10 Disember 2012

ISU UMUM : ANTARA TRANSFORMASI EKONOMI DAN RASUAH


Rencana ini ditulis oleh :
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Dan Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi, Universiti Utara Malaysia

\

Perdana Menteri Greece, Antonia Samaras ketika ditemu bual oleh akhbar Jerman baru-baru ini, telah mengungkapkan perkataan transformasi yang "menakjubkan" bagi menggambarkan pembaharuan yang bakal beliau laksanakan untuk berusaha mencipta kejayaan Greece. Ini tidak menghairankan kerana sejak tiga tahun kebelakangan ini Greece telah terjerumus ke lembah krisis ekonomi paling teruk dalam sejarahnya. Tidak ada cara lain yang boleh dilaksanakan bagi memulih semula ekonominya selain melaksanakan transformasi yang menakjubkan. Akibat krisis ekonomi, Greece dibelenggu jumlah hutang yang terlalu tinggi. Jumlah hutang inilah yang perlu diurus secara mampan agar Greece tidak selama-lamanya menjadi sebuah negara yang miskin di dunia.

Diakui, krisis ekonomi yang teruk melanda Greece telah menyebabkan Greece jatuh ke kedudukan yang lebih rendah dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) 2012. Greece berada di kedudukan ke-94, lebih bawah daripada negara seperti Bulgaria dan sudah semestinya terlalu jauh berbanding negara kita yang berada di kedudukan ke-54 indeks rasuah tersebut. Bagi negara-negara yang berada di kedudukan tertinggi seperti Denmark, Finland, New Zealand, Sweden, Singapura, Switzerland, Australia dan Norway rata-rata negara-negara ini adalah negara maju ekonominya. Dengan perkataan mudah, salah satu strategi yang paling ampuh untuk membanteras gejala rasuah pada tahap terbaik adalah dengan menjayakan transformasi ekonomi secara besar-besar sehingga mencapai taraf negara maju.

Di Malaysia, kerajaan telah meletakkan batu asas yang kukuh dengan memperkenalkan transformasi ekonomi melalui Model Baru ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tambahan lagi, transformasi ekonomi disokong dengan Program Transormasi Kerajaan (GTP). Kerajaan juga telah, sedang dan akan melaksanakan tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang antaranya menangani kos sara hidup rakyat dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar. Kesemua ini telah banyak membantu menangani rasuah seperti mana yang disasarkan dalam NKRA menangani rasuah. Secara logiknya, negara yang kaya dan kekayaan ini diagihkan secara saksama kepada seluruh rakyat akan menjadikan kehidupan rakyatnya lebih selesa berbanding negara-negara lain. Ada juga negara yang kaya raya melalui hasil bumi seperti minyak dan gas, namun, rakyatnya serba miskin angkara agihan kekayaan negara yang tidak dibuat dengan adil dan saksama.

Negara-negara inilah yang kita boleh lihat sejak kebelakangan ini berada dalam keadaan yang kacau bilau dengan rakyatnya memberontak saban hari. Pada asasnya, bekas pemimpin negara tersebut terlalu tamakkan kekayaan negara dan hasil kekayaan tersebut dibolot oleh dirinya, keluarga dan kroni-kroni. Apabila majoriti rakyat adalah miskin, maka mahu tidak mahu mereka terdesak untuk melakukan kesalahan seperti rasuah dan penyelewengan kuasa. Dengan perkataan lain, seseorang pemimpin negara berperanan besar selaras amanah yang diberikan kepadanya untuk memajukan ekonomi negara dan pada masa yang sama mengagihkan kekayaan tersebut secara saksama meliputi seluruh rakyatnya tidak kiralah sama ada penyokong mahupun pihak-pihak yang menentangnya.

Pemimpin tersebut pula sudah semestinya disokong oleh satu sistem tadbir urus negara yang baik seperti sistem kehakiman yang cekap dan terdapat jurang hubungan di antara kerajaan dan komuniti bisnes. Umpamanya di Malaysia penubuhan 14 Mahkamah Seksyen Khas Rasuah telah mempercepatkan penyelesaian kes rasuah di samping mengurangkan kes yang dibuang ekoran tidak cukup bukti. Selain itu, kerajaan sebagai pemudah cara komuniti bisnes seperti usaha yang dilaksanakan oleh Unit Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) telah banyak mengurangkan hubungan kerajaan terlibat secara langsung dalam perniagaan. Tambahan lagi, konsep pemudah cara telah merancakkan lagi sektor swasta sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia. Suatu ketika dahulu, kerajaan berperanan utama dalam merancakkan ekonomi Malaysia tetapi peranan ini telah diambil alih oleh sektor swasta.

Apabila peranan peneraju ekonomi negara diketuai oleh sektor swasta, ia telah mengurangkan peluang pihak-pihak tertentu untuk terlibat dalam gejala rasuah. Satu perkara yang cukup menarik yang berlaku di Malaysia sejak akhir-akhir ini adalah rakyat Malaysia semakin mengambil berat peranan Jabatan Audit Negara. Laporan Ketua Audit Negara pula ditunggu-tunggu oleh rakyat sebagai pembayar cukai negara. Perkara ini tidak pernah berlaku sepuluh tahun yang lalu. Ketika itu, rakyat tidak begitu mengambil berat tentang Laporan Ketua Audit Negara. Sikap rakyat yang semakin prihatin telah menyebabkan tansformasi sektor awam ke arah lebih berakauntabiliti kepada rakyat berbanding dahulu. Kerja-kerja yang dahulunya disiapkan berbulan-bulan lamanya kini telah berjaya disiapkan dalam tempoh beberapa jam sahaja telah berjaya meningkatkan produktiviti negara seterusnya mengurangkan kes-kes rasuah di kalangan kakitangan awam.

Kecekapan dan keberkesanan (E&E) sektor awam telah banyak membantu melonjakkan keyakinan para pelabur sedia ada dan bakal pelabur yang ingin melabur di Malaysia. Cuba bayangkan dengan kombinasi transformasi ekonomi yang menakjubkan dan E&E sektor awam beserta tadbir urus kerajaan yang baik akan menghasilkan sebuah negara yang maju, aman dan adil pengagihan ekonominya, seterusnya gejala rasuah dapat ditangani sebaik mungkin.

Sumber
Utusan Malaysia
10 Disember 2012

ISU PENDIDIKAN : KREATIVITI, INOVASI DALAM PENDIDIKAN


Rencana ini ditulis oleh :
Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom


Ada yang bertanya kepada saya jika kreativiti dan inovasi penting dalam pendidikan, mengapa ia tidak dijadikan sebagai mata pelajaran dan kurikulumnya diajar dalam bilik darjah. Jawapannya, kreativiti dan inovasi tidak boleh diajar tetapi ia boleh diterap secara tidak langsung melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara terancang. Dengan kata lain apa sahaja mata pelajaran kedua-dua elemen itu boleh diajar oleh guru melalui pendekatan pengajaran yang berpusat kepada murid atau student centre. Pengajaran berpusat kepada murid maksudnya pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara dua hala iaitu guru mengajar dan murid belajar. Guru dikehendaki sentiasa mencabar keupayaan berfikir muridnya dengan menggunakan pelbagai teknik mengajar dan alat bantu pengajaran yang menarik minat murid.

Mempelbagaikan aktiviti pembelajaran seperti kuiz, forum, syarahan, bahas, membuat projek, kerja berkumpulan dan tugasan luar bilik darjah sangat digalakkan. Aktiviti tersebut akan menggalakkan murid berfikir, berbincang, membuat rujukan, menyediakan nota dan menghasilkan tugasan tersebut. Ini akan menggalakkan percambahan idea dan dapatan baru yang melibatkan unsur-unsur kreativiti dan inovasi di kalangan murid. Sesungguhnya murid yang kreatif dan inovatif akan menjadi seorang yang sentiasa berfikir, ingin mencipta, bercita-cita besar, berani dan yakin kepada diri sendiri. Inilah ciri-ciri murid yang perlu kita lahirkan untuk menjadi warganegara bagi menghadapi cabaran masa depan terutama dalam memasuki era 2020. Bagi menanganinya tidak menghairankan mengapa kerajaan berbelanja besar dalam Bajet 2013 untuk pendidikan.

Di samping itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Pelajaran bagi melaksanakan aktiviti latihan guru yang berfokus kepada kemahiran berfikir aras tinggi atau high order thinking skills. Apakah sebenarnya definisi kreativiti dan inovasi itu. Kreativiti ialah suatu bentuk proses pemikiran yang mendorong mengeneralisasi idea baru. Ia melibatkan kombinasi antara idea baru dan idea lama yang diproses semula, membuat pemilihan dan menukar ganti menjadi suatu yang baru. Sementara itu, inovasi pula merupakan suatu idea, amalan atau objek yang dianggap baru dan yang lebih baik. Inovasi dihasilkan oleh manusia kreatif yang dapat membina trend baru dan menggunakan peluang maksimum walaupun dalam ekosistem yang banyak persaingan.

Sebagai contoh jika dulu penggunaan telefon bimbit hanya sebagai alat perhubungan tetapi kini melalui inovasi ia digunakan sebagai alat hiburan, internet, kamera, penyampai maklumat, memberi pandu arah perjalanan dan membuat pelbagai pengiraan. Guru memainkan peranan penting bagi menerapkan kedua-dua elemen dalam pengajaran mereka. Sebagai penyampai ilmu guru perlulah memiliki kemahiran tinggi bagi melakukan transformasi dalam menjana minda murid agar menjadi lebih dinamik. Mempunyai kemahiran sedemikian akan menjadikan guru berada di tahap teratas dan akan disanjung oleh muridnya. Kualiti guru sedemikian akan membolehkan muridnya menguasai berbagai kemahiran lain seperti berfikir aras tinggi, penyelesaian masalah, berkomunikasi dan berkolaborasi dengan baik.

Peranan pengurusan sekolah tidak kurang pentingnya dalam merealisasikan elemen kreativiti dan inovasi dalam kalangan warganya. Dengan perkataan lain pengurusan sekolah juga mesti kreatif dan inovatif agar menjadi organisasi pembelajaran yang bermaklumat, menggalakkan pengembangan pengetahuan baru, berbudaya saintifik, penggunaan teknologi serta ICT secara meluas dan penggunaan tenaga sumber secara maksimum. Pengetua dan Guru Besar bersama pengurusan tertinggi di sekolah bertanggungjawab bagi mencetuskan budaya kreativiti dan inovasi sama ada di kalangan guru atau murid. Sekolah mestilah menjadi institusi yang menggalakkan tercetusnya pendapat dan idea baru. Bagi mewujudkan suasana tersebut sekolah perlu mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengurusan dan memberi ruang kebebasan berkarya kepada warganya.

Pihak pengurusan juga perlu menjadikan iklim sekolah yang sentiasa ceria, bersih, kemas dan bermaklumat. Sikap terbuka, mesra dan berperanan sebagai penyelesai masalah akan menjadikan guru dan murid merasa gembira dan selamat semasa mengikuti aktiviti pembelajaran. Bagi mewujudkan suasana sedemikian pengurusan sekolah perlulah memastikan berlaku sistem komunikasi dua hala, pengaliran maklumat lebih demokratik, stail kepimpinan yang berhemah dan pembangunan insan yang harmoni. Kepimpinan sekolah hendaklah terdiri daripada mereka yang berkebolehan dalam menguruskan organisasi pembelajaran. Selain mendapat latihan, berpengalaman dan pengetahuan yang luas dalam bidang pendidikan mereka perlu mempunyai dorongan dan komitmen yang kuat bagi membawa perubahan kepada sekolah.

Perlu ada visi dan misi, strategi dan perancangan yang baik. Bagi memastikan kejayaan perancangan tersebut mereka perlu mendapat sokongan dan kerjasama yang padu daripada seluruh warga sekolah termasuk ibu bapa. Mempunyai ciri budaya sekolah yang menggalakkan kreativiti dan inovasi akan mendorong semangat belajar yang tinggi di kalangan murid, mempunyai daya usaha sendiri dan sentiasa berusaha mengembangkan potensi ke arah yang lebih baik. Dengan bimbingan dan sokongan guru-guru yang dedikasi, terlatih dan profesional usaha yang dilakukan oleh murid akan membuahkan kejayaan nanti. Keberkesanan sekolah akan terserlah jika mereka dapat menggunakan teknologi dan ICT dalam pengurusan dan dalam bilik darjah. Sebenarnya teknologi tidak dilihat sebagai alat semata-mata tetapi boleh menjadikan sistem pengurusan lebih efisien dan berkesan.

Penggunaan ICT secara meluas dapat membina imej baru dalam pengurusan organisasi yang berprestasi tinggi. Ia akan menjadikan sekolah lebih berdaya saing dan menjadi lebih produktif. Seperti yang ditegaskan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam majlis Perhimpunan Khas Guru Malaysia pada 3 November lepas bahawa; "Guru perlu meneliti semula amalan bilik darjah yang sesuai dengan ciri serta situasi murid sekarang. ''Kreativiti dan inovasi amat dituntut untuk melahirkan generasi murid berfikiran kelas pertama dalam abad ke-21 ini untuk bersaing dalam abad penuh cabaran ini kita tiada pilihan kecuali meningkatkan keupayaan kreativiti dan inovasi. Dalam senario ini tugas guru semakin mencabar."

Sumber
Utusan Malaysia
10 Disember 2012

08 Disember 2012

ISU GLOBAL : SAMPAI BILA ISREAL DIBIAR MENYEMBELIH PALESTIN?


Rencana ini ditulis oleh :
NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Konflik berterusan antara dunia Arab, khususnya warga Palestin dan bangsa Yahudi yang menubuhkan negara haram Israel di atas tanah mereka nampaknya tidak akan berakhir dalam hayat generasi yang hidup kini. Sejak penjajahan yang meragut jutaan nyawa demi penubuhan Israel pada 1948 di tengah-tengah dunia Arab, orang Yahudi tidak dapat diusir lagi mahupun disabitkan atas sebarang jenayah dan kekejaman terhadap penduduk Palestin. Bukannya kerana tiada kerajaan Arab yang mahu bertindak tetapi jajahan Zionis itu dilindungi oleh kuasa-kuasa besar dunia. Warga Palestin sebenarnya terdiri daripada pelbagai puak yang beragama Islam, Kristian, Yahudi dan agama-agama lain sementara pendokong fahaman Zionisme pula rata-ratanya dilihat adalah bangsa Yahudi yang lari daripada penindasan di Barat.

Sejak perang Arab-Israel 1948, banyak siri serangan balas antara kedua belah pihak berterusan sebelum reda untuk seketika dan bermula semula. Antaranya krisis Suez 1956 yang menyaksikan Israel menduduki Semenanjung Gaza dan menghalau kerajaan Palestin ketika itu. Penubuhan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pada 1964 oleh Allahyarham Yasser Arafat menerima sokongan kuat negara-negara Arab tetapi perang enam hari pada 1967 membantutkan usaha nasionalisme PLO. Israel sekali lagi menawan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, sekali gus menyekat PLO daripada membentuk sistem pentadbiran sendiri di bumi Palestin, sekali gus memaksa anggota pertubuhan itu melarikan diri ke Jordan sebelum berpindah ke selatan Lebanon. PLO meneruskan tentangan dari Lebanon menyebabkan serangan balas dan penjajahan penuh negara itu oleh Israel pada 1978.

Selepas berundur, Israel menyokong pihak lawan PLO di Lebanon menyebabkan bermulanya perang saudara 1982 sehingga memaksa PLO berpindah ke Tunisia tetapi langkah itu turut memulakan konflik antara rejim zionis itu dengan Syria. Walaupun Israel berundur ke 10 kilometer sempadan Lebanon yang dijajah pada 1985, serangan daripada kumpulan Syiah yang disokong Iran mula meningkat seterusnya membawa kepada kebangkitan rakyat Palestin melalui Intifada pertama antara 1987 hingga 1993. Intifada pertama itu menyaksikan penentangan besar-besaran terhadap penjajahan Israel serta 'pembersihan' perisik Yahudi dalam kalangan penduduk Palestin. Selepas 1,100 warga Palestin dibunuh tentera Zionis, 1,000 rakyat Palestin yang dilabel pengintip terbunuh dan 164 warga Israel terkorban, Perjanjian Oslo ditandatangani kedua belah pihak pada 1993 yang akhirnya membolehkan PLO membentuk kerajaan sendiri di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Namun, penentangan usaha damai menyaksikan kumpulan seperti Hamas meneruskan serangan kecil ke penempatan Yahudi sementara di Israel, Presiden Yitzhak Rabin dibunuh seorang fanatik Yahudi menyebabkan kerajaan Zionis menarik diri daripada rundingan damai pada 1996. Tanpa rundingan yang berjaya, Intifada kedua bermula pada September 2000 dan berlanjutan sehingga 2005, menyaksikan lebih 7,000 nyawa terkorban termasuk lebih 6,000 warga Palestin, kira-kira 1,000 Yahudi dan lebih 60 orang warga asing. Konflik terbuka antara pihak berkuasa Palestin dan tentera Israel itu menyebabkan penduduk Yahudi di Gaza dipindahkan ke wilayah lebih selamat pada 2005 tetapi Israel tetap enggan melepaskan Gaza daripada genggamannya. 

Setahun selepas itu, Hamas memenangi pilihan raya di Gaza dan memulakan pergeseran baru dengan Israel yang memulakan sekatan laut ke wilayah tersebut sementara sekatan darat dibuat dengan kerjasama Mesir di pintu masuk ke Gaza. Konflik berterusan antara Israel dan Hamas yang menerima bantuan serta sokongan Iran memuncak dalam Perang Gaza pada 2008 yang berlanjutan sehingga Februari 2009, meragut 2,000 nyawa penduduk awam. Usaha pihak berkuasa Palestin untuk menjadi ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2011 gagal tetapi usaha tersebut diteruskan pada 2012 dan kini dipercayai menjadi punca Israel melancarkan serangan besar-besaran terbaru ke Genting Gaza.

Sumber
Utusan Malaysia
1 Disember 2012

ISU EKONOMI : SEBARKAN FAKTA EKONOMI SEBENAR


Rencana ini ditulis oleh :
NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Malaysia kini berada di tangga ke-12 dalam senarai kemudahan urus niaga; nombor 25 dalam indeks kompetitif, di tempat kesembilan sebagai destinasi pelancongan utama; pelindung pelaburan keempat terbaik; dan nombor satu untuk kemudahan kredit. Ini bukan sahaja meletakkan negara mengatasi negara maju seperti Jepun, Jerman, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) Sweden dan Itali malahan lebih baik daripada Thailand, China, Bahrain, Itali dan India. Sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar lima peratus juga berjaya dilepasi pada kadar semasa 5.2 peratus, lebih baik daripada KDNK Singapura, AS mahupun Korea, di samping pengiktirafan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam ulung dunia.

Kadar pengangguran semasa pula cuma sekitar tiga peratus sahaja berbanding 9.7 peratus di AS, sementara pelaburan swasta meningkat 22 peratus dan Indeks komposit Bursa Malaysia pula mencecah 1,600 mata atas kepercayaan pelabur seluruh dunia. Malaysia juga mempunyai hutang pada kadar 53.7 peratus berbanding KDNK tetapi jumlah itu jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan AS (73.6 peratus), Singapura (105.7 peratus) dan Jepun yang mencecah 219 peratus. Defisit fiskal pula pada kadar 4.5 peratus sahaja, jauh lebih baik daripada India, Sepanyol, AS, UK dan Jepun, malahan kerajaan akan cuba merendahkan lagi kadar itu kepada tiga peratus kelak. Walaupun masih banyak fitnah dan suara sumbang yang menuduh negara dalam keadaan begitu teruk kini, fakta-fakta tersebut membuktikan kedudukan ekonomi negara kukuh dan berjaya hasil usaha pentadbiran bijaksana para pemimpin sejak 55 tahun negara merdeka.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh dalam mengemukakan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 antara lain menetapkan sokongan para perwakilan terhadap program transformasi inklusif yang dilaksanakan secara saksama untuk semua kaum. Sokongan turut dinyatakan terhadap falsafah pembangunan negara dan Model Baharu Ekonomi (MBE); Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang memberi kesan positif kepada ekonomi bumiputera; serta sokongan padu untuk pelbagai program rakyat di bawah jenama 1Malaysia. Usul itu turut menyeru pengukuhan agenda bumiputera melalui pusat sehenti di peringkat nasional dan wilayah untuk syarikat bumiputera serta menggesa syarikat milik kerajaan (GLC) melaksanakan agenda pembangunan ekonomi bumiputera dengan bersungguh-sungguh, bukan sekadar program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sahaja.

Tidak dilupakan, pendapatan tinggi dan peluang kerja untuk golongan muda dalam sektor awam mahupun swasta di samping memperkasakan skim pembiayaan mikro yang terbukti banyak membantu usahawan bumiputera. Idris yang juga Pengerusi Mara menegaskan, Malaysia kini telah menjadi satu 'jenama' dan dunia memperakui ekonomi negara ditadbir dengan baik oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) selama ini. "Kita telah mencipta nama tersendiri. Kerana negara ditadbir dengan baik, rakyat juga kini hidup sejahtera khususnya melihat kepada kemampuan rakyat berbelanja. Sekitar RM1 bilion dibelanjakan rakyat setiap tahun dalam mengerjakan umrah, anak-anak mampu dihantar belajar di luar negara, boleh beli kereta, bina rumah dan menjalankan ibadah korban sehinggakan boleh dihantar kepada penduduk Islam di negara lain," katanya.

Selain bantuan rakyat dalam aspek pendidikan, kesihatan, perumahan dan banyak lagi, beliau menjelaskan Perdana Menteri turut melancarkan Indeks Kesejahteraan baru-baru ini yang merangkumi aspek kehidupan seperti nilai-nilai murni, alam sekitar, perpaduan, tangani kemiskinan dan sebagainya. Walaupun dunia telah mengakui kecekapan pentadbiran kerajaan, beliau berharap rakyat sendiri menyedari fakta tersebut melihat angka dan fakta sebenar kerana angka-angka tersebut tidak boleh menipu. "Perbandingan melalui angka-angka itu jelas menunjukkan prestasi pentadbiran ekonomi negara, jadi tak guna terus menjaja kononnya negara kita teruk sangat. Kadar pertumbuhan, pengangguran, KDNK, semua tunjuk perkara sama, kita dalam keadaan baik dan mungkin lebih baik daripada sesetengah negara-negara utama lain," ujarnya.

Tambahnya, pegangan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara juga telah bertambah hasil pelbagai program oleh Teraju dan agensi kerajaan yang lain. Namun, beliau mengingatkan rakyat agar memahami sebarang bentuk perancangan dan program akan mengambil masa untuk menampakkan hasil. "Projek-projek besar yang digerakkan menunjukkan komitmen kerajaan terhadap agenda ekonomi bumiputera tidak boleh dipertikai lagi, tetapi semua itu memakan masa untuk menunjukkan hasil yang diharapkan. Bagaimanapun, agenda bumiputera juga tidak boleh berjalan tanpa pembangunan dalam ekonomi negara, kedua-duanya perlu selari dan kerana itu kita bukan sekadar menekankan ekonomi bumiputera sahaja," tegasnya. Walaupun kerajaan menyatakan komitmen untuk terus membantu ekonomi bumiputera, Idris berharap usahawan bumiputera sendiri mempunyai komitmen untuk berjaya atau semuanya akan sia-sia.

Berkaitan peranan GLC, beliau berpendapat warga korporat tidak boleh disalahkan kerana dilihat kurang bersungguh-sungguh membantu agenda ekonomi bumiputera. "Mungkin mereka tidak begitu nampak perkara itu sebagai fokus utama, tidak boleh salahkan mereka. Kita akan berjumpa dan cakap dengan mereka agar agenda ini boleh dijadikan antara objektif utama GLC kelak. Kerana itu saya sebut perkara ini dalam usul tadi (semalam) untuk lebihkan peranan GLC. Jika ekonomi bumiputera menjadi antara objektif utama, ditambah dengan program CSR lagi, semua akan lebih baik," jelasnya. Beliau juga menyatakan keyakinan bumiputera mampu menjadi usahawan berjaya selagi ikhlas sepenuhnya menjadi usahawan tulen, berdisiplin, bersatu hati dan mengurangkan sikap-sikap negatif.

"Halangan itu di mana-mana pun ada. Janganlah mahu kerja senang sahaja, makan bahagian kecil dalam projek tetapi tidak mahu kerjakan projek itu sendiri, perlu ikhlas dan kerja kuat. Sudah jelas ramai usahawan bumiputera yang berjaya kerana mereka ini ada disiplin, kompetitif dan tidak mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata," katanya. Beliau turut menyelar pihak yang mengatakan ekonomi Malaysia tidak inklusif melihatkan begitu ramai 'taikun-taikun' bukan bumiputera yang mengungguli senarai individu terkaya negara. "Kalau kita tidak inklusif, tak mungkin begitu ramai bilionair bukan bumiputera. Bila menyebut agenda ekonomi bumiputera, mungkin ada sikit-sikit isu perkauman dimainkan tetapi bukan bumiputera yang dinamik pasti bersedia berurus niaga dengan usahawan bumiputera. Mungkin kerana rakyat tidak diberikan makluman secukupnya sehinggakan ramai lagi yang mempercayai tuduhan dan penipuan kononnya pentadbiran ekonomi negara begitu teruk selama ini," ujarnya.

Idris turut mencadangkan lebih banyak usaha digerakkan dalam menunjukkan fakta sebenar kepada rakyat terutamanya dalam menyampaikan bukti ekonomi negara telah lama ditadbir dengan baik pemimpin BN. "Kita kena tunjuk perkembangan jangka panjang, selain kejayaan, tunjukkan krisis pada 1970-an, 80-an, 90-an, 2000 dan krisis ekonomi terbaru semuanya melibatkan faktor luaran sedangkan ekonomi dalam negara tetap kukuh. Asasnya balik kepada pembangunan ekonomi, jika ada pertumbuhan, ada kerja dan ada duit. Dengan pembangunan lebih lima peratus setahun itulah kerajaan boleh gerakkan bermacam program untuk kesejahteraan rakyat dan kini semua itu telah diperakui dunia," jelasnya.

Sumber
Utusan Malaysia
1 Disember 2012

16 November 2012

ISU UMUM : RAKYAT PERLU INSAFI BEBAN PERDANA MENTERI


Rencana ini ditulis oleh :
DZULKARNAIN TAIB
Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia dan
bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan.


Kerusi Perdana Menteri merupakan jawatan tertinggi dalam strata pentadbiran negara. Jawatan Perdana Menteri dalam konteks Malaysia adalah sangat unik kerana jawatan tersebut menuntut pertanggungjawaban dari seluruh pihak yang berbeza latar belakang agama, bangsa, budaya, sejarah, bahasa dan orientasi yang bersifat dinamik dan berubah-ubah. Jawatan yang penuh cabaran dan bebanan ini memerlukan seorang yang benar-benar mempunyai kemampuan dan kebijaksanaan untuk memenuhi tuntutan pelbagai pihak yang berbeza kepentingan dan keperluan mereka. Tidak sedikit negara yang meramalkan negara bangsa yang ditubuhkan pada 31 Ogos 1957 ini yang mempunyai struktur masyarakat yang begitu berkecamuk dan carca marba boleh bertahan.

Sebilangan sarjana seperti Profesor Emeritus Clive Kessler, seorang Profesor Kajian Sosiologi dan Antropologi dari Universiti New South Wales, Australia menyebut Malaysia adalah umpama sebutir bom jangka yang menunggu masa untuk meledak. Ini merujuk kepada konteks masyarakat majmuk pelbagai kaum, agama, bahasa, tradisi, budaya, sejarah serta ideologi dan hala tuju. Justeru jawatan Perdana Menteri di Malaysia tidak hanya perlu dilihat dari sudut politik demokrasi sepenuhnya dalam erti kata negara bangsa di Barat. Ini juga menggambarkan watak Bendahara - ingat watak Tun Perak dan seumpama - yang disayangi rakyat dan pada masa yang sama melindungi kepentingan tradisi kenegaraan. Selain memikul tanggungjawab legasi lampau yang diperturunkan oleh Perdana Menteri sebelumnya, Perdana Menteri sekarang juga terpaksa berhadapan dengan persekitaran sosio-politik dunia baru yang amat berbeza dan penuh hambatan.

Inilah senario yang dihadapi oleh Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Dengan mengambil kira semua faktor ini kita boleh merumuskan dengan mudah, bukan calang-galang orang yang mampu memikulnya. Dalam keadaan diasak oleh tanggungjawab semasa yang begitu rencam dan getir serta dihimpit dengan peranan lalu yang wajib juga diteruskan, Perdana Menteri sekarang masih menunjukkan watak yang tenang, mesra dan waras dalam persekitaran sosiopolitik yang membuak-buak. Apakah pemegang jawatan ini harus dibiarkan untuk terus dihambat, dihimpit dan diasak tanpa henti? Serangan dan desakan bertalu-talu yang dilakukan tanpa henti dan silih berganti oleh pihak-pihak berkepentingan di dalam dan di luar kerajaan khususnya kelompok pembangkang tanpa sebarang rasa simpati dan peduli, seharusnya dikendurkan.

Sehubungan itu, penulis berpandangan amanah dan ujian yang dihadapi oleh perdana menteri sekarang tidak terbayangkan duri dan ranjaunya. Adalah diharapkan semua pihak menginsafi suasana yang dihadapi oleh Perdana Menteri dan memberikan beliau, atas prinsip keadilan, kemanusiaan dan keagamaan sedikit masa dan ruang untuk bertafakur dan beristirehat daripada segala kerenah yang menghujaninya. Maka itu kumpulan-kumpulan yang berkepentingan seperti Hindraf, Suaram, Bersih, SIS (Sisters In Islam), PUM, kumpulan anti dan pro-Lynas serta kumpulan anti dan pro-AES perlu bermuhasabah diri dan tidak memilih tindakan kebudak-budakan yang hanya tahu merengek, menjerit, merampus, menunjuk laku dan saling mendesak. Ini juga termasuk pihak-pihak dan individu-individu yang melemparkan idea kontroversi yang mencetuskan ketegangan seperti Melayu boleh tukar agama, kebebasan individu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), dan simpati melulu terhadap fahaman pluralisme agama.

Pandangan pelampau yang menuntut hak royalti minyak yang keterlaluan serta kumpulan minoriti yang mendahulukan kepentingan satu pihak, juga perlu melihat kepentingan kolektif dan nasional di atas segala-galanya. Mereka sebaliknya harus menjadi lebih dewasa dan matang untuk mengusulkan apakah bentuk pendekatan yang boleh dikongsi bersama bagi mencari jalan penyelesaian yang sebaik mungkin. Seandainya semua pihak ingin mendapatkan hak mereka masing-masing dengan mengabaikan keutamaan yang merentasi kepentingan semua pihak, nescaya apa yang kita nikmati sekarang akan berkecai. Sebagai Perdana Menteri, tanpa menafikan perlu dan sahnya segala tuntutan satu pihak tadi, beliau tentunya lebih memikirkan dan menumpukan kepada tanggungjawab kolektif yang jauh lebih besar demi mempertahankan dan melindungi kepentingan bersama yang menjadi asbabul wujud (sebab-sebab keberadaan) negara Malaysia.

Oleh itu adalah menjadi harapan besar agar semua pihak membina jiwa dan pemikiran yang lebih besar untuk meletakkan keutamaan permuafakatan bersama di atas segala-galanya dan mendokong Perdana Menteri dalam melaksanakan tanggungjawab ini.

Sumber
Utusan Malaysia
16 November 2012

ISU GURU : NILAI PENGHARGAAN DALAM PENDIDIKAN


Rencana ini ditulis oleh :
DR. JESSICA ONG HAI LIAW
Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.


Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diumumkan pada Isnin depan. Peperiksaan yang diperkenalkan pada 1987 menggantikan peperiksaan Penilaian Darjah Lima itu merupakan program pengujian untuk menilai pencapaian kognitif pelajar di akhir sekolah rendah di negara ini dan diambil oleh pelajar-pelajar di akhir Tahun Enam pendidikan rendah. Kepada ibu bapa merekalah yang lebih risau menunggu keputusan UPSR berbanding anak-anaknya. Bukan kerana risau lulus atau gagal sangat tetapi lebih kepada berapa A yang dicapai. Adakah berapa A itu sangat penting dalam membentuk jatidiri anak-anak kita pada hari ini untuk menentukan keperibadiannya yang akan berjaya di sekolah menengah nanti? Walau apapun keputusannya, anak-anak kita perlu diberi peluang untuk terus dihargai kerana banyak lagi pengukur kejayaan mereka kelak. Mungkin di sekolah menengah atau di universiti nanti mereka akan lebih berjaya.

Saya sering diasak dengan soalan, kenapa mereka yang cemerlang di sekolah tetapi di tempat kerja tidak secemerlang manapun? Di mana silapnya? Nilai sebuah penghargaan amat besar dan ucapan terima kasih sudah cukup yang menjadi inspirasi kita semua kerana nilai penghargaan memberikan seseorang itu nilai yang menyentuh jiwanya dan memberikan semangat untuk terus berusaha. Menghargai atau dihargai tidak kira usia atau di mana sahaja memberi seribu pengertian. Bidang pendidikan paling sesuai untuk diberi penghargaan kerana ilmu sukar dinilai dengan wang ringgit. Penghargaan sering dikatakan sama dengan ganjaran di mana adanya ganjaran ekstrinsik atau instrinsik dan yang mana lebih penting dalam kehidupan kini di hati anak-anak kita. Ganjaran ekstrinsik meliputi ganjaran kewangan atau ganjaran yang memberi kesan berbentuk material penting untuk memotivasikan anak-anak kita jika berjaya dalam setiap peperiksaan. Sementara itu, ganjaran instrinsik sebagai satu bentuk ganjaran yang tidak boleh dilihat intangible reward atau sebagai ganjaran psikologi.

Kalau hendak mengulas tentang ganjaran memang sukar dinilai dari aspek wang ringgit kerana apa yang diberi bukan kita menunggu untuk menerima sahaja tanpa berusaha. Zaman sekarang, semua melihat kepada ganjaran ekstrinsik meliputi ganjaran kewangan atau ganjaran yang memberi kesan sebagai penting untuk memotivasikan anak-anak kita jika berjaya dalam setiap peperiksaan. Percaturan sebegini dikatakan dapat memberikan semangat kepada mereka sebab nampak dari segi material dan berjaya menaikkan semangat mereka mengejar kebendaan dalam kehidupan. Segelintir ibu bapa berkata kalau mampu apa salahnya. Berilah kepada anak-anak apa yang mereka mahukan asalkan cemerlang. Contohnya, jika anak yang mendapat 1 A mendapat RM100 atau lebih dan jika dapat 5A akan diberikan sebuah iPad, iPhone5 atau apa-apa sahaja yang mereka inginkan asalkan sapu bersih 5A di Sekolah Kebangsaan atau 7A di Sekolah Jenis Kebangsaan. Nilai ganjaran sebegini adakah praktikal diterapkan di jiwa anak-anak kita?

Pada 2 November lepas, saya sempat menghadiri Majlis Konvokesyen sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan di Puchong, di mana Persatuan Ibu bapa Guru (PIBG) dan pihak sekolah sepakat menganjurkan Majlis Penghargaan dengan meriah sekali walaupun keputusan UPSR belum diumumkan. Perarakan guru-guru masuk ke dewan amat dirasakan sangat apabila diberikan tepukan gemuruh oleh ibu bapa yang hadir dan pelajar-pelajar sekolah sebagai tanda mengucapkan terima kasih kepada guru-guru. Selepas majlis, saya sempat mengintai suasana di sebuah kelas yang penuh emosi apabila ucapan seorang guru meluahkan perasaannya kepada pelajar-pelajarnya dengan meminta maaf kepada pelajar-pelajarnya kerana bersikap terlalu mendesak dan tidak pernah cuba memahami perasaan pelajar-pelajarnya kerana ingin melihat mereka berjaya dalam UPSR. Air mata guru itu diiringi tangisan dan beliau turut meminta maaf kepada ibu bapa kerana sering menelefon mereka dan menegur kerana tidak menyemak kerja sekolah anak-anak mereka.

Terfikir sejenak, seorang guru yang garang menangis meminta maaf menunjukkan keikhlasan yang diluahkan oleh guru tersebut membuatkan saya memahami nilai pengorbanan beliau yang menggunakan cara ganjaran yang negatif seperti mendenda dan memarahi untuk mendesak pelajar-pelajarnya berusaha ke paras maksimum. Semua pelajar yang memeluk beliau seorang demi seorang sebagai tanda penghargaan membuatkan suasana sangat mengharukan. Seorang pelajar yang berbisik kepada rakannya, dia tersalah menilai guru yang paling garang, tegas dan dibencinya selama setahun adalah guru yang terbaik sebenarnya. Jasa guru-guru memang tiada nilainya kerana gelaran cikgu akan dibawa hingga ke akhir hayat. Sebab itu kerajaan sangat prihatin dengan profesion perguruan.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran menyatakan guru besar dan pentadbir cemerlang yang memperoleh ijazah sama ada secara separuh masa atau di bawah program Pengajian Jarak Jauh akan dilantik terus ke Gred DG41 tanpa perlu hadir temu duga boleh memohon terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk dikecualikan daripada proses temu duga. Begitu juga dengan graduan yang berprestasi cemerlang pada tahap akademik dan ikhtisas selepas menamatkan pengajian, akan dilantik terus tanpa proses temu duga sebagai guru pelatih mulai tahun depan. Berita ini amat dihargai dengan memotivasikan guru-guru sanggup berkorban wang ringgit untuk belajar ke peringkat tertinggi. Satu penghargaan yang tiada nilainya. Salam Deepavali, Salam Awal Muharam dan Salam 1Hati.

Sumber
Utusan Malaysia
14 November 2012

ISU UMUM : 1MOCC, CABARAN KEPADA SEKTOR AWAM PADAM PERSEPSI LEMAU


Rencana ini ditulis oleh :
Fauziah Arof


Sewajarnya, Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin yang bertujuan memberi kemudahan kepada orang ramai diambil sebagai satu lagi cabaran oleh warga kerja sektor perkhidmatan awam yang terlibat untuk membuktikan kemampuan mereka. Langkah kerajaan mewujudkan satu talian rujukan tunggal yang beroperasi selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun ini termasuklah pada hari cuti umum untuk orang ramai mengemukakan pertanyaan, aduan atau cadangan sememangnya amat baik sekali. Sebagai permulaan, fasa perintis 1MOCC melibatkan 21 agensi kerajaan yang merangkumi Jabatan Perdana Menteri dan agensi di bawahnya, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Justeru, orang ramai sebagai pengguna kemudahan ini sudah pasti meletakkan harapan yang sangat tinggi terhadap keberkesanannya dan mahu ia berfungsi seperti yang diinginkan dan dikatakan oleh Perdana Menteri. Sektor perkhidmatan awam perlu sedar bahawa apa jua kemudahan yang diwujudkan oleh kerajaan kepada orang ramai, tentunya tidak akan memberi sebarang makna atau hanya menjadi satu pembaziran sekiranya penggerak-penggeraknya tidak bersungguh-sungguh, tidak ada semangat atau menjalankan amanah yang diberikan secara sambil lewa. Sektor ini perlu membuktikan kepada orang ramai bahawa mereka bukan golongan yang ‘lemau’ untuk menjalankan tugas dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Walaupun mutu perkhidmatan sektor awam di negara ini menunjukkan peningkatan, namun masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dan pelbagai persepsi buruk orang ramai terhadap mutu perkhidmatan awam sebelum ini perlu dipadamkan.

Jangan kerana sikap beberapa pekerja yang tiada ‘jiwa’ untuk bekerja dan berdepan dengan orang ramai ini merosakkan imej semua sektor awam. Dan sudah sewajarnyalah sektor perkhidmatan awam yang menjadi tulang belakang kerajaan dipandang tinggi dan dihormati rakyat melalui mutu kerja yang ditunjukkan. Maka pihak yang terlibat perlu memastikan, talian hotline, faks, e-mel, laman web, facebook dan twitter yang disediakan untuk menghubungi 1MOCC berfungsi dengan sebaiknya. Berfungsi di sini bermaksud ada maklum balas yang diterima dan tindakan yang diambil terhadap aduan, pertanyaan dan cadangan yang diberikan agar perkhidmatan ini benar-benar memberi manfaat kepada orang ramai dan juga kerajaan dalam melakukan penambahbaikan terhadap mana-mana bidang perkhidmatan awam.

Tentunya orang ramai tidak mahu talian 03-80008000 yang disediakan 24 jam itu, sama seperti talian-talian khidmat pelanggan lain yang disediakan sebelum ini - tidak berjawab atau menunggu begitu lama untuk dijawab dan paling membuat orang ramai panas hati apabila disambungkan ke sana ke mari dan akhirnya dimatikan sambungannya begitu sahaja. Melalui pengalaman-pengalaman sebegini sebelum ini membuatkan orang ramai marah dan yang akan terpalit dengan kemarahan ini, sudah tentulah kerajaan. Kerajaan juga yang sudahnya dikatakan lembap dan dipersalahkan. Dan orang ramai juga mahukan pengendali talian ini terdiri daripada pihak atau pegawai yang benar-benar boleh membantu dan tahu bidang kerja mereka. Berkhidmat di kaunter-kaunter atau bertindak sebagai penjawab talian hotline memerlukan orang yang berkemahiran dan berpengetahuan, bukan sekadar menjawab perkara-perkara asas dan menyambungnya kepada pihak lain atau meminta memanggil semula kemudian kerana pegawai yang ditugaskan keluar entah ke mana.

Begitu juga kita tidak mahu laman-laman web, facebook dan twitter yang disediakan, sunyi tanpa pengendali dan yang ‘membuat bising’ ialah orang ramai yang menjadikan laman sosial itu sebagai medan untuk mengutuk atau meluahkan rasa tidak puas hati terhadap mana-mana agensi perkhidmatan awam atau diambil kesempatan oleh ‘kaki-kaki yang gila berpolitik’ untuk menabur fitnah dan berpolitik di situ. Saya pasti semua mengharapkan perkhidmatan 1MOCC yang dijangka diperluaskan di semua kementerian pada Januari tahun depan ini dapat memberi lonjakan dan dimensi baru dalam sektor perkhidmatan awam di negara ini. Seperti yang dikatakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa, jatuh bangun, maju mundur dan hina mulia sektor perkhidmatan awam terletak di bahu setiap penjawat awam di semua peringkat. Dan sebagai sektor awam yang amat berkaitan rapat dengan imej kerajaan manakala kebajikannya sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan dengan pelbagai imbuhan dan keistimewaan berbanding sektor swasta, mereka seharusnya lebih bersemangat, kehadapan dan cekap dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Sumber
Utusan Malaysia
14 November 2012

11 November 2012

ISU SOSIAL : KERANA DRAMA KOREA, SUAMI KESEPIAN


Rencana ini ditulis oleh :
Kucing Jantan - Bro Tompok


Drama Korea yang ketika ini cukup menjadi kegilaan terutamanya dalam kalangan kaum wanita. Macam-macam cerita lelaki yang bernama suami berhubung gelagat isteri masing-masing yang dah terkena penangan drama Korea ini. Sebenarnya, inilah 'penyakit' yang ada kepada kaum perempuan, mereka mudah sangat lentuk dengan drama-drama Korea yang sebahagian besarnya tidak memberi apa-apa pun faedah dalam kehidupan kita terutama bagi yang sudah bergelar isteri. Kita tidak kisah jika ada isteri yang meluangkan masa untuk merehatkan minda selepas bekerja untuk menonton drama berkenaan. Malahan kita hormat kepada perempuan yang menjadikan drama tersebut sekadar hiburan semata-mata.  Akan tetapi yang pertikaikan ialah ada antara perempuan-perempuan ni sudah terlalu taksub dengan drama Korea sampai tanggungjawab melayan suami diabaikan.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana perempuan bertaraf 'nenek' habis masa berjam-jam tonton cakera padat video (VCD) drama Korea, sampai cucu pun tak minat nak pergi rumah dia. Mungkin ada kaum perempuan yang menempik dengan menganggap semua ni tuduhan palsu tetapi ini realiti. Masa kualiti bersama suami banyak dihabiskan dengan menonton drama yang tidak berfaedah itu. Malahan ada sesetengah perempuan sanggup membiarkan suami terkebil-kebil seorang diri di atas katil kerana hendak menonton dulu drama Korea yang ditayangkan di kaca televisyen. Bagi perempuan macam ini, seolah-olah terlepas satu episod ibarat satu kerugian terbesar dalam hidup, sedangkan drama tu boleh ditonton semula di internet, bukan macam zaman dulu tak ada internet.

Sepatutnya, apabila berada di samping suami tumpu perhatian kepada suami, lelaki ni perlukan belaian apatah lagi ketika keletihan selepas seharian bekerja. Tetapi masalah perempuan ni, mereka buat-buat tak faham, ikut kepala mereka sahaja, bagi mereka drama Korea itu lebih penting daripada bergurau senda atau berbual-bual dengan suami. Apa yang paling malang ada sesetengah perempuan terikut-ikut dengan perangai dan taktik yang digunakan oleh watak-watak dalam drama yang mereka tonton. Bercakap dengan suami pun dah kasar, melayan suami pun macam hendak tak nak sahaja, lepas tu dah pandai bercakap soal hak kaum perempuan. Kita bukannya anti drama Korea, sekali kala kita pun tonton juga tetapi bukannya cerita fasal perempuan kena aniaya dek suami atau perempuan yang dikecewakan oleh lelaki.

Semua itu buang masa sahaja, kita hanya tonton drama yang boleh bagi kita berfikir macam drama berjudul 'Ghost' - tapi kita yakin ramai perempuan tak tonton drama ni sebab perempuan malas nak fikir, mereka nak tengok drama yang boleh mengalirkan air mata sahaja, cerita-cerita kononnya perempuan dianiaya mereka sukalah. Tetapi dalam realiti sebenarnya, tidak semua lelaki mengecewakan perempuan, banyak juga perempuan yang mengecewakan lelaki, namun drama macam ni tak begitu diminati oleh perempuan sebab tidak menyebelahi mereka. Apa pun kita nak pesan, kita tak kisah banyak manapun drama yang hendak ditonton oleh perempuan tapi pandai-pandailah membahagikan masa dan menunaikan tanggungjawab kepada suami. Kita ada ramai kawan perempuan yang minat cerita Korea ini, ada antaranya sanggup menghabiskan masa berjam-jam tonton drama itu melalui internet, kita tak kisah sebab kita  tahu mereka tidak mengabaikan tanggungjawab kepada suami.

Apa yang kita nak nasihatkan ialah kepada perempuan yang mengabaikan tanggungjawab memenuhi masa berkualiti bersama suami dan terlalu taksub dengan drama Korea sehingga terbawa-bawa dalam kehidupan sebenar. Cukup-cukuplah fikiran kita dah berserabut dengan banyak drama Melayu yang memberi contoh tidak baik kepada kehidupan manusia, tak usahlah drama Korea pula nak menambahkan lagi kerosakan berkenaan. Kalau dah taksub sangat kepada drama Korea itu pandai-pandailah bahagi masa antara melayan suami dengan menonton drama berkenaan. Kita percaya ramai suami tidak kisah, kalau isteri mereka menonton drama Korea asalkan layanan terhadap mereka tidak diabaikan dan tidak mencontohi budaya buruk dalam drama itu. Satu lagi kita nak pesan kepada kaum perempuan, ubahlah sikit sikap suka sangat drama-drama yang mengalirkan mata ini. Baru-baru ini heboh fasal satu drama Melayu yang dianggap oleh kaum perempuan kalau tak tengok rugi seumur hidup.

Bila kita tinjau-tinjau rupanya kisah fasal sepasang suami isteri yang sampai ke tanah suci Mekah dan Madinah pun bertengkar, macam ni ke kita nak buat contoh dalam kehidupan rumah tangga. Sepatutnya, sudah ada kematangan dalam kalangan kaum perempuan untuk menolak drama-drama yang tidak memberi contoh baik kepada masyarakat termasuklah drama Korea. Tetapi biasalah perempuan, kononnya hati mereka lembut dan mudah tersentuh, sedangkan drama tetap drama ia bukan sebuah realiti dalam kehidupan di alam fana ini. Sebab itulah ramai pelakon pandai berlakon termasuklah dalam kehidupan sebenar mereka dan itu bukanlah sesuatu yang menghairakan kerana dalam kalangan perempuan bergelar isteri yang bukan artis atau pelakon pun, ramai yang pandai berlakon.

Sumber
Mingguan Malaysia
11 November 2012

ISU UMUM : PESONA IKLAN MINYAK PENGASIH


Rencana ini ditulis oleh :
Wartawan Kosmo


Iklan-iklan yang menjual minyak pengasih iaitu sejenis sihir yang digunakan untuk memikat hati lelaki atau wanita yang diingini, semakin mudah ditemui di laman-laman web dan beberapa akhbar tempatan sekarang. ‘Minyak Pengasih Seru Angin Malam: Ilmu pengasih yang sangat mujarab untuk mengirim getaran asmara kepada seseorang yang dituju’ atau ‘Minyak Puteri Bunian: Setiap yang terkena minyak ini pasti jatuh cinta dengan anda’ adalah antara kata-kata yang digunakan dalam iklan berkenaan. Sememangnya sesuatu yang mengejutkan apabila iklan sebegini mudah diakses oleh orang ramai dan promosinya berleluasa tanpa sebarang sekatan sedangkan kaedah rawatan itu terang-terangan menyimpang daripada ajaran Islam.

Pengamal perubatan tradisional terbabit turut menyenaraikan harga minyak pengasih dan minyak cenuai berkenaan iaitu antara serendah RM200 hingga mencecah RM1,000 sebotol kecil. Harganya berbeza kerana ia dibahagikan mengikut gred minyak. Contohnya, minyak pengasih yang diperoleh daripada dagu mayat wanita yang mati ketika mengandung adalah minyak yang mempunyai gred yang paling tinggi. Ini diikuti dengan minyak dagu orang yang mati dibunuh secara kejam, minyak abu mayat yang diperoleh daripada tujuh jenis tanah perkuburan dan minyak kongkang (sejenis monyet). Minyak daripada bangkai anjing hitam pula adalah gred yang paling rendah. Jika seseorang itu berhajat untuk membuatkan orang yang disukainya tergila-gilakan dirinya, dia hanya perlu mencalit minyak pengasih itu ke badan individu tersebut. Hasilnya, dia akan berjaya mendapatkan hanya jasad orang yang disukainya, tetapi tidak jiwanya.

Tahyul

Situasi sebegini bukanlah sesuatu yang mustahil berlaku pada zaman moden ini. Iklan-iklan menjual minyak pengasih ini menjadi bukti masyarakat masih percaya kepada perkara tahyul. Justeru itu, bagi mendapatkan gambaran mengenai cara mendapatkan minyak pengasih, penulis telah menemui seorang pengamal perubatan yang mengiklankan ubat guna-guna berkenaan dalam laman webnya. Dengan berselindung di sebalik pusat rawatan Islam, yang beroperasi di Subang Jaya, Selangor, menawarkan khidmat menjual minyak pengasih dan minyak cenuai. Dari luar, suasana suram dan gelap menyelubungi ruang pejabat yang terletak di tingkat tiga itu. Setelah membuat panggilan berdasarkan nombor telefon yang diiklankan, bomoh yang menggelarkan dirinya sebagai ‘ustaz’ itu meminta kami menunggunya di premis tersebut kerana dia sememangnya sedang dalam perjalanan ke situ.

Setelah hampir setengah jam menunggu, ustaz yang berumur dalam lingkungan 50-an itu pun tiba lalu mengajak kami masuk ke dalam pejabatnya untuk sesi berubat. Daripada pemerhatian penulis, wajah lelaki itu kelihatan bengis dan agak menakutkan. Matanya yang kemerah-merahan sentiasa merenung tajam ketika bercakap. Setelah memperkenalkan diri dan memberitahu kononnya penulis mahu memiliki seorang lelaki yang disukainya, ustaz itu memulakan sesi ‘kaunseling’ bagi mendapatkan perhatian penulis. “Jika awak inginkan lelaki itu, datang semula ke sini dengan membawa gambar dan barang miliknya sama ada baju, pen, buku atau apa sahaja. Kemudian, saya akan buatkan dia tergila-gilakan awak, tidak kisahlah hatinya cintakan awak atau tidak kerana yang penting dia akan menjadi milik awak,” ujarnya kepada penulis. Namun, ada syarat yang perlu awak patuhi kalau tidak mahu ia memakan diri,” tambahnya yang membuatkan penulis berasa gementar. Awak dilarang sama sekali melakukan hubungan seks dengan lelaki itu meskipun setelah berkahwin nanti,” jelasnya.

Setelah mengangguk tanda faham, rakan penulis cuba untuk ‘memancing’ bomoh tersebut dengan meminta kebenaran untuk membeli minyak pengasih seperti yang diiklankan dalam laman webnya. Namun, bomoh itu enggan menjualnya kerana menurutnya dia tidak menjual minyak itu kepada sembarangan orang dan menjual kepada orang yang telah berumur sahaja. “Kamu berdua masih muda, belum tiba masanya untuk kamu memiliki minyak itu. Saya takut ia akan memakan diri kamu nanti,” katanya. Menurutnya, pelanggan yang datang menemuinya pula bukan sahaja terdiri daripada golongan muda, isteri, suami orang, janda dan duda, malahan juga golongan artis serta orang ternama negara ini yang mempunyai agenda tersendiri. “Jika awak memiliki minyak ini, awak tidak akan menjadi diri sendiri lagi kerana semua orang yang awak suka akan dengan rela hati datang menyerah diri kepada awak sehingga awak tidak dapat tidur dengan lena,” katanya pada akhir pertemuan.

Sumber
Kosmo Ahad
11 November 2012

10 November 2012

ISU IPT : GRADUAN PERLU BUKA MINDA


Rencana ini ditulis oleh :
Ruhaiza Rusmin


Jika dulu graduan dengan keputusan cemerlang sering menjadi pilihan majikan, senario alaf baru menyaksikan graduan bertahap sederhana pula laku seperti goreng pisang panas. Meskipun dengan keputusan cemerlang, bukan semua bernasib baik malah ada juga terpaksa berhempas pulas bersaing dengan ribuan graduan lain mencari pekerjaan. Sebaliknya, mereka hanya memiliki sijil kemahiran serta kelayakan lebih rendah mudah pula memancing hati majikan hingga menimbulkan pertanyaan, apakah kecemerlangan graduan ini tidak bermakna. Adakah senario ini isyarat bahawa keputusan cemerlang bukan lagi jaminan graduan itu tidak akan bergelar ‘penganggur terhormat’? Atau adakah dunia pendidikan dan kerjaya hari ini sebulat suara tidak mementingkan lagi keputusan cemerlang sebagai syarat utama menawarkan pekerjaan sebaliknya perlu diseimbangkan dengan kehendak semasa?

Ketua Program Komunikasi dan Pengarah Kewartawanan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Siti Suriani Othman, berkata trend majikan kini lebih mengkhusus kepada mereka yang berkemahiran serta memiliki personaliti positif menjadikan graduan biarpun mempunyai keputusan cemerlang sebagai pilihan kedua. Beliau berkata, keputusan atau ijazah bukan lagi jaminan mereka mudah diterima bekerja andai kata tidak memiliki kriteria dikehendaki seperti pandai berkomunikasi, berani dan penuh idea.  “Jika memiliki ijazah dengan keputusan cemerlang, ia masih belum mencukupi untuk menambat hati majikan yang hari ini begitu selektif memilih pekerja. Dulu, golongan ini memang menjadi pilihan dan larisnya seperti goreng pisang panas. Kini, keadaan berbeza kerana dunia pekerjaan juga sudah semakin mencabar dan kompetitif. Majikan bukan lagi mencari seorang pekerja yang hanya tahu menurut perintah semata-mata namun lebih kepada mereka yang mempunyai jiwa perjuangan supaya sama-sama boleh memajukan syarikat,” katanya.

Justeru, tidak usah hairan jika graduan yang memiliki keputusan cemerlang sukar bersaing mendapatkan pekerjaan berbanding mereka yang hanya mempunyai kelayakan sederhana seperti sijil atau diploma. “Sekeping ijazah dan keputusan cemerlang bukan lagi penanda aras graduan itu berkebolehan melaksanakan tugasan sebaliknya majikan mencari sesuatu yang ‘istimewa’. Contohnya, personaliti calon pekerja yang sentiasa optimis, pandai berkomunikasi dengan baik serta peka cabaran sekeliling. Dengan kata lain, bukan seperti robot yang diprogramkan. Diakui, bukan semua graduan cemerlang seperti itu tapi kebanyakan memang begitu kerana dunia mereka dihabiskan untuk pencapaian akademik tanpa mengimbangi dengan keperluan sosial dan kemahiran,” katanya.

Katanya, hari ini kita jarang mendengar kesukaran graduan diploma atau sijil memperoleh pekerjaan sedangkan lambakan graduan berijazah sentiasa berlaku. “Hakikatnya, kita perlu melihat senario ini sebagai satu isyarat tegas dari dunia pekerjaan bahawa ada kriteria lain ditetapkan sebelum seseorang itu ditawarkan kerja. Dan, syarat itu perlu diikuti tanpa kompromi. Justeru, graduan perlu membuka minda supaya tidak lagi menganggap akademik sebagai nyawa kejayaan sebaliknya kemahiran lain juga asas pemilihan,” katanya. Biarpun bukan semua graduan cemerlang berdepan risiko itu terutama dari bidang kritikal, peningkatan jumlah graduan berijazah saban tahun dikhuatiri mampu menimbulkan masalah berpanjangan. Berbanding graduan sijil atau diploma atau mereka yang berkelayakan sederhana namun aktif, peluang untuk meneroka pasaran kerjaya lebih luas hasil daripada kemahiran dimiliki.

Kemahiran itu, katanya, banyak membantu mereka merencanakan masa depan dengan baik dan menjadi bonus menampilkan keyakinan diri sekali gus menjadi aset menarik mata majikan. “Sebab itu, di institusi sangat ditekankan pelbagai aktiviti yang lari dari konsep akademik dan peperiksaan seperti khidmat komuniti dan kelab. Penubuhannya bukan sekadar suka-suka sebaliknya membantu mahasiswa meneroka potensi diri juga sebagai persediaan sebelum menempuh alam pekerjaan. Malangnya, bukan semua mahasiswa tahu kepentingan kemudahan itu sebaliknya menganggap buku dan peperiksaan lebih penting manakala kemahiran jatuh nombor dua,” katanya. Bukan kata tidak penting tapi perlu diselarikan dengan kemahiran sebab sekarang majikan memang mencari calon berkemahiran demi memenuhi tuntutan kerjaya globalisasi. Kemahiran adalah aset paling mahal bagi majikan hari ini dan sudah tentu mereka mengkehendaki dan akan menjaganya dengan baik,” katanya.

Ditanya mengapa tiada masalah bagi graduan sijil dan diploma, katanya, golongan terbabit memang sudah disediakan bagi tujuan pasaran pekerjaan. “Sebab itu, permintaan keduanya lebih laris. Tapi tidak bermakna mereka juga tidak berdepan cabaran mencari pekerjaan tapi jarang mendengar mereka menganggur. Ubahlah stigma bahawa dengan sekeping ijazah dan keputusan cemerlang, anda akan menjadi pilihan. Kini semuanya mempunyai peluang sama rata. Yang penting, bagaimana kita menampilkan diri untuk memikat hati majikan dengan kemahiran sedia ada. Justeru, masih belum terlewat mengubah stigma sedia ada,” katanya.

Sumber
Harian Metro
5 November 2012

ISU IPT : USAH MENGHUKUM TAPI BERI SOKONGAN


Rencana ini ditulis oleh :
Oleh Ruhaiza Rusmin


Imej mahasiswa yang terjejas dengan pelbagai isu, kini dipersoalkan lagi dengan kehadiran ragam mahasiswa berperwatakan lembut yang dilihat semakin ketara sejak akhir-akhir ini. Biarpun bukan ancaman, kehadiran mereka ada kalanya kurang disenangi mahasiswa lain hingga wujud 'pergeseran' dalam diam. Ditambah lagi dengan sikap mahasiswa berkenaan yang dikatakan boleh berlagak 'selamba', bermulut laser dan tidak kisah dengan pandangan serong orang sekeliling, ia dikhuatiri boleh menimbulkan konflik berpanjangan. Namun, benarkah golongan mahasiswa itu mengganggu pandangan serta mengusik perasaan mahasiswa lain? Atau, adakah ada penyebab lain mengapa mereka tidak selesa dengan kehadiran golongan berkenaan?

Pengarah Pusat Inovasi Keusahawanan dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kehadiran golongan itu tidak wajar dijadikan isu kerana mereka juga berhak memperoleh pendidikan. Beliau berkata, penampilan individu menjadi hak eksklusif diri sendiri yang tidak boleh dipersoalkan dan masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk menampilkan diri. "Walaupun kehadiran mahasiswa begini kurang disenangi pihak tertentu, mereka masih mempunyai hak memperoleh pendidikan atau apa saja kebebasan selagi masih menuruti undang-undang. Jadi, jangan anggap kehadiran mereka sebagai gangguan biarpun ada yang tidak suka. Kita tidak berhak memberi label atau penarafan berpandukan fizikal semata-mata. Malah institusi pengajian tinggi juga bersikap terbuka dan menganggap mereka sama seperti mahasiswa lain. Asalkan masih mengikut peraturan, tiada diskriminasi untuk menuntut ilmu, " katanya.

Senario mahasiswa berperwatakan lembut yang kian membanjiri pelbagai institusi pengajian tinggi hari ini bukan janggal malah sudah lama wujud. Namun, sikap kurang terbuka masyarakat untuk menerima kehadiran mereka menjadi antara punca golongan terbabit seolah-olah dipinggirkan. Lebih menyedihkan apabila wujud suara sumbang mengatakan mereka antara punca terjadinya gejala sosial di kalangan generasi muda. Beliau yang menjalankan kajian mengenai permasalahan berkenaan pada 2008, bagaimanapun menafikan mahasiswa lembut adalah golongan bermasalah. "Memang tidak dinafikan, secara luaran, kehidupan mereka nampak 'bermasalah' kerana meniru perwatakan gender berlawanan namun keseluruhannya bukan begitu. Hanya segelintir terbabit dan mereka terdorong melakukannya kerana beberapa faktor tertentu seperti pengaruh rakan, didikan keluarga juga persekitaran. Boleh disimpulkan mereka sama seperti mahasiswa normal lain yang menjalani kehidupan biasa biarpun secara fizikal, masyarakat melihatnya sebagai sesuatu yang kurang wajar," katanya.

Beliau turut tidak menafikan kehidupan mahasiswa itu cukup mencabar dalam mengharungi dunia kehidupan di kampus. "Ini kerana mereka berdepan dengan diskriminasi atau penolakan hanya kerana penampilan digayakan. Tanpa memberi ruang golongan terbabit menunjukkan kebolehan diri, mereka ditafsirkan memang bermasalah. Sebenarnya, mahasiswa ini sangat memerlukan sokongan bagi memperbetulkan keadaan.  Malangnya, masyarakat menolak mereka menjadikan mahasiswa berperwatakan lembut ini tiada pilihan selain mendapat sokongan kumpulan senasib," katanya. Bagaimanapun, sesuatu yang istimewa ialah biarpun berdepan penolakan itu, jiwa mereka kental dan kebanyakan mereka tergolong dalam kategori pelajar cemerlang. "Hanya kerana penampilan fizikal yang sedikit berbeza, masyarakat terus memberi penilaian serta menjadikannya sebagai sasaran pengecualian interaksi sosial. Golongan ini seolah-olah tidak mendapat keadilan kerana hanya dinilai secara luaran sedangkan mungkin mereka ada niat berubah tapi tidak mendapat kekuatan sokongan orang lain. Sikap masyarakat yang suka menghukum tanpa memberi peluang atau menunjukkan jalan yang betul juga adalah antara penyebab mereka tidak mahu berubah malah boleh berpaling pada jalan salah," katanya.

Ditanya mengenai pendirian institusi, katanya institusi berperanan menjalankan tanggungjawab utama iaitu memberi pendidikan sama rata kepada mereka yang memenuhi syarat tanpa prejudis. Menurutnya, tiada diskriminasi dalam memberi ilmu kepada sesiapa yang ingin belajar dan institusi tidak pernah memberi syarat atau melabel mahasiswa tertentu. "Yang penting setiap mahasiswa tertakluk pada peraturan. Sesiapa saja jika melakukan kesalahan akan dihukum dan dikenakan tindakan selaras peraturan sedia ada. Bagaimanapun, adalah sesuatu yang sangat baik jika mereka mahu mengubah penampilan. Ini juga satu proses pembelajaran berterusan untuk membina masa depan. Apapun, ini hak setiap individu dan institusi tidak boleh campur tangan sewenangnya. Walaupun mungkin salah pada pandangan kita, namun mungkin tidak pada orang lain," katanya.

Sumber
Harian Metro
5 November 2012