Rencana ini ditulis oleh :
Oleh Ruhaiza Rusmin
Ada pihak cuba membandingkan antara pensyarah muda dan lama dengan
menganggapnya masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Pensyarah
muda dikatakan lebih bersemangat, mudah memahami, mempunyai pandangan dan idea
berbeza selain mampu menyelami permasalahan dengan lebih terbuka biarpun
kekurangan pengalaman mengajar. Pensyarah lama disifatkan tegas, sukar
berkompromi, kurang memahami, ego biarpun penuh pengalaman di dada. Dua
pendapat kontra ini ada kalanya menimbulkan konflik, sekali gus mewujudkan jurang
ketidakpuasan hati yang boleh menjejaskan misi pembelajaran.
Atau, apakah ia sekadar telahan atau
isu bersifat peribadi
semata-mata?
Pensyarah muda di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Abdul Hamid Saifuddin berkata, kewibawaan
setiap pensyarah tidak boleh dinilai melalui usia, sebaliknya lebih menjurus
kepada nilai melaksanakan tanggungjawab. Beliau berkata, tiada isu dalam soal
itu kerana pensyarah muda dan lama saling memerlukan bagi menghasilkan
keputusan terbaik.
“Masing-masing ada kelebihan dan kelemahan. Pensyarah muda ada
caranya, begitu juga
pensyarah lama. Kedua-duanya ada gaya dan cara tersendiri
menyampaikan ilmu serta penampilan personaliti. Bagaimanapun, ia sering
disalahertikan segelintir pihak. Hakikatnya, tidak timbul isu ingin menunjukkan
‘kuasa,’ sebaliknya perlu menerima bahawa setiap individu memiliki cara
tersendiri
melaksanakan tugasan dan tanggungjawab,”
Biarpun tidak menafikan ada terdengar rungutan segelintir
pensyarah muda mengenai sikap pensyarah lama ingin menunjukkan kuasa veto,
beliau berkata, mereka perlu menganggapnya sebagai ‘salah faham’ kecil yang boleh dimaafkan. “Sebagai
manusia, masing-masing ada hak menyuarakan pendapat. Hanya cara dan penerimaan
berlainan menyebabkan ia sukar diterima. “Keseluruhannya, perhubungan kami
harmoni dan profesional. Tegur menegur perlu bagi memperbaiki kelemahan selain
menjadi proses belajar bagi memperoleh pengalaman baru. Justeru, tidak perlu bertelingkah mengenainya
kerana ia hanya membuang masa,” katanya.
Walaupun bukan secara terbuka, konflik dua kategori profesional di
institusi pengajian berkenaan sukar dielakkan, apatah lagi pensyarah lama
dikatakan seperti mahu mempamerkan ‘kekuasaan’ dan memberi tekanan kepada
pensyarah muda. Pensyarah muda pula dikatakan cuba menunjuk pandai dan
melangkau pengalaman sedia ada yang disifatkan sudah terlalu lama
mengaplikasikan cara pembelajaran konservatif selain takut kedudukan tergugat. Menyifatkannya
sebagai masalah peribadi, beliau berkata, meskipun ada pensyarah lama masih
mempraktikkan cara pembelajaran lama, tidak bermakna mereka gagal memikat
perhatian mahasiswa.
“Dalam situasi ini, semuanya menang-menang. Pensyarah lama biarpun
dikatakan lebih senang kepada cara konservatif, namun ilmu dan pengalaman
mereka banyak. Pensyarah muda biarpun terlalu bertenaga, mereka masih cetek
ilmu dan pengalaman. Banyak selok-belok perlu dipelajari dan tunjuk ajar
pensyarah lama sangat diperlukan,”
Kepentingan dalam kenaikan pangkat atau apa jua kedudukan adalah
bonus. Tapi bukan dengan cara ‘mencantas’ orang lain yang akhirnya akan
menjatuhkan kredibiliti sendiri. Tidak benar pensyarah muda mahu menunjuk
pandai kerana kami juga mahu belajar serta menganggap setiap persaingan adalah
sihat demi kebaikan bersama. Ditanya hubungan dengan mahasiswa yang dikatakan
lebih berpihak kepada pensyarah muda, katanya, mereka tetap mengamalkan
profesionalisme biarpun pada masa sama berdepan cabaran emosi dan fizikal. Menurutnya,
walaupun ada yang mengklasifikasikan pensyarah muda ‘ sekepala’ namun mereka
perlu bersikap profesional dan tidak bertindak ‘ berlebihan’. Mereka (pensyarah
muda) sedaya upaya memberikan mekanisme terbaik kepada pelajar. Mungkin kerana
jarak usia yang tidak jauh menyebabkan hubungan lebih mesra.
Bagaimanapun, sebagai pensyarah masih ada kod etika perlu diikuti.
Masih perlu batas dan jurang supaya hubungan itu tidak disalahgunakan.. Bagi
pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Ahmad Mokhtar Selat,
isu persaingan antara pensyarah muda dan lama tidak seharusnya wujud kerana
boleh menggugat proses pembelajaran. Beliau berkata, sebagai ahli akademik yang
menerajui institusi pengajian tinggi, isu remeh temeh perlu diketepikan bagi
memastikan setiap proses pendidikan berjalan lancar. Bagi saya ia isu peribadi
yang tidak perlu digembar- gemburkan malah memalukan kerana seolah-olah
mencabar kredibiliti golongan berpendidikan tinggi. Masih banyak lagi isu lebih
penting perlu diselesaikan. Baru atau lama, masing-masing ada kelebihan
tersendiri, jadi mengapa perlu gusar?
“Yang perlu menjadi keutamaan ialah melunaskan tanggungjawab
memberi ilmu, sekali gus memastikan mahasiswa yang dididik mendapat manfaat,”
katanya. Beliau mengakui cara pembelajaran antara dua generasi itu berbeza dan
mengikut keselesaan masing-masing. “Ada beranggapan pensyarah lama malas dan
tidak mahu seiring perkembangan teknologi pendidikan hingga menjadikan sesi
pembelajaran bosan. “Ini subjektif dan boleh dilakukan sesiapa saja. Bukan
semua pensyarah lama begitu dan mungkin ia dilemparkan melalui pandangan kasar.
“Metodologi dan cara masing-masing berbeza, jangan samakan malah ada juga
pensyarah baru gagal menyaingi rentak pensyarah lama hingga menjejaskan sesi
pembelajaran,” katanya.
Katanya, cabaran pensyarah lama juga semakin meningkat, apatah
lagi mahasiswa zaman alaf baru lebih bersikap proaktif, terbuka dan sukakan
cabaran. “Ini satu lagi cabaran besar yang perlu dihadapi menjadikan kami perlu
bangkit bersama bagi menyaingi kehendak mahasiswa alaf baru. “Cara pembelajaran, penggunaan teknologi serta
peningkatan pengetahuan perlu dikemas kini supaya setara dengan kehendak
semasa. “Jadi, di mana relevannya jika ada pihak mengatakan kami ketinggalan
dan tidak setanding pensyarah baru?” katanya.
Sumber
Harian Metro
8 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan