Rencana ini ditulis oleh :
ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
Di Malaysia, rakyat amat beruntung kerana kerajaan mengamalkan
langkah pemberian subsidi kepada barangan keperluan seperti gula, minyak masak,
petrol dan diesel. Sesungguhnya, subsidi jika dilihat dalam konteks ini jelas
menunjukkan bahawa kerajaan tidak pernah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab
sosialnya. Namun, apa yang mengecewakan adalah apabila ada individu tamak dan
tidak bertanggungjawab bertindak menyeludup barang-barang yang disubsidikan itu
ke negara jiran menyebabkan rakyat tempatan yang sepatutnya menikmati pemberian
tersebut dinafikan hak mereka. Penyeludupan barangan dari luar negara seperti
senjata api, mercun, kosmetik dan makanan mengandungi kimia merbahaya pula
mengancam keselamatan rakyat negara ini.
Memang sukar sekali untuk membendung aktiviti penyeludupan yang
sudah berakar umbi dalam kehidupan masyarakat terutama mereka yang tinggal di
kawasan sempadan Malaysia-Thailand. Antara laluan penyeludup yang popular
adalah Padang Besar di Perlis; Bukit Kayu Hitam di Kedah, Pengkalan Hulu di
Perak serta Rantau Panjang, Pasir Mas dan Pengkalan Kubor di Kelantan. Dalam
masa sama, kawasan bersempadan dengan Indonesia, Filipina dan Brunei tidak
terlepas menghadapi masalah tersebut. Aktiviti haram itu memang sukar dibendung
apatah lagi apabila berlaku perkembangan teknologi semasa yang memudahkan
penyeludup berkomunikasi dan menggunakan kaedah canggih untuk mengaburi
kegiatan mereka.
Bagi Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), kegiatan haram itu perlu
disekat kerana sedar isu penyeludupan yang berlaku di sempadan jika tidak
ditangani ia bukan sahaja boleh memberi kesan terhadap ekonomi dan sosial
tetapi turut mengancam keselamatan negara. Sehubungan itu, UPP merancang untuk
membina stesen pemeriksaan di seluruh negara memandangkan ketika ini hanya
menempatkan anggotanya menjaga pintu sempadan di Kedah, Perlis, Kelantan dan
Perak. Ketua Pengarah UPP, Datuk Ab. Rahim Ismail berkata, cadangan menempatkan
anggota di semua pintu sempadan adalah satu usaha bagi membanteras aktiviti
penyeludupan dengan lebih menyeluruh dan berkesan memandangkan trend jenayah
penyeludupan pada hari ini sudah berubah berbanding dulu dan menjadi semakin
kompleks.
Beliau yang juga Setiausaha Bahagian Kepolisan dan Keselamatan
Sempadan berkata, aktiviti penyeludupan dulu lebih kepada menyeludup barang
keperluan asas seperti beras, minyak masak serta dadah jenis heroin dan ganja. Bagaimanapun
ketika ini, katanya, trend penyeludupan sudah berbeza apabila penyeludup
beralih kepada kegiatan membawa masuk dadah sintetik, barangan subsidi seperti
petrol dan diesel, jenayah terancang seperti pemerdagangan manusia, pengubahan
wang haram dan penyeludupan senjata api. Tambahnya, aktiviti penyeludupan juga
tidak tertumpu lagi di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, malah turut berlaku
secara berleluasa di sempadan negara ASEAN lain yang berjiran dengan negara ini
seperti Filipina, Indonesia dan Brunei. Jadi adalah wajar jika kita
memperluaskan penugasan di kawasan sempadan lain di Semenanjung, Sabah dan
Sarawak.
Di Sabah dan Sarawak misalnya penugasan menjadi lebih mencabar
kerana sempadan yang lebih panjang, manakala aktiviti penyeludupan berlaku
dalam kapasiti yang lebih besar," katanya kepada Utusan Malaysia ketika
ditemui di pejabatnya di Kompleks D Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di
Putrajaya baru-baru ini. Ab. Rahim berkata, sejak UPP ditubuhkan pada 1976,
pelbagai usaha dibuat oleh agensi penguat kuasa itu bagi membanteras aktiviti
penyeludupan di sempadan seperti mengadakan sekatan jalan raya, rondaan,
risikan, pemeriksaan mengejut dan operasi khas. Beliau berkata, pihaknya juga
sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain melalui operasi secara
bersepadu dan perkongsian maklumat.
Menurutnya, anggota UPP menghadapi pelbagai cabaran dan masalah
semasa menjalankan tugas penguatkuasaan di sempadan seperti menangani persepsi
masyarakat terhadap pasukan keselamatan itu. Adakalanya, anggota UPP kurang
mendapat kerjasama daripada masyarakat setempat semasa melaksanakan tugas
penguatkuasaan di pintu masuk terutama pemeriksaan jalan raya. Ada juga anggota
yang dimaki hamun dan dihambur dengan kata-kata kesat semasa pemeriksaan dan
sesetengah pihak beranggapan UPP tidak menjalankan tugas dengan baik berikutan
masalah penyeludupan yang berlaku di sempadan walaupun sebenarnya tugas itu
dijalankan dari semasa ke semasa," ujarnya. Ab. Rahim memberitahu,
kebanyakan penyeludup semakin licik dengan pelbagai taktik dan modus operandi
mereka pula sentiasa berubah kerana sudah biasa dengan bentuk pemeriksaan
agensi penguatkuasa di sempadan.
Beliau berkata, pergerakan penyeludup juga tidak mengira waktu dan
dibantu oleh kemudahan teknologi komunikasi yang semakin canggih bagi
memudahkan urusan mereka dalam merancang aktiviti penyeludupan. Katanya,
keadaan ini menyukarkan UPP mengesan penyeludup kerana agensi itu hanya
bergantung kepada risikan dan kerjasama orang ramai untuk mendapatkan maklumat.
Kita juga menghadapi masalah logistik bagi menjalankan operasi. Contohnya,
pemeriksaan ke atas lori-lori kontena dan kenderaan yang membawa muatan dalam
kuantiti yang besar memerlukan peralatan yang sesuai dan mencukupi bagi
memudahkan proses pemunggahan, manakala kenderaan penunda diperlukan bagi
membawa kenderaan yang dirampas atau ditinggalkan penyeludup," jelasnya. Menurut
Ab. Rahim, sejak Januari hingga Jun lalu, UPP melaksanakan sebanyak 8,109
operasi dan berjaya memperoleh 626 kes membabitkan nilai rampasan berjumlah
RM12.77 juta serta memberkas 276 pendatang asing tanpa izin (Pati).
Beliau berkata, nilai rampasan barang seludup tinggi dicatatkan
oleh kenderaan iaitu RM6,950,040 diikuti kayu (RM3,622,950), diesel dan petrol
(RM504,497.60) manakala minuman keras dan rokok (RM416,980.49). Turut dirampas
adalah haiwan bernilai RM348,775, dadah (RM185,190), mata wang (RM166,450),
lain-lain kes seperti kosmetik (RM119,837), mercun dan bunga api
(RM115,473.13), barangan pengguna (RM114,843.70), beras (RM100,231), perikanan
(RM64,200), pertanian (RM32,600), pakaian (RM11,331.50), penerbitan dan filem
(RM20,500) serta baja dan racun rumpai (RM1,500).
Sumber
Utusan Malaysia
9 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan