07 Jun 2011

ISU PENDIDIKAN : TUNAIKAN TANGGUNGJAWAB PELAJAR TAJAAN


Bayar balik biasiswa atau kembali bekerja di tanah air. Itu dua pilihan untuk penerima-penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dibiayai pengajiannya di luar negara dengan menggunakan wang kerajaan itu. Dalam tempoh 10 tahun lalu, JPA mengesan seramai 500 pelajar tajaannya yang tidak pulang ke negara untuk berkhidmat selepas berjaya menamatkan pengajian. Direkodkan antara tahun 2000 hingga 31 Mei tahun ini, seramai 145 penerima biasiswa tersebut gagal kembali berkhidmat di tanah air manakala 195 kes telah diambil tindakan. Sementara itu, 160 kes pula telah selesai iaitu penerima kembali berkhidmat di negara ini selepas notis dikeluarkan ataupun sudah mulai membuat bayaran ansuran atau selesai membayar biasiswa tersebut. Maka apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semalam menyatakan bahawa JPA akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pelajar yang enggan pulang selepas menamatkan pengajian di sana, tindakan tersebut sebenarnya amat wajar dilakukan. Kita tolak ke tepi dulu, soal memiliki semangat patriotik atau tidak, soal memperoleh pendapatan lebih lumayan di luar negara atau faktor-faktor tarikan lain.

Yang perlu ditekankan ialah pemegang biasiswa ini seharusnya sedar bahawa mereka tidak boleh lari daripada menunaikan tanggungjawab sebagai pelajar tajaan dengan sewenang-wenangnya. Sebelum memohon biasiswa, pemohon sudah dimaklumkan dengan syarat-syarat tertentu dan sekiranya ingkar terhadap perjanjian yang ditandatangani, tuntutan gantirugi akan dikenakan. Tuntutan gantirugi ini bukanlah sesuatu tindakan yang tidak adil terhadap mereka. Kerajaan sudah membiayai mereka, dan sudah sewajarnya itu pembiayaan itu dilangsaikan semula. Amat merugikan kerajaan yang sudah menghabiskan berjuta-juta ringgit yang pastinya turut melibatkan wang rakyat dalam membiayai pelajar-pelajar ini, tetapi akhirnya mereka memilih untuk berkhidmat di luar negara. Dengan mengambil kira bidang-bidang tertentu yang amat diperlukan oleh negara ketika ini, mereka seharusnya kembali ke tanah air untuk menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat dan negara. Langkah ini bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat tidak terjejas dan rakyat turut mendapat manfaat daripadanya.

UTUSAN MALAYSIA, 7 JUN 2011
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...