Teks dan Gambar METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my
''Konflik bersenjata dan pergolakan
yang berlarutan di Somalia selama dua dekad mampu diselesaikan menerusi empat
komponen itu. Namun, Somalia yang kaya dengan pelbagai sumber asli, perikanan
dan pertanian tidak akan memberi sebarang makna jika pergolakan masih
berterusan. ''Tahun ini sahaja beberapa pelabur menyatakan minat untuk
mengusahakan pengeluaran gas asli di Somalia. Ini juga tidak akan berjaya jika
kita (rakyat Somalia) tidak bersatu. Malaysia sendiri pun 'takut' untuk melabur
di sini ekoran faktor keselamatan. Justeru, dengan penglibatan misi
kemanusiaan, ia diharap dapat membuka mata kita semua bahawa Somalia perlu
kembali mengecap keamanan. ''Malaysia sebagai contoh, tiga tahun lebih awal
mencapai kemerdekaan berbanding Somalia. Ia bukanlah jarak yang jauh. Tetapi
Malaysia jauh meninggalkan Somalia dan menjadi negara yang makmur. Kita punyai
kekuatan tersendiri tetapi tidak akan mencapai kejayaan jika tiada kekuatan
politik, ekonomi dan keselamatan," katanya.
Pemerhati Hak Kemanusiaan (HRW)
baru-baru ini mendakwa semua pihak bertelagah dalam konflik di Somalia telah
melanggar undang-undang perang dan bersalah menyebabkan kematian orang awam, keadaan
yang menyumbang kepada bencana kemanusiaan di negara tersebut. Al-Shabab,
kumpulan militan yang mengawal sebahagian besar kawasan di Somalia bersalah
melakukan kekejaman manakala tentera kerajaan pula melakukan penangkapan dan
penahanan tanpa usul periksa. Apa yang menyedihkan, keganasan di Mogadishu
telah mengganggu pengagihan bantuan kepada berpuluh ribu orang yang kebuluran
ekoran kemarau dahsyat yang melanda negara itu sejak tiga tahun. Ibrahim
Abdullah memberitahu, dalam mencari kaedah penyelesaian di Somalia, rakyat
Somalia sendiri harus bersama bersatu dalam mencari kaedah terbaik menuju
keamanan.
Ditanya mengenai peranan Pertubuhan
Persidangan Islam (OIC) dalam menyelesaikan konflik di Somalia, katanya,
pertubuhan itu tidak kompeten untuk melakukan perkara tersebut. ''Apa yang
mereka boleh lakukan? Mereka tidak kompeten. Sekarang pun banyak isu melanda
negara Islam seperti Libya dan Mesir," tambahnya. Kepada soalan tentang
perkembangan pendidikan di Somalia, katanya, rakyat Somalia sememangnya
dahagakan pendidikan tetapi sistem pendidikan di negara itu tidak mampu untuk
berjalan dengan baik kerana kegagalan kerajaan pusat berfungsi dalam mentadbir
negara. Sedikit latar mengenai Somalia, tujuh tahun selepas mencapai keamanan
pada 1960, ketika berlangsungnya pilihan raya Presiden, Abdirashid Ali
Shermarke dilantik menjadi Presiden Somalia yang kedua. Malangnya, beliau
dibunuh oleh pengawal peribadinya sendiri.
Justeru, Sheikh Mukhtar Mohamed
Hussein kemudiannya dilantik menjadi Presiden sementara. 'Hayat' Sheikh Mukhtar
untuk menerajui Somalia tidak berpanjangan apabila Mohamed Siad Barre
menjalankan 'operasi' rampasan kuasa pada 21 Oktober 1969. Sungguhpun
memerintah secara kuku besi, beliau berjaya membawa Somalia ke tahap tinggi
dalam pembangunan negara. Siapa sangka, Somalia ketika era 1970-an turut
digeruni lantaran kekuatan dalam bidang ketenteraan di bawah pemerintahan
Mohamed Siad. Namun, detik-detik kehancuran Somalia berputik menjelang 1991
tatkala Mohamed Siad dijatuhkan oleh beberapa puak di utara dan selatan. Dan,
ketika itu wilayah utara di Somalia bertindak mengisytiharkan kemerdekaan
dengan menggunakan nama Somaliland. Ia bagaimanapun tidak mendapat
pengiktirafan dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Lantaran
kekalutan, Somalia diletakkan di bawah penguasaan Kerajaan Peralihan
Persekutuan (TFG). Ia bagaimanapun tidak mempunyai 'taring' untuk berkuasa di
hampir keseluruhan Somalia apabila wilayah selatannya dikuasai militan
Al-Shabab. Memeranjatkan, permusuhan dan perpecahan kalangan rakyat Somalia
yang terjadi sekitar 1991 masih berlarutan hingga kini. Segalanya musnah dan
Somalia yang satu ketika cukup disegani di kalangan benua Afrika kini bertukar
menjadi miskin dan mundur.
Sumber :
Utusan Malaysia
5 Oktober 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan