Rencana ini ditulis
oleh :
DR. JESSICA ONG HAI
LIAW
Timbalan Pengarah
Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan
di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Saya sering diasak
dengan soalan, kenapa mereka yang cemerlang di sekolah tetapi di tempat kerja
tidak secemerlang manapun? Di mana silapnya? Nilai sebuah penghargaan amat
besar dan ucapan terima kasih sudah cukup yang menjadi inspirasi kita semua
kerana nilai penghargaan memberikan seseorang itu nilai yang menyentuh jiwanya
dan memberikan semangat untuk terus berusaha. Menghargai atau dihargai tidak
kira usia atau di mana sahaja memberi seribu pengertian. Bidang pendidikan
paling sesuai untuk diberi penghargaan kerana ilmu sukar dinilai dengan wang
ringgit. Penghargaan sering dikatakan sama dengan ganjaran di mana adanya
ganjaran ekstrinsik atau instrinsik dan yang mana lebih penting dalam kehidupan
kini di hati anak-anak kita. Ganjaran ekstrinsik meliputi ganjaran kewangan
atau ganjaran yang memberi kesan berbentuk material penting untuk memotivasikan
anak-anak kita jika berjaya dalam setiap peperiksaan. Sementara itu, ganjaran
instrinsik sebagai satu bentuk ganjaran yang tidak boleh dilihat intangible reward
atau sebagai ganjaran psikologi.
Kalau hendak mengulas
tentang ganjaran memang sukar dinilai dari aspek wang ringgit kerana apa yang
diberi bukan kita menunggu untuk menerima sahaja tanpa berusaha. Zaman
sekarang, semua melihat kepada ganjaran ekstrinsik meliputi ganjaran kewangan
atau ganjaran yang memberi kesan sebagai penting untuk memotivasikan anak-anak
kita jika berjaya dalam setiap peperiksaan. Percaturan sebegini dikatakan dapat
memberikan semangat kepada mereka sebab nampak dari segi material dan berjaya
menaikkan semangat mereka mengejar kebendaan dalam kehidupan. Segelintir ibu
bapa berkata kalau mampu apa salahnya. Berilah kepada anak-anak apa yang mereka
mahukan asalkan cemerlang. Contohnya, jika anak yang mendapat 1 A mendapat
RM100 atau lebih dan jika dapat 5A akan diberikan sebuah iPad, iPhone5 atau
apa-apa sahaja yang mereka inginkan asalkan sapu bersih 5A di Sekolah
Kebangsaan atau 7A di Sekolah Jenis Kebangsaan. Nilai ganjaran sebegini adakah
praktikal diterapkan di jiwa anak-anak kita?
Pada 2 November
lepas, saya sempat menghadiri Majlis Konvokesyen sebuah Sekolah Rendah Jenis
Kebangsaan di Puchong, di mana Persatuan Ibu bapa Guru (PIBG) dan pihak sekolah
sepakat menganjurkan Majlis Penghargaan dengan meriah sekali walaupun keputusan
UPSR belum diumumkan. Perarakan guru-guru masuk ke dewan amat dirasakan sangat
apabila diberikan tepukan gemuruh oleh ibu bapa yang hadir dan pelajar-pelajar
sekolah sebagai tanda mengucapkan terima kasih kepada guru-guru. Selepas
majlis, saya sempat mengintai suasana di sebuah kelas yang penuh emosi apabila
ucapan seorang guru meluahkan perasaannya kepada pelajar-pelajarnya dengan
meminta maaf kepada pelajar-pelajarnya kerana bersikap terlalu mendesak dan
tidak pernah cuba memahami perasaan pelajar-pelajarnya kerana ingin melihat
mereka berjaya dalam UPSR. Air mata guru itu diiringi tangisan dan beliau turut
meminta maaf kepada ibu bapa kerana sering menelefon mereka dan menegur kerana
tidak menyemak kerja sekolah anak-anak mereka.
Terfikir sejenak,
seorang guru yang garang menangis meminta maaf menunjukkan keikhlasan yang
diluahkan oleh guru tersebut membuatkan saya memahami nilai pengorbanan beliau
yang menggunakan cara ganjaran yang negatif seperti mendenda dan memarahi untuk
mendesak pelajar-pelajarnya berusaha ke paras maksimum. Semua pelajar yang
memeluk beliau seorang demi seorang sebagai tanda penghargaan membuatkan
suasana sangat mengharukan. Seorang pelajar yang berbisik kepada rakannya, dia
tersalah menilai guru yang paling garang, tegas dan dibencinya selama setahun
adalah guru yang terbaik sebenarnya. Jasa guru-guru memang tiada nilainya
kerana gelaran cikgu akan dibawa hingga ke akhir hayat. Sebab itu kerajaan
sangat prihatin dengan profesion perguruan.
Baru-baru ini,
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran
menyatakan guru besar dan pentadbir cemerlang yang memperoleh ijazah sama ada
secara separuh masa atau di bawah program Pengajian Jarak Jauh akan dilantik
terus ke Gred DG41 tanpa perlu hadir temu duga boleh memohon terus kepada
Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk dikecualikan daripada proses
temu duga. Begitu juga dengan graduan yang berprestasi cemerlang pada tahap
akademik dan ikhtisas selepas menamatkan pengajian, akan dilantik terus tanpa
proses temu duga sebagai guru pelatih mulai tahun depan. Berita ini amat
dihargai dengan memotivasikan guru-guru sanggup berkorban wang ringgit untuk
belajar ke peringkat tertinggi. Satu penghargaan yang tiada nilainya. Salam
Deepavali, Salam Awal Muharam dan Salam 1Hati.
Sumber
Utusan Malaysia
14 November 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan