Pelancaran Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), yang buat permulaannya membabitkan seramai 8,000 graduan, sebahagiannya dari luar bandar atau pedalaman serta daripada keluarga berpendapatan rendah, kelmarin menunjukkan kerajaan tidak hanya menyediakan peluang untuk mendapat pendidikan, malah turut membantu mendapatkan pekerjaan. Selain menempatkan peserta skim ini di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mereka juga diberi elaun bulanan untuk tempoh 12 bulan dengan kadar minimum RM1,000. Semua ini dilakukan bagi membantu meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan dalam pekerjaan. Kita percaya SL1M akan dapat memenuhi kehendak dan keperluan majikan dan ia boleh diperluaskan ke seluruh negara dengan membabitkan lebih banyak GLC sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing. Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan, sebagai permulaan, Bank Negara Malaysia (BNM) bersama 25 GLC akan melaksanakan program berkenaan membabitkan 3,000 graduan mulai bulan depan.
Baki 5,000 lagi akan terbabit dalam fasa kedua bermula September dengan beberapa GLC yang lain. Mereka ini adalah sebahagian daripada 20,000 graduan menganggur yang tidak berpeluang menjalani latihan tambahan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pekerjaan. Najib berkata, 12,000 daripada 20,000 graduan itu sudah menjalani program khas sebagai langkah jangka pendek bagi meningkatkan kebolehpasaran, antaranya menerusi latihan yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi, BNM, Khazanah Nasional dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran. Kita percaya SL1M adalah langkah terbaik dalam menangani masalah pengangguran siswazah yang negara hadapi ketika ini. Skim ini jelas memperlihatkan kerajaan prihatin dengan permasalahan untuk memenuhi permintaan pasaran pekerjaan yang dihadapi siswazah. Kita percaya pengalaman berkhidmat di GLC terpilih, terutama yang mencatatkan pencapaian cemerlang dengan urus tadbir yang baik akan dapat membantu mereka memenuhi keperluan pasaran, khususnya syarikat multinasional.
Kita akui kebolehpasaran menjadi elemen penting dalam menentukan keupayaan negara menarik pelaburan langsung asing dan memacu pertumbuhan sumber domestik yang baru. Sudah sampai masa kebolehpasaran graduan dijadikan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) setiap naib canselor di universiti awam. Tiada gunanya sesebuah IPTA itu mendabik dada kerana mampu mengeluarkan graduan dalam pelbagai bidang tetapi tidak laku dalam pasaran pekerjaan. Kita yakin jika kebolehpasaran dijadikan KPI untuk mana-mana IPTA, masalah lambakan tenaga kerja siswazah tidak berkualiti akan dapat diatasi, sekali gus graduan IPTA akan menjadi pilihan utama majikan untuk mendapatkan pekerja. Untuk itu, sewajarnya IPTA dengan kerjasama GLC memperkenalkan kurikulum keusahawanan, meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, menjalankan program kemahiran tertentu, melaksanakan program bimbingan pelajar di syarikat awam dan swasta sebelum pelajar mereka bergelar siswazah.
BERITA HARIAN, 3 JUN 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan