Rencana ini ditulis
oleh :
DZULKARNAIN TAIB
Presiden Kelab
Wartawan Muda Malaysia dan
bekas Ketua Pengarang
Suara Keadilan.
Kerusi Perdana
Menteri merupakan jawatan tertinggi dalam strata pentadbiran negara. Jawatan
Perdana Menteri dalam konteks Malaysia adalah sangat unik kerana jawatan
tersebut menuntut pertanggungjawaban dari seluruh pihak yang berbeza latar
belakang agama, bangsa, budaya, sejarah, bahasa dan orientasi yang bersifat
dinamik dan berubah-ubah. Jawatan yang penuh cabaran dan bebanan ini memerlukan
seorang yang benar-benar mempunyai kemampuan dan kebijaksanaan untuk memenuhi
tuntutan pelbagai pihak yang berbeza kepentingan dan keperluan mereka. Tidak
sedikit negara yang meramalkan negara bangsa yang ditubuhkan pada 31 Ogos 1957
ini yang mempunyai struktur masyarakat yang begitu berkecamuk dan carca marba
boleh bertahan.
Sebilangan sarjana
seperti Profesor Emeritus Clive Kessler, seorang Profesor Kajian Sosiologi dan
Antropologi dari Universiti New South Wales, Australia menyebut Malaysia adalah
umpama sebutir bom jangka yang menunggu masa untuk meledak. Ini merujuk kepada
konteks masyarakat majmuk pelbagai kaum, agama, bahasa, tradisi, budaya,
sejarah serta ideologi dan hala tuju. Justeru jawatan Perdana Menteri di
Malaysia tidak hanya perlu dilihat dari sudut politik demokrasi sepenuhnya
dalam erti kata negara bangsa di Barat. Ini juga menggambarkan watak Bendahara
- ingat watak Tun Perak dan seumpama - yang disayangi rakyat dan pada masa yang
sama melindungi kepentingan tradisi kenegaraan. Selain memikul tanggungjawab
legasi lampau yang diperturunkan oleh Perdana Menteri sebelumnya, Perdana
Menteri sekarang juga terpaksa berhadapan dengan persekitaran sosio-politik
dunia baru yang amat berbeza dan penuh hambatan.
Inilah senario yang
dihadapi oleh Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Dengan mengambil kira semua faktor ini kita boleh merumuskan dengan mudah,
bukan calang-galang orang yang mampu memikulnya. Dalam keadaan diasak oleh
tanggungjawab semasa yang begitu rencam dan getir serta dihimpit dengan peranan
lalu yang wajib juga diteruskan, Perdana Menteri sekarang masih menunjukkan
watak yang tenang, mesra dan waras dalam persekitaran sosiopolitik yang
membuak-buak. Apakah pemegang jawatan ini harus dibiarkan untuk terus dihambat,
dihimpit dan diasak tanpa henti? Serangan dan desakan bertalu-talu yang
dilakukan tanpa henti dan silih berganti oleh pihak-pihak berkepentingan di
dalam dan di luar kerajaan khususnya kelompok pembangkang tanpa sebarang rasa
simpati dan peduli, seharusnya dikendurkan.
Sehubungan itu,
penulis berpandangan amanah dan ujian yang dihadapi oleh perdana menteri
sekarang tidak terbayangkan duri dan ranjaunya. Adalah diharapkan semua pihak
menginsafi suasana yang dihadapi oleh Perdana Menteri dan memberikan beliau,
atas prinsip keadilan, kemanusiaan dan keagamaan sedikit masa dan ruang untuk
bertafakur dan beristirehat daripada segala kerenah yang menghujaninya. Maka
itu kumpulan-kumpulan yang berkepentingan seperti Hindraf, Suaram, Bersih, SIS
(Sisters In Islam), PUM, kumpulan anti dan pro-Lynas serta kumpulan anti dan
pro-AES perlu bermuhasabah diri dan tidak memilih tindakan kebudak-budakan yang
hanya tahu merengek, menjerit, merampus, menunjuk laku dan saling mendesak. Ini
juga termasuk pihak-pihak dan individu-individu yang melemparkan idea
kontroversi yang mencetuskan ketegangan seperti Melayu boleh tukar agama,
kebebasan individu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), dan simpati
melulu terhadap fahaman pluralisme agama.
Pandangan pelampau
yang menuntut hak royalti minyak yang keterlaluan serta kumpulan minoriti yang
mendahulukan kepentingan satu pihak, juga perlu melihat kepentingan kolektif
dan nasional di atas segala-galanya. Mereka sebaliknya harus menjadi lebih
dewasa dan matang untuk mengusulkan apakah bentuk pendekatan yang boleh
dikongsi bersama bagi mencari jalan penyelesaian yang sebaik mungkin. Seandainya
semua pihak ingin mendapatkan hak mereka masing-masing dengan mengabaikan
keutamaan yang merentasi kepentingan semua pihak, nescaya apa yang kita nikmati
sekarang akan berkecai. Sebagai Perdana Menteri, tanpa menafikan perlu dan
sahnya segala tuntutan satu pihak tadi, beliau tentunya lebih memikirkan dan
menumpukan kepada tanggungjawab kolektif yang jauh lebih besar demi
mempertahankan dan melindungi kepentingan bersama yang menjadi asbabul wujud
(sebab-sebab keberadaan) negara Malaysia.
Oleh itu adalah
menjadi harapan besar agar semua pihak membina jiwa dan pemikiran yang lebih
besar untuk meletakkan keutamaan permuafakatan bersama di atas segala-galanya
dan mendokong Perdana Menteri dalam melaksanakan tanggungjawab ini.
Sumber
Utusan Malaysia
16 November 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan