga RM1.2 juta setiap seorang.

Dalam pada itu, kita tidak menolak kemungkinan keengganan pelajar yang menerima tajaan JPA itu untuk pulang mungkin kerana mahu berkhidmat di luar negara kerana gaji yang tinggi atau mahu mencari pengalaman bekerja. Namun, pelajar terbabit harus faham bahawa tanggungjawab kepada negara juga tidak boleh diabaikan begitu sahaja kerana kejayaan mereka adalah hasil pembiayaan yang diperolehi dengan titik peluh rakyat negara ini. Kerajaan telah banyak melabur kepada pelajar ini bagi melahirkan tenaga profesional untuk manfaat negara dan sewajarnya mereka berterima kasih dengan kembali untuk memajukan negara. Jika mereka enggan, wajarlah mereka bayar balik biasiswa tersebut agar boleh disalurkan semula kepada pelajar-pelajar lain yang sanggup berkhidmat di negara ini.

UTUSAN MALAYSIA, 7 JUN 2011

ISU PENDIDIKAN : TUNAIKAN TANGGUNGJAWAB PELAJAR TAJAAN


Bayar balik biasiswa atau kembali bekerja di tanah air. Itu dua pilihan untuk penerima-penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dibiayai pengajiannya di luar negara dengan menggunakan wang kerajaan itu. Dalam tempoh 10 tahun lalu, JPA mengesan seramai 500 pelajar tajaannya yang tidak pulang ke negara untuk berkhidmat selepas berjaya menamatkan pengajian. Direkodkan antara tahun 2000 hingga 31 Mei tahun ini, seramai 145 penerima biasiswa tersebut gagal kembali berkhidmat di tanah air manakala 195 kes telah diambil tindakan. Sementara itu, 160 kes pula telah selesai iaitu penerima kembali berkhidmat di negara ini selepas notis dikeluarkan ataupun sudah mulai membuat bayaran ansuran atau selesai membayar biasiswa tersebut. Maka apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semalam menyatakan bahawa JPA akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pelajar yang enggan pulang selepas menamatkan pengajian di sana, tindakan tersebut sebenarnya amat wajar dilakukan. Kita tolak ke tepi dulu, soal memiliki semangat patriotik atau tidak, soal memperoleh pendapatan lebih lumayan di luar negara atau faktor-faktor tarikan lain.

Yang perlu ditekankan ialah pemegang biasiswa ini seharusnya sedar bahawa mereka tidak boleh lari daripada menunaikan tanggungjawab sebagai pelajar tajaan dengan sewenang-wenangnya. Sebelum memohon biasiswa, pemohon sudah dimaklumkan dengan syarat-syarat tertentu dan sekiranya ingkar terhadap perjanjian yang ditandatangani, tuntutan gantirugi akan dikenakan. Tuntutan gantirugi ini bukanlah sesuatu tindakan yang tidak adil terhadap mereka. Kerajaan sudah membiayai mereka, dan sudah sewajarnya itu pembiayaan itu dilangsaikan semula. Amat merugikan kerajaan yang sudah menghabiskan berjuta-juta ringgit yang pastinya turut melibatkan wang rakyat dalam membiayai pelajar-pelajar ini, tetapi akhirnya mereka memilih untuk berkhidmat di luar negara. Dengan mengambil kira bidang-bidang tertentu yang amat diperlukan oleh negara ketika ini, mereka seharusnya kembali ke tanah air untuk menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat dan negara. Langkah ini bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat tidak terjejas dan rakyat turut mendapat manfaat daripadanya.

UTUSAN MALAYSIA, 7 JUN 2011

06 Jun 2011

ISU PENDIDIKAN : PERANAN GURU JANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN


Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB


Peranan guru sebagai tunjang utama dalam memperkasakan dan memajukan bidang pendidikan di negara ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan. Oleh yang demikian, pemilihan tema hari guru pada tahun ini iaitu "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara" adalah amat bertepatan sekali. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga guru atas jasa bakti tidak kenal erti jemu dalam usaha mendidik anak-anak bangsa yang amat memerlukan ilmu bagi memajukan diri, agama, bangsa dan negara. "Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses transformasi sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut beliau, Kementerian Pelajaran telah merencanakan pelbagai dasar, polisi dan pembaharuan pendidikan bagi memantapkan proses dan pengendalian pembelajaran dan pengajaran (P&P) di sekolah. "Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang selepas ini akan diikuti pula oleh Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) juga tidak akan berjaya tanpa komitmen dan sokongan jitu para guru. "Peranan guru juga besar dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan Satu Murid Satu Sukan (1M1S). "Semua dasar dan pembaharuan pendidikan ini tidak akan memberi makna tanpa warga pendidik sebagai golongan yang berada di barisan hadapan dalam memacu arus pendidikan agar sentiasa dinamik dan progresif," jelas beliau. Terang beliau lagi, Program Transformasi Kerajaan yang merangkumi pelan hala tuju Malaysia menjelang 2020 yang dilancarkan pada awal tahun lalu menggariskan beberapa pelan tindakan berkaitan sistem pendidikan negara.

"Sasaran utama adalah untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar dan bidang yang menjadi tumpuan adalah prasekolah, kemahiran asas literasi dan numerasi, Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan peningkatan prestasi Pengetua dan Guru Besar. "Namun demikian, tanpa komitmen dan usaha gigih para guru, semua pelan yang direncanakan pasti sukar untuk dijayakan dan ia jelas menunjukkan betapa besar peranan para guru yang berupaya mencorak dan membentuk generasi masa muka," tambahnya. Abd. Ghafar berkata, transformasi dalam pendidikan akan terus berlaku kerana ia selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi negara maju dengan acuan tersendiri yang mengambil kira kepercayaan, budaya dan nilai setempat yang terpelihara sekian lama. "Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada guru dan tumpuan sepenuhnya perlu diberikan terhadap tanggungjawab yang perlu digalas dalam bidang kurikulum, kokurikulum juga pembinaan sahsiah anak didik.

"Justeru, saya menyeru agar warga pendidik sentiasa bersedia untuk menyambut sebarang perubahan pendidikan bagi diterjemahkan semasa proses P&P dalam bilik darjah," ujarnya. Beliau menambah, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif dan inisiatif bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin. "Keprihatinan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha seperti menubuhkan jawatankuasa mengkaji beban tugas guru, cadangan wujudkan jawatan pembantu guru, menambah baik infrastruktur sekolah, menyediakan peluang melanjutkan pelajaran dan menambah kuota pengetua serta guru cemerlang sehingga peringkat JUSA C," terang beliau. Abd. Ghafar berkata, cadangan penstrukturan semula pemberian Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan bagi guru-guru di Sabah dan Sarawak membuktikan bahawa bidang pendidikan, guru-guru dan murid-murid walau di mana sahaja berada menjadi keutamaan dalam agenda semasa kerajaan.

"Konsep pendemokrasian pendidikan sentiasa dipraktiskan oleh pihak kementerian bagi memastikan peluang mengikuti pendidikan berkualiti dapat dikecapi secara sama rata di seluruh negara tanpa mengira batas geografi, gender, tahap sosio ekonomi, bangsa dan fahaman politik," jelasnya. Katanya lagi, pelbagai inisiatif diambil bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir seperti penyediaan Sekolah pendidikan khas dan kelas integrasi pendidikan khas bagi kanak-kanak kelainan upaya "Kementerian Pelajaran juga telah mengambil langkah memperkemas dan menambah baik syarat dan kriteria pengambilan guru pelatih bagi kursus pra perkhidmatan. "Langkah untuk meningkatkan profesionalisme guru akan meningkatkan martabat keguruan untuk terus dihormati, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat," terangnya. Menurut Abd. Ghafar, usaha memartabatkan profesion keguruan tidak akan mencapai sasaran jika dirancang dan dilaksanakan pada peringkat kerajaan atau kementerian sahaja.

Katanya, warga pendidik sendiri selaku agen perubahan perlu memainkan peranan berkesan dengan cara sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing. "Guru janganlah jemu berusaha untuk menambah baik amalan pengajaran semasa dan sentiasa berfikiran proaktif, kreatif serta inovatif. "Guru-guru juga disarankan supaya mengaplikasi dan mengamalkan kaedah P&P terkini seiring dengan proses globalisasi agar kekal relevan dan mampu menarik minat murid-murid untuk menimba ilmu," jelasnya.

UTUSAN MALAYSIA, 14 MEI 2011

ISU ALAM SEKITAR : MEMAKMURKAN ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Oleh TAN SRI ROZALI ISMAIL


Tema Hari Alam Sekitar Dunia tahun ini, iaitu Forests : Nature at Your Service mencerminkan matlamat dunia bagi menjadikan hutan sebagai nadi untuk pembangunan lestari serta ekonomi berasaskan hijau. Sehubungan itu, langkah ini adalah tepat serta sejajar dengan kesedaran masyarakat kini mengenai kepentingan menghijaukan dan memakmurkan lagi muka bumi ini. Di Malaysia, terdapat beberapa inisiatif yang dilancarkan bagi memberikan pengetahuan serta pendedahan meluas mengenai peranan setiap individu serta organisasi berkaitan kepentingan alam sekitar. Terkini, kerajaan memperkenalkan beberapa insentif kepada syarikat yang mengadaptasi ‘teknologi hijau’ di dalam operasi seharian mereka bagi menggalakkan lagi penggunaan konsep ini di masa hadapan. Skim dana sebanyak RM1.5 bilion juga diperuntukkan bagi tujuan ini, termasuk diskaun yang akan ditanggung oleh pihak kerajaan di samping jaminan pembiayaan yang lebih tinggi.

Di samping itu, sebagai salah satu komitmen kerajaan bagi memperkasakan teknologi hijau di Malaysia, pihak kerajaan juga menyasarkan pengurangan pengeluaran karbon dioksida sebanyak 40 peratus pada tahun 2020. Bagi peringkat negeri pula, beberapa program dilancarkan, seperti Hari “Tanpa Beg Plastik”, sejak Januari tahun lalu. Sebagai permulaan, para pengguna dikehendaki membawa beg sendiri jika mahu membeli-belah pada hari Sabtu di pasar raya-pasar raya atau gedung-gedung terkemuka. Di peringkat global pula, beberapa kajian dan penilaian yang dilaksanakan oleh beberapa pihak berkepentingan, bagi menggalakkan serta mempromosikan penggunaan teknologi hijau secara menyeluruh. Pada April lalu, syarikat Siemens melalui Economic Intelligence Unit (EIU), mengeluarkan satu laporan penilaian yang dinamakan Indeks Kehijauan Asia (Asia Green Index). Laporan indeks ini bertujuan menilai prestasi persekitaran bagi 22 bandar-bandar utama di serantau Asia, termasuk Kuala Lumpur.

Menurut laporan itu, persekitaran di Kuala Lumpur secara keseluruhannya adalah sederhana, sama seperti bandar raya ternama Asia iaitu Beijing, Shanghai, Guangzhou, Delhi, Bangkok dan Jakarta. Walau bagaimanapun, jika dilihat secara terperinci, aspek-aspek pengangkutan dan kualiti udara bagi Kuala Lumpur adalah melebihi tahap sederhana. Sebagai rakyat Malaysia, kita boleh berbangga dengan pencapaian ini memandangkan sistem pengangkutan serta kualiti udara di Kuala Lumpur diletakkan sama taraf dengan Tokyo, Singapura, Hong Kong, Taipei dan Yokohama. Bagi aspek penggunaan tanah dan bangunan serta tadbir urus alam sekitar pula, prestasi Kuala Lumpur adalah sederhana sama seperti Beijing, Delhi, Guangzhou, Jakarta dan Nanjing. Selain itu, laporan itu juga menyatakan beberapa perkara yang perlu diperbaiki serta diambil perhatian, terutamanya di dalam aspek bahan buangan serta air.

Penilaian bagi Kuala Lumpur bagi kedua-dua aspek ini adalah di bawah paras bawah sederhana. Walau bagaimanapun, keputusan itu bukanlah sesuatu mengejutkan, terutamanya bagi mereka yang terlibat di dalam industri air. Sebagai sebuah negara tropika, Malaysia mempunyai sumber air yang pelbagai, merangkumi sungai dan alur, tasik, kolam, takungan air, air bumi, mata air dan telaga. Kita juga menerima taburan hujan yang banyak sepanjang tahun, terutamanya pada Oktober hingga Mac. Jumlah hujan yang banyak ini kerap mengakibatkan banjir. Oleh itu, secara dasarnya, masyarakat kita kurang menghargai air jika dibandingkan dengan mereka yang tinggal di negara-negara yang mengalami kekurangan atau ketandusan air, seperti Afrika Selatan serta kawasan-kawasan gurun. Kita perlu ingat bahawa meskipun sumber air di Malaysia tidak akan pupus, tetapi sumber air mentah yang selamat digunakan kini semakin berkurangan.

Salah satu puncanya adalah pencemaran sungai. Perkara ini menyebabkan masalah pencemaran yang membabitkan sumber air negara kita. Mengikut kajian pada 2007, hanya 20.7 peratus sungai di Semenanjung dianggap bersih, di mana 19,000 tan sisa beracun telah dibuang di tapak pelupusan sampah setiap hari, dan tidak kurang 70 peratus daripadanya terletak berhampiran sungai. Proses urbanisasi yang disebabkan oleh pembangunan pesat negara juga merupakan salah satu punca sumber bekalan air bersih ini semakin berkurangan. Ini adalah kerana proses urbanisasi serta pembangunan pesat, terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, membawa kepada perubahan penggunaan tanah bagi menampung keperluan kegiatan ekonomi, kemudahan-kemudahan sosial serta lain-lain prasarana berkaitan. Perubahan penggunaan tanah ini menyebabkan sungai-sungai terdedah kepada pelbagai tekanan, yang kadangkala tidak dapat ditanggung oleh sungai.

Secara tidak langsung, tekanan ini boleh menyebabkan sistem sungai berubah, bukan sahaja dari segi kualiti tetapi juga kuantiti. Berbalik kepada laporan penilaian Indeks Kehijauan Asia mengenai isu bahan buangan dan air di Kuala Lumpur, bagaimanakah kita boleh memperbaiki kedudukan di dalam penilaian tersebut untuk tahun-tahun seterusnya? Berdasarkan laporan indeks EIU, negara-negara maju dan kaya mempunyai peruntukan dana yang tinggi bagi memantapkan polisi serta inisiatif berkaitan alam sekitar. Yokohama merupakan satu contoh yang baik di dalam mendukung inisiatif hijau ini. Dengan pendapatan per kapita sebanyak US$30,200, ia mampu memberikan sistem subsidi yang dianggap sebagai ‘pemurah’ kepada para pemilik kenderaan elektrik. Subsidi ini merupakan insentif kepada penduduknya untuk membeli kenderaan elektrik, sekali gus dapat mengurangkan asap dari kenderaan yang menggunakan bahan bakar seperti petrol atau diesel.

Selain Yokohama, Singapura yang merupakan bandar keempat terkaya di Asia juga menggalakkan penggunaan teknologi hijau ini, terutamanya di sektor industri. Singapura, yang mempunyai pendapatan per kapita US$36,500, berupaya menyediakan belanjawan tinggi bagi menyediakan prasarana terbaik bagi sektor industrinya, yang merupakan punca pendapatan utama kepada Singapura. Selain itu, aspek penguatkuasaan bagi peraturan yang ditetapkan juga perlulah diberi penekanan. Ini adalah kerana pelaksanaan bagi peraturan-peraturan yang ditetapkan adalah kurang efektif tanpa penguatkuasaan. Singapura yang menduduki tangga keempat di dalam Transparency International‘s Corruption Perception Index, mempunyai penjawat awam terlatih yang mempunyai reputasi tinggi di dalam aspek ketelusan. Ini membolehkan Singapura menjadi lebih menarik di mata para pelabur asing yang berminat untuk melabur di negara berkenaan bagi jangkamasa panjang.

Pendekatan proaktif juga boleh diambil dengan mewujudkan tanda aras serta merujuk arah aliran terkini berkaitan polisi alam sekitar, yang dirancang atau dilaksanakan oleh negara-negara membangun di Asia. Di dalam aspek air, contohnya, inisiatif-inisiatif pemeringkatan pemeliharaan sumber air telah dilaksanakan di negara-negara Asia antaranya:- “Hanoi: memperuntukkan 70 peratus dari kawasan bandarnya sebagai ruang untuk pokok dan air. “Yokohama: memperkenalkan program latihan kepada pakar-pakar air dari negara-negara membangun. Program ini dilancarkan setelah mendapat manfaat daripada para jurutera British yang memberikan bantuan teknikal kepada mereka sejak tahun 70-an. “Nanjing: menaikkan tarif air sebanyak 12 peratus. Dengan kenaikan ini, adalah diharap agar para pengguna akan menggunakan air dengan lebih berhemah. “Beijing: menggalakkan pemasangan meter air di kawasan-kawasan kediaman serta kilang-kilang.

“Hong Kong: membaikpulih serta menggantikan 3,000 km daripada 7,700 km rangkaian paip air utama sehingga 2015. Sebanyak US$2.5 bilion diperuntukkan bagi tujuan ini. “Delhi: mewujudkan Unit Penyiasatan dan Pengesanan Kebocoran Air. Kini, Unit tersebut menggunakan perkakasan elektronik yang lebih canggih dan moden, agar kebocoran air dapat dikesan dengan lebih cepat serta efektif. “Seoul: melancarkan ‘Green Seoul Citizen Committee’ pada 1995, yang bertujuan menggalakkan masyarakat tempatan terlibat secara langsung di dalam pembangunan polisi alam sekitar. Jawatankuasanya dipengerusikan oleh Datuk Bandar Seoul sendiri, dan hingga kini mempunyai 100 ahli daripada organisasi bukan kerajaan dan pihak swasta. “Kuala Lumpur: Skim dana sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan. Pihak kerajaan juga akan menanggung diskaun-diskaun serta memberi jaminan pembiayaan yang lebih tinggi bagi organisasi yang mengadaptasi teknologi hijau. Selain itu, pihak kerajaan menyasarkan pengurangan pengeluaran karbon dioksida sebanyak 40 peratus pada tahun 2020.

Merujuk kepada inisiatif itu, pihak kerajaan perlulah mempertingkatkan lagi usaha-usaha untuk memperkenalkan lebih banyak program yang berkonsepkan ‘hijau’ serta ‘mesra alam’, terutamanya dalam aspek berkaitan bahan buangan dan air. Selain itu, dengan adanya program yang ‘mesra alam’ ini, kita akan dapat menampung keperluan sofistikated masyarakat di masa akan datang, yang didorong oleh urbanisasi, di samping memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia di mata dunia. Akan tetapi, adakah dengan memperkenalkan beberapa program sahaja sudah mencukupi? Bolehkah kita mendabik dada dan menyatakan bahawa kita telah memberikan sumbangan yang sewajarnya kepada alam sekitar? Selain pelaksanaan dasar yang digubal, aspek penguatkuasaan juga perlulah diberi penekanan oleh pihak kerajaan. Jika kita renungkan semula, secara amnya, salah satu punca kegagalan pelaksanaan sesuatu dasar adalah kurangnya aspek penguatkuasaan.

Di negara-negara maju, rakyat mereka takut untuk melakukan sebarang kesalahan, contohnya memandu melebihi had laju yang telah ditetapkan - mengapa? Penguatkuasaan yang ketat adalah salah satu faktornya, dan tiada kompromi kepada pesalah. Juga, pernahkah terlintas di fikiran kita bahawa budaya atau cara hidup rakyat Malaysia merupakan faktor penyumbang kepada kegagalan ini? Walau sehebat mana dasar atau program yang diperkenalkan, aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebagai 20 bandar utama di dunia yang sesuai didiami pada tahun 2020 tidak akan tercapai jika kita hanya mengharapkan pihak kerajaan semata-mata untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

TAN SRI ROZALI ISMAIL ialah Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad

ISU KESENIAN : APABILA PEMBANGUNAN TEATER DIHENTIKAN

Getaran Seni



Negara ini mempunyai sebuah panggung negara bernama Istana Budaya. Panggung negara ini mengambil masa hampir 28 tahun untuk dizahirkan lebih 10 tahun lalu. Panggung negara atau Istana Budaya merupakan lambang pembangunan dan pemartabatan teater dan seni pentas yang lain. Di negara-negara maju, kewujudan panggung negara membawa maksud usaha membangunkan teater dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Adakah dengan berdirinya Istana Budaya yang mempunyai kelengkapan pementasan bertaraf dunia menjadi mercu tanda kepada pembangunan teater seluruhnya? Sebenarnya teater di negara ini telah mati. Ia dimatikan selepas tiada usaha untuk membangunkan teater dilakukan di peringkat negeri. Atau lebih tepat lagi selepas program Pekan Teater dihentikan tanpa digantikan dengan program yang sama atau lebih berkesan daripada yang sedia ada.

Tidak ada salahnya Pekan Teater sebuah program penggalakan teater dihentikan. Tetapi yang salahnya tidak ada program lain yang lebih baik kepada pembangunan teater diadakan. Kalau semasa Pekan Teater masih wujud, setiap negeri setidak-tidaknya menggerakkan sebuah pementasan teater untuk dipertandingkan. Tetapi selepas Pekan Teater dihentikan, teater hanya ada di Kuala Lumpur. Itupun hanya di Istana Budaya. Pementasan teater yang tertumpu di Istana Budaya tidak boleh dijadikan ukuran pembangunan teater di negara ini. Kalau tidak silap hampir semua negeri mempunyai gelanggang seni masing-masing. Di Terengganu misalnya, gelanggang seninya berdiri megah di tepi laut. Tetapi teater di Terengganu telah mati. Begitu juga di Perlis, gelanggang seni tersergam di tengah sawah di hujung bukit sepi tanpa sebarang program teater. Perkembangan teater terbantut disebabkan ketiadaan program pembangunan setaraf dengan Pekan Teater.

Sebenarnya belanja mementaskan teater di peringkat negeri bukanlah tinggi. Jangan ukur belanja pementasan di negeri dengan Istana Budaya. Maknanya program pembangunan teater bukanlah menelan belanja besar untuk dijadikan alasan ia dimatikan begitu saja. Kecuali memang hendak dimatikan. Pihak yang diberi amanah membangunkan teater dan seni persembahan lainnya perlu memikul tanggungjawab. Maju atau mundurnya teater adalah suatu yang paling mudah dilihat dengan mata kasar. Tidak ada pementasan, tidak adalah teater. Belum ada lagi di mana-mana negara yang teaternya maju tetapi tidak ada pementasan.

UTUSAN MALAYSIA
06.06.2011

04 Jun 2011

ISU ALAM SEKITAR : RAKYAT KURANG ARIF PROSES DAN FUNGSI EIA

Oleh Rosnani Ibrahim
BERITA HARIAN, 01 JUN 2011


Proses Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) sekali lagi menjadi perhatian ramai selepas berakhirnya pameran awam mengenai Laporan EIA bagi cadangan projek Klang Valley Mass Rapid Transit (KVMRT) laluan Sungai Buloh-Kajang pada 15 Mac lalu. Pameran awam itu berlangsung selama 30 hari di lebih 20 lokasi di seluruh negara. Maklum balas orang ramai adalah komponen penting dalam proses EIA itu kerana ketika ini pandangan dan maklum balas orang awam mengenai penemuan kajian EIA yang dapat diperoleh. Prosedur EIA sudah dilaksanakan di Malaysia sejak 1988 tetapi tidak banyak diketahui umum. Ini jelas daripada jumlah kedatangan yang rendah pada pameran awam itu, walaupun banyak percubaan untuk membabitkan orang awam dan mendapatkan maklum balas daripada mereka. Proses EIA juga sering disalahertikan. Ramai salah faham dengan menganggap laporan EIA adalah dokumen sehenti yang mengandungi setiap maklumat mengenai sesebuah projek. Kebanyakan mereka yang datang melihat laporan ini pulang dengan wajah hampa.

Perlu ditekankan, laporan EIA hanya alat perancangan projek bagi mengenal pasti, menjangka, menilai dan memaklumkan maklumat mengenai impak ke atas alam sekitar daripada projek dirancang, di samping menghuraikan langkah mencegah, mengurangkan atau mengawal kesan buruk terhadap alam sekitar sebelum projek itu dilaksanakan. Penemuan itu nanti perlu digabungkan ke dalam rekaan terperinci projek yang dicadangkan. Proses EIA memastikan potensi masalah alam sekitar dapat dijangka dan ditangani pada peringkat awal perancangan dan dalam reka bentuk projek bagi mengelakkan kesilapan yang membabitkan kos yang besar ketika pelaksanaan projek nanti, sama ada kerana kemusnahan alam sekitar yang mungkin terjadi ketika pelaksanaan atau pun perubahan yang perlu dilakukan selepas itu demi menjadikan projek berkenaan boleh disesuaikan dengan alam sekitar.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga mempunyai cabarannya sejak prosedur EIA dilaksanakan berikutan Akta Kualiti Alam Sekitar (EQA) 1974 yang mentadbir keperluan bagi laporan EIA. Kadangkala tugas memberi penerangan kepada orang awam bahawa laporan EIA tidak mengandungi maklumat seperti peratusan peningkatan harga hartanah di sesuatu tempat tertentu adalah agar mencabar. Mereka sering hampa kerana berasakan bahawa laporan itu tidak lengkap dan seseorang sudah tidak menjalankan tugas dengan baik. JAS tidak menyokong atau menolak sesebuah projek tetapi hanya menilai kesan alam sekitar sesebuah projek itu berdasarkan laporan EIA yang diterimanya. JAS hanya menilai laporan itu dan mungkin akan menerima atau menolak laporan EIA itu. JAS juga pernah beberapa kali menolak laporan EIA kerana maklumat kritikal untuk membuat keputusan tidak lengkap atau jika laporan menunjukkan akibat buruk kepada alam sekitar disebabkan projek yang sukar untuk dikawal impaknya.

Laporan EIA juga akan ditolak jika laporan itu tidak disediakan oleh perunding EIA yang kompeten dan berdaftar di bawah Skim Pendaftaran Perunding EIA. Tanggungjawab JAS adalah berat. Jabatan perlu mengimbangkan keutamaan antara projek yang memenuhi objektif pembangunan ekonomi dan sosial negara dan pada masa sama memastikan projek dilaksanakan secara lestari dan tidak mengancam alam sekitar atau rakyat. Dalam setiap hal, kepentingan rakyat sering diutamakan. Justeru, penting bagi rakyat memberikan pandangan mereka.

Penulis ialah Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia

ISU SISWAZAH : SL1M PELUANG GRADUAN TINGKAT KEMAHIRAN DAN KEBOLEHPASARAN


Pelancaran Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), yang buat permulaannya membabitkan seramai 8,000 graduan, sebahagiannya dari luar bandar atau pedalaman serta daripada keluarga berpendapatan rendah, kelmarin menunjukkan kerajaan tidak hanya menyediakan peluang untuk mendapat pendidikan, malah turut membantu mendapatkan pekerjaan. Selain menempatkan peserta skim ini di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mereka juga diberi elaun bulanan untuk tempoh 12 bulan dengan kadar minimum RM1,000. Semua ini dilakukan bagi membantu meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan dalam pekerjaan. Kita percaya SL1M akan dapat memenuhi kehendak dan keperluan majikan dan ia boleh diperluaskan ke seluruh negara dengan membabitkan lebih banyak GLC sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing. Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan, sebagai permulaan, Bank Negara Malaysia (BNM) bersama 25 GLC akan melaksanakan program berkenaan membabitkan 3,000 graduan mulai bulan depan.

Baki 5,000 lagi akan terbabit dalam fasa kedua bermula September dengan beberapa GLC yang lain. Mereka ini adalah sebahagian daripada 20,000 graduan menganggur yang tidak berpeluang menjalani latihan tambahan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pekerjaan. Najib berkata, 12,000 daripada 20,000 graduan itu sudah menjalani program khas sebagai langkah jangka pendek bagi meningkatkan kebolehpasaran, antaranya menerusi latihan yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi, BNM, Khazanah Nasional dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran. Kita percaya SL1M adalah langkah terbaik dalam menangani masalah pengangguran siswazah yang negara hadapi ketika ini. Skim ini jelas memperlihatkan kerajaan prihatin dengan permasalahan untuk memenuhi permintaan pasaran pekerjaan yang dihadapi siswazah.  Kita percaya pengalaman berkhidmat di GLC terpilih, terutama yang mencatatkan pencapaian cemerlang dengan urus tadbir yang baik akan dapat membantu mereka memenuhi keperluan pasaran, khususnya syarikat multinasional.

Kita akui kebolehpasaran menjadi elemen penting dalam menentukan keupayaan negara menarik pelaburan langsung asing dan memacu pertumbuhan sumber domestik yang baru. Sudah sampai masa kebolehpasaran graduan dijadikan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) setiap naib canselor di universiti awam. Tiada gunanya sesebuah IPTA itu mendabik dada kerana mampu mengeluarkan graduan dalam pelbagai bidang tetapi tidak laku dalam pasaran pekerjaan. Kita yakin jika kebolehpasaran dijadikan KPI untuk mana-mana IPTA, masalah lambakan tenaga kerja siswazah tidak berkualiti akan dapat diatasi, sekali gus graduan IPTA akan menjadi pilihan utama majikan untuk mendapatkan pekerja. Untuk itu, sewajarnya IPTA dengan kerjasama GLC memperkenalkan kurikulum keusahawanan, meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, menjalankan program kemahiran tertentu, melaksanakan program bimbingan pelajar di syarikat awam dan swasta sebelum pelajar mereka bergelar siswazah.

BERITA HARIAN, 3 JUN 2011

29 Mei 2011

HASIL KARYAKU: KAULAH HARAPAN

Jika benar kau yang terbaik
buktikanlah padaku
kau mampu gapai mimpi-mimpimu
yang bergantungan di angkasa
kau genggam angan-anganmu
hingga jadi mutiara yang bercahaya

anda sungguh kau yang terindah
tunjukkanlah padaku
kau tidak lukakan hati bonda
tidak guris hati ayahanda
dengan peluru kegagalan
yang menyakitkan jiwa sanubari mereka

kau yakin pada dirimu
pamerkanlah pada cikgu
sentiasa cemerlang dalam pelajaran
hebat masyhur dalam sukan
dikagumi rakan seluruh tingkatan
jadi idola ketua pasukan
yang digeruni dan disanjungi

sungguh kau memang yang terbaik
lawanlah nafsu gilamu
dengan keimanan yang kukuh kental
lenyapkan hasutan pemusnah
dengan kecekalan
jangan sesekali
kau tersungkur
sebelum kaki jejak menara
kerana kau harapan kami semua
hanya kau saja

NUKILAN 
Zulkarnain Farihin 
29 Mei 2011
5.55 petang

MOTIVASI BERSAMA CIKGU ZUL : JANGAN MUDAH DIPENGARUHI


Assalamualaikum dan salam sejahtera,


Para pelajar tentunya sedang enak menikmati hari-hari cuti pertengahan penggal Tahun 2011 yang bermula pada hari Jumaat lepas. Bagi adik-adik pelajar yang berbangsa Dayak di Sarawak sudah tentu tidak sabar-sabar lagi untuk merayakan Perayaan Hari Gawai Dayak. Begitu juga dengan suku kaum Kadazan Dusun di negeri Sabah yang bakal meraikan Pesta Tadau Keamatan. Itulah warna-warnai masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Bagi para guru pula, dalam waktu cuti sebegini memang sibuk dengan urusan menanda dan menyemak kertas jawapan pelajar terutamanya guru-guru Bahasa Malaysia STPM seperti Cikgu Zul ini. Orang lain sibuk bercuti, kita pula terpaksa bersengkang mata menyemak kertas di rumah. Kadang-kadang, terkilan juga dengan kata-kata jiran dan rakan yang bukan guru yang selalu berkata kerja guru ini senang sebab banyak cuti. Mereka sebenarnya tidak memahami! Sepanjang 15 tahun menjadi guru, Cikgu Zul tidak pernah menikmati cuti yang sebenar-benarnya kerana dihambat oleh kerja yang bertimbun pada setiap masa.

Anak-anak didik tersayang,

Pada kesempatan ini Cikgu Zul hendak mengulas satu topik iaitu "Jangan Mudah Dipengaruhi". Pada usia remaja, kita mudah sangat percaya kepada rakan sebaya sehingga ada di kalangan kita yang rela menjadi hamba  kepada rakan kita. Setiap perbuatan, pertuturan, perancangan, dan cadangannya kita ikut dengan penuh taatsetia tanpa mempersoalkan baik buruk tindakan yang kita lakukan itu. Lantaran terlalu percayakan kawan kita sanggup terjun ke dalam lautan dalam walaupun tidak tahu berenang demi menghargai persahabatan kita dengannya. Akhirnya, kerana terpengaruh kita sendiri jugalah yang terpaksa menanggung akibatnya. Kawan ajak ponteng kita pun ponteng. Kawan ajak bising, kita pun buat bising. Kawan ajak lepak dengan rela hati kita jadilah kaki lepak. Kawan jadi kutu rayau, kita pun turut sama jadi kutu rayau. Kita seolah-olah macam sudah terkena minya pengasih sehingga menganggap kawan sebagai raja yang mesti diturut katanya pada setiap masa.

Orang yang mudah dipengaruhi sebegini, lama-kelamaan tidak dapat berdikari. Mereka akan menjadi insan yang lemah dan mudah diperdaya. Mereka tidak mampu berfikir dengan kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Hidup mereka akan ditentukan oleh orang lain. Sedihkan jadi orang macam ini? Walaupun berpendidikan tinggi, orang seperti ini sukar untuk berubah kerana dia mudah goyah dengan rayuan dan hasutan disekelilingnya. Sepatah kata orang itulah yang akan diikutinya sehingga nak beli baju pun kena tanya orang lain apakah warna yang sesuai dengan dirinya? Tabiat sedih ini biasanya bermula di alam persekolahan kerana pada waktu itulah kita berjumpa dengan banyak orang yang pelbagai fill dan ragam. Jika tersalah pilih kawan kita akan menjadi mangsa untuk dipersenda dan diperguna secara halus oleh orang lain. Biar kita lihat, budaya buli dan samseng di sekolah yang melibatkan sekumpulan pelajar. Perancangnya hanya seorang tetapi konco-konconya lebih daripada itu. Mereka inilah yang Cikgu Zul kata sebagai orang yang tiada pendirian dan senang dipengaruhi oleh orang lain.

Anak-anak didik yang dikasihi,

Jika sewaktu muda kita menjadi begitu, apabila memasuki alam pekerjaan dan berumahtangga kita pasti juga akan jadi sebegitu kerana sikap tidak baik ini sudah mendarahdaging dalam diri kita. Guru mengajar dan mendidik kita dengan susah payah supaya kita menjadi insan yang berpendirian, yakin diri, berilmu dan bersahsiah mulia. Bayangkan kalau ibu yang melahirkan kita dan ayah yang bersusah payah menyara keluarga kita biarkan tersadai di rumah orang tua kerana kita terpengaruh dengan kata-kata pasangan kita yang tidak mahu menjaga mereka. Bayangkan sebuah keluarga yang mempunyai harta pusaka akhirnya hidup merempat dan melarat kerana termakan dengan hasutan syaitan di sekeliling mereka. Bayangkan adik-beradik kandung bermusuhan sesama sendiri lantaran mudah dilaga-lagakan orang lain. Semua ini berpunca daripada kelemahan diri kita sendiri yang membiarkan minda kita dikuasai oleh orang lain semasa remaja.

Harapan Cikgu Zul, jadilah remaja yang berjiwa kental yang tidak lemah minda dan rapuh jiwa. Jangan biarkan orang lain menakluki diri kita dengan nilai-nilai negatif yang boleh memunahranahkan rasa hormat orang lain terhadap diri kita. Sekali kita membiarkan minda kita dijajah, selama-lamanya kita akan dijajah sehingga kita rebah dan lemah walaupun  nadi masih berdenyut kencang. Berusahalah untuk menjadi yang terbaik dan memberikan yang terbaik kepada diri, keluarga, bangsa, dan negara sementara kita masih berpeluang menghirup udara segar di bumi ini. Jangan jadikan diri kita seperti bola yang ditendang sesuka hati sehingga kempis, renyuk, bocor dan berlubang yang akhirnya menjadi sampah dan tidak diperdulikan. Semasa masih remaja dan dibangku sekolah, gunakan masa yang ada untuk membina personaliti diri yang unggul dan bertaraf dunia. Mintalah bantuan guru kerana gurulah pendidik anda yang terbaik!

Ikhlas daripada :
Cikgu Zulkarnain Farihin 
SMK Sacred Heart, Sibu.

ISU ALAM SEKITAR : ALAM MENGAMUK


Dalam tempoh bulan Mei 2011 ini, Amerika Syarikat, teruk diganyang alam apabila satu demi kejadian ribut yang membawa bersama puting beliung, meragut lebih 500 rakyatnya, setakat ini. Sejak April lalu, puting beliung yang melanda selatan negara itu termasuk Alabama, Tennessee, Mississippi, Georgia, Arkansas, Virginia, Kentucky dan Louisiana, mengorbankan kira-kira 500 penduduk dengan kerugian dianggarkan bernilai RM18 bilion. Puting beliung merujuk angin kencang ribut petir yang berputar secara ganas dari udara dan mencecah daratan. Ia terbentuk apabila angin panas, lembap bertembung dengan udara sejuk dan kering. Namun, amukan puting beliung terbaru di Joplin, Missouri, sudah pun menyebabkan 125 maut dan setakat ini jumlah kerugian mencecah RM9 bilion. Malah, bencana kali ini adalah paling bahaya pernah direkodkan sejak tahun 1950-an dan terburuk sejak 1974.

Ia sekadar satu lagi musim penuh derita yang dilalui penduduk Amerika ketika kerajaannya turut terbabit dalam pelbagai operasi ketenteraan di Libya, Pakistan dan Afghanistan atas nama memerangi keganasan. Malah, puting beliung di Joplin dilaporkan adalah fenomena pemusnah yang jarang berlaku dikenali sebagai ‘kepelbagaian putaran,’ mengandungi dua atau lebih taufan dengan bukaan angin lebih luas. Kebanyakan bahagian selatan Missouri yang dihuni 50,000 penduduk rosak teruk dengan gereja, sekolah, kawasan perniagaan dan rumah diranapkan angin dengan kelajuan sehingga 316 kilometer sejam! Puting beliung itu turut mewujudkan laluan sepanjang 9.6 kilometer panjang dan 0.8 hingga lebar kira-kira 1.2 kilometer. Ia adalah puting beliung kelapan paling bahaya pernah direkodkan di Amerika dan bakal mencatat sejarah penyebab kematian tinggi disebabkan bencana alam itu.

Apa tidaknya, belum pun 2011 melabuhkan tirainya, angka korban puting beliung dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sudah melebihi apa dicatatkan sepanjang tahun lalu. Ketika pakar dan penyelidik terus diselubungi buntu mengenai amukan puting beliung dan ribut taufan kali ini yang dahsyat, di satu sudut lain penyelamat trauma apabila menemui mayat dalam keadaan yang menyayat hati - dalam kenderaan terbalik, putus anggota badan dan dihimpit seperti tin kosong. Mayat seorang kanak-kanak berusia lima tahun ditemui di bawah timbunan besi dan batu-bata. Persoalannya bagaimanakah negara yang sedemikian maju tidak dapat mengelak amarah alam itu? Tiadakah sebarang sistem pengesanan yang berkesan dan mampu menepis bencana sedemikian? Namun seperti ditegaskan pakar cuaca yang juga Timbalan Pengarah Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Wilayah Tengah negara itu, Thomas Schwein, amaran yang dikeluarkan berdasarkan radar, bukan penglihatan.

“Petunjuk radar menyebabkan kami mengeluarkan amaran ketika ribut itu masih jauh daripada kawasan barat Joplin. Taufan itu berlaku 24 minit selepas amaran dikeluarkan, Ia cuma dikeluarkan apabila kami melihat puting beliung besar bergerak ke sesuatu kawasan dan mengesahkan ia sememangnya puting beliung. Dalam kes ini, amaran dikeluarkan berdasarkan radar. Tiada laporan puting beliung berlaku,” katanya. Puting beliung Joplin adalah antara 68 bencana alam itu yang dilaporkan melanda tujuh negeri bahagian tengah utara Amerika, menurut Pusat Ramalan Ribut NWS. Kemusnahan di Missouri adalah terburuk, yang menyamai amukan puting beliung yang membunuh lebih 300 orang di seluruh selatan negara itu bulan lalu. Penduduk di selatan turut diberi amaran sekerap 24 minit sekali tetapi taufan itu terlalu kuat untuk dihalang. Ia melanda seluruh bandar dari Tuscaloosa hingga Bristol dalam apa yang dikatakan puting beliung terburuk sejak April 1974

Menurut statistik Agensi Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika (NOAA), sudah 1,200 puting beliung melanda setakat tahun ini saja - dengan 875 berlaku sepanjang April lalu, sekali gus menyebabkan pakar tertanya-tanya mengapa 2011 menghasilkan sebegitu banyak ribut ganas. “Lebih banyak ribut dalam kategori empat dan lima tahun ini berbanding tahun lalu,” kata Pengarah NWS, Jack Hayes, merujuk kepada dua kategori puting beliung paling ganas. Malah kali ini ia tidak menyentuh ladang dan kebun sebaliknya mengamuk di kawasan bandar raya seperti Joplin dan Tuscaloosa. Satu badan penyelidik mengaitkannya dengan kitaran penurunan suhu di Lautan Pasifik sebagai sebahagian jawapan fenomena itu. Digelar La Nina, kitaran itu berlanjutan sekurang-kurangnya lima bulan dan berulang setiap tiga hingga lima tahun. Tahun ini, La Nina menolak arus kuat utara dan selatan, mengubah laluan angin yang biasa.

Arus angin sejuk yang tinggi dalam atmosfera menolak udara panas daripada bawah, dan membentuk ribut petir. Pengarah Pusat Ramalan Ribut, Russell Schneider, berkata puting beliung mempunyai pelbagai putaran, yang muncul daripada dinding bukaan angin utama. “Banyak puting beliung daripada kuat kepada bahaya serta ganas mempunyai banyak putaran. Ia selalunya singkat dan putaran pelbagai itu menyebabkan kemusnahan teruk kerana kelajuan angin boleh mencecah 80 hingga 128 kilometer sejam lebih kuat,” katanya. Pakar berkata bukaan awan yang besar boleh menyembunyikan dua atau lebih puting beliung, fenomena dikenali sebagai ‘kepelbagaian putaran.’ Ia selalunya boleh meranapkan bangunan yang berada dalam laluannya tetapi tidak menyentuh struktur berhampiran. Siapa sangka, di sebalik segala kecanggihan teknologinya, negara Uncle Sam ini tidak dapat lari daripada senjata ‘alam’ - daripada puting beliung dan selepas ini menanti musim taufan pula.

FAKTA: Apa puncanya?

Pembentukan: Angin kencang ribut petir yang berputar secara ganas dari udara dan mencecah daratan. Ia terbentuk apabila angin panas, lembap bertembung dengan udara sejuk dan kering.

Musim : Bermula pada awal musim bunga di kawasan sepanjang Teluk Mexico.

Tempoh: Puting beliung yang turut diiringi ribut taufan, angin kencang dan hujan batu boleh berlanjutan beberapa saat hingga lebih sejam. Kebanyakannya tidak sampai 10 minit.

Fizikal : Purata ukuran puting beliung adalah lebar kira-kira 200 meter

Kekerapan: Kira-kira 1,300 puting beliung menyerang Amerika setiap tahun. Statistik Agensi Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika (NOAA), sudah 1,200 puting beliung melanda setakat tahun ini saja.

Laluan: Kebanyakan puting beliung bergerak dari barat daya ke timur laut, atau barat ke timur. Sebahagiannya menukar arah atau berpatah balik

Ramalan: Satu atau dua hari sebelum, pakar kaji cuaca melihat suhu dan aliran tiupan angin yang boleh menyebabkan kelembapan mencukupi, ketidakstabilan untuk menentukan kehadiran puting beliung.

BERITA MINGGU, 29 MEI 2011