JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



26 Julai 2012

ISU ALAM SEKITAR : PERSPEKTIF IKIM : KEKURANGAN BEKALAN AIR BERSIH BUKAN ISU REMEH


Rencana ini ditulis oleh :
Rosmidzatul Azila Mat Yamin
Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Air anugerah Allah SWT yang sangat penting terhadap kehidupan sejagat. Tanpa sumber air mencukupi adalah mustahil bagi manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup. Penegasan berhubung kepentingan sumber air banyak dinukilkan dalam al-Quran. Antaranya firman Allah bermaksud: “Dan Dia menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu pelbagai jenis buah-buahan yang menjadi rezeki untukmu. Dia juga telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu belayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah pula menundukkan sungai-sungai bagimu.” (Surah Ibrahim, ayat 32)  Secara umumnya negara kita mempunyai banyak sumber air. Namun, dewasa ini bekalan sumber air bersih semakin berkurangan sedangkan permintaan terhadapnya semakin meningkat selari peningkatan jumlah populasi penduduk.  Mungkin timbul persoalan mengapa situasi sedemikian boleh berlaku sedangkan kita mempunyai sumber air yang banyak di sekeliling kita.

Sebenarnya, keadaan ini timbul ekoran peningkatan jumlah penduduk dari semasa ke semasa, selain pelbagai kegiatan berkaitan mengakibatkan berlakunya pencemaran terhadap sumber air yang ada. Ia sekali gus meletakkan kita dalam krisis yang meruncing untuk mendapatkan bekalan air bersih mencukupi bagi menampung segala aktiviti seharian.  Bukan itu saja, terdapat pelbagai faktor lain menyumbang kepada berlakunya masalah kekurangan bekalan air bersih antaranya peningkatan suhu global yang menyebabkan kadar kehilangan air berlaku lebih cepat akibat proses penyejatan air yang tinggi ke atmosfera. Selain itu, pencemaran akibat pengurusan sisa buangan yang tidak sistematik juga menyebabkan sumber air bersih tercemar. Misalnya, longgokan sampah di tapak pelupusan sampah menyebabkan terhasilnya sisa toksik yang seterusnya akan mengalir ke sungai dan sumber air bersih lain.  Pengaliran sampah dan sisa toksik ini akhirnya menyebabkan air tercemar dan bekalan air bersih semakin berkurang. Lebih memburukkan lagi krisis sumber air bersih ialah apabila simpanan air bawah tanah, sumber bekalan air bersih yang sepatutnya dipelihara juga semakin berkurangan.  Situasi ini terjadi kerana kegiatan pembalakan yang kian berleluasa hari ini hingga menjejaskan kawasan tadahan air.

Pembangunan pesat yang berlaku secara tidak terancang juga menyebabkan air hujan tidak serap ke dalam tanah, sebaliknya terus mengalir ke sungai.  Keadaan ini mengakibatkan kuantiti air bawah tanah menjadi semakin berkurangan dan seterusnya menjejaskan mutu bekalan air.  Kekurangan bekalan air bersih akan turut menjejaskan kesihatan masyarakat. Contohnya, akibat kekurangan sumber air bersih untuk minuman menyebabkan berlakunya dehidrasi (kekurangan air dalam badan) selain menyebabkan berlaku penyakit seperti taun kerana meminum air tercemar.  Masalah kekurangan bekalan air turut memberi kesan terhadap sumber tanah iaitu menyebabkan tanah menjadi kontang. Air yang tercemar turut menjejaskan kualiti tanah dan ini sekali gus menjejaskan aktiviti pertanian seterusnya memberi kesan terhadap bekalan makanan serta kadar pertumbuhan ekonomi negara.  Melihat kesan bakal dihadapi akibat kekurangan bekalan air bersih, seharusnya kita bermuhasabah diri dan berusaha menanganinya. Kesedaran awal memelihara dan memulihara sumber bekalan air penting bagi memastikan bekalan air bersih mencukupi.

LANGKAH-LANGKAH

Langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan bekalan air bersih ialah dengan memperbanyakkan loji rawatan air bagi membolehkan air sungai, air tasik dan air dari sumber lain yang tercemar diproses menjadi sumber air bersih.  Selain itu, peningkatan dari aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga penting bagi membantu menambah sumber bekalan air bersih. Aktiviti R&D secara proaktif akan membuka laluan lebih luas kepada penciptaan alatan moden dan canggih bagi merawat air buangan secara efektif. Melalui R&D juga air laut boleh diproses untuk dijadikan air minuman.  Langkah seterusnya ialah menyediakan lebih banyak kawasan tadahan air bagi memastikan bekalan air bawah tanah dapat dimaksimumkan. Oleh itu, segala aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan perlu dipantau dan dikawal supaya dapat menyediakan lebih banyak kawasan tadahan air.  Di samping itu, pembuangan sisa kimia dan toksik juga perlu dikawal bagi memastikan sumber bekalan air tidak terdedah kepada sebarang bentuk pencemaran. Sudah tiba masanya kita memikirkan dengan lebih serius isu kekurangan bekalan air bersih yang bukan saja melanda negara kita, tetapi juga negara lain di seluruh dunia.  Pembabitan seluruh masyarakat dalam usaha memulihara sumber air penting untuk mengatasi kemelut ini. Mudah-mudahan kesedaran itu dapat mempertingkatkan lagi tahap kebersihan sumber air untuk diwarisi anak cucu kita.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
26 Julai 2012

Tiada ulasan: