Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Para pelajar tentunya sedang enak menikmati hari-hari cuti pertengahan penggal Tahun 2011 yang bermula pada hari Jumaat lepas. Bagi adik-adik pelajar yang berbangsa Dayak di Sarawak sudah tentu tidak sabar-sabar lagi untuk merayakan Perayaan Hari Gawai Dayak. Begitu juga dengan suku kaum Kadazan Dusun di negeri Sabah yang bakal meraikan Pesta Tadau Keamatan. Itulah warna-warnai masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Bagi para guru pula, dalam waktu cuti sebegini memang sibuk dengan urusan menanda dan menyemak kertas jawapan pelajar terutamanya guru-guru Bahasa Malaysia STPM seperti Cikgu Zul ini. Orang lain sibuk bercuti, kita pula terpaksa bersengkang mata menyemak kertas di rumah. Kadang-kadang, terkilan juga dengan kata-kata jiran dan rakan yang bukan guru yang selalu berkata kerja guru ini senang sebab banyak cuti. Mereka sebenarnya tidak memahami! Sepanjang 15 tahun menjadi guru, Cikgu Zul tidak pernah menikmati cuti yang sebenar-benarnya kerana dihambat oleh kerja yang bertimbun pada setiap masa.
Anak-anak didik tersayang,
Pada kesempatan ini Cikgu Zul hendak mengulas satu topik iaitu "Jangan Mudah Dipengaruhi". Pada usia remaja, kita mudah sangat percaya kepada rakan sebaya sehingga ada di kalangan kita yang rela menjadi hamba kepada rakan kita. Setiap perbuatan, pertuturan, perancangan, dan cadangannya kita ikut dengan penuh taatsetia tanpa mempersoalkan baik buruk tindakan yang kita lakukan itu. Lantaran terlalu percayakan kawan kita sanggup terjun ke dalam lautan dalam walaupun tidak tahu berenang demi menghargai persahabatan kita dengannya. Akhirnya, kerana terpengaruh kita sendiri jugalah yang terpaksa menanggung akibatnya. Kawan ajak ponteng kita pun ponteng. Kawan ajak bising, kita pun buat bising. Kawan ajak lepak dengan rela hati kita jadilah kaki lepak. Kawan jadi kutu rayau, kita pun turut sama jadi kutu rayau. Kita seolah-olah macam sudah terkena minya pengasih sehingga menganggap kawan sebagai raja yang mesti diturut katanya pada setiap masa.
Orang yang mudah dipengaruhi sebegini, lama-kelamaan tidak dapat berdikari. Mereka akan menjadi insan yang lemah dan mudah diperdaya. Mereka tidak mampu berfikir dengan kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Hidup mereka akan ditentukan oleh orang lain. Sedihkan jadi orang macam ini? Walaupun berpendidikan tinggi, orang seperti ini sukar untuk berubah kerana dia mudah goyah dengan rayuan dan hasutan disekelilingnya. Sepatah kata orang itulah yang akan diikutinya sehingga nak beli baju pun kena tanya orang lain apakah warna yang sesuai dengan dirinya? Tabiat sedih ini biasanya bermula di alam persekolahan kerana pada waktu itulah kita berjumpa dengan banyak orang yang pelbagai fill dan ragam. Jika tersalah pilih kawan kita akan menjadi mangsa untuk dipersenda dan diperguna secara halus oleh orang lain. Biar kita lihat, budaya buli dan samseng di sekolah yang melibatkan sekumpulan pelajar. Perancangnya hanya seorang tetapi konco-konconya lebih daripada itu. Mereka inilah yang Cikgu Zul kata sebagai orang yang tiada pendirian dan senang dipengaruhi oleh orang lain.
Anak-anak didik yang dikasihi,
Jika sewaktu muda kita menjadi begitu, apabila memasuki alam pekerjaan dan berumahtangga kita pasti juga akan jadi sebegitu kerana sikap tidak baik ini sudah mendarahdaging dalam diri kita. Guru mengajar dan mendidik kita dengan susah payah supaya kita menjadi insan yang berpendirian, yakin diri, berilmu dan bersahsiah mulia. Bayangkan kalau ibu yang melahirkan kita dan ayah yang bersusah payah menyara keluarga kita biarkan tersadai di rumah orang tua kerana kita terpengaruh dengan kata-kata pasangan kita yang tidak mahu menjaga mereka. Bayangkan sebuah keluarga yang mempunyai harta pusaka akhirnya hidup merempat dan melarat kerana termakan dengan hasutan syaitan di sekeliling mereka. Bayangkan adik-beradik kandung bermusuhan sesama sendiri lantaran mudah dilaga-lagakan orang lain. Semua ini berpunca daripada kelemahan diri kita sendiri yang membiarkan minda kita dikuasai oleh orang lain semasa remaja.
Harapan Cikgu Zul, jadilah remaja yang berjiwa kental yang tidak lemah minda dan rapuh jiwa. Jangan biarkan orang lain menakluki diri kita dengan nilai-nilai negatif yang boleh memunahranahkan rasa hormat orang lain terhadap diri kita. Sekali kita membiarkan minda kita dijajah, selama-lamanya kita akan dijajah sehingga kita rebah dan lemah walaupun nadi masih berdenyut kencang. Berusahalah untuk menjadi yang terbaik dan memberikan yang terbaik kepada diri, keluarga, bangsa, dan negara sementara kita masih berpeluang menghirup udara segar di bumi ini. Jangan jadikan diri kita seperti bola yang ditendang sesuka hati sehingga kempis, renyuk, bocor dan berlubang yang akhirnya menjadi sampah dan tidak diperdulikan. Semasa masih remaja dan dibangku sekolah, gunakan masa yang ada untuk membina personaliti diri yang unggul dan bertaraf dunia. Mintalah bantuan guru kerana gurulah pendidik anda yang terbaik!
Ikhlas daripada :
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart, Sibu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan