10 Oktober 2012

ISU IPT : PENSYARAH LAMA MASIH RELEVAN


Rencana ini ditulis oleh :
Oleh Ruhaiza Rusmin


Ada pihak cuba membandingkan antara pensyarah muda dan lama dengan menganggapnya masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Pensyarah muda dikatakan lebih bersemangat, mudah memahami, mempunyai pandangan dan idea berbeza selain mampu menyelami permasalahan dengan lebih terbuka biarpun kekurangan pengalaman mengajar. Pensyarah lama disifatkan tegas, sukar berkompromi, kurang memahami, ego biarpun penuh pengalaman di dada. Dua pendapat kontra ini ada kalanya menimbulkan konflik, sekali gus mewujudkan jurang ketidakpuasan hati yang boleh menjejaskan misi pembelajaran.

Atau, apakah ia sekadar telahan atau 
isu bersifat peribadi semata-mata?

Pensyarah muda di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Abdul Hamid Saifuddin berkata, kewibawaan setiap pensyarah tidak boleh dinilai melalui usia, sebaliknya lebih menjurus kepada nilai melaksanakan tanggungjawab. Beliau berkata, tiada isu dalam soal itu kerana pensyarah muda dan lama saling memerlukan bagi menghasilkan keputusan terbaik.

“Masing-masing ada kelebihan dan kelemahan. Pensyarah muda ada caranya, begitu juga 
pensyarah lama. Kedua-duanya ada gaya dan cara tersendiri menyampaikan ilmu serta penampilan personaliti. Bagaimanapun, ia sering disalahertikan segelintir pihak. Hakikatnya, tidak timbul isu ingin menunjukkan ‘kuasa,’ sebaliknya perlu menerima bahawa setiap individu memiliki cara tersendiri 
melaksanakan tugasan dan tanggungjawab,”

Biarpun tidak menafikan ada terdengar rungutan segelintir pensyarah muda mengenai sikap pensyarah lama ingin menunjukkan kuasa veto, beliau berkata, mereka perlu menganggapnya sebagai ‘salah faham’ kecil yang boleh dimaafkan. “Sebagai manusia, masing-masing ada hak menyuarakan pendapat. Hanya cara dan penerimaan berlainan menyebabkan ia sukar diterima. “Keseluruhannya, perhubungan kami harmoni dan profesional. Tegur menegur perlu bagi memperbaiki kelemahan selain menjadi proses belajar bagi memperoleh pengalaman baru.  Justeru, tidak perlu bertelingkah mengenainya kerana ia hanya membuang masa,” katanya.

Walaupun bukan secara terbuka, konflik dua kategori profesional di institusi pengajian berkenaan sukar dielakkan, apatah lagi pensyarah lama dikatakan seperti mahu mempamerkan ‘kekuasaan’ dan memberi tekanan kepada pensyarah muda. Pensyarah muda pula dikatakan cuba menunjuk pandai dan melangkau pengalaman sedia ada yang disifatkan sudah terlalu lama mengaplikasikan cara pembelajaran konservatif selain takut kedudukan tergugat. Menyifatkannya sebagai masalah peribadi, beliau berkata, meskipun ada pensyarah lama masih mempraktikkan cara pembelajaran lama, tidak bermakna mereka gagal memikat perhatian mahasiswa.

“Dalam situasi ini, semuanya menang-menang. Pensyarah lama biarpun dikatakan lebih senang kepada cara konservatif, namun ilmu dan pengalaman mereka banyak. Pensyarah muda biarpun terlalu bertenaga, mereka masih cetek ilmu dan pengalaman. Banyak selok-belok perlu dipelajari dan tunjuk ajar pensyarah lama sangat diperlukan,”

Kepentingan dalam kenaikan pangkat atau apa jua kedudukan adalah bonus. Tapi bukan dengan cara ‘mencantas’ orang lain yang akhirnya akan menjatuhkan kredibiliti sendiri. Tidak benar pensyarah muda mahu menunjuk pandai kerana kami juga mahu belajar serta menganggap setiap persaingan adalah sihat demi kebaikan bersama. Ditanya hubungan dengan mahasiswa yang dikatakan lebih berpihak kepada pensyarah muda, katanya, mereka tetap mengamalkan profesionalisme biarpun pada masa sama berdepan cabaran emosi dan fizikal. Menurutnya, walaupun ada yang mengklasifikasikan pensyarah muda ‘ sekepala’ namun mereka perlu bersikap profesional dan tidak bertindak ‘ berlebihan’. Mereka (pensyarah muda) sedaya upaya memberikan mekanisme terbaik kepada pelajar. Mungkin kerana jarak usia yang tidak jauh menyebabkan hubungan lebih mesra.

Bagaimanapun, sebagai pensyarah masih ada kod etika perlu diikuti. Masih perlu batas dan jurang supaya hubungan itu tidak disalahgunakan.. Bagi pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Ahmad Mokhtar Selat, isu persaingan antara pensyarah muda dan lama tidak seharusnya wujud kerana boleh menggugat proses pembelajaran. Beliau berkata, sebagai ahli akademik yang menerajui institusi pengajian tinggi, isu remeh temeh perlu diketepikan bagi memastikan setiap proses pendidikan berjalan lancar. Bagi saya ia isu peribadi yang tidak perlu digembar- gemburkan malah memalukan kerana seolah-olah mencabar kredibiliti golongan berpendidikan tinggi. Masih banyak lagi isu lebih penting perlu diselesaikan. Baru atau lama, masing-masing ada kelebihan tersendiri, jadi mengapa perlu gusar?

“Yang perlu menjadi keutamaan ialah melunaskan tanggungjawab memberi ilmu, sekali gus memastikan mahasiswa yang dididik mendapat manfaat,” katanya. Beliau mengakui cara pembelajaran antara dua generasi itu berbeza dan mengikut keselesaan masing-masing. “Ada beranggapan pensyarah lama malas dan tidak mahu seiring perkembangan teknologi pendidikan hingga menjadikan sesi pembelajaran bosan. “Ini subjektif dan boleh dilakukan sesiapa saja. Bukan semua pensyarah lama begitu dan mungkin ia dilemparkan melalui pandangan kasar. “Metodologi dan cara masing-masing berbeza, jangan samakan malah ada juga pensyarah baru gagal menyaingi rentak pensyarah lama hingga menjejaskan sesi pembelajaran,” katanya.

Katanya, cabaran pensyarah lama juga semakin meningkat, apatah lagi mahasiswa zaman alaf baru lebih bersikap proaktif, terbuka dan sukakan cabaran. “Ini satu lagi cabaran besar yang perlu dihadapi menjadikan kami perlu bangkit bersama bagi menyaingi kehendak mahasiswa alaf baru.  “Cara pembelajaran, penggunaan teknologi serta peningkatan pengetahuan perlu dikemas kini supaya setara dengan kehendak semasa. “Jadi, di mana relevannya jika ada pihak mengatakan kami ketinggalan dan tidak setanding pensyarah baru?” katanya.

Sumber
Harian Metro
8 Oktober 2012

09 Oktober 2012

ISU UMUM : TUGAS CEGAH PENYELUDUPAN KIAN MENCABAR


Rencana ini ditulis oleh :
ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my


Di Malaysia, rakyat amat beruntung kerana kerajaan mengamalkan langkah pemberian subsidi kepada barangan keperluan seperti gula, minyak masak, petrol dan diesel. Sesungguhnya, subsidi jika dilihat dalam konteks ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak pernah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya. Namun, apa yang mengecewakan adalah apabila ada individu tamak dan tidak bertanggungjawab bertindak menyeludup barang-barang yang disubsidikan itu ke negara jiran menyebabkan rakyat tempatan yang sepatutnya menikmati pemberian tersebut dinafikan hak mereka. Penyeludupan barangan dari luar negara seperti senjata api, mercun, kosmetik dan makanan mengandungi kimia merbahaya pula mengancam keselamatan rakyat negara ini.

Memang sukar sekali untuk membendung aktiviti penyeludupan yang sudah berakar umbi dalam kehidupan masyarakat terutama mereka yang tinggal di kawasan sempadan Malaysia-Thailand. Antara laluan penyeludup yang popular adalah Padang Besar di Perlis; Bukit Kayu Hitam di Kedah, Pengkalan Hulu di Perak serta Rantau Panjang, Pasir Mas dan Pengkalan Kubor di Kelantan. Dalam masa sama, kawasan bersempadan dengan Indonesia, Filipina dan Brunei tidak terlepas menghadapi masalah tersebut. Aktiviti haram itu memang sukar dibendung apatah lagi apabila berlaku perkembangan teknologi semasa yang memudahkan penyeludup berkomunikasi dan menggunakan kaedah canggih untuk mengaburi kegiatan mereka.

Bagi Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), kegiatan haram itu perlu disekat kerana sedar isu penyeludupan yang berlaku di sempadan jika tidak ditangani ia bukan sahaja boleh memberi kesan terhadap ekonomi dan sosial tetapi turut mengancam keselamatan negara. Sehubungan itu, UPP merancang untuk membina stesen pemeriksaan di seluruh negara memandangkan ketika ini hanya menempatkan anggotanya menjaga pintu sempadan di Kedah, Perlis, Kelantan dan Perak. Ketua Pengarah UPP, Datuk Ab. Rahim Ismail berkata, cadangan menempatkan anggota di semua pintu sempadan adalah satu usaha bagi membanteras aktiviti penyeludupan dengan lebih menyeluruh dan berkesan memandangkan trend jenayah penyeludupan pada hari ini sudah berubah berbanding dulu dan menjadi semakin kompleks.

Beliau yang juga Setiausaha Bahagian Kepolisan dan Keselamatan Sempadan berkata, aktiviti penyeludupan dulu lebih kepada menyeludup barang keperluan asas seperti beras, minyak masak serta dadah jenis heroin dan ganja. Bagaimanapun ketika ini, katanya, trend penyeludupan sudah berbeza apabila penyeludup beralih kepada kegiatan membawa masuk dadah sintetik, barangan subsidi seperti petrol dan diesel, jenayah terancang seperti pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram dan penyeludupan senjata api. Tambahnya, aktiviti penyeludupan juga tidak tertumpu lagi di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, malah turut berlaku secara berleluasa di sempadan negara ASEAN lain yang berjiran dengan negara ini seperti Filipina, Indonesia dan Brunei. Jadi adalah wajar jika kita memperluaskan penugasan di kawasan sempadan lain di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Di Sabah dan Sarawak misalnya penugasan menjadi lebih mencabar kerana sempadan yang lebih panjang, manakala aktiviti penyeludupan berlaku dalam kapasiti yang lebih besar," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks D Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya baru-baru ini. Ab. Rahim berkata, sejak UPP ditubuhkan pada 1976, pelbagai usaha dibuat oleh agensi penguat kuasa itu bagi membanteras aktiviti penyeludupan di sempadan seperti mengadakan sekatan jalan raya, rondaan, risikan, pemeriksaan mengejut dan operasi khas. Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain melalui operasi secara bersepadu dan perkongsian maklumat.

Menurutnya, anggota UPP menghadapi pelbagai cabaran dan masalah semasa menjalankan tugas penguatkuasaan di sempadan seperti menangani persepsi masyarakat terhadap pasukan keselamatan itu. Adakalanya, anggota UPP kurang mendapat kerjasama daripada masyarakat setempat semasa melaksanakan tugas penguatkuasaan di pintu masuk terutama pemeriksaan jalan raya. Ada juga anggota yang dimaki hamun dan dihambur dengan kata-kata kesat semasa pemeriksaan dan sesetengah pihak beranggapan UPP tidak menjalankan tugas dengan baik berikutan masalah penyeludupan yang berlaku di sempadan walaupun sebenarnya tugas itu dijalankan dari semasa ke semasa," ujarnya. Ab. Rahim memberitahu, kebanyakan penyeludup semakin licik dengan pelbagai taktik dan modus operandi mereka pula sentiasa berubah kerana sudah biasa dengan bentuk pemeriksaan agensi penguatkuasa di sempadan.

Beliau berkata, pergerakan penyeludup juga tidak mengira waktu dan dibantu oleh kemudahan teknologi komunikasi yang semakin canggih bagi memudahkan urusan mereka dalam merancang aktiviti penyeludupan. Katanya, keadaan ini menyukarkan UPP mengesan penyeludup kerana agensi itu hanya bergantung kepada risikan dan kerjasama orang ramai untuk mendapatkan maklumat. Kita juga menghadapi masalah logistik bagi menjalankan operasi. Contohnya, pemeriksaan ke atas lori-lori kontena dan kenderaan yang membawa muatan dalam kuantiti yang besar memerlukan peralatan yang sesuai dan mencukupi bagi memudahkan proses pemunggahan, manakala kenderaan penunda diperlukan bagi membawa kenderaan yang dirampas atau ditinggalkan penyeludup," jelasnya. Menurut Ab. Rahim, sejak Januari hingga Jun lalu, UPP melaksanakan sebanyak 8,109 operasi dan berjaya memperoleh 626 kes membabitkan nilai rampasan berjumlah RM12.77 juta serta memberkas 276 pendatang asing tanpa izin (Pati).

Beliau berkata, nilai rampasan barang seludup tinggi dicatatkan oleh kenderaan iaitu RM6,950,040 diikuti kayu (RM3,622,950), diesel dan petrol (RM504,497.60) manakala minuman keras dan rokok (RM416,980.49). Turut dirampas adalah haiwan bernilai RM348,775, dadah (RM185,190), mata wang (RM166,450), lain-lain kes seperti kosmetik (RM119,837), mercun dan bunga api (RM115,473.13), barangan pengguna (RM114,843.70), beras (RM100,231), perikanan (RM64,200), pertanian (RM32,600), pakaian (RM11,331.50), penerbitan dan filem (RM20,500) serta baja dan racun rumpai (RM1,500).

Sumber
Utusan Malaysia
9 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : PERLU SANGATKAH MURID BAWA TELEFON BIMBIT?


Rencana ini ditulis oleh :
Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.


Nampaknya isu sama ada murid boleh atau tidak membawa telefon bimbit ke sekolah timbul semula. 
Kali ini persoalan itu dibangkitkan di Dewan Parlimen pada 3 Oktober lalu. Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng ingin tahu sama ada Kementerian Pelajaran membenarkan murid membawa 
telefon bimbit ke sekolah serta kesan sampingan sekiranya dasar itu dilaksanakan.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyatakan satu sesi perbincangan meja bulat telah diadakan pada 25 Ogos lalu melibatkan pihak berkepentingan antaranya pengetua, guru dan ibu bapa membincangkan keperluan serta cadangan berkaitan penggunaan peralatan komunikasi itu oleh murid. Kementerian Pelajaran sedang meneliti secara menyeluruh pendapat serta pandangan masyarakat termasuk tokoh akademik, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), guru, ibu bapa dan murid sebelum satu keputusan muktamad diumumkan,’ demikian dijelaskan beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam jawapan bertulis kepada soalan Teck Meng itu.

Soalan itu mungkin ada kaitan dengan usul yang dikemukakan oleh pihak kementerian pada Julai lepas membenarkan murid membawa peralatan komunikasi seperti telefon bimbit dan iPad ke sekolah bermula pada tahun depan. Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan terutama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan guru yang rata-rata berpandangan langkah tersebut akan mengundang lebih banyak masalah selain menjejaskan pembelajaran murid. Sesungguhnya isu telefon bimbit ini dinyatakan dengan jelas melalui Surat Pekeliling Iktisas Bil. 11/2005 Garis Panduan Penggunaan Telefon Bimbit Oleh Murid Sekolah dan Surat Pekeliling Iktisas Bil. 2/2009 Penguatkuasaan Larangan Membawa Dan Mengguna Telefon Bimbit Oleh Murid Di Sekolah.

Kedua-dua Pekeliling ini tidak membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah bertujuan mendidik murid menggunakan alat tersebut dengan cara yang betul dan larangan ini hanya berkuatkuasa dalam kawasan sekolah. Penggunaan alat itu tanpa kawalan boleh mengganggu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu boleh mendatangkan pelbagai masalah disiplin seperti kecurian, pergaduhan serta penyebaran bahan maklumat yang boleh mempengaruhi perlakuan negatif dalam kalangan murid. Membawa dan menggunakan telefon bimbit adalah melanggar peraturan dan boleh diambil tindakan disiplin dengan hukuman amaran bertulis dan dilarang menggunakan kemudahan sekolah atau mengambil bahagian dalam program atau aktiviti sekolah untuk satu tempoh tertentu.

Terdapat dua pandangan berhubung isu telefon bimbit ini. Pihak yang menyokong akan menggunakan premis era perkembangan dunia teknologi dan peredaran zaman moden. Bagi mereka penggunaan alat elektronik ini adalah suatu keperluan dan elok dilihat secara positif serta menekankan aspek kebaikan yang boleh didapati melaluinya. Dalam zaman IT ini kecanggihan alat telekomunikasi memang banyak keperluannya, bergantung kepada kebijaksanaan dan bagaimana alat itu digunakan dalam usaha meningkatkan kebolehan dan keupayaan murid. Telefon bimbit masa kini begitu canggih di mana penggunaannya boleh berfungsi sebagai sebuah komputer. Mempunyai kemudahan Internet dan boleh menyimpan beribu-ribu maklumat yang boleh digunakan pada bila-bila masa. Oleh itu sekiranya digunakan dengan cara yang betul, dapat membantu murid mendapatkan maklumat yang diperlukan dengan cepat dan berkesan. Dalam hal ini kerjasama dan bimbingan guru sangat diperlukan supaya penggunaan alat tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Telefon bimbit juga boleh digunakan sebagai alat penghubung yang mudah dan cepat. Murid dapat menghubungi ibu bapa apabila diperlukan seperti memaklumkan perubahan waktu balik sekolah atau makluman perubahan oleh ibu bapa sendiri. Ia juga boleh digunakan semasa kecemasan. Misalnya, boleh menghubungi segera guru atau ibu bapa jika berlaku perkara yang tidak diingini seperti kejadian buli, peras ugut atau culik. Namun demikian di pihak satu lagi adalah pandangan sebaliknya. Menurut mereka jika dibenarkan akan menimbulkan jurang perbezaan antara murid yang berada dengan yang tidak mampu. Sudah tentu murid yang datang dari keluarga yang berpendapatan tinggi dan menengah atas tiada masalah menyediakan alat itu untuk anak mereka. Tetapi murid daripada keluarga berpendapatan rendah telefon bimbit adalah suatu peralatan mewah.

Suasana ini boleh melebarkan jurang dan rasa 
rendah diri bagi mereka yang tidak mampu. Matlamat sekolah sebagai tempat untuk mendidik dan membangunkan diri murid yang datang dari pelbagai latar belakang akan terjejas.

Membawa telefon bimbit ke sekolah boleh menimbulkan masalah lain seperti kecurian dan pergaduhan. Bagi murid yang tidak memiliki alat itu mungkin akan mengambil kesempatan untuk mencuri telefon bimbit rakan mereka. Kejadian ini akan membawa kepada suasana tegang apabila timbul rasa syak wasangka dan tuduh menuduh akhirnya boleh mengakibatkan pergaduhan. Proses pengajaran dan pembelajaran boleh terganggu apabila murid sibuk menggunakan telefon bimbit mereka. Tumpuan murid akan terjejas dan tidak dapat mengikuti pengajaran guru sepenuhnya. Lebih malang murid lain yang tidak memiliki telefon akan turut terganggu. Ada kalanya alat ini boleh digunakan sebagai kamera video yang dapat merakam termasuk sesuatu yang lucah atau berbentuk negatif. Dikhuatiri juga akan menimbulkan perbuatan meniru dalam ujian dan peperiksaan kerana sesuatu cacatan dan maklumat boleh disimpan dan dilihat pada bila-bila masa.

Jika dibenarkan murid membawa alat itu ke sekolah maka tugas guru akan bertambah. Sudah tentu guru akan ditugaskan mengawal dan memantau penggunaannya agar tidak disalahguna. Cuba bayangkan jika terdapat seribu orang murid di sekolah itu dan semuanya membawa telefon bimbit sudah tentu sedikit sebanyak akan mengganggu ketenangan dan ketenteraman sekolah. Keputusan muktamad Kementerian Pelajaran sentiasa dinantikan sama ada kekal mematuhi arahan Surat Pekeliling sedia ada atau membuat perubahan sebaliknya. Atau opsyen ketiga dengan membenarkannya secara terhad maksudnya hanya kepada murid yang lebih senior. Sama-sama kita tunggu.

Sumber
Utusan Malaysia
9 Oktober 2012

08 Oktober 2012

ISU SOSIAL : PENGEMIS KAYA BUKAN DONGENGAN


Rencana ini disediakan oleh
ROSMIZA KASIM, IZWAN ROZLIN, 
MOHD AZLIM ZAINURY, HAZELEN LIANA KAMARUDIN, 
HIDAYAH HAIROM


Kita biasa dengar atau baca cerita pengemis yang kaya, menginap di hotel atau dijemput dengan kereta selepas minta sedekah di kaki lima. Namun satu kisah benar yang dibongkar di sebuah rumah kebajikan di Marang, Terengganu, seharusnya membuka mata semua pihak. 

Seorang penghuni rumah kebajikan itu 
(nama dirahsiakan) yang sering curi keluar untuk mengemis, didapati menyimpan wang tunai lebih kurang RM15,000 di bawah katilnya selain mempunyai tiga 
akaun bank berasingan dengan nilai simpanan 
RM60,000. Ini semua ditemui selepas dia 
meninggal dunia kira-kira sebulan lalu.

Jadi, cerita pengemis kaya di negara kita bukan hanya kisah dongeng atau cerita mulut ke mulut, sebaliknya suatu realiti yang menuntut kita bersama-sama berfikir, bagaimana ini boleh terjadi? Bukan kita mahu menghalang orang daripada membuat kebajikan, namun manipulasi dalam kegiatan mengemis ini bukan cerita baru. Dengan adanya pengemis yang kaya, kita tidak mahu negara bertuah ini dianggap sebagai negara yang kaya dengan pengemis. Lihat sahaja di mana-mana, pengemis sekarang bukan sahaja berwajah tempatan, malah ada juga yang 'diimport'. Ini terjadi kerana dalam keadaan kita dihadap dengan pelbagai cerita hal pengemis, masih ramai mahu berbaik sangka dengan alasan "saya ikhlas mahu buat kebajikan. Soal mereka menipu, itu antara mereka dengan ALLAH."

Ya, memang benar namun sama ada kita sedar atau tidak, sikap mudah percaya dan tidak usul periksa juga menggalakkan lagi bilangan pengemis yang sekali gus menimbulkan banyak masalah dalam masyarakat kita. Kita bukan tidak pernah dengar mengenai sindiket yang mengaut kekayaan dengan cara mudah memperalatkan golongan kurang upaya untuk meminta sedekah bagi pihak mereka. Apabila kita memberi sumbangan kepada golongan ini, kita bukan membantu mereka tetapi menggalakkan lagi penganiayaan terhadap golongan ini kerana hasilnya bukan kepada mereka tetapi kepada pihak sindiket. Ada laporan bahawa sindiket yang tidak berperikemanusiaan ini malah tergamak mencederakan atau merosakkan anggota tubuh pengemis yang diperalatkan bagi memudahkan lagi mereka mendapat simpati.

Itu belum termasuk kumpulan memperalatkan kanak-kanak, berselindung di sebalik penjualan produk, si celik yang kononnya membantu si buta menjual tisu atau penanda buku, walhal tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk berkongsi hasil. Tidak kurang juga kehadiran pengemis dalam masyarakat kita ada yang berakhir dengan jenayah seperti ragut atau samun. Soalnya, kita bukan mahu menghalang orang membuat kebajikan atau membantu mereka yang benar-benar memerlukan. Namun hakikatnya di negara kita, untuk golongan kurang bernasib baik ini, mereka dilindungi dengan sebaik mungkin oleh kerajaan di bawah undang-undang yang khusus untuk melindungi hak dan kepentingan mereka, Akta Orang Papa 1997 (Akta 183).

Selain itu, terdapat agensi yang khusus untuk membantu mereka seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyediakan bukan sahaja perlindungan malahan kursus kemahiran bagi membantu golongan kurang upaya menjana pendapatan sendiri, rumah perlindungan bagi warga emas untuk mengelak mereka jadi kutu rayau dan sebagainya. Di negeri-negeri, peruntukan bawah bidang kuasa agensi pungutan zakat juga terbuka luas untuk golongan ini. Kerana itu, berhadapan dengan golongan pengemis, tidak kira apa modus operandi, mereka harus dicurigai.

Jika tidak, memberi sumbangan kepada mereka 
yang kita anggap sebagai sumbangan kebajikan, sebenarnya ia juga sumbangan untuk meningkatkan 
lagi masalah sosial dalam masyarakat kita.

Sumber
Sinar Harian
8 Oktober 2012

07 Oktober 2012

ISU UMUM : INSOMNIA PUNCA KERUGIAN RM101.3 BILION



Rasa mengantuk ketika bekerja dan tidak dapat menumpukan perhatian? Ia menyebabkan kerugian besar terhadap anda dan juga negara. Kajian yang dijalankan penyelidik menganggarkan masalah insomnia bertanggungjawab terhadap 274 000 kes kejadian kemalangan dan kesalahan di tempat kerja, menambah kepada AS$31 billion (RM101.3 bilion) kos tambahan.  Kajian cadang agar tempat kerja memberi lebih perhatian terhadap penghidap insomnia dan membuat skrin pekerja untuk mengenal pasti bakal pekerja yang mengidap insomnia," Victoria Shahly, Ketua penyelidik Kajian yang dijalankan tidak konklusif berikutan wujud faktor lain selain faktor mengantuk yang mengakibatkan kemalangan, misalnya.

Mengantuk musuh utama

Begitupun, kajian itu tetap mengaitkan antara kekurangan tidur dengan masalah di tempat kerja. “Kajian cadang agar tempat kerja memberi lebih perhatian terhadap penghidap insomnia dan membuat skrin pekerja untuk mengenal pasti bakal pekerja yang mengidap insomnia,” kata ketua penyelidik, Victoria Shahly, pakar psikologi dan pelatih pelajar di Universiti Perubatan Harvard di Boston.  Beliau berkata, kemalangan dan kesalahan secara langsung akan menjejaskan kecekapan di tempat kerja.

“Mengantuk adalah musuh utama kepada usaha 
untuk fokus. Apabila kita letih kekuatan memori, koordinasi dan perhatian akan mula merosot,”

Di dalam kajian baru Shahly dan rakan sekerja mencuba untuk memahami keadaan ini dan kaitannya dengan tempat kerja. Pada 2008 dan 2009, penyelidik membuat kajian ke atas 10,000 pekerja di Amerika Syarikat yang mempunyai insurans kesihatan dan berbahasa Inggeris. Peserta dipilih kerana mereka mewakili penduduk negara secara amnya dan menjawab soalan melalui panggilan telefon. Penyelidik menganggarkan 20 peratus daripada peserta terbabit menghidapi insomnia sekurang-kurangnya 12 bulan lalu.

Terbabit kemalangan

Bagi kes kemalangan, penyelidik mendapati 5.5 peratus mereka yang mengalami insomnia akan terbabit di dalam kemalangan atau kesalahan di tempat kerja yang menelan kos AS$500 (RM1,635) berbanding empat peratus bagi mereka yang tidak mengalami insomnia. Bentuk kemalangan dan kesalahan yang dilakukan adalah membuat kesilapan ketika berada di dalam barisan pemasangan, terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika bekerja dan kesalahan di dalam membuat perhitungan, kata Shahly.

Pengarah di unit Penyelidikan Klinikal Tidur di Universiti Loughborough di Leicestershire, England Kevin Morgan, memuji penyelidikan itu dan berkata kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi topik yang kurang mendapat perhatian ini. Sehingga kini penyelidik masih cuba memahami kesan kekurangan tidur terhadap pekerja dan bagaimana ia memberi kesan kepada pekerja yang tinggal di rumah dan bukan di tempat kerja, kata beliau.

Sumber
Berita Minggu
7 Oktober 2012

ISU UMUM : MENERIMA HAKIKAT BAHAWA DUNIA HARI INI IALAH MODEN


Rencana ini ditulis oleh :
Zin Mahmud


Perkataan moden boleh ditakrifkan secara pelbagai dengan sudut pandangan berbeza yang boleh menyemarakkan perbahasan sehingga tidak ada penghujungnya. Akan tetapi untuk memudahkan perbincangan amat ringkas ini, tafsiran moden yang hendak ditetapkan adalah zaman apabila manusia menilai alam sekelilingnya menurut pemahaman sains. Sains juga mempunyai pelbagai takrifan. Ada yang menyamakan istilah sains dengan ilmu. Perkara ini juga tidak ada penghujungnya. Untuk memudahkan perbincangan, sains yang hendak diulas di sini merujuk kepada cara manusia memahami alam sekelilingnya melalui pemerhatian dan pertimbangan akalnya berdasarkan bukti uji kaji.

Lebih mudah untuk diperkatakan ialah sains merujuk kepada himpunan suatu usaha manusia yang timbul di sekitar kurun ke-16 dan 17 di Eropah khususnya di Britain. Pada masa itu berlakulah apa yang kini dikenali sebagai Revolusi Saintifik dengan nama-nama besar saintis, antaranya Isaac Newton. Dengan tercetusnya Revolusi Saintifik, maka berlakulah juga perubahan teknologi manusia yang kini dikenali sebagai Revolusi Industri. Kedua-dua ini adalah mercu tanda dunia moden. Maknanya apa yang dikatakan sebagai dunia moden boleh dikira dari ketika sains mula diamalkan. Maka, hari ini, ialah zaman moden. Sebelum itu disebut pra-moden. Semua manusia yang ada hari ini menjalankan kehidupan moden. Iaitu sekurang-kurangnya kebanyakan manusia di dunia.

Mungkin suku-suku kaum terpencil yang masih ada mengamalkan kehidupan pra-moden. Daripada mula Revolusi Sains dahulu, sedikit demi sedikit, akhirnya keseluruhan dunia menjadi moden dan mengambil sains sebagai pemahaman hidup ini. Sejak lahir, hampir keseluruhan manusia di dunia hari ini sudah menjadi moden dan menerima cara pemikiran sains. Dunia pra-moden sudah lama berlalu. Di Malaysia, bila masa mula penduduk negara ini menjadi moden dengan menerima cara pemikiran saintifik adalah suatu yang menarik untuk diketahui. Tetapi apa yang jelas ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan diikuti dengan penubuhan Malaysia, rakyat negara ini sudah menjadi moden dan menerima sains sebagai cara untuk memahami dunia sekitarnya.

Progresif

Malah dalam Rukun Negara telah juga dinyatakan bahawa rakyat negara ini berhasrat membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden. Di Malaysia tidak pernah berlaku Revolusi Sains. Tetapi sains menjadi cara fikir rakyat ini secara halus dan menyeluruh tanpa begitu disedari. Oleh itu, rakyat negara ini turut menjadi moden secara perlahan, tanpa kontroversi dan polemik. Namun jika diteliti sejarah, pemikiran saintifik mula tersemai di negara ini melalui pertanian. Oleh kerana teras masyarakat negara ini adalah pertanian, maka di bidang inilah cara fikir sains diperkenalkan. Usaha kerajaan kolonial memperkenalkan tanaman getah di Tanah Melayu diperkukuhkan dengan penubuhan Jabatan Pertanian dan Sekolah Pertanian telah merintis kepada kesedaran cara berfikir sains di negara ini.

Maka perubahan dan cadangan untuk meningkatkan mutu penghasilan pertanian oleh kerajaan kolonial telah diterima baik oleh peladang dan petani tempatan. Dari sinilah kemajuan pertanian di negara ini berkembang meliputi penubuhan Sekolah Pertanian, yang kemudian menjadi Kolej Pertanian. Malaya tidak menoleh ke belakang. Sains, teknologi dan industri sudah diterima oleh rakyat negara ini. Serentak itu negara ini menjadi moden merentasi dari zaman pembangunan kepada impian wawasan. Tetapi otak manusia tidaklah bersifat saintifik secara semula jadi, serta merta dan sedia ada. Untuk berfikiran saintifik, ia memerlukan usaha yang memenatkan otak. Sains bukanlah sesuatu yang masuk akal (common sense). Tanpa tunjuk ajar yang mencelikkan otak seseorang, manusia lebih selesa untuk berada dalam mitos, syak wasangka dan fantasi.

Maknanya sifat kemodenan itu bukanlah suatu yang semula jadi. Tabir mitos perlu disingkap barulah otak dapat melihat rumus-rumus sains. Ia tidaklah mudah. Maka tidak menghairankan, walaupun mempelajari sains dari sejak sekolah rendah, dan terdedah dengan pemikiran saintifik dalam media massa, ditambah pula dengan kehidupan moden yang menggunakan teknologi, otak seseorang boleh terus diselubungi dengan mitos-mitos pra moden. Untuk menikmati mitos-mitos pra moden dengan menganggapnya sebagai hiburan dan warisan budaya, ia tidaklah sesuatu yang berbahaya. Tetapi jika seseorang menolak kemodenan dan cara fikir sains untuk hidup kembali ke dalam alam mitos kurun ke-16 atau sebelumnya, mereka pasti menemui jalan buntu. Kemodenan adalah realiti hari ini. Dalam banyak-banyak bidang sains, perubatan berasaskan buktilah yang banyak menyelamatkan nyawa.

Sumber :
Mingguan Malaysia
7 Oktober 2012

05 Oktober 2012

ISU UMUM : BUKU BELUM MATI, BEGITU JUGA TRADISI ILMU


Rencana ini ditulis oleh :
Johan Jaaffar


Judul kecil bagi buku The Gutenberg Elegies karya Sven Birkerts ialah The Fate of Reading in An Electronic Age. Buku ini menanyakan apakah benar dalam keghairahan kita mengalu-alukan era elektronik kita sebenarnya mengabaikan budaya membaca dan membunuh industri buku?

Sebenarnya manusia lebih banyak membaca daripada sebelum ini. Mungkin mediumnya berubah daripada buku atau akhbar dalam bentuk tradisionalnya kepada membaca dalam dunia siber menggunakan landasan media baru e-mel, SMS, Facebook, Twitter dan sebagainya. Melayari Internet itu sendiri menuntut ketekunan membaca. Akhbar talian menjadi pilihan baru pembaca muda, begitu juga buku dalam bentuk elektronik. Kini kita melahirkan generasi e-pembaca. Buku belum berkubur, itulah hakikat yang harus diterima. Malah lebih banyak buku diterbitkan pada masa ini daripada zaman sebelum ini. Era elektronik sebenarnya membantu memperkaya dunia buku dan pembacaan.

Debat berkuburnya buku bukan baru. Pada tahun 50-an apabila TV mula menjadi popular, banyak pihak yang meramalkan buku akan pupus. Jumlah penerbitan buku menunjukkan sebaliknya. Menurut Gabriel Zaid dalam bukunya So Many Books, pada tahun-tahun 50-an, dunia menerbitkan kira-kira 250,000 judul setahun. Apabila mesin cetak Gutenberg memungkinkan buku dicetak secara meluas pada tahun 1450, hanya 100 judul mampu diterbitkan setahun. Pada tahun 2000, sejuta judul buku telah diterbitkan. Sebagai perbandingan pada tahun 1947, Amerika Syarikat (AS) mempunyai hanya tujuh saluran TV, pada tahun 1949 jumlah itu menjadi 50 dan 517 pada tahun 1960. Hari ini jumlahnya ribuan. Di antara tahun 1947 dan 1960, judul buku yang diterbitkan di AS meningkat dari 7,000 setahun menjadi 15,000. Stesen TV bertambah banyak kali ganda.

Pada tahun 1550 terdapat 35,000 judul buku yang diterbitkan, seratus tahun kemudian jumlah terkumpul judul buku menjadi 150,000. Pada tahun 1750 jumlahnya ialah 700,000 dan pada tahun 2000, jumlah terkumpul judul buku dunia ialah 52 juta.  Pada hari ini sebuah buku terbit setiap 30 saat. Apabila anda selesai membaca rencana ini, 2,400 judul buku baru telah diterbitkan di dunia.

Sekali lagi, buku belum berkubur. Buku akan terus menjadi wahana ilmu dan maklumat utama manusia. Buku mencorakkan tamadun. Tamadun ditunjang oleh buku. Manusia menjadi cerdik kerana buku dan kecerdikan memungkinkan kelahiran buku. Tradisi keilmuan akan dicorakkan oleh buku, dulu, kini dan selamanya.  Maka itu buku tidak boleh pupus dalam bentuk asalnya. Memang benar era elektronik hari ini mengurangkan waktu membaca manusia dalam konteks yang kita fahami dahulu tetapi tidak mengurangkan jumlah buku yang terbit. Ada pandangan yang mengatakan perpustakaan tidak lagi relevan dengan wujudnya Wikipedia. Semua maklumat boleh didapati di hujung jari. Maklumat dan ilmu pasang siap bukan tandingannya tradisi ilmu sebenar yang teruji oleh amalan kesarjanaan dan budaya fikir yang halus.

Memang benar penerbit buku dan akhbar dicabar dengan hebatnya oleh banyak medium baru dalam era elektronik. Banyak syarikat akhbar yang satu masa dahulu gah kini gulung tikar. Pada waktu yang sama banyak syarikat buku yang berdepan dengan masa depan yang malap. Kompendium ilmu yang tersohor, Encyclopedia Britannica yang bermula pada tahun 1768 mengaku kalah dek asakan elektronik lalu menghentikan penerbitan dalam bentuk tradisionalnya. Pada bulan Mac 2012, penerbit ensiklopedia itu mengumumkan bahawa edisi tahun 2012 merupakan edisi bentuk buku yang terakhir.  Di sebaliknya cerita suram dunia perbukuan, banyak lagi cerita kejayaan luar biasa yang harus kita banggakan. Penerbit masih mampu mengeluarkan judul yang dianggap buku laris dunia yang memberikan kekayaan pada penulis. Penulis yang berjaya hari ini bukan sahaja menjadi selebriti tetapi hidup kaya raya dengan royalti.

Malangnya buku paling laris di Malaysia ialah novel popular dan buku agama. Akhdiat Akasah misalnya telah menulis 87 judul novel menjadikan beliau novelis paling produktif di negara kita. Buku serius sukar dijual, termasuk buku karya Sasterawan Negara kita.

Industri buku di Malaysia sebenarnya lebih kecil daripada industri ayam pedaging. Malaysia hanya mampu menerbitkan paling banyak 5,000 judul buku setahun, kebanyakannya buku teks dan buku kerja sekolah. Kita sepatutnya menerbitkan 12,500 judul buku am setahun. DBP sendiri hanya mampu menerbitkan 300 judul baru setahun. Hari ini China menerbitkan 180,000 judul, United Kingdom 16,000, AS 60,000 dan India 49,000. Terlalu banyak potensi untuk mengembangkan industri buku di negara ini. Apa yang diperlukan ialah usaha menyemarakkannya. Kita memerlukan komitmen semua pihak bagi tujuan ini. Kita perlu menggalakkan pembacaan di kalangan rakyat. Usaha memasyarakatkan buku dan pembacaan memerlukan strategi baru. Buku dan pembacaan masih lagi anak kunci pada tradisi fikir dan budaya ilmu.

Sumber :
Berita Harian
5 Oktober 2012

ISU BAHASA : BAHASA MELAYU MAMPU SAMPAIKAN PEMIKIRAN KRITIS


Rencana ini ditulis oleh :
Teo Kok Seong


Pemberian peruntukan tambahan RM500 juta dalam Belanjawan 2013 untuk mempertingkat kemahiran mengajar dalam kalangan pendidik untuk empat subjek teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, amat dialu-alukan. Ia bertujuan mengembangkan kemahiran berfikiran kritis dalam kalangan pelajar oleh guru.  Sehubungan ini, Sejarah yang diangkat menjadi subjek teras dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, perlu turut dimasukkan dalam latihan perguruan ini. Selain subjek wajib, ia antara kurikulum penting yang dapat memupuk asas dan perspektif nasional yang dikongsi bersama. Kemahiran berfikir aras tinggi sebagai aspirasi penting dalam PPPM, akan cuba dicapai melalui tiga cara.

Pertama, dengan penguasaan kemahiran berfikiran kreatif dan inovatif, pelajar diajar untuk memperoleh kepandaian menjana prospek baharu, selain mencipta gagasan dan pengetahuan baru. Kedua, melalui penguasaan kemahiran menyelesaikan masalah dan menaakul, pelajar dilatih untuk bersedia berdepan dengan sebarang masalah, yang kemudian diselesaikan selepas menaakul dengan kritis dan logik, agar keputusan yang dibuat itu bernas.  Ketiga, melalui penguasaan kemahiran keupayaan belajar, pelajar diasuh untuk memiliki ketangkasan mendorong diri sendiri untuk terus menimba ilmu sepanjang hayat mereka, bagi menjadi warga yang berpengetahuan.

Diakui bidang ini tidak dirangkumi dalam sistem pendidikan negara sebelum ini. Justeru, pelajar kita didapati bukan saja tidak mampu menerapkan ilmu yang diperoleh. Tetapi yang lebih mudarat lagi mereka gagal berfikir secara kritis, khususnya dalam konteks akademik baru.

Sehubungan latihan ini, sesetengah pihak meragui kemampuan guru dalam memperoleh kemahiran begini untuk diri mereka sendiri, sebelum disampaikan kepada pelajar. Dalam hal ini, kita harus meyakini keupayaan guru yang sudah memiliki ilmu mengenai bidang pengkhususan masing-masing, selain ilmu pelajar yang berbagai-bagai dari segi kecerdasan dan lain-lain, serta ilmu pedagogi untuk pendidikan yang berkesan. Apabila setiap kali subjek Sains dan Matematik disentuh dan kali ini dalam konteks pengajaran kemahiran berfikir aras tinggi melalui dua subjek ini, sebahagian daripada masyarakat yang kepingan dan fanatik dengan bahasa Inggeris, menggunakan kesempatan ini untuk cuba mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang sudah dimansuhkan. Alasan yang sama diberikan dan mereka yang menyokong pemansuhannya pula akan memberi hujah yang sama.

Sehubungan ini, sudah tiba masanya PPSMI ini dilupakan dan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dikembangkan. Hal ini sebenarnya ditekankan dalam PPPM melalui Anjakan Kedua yang akan memastikan setiap pelajar memiliki kecekapan yang sama dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, iaitu kedua-duanya saling melengkapi sebagai bahasa kemajuan. Untuk ini, bahasa Melayu adalah bahasa ilmu, bahasa Inggeris pula adalah bahasa sumber ilmu. Dari segi ilmu linguistik, bahasa Melayu kini adalah bahasa moden, yakni bahasa yang mampu mengungkapkan segala macam hal, baik yang konkrit mahupun abstrak, dalam apa-apa juga bidang ilmu. Justeru, dengan upaya sebegini, kita tidak perlu meragui, apatah lagi mempertikai kehandalannya untuk mengendalikan sistem pendidikan negara.

Bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, dari segi linguistik, adalah wahana komunikasi, dengan cara dan pola masing-masing yang boleh dengan jayanya digunakan untuk menyampaikan gagasan pemikiran kritis, selain yang logik, oleh penggunanya yang kreatif dan inovatif. Maka tidak timbullah persoalan bahawa bahasa Inggeris lebih ekspresif sifatnya berbanding bahasa Melayu. Sifat ini, yakni kebolehan menyatakan perasaan, fikiran dan seumpamanya, dengan baik dan lancar, sesungguhnya terletak pada kecekapan berbahasa seseorang itu dan tidak semata-matanya pada sistem bahasa. Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu yang kreatif dan inovatif berjaya menghasilkan ungkapan Ini sabun baharu. Ini baharu sabun yang indah lagi bermaklumat untuk tujuan pengiklanan sesuatu barangan.

Kita harus meyakini keupayaan bahasa Melayu untuk terus mendidik anak bangsa yang mampu bersaing di persada dunia.

Sumber :
Berita Harian
5 Oktober 2012

04 Oktober 2012

ISU SOSIAL : ATASI ISU HINA AGAMA DI INTERNET SECARA BERHEMAH


Anwar Patho Rohman


"Tindakan menghina agama di Facebook sepatutnya tidak berlaku jika orang ramai mempunyai rasa tanggungjawab dan hormat terhadap negara yang mempunyai masyarakat berbilang bangsa serta agama."

Itulah kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar ketika mengulas isu menghina agama dalam internet baru-baru ini. Soalnya, mengapakah perkara itu berlaku. Apakah faktor yang menyebabkan penghinaan itu berterusan. Adakah disebabkan keterbukaan dan sikap bertolak ansur umat Islam mewajarkan Islam dipersenda seperti yang berlaku dalam isu murtad, penggunaan kalimah Allah dan melempar surau dengan cat atau meletakkan kepala babi dekat masjid sebelum ini? Jika berlaku pun penghinaan itu, biasanya ia berakhir dengan ‘drama’ saling bermaaf-maafan diiringi kata-kata ‘menyesal dengan apa yang berlaku’.
Ketagih internet

Lebih menyedihkan jika penghinaan dalam internet itu bukan saja dilakukan bukan Islam, malah orang Islam sendiri tanpa sebarang rasa bersalah. Hakikatnya, perbuatan menghina agama terutama Islam boleh dianggap bukan luar biasa khasnya sejak internet muncul disusuli lambakan laman sosial yang menjadi tempat pengguna internet meluahkan perasaan. Manusia kini begitu ketagih dengan internet sehingga setiap apa saja perasaan, perbuatan, pandangan dan keinginan hati atau yang berlaku sekeliling mereka akan ditulis dalam laman sosial menerusi status mereka sama ada mempunyai tujuan khusus atau sekadar suka-suka. Ketagihan itu pula disokong dengan kemunculan pelbagai telefon pintar canggih yang membolehkan manusia melayari internet di mana saja atau dalam apa situasi sekali pun. Hidup manusia pada hari ini boleh dikatakan seperti ‘tidur internet, makan internet’.

Laman sosial menjadi medan meluahkan rasa atau pendapat dan ia menjadi budaya dalam masyarakat sehingga apa yang diluahkan itu kadangkala menyentuh isu sensitif dalam sudut agama, budaya dan bangsa. Ada yang menyangka, tindakan meluahkan perasaan dan pandangan dalam internet adalah kebebasan dalam dunia maya dan orang lain tidak berhak menghalangnya. Apabila perasaan itu terus bersarang di jiwa, berlaku insiden ada individu dan pihak tertentu tidak lagi sensitif dengan perkara boleh membangkitkan kemarahan penganut agama lain. Di negara ini, penghinaan terhadap agama khasnya Islam menerusi internet dan laman sosial banyak berlaku, namun tidak begitu didedahkan atas alasan untuk memelihara keharmonian antara kaum.

Guna saluran diplomasi

Ramai yang tidak menyedari kerajaan tidak sewenang-wenangnya menggunakan peruntukan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 untuk menghukum mereka yang menghina agama. Sebaliknya, kerajaan masih menggunakan saluran diplomasi bagi menangani isu berkaitan seperti menerusi Rukun Tetangga (RT), persatuan komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO). Kerajaan menggunakan kuasa undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 bagi menangani isu membabitkan keselamatan, keharmonian dan perpaduan, tetapi tidak pada isu menghina agama. Dalam hal ini, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Azman Amin Hassan mengesahkan isu membabitkan perselisihan faham antara kaum seboleh mungkin diselesaikan menerusi rundingan.

Apa yang berlaku hari ini disebabkan masyarakat berbilang bangsa dan agama tidak memahami 
adat resam dan amalan agama lain. Silang budaya ini masih berlaku dan ia menjadi punca keretakan 
hubungan antara kaum dan perpaduan, termasuk 
punca perbuatan menghina agama.

Akta Keharmonian Nasional

“Segala permasalahan yang menyentuh isu keharmonian kaum dan agama hari ini tidak sampai satu peratus, tetapi ia menjadi isu apabila ada pihak yang cuba menangguk di air keruh untuk meraih keuntungan peribadi,” katanya. Menjadi harapan jika Akta Keharmonian Nasional diwartakan menjadi undang-undang menggantikan Akta Hasutan 1948 yang mungkin menjadi sinar baru dalam amalan kebebasan beragama di negara ini tanpa menjatuhkan martabat Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan. Penggubalan akta baru itu juga diharap memberi tumpuan bagaimana isu berkaitan agama, bukan saja Islam juga yang dijamin kedudukannya dalam Perlembagaan ditangani dengan berhemah dan bijaksana.

Sumber
Berita Harian
4 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : MELESTARIKAN PENDIDIKAN BERKUALITI


PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia


Sejak setahun lalu, pendidikan menjadi tumpuan ramai baik dalam kalangan yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Ini kerana pendidikan dianggap penyumbang utama kepada pembinaan dan pengisian sesebuah negara bangsa termasuk Malaysia. Pengajian asas dilihat penting untuk membolehkan negara terus bersaing dengan negara-negara lain terutama negara maju. Bajet yang dibentangkan minggu lalu jelas memaparkan komitmen kerajaan terutama melalui Kementerian Pelajaran untuk mentransformasi sistem pendidikan ke arah pembentukan masyarakat kelas satu di sebuah negara kelas pertama; masyarakat yang mempunyai pengetahuan, skil dan kemahiran diselaputi dengan nilai, semangat patriotisme dan moral dalam melahirkan modal insan yang berkarakter tinggi dengan adanya nilai intelektual, spiritual, emosi dan fizikal; hubungan konstruktif ke arah masyarakat kelas pertama, cerminan falsafah pendidikan kebangsaan untuk melahirkan pembangunan holistik dalam kalangan pelajar.

Yang penting dalam Bajet 2013 bertemakan 'Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati', adalah 'kualiti' untuk melestarikan sistem pendidikan berkualiti untuk mentransformasi sistem pendidikan dan turut memperkasakan sistemnya. Sebanyak RM11.1 bilion diperuntukkan untuk sektor sosial yang turut melibatkan pendidikan dan latihan. Sektor pendidikan diperuntukan 21 peratus (%) daripada bajet untuk memperkukuhkan pemetaan kelangsungan pendidikan sebagai tunggak pembentukan negara bangsa dengan berfokuskan kepada kemakmuran dan kesejahteraan sosial negara. RM38.7 bilion pula akan diperuntukan untuk memperbaiki kualiti pendidikan dan tambahan sebanyak RM500 juta untuk mengembangkan latihan guru dalam bidang subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik ke arah pembangunan skil pemikiran yang lebih baik.

Kerajaan juga memperkenalkan inisiatif seperti insentif bebas cukai dan geran untuk membuka tadika baru; RM1.2 bilion untuk pembangunan prasekolah dan RM1 bilion untuk penambahbaikan sekolah, RM400 juta untuk sekolah kebangsaan di samping RM100 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Cina, Tamil, mubaligh, agama, berasrama penuh dan MRSM. Ada pihak yang mencadangkan agar PTPTN dimansuh, diberikan pendidikan percuma dari prasekolah sehingga universiti serta RM500 sebagai elaun khas untuk guru tetapi ia lebih dilihat sebagai pendekatan populis untuk memanipulasi pemikiran umum seolah-olah untuk memberikan harapan kepada pemegang saham dalam pendidikan daripada kaca mata mereka sendiri. Namun, kerajaan secara berterusan memberikan sokongan dan bantuan secara realistik yang diterima dan disokong. Malahan, untuk menggalakkan tabungan pendidikan, mereka yang menyumbang kepada Skim Tabungan Pendidikan diberikan pelepasan cukai RM6,000 berbanding dengan RM3,000 sebelumnya.

Baucar RM100 untuk murid sekolah rendah dan menengah serta RM250 baucar buku untuk pelajar institusi pengajian tinggi dengan kenaikan RM50 daripada sebelumnya; diskaun untuk pembayaran semula pinjaman PTPTN berasaskan kepada pembayaran konsisten menunjukkan bahawa yang mahu dilahirkan adalah pelajar yang bertanggungjawab dan memahami bahawa PTPTN bukan 'hak' tetapi adalah satu 'keistimewaan'. Mengenal pasti aspirasi dan cabaran yang diperincikan dalam laporan awal pemetaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2012, 'pelaksanaan' menjadi tumpuan dan tunjang utama daripada pembentangan bajet ke atas sektor pendidikan. Kerajaan sedar bahawa hanya melalui hasil akhir pelaksanaan yang bersifat empirikal, umum akan memberikan pengiktirafan dan kepercayaan ke atas sistem pendidikan negara. Menteri Kewangan memberi kepastian bahawa Unit Pelaksanaan Pendidikan akan memainkan peranan penting dalam proses penambahbaikan sistem pendidikan negara.

Untuk meninjau dan melangkah ke hadapan dalam pendidikan, maka pendidikan akan memberi fokus kepada pelaksanaan dengan bantuan sistem sokongan yang strategik. Pendidikan adalah satu proses dan umum perlu memberikan ruang kepada kesemua yang terbabit dalam pelaksanaan untuk meneruskan agenda yang sudah dirangka dengan perancangan Bajet 2013. Melestarikan sistem pendidikan dalam kerangka holistik hanya akan berjaya sekiranya kesemua yang terlibat secara implisit mahupun eksplisit bekerjasama walaupun mempunyai perbezaan ketara, agar visi mentransformasi negara ke arah menjadi sebuah negara maju pada 2020 dapat direalisasikan dengan jayanya.

Sumber
Utusan Malaysia
4 Oktober 2012

03 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : PACU PENINGKATAN KUALITI PENDIDIKAN


Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.


Pengumuman Bajet 2013 nampaknya mempunyai kaitan yang signifikan dalam usaha menjayakan transformasi pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini. Melalui Bajet 2013 ternyata peruntukan besar disediakan bagi melaksanakan tiga aspek penting iaitu untuk peningkatan kualiti pengajaran guru, melengkapkan infrastruktur sekolah dan memastikan keberkesanan pelaksanaan melalui pemantauan transformasi tersebut. Apabila Bajet 2013 diumumkan pada 28 September lepas didapati sektor pendidikan terus mendapat peruntukan tinggi iaitu sebanyak RM38.7 bilion meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan daripada jumlah keseluruhan bajet RM251.6 bilion. Bajet 2013 memberi tumpuan bagi menjayakan transformasi pendidikan. Aspek pertama ialah meningkatkan kualiti pengajaran guru. Bagi tujuan tersebut disediakan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta untuk membolehkan guru melaksanakan pengajaran melalui pendekatan kemahiran berfikir aras tinggi dalam pengajaran subjek-subjek teras iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Sesungguhnya penekanan kepada peningkatan kualiti guru melalui pendekatan tersebut dinyatakan dalam PPP 2013-2025 dengan Anjakan Pertama iaitu menyediakan kesemarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.

Hakikatnya apabila murid dikatakan telah berjaya menguasai ilmu, mereka berupaya menganalisis maklumat, berfikir secara kritis dan berkomunikasi dengan berkesan. Inilah bentuk kemahiran berfikir aras tinggi yang telah pun dimiliki oleh murid di negara maju. Sementara itu Anjakan Kedua menekankan setiap murid mahir dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Ini dilakukan dengan meluaskan program LINUS supaya meliputi literasi Bahasa Inggeris. Peningkatan kemahiran Bahasa Inggeris juga dilakukan dengan memastikan semua 70,000 guru bahasa tersebut lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun. Peluasan pendedahan kemahiran berbahasa juga dilakukan dengan memperkenalkan modul Sastera Inggeris yang akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah. Bagi memastikan pelaksanaan pendekatan pengajaran kemahiran berfikir aras tinggi guru-guru akan terus didedahkan kaedah pengajaran yang berpusatkan kepada pelajar. Aktiviti yang menyeronokkan dan menarik minat pelajar seperti main peranan, lakonan, syarahan, debat, forum, simulasi, perbincangan, tugasan luar bilik darjah dan kerja dalam kumpulan kecil akan menggalakkan murid sentiasa berfikir dan berusaha meningkatkan daya pemikiran mereka.

Sementara itu Anjakan Ketujuh iaitu memanfaatkan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran adalah berkait rapat dengan usaha meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi. Perbelanjaan yang besar diperlukan untuk meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya.

Ini akan dilakukan melalui pelaksanaan 1BestariNet bagi semua 10,000 buah sekolah. Dengan adanya akses kepada rangkaian 4G di sekolah maka landasan untuk pelaksanaan pembelajaran secara interaktif akan dapat dilaksanakan. Aspek kedua bagi menjayakan PPP ialah melengkapkan infrastruktur sekolah. Kemudahan yang baik disediakan di sekolah akan membolehkan guru menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan. Bajet 2013 telah menyediakan peruntukan besar iaitu sebanyak RM1 bilion di bawah Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah. Peruntukan ini akan digunakan bagi keperluan seperti membaikpulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.

Bagi memastikan infrastruktur sekolah dapat disempurnakan terutama sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman maka kerajaan telah memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion lagi. Ini bermakna bagi tujuan meningkatkan keupayaan infrastruktur sekolah sebanyak RM2 bilion telah disediakan. Di samping itu Tabung Khas pula diwujudkan iaitu peruntukan sebanyak RM400 juta daripada RM2 bilion itu akan disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan dan RM100 juta lagi diperuntukkan kepada setiap aliran sekolah lain iaitu SRJK(C), SRJK(T), sekolah mubaligh, sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah berasrama penuh. Aspek ketiga yang penting bagi menjayakan PPP 2013-2025 ialah memastikan keberkesanaan pelaksanaan dan pemantauan. Dalam majlis pelancaran PPP yang lalu, Perdana Menteri menekankan bahawa perancangan yang nampak cantik dan lengkap belum menjanjikan kejayaan tanpa penekanan kepada aspek pemantauan dan diikuti penilaian serta penambahbaikan.

Oleh itu dalam Bajet 2013 Perdana Menteri mencadangkan penubuhan Unit Pelaksanaan Pendidikan bertujuan memantau dan menilai keberkesanan pelaksanaan transformasi tersebut. Pelaksanaannya boleh menggunakan peruntukan tambahan RM500 juta yang turut digunakan dalam meningkatkan kemahiran guru. Aspek pelaksanaan dan pemantauan ini ada dinyatakan dalam PPP melalui Anjakan Keenam iaitu pengupayaan serta memperkasakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Peranan mereka bukan sahaja untuk menyelesaikan isu berasaskan keperluan seperti menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus, Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan tetapi juga memastikan semua perancangan yang telah disediakan dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan. Penambahan pegawai dan kakitangan di JPN dan PPD diperlukan untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang diberikan di samping mendapat latihan yang bersesuaian. Keberkesanan Unit ini adalah indikator kepada kejayaan PPP 2013-2025.

Sesungguhnya Bajet 2013 yang bertemakan ‘Memakmurkan Negara, Mensejahterakan Rakyat: Sebuah Janji Ditepati’ itu menyediakan keperluan transformasi pendidikan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 bagi memacu peningkatan kualiti pendidikan.

Sumber
Utusan Malaysia
3 Oktober 2012