Rencana ini ditulis oleh :
Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.
Nampaknya isu sama ada murid boleh atau tidak membawa telefon
bimbit ke sekolah timbul semula.
Kali ini persoalan itu dibangkitkan di Dewan
Parlimen pada 3 Oktober lalu. Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng
ingin tahu sama ada Kementerian Pelajaran membenarkan murid membawa
telefon
bimbit ke sekolah serta kesan sampingan sekiranya dasar itu dilaksanakan.
Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyatakan satu sesi
perbincangan meja bulat telah diadakan pada 25 Ogos lalu melibatkan pihak
berkepentingan antaranya pengetua, guru dan ibu bapa membincangkan keperluan
serta cadangan berkaitan penggunaan peralatan komunikasi itu oleh murid. Kementerian
Pelajaran sedang meneliti secara menyeluruh pendapat serta pandangan masyarakat
termasuk tokoh akademik, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), guru, ibu bapa
dan murid sebelum satu keputusan muktamad diumumkan, demikian dijelaskan
beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam jawapan bertulis kepada soalan
Teck Meng itu.
Soalan itu mungkin ada kaitan dengan usul yang dikemukakan oleh
pihak kementerian pada Julai lepas membenarkan murid membawa peralatan
komunikasi seperti telefon bimbit dan iPad ke sekolah bermula pada tahun depan.
Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan terutama daripada Persatuan Ibu
Bapa dan Guru (PIBG) dan guru yang rata-rata berpandangan langkah tersebut akan
mengundang lebih banyak masalah selain menjejaskan pembelajaran murid. Sesungguhnya
isu telefon bimbit ini dinyatakan dengan jelas melalui Surat Pekeliling Iktisas
Bil. 11/2005 Garis Panduan Penggunaan Telefon Bimbit Oleh Murid Sekolah dan
Surat Pekeliling Iktisas Bil. 2/2009 Penguatkuasaan Larangan Membawa Dan
Mengguna Telefon Bimbit Oleh Murid Di Sekolah.
Kedua-dua Pekeliling ini tidak membenarkan telefon bimbit dibawa
ke sekolah bertujuan mendidik murid menggunakan alat tersebut dengan cara yang
betul dan larangan ini hanya berkuatkuasa dalam kawasan sekolah. Penggunaan alat
itu tanpa kawalan boleh mengganggu kelancaran proses pengajaran dan
pembelajaran. Selain itu boleh mendatangkan pelbagai masalah disiplin seperti
kecurian, pergaduhan serta penyebaran bahan maklumat yang boleh mempengaruhi
perlakuan negatif dalam kalangan murid. Membawa dan menggunakan telefon bimbit
adalah melanggar peraturan dan boleh diambil tindakan disiplin dengan hukuman
amaran bertulis dan dilarang menggunakan kemudahan sekolah atau mengambil
bahagian dalam program atau aktiviti sekolah untuk satu tempoh tertentu.
Terdapat dua pandangan berhubung isu telefon bimbit ini. Pihak
yang menyokong akan menggunakan premis era perkembangan dunia teknologi dan
peredaran zaman moden. Bagi mereka penggunaan alat elektronik ini adalah suatu
keperluan dan elok dilihat secara positif serta menekankan aspek kebaikan yang
boleh didapati melaluinya. Dalam zaman IT ini kecanggihan alat telekomunikasi
memang banyak keperluannya, bergantung kepada kebijaksanaan dan bagaimana alat
itu digunakan dalam usaha meningkatkan kebolehan dan keupayaan murid. Telefon
bimbit masa kini begitu canggih di mana penggunaannya boleh berfungsi sebagai
sebuah komputer. Mempunyai kemudahan Internet dan boleh menyimpan beribu-ribu
maklumat yang boleh digunakan pada bila-bila masa. Oleh itu sekiranya digunakan
dengan cara yang betul, dapat membantu murid mendapatkan maklumat yang
diperlukan dengan cepat dan berkesan. Dalam hal ini kerjasama dan bimbingan
guru sangat diperlukan supaya penggunaan alat tersebut dapat dimanfaatkan
sepenuhnya.
Telefon bimbit juga boleh digunakan sebagai alat penghubung yang
mudah dan cepat. Murid dapat menghubungi ibu bapa apabila diperlukan seperti
memaklumkan perubahan waktu balik sekolah atau makluman perubahan oleh ibu bapa
sendiri. Ia juga boleh digunakan semasa kecemasan. Misalnya, boleh menghubungi
segera guru atau ibu bapa jika berlaku perkara yang tidak diingini seperti
kejadian buli, peras ugut atau culik. Namun demikian di pihak satu lagi adalah
pandangan sebaliknya. Menurut mereka jika dibenarkan akan menimbulkan jurang
perbezaan antara murid yang berada dengan yang tidak mampu. Sudah tentu murid
yang datang dari keluarga yang berpendapatan tinggi dan menengah atas tiada
masalah menyediakan alat itu untuk anak mereka. Tetapi murid daripada keluarga berpendapatan
rendah telefon bimbit adalah suatu peralatan mewah.
Suasana ini boleh melebarkan jurang dan rasa
rendah diri bagi
mereka yang tidak mampu. Matlamat sekolah sebagai tempat untuk mendidik dan
membangunkan diri murid yang datang dari pelbagai latar belakang akan terjejas.
Membawa telefon bimbit ke sekolah boleh menimbulkan masalah lain
seperti kecurian dan pergaduhan. Bagi murid yang tidak memiliki alat itu
mungkin akan mengambil kesempatan untuk mencuri telefon bimbit rakan mereka.
Kejadian ini akan membawa kepada suasana tegang apabila timbul rasa syak
wasangka dan tuduh menuduh akhirnya boleh mengakibatkan pergaduhan. Proses
pengajaran dan pembelajaran boleh terganggu apabila murid sibuk menggunakan
telefon bimbit mereka. Tumpuan murid akan terjejas dan tidak dapat mengikuti
pengajaran guru sepenuhnya. Lebih malang murid lain yang tidak memiliki telefon
akan turut terganggu. Ada kalanya alat ini boleh digunakan sebagai kamera video
yang dapat merakam termasuk sesuatu yang lucah atau berbentuk negatif.
Dikhuatiri juga akan menimbulkan perbuatan meniru dalam ujian dan peperiksaan
kerana sesuatu cacatan dan maklumat boleh disimpan dan dilihat pada bila-bila
masa.
Jika dibenarkan murid membawa alat itu ke sekolah maka tugas guru
akan bertambah. Sudah tentu guru akan ditugaskan mengawal dan memantau
penggunaannya agar tidak disalahguna. Cuba bayangkan jika terdapat seribu orang
murid di sekolah itu dan semuanya membawa telefon bimbit sudah tentu sedikit
sebanyak akan mengganggu ketenangan dan ketenteraman sekolah. Keputusan
muktamad Kementerian Pelajaran sentiasa dinantikan sama ada kekal mematuhi
arahan Surat Pekeliling sedia ada atau membuat perubahan sebaliknya. Atau
opsyen ketiga dengan membenarkannya secara terhad maksudnya hanya kepada murid
yang lebih senior. Sama-sama kita tunggu.
Sumber
Utusan Malaysia
9 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan