Rencana ini ditulis
oleh :
Wartawan Kosmo
Iklan-iklan yang
menjual minyak pengasih iaitu sejenis sihir yang digunakan untuk memikat hati
lelaki atau wanita yang diingini, semakin mudah ditemui di laman-laman web dan
beberapa akhbar tempatan sekarang. ‘Minyak Pengasih Seru Angin Malam: Ilmu
pengasih yang sangat mujarab untuk mengirim getaran asmara kepada seseorang
yang dituju’ atau ‘Minyak Puteri Bunian: Setiap yang terkena minyak ini pasti
jatuh cinta dengan anda’ adalah antara kata-kata yang digunakan dalam iklan
berkenaan. Sememangnya sesuatu yang mengejutkan apabila iklan sebegini mudah
diakses oleh orang ramai dan promosinya berleluasa tanpa sebarang sekatan
sedangkan kaedah rawatan itu terang-terangan menyimpang daripada ajaran Islam.
Pengamal perubatan
tradisional terbabit turut menyenaraikan harga minyak pengasih dan minyak
cenuai berkenaan iaitu antara serendah RM200 hingga mencecah RM1,000 sebotol
kecil. Harganya berbeza kerana ia dibahagikan mengikut gred minyak. Contohnya,
minyak pengasih yang diperoleh daripada dagu mayat wanita yang mati ketika
mengandung adalah minyak yang mempunyai gred yang paling tinggi. Ini diikuti
dengan minyak dagu orang yang mati dibunuh secara kejam, minyak abu mayat yang
diperoleh daripada tujuh jenis tanah perkuburan dan minyak kongkang (sejenis
monyet). Minyak daripada bangkai anjing hitam pula adalah gred yang paling
rendah. Jika seseorang itu berhajat untuk membuatkan orang yang disukainya
tergila-gilakan dirinya, dia hanya perlu mencalit minyak pengasih itu ke badan
individu tersebut. Hasilnya, dia akan berjaya mendapatkan hanya jasad orang
yang disukainya, tetapi tidak jiwanya.
Tahyul
Situasi sebegini
bukanlah sesuatu yang mustahil berlaku pada zaman moden ini. Iklan-iklan
menjual minyak pengasih ini menjadi bukti masyarakat masih percaya kepada
perkara tahyul. Justeru itu, bagi mendapatkan gambaran mengenai cara
mendapatkan minyak pengasih, penulis telah menemui seorang pengamal perubatan
yang mengiklankan ubat guna-guna berkenaan dalam laman webnya. Dengan
berselindung di sebalik pusat rawatan Islam, yang beroperasi di Subang Jaya,
Selangor, menawarkan khidmat menjual minyak pengasih dan minyak cenuai. Dari
luar, suasana suram dan gelap menyelubungi ruang pejabat yang terletak di
tingkat tiga itu. Setelah membuat panggilan berdasarkan nombor telefon yang
diiklankan, bomoh yang menggelarkan dirinya sebagai ‘ustaz’ itu meminta kami
menunggunya di premis tersebut kerana dia sememangnya sedang dalam perjalanan
ke situ.
Setelah hampir
setengah jam menunggu, ustaz yang berumur dalam lingkungan 50-an itu pun tiba
lalu mengajak kami masuk ke dalam pejabatnya untuk sesi berubat. Daripada
pemerhatian penulis, wajah lelaki itu kelihatan bengis dan agak menakutkan.
Matanya yang kemerah-merahan sentiasa merenung tajam ketika bercakap. Setelah
memperkenalkan diri dan memberitahu kononnya penulis mahu memiliki seorang
lelaki yang disukainya, ustaz itu memulakan sesi ‘kaunseling’ bagi mendapatkan
perhatian penulis. “Jika awak inginkan lelaki itu, datang semula ke sini dengan
membawa gambar dan barang miliknya sama ada baju, pen, buku atau apa sahaja. Kemudian,
saya akan buatkan dia tergila-gilakan awak, tidak kisahlah hatinya cintakan
awak atau tidak kerana yang penting dia akan menjadi milik awak,” ujarnya
kepada penulis. Namun, ada syarat yang perlu awak patuhi kalau tidak mahu ia
memakan diri,” tambahnya yang membuatkan penulis berasa gementar. Awak dilarang
sama sekali melakukan hubungan seks dengan lelaki itu meskipun setelah
berkahwin nanti,” jelasnya.
Setelah mengangguk
tanda faham, rakan penulis cuba untuk ‘memancing’ bomoh tersebut dengan meminta
kebenaran untuk membeli minyak pengasih seperti yang diiklankan dalam laman
webnya. Namun, bomoh itu enggan menjualnya kerana menurutnya dia tidak menjual
minyak itu kepada sembarangan orang dan menjual kepada orang yang telah berumur
sahaja. “Kamu berdua masih muda, belum tiba masanya untuk kamu memiliki minyak
itu. Saya takut ia akan memakan diri kamu nanti,” katanya. Menurutnya,
pelanggan yang datang menemuinya pula bukan sahaja terdiri daripada golongan
muda, isteri, suami orang, janda dan duda, malahan juga golongan artis serta
orang ternama negara ini yang mempunyai agenda tersendiri. “Jika awak memiliki
minyak ini, awak tidak akan menjadi diri sendiri lagi kerana semua orang yang
awak suka akan dengan rela hati datang menyerah diri kepada awak sehingga awak
tidak dapat tidur dengan lena,” katanya pada akhir pertemuan.
Sumber
Kosmo Ahad
11 November 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan