Rencana ini ditulis oleh :
ZIN MAHMUD
Pada 28 Julai 2012, majlis pembukaan
temasya sukan Olimpik dianggap paling bersejarah dari segi gilang-gemilangnya.
London boleh senyum bergaya. Pesta Olimpik merupakan perhimpunan kemanusiaan
terbesar yang berjaya menyumbangkan perasaan kesejagatan sesama insan tanpa
mengira bangsa, agama dan fahaman politik melalui semangat kesukanan. Ia adalah
lebih bermakna dalam menyatukan tumpuan manusia di seluruh dunia berbanding
institusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Lebih-lebih lagi pada zaman
dunia dikecilkan dan disatukan melalui rangkaian media sosial yang telah
menyelubungi keseluruhan planet bumi. Inilah istimewanya sukan. Maka dari satu segi,
Olimpik London kali ini bersejarah kerana liputan acaranya ke seluruh dunia
secara lintas langsung bukan saja melalui televisyen tetapi juga telefon pintar
dalam bentuk Internet dan media sosial, khususnya facebook dan twitter.
Teknologi maklumat dan komunikasi
mengubah dunia dan manusia dengan tahun 2012 ini melihat kecanggihan yang lebih
tinggi. Bukan saja tablet sedang mengubah dunia tetapi telefon pintar yang
memiliki pelbagai ciri canggih seperti antaranya diperkenalkan oleh Samsung
mampu mengatasi Apple, dengan persaingan bertambah sengit. Namun begitu,
teknologi dalam bentuk kejuruteraan juga sedang mengubah pemahaman manusia
terhadap kewujudan ini. Selain daripada pembinaan roket dan kapal angkasa,
manusia juga mampu melakukan penyelidikan ke atas zarah-zarah yang kecil dengan
menggunakan teknologi tinggi ini. Justeru bagi 2012 yang sudah masuk separuh
keduanya, mungkin pencapaian terbesar manusia tahun ini ialah penemuan partikel
Boson Higgs yang diumumkan 4 Julai lalu di Pertubuhan Eropah bagi Penyelidikan
Nuklear (CERN) di Geneva, Switzerland.
Penemuan partikel ini mengesahkan
teori berkaitan Model Standard fizik partikel dalam menjelaskan alam subatomik
partikel asas dan daya interaksi antara mereka. Ia merupakan suatu langkah
penting bagi ilmu fizik memahami alam. Keupayaan ahli-ahli fizik pelbagai
bangsa membuat penemuan itu hanya dapat dilakukan melalui uji kaji dengan
menggunakan penjana pecutan Large Hadron Collider (LHC), sebuah alat berupa
terowong keliling 27 kilometer di bawah tanah di Geneva, Switzerland. Justeru,
kesemua ini adalah merupakan hasil daripada teknologi yang dicapai oleh manusia
dengan Eropah dapat menawarkan tempat serta kemudahan bagi pencarian penemuan
baru untuk ahli-ahli fizik. Ketika mana ahli-ahli fizik bidang berkenaan dari
pelbagai negara meraikan kejayaan itu, penduduk Eropah sendiri sedang dicabar
dengan krisis kewangan yang menggugat bukan saja sistem kewangan mereka melalui
Eurozone tetapi juga idealisme perpaduan benua itu dalam gagasan Kesatuan Eropah
(EU).
Krisis ekonomi yang kini melanda
Greece dan sedang merebak ke Sepanyol mengakibatkan pendapatan rakyat di sana
terhakis teruk di samping meningkatkan pengangguran. Keadaan ini menggugat
kepercayaan penduduk Eropah tentang kemapanan Eurozone dan EU sendiri. Jerman
sebagai negara yang mempunyai kemampuan menyelamatkan sistem ini tidak jelas
untuk membantu kerana bantahan penduduk mereka sendiri. Tanpa penyelesaian yang
berkesan, penyatuan Eropah boleh tergugat kerana krisis ini. Apa yang berlaku
di Eropah ini hanya menambahkan cabaran terhadap sistem ekonomi kapitalisme
sejagat itu sendiri. Dengan cabaran krisis kewangan Amerika Syarikat sejak dua
tahun lalu, berpunca daripada pinjaman hartanah yang tidak baik dan
penyelewengan saham membawa kepada persoalan terhadap sistem kapitalisme itu. Setelah
sistem ini berjaya mengalahkan kaedah komunisme apabila blok Soviet terlerai,
pada tahun ini terserlah suatu ironi global yang menuntut penilaian semula cara
manusia menjalankan kehidupan ekonominya.
Ironi global yang dimaksudkan di sini
ialah dunia kapitalisme Barat, baik di Amerika mahupun Eropah kini bergantung
kepada sebuah negara yang masih mengisytiharkan dirinya komunis walaupun ia
mengamalkan sistem pasaran terbuka. Negara itu ialah Republik Rakyat China yang
menghasilkan barangan-barangan murah untuk kegunaan seluruh dunia. Kekuatan
ekonomi China ini tentu mengukuhkan kedudukan politiknya di mata dunia. Suatu
petanda utama kedudukannya yang kuat kini ialah usahanya yang berterusan untuk
meneroka angkasa lepas. China yang tahun ini mengirim angkasawan wanita
pertamanya, Liu Yang berazam untuk mendaratkan manusia di muka bulan. Dalam
keadaan sebegini kuat, China tidak perlu takut pada sesiapa, walaupun Amerika
Syarikat. Maka ia dengan mudah membina kota Sansha di pulau terpencil di Laut
China Selatan. Pulau ini, Yongxing adalah sebahagian daripada kepulauan
Paracel. Kepulauan ini bukan saja dituntut oleh China tetapi juga Vietnam dan
Filipina. Langkah China untuk mengisytiharkan Sansha sebagai munisipaliti
terbarunya adalah merupakan usaha untuk mengukuhkan tuntutannya ke atas
kepulauan-kepulauan Paracel, Spratly dan Tebing Macclesfield.
Kepulauan Spratly dan sebahagiannya
juga dituntut oleh Malaysia, Brunei dan Taiwan, selain daripada Vietnam dan
Filipina. Ini bermakna negara-negara ASEAN berdepan dengan China dalam soal
tuntutan kepulauan ini yang pasti menimbulkan rasa tidak senang antara kedua
belah pihak. Bukan itu saja, rencana pengarang akhbar milik Parti Komunis
China, The Global Times telah menggesa kerajaannya membuat tuntutan pula ke
atas pulau Jepun, Okinawa sebagai miliknya. Sejak kebangkitan China, pihak
negara-negara ASEAN sedar bahawa mereka harus bersatu dan mengukuhkan diri
untuk dapat berdepan dengan China. Dalam tahun ini, perkembangan yang baik bagi
ASEAN ialah Myanmar mula membuka sistemnya dan berduyun-duyunlah pelabur dari
Barat datang. Sememangnya diharapkan Myanmar akan bangkit untuk menjadi makmur
dan bersama-sama negara-negara lain dalam ASEAN memperkukuhkan kekuatan untuk
menghadapi cabaran ekonomi China dan India,
Tetapi malangnya ketika mana Myanmar
menampakkan sinar, terserlah pula masalah Muslim Rohingya yang ditolak hak
kewarganegaraannya oleh kerajaan mereka sendiri. Nasib yang menimpa Rohingya
ini menimbulkan kemarahan umat Islam bukan saja di negara-negara ASEAN tetapi
juga di Pakistan, malah sehingga di Tunisia. Di negara-negara itu, bantahan
dibuat kerana layanan buruk yang diberikan oleh kerajaan Myanmar terhadap
bangsa Rohingya. Inilah pertama kalinya terdengar rakyat Tunisia menyatakan
prihatin terhadap nasib umat Islam yang begitu jauh dari tempat mereka. Tunisia
baru saja mendapat kerajaan baru melalui sistem demokrasi. Apa yang disebut
sebagai kebangkitan Musim Bunga Arab yang bermula di Tunisia telah pun turut
mengubah kerajaan di Libya dan Mesir. Kesemuanya didorong oleh media sosial.
Kini, kebangkitan itu berubah dalam
bentuk perang saudara di Syria. Maka berlakulah pembunuhan sesama Islam, malah
pada bulan Ramadan. Tetapi Syria kini menjadi persimpangan bagi geopolitik
dunia. Masing-masing pihak kerajaan dan pemberontak menjadi proksi dalam
persaingan lama yang diperbaharui antara Amerika Syarikat dan lawan-lawannya. Maka
apabila Amerika menyokong pemberontak Syria seperti mana ia merestui
kebangkitan di Tunisia, Mesir dan Libya, ia membuka satu medan di mana Iran dan
Rusia pastinya memberi sokongan kepada Bashar Assad. Rusia yang kembali
dipimpin oleh Vladimir Putin menunjukkan tanda bahawa Moscow mahu memulihkan kedudukannya
sebagai kuasa besar bagi mengimbangi Amerika. Inilah simpang-simpang baru dalam
geopolitik di mana peperangan akan berterusan dalam bentuk-bentuk baru.
Walaupun kini manusia bertambah maju
dari segi pemahaman sainsnya, teknologi semakin canggih dan usaha mencari
sistem ekonomi dan politik yang lebih baik berjalan terus, tetapi persaingan
geopolitik yang membawa bersama peperangan dari satu tempat ke tempat lain akan
berterusan. Akan ada manusia yang terus terkorban dalam peperangan. Ketika mana
pusat-pusat konflik yang lepas seperti Palestin, Iraq, Afghanistan, Sudan dan
Somalia masih belum berakhir, muncul pula konflik-konflik baru. Manusia
walaupun berganti generasi akan terus menyesuaikan diri dengan perubahan ini.
Ini belum lagi dikira betapa perubahan iklim akan membawa banyak lagi bencana
pada masa mendatang.
Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.
Sumber
Harian Metro
29 Julai 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan