Rencana ini ditulis
oleh :
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Dan Felo Penyelidik
Institut Keusahawanan dan Koperasi, Universiti Utara Malaysia
Perdana Menteri Greece,
Antonia Samaras ketika ditemu bual oleh akhbar Jerman baru-baru ini, telah
mengungkapkan perkataan transformasi yang "menakjubkan" bagi
menggambarkan pembaharuan yang bakal beliau laksanakan untuk berusaha mencipta
kejayaan Greece. Ini tidak menghairankan kerana sejak tiga tahun kebelakangan
ini Greece telah terjerumus ke lembah krisis ekonomi paling teruk dalam
sejarahnya. Tidak ada cara lain yang boleh dilaksanakan bagi memulih semula
ekonominya selain melaksanakan transformasi yang menakjubkan. Akibat krisis
ekonomi, Greece dibelenggu jumlah hutang yang terlalu tinggi. Jumlah hutang
inilah yang perlu diurus secara mampan agar Greece tidak selama-lamanya menjadi
sebuah negara yang miskin di dunia.
Diakui, krisis
ekonomi yang teruk melanda Greece telah menyebabkan Greece jatuh ke kedudukan
yang lebih rendah dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) 2012. Greece
berada di kedudukan ke-94, lebih bawah daripada negara seperti Bulgaria dan
sudah semestinya terlalu jauh berbanding negara kita yang berada di kedudukan
ke-54 indeks rasuah tersebut. Bagi negara-negara yang berada di kedudukan
tertinggi seperti Denmark, Finland, New Zealand, Sweden, Singapura,
Switzerland, Australia dan Norway rata-rata negara-negara ini adalah negara
maju ekonominya. Dengan perkataan mudah, salah satu strategi yang paling ampuh
untuk membanteras gejala rasuah pada tahap terbaik adalah dengan menjayakan
transformasi ekonomi secara besar-besar sehingga mencapai taraf negara maju.
Di Malaysia, kerajaan
telah meletakkan batu asas yang kukuh dengan memperkenalkan transformasi
ekonomi melalui Model Baru ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP)
sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tambahan lagi, transformasi ekonomi
disokong dengan Program Transormasi Kerajaan (GTP). Kerajaan juga telah, sedang
dan akan melaksanakan tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang
antaranya menangani kos sara hidup rakyat dan meningkatkan pendapatan penduduk
luar bandar. Kesemua ini telah banyak membantu menangani rasuah seperti mana
yang disasarkan dalam NKRA menangani rasuah. Secara logiknya, negara yang kaya
dan kekayaan ini diagihkan secara saksama kepada seluruh rakyat akan menjadikan
kehidupan rakyatnya lebih selesa berbanding negara-negara lain. Ada juga negara
yang kaya raya melalui hasil bumi seperti minyak dan gas, namun, rakyatnya
serba miskin angkara agihan kekayaan negara yang tidak dibuat dengan adil dan
saksama.
Negara-negara inilah
yang kita boleh lihat sejak kebelakangan ini berada dalam keadaan yang kacau
bilau dengan rakyatnya memberontak saban hari. Pada asasnya, bekas pemimpin
negara tersebut terlalu tamakkan kekayaan negara dan hasil kekayaan tersebut
dibolot oleh dirinya, keluarga dan kroni-kroni. Apabila majoriti rakyat adalah
miskin, maka mahu tidak mahu mereka terdesak untuk melakukan kesalahan seperti
rasuah dan penyelewengan kuasa. Dengan perkataan lain, seseorang pemimpin
negara berperanan besar selaras amanah yang diberikan kepadanya untuk memajukan
ekonomi negara dan pada masa yang sama mengagihkan kekayaan tersebut secara
saksama meliputi seluruh rakyatnya tidak kiralah sama ada penyokong mahupun
pihak-pihak yang menentangnya.
Pemimpin tersebut
pula sudah semestinya disokong oleh satu sistem tadbir urus negara yang baik
seperti sistem kehakiman yang cekap dan terdapat jurang hubungan di antara
kerajaan dan komuniti bisnes. Umpamanya di Malaysia penubuhan 14 Mahkamah
Seksyen Khas Rasuah telah mempercepatkan penyelesaian kes rasuah di samping
mengurangkan kes yang dibuang ekoran tidak cukup bukti. Selain itu, kerajaan
sebagai pemudah cara komuniti bisnes seperti usaha yang dilaksanakan oleh Unit
Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) telah banyak mengurangkan hubungan kerajaan
terlibat secara langsung dalam perniagaan. Tambahan lagi, konsep pemudah cara
telah merancakkan lagi sektor swasta sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia.
Suatu ketika dahulu, kerajaan berperanan utama dalam merancakkan ekonomi
Malaysia tetapi peranan ini telah diambil alih oleh sektor swasta.
Apabila peranan
peneraju ekonomi negara diketuai oleh sektor swasta, ia telah mengurangkan
peluang pihak-pihak tertentu untuk terlibat dalam gejala rasuah. Satu perkara
yang cukup menarik yang berlaku di Malaysia sejak akhir-akhir ini adalah rakyat
Malaysia semakin mengambil berat peranan Jabatan Audit Negara. Laporan Ketua
Audit Negara pula ditunggu-tunggu oleh rakyat sebagai pembayar cukai negara.
Perkara ini tidak pernah berlaku sepuluh tahun yang lalu. Ketika itu, rakyat
tidak begitu mengambil berat tentang Laporan Ketua Audit Negara. Sikap rakyat
yang semakin prihatin telah menyebabkan tansformasi sektor awam ke arah lebih
berakauntabiliti kepada rakyat berbanding dahulu. Kerja-kerja yang dahulunya
disiapkan berbulan-bulan lamanya kini telah berjaya disiapkan dalam tempoh
beberapa jam sahaja telah berjaya meningkatkan produktiviti negara seterusnya
mengurangkan kes-kes rasuah di kalangan kakitangan awam.
Kecekapan dan
keberkesanan (E&E) sektor awam telah banyak membantu melonjakkan keyakinan
para pelabur sedia ada dan bakal pelabur yang ingin melabur di Malaysia. Cuba
bayangkan dengan kombinasi transformasi ekonomi yang menakjubkan dan E&E
sektor awam beserta tadbir urus kerajaan yang baik akan menghasilkan sebuah
negara yang maju, aman dan adil pengagihan ekonominya, seterusnya gejala rasuah
dapat ditangani sebaik mungkin.
Sumber
Utusan Malaysia
10 Disember 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan