03 Ogos 2012

ISU SUKAN : BOLA SEPAK MALAYSIA PERLU PERUBAHAN

Rencana ini ditulis oleh :
MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK
Pensyarah sains politik di Pusat Pengajian Antarabangsa,
Universiti Utara Malaysia.


Perjalanan pasukan bola sepak Malaysia masih jauh. Inilah hakikatnya, bukanlah kerana Malaysia tewas dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan Manchester City, tetapi ia berdasarkan kepada prestasi keseluruhan pasukan bola sepak Malaysia. Pasukan senior 'Harimau Malaya' gagal dalam kelayakan Piala Dunia, sementara pasukan junior negara bawah pimpinan Ong Kim Swee pula gagal dalam kelayakan Olimpik dalam kelayakan Piala Remaja Asia di Myanmar baru-baru ini; manakala, pasukan bola sepak remaja Malaysia (sekiranya masih wujud) mungkin sedang 'bertatih' menuntut pelbagai jenis ilmu dan skil bermain bola sepak. Antara alasan yang selalu diberi apabila pasukan bola sepak Malaysia mencatat kekalahan sama ada dalam perlawanan rasmi ataupun persahabatan ialah 'nasib tidak menyebelahi kita', 'pasukan lawan lebih bernasib baik', dan kadang-kadang perlawanan membabitkan pasukan Malaysia seringkali dianggap sebagai 'perlawanan pemanas badan' bertujuan menguji semua pemain dalam skuad bola sepak tersebut sebelum menyertai sesuatu pertandingan antarabangsa. Persoalannya, sampai bilakah kita mesti disajikan dengan semua alasan sebegini?

Satu ketika dahulu, prestasi bola sepak Malaysia boleh dikatakan setanding dengan pasukan seperti Korea Selatan, Jepun, China dan beberapa negara Arab seperti Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Kuwait. Tetapi hari ini, semua pasukan tersebut sudah pun berjaya melayakkan diri ke kejohanan berprestij seperti Piala Dunia, Piala Asia dan Sukan Olimpik. Malaysia sebaliknya masih lagi ketinggalan dan terus berada di takuk lama. Apakah kita harus berasa bangga dengan pencapaian pasukan bola sepak Malaysia pada hari ini yang dahulunya pernah digeruni oleh banyak pasukan bola sepak di negara-negara Asia? Apakah kita patut bangga dengan keupayaan untuk mengekang pasukan Arsenal dengan jumlah jaringan satu gol kosong selama lebih 40 minit? Apakah kita boleh berbangga dengan beberapa 'komen positif' oleh pengurus dan jurulatih asing mengenai pemain Malaysia? Jika inilah yang kita agung-agungkan, tiada makna lagi sukan bola sepak di Malaysia. Bola sepak Malaysia mesti berubah untuk berjaya di peringkat antarabangsa. Perkara pertama yang mesti berubah dalam hal ini adalah persepsi kita mengenai sukan bola sepak itu sendiri. Persepsi kita, khasnya pihak pengurusan, pemain, serta mereka yang mempunyai kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam sukan bola sepak tidak pernah berubah.

Bola sepak di Malaysia selalu dianggap sebagai satu daripada aktiviti sukan semata-mata yang dilakukan untuk menyihatkan badan. Sementara penglibatan Malaysia dalam pertandingan bola sepak di peringkat antarabangsa serta perkembangannya di peringkat nasional mahupun negeri atau daerah adalah kerana ia telah menjadi satu budaya dan mengandungi elemen-elemen 'prestij' yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia sebagai sebuah negara anggota FIFA. Di sinilah silapnya. Bola sepak tidak seharusnya dianggap demikian. Ia bukannya semata-mata satu aktiviti sukan malah ia lebih daripada itu. Bolasepak sebenarnya adalah 'maruah negara'. Penglibatan negara-negara dunia dalam banyak pertandingan bola sepak antarabangsa anjuran FIFA seperti Piala Dunia dan Sukan Olimpik boleh diibaratkan sebagai 'peperangan' antara negara-negara bagi merebut 'mahkota' sebagai 'juara dunia'. Oleh yang demikian, tidak hairanlah apabila kita melihat negara-negara yang tersohor dalam sukan bola sepak seperti Brazil, Argentina, England, Jerman dan Itali bermatian-matian berjuang dalam banyak pertandingan antarabangsa.

Bola sepak juga boleh dilihat sebagai satu bentuk industri yang mampu menjana bukan sahaja keuntungan dari segi nilai imej dan prestij, tetapi juga nilai material dan ekonomi. Program bola sepak untuk satu jangka masa panjang boleh menghasilkan pemain-pemain muda yang berkaliber yang boleh 'dieksport' untuk bermain dengan kelab-kelab bola sepak terkemuka dunia seperti Manchester United, Real Madrid, Bayern Munich, dan lain-lain. Atau sekurang-kurangnya berpeluang bermain dengan kelab-kelab bola sepak profesional yang bertaburan di benua Eropah dan Amerika Latin. Selain daripada melatih bakat-bakat baru, pasukan bola sepak khasnya yang berstatus kelab boleh menjana sumber ekonomi menerusi promosi dan penjualan barang-barang merchandise berkaitan dengan pasukan atau kelab tersebut kepada para peminat dan orang ramai. Di negara-negara Barat, semua ini wujud dan berkembang dengan pesat sekali. Bola sepak di negara-negara Barat adalah satu bentuk industri yang berprestij dan mampu membawa pulangan yang lumayan. Ia bukannya sukan untuk memanas badan semata-mata. Pemain bola sepak di negara-negara Barat bermain untuk 'hidup'. Bagi mereka, bola sepak adalah satu bentuk 'kerjaya profesional' yang mana sekiranya seseorang pemain itu bermain dengan bersungguh-sungguh, 'hasil lumayan' pasti menanti mereka.

Demikianlah berbezanya persepsi sukan bola sepak antara Malaysia dan negara-negara Barat. Maka tidak hairanlah kenapa pasukan bola sepak mereka mampu menyaingi dan menewaskan Malaysia walaupun terpaksa bermain dalam cuaca panas. Pun begitu, masih belum terlewat bagi Malaysia mengorak langkah baru ke hadapan bagi menghadapi persaingan bola sepak di peringkat serantau dan antarabangsa. Malaysia perlu merangka satu strategi dan program jangka panjang untuk membangunkan semula sukan bola sepak di negara ini. Pihak pengurusan bola sepak di Malaysia mungkin boleh memperkenalkan satu idea baru dalam konteks pembangunan bola sepak Malaysia iaitu menjadikan semua pasukan dalam Liga Malaysia daripada berstatus negeri kepada status kelab. Sementara kelab-kelab bola sepak tempatan ini berkembang, persatuan bola sepak negeri pula boleh menjadi pentadbir sukan tersebut di negeri masing-masing sambil 'bernaung' di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia. Kelab-kelab bola sepak tersebut pula boleh menubuhkan syarikat bagi mengurus semua aktivitinya termasuklah penubuhan akademi bola sepak, kedai menjual merchandise untuk kelab, jualan tiket dan mungkin juga memiliki stesen radio atau televisyen sendiri untuk manfaat peminat dan penyokong.

Dalam hal ini, Jepun dan Korea Selatan boleh dijadikan contoh. Apabila liga-liga bola sepak di Jepun dan Korea Selatan dirombak secara menyeluruh, ia menjadi sebuah liga bola sepak yang benar-benar profesional sebagaimana di Barat. Kelab-kelab bola sepak di Jepun dan Korea Selatan ditukar kepada nama-nama yang unik dan komersial seperti Nagoya Grampus Eight, Yokohama Marinos, Albirex Niigata, Suwon Bluewings, Pohang Steelers, dan bermacam-macam lagi nama hebat. Seperkara lagi yang mesti diberi perhatian adalah aspek pengurusan bola sepak negara dan juga di negeri-negeri. Berilah tugas mengurus dan mentadbir sukan bola sepak ini kepada mereka yang 'ahli' dan tidak harus 'dipolitikkan'. Pihak pengurusan bola sepak di Malaysia perlu kerap 'turun padang' ke segenap ceruk rantau di Malaysia untuk menjejaki dan mengenal pasti bakat-bakat baru yang boleh digilap dan diketengahkan sebagai 'bintang bola sepak negara'. Bola sepak bukanlah sekadar sukan semata-mata, ia lebih daripada itu. Bola sepak adalah industri dan maruah negara.

Sumber :
Utusan Malaysia
02 Ogos 2012

01 Ogos 2012

ISU IPT : DIKRITIK KERANA GAGAL LAKSANA FUNGSI


Rencana ini ditulis oleh :
Ruhaiza Rusmin


Sedikit sebanyak, isu membabitkan mahasiswa pasti mengganggu minda masyarakat, apatah lagi kebangkitan golongan itu kebelakangan ini agak ketara. Kebangkitan itu juga ibarat isyarat mahasiswa hari ini lebih mudah dipengaruhi atau terpengaruh dengan sesuatu isu berbentuk provokasi berbanding perkara rasional. Sedangkan antara matlamat utama institusi pengajian tinggi (IPT) ialah membantu mentransformasikan minda serta diri mahasiswa menjadi lebih terbuka, peka, dinamik dan berwibawa. Namun, usaha itu tampak sukar dengan mentaliti mahasiswa sukar diubah. Apakah peningkatan nilai ilmiah di kalangan mereka masih lagi di takuk lama? Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, proses itu berdepan halangan kerana mereka sendiri membuat batasan terhadap perubahan ingin dilakukan.

Beliau berkata, transformasi mudah jika dilaksanakan melalui kata-kata, sebaliknya perubahan bagi menganjakkan nilai pemikiran serta perbuatan adalah cabaran terbesar. “Semua boleh melakukan transformasi melalui kata-kata, tapi hakikatnya mereka akan gagal jika melaksanakannya melalui perbuatan. Ini menunjukkan transformasi bukan mudah kerana berkait rapat dengan cara berfikir, kesedaran dan motivasi melakukan perubahan. Masalahnya, cara pemikiran mahasiswa kita tidak sama serta ada pelbagai definisi. Itu menyebabkan proses perubahan yang ingin dilaksanakan sukar dan bersimpang-siur,” katanya. Pembabitan mahasiswa yang lebih menjurus kepada perlakuan negatif kebelakangan ini cukup membimbangkan masyarakat, apatah lagi mereka mengharapkan golongan itu sebagai ejen perubahan masa depan. Kegusaran semakin bertambah apabila melihat mudahnya mereka dipergunakan dalam ‘memanaskan’ sesuatu isu hingga menimbulkan tanggapan kurang menyenangkan.

Apatah lagi pencapaian sebahagian besarnya yang kurang cemerlang dalam akademik menjadikan mereka sasaran mudah untuk disalahkan. Natijahnya, IPT sebagai tempat naungan turut menerima kritikan dengan tanggapan gagal melaksanakan fungsi sebenar memberi pendidikan. “Mahasiswa yang menggunakan nama IPT sebagai tempat untuk meluahkan rasa tidak puas hati dianggap sebagai tidak tahu berterima kasih. Biarpun ia bukan kesalahan institusi itu, tapi kerana perlakuan mahasiswanya, ia turut mendapat nama busuk. Bagaimanapun, masyarakat jangan membuta tuli membuat tanggapan, perlu mengakui bukan mudah membantu generasi muda ini melakukan transformasi. Melaksanakan transformasi perlu lahir daripada hati yang ikhlas serta pemikiran matang. Belajarlah di institusi terbaik di dunia sekali pun, jika mahasiswa enggan berubah, segala usaha menjadi sia-sia,” katanya.

Usaha tranformasi perlu memberi penekanan kepada mahasiswa Melayu kerana mereka mudah terpengaruh dengan isu di luar kampus sehingga membawa masalah kepada IPT. Menurutnya, mereka yang tidak bertanggungjawab sering mengintai peluang di kalangan mahasiswa kerana tahu golongan itu ‘mempunyai kuasa untuk bersuara’. “Jangan menafikan bahawa mahasiswa antara jentera paling berpengaruh di dunia, justeru pihak berkepentingan peribadi suka mengambil kesempatan. Mereka tahu sejauh mana kemampuan mahasiswa ini. Sebab itu pentingnya mereka mempunyai pengukuhan jati diri dengan melakukan transformasi minda dan diri bagi mengelak diperdaya. Malangnya, bukan semuanya dalam kategori ‘bijak’. Ramai yang pandai tapi ada pandai memanipulasi atau mudah dimanipulasi hingga menjejaskan keseluruhan sistem sedia ada,” katanya.

Transformasi adalah satu 
frasa perubahan dan menjadikan 
mereka lebih baik.
Jika tidak, 
frasa kehidupan akan mati.

“Transformasi juga boleh membantu menyelamatkan masa depan mereka daripada terus menjadi ‘hamba’ orang lain. Perubahan yang positif boleh melahirkan generasi terbilang,” katanya. Beliau turut kesal kerana kebanyakannya sukar berubah hingga menyebabkan kualiti mahasiswa hari ini mudah dipersoalkan. “Setiap IPT komited menjalankan tanggungjawabnya seperti menyediakan pensyarah  yang bagus dan kemudahan terbaik, namun berapa ramai yang nampak kelebihan ini? “Betul mereka belajar tapi hanya ilmu yang sudah ada sedangkan banyak lagi boleh diterokai. Berapa ramai mahasiswa yang suka membuka mulut di dalam kuliah? Berapa ramai sanggup mengejar pensyarah hanya kerana ingin bertanyakan soalan? “Saya percaya senario ini sama seperti 20 tahun dulu. Kebanyakannya pasif menjadikan institusi ‘terpaksa’ melahirkan mahasiswa bertaraf sederhana,” katanya.

Bagaimanapun, jika ada kemahuan, mahasiswa pasti mampu melonjakkan keupayaan dan meletakkan kemampuan pada tahap membanggakan. “Bukankah universiti adalah gedung ilmu, mengapa tidak menggunakan peluang ini sebaiknya tanpa perlu ‘menambah’ perencah yang boleh memusnahkan diri sendiri? “Malangnya kebanyakan mahasiswa lebih teruja ke arah itu, sekali gus terus meninggalkan persepsi serta pandangan skeptikal yang tidak berubah kepada masyarakat,” katanya.

Sumber
Harian Metro
30 Julai 2012


ISU SOSIAL : BENCANA MENUNGGU PENGGUNA LEBUH RAYA


Rencana ini ditulis oleh :
DR. AHMAD ZAKI ISMAIL
Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia.


Memandu di lebuh raya terutama arah timur, barat, utara atau selatan tidak lagi mengundang keselesaan. Tanpa mengira waktu, baik di awal pagi, rembang tengah hari atau waktu dinihari sudah tidak lagi terasa ketenteramannya. Malah setiap kali terpaksa memandu melalui lebuh raya ini para pengguna sentiasa diancam kebimbangan bakal berhadapan dengan kemalangan. Umpama memasuki medan peperangan, yang mana risiko kecederaan dan kematian sentiasa terbayang dalam minda. Ini dikukuhkan dengan bukti yang saban waktu kita baca, kita lihat paparannya di media bagaimana ngerinya kemalangan yang bukan sahaja meragut satu nyawa pada satu ketika tetapi memakan korban hingga puluhan nyawa. Ia bukan sahaja sekadar kematian yang ditangisi oleh keluarga mangsa tetapi sebenarnya mendatangkan kerugian besar kepada negara dari impak ekonomi, pelaburan dan tenaga kerja. Malah rata-rata yang terkorban adalah dalam lingkungan umur yang produktif.

Pelbagai kempen serta penguatkuasaan sudah dilaksanakan namun statistik kemalangan jalan raya di negara kita tidak pernah menurun. Malah menunjukkan peningkatan dan menelan korban yang semakin ramai. Tentu ada yang tidak kena. Mustahil penyakit tidak mempunyai ubat dan penawarnya atau masalah tidak menemui penyelesaian dan menjadi usai begitu sahaja. Sedangkan masalah global boleh kita maju ke hadapan menjadi juara takkanlah pula masalah di jalan raya kita sudah buntu menggaru kepala? Malangnya, kita semua sudah seperti hilang punca dan cara dan menyerahkan semua pada pihak berkuasa. Pihak berkuasa mana pula agaknya yang patut menjadi juara? Ini pun menjadi satu lawak jenaka apabila berlaku upacara tuding menuding dan saling melepaskan tengkuk masing-masing.

Cuba kita perhatikan di lebuh raya yang mempunyai tiga lorong. Bagaimana sikap buruk pemandu kita yang memandu perlahan di lorong paling kanan. Ini mengundang rasa marah kepada pemandu di belakang yang tidak dapat memotong. Alasan mereka, had laju cuma 110 kilometer sejam jadi kiranya sudah memandu pada had laju berkenaan orang di belakang sudah melanggar undang-undang, jadi persetankan mereka. Benarkah begitu cara pemanduan di lebuh raya? Kemudian kita lihat kenderaan berat dan komersial. Baik lori, bas, teksi, van, treler bukan sahaja memandu melebihi had laju malah saling berlumba. Bukan setakat lorong yang diperuntukkan kepada mereka yakni lorong pertama dan kedua tetapi sudah bermaharajalela di lorong paling kanan yang sememangnya 'diharamkan' untuk mereka. Tetapi dengan selamba mereka memandu di lorong itu bukan setakat waktu memotong tetapi kadangkala berjam lamanya berada di lorong berkenaan.

Tidakkah mereka diberi kursus wajib sebelum mendapat lesen PSV mengenai tatacara memandu di lebuh raya? Sudahlah begitu, dengan barangan yang dibawa terdedah seperti sampah sarap, pasir, malah daging babi yang menjengkelkan memang menggambarkan seolah-olah tidak ada undang-undang dan peraturan yang perlu mereka patuhi. Menjadi kepantangan kepada golongan pemandu kenderaan komersial ini jika diberi lampu atau dihon supaya ke tepi, alamat bala bakal menanti sama ada ditunjuk isyarat lucah dihimpit malah dibaling dengan botol minuman juga seringkali berlaku. Tidak cukup dengan itu, kini penunggang motosikal juga sudah berani menunggang secara cilok ke tepi dan ke tengah tanpa menghiraukan keselamatan diri seolah-olah mereka berada di jalan persekutuan dan menganggap cara pemanduan begitu dibenarkan di atas lebuh raya.

Lebih merisaukan apabila lebuh raya seperti Lebuh Raya Koridor Guthrie yang sudah menyediakan lorong khusus untuk motosikal juga tidak berupaya menghalang laluan lebuh raya dirampas oleh penunggang motosikal. Alasannya, lorong motosikal lebih terpencil, jauh dan sunyi sehingga memungkinkan berlaku kejadian jenayah. Tetapi yang menjadikan lorong motosikal itu sunyi adalah disebabkan mereka sendiri tidak menggunakannya. Sudah tentu banyak tanda tanya kini berlegar di minda kita bagaimana ini boleh berlaku dan bagaimana pula boleh terjadi sedemikian atau apa pula caranya untuk diselesaikan? Sebenarnya banyak yang boleh dilakukan selain operasi menjelang perayaan atau saman ekor dan saman acilut macam orang main polis sentry di pedalaman dahulu kala. Sambil menyorok ambil gambar sudah tentu seronok menghantar saman yang mana keberkesanannya memang diragukan.

Malah menimbulkan kemarahan rakyat seperti mana menganiaya pemandu dan sengaja pula ditahan jerat di kawasan-kawasan yang tidak munasabah seperti had laju turun bukit adalah 80 km sejam lantas di hujung sana sudah menunggu mangsa yang jika menekan brek ketika menurun bukit akan mengundang bencana belakang dihentam oleh pemandu di belakang. Sudah sampai masanya, anggota penguat kuasa ini diberikan modul khusus penguatkuasaan yang lebih komprehensif bagi menangani isu-isu di atas. Kehebatan dan kesamsengan pemandu kenderaan berat dan komersial di negara kita memang sudah menjadi buah mulut kepada pelancong asing yang datang hingga timbul komentar sebahagian daripada mereka bahawa rakyat negara ini memang amat tinggi budi bahasa mereka kecuali bila berada di jalan raya. Atau lebih menyakitkan telinga apabila mereka memberikan komen bahawa ekonomi negara sudah menghampiri negara pertama tetapi minda masih ditakuk lama.

Jadi kepada siapa ingin kita marah? Pada pemerintah, pada penguat kuasa, pemandu jentera atau pada diri kita sendiri? Kerana itu, berbalik semula kepada perkara asas yakni semuanya perlu dilaksanakan secara penuh komited serta berterusan bukan setakat bermusim atau ikut sedap. Seperti kempen memasang lampu di kenderaan berat yang menyala apabila dipandu melebihi had, atau memasang GPS dan kotak hitam yang boleh merekod aktiviti pemandu kenderaan seperti had laju, jarak perjalanan, dan juga laluan yang digunakan sebenarnya tidak akan berkesan jika sekadar melepas batuk di tangga semata-mata. Kita tidak pernah melihat sebarang papan tanda memaparkan bagaimana cara menggunakan lebuh raya selain amaran-amaran seperti kenderaan berat ikut lorong kiri. Kadangkala ditulis kenderaan berat dilarang memotong. Malangnya, tidak ada satu pun yang menunjukkan bagaimana cara betul menggunakan lebuh raya dua lorong, tiga lorong dan seterusnya. Malah tidak ada juga ditunjukkan larangan kepada kenderaan komersial yang tidak boleh menggunakan lorong paling kanan sehingga ramai yang tidak menyedari ia menjadi satu kesalahan.

Oleh itu, adalah baik sekiranya dilaksanakan kempen khusus terutama oleh pihak pengendali lebuh raya sendiri sebagai tanggungjawab sosial mereka dengan menggunakan pelbagai medium terkini supaya ilmu pemanduan sedia ada boleh dipertingkatkan. Pada masa sama, Plus Ronda turut diberi kuasa membantu penguat kuasa untuk mengenakan tindakan, memberi tunjuk ajar atau menghambat keluar penjenayah lebuh raya ini ke jalan biasa sekiranya masih berdegil dengan sikap biadab mereka ini. Ia seperti mana yang diperolehi oleh Penguatkuasa Dewan Bandaraya yang diberikan kuasa menyaman pesalah trafik ketika ini. Polis, JPJ, SPAD, MKJR dan sebagainya perlu melaksanakan usaha sama secara bersepadu dengan modul khusus secara berterusan. Ia memang terbukti mampu dilaksanakan sebagaimana kejayaan Kementerian Dalam Negeri memperkenalkan Strategi Gelombang Biru mereka yang menggabungkan pelbagai agensi dalam gerak kerja membanteras jenayah, mengekang dan membetulkan perspektif umum terhadap indeks jenayah di negara ini.

Sumber :
Utusan Malaysia
1 Ogos 2012

PERJUANGAN KITA BELUM SELESAI
JANGAN DILANGSAIKAN DI JALAN RAYA
INGATLAH ORANG YANG TERSAYANG
MEREKA PERLUKAN KITA
KITA PERLUKAN MEREKA

ISU SOSIAL : BUAT PINJAMAN UNTUK BERAYA SAKAN


Oleh Fauziah Arof


Iklan promosi menyambut Hari Raya Aidilfitri, daripada kain, langsir, produk minuman, makanan, jubin lantai dan entah apa lagi semuanya dikaitkan dengan perayaan itu. Dan yang paling menarik perhatian adalah iklan daripada sebuah institusi kewangan yang menawarkan pinjaman wang sempena Hari Raya. Wah, semua pihak mahu mengambil kesempatan sempena Hari Raya untuk melariskan produk-produk termasuk perkhidmatan. Semuanya mahu menggalakkan orang kita berbelanja besar dan sakan untuk menyambut Syawal ini. Dan jika anda lihat di laman sosial terutamanya Facebook dan iklan-iklan di Internet, ramai juga yang menjadi agen kepada mana-mana syarikat kewangan berlesen mengajak rakan-rakan mengambil pinjaman yang ditawarkan sempena hari raya, ada yang mencapai sehingga RM50,000! Memang hebat penangan iklan-iklan tersebut, jika tidak fikir panjang, ramai yang pasti terjerat untuk meminjam walaupun sebenarnya tidak ada keperluan langsung atau terdesak pun.

Perlukah kita sampai ke tahap meminjam wang pada bank atau syarikat kewangan berlesen untuk menyambut Hari Raya? Itu belum lagi masuk khidmat ceti-ceti haram atau ah long. Dengan kakitangan awam mendapat bonus setengah bulan, pesara pun dapat bonus, peneroka Felda juga, tentu ini dapat melegakan sedikit sebanyak persediaan golongan ini untuk menyambut hari lebaran itu. Kepada kakitangan swasta, tidak mendapat bonus tidak semestinya perlu meminjam sana sini. Memanglah perit kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk menyediakan segala persiapan Hari Raya terutamanya dalam memenuhi keperluan dan permintaan anak-anak dengan pendapatan yang tidak banyak. Tetapi sekiranya anda memilih untuk membuat pinjaman bank atau syarikat kewangan, ia pasti akan menambah beban tanggungan anda selepas ini. Nanti, raya sudah habis sebulan, hutang sehingga raya tahun depan pun belum tentu habis.

Kita mesti ingat beberapa bulan lagi, pejam celik, pejam celik, musim persekolahan sesi tahun depan pula akan bermula. Perbelanjaan ini lebih penting dan besar kepada yang mempunyai ramai anak. Pada masa itu, masihkah kita mahu meminjam lagi? Sebaik-baiknya, perbelanjaan diatur mengikut kemampuan diri sendiri dan keluarga. Perlukah kita berhabis-habisan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sedangkan agama kita turut menuntut kita bersederhana dan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh memudaratkan diri dan keluarga kelak. Sekiranya kita berbelanja secara berhemah, tidak mengikut rasa, ukur baju di tubuh sendiri dan berbelanja atas perkara-perkara yang perlu, sudah pasti isu-isu melibatkan kewangan setiap tiba Hari Raya dapat diatasi. Dan kita juga dapat menjalani ibadah berpuasa dalam bulan Ramadan ini dengan hati dan fikiran yang tenang, fokus, tanpa diserabutkan dengan masalah-masalah kewangan.

Kita perlu mensyukuri dengan kemakmuran yang diberikan Tuhan di negara ini, di bulan Ramadan, kita dapat berpuasa, membuat amal ibadah dengan aman, serba serbi ada, sedangkan umat Islam di negara lain seperti Somalia dan umat Islam Rohingya di Myanmar bukan sahaja tiada makanan untuk bersahur, berbuka pun begitu juga. Inikan pula hendak membuat persiapan seperti kita untuk menyambut raya. Dan ada juga suami isteri yang tidak bertegur sapa, bertengkar di bulan yang mulia ini kerana hal-hal perbelanjaan untuk berhari raya! Yang peliknya, pada Hari Rayalah semua benda hendak ditukar baru. Seolah-olah kalau tidak ditukar, tidak boleh beraya. Dan berlaku juga amalan pembaziran, sehingga ada kuih raya yang dibeli masih ada apabila menyambut Hari Raya Aidiladha nanti. Ada yang membeli baju berpasang-pasang, sudahnya berlapuk disimpan di dalam almari dan dipakai setahun sekali sahaja.

Dalam pada itu, kita juga meminta pihak yang berkaitan agar membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap peniaga-peniaga yang mungkin mengambil kesempatan menaikkan harga barang dengan sesuka hati. Dengan pemberian bonus kepada kakitangan awam, pesara, peneroka Felda dan kecenderungan orang kita berbelanja sakan untuk menyambut Aidilfitri ini, kita bimbang ramai peniaga yang ‘gatal’ menaikkan harga barangan. Selain isu harga, kualiti barangan juga perlu ditengok sama. Dalam berbelanja kitalah sebenarnya menentukan apa yang perlu, apa yang tidak, bukannya promosi atau iklan-iklan produk. Jika mampu berbelanja lebih, tidak mengapa, jika tidak, kesannya mungkin menganggu kesejahteraan dan kualiti hidup kita dan keluarga dalam tempoh yang agak panjang.

Sumber :
Utusan Malaysia
1 Ogos 2012

MENGAPA HARUS 
MENGORBANKAN KEBAHAGIAAN JANGKA PANJANG UNTUK 
MENIKMATI KEBAHAGIAAN 
JANGKA PENDEK?

ISU GLOBAL : HARAPAN KEAMANAN DI BUMI SOMALIA


Teks dan Gambar METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my


Empat kunci utama Somalia mampu mencapai semula keamanan." Itu yang digariskan oleh Presiden Wilayah Udubland, Ibrahim Abdullah Addo ketika ditanya mengenai harapan untuk melihat bumi Somalia kembali ke landasan keamanan hakiki. Bagi Ibrahim Abdullah, biar dunia melihat Somalia sebagai negara paling tidak selamat, tiada apa yang mustahil untuk dilakukan dalam mengejar harapan menjadikannya sebagai negara aman dan sejahtera. Untuk itu, jelasnya, Somalia perlu memperkukuhkan kembali sistem politiknya, selain ekonomi dan keselamatan serta ketenteraan. Penglibatan masyarakat antarabangsa, ujar beliau, dalam menghulurkan sokongan dan bantuan menerusi misi kemanusiaan juga mampu menyumbang kepada 'pencarian' harapan berkenaan.

''Konflik bersenjata dan pergolakan yang berlarutan di Somalia selama dua dekad mampu diselesaikan menerusi empat komponen itu. Namun, Somalia yang kaya dengan pelbagai sumber asli, perikanan dan pertanian tidak akan memberi sebarang makna jika pergolakan masih berterusan. ''Tahun ini sahaja beberapa pelabur menyatakan minat untuk mengusahakan pengeluaran gas asli di Somalia. Ini juga tidak akan berjaya jika kita (rakyat Somalia) tidak bersatu. Malaysia sendiri pun 'takut' untuk melabur di sini ekoran faktor keselamatan. Justeru, dengan penglibatan misi kemanusiaan, ia diharap dapat membuka mata kita semua bahawa Somalia perlu kembali mengecap keamanan. ''Malaysia sebagai contoh, tiga tahun lebih awal mencapai kemerdekaan berbanding Somalia. Ia bukanlah jarak yang jauh. Tetapi Malaysia jauh meninggalkan Somalia dan menjadi negara yang makmur. Kita punyai kekuatan tersendiri tetapi tidak akan mencapai kejayaan jika tiada kekuatan politik, ekonomi dan keselamatan," katanya.

Pemerhati Hak Kemanusiaan (HRW) baru-baru ini mendakwa semua pihak bertelagah dalam konflik di Somalia telah melanggar undang-undang perang dan bersalah menyebabkan kematian orang awam, keadaan yang menyumbang kepada bencana kemanusiaan di negara tersebut. Al-Shabab, kumpulan militan yang mengawal sebahagian besar kawasan di Somalia bersalah melakukan kekejaman manakala tentera kerajaan pula melakukan penangkapan dan penahanan tanpa usul periksa. Apa yang menyedihkan, keganasan di Mogadishu telah mengganggu pengagihan bantuan kepada berpuluh ribu orang yang kebuluran ekoran kemarau dahsyat yang melanda negara itu sejak tiga tahun. Ibrahim Abdullah memberitahu, dalam mencari kaedah penyelesaian di Somalia, rakyat Somalia sendiri harus bersama bersatu dalam mencari kaedah terbaik menuju keamanan.

Ditanya mengenai peranan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dalam menyelesaikan konflik di Somalia, katanya, pertubuhan itu tidak kompeten untuk melakukan perkara tersebut. ''Apa yang mereka boleh lakukan? Mereka tidak kompeten. Sekarang pun banyak isu melanda negara Islam seperti Libya dan Mesir," tambahnya. Kepada soalan tentang perkembangan pendidikan di Somalia, katanya, rakyat Somalia sememangnya dahagakan pendidikan tetapi sistem pendidikan di negara itu tidak mampu untuk berjalan dengan baik kerana kegagalan kerajaan pusat berfungsi dalam mentadbir negara. Sedikit latar mengenai Somalia, tujuh tahun selepas mencapai keamanan pada 1960, ketika berlangsungnya pilihan raya Presiden, Abdirashid Ali Shermarke dilantik menjadi Presiden Somalia yang kedua. Malangnya, beliau dibunuh oleh pengawal peribadinya sendiri.

Justeru, Sheikh Mukhtar Mohamed Hussein kemudiannya dilantik menjadi Presiden sementara. 'Hayat' Sheikh Mukhtar untuk menerajui Somalia tidak berpanjangan apabila Mohamed Siad Barre menjalankan 'operasi' rampasan kuasa pada 21 Oktober 1969. Sungguhpun memerintah secara kuku besi, beliau berjaya membawa Somalia ke tahap tinggi dalam pembangunan negara. Siapa sangka, Somalia ketika era 1970-an turut digeruni lantaran kekuatan dalam bidang ketenteraan di bawah pemerintahan Mohamed Siad. Namun, detik-detik kehancuran Somalia berputik menjelang 1991 tatkala Mohamed Siad dijatuhkan oleh beberapa puak di utara dan selatan. Dan, ketika itu wilayah utara di Somalia bertindak mengisytiharkan kemerdekaan dengan menggunakan nama Somaliland. Ia bagaimanapun tidak mendapat pengiktirafan dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Lantaran kekalutan, Somalia diletakkan di bawah penguasaan Kerajaan Peralihan Persekutuan (TFG). Ia bagaimanapun tidak mempunyai 'taring' untuk berkuasa di hampir keseluruhan Somalia apabila wilayah selatannya dikuasai militan Al-Shabab. Memeranjatkan, permusuhan dan perpecahan kalangan rakyat Somalia yang terjadi sekitar 1991 masih berlarutan hingga kini. Segalanya musnah dan Somalia yang satu ketika cukup disegani di kalangan benua Afrika kini bertukar menjadi miskin dan mundur.

Sumber :
Utusan Malaysia
5 Oktober 2011

29 Julai 2012

ISU GLOBAL : DUNIA BERADA DI BANYAK PERSIMPANGAN


Rencana ini ditulis oleh :
ZIN MAHMUD


Pada 28 Julai 2012, majlis pembukaan temasya sukan Olimpik dianggap paling bersejarah dari segi gilang-gemilangnya. London boleh senyum bergaya. Pesta Olimpik merupakan perhimpunan kemanusiaan terbesar yang berjaya menyumbangkan perasaan kesejagatan sesama insan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik melalui semangat kesukanan. Ia adalah lebih bermakna dalam menyatukan tumpuan manusia di seluruh dunia berbanding institusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Lebih-lebih lagi pada zaman dunia dikecilkan dan disatukan melalui rangkaian media sosial yang telah menyelubungi keseluruhan planet bumi. Inilah istimewanya sukan. Maka dari satu segi, Olimpik London kali ini bersejarah kerana liputan acaranya ke seluruh dunia secara lintas langsung bukan saja melalui televisyen tetapi juga telefon pintar dalam bentuk Internet dan media sosial, khususnya facebook dan twitter.

Teknologi maklumat dan komunikasi mengubah dunia dan manusia dengan tahun 2012 ini melihat kecanggihan yang lebih tinggi. Bukan saja tablet sedang mengubah dunia tetapi telefon pintar yang memiliki pelbagai ciri canggih seperti antaranya diperkenalkan oleh Samsung mampu mengatasi Apple, dengan persaingan bertambah sengit. Namun begitu, teknologi dalam bentuk kejuruteraan juga sedang mengubah pemahaman manusia terhadap kewujudan ini. Selain daripada pembinaan roket dan kapal angkasa, manusia juga mampu melakukan penyelidikan ke atas zarah-zarah yang kecil dengan menggunakan teknologi tinggi ini. Justeru bagi 2012 yang sudah masuk separuh keduanya, mungkin pencapaian terbesar manusia tahun ini ialah penemuan partikel Boson Higgs yang diumumkan 4 Julai lalu di Pertubuhan Eropah bagi Penyelidikan Nuklear (CERN) di Geneva, Switzerland.

Penemuan partikel ini mengesahkan teori berkaitan Model Standard fizik partikel dalam menjelaskan alam subatomik partikel asas dan daya interaksi antara mereka. Ia merupakan suatu langkah penting bagi ilmu fizik memahami alam. Keupayaan ahli-ahli fizik pelbagai bangsa membuat penemuan itu hanya dapat dilakukan melalui uji kaji dengan menggunakan penjana pecutan Large Hadron Collider (LHC), sebuah alat berupa terowong keliling 27 kilometer di bawah tanah di Geneva, Switzerland. Justeru, kesemua ini adalah merupakan hasil daripada teknologi yang dicapai oleh manusia dengan Eropah dapat menawarkan tempat serta kemudahan bagi pencarian penemuan baru untuk ahli-ahli fizik. Ketika mana ahli-ahli fizik bidang berkenaan dari pelbagai negara meraikan kejayaan itu, penduduk Eropah sendiri sedang dicabar dengan krisis kewangan yang menggugat bukan saja sistem kewangan mereka melalui Eurozone tetapi juga idealisme perpaduan benua itu dalam gagasan Kesatuan Eropah (EU).

Krisis ekonomi yang kini melanda Greece dan sedang merebak ke Sepanyol mengakibatkan pendapatan rakyat di sana terhakis teruk di samping meningkatkan pengangguran. Keadaan ini menggugat kepercayaan penduduk Eropah tentang kemapanan Eurozone dan EU sendiri. Jerman sebagai negara yang mempunyai kemampuan menyelamatkan sistem ini tidak jelas untuk membantu kerana bantahan penduduk mereka sendiri. Tanpa penyelesaian yang berkesan, penyatuan Eropah boleh tergugat kerana krisis ini. Apa yang berlaku di Eropah ini hanya menambahkan cabaran terhadap sistem ekonomi kapitalisme sejagat itu sendiri. Dengan cabaran krisis kewangan Amerika Syarikat sejak dua tahun lalu, berpunca daripada pinjaman hartanah yang tidak baik dan penyelewengan saham membawa kepada persoalan terhadap sistem kapitalisme itu. Setelah sistem ini berjaya mengalahkan kaedah komunisme apabila blok Soviet terlerai, pada tahun ini terserlah suatu ironi global yang menuntut penilaian semula cara manusia menjalankan kehidupan ekonominya.

Ironi global yang dimaksudkan di sini ialah dunia kapitalisme Barat, baik di Amerika mahupun Eropah kini bergantung kepada sebuah negara yang masih mengisytiharkan dirinya komunis walaupun ia mengamalkan sistem pasaran terbuka. Negara itu ialah Republik Rakyat China yang menghasilkan barangan-barangan murah untuk kegunaan seluruh dunia. Kekuatan ekonomi China ini tentu mengukuhkan kedudukan politiknya di mata dunia. Suatu petanda utama kedudukannya yang kuat kini ialah usahanya yang berterusan untuk meneroka angkasa lepas. China yang tahun ini mengirim angkasawan wanita pertamanya, Liu Yang berazam untuk mendaratkan manusia di muka bulan. Dalam keadaan sebegini kuat, China tidak perlu takut pada sesiapa, walaupun Amerika Syarikat. Maka ia dengan mudah membina kota Sansha di pulau terpencil di Laut China Selatan. Pulau ini, Yongxing adalah sebahagian daripada kepulauan Paracel. Kepulauan ini bukan saja dituntut oleh China tetapi juga Vietnam dan Filipina. Langkah China untuk mengisytiharkan Sansha sebagai munisipaliti terbarunya adalah merupakan usaha untuk mengukuhkan tuntutannya ke atas kepulauan-kepulauan Paracel, Spratly dan Tebing Macclesfield.

Kepulauan Spratly dan sebahagiannya juga dituntut oleh Malaysia, Brunei dan Taiwan, selain daripada Vietnam dan Filipina. Ini bermakna negara-negara ASEAN berdepan dengan China dalam soal tuntutan kepulauan ini yang pasti menimbulkan rasa tidak senang antara kedua belah pihak. Bukan itu saja, rencana pengarang akhbar milik Parti Komunis China, The Global Times telah menggesa kerajaannya membuat tuntutan pula ke atas pulau Jepun, Okinawa sebagai miliknya. Sejak kebangkitan China, pihak negara-negara ASEAN sedar bahawa mereka harus bersatu dan mengukuhkan diri untuk dapat berdepan dengan China. Dalam tahun ini, perkembangan yang baik bagi ASEAN ialah Myanmar mula membuka sistemnya dan berduyun-duyunlah pelabur dari Barat datang. Sememangnya diharapkan Myanmar akan bangkit untuk menjadi makmur dan bersama-sama negara-negara lain dalam ASEAN memperkukuhkan kekuatan untuk menghadapi cabaran ekonomi China dan India,

Tetapi malangnya ketika mana Myanmar menampakkan sinar, terserlah pula masalah Muslim Rohingya yang ditolak hak kewarganegaraannya oleh kerajaan mereka sendiri. Nasib yang menimpa Rohingya ini menimbulkan kemarahan umat Islam bukan saja di negara-negara ASEAN tetapi juga di Pakistan, malah sehingga di Tunisia. Di negara-negara itu, bantahan dibuat kerana layanan buruk yang diberikan oleh kerajaan Myanmar terhadap bangsa Rohingya. Inilah pertama kalinya terdengar rakyat Tunisia menyatakan prihatin terhadap nasib umat Islam yang begitu jauh dari tempat mereka. Tunisia baru saja mendapat kerajaan baru melalui sistem demokrasi. Apa yang disebut sebagai kebangkitan Musim Bunga Arab yang bermula di Tunisia telah pun turut mengubah kerajaan di Libya dan Mesir. Kesemuanya didorong oleh media sosial.

Kini, kebangkitan itu berubah dalam bentuk perang saudara di Syria. Maka berlakulah pembunuhan sesama Islam, malah pada bulan Ramadan. Tetapi Syria kini menjadi persimpangan bagi geopolitik dunia. Masing-masing pihak kerajaan dan pemberontak menjadi proksi dalam persaingan lama yang diperbaharui antara Amerika Syarikat dan lawan-lawannya. Maka apabila Amerika menyokong pemberontak Syria seperti mana ia merestui kebangkitan di Tunisia, Mesir dan Libya, ia membuka satu medan di mana Iran dan Rusia pastinya memberi sokongan kepada Bashar Assad. Rusia yang kembali dipimpin oleh Vladimir Putin menunjukkan tanda bahawa Moscow mahu memulihkan kedudukannya sebagai kuasa besar bagi mengimbangi Amerika. Inilah simpang-simpang baru dalam geopolitik di mana peperangan akan berterusan dalam bentuk-bentuk baru.

Walaupun kini manusia bertambah maju dari segi pemahaman sainsnya, teknologi semakin canggih dan usaha mencari sistem ekonomi dan politik yang lebih baik berjalan terus, tetapi persaingan geopolitik yang membawa bersama peperangan dari satu tempat ke tempat lain akan berterusan. Akan ada manusia yang terus terkorban dalam peperangan. Ketika mana pusat-pusat konflik yang lepas seperti Palestin, Iraq, Afghanistan, Sudan dan Somalia masih belum berakhir, muncul pula konflik-konflik baru. Manusia walaupun berganti generasi akan terus menyesuaikan diri dengan perubahan ini. Ini belum lagi dikira betapa perubahan iklim akan membawa banyak lagi bencana pada masa mendatang.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
29 Julai 2012

ISU SOSIAL : TERJEBAK KES PENIPUAN KERANA BODOH ATAU TAMAK?


Rencana ini ditulis oleh :
Azman Anuar


Tidak dapat dibayangkan bagaimana kes-kes penipuan semakin meningkat. Tidak perlu merompak atau memaksa, dengan mudah sesetengah masyarakat kita mudah tertipu. Bayangkan bagaimana 740 pencagar emas palsu yang kebanyakannya penduduk kampung begitu mudah diperdaya dengan upah RM300 hingga RM800 untuk memajak emas palsu. Senang-senang sindiket penipuan hanya menggunakan taktik menyadur tembaga dengan emas berjaya mengakibatkan sebuah bank negara ini kerugian RM75 juta. Rupa-rupanya bukan sahaja bank tersebut, tetapi 11 kedai pajak gadai di seluruh negara turut diperdaya sindiket yang sama. Cuma jumlah kerugian masih dalam siasatan. Mudah betul anggota sindiket itu menipu orang kampung, kerani bank dan tauke pajak gadai.

Nampaknya mangsa penipuan tidak kira pangkat. Sudah banyak kita membaca orang yang bergelar Tan Sri dan beberapa ahli politik pun mudah ditipu. Oleh kerana mahu jalan mudah mendapatkan ijazah, ada yang sanggup membelinya konon ijazah universiti luar negara yang didalangi sebuah institusi pengajian tinggi swasta boleh meningkatkan ‘harga diri’ mereka. Sekarang macam mana perasaan mereka apabila sedar bahawa ijazah yang dikejar itu adalah palsu belaka. Khabarnya sudah ramai penerima ijazah palsu itu. Siasatan polis mendapati kebanyakan yang memiliki ijazah menggunakan nama universiti palsu luar negara itu memegang jawatan penting dalam organisasi tertentu.

Bagaimana kedudukan mereka dalam jawatan baik awam atau swasta sekarang. Jika begini caranya, mereka tidak jujur dan telah menipu majikan masing-masing. Bukan setakat institusi pengajian itu menipu pelajarnya, mereka juga penipu. Apa hukum orang yang menipu kelayakan akademik? Sepanjang minggu pertama umat Islam berpuasa di bulan Ramadan ini, banyak kes penipuan. Kitaran kes-kes penipuan akan berulang dari semasa ke semasa. Lihatlah bagaimana kes-kes penipuan Awang Hitam kembali diperkatakan. Cerita Awang Hitam yang jadi penggoda dan master mind pengedaran dadah sampai sekarang masih belum dapat ditangani sepenuhnya. Bilangan mereka yang bijak menipu rakyat tempatan terutama wanita yang belum berkahwin cukup hebat.

Dengan menggunakan Internet, segala kepakaran ilmu cinta palsu digunakan. Malangnya masyarakat kita mudah tergoda dan akhirnya terpedaya. Banyak yang mengalami kerugian beribu-ribu ringgit kerana ayat-ayat power Awang Hitam yang turut menggunakan khidmat warga tempatan. Kes seorang wanita tempatan bersekongkol dengan tujuh kasanova warga Nigeria untuk memperdayakan lebih 10 janda dan andartu kesunyian hingga melibatkan kerugian lebih RM300,000 bukan kes baharu. Penipuan demi penipuan berjaya dilakukan Awang Hitam. Dalam ruang e-mel peribadi anda mungkin sudah biasa menerima mesej daripada wanita yang mengaku bekerja di Eropah sedang mencari rakan kongsi untuk urus niaga batu berlian di Afrika. Sekejap pengirim e-mel mengguna nama Aminah, sekejap Siti Amirah dan macam-macam nama lain tetapi susunan dan struktur ayatnya sama sejak empat atau lima tahun lalu.

Mungkin inilah kerja kumpulan Awang Hitam bertindak licik menggunakan wanita tempatan untuk menipu rakyat Malaysia. Apa tindakan yang patut pihak berkuasa lakukan terhadap Awang Hitam? Bagaimana rakyat kita mudah tertipu? Mengikut statistik polis, sepanjang tahun lalu sahaja sebanyak 6,586 kes penipuan melalui Internet melibatkan nilai kerugian lebih RM34 juta dilaporkan di negara ini. Kes itu meningkat 348 kes berbanding 6,238 kes jenayah siber pada tahun 2010. Peningkatan kes jenayah siber di negara kita menunjukkan golongan pengguna menjadi sasaran penjenayah untuk mengaut keuntungan mudah. Elok rasanya pihak berkuasa segera menangani kes penipuan menerusi Internet yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) harus bekerjasama membanteras perkara ini. Letaklah pegawai yang boleh membaca pemikiran ‘penipu’ yang mahir dalam bidang teknologi maklumat. Hakikatnya, walaupun telah diingatkan beberapa kali, tetapi sifat tamak dan inginkan wang yang lebih dalam kalangan rakyat kita menyebabkan mangsa akhirnya tertipu juga. Sebagai manusia sepatutnya kita berfikir terlebih dahulu sebelum menyerahkan wang atau apa sahaja kerana kita kena membuat keputusan apatah lagi menyerahkan sesuatu kepada orang yang baru dikenali.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
29 Julai 2012

ISU PENGGUNA : TERPENGARUH TAWARAN HADIAH LUMAYAN


Rencana ini ditulis oleh :
NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR


Meskipun pelbagai pendedahan dibuat oleh media massa mengenai sindiket penipuan gores dan menang, namun masih terdapat individu yang terpengaruh dengan taktik kumpulan berkenaan sehingga sanggup menyerahkan ribuan ringgit demi mendapat hadiah lumayan yang dijanjikan. Perkara itu turut menimpa Eksekutif Operasi sebuah syarikat swasta di Singapura, Ling Tien Mei, 34, ketika berkunjung ke Malaysia pada 17 Mac lalu. Kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan ke sebuah pusat beli-belah berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Johor Bahru. Dia didatangi seorang lelaki dari syarikat Nilam Bumi Sdn. Bhd., yang menyatakan Tien Mei berpeluang memenangi kereta Toyota Camry jika menyertai cabutan yang disediakan. Bagaimanapun, Tien Mei perlu menjelaskan sejumlah bayaran sebelum membuat cabutan itu.

Lelaki itu kemudian membawa saya ke pejabat mereka di Taman Molek sebelum ke Senai untuk mengeluarkan wang saya sebanyak RM21,000 yang kemudian ditukar ke mata wang dolar Amerika dan euro bagi membolehkan saya membuat cabutan. Selepas membuat cabutan, mereka memberitahu saya memenangi tiga unit tilam jade, dan saya juga diberitahu jika saya tidak menang kereta, maka duit saya akan dipulangkan," katanya. Warga tempatan yang kini menetap di Singapura itu memberitahu, lelaki berkenaan juga berjanji akan membantu menjual dua unit tilam yang dimenanginya dan hasil jualan sebanyak 30 peratus akan diambil sebagai upah. Selepas pulang ke Singapura, saya merasakan ia merupakan satu penipuan dan menghubungi mereka untuk memulangkan barangan itu bagi mendapatkan kembali wang saya.

Dua minggu selepas itu, saya berjaya memperoleh wang saya semula sebanyak RM13,000 sahaja tetapi mereka enggan memulangkan baki RM8,000," katanya yang kemudian membawa kes itu ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Johor Bahru. Presiden tribunal, Maznah Haron yang mendengar kes itu baru-baru ini, memerintahkan Nilam Bumi membayar RM8,000 kepada mangsa dan barangan yang diperoleh perlu dipulangkan dalam tempoh 14 hari. Mangsa juga dinasihati supaya lebih berhati-hati bagi mengelakkan kejadian sama berulang memandangkan sindiket seperti itu bukan sesuatu yang baru.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
29 Julai 2012

26 Julai 2012

ISU SUKAN : OLIMPIK LONDON 2012 MEDAN UNTUK MENONJOLKAN DIRI


Rencana ini ditulis oleh :
HAMDAN AHMAD
Bekas Pemangku Dekan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi,
Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.


Selepas Sukan Olimpik Beijing 2008, sukan kali ini akan berlangsung bermula 25 Julai hingga 12 Ogos di kota London, sebuah kota metropolitan. London mengambil masa tujuh tahun dalam membuat persiapan bagi menganjurkan sukan berprestij ini dengan perbelanjaan £9.9 bilion (RM46 bilion). Siri Sukan Olimpik kali ini melibatkan penyertaan 10,490 atlet seluruh dunia, 302 pingat emas untuk dimenangi dan melibatkan 3.500 pegawai keselamatan. Di sini akan tertumpunya atlet-atlet hebat dunia dalam usaha mahu mempamerkan aksi-aksi hebat mereka. Antara atlet yang akan turun gelanggang di London ialah seperti Usain Bolt, Michael Phelps, Liu Xiang, Yelena Isinbayeva, Roger Federer dan ramai lagi. Ada antara atlet ini pernah beraksi di Sukan Olimpik Beijing 2008 dahulu dan kali ini mereka berada di kota London untuk beradu tenaga dan kehebatan dengan peserta lain untuk memenangi pingat gangsa, perak atau emas dan pada masa sama untuk memperbaiki rekod pencapaian masing-masing.

Boris Johnson, Datuk Bandar London sudah tentu menjadi individu paling sibuk ketika sukan ini berlangsung bagi memastikan semua tetamu yang datang mendapat layanan yang terbaik. Begitu juga pegawai keselamatan, mereka juga golongan paling sibuk dalam memastikan keselamatan para atlet dan pengunjung sentiasa terjamin dan bagi mengelak berulangnya tragedi Olimpik Munich 1972. Falsafah Olimpik adalah berteraskan semangat kesukanan tulen dan juga kecemerlangan pencapaian. Sejak lebih 100 tahun Sukan Olimpik diadakan, salah satu falsafah utama sukan ini diadakan adalah bagi memupuk perpaduan di kalangan para atlet dunia yang bertanding dan masyarakat dunia. Sukan sudah terbukti mampu merentasi benua dalam konteks memupuk semangat perpaduan dan kesefahaman tanpa mengira perbezaan ideologi di kalangan para atlet dan masyarakat dunia. Kita seharusnya mengangkat setinggi hormat kepada para atlet dari Syria yang turut hadir di London walaupun negara mereka dalam keadaan tidak menentu.

Setiap atlet yang bertanding akan mencuba sedaya upaya menunjukkan kehebatan masing-masing dengan semangat kesukanan tinggi seperti mana yang dituntut oleh piagam Sukan Olimpik itu sendiri. Kalah menang itu memang adat pertandingan. Hanya atlet yang hebat sahaja mampu meraih pingat. Yang lain-lain juga tetap hebat walaupun tewas dalam konteks bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi. Banyak sebab kenapa ramai atlet beria-ia untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik. Dengan memenangi pingat, para atlet akan disanjungi, dikenali dan menjadi iri hati sesetengah individu diatas kejayaan dicapai. Kejayaan yang dicapai oleh seseorang atlet itu dapat menaikkan imej negara yang diwakili di mata dunia. Sebagai contoh, sebut sahaja nama ahli sukan seperti Usain Bolt, orang ramai akan ketahui akan nama negara Jamaica. Ekonomi Jamaica mungkin tidak sehebat Amerika Syarikat, tetapi negara ini hebat kerana dibarisi pelari pecut unggul dunia. Di samping itu, para atlet yang berjaya dalam Olimpik, terutama mereka yang memperolehi pingat emas, akan dilimpahi ganjaran kewangan daripada kerajaan dan pihak swasta.

Di Malaysia baru-baru ini ada individu yang menawarkan ganjaran berupa jongkong emas bernilai RM2 juta kepada pemain badminton pertama memenangi emas di Olimpik nanti. Tawaran sedemikian sepatutnya dapat mencetus gelombang menaikkan semangat para atlet negara yang akan bertarung di London nanti. Kalaulah dengan ganjaran yang sedemikian, masih lagi atlet negara gagal meraih emas, tidak tahulah apa lagi yang harus kerajaan dan pihak swasta lakukan. Mereka telah melakukan yang terbaik untuk para atlet. Pihak kerajaan pula ada menawarkan ganjaran pencen RM3,000 sebulan untuk atlet yang berjaya meraih pingat emas. Difahamkan atlet akan dapat menikmati ganjaran pencen ini selepas Olimpik nanti. Ini amat jauh berbeza dengan kakitangan kerajaan yang hanya memperolehi pencen mereka apabila bersara. Walau apa pun yang diperkatakan, isu pokok adalah tertumpu kepada kecemerlangan sukan itu sendiri. Kecemerlangan sukan perlu ditonjolkan dan dihayati oleh para atlet dan difahami oleh masyarakat dunia.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
26 Julai 2012

ISU ALAM SEKITAR : PERSPEKTIF IKIM : KEKURANGAN BEKALAN AIR BERSIH BUKAN ISU REMEH


Rencana ini ditulis oleh :
Rosmidzatul Azila Mat Yamin
Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Air anugerah Allah SWT yang sangat penting terhadap kehidupan sejagat. Tanpa sumber air mencukupi adalah mustahil bagi manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup. Penegasan berhubung kepentingan sumber air banyak dinukilkan dalam al-Quran. Antaranya firman Allah bermaksud: “Dan Dia menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu pelbagai jenis buah-buahan yang menjadi rezeki untukmu. Dia juga telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu belayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah pula menundukkan sungai-sungai bagimu.” (Surah Ibrahim, ayat 32)  Secara umumnya negara kita mempunyai banyak sumber air. Namun, dewasa ini bekalan sumber air bersih semakin berkurangan sedangkan permintaan terhadapnya semakin meningkat selari peningkatan jumlah populasi penduduk.  Mungkin timbul persoalan mengapa situasi sedemikian boleh berlaku sedangkan kita mempunyai sumber air yang banyak di sekeliling kita.

Sebenarnya, keadaan ini timbul ekoran peningkatan jumlah penduduk dari semasa ke semasa, selain pelbagai kegiatan berkaitan mengakibatkan berlakunya pencemaran terhadap sumber air yang ada. Ia sekali gus meletakkan kita dalam krisis yang meruncing untuk mendapatkan bekalan air bersih mencukupi bagi menampung segala aktiviti seharian.  Bukan itu saja, terdapat pelbagai faktor lain menyumbang kepada berlakunya masalah kekurangan bekalan air bersih antaranya peningkatan suhu global yang menyebabkan kadar kehilangan air berlaku lebih cepat akibat proses penyejatan air yang tinggi ke atmosfera. Selain itu, pencemaran akibat pengurusan sisa buangan yang tidak sistematik juga menyebabkan sumber air bersih tercemar. Misalnya, longgokan sampah di tapak pelupusan sampah menyebabkan terhasilnya sisa toksik yang seterusnya akan mengalir ke sungai dan sumber air bersih lain.  Pengaliran sampah dan sisa toksik ini akhirnya menyebabkan air tercemar dan bekalan air bersih semakin berkurang. Lebih memburukkan lagi krisis sumber air bersih ialah apabila simpanan air bawah tanah, sumber bekalan air bersih yang sepatutnya dipelihara juga semakin berkurangan.  Situasi ini terjadi kerana kegiatan pembalakan yang kian berleluasa hari ini hingga menjejaskan kawasan tadahan air.

Pembangunan pesat yang berlaku secara tidak terancang juga menyebabkan air hujan tidak serap ke dalam tanah, sebaliknya terus mengalir ke sungai.  Keadaan ini mengakibatkan kuantiti air bawah tanah menjadi semakin berkurangan dan seterusnya menjejaskan mutu bekalan air.  Kekurangan bekalan air bersih akan turut menjejaskan kesihatan masyarakat. Contohnya, akibat kekurangan sumber air bersih untuk minuman menyebabkan berlakunya dehidrasi (kekurangan air dalam badan) selain menyebabkan berlaku penyakit seperti taun kerana meminum air tercemar.  Masalah kekurangan bekalan air turut memberi kesan terhadap sumber tanah iaitu menyebabkan tanah menjadi kontang. Air yang tercemar turut menjejaskan kualiti tanah dan ini sekali gus menjejaskan aktiviti pertanian seterusnya memberi kesan terhadap bekalan makanan serta kadar pertumbuhan ekonomi negara.  Melihat kesan bakal dihadapi akibat kekurangan bekalan air bersih, seharusnya kita bermuhasabah diri dan berusaha menanganinya. Kesedaran awal memelihara dan memulihara sumber bekalan air penting bagi memastikan bekalan air bersih mencukupi.

LANGKAH-LANGKAH

Langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan bekalan air bersih ialah dengan memperbanyakkan loji rawatan air bagi membolehkan air sungai, air tasik dan air dari sumber lain yang tercemar diproses menjadi sumber air bersih.  Selain itu, peningkatan dari aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga penting bagi membantu menambah sumber bekalan air bersih. Aktiviti R&D secara proaktif akan membuka laluan lebih luas kepada penciptaan alatan moden dan canggih bagi merawat air buangan secara efektif. Melalui R&D juga air laut boleh diproses untuk dijadikan air minuman.  Langkah seterusnya ialah menyediakan lebih banyak kawasan tadahan air bagi memastikan bekalan air bawah tanah dapat dimaksimumkan. Oleh itu, segala aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan perlu dipantau dan dikawal supaya dapat menyediakan lebih banyak kawasan tadahan air.  Di samping itu, pembuangan sisa kimia dan toksik juga perlu dikawal bagi memastikan sumber bekalan air tidak terdedah kepada sebarang bentuk pencemaran. Sudah tiba masanya kita memikirkan dengan lebih serius isu kekurangan bekalan air bersih yang bukan saja melanda negara kita, tetapi juga negara lain di seluruh dunia.  Pembabitan seluruh masyarakat dalam usaha memulihara sumber air penting untuk mengatasi kemelut ini. Mudah-mudahan kesedaran itu dapat mempertingkatkan lagi tahap kebersihan sumber air untuk diwarisi anak cucu kita.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
26 Julai 2012