Oleh TAN SRI ROZALI ISMAIL
Tema Hari Alam Sekitar Dunia tahun ini, iaitu Forests : Nature at Your Service mencerminkan matlamat dunia bagi menjadikan hutan sebagai nadi untuk pembangunan lestari serta ekonomi berasaskan hijau. Sehubungan itu, langkah ini adalah tepat serta sejajar dengan kesedaran masyarakat kini mengenai kepentingan menghijaukan dan memakmurkan lagi muka bumi ini. Di Malaysia, terdapat beberapa inisiatif yang dilancarkan bagi memberikan pengetahuan serta pendedahan meluas mengenai peranan setiap individu serta organisasi berkaitan kepentingan alam sekitar. Terkini, kerajaan memperkenalkan beberapa insentif kepada syarikat yang mengadaptasi ‘teknologi hijau’ di dalam operasi seharian mereka bagi menggalakkan lagi penggunaan konsep ini di masa hadapan. Skim dana sebanyak RM1.5 bilion juga diperuntukkan bagi tujuan ini, termasuk diskaun yang akan ditanggung oleh pihak kerajaan di samping jaminan pembiayaan yang lebih tinggi.
Di samping itu, sebagai salah satu komitmen kerajaan bagi memperkasakan teknologi hijau di Malaysia, pihak kerajaan juga menyasarkan pengurangan pengeluaran karbon dioksida sebanyak 40 peratus pada tahun 2020. Bagi peringkat negeri pula, beberapa program dilancarkan, seperti Hari “Tanpa Beg Plastik”, sejak Januari tahun lalu. Sebagai permulaan, para pengguna dikehendaki membawa beg sendiri jika mahu membeli-belah pada hari Sabtu di pasar raya-pasar raya atau gedung-gedung terkemuka. Di peringkat global pula, beberapa kajian dan penilaian yang dilaksanakan oleh beberapa pihak berkepentingan, bagi menggalakkan serta mempromosikan penggunaan teknologi hijau secara menyeluruh. Pada April lalu, syarikat Siemens melalui Economic Intelligence Unit (EIU), mengeluarkan satu laporan penilaian yang dinamakan Indeks Kehijauan Asia (Asia Green Index). Laporan indeks ini bertujuan menilai prestasi persekitaran bagi 22 bandar-bandar utama di serantau Asia, termasuk Kuala Lumpur.
Menurut laporan itu, persekitaran di Kuala Lumpur secara keseluruhannya adalah sederhana, sama seperti bandar raya ternama Asia iaitu Beijing, Shanghai, Guangzhou, Delhi, Bangkok dan Jakarta. Walau bagaimanapun, jika dilihat secara terperinci, aspek-aspek pengangkutan dan kualiti udara bagi Kuala Lumpur adalah melebihi tahap sederhana. Sebagai rakyat Malaysia, kita boleh berbangga dengan pencapaian ini memandangkan sistem pengangkutan serta kualiti udara di Kuala Lumpur diletakkan sama taraf dengan Tokyo, Singapura, Hong Kong, Taipei dan Yokohama. Bagi aspek penggunaan tanah dan bangunan serta tadbir urus alam sekitar pula, prestasi Kuala Lumpur adalah sederhana sama seperti Beijing, Delhi, Guangzhou, Jakarta dan Nanjing. Selain itu, laporan itu juga menyatakan beberapa perkara yang perlu diperbaiki serta diambil perhatian, terutamanya di dalam aspek bahan buangan serta air.
Penilaian bagi Kuala Lumpur bagi kedua-dua aspek ini adalah di bawah paras bawah sederhana. Walau bagaimanapun, keputusan itu bukanlah sesuatu mengejutkan, terutamanya bagi mereka yang terlibat di dalam industri air. Sebagai sebuah negara tropika, Malaysia mempunyai sumber air yang pelbagai, merangkumi sungai dan alur, tasik, kolam, takungan air, air bumi, mata air dan telaga. Kita juga menerima taburan hujan yang banyak sepanjang tahun, terutamanya pada Oktober hingga Mac. Jumlah hujan yang banyak ini kerap mengakibatkan banjir. Oleh itu, secara dasarnya, masyarakat kita kurang menghargai air jika dibandingkan dengan mereka yang tinggal di negara-negara yang mengalami kekurangan atau ketandusan air, seperti Afrika Selatan serta kawasan-kawasan gurun. Kita perlu ingat bahawa meskipun sumber air di Malaysia tidak akan pupus, tetapi sumber air mentah yang selamat digunakan kini semakin berkurangan.
Salah satu puncanya adalah pencemaran sungai. Perkara ini menyebabkan masalah pencemaran yang membabitkan sumber air negara kita. Mengikut kajian pada 2007, hanya 20.7 peratus sungai di Semenanjung dianggap bersih, di mana 19,000 tan sisa beracun telah dibuang di tapak pelupusan sampah setiap hari, dan tidak kurang 70 peratus daripadanya terletak berhampiran sungai. Proses urbanisasi yang disebabkan oleh pembangunan pesat negara juga merupakan salah satu punca sumber bekalan air bersih ini semakin berkurangan. Ini adalah kerana proses urbanisasi serta pembangunan pesat, terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, membawa kepada perubahan penggunaan tanah bagi menampung keperluan kegiatan ekonomi, kemudahan-kemudahan sosial serta lain-lain prasarana berkaitan. Perubahan penggunaan tanah ini menyebabkan sungai-sungai terdedah kepada pelbagai tekanan, yang kadangkala tidak dapat ditanggung oleh sungai.
Secara tidak langsung, tekanan ini boleh menyebabkan sistem sungai berubah, bukan sahaja dari segi kualiti tetapi juga kuantiti. Berbalik kepada laporan penilaian Indeks Kehijauan Asia mengenai isu bahan buangan dan air di Kuala Lumpur, bagaimanakah kita boleh memperbaiki kedudukan di dalam penilaian tersebut untuk tahun-tahun seterusnya? Berdasarkan laporan indeks EIU, negara-negara maju dan kaya mempunyai peruntukan dana yang tinggi bagi memantapkan polisi serta inisiatif berkaitan alam sekitar. Yokohama merupakan satu contoh yang baik di dalam mendukung inisiatif hijau ini. Dengan pendapatan per kapita sebanyak US$30,200, ia mampu memberikan sistem subsidi yang dianggap sebagai ‘pemurah’ kepada para pemilik kenderaan elektrik. Subsidi ini merupakan insentif kepada penduduknya untuk membeli kenderaan elektrik, sekali gus dapat mengurangkan asap dari kenderaan yang menggunakan bahan bakar seperti petrol atau diesel.
Selain Yokohama, Singapura yang merupakan bandar keempat terkaya di Asia juga menggalakkan penggunaan teknologi hijau ini, terutamanya di sektor industri. Singapura, yang mempunyai pendapatan per kapita US$36,500, berupaya menyediakan belanjawan tinggi bagi menyediakan prasarana terbaik bagi sektor industrinya, yang merupakan punca pendapatan utama kepada Singapura. Selain itu, aspek penguatkuasaan bagi peraturan yang ditetapkan juga perlulah diberi penekanan. Ini adalah kerana pelaksanaan bagi peraturan-peraturan yang ditetapkan adalah kurang efektif tanpa penguatkuasaan. Singapura yang menduduki tangga keempat di dalam Transparency International‘s Corruption Perception Index, mempunyai penjawat awam terlatih yang mempunyai reputasi tinggi di dalam aspek ketelusan. Ini membolehkan Singapura menjadi lebih menarik di mata para pelabur asing yang berminat untuk melabur di negara berkenaan bagi jangkamasa panjang.
Pendekatan proaktif juga boleh diambil dengan mewujudkan tanda aras serta merujuk arah aliran terkini berkaitan polisi alam sekitar, yang dirancang atau dilaksanakan oleh negara-negara membangun di Asia. Di dalam aspek air, contohnya, inisiatif-inisiatif pemeringkatan pemeliharaan sumber air telah dilaksanakan di negara-negara Asia antaranya:- “Hanoi: memperuntukkan 70 peratus dari kawasan bandarnya sebagai ruang untuk pokok dan air. “Yokohama: memperkenalkan program latihan kepada pakar-pakar air dari negara-negara membangun. Program ini dilancarkan setelah mendapat manfaat daripada para jurutera British yang memberikan bantuan teknikal kepada mereka sejak tahun 70-an. “Nanjing: menaikkan tarif air sebanyak 12 peratus. Dengan kenaikan ini, adalah diharap agar para pengguna akan menggunakan air dengan lebih berhemah. “Beijing: menggalakkan pemasangan meter air di kawasan-kawasan kediaman serta kilang-kilang.
“Hong Kong: membaikpulih serta menggantikan 3,000 km daripada 7,700 km rangkaian paip air utama sehingga 2015. Sebanyak US$2.5 bilion diperuntukkan bagi tujuan ini. “Delhi: mewujudkan Unit Penyiasatan dan Pengesanan Kebocoran Air. Kini, Unit tersebut menggunakan perkakasan elektronik yang lebih canggih dan moden, agar kebocoran air dapat dikesan dengan lebih cepat serta efektif. “Seoul: melancarkan ‘Green Seoul Citizen Committee’ pada 1995, yang bertujuan menggalakkan masyarakat tempatan terlibat secara langsung di dalam pembangunan polisi alam sekitar. Jawatankuasanya dipengerusikan oleh Datuk Bandar Seoul sendiri, dan hingga kini mempunyai 100 ahli daripada organisasi bukan kerajaan dan pihak swasta. “Kuala Lumpur: Skim dana sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan. Pihak kerajaan juga akan menanggung diskaun-diskaun serta memberi jaminan pembiayaan yang lebih tinggi bagi organisasi yang mengadaptasi teknologi hijau. Selain itu, pihak kerajaan menyasarkan pengurangan pengeluaran karbon dioksida sebanyak 40 peratus pada tahun 2020.
Merujuk kepada inisiatif itu, pihak kerajaan perlulah mempertingkatkan lagi usaha-usaha untuk memperkenalkan lebih banyak program yang berkonsepkan ‘hijau’ serta ‘mesra alam’, terutamanya dalam aspek berkaitan bahan buangan dan air. Selain itu, dengan adanya program yang ‘mesra alam’ ini, kita akan dapat menampung keperluan sofistikated masyarakat di masa akan datang, yang didorong oleh urbanisasi, di samping memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia di mata dunia. Akan tetapi, adakah dengan memperkenalkan beberapa program sahaja sudah mencukupi? Bolehkah kita mendabik dada dan menyatakan bahawa kita telah memberikan sumbangan yang sewajarnya kepada alam sekitar? Selain pelaksanaan dasar yang digubal, aspek penguatkuasaan juga perlulah diberi penekanan oleh pihak kerajaan. Jika kita renungkan semula, secara amnya, salah satu punca kegagalan pelaksanaan sesuatu dasar adalah kurangnya aspek penguatkuasaan.
Di negara-negara maju, rakyat mereka takut untuk melakukan sebarang kesalahan, contohnya memandu melebihi had laju yang telah ditetapkan - mengapa? Penguatkuasaan yang ketat adalah salah satu faktornya, dan tiada kompromi kepada pesalah. Juga, pernahkah terlintas di fikiran kita bahawa budaya atau cara hidup rakyat Malaysia merupakan faktor penyumbang kepada kegagalan ini? Walau sehebat mana dasar atau program yang diperkenalkan, aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebagai 20 bandar utama di dunia yang sesuai didiami pada tahun 2020 tidak akan tercapai jika kita hanya mengharapkan pihak kerajaan semata-mata untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
TAN SRI ROZALI ISMAIL ialah Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan