Oleh Fauziah Arof
Iklan promosi menyambut Hari Raya
Aidilfitri, daripada kain, langsir, produk minuman, makanan, jubin lantai dan
entah apa lagi semuanya dikaitkan dengan perayaan itu. Dan yang paling menarik
perhatian adalah iklan daripada sebuah institusi kewangan yang menawarkan
pinjaman wang sempena Hari Raya. Wah, semua pihak mahu mengambil kesempatan
sempena Hari Raya untuk melariskan produk-produk termasuk perkhidmatan. Semuanya
mahu menggalakkan orang kita berbelanja besar dan sakan untuk menyambut Syawal
ini. Dan jika anda lihat di laman sosial terutamanya Facebook dan iklan-iklan
di Internet, ramai juga yang menjadi agen kepada mana-mana syarikat kewangan
berlesen mengajak rakan-rakan mengambil pinjaman yang ditawarkan sempena hari
raya, ada yang mencapai sehingga RM50,000! Memang hebat penangan iklan-iklan
tersebut, jika tidak fikir panjang, ramai yang pasti terjerat untuk meminjam
walaupun sebenarnya tidak ada keperluan langsung atau terdesak pun.
Perlukah kita sampai ke tahap meminjam
wang pada bank atau syarikat kewangan berlesen untuk menyambut Hari Raya? Itu
belum lagi masuk khidmat ceti-ceti haram atau ah long. Dengan kakitangan awam
mendapat bonus setengah bulan, pesara pun dapat bonus, peneroka Felda juga,
tentu ini dapat melegakan sedikit sebanyak persediaan golongan ini untuk
menyambut hari lebaran itu. Kepada kakitangan swasta, tidak mendapat bonus
tidak semestinya perlu meminjam sana sini. Memanglah perit kepada golongan yang
berpendapatan rendah dan sederhana untuk menyediakan segala persiapan Hari Raya
terutamanya dalam memenuhi keperluan dan permintaan anak-anak dengan pendapatan
yang tidak banyak. Tetapi sekiranya anda memilih untuk membuat pinjaman bank
atau syarikat kewangan, ia pasti akan menambah beban tanggungan anda selepas
ini. Nanti, raya sudah habis sebulan, hutang sehingga raya tahun depan pun
belum tentu habis.
Kita mesti ingat beberapa bulan lagi,
pejam celik, pejam celik, musim persekolahan sesi tahun depan pula akan
bermula. Perbelanjaan ini lebih penting dan besar kepada yang mempunyai ramai
anak. Pada masa itu, masihkah kita mahu meminjam lagi? Sebaik-baiknya,
perbelanjaan diatur mengikut kemampuan diri sendiri dan keluarga. Perlukah kita
berhabis-habisan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sedangkan agama kita
turut menuntut kita bersederhana dan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh
memudaratkan diri dan keluarga kelak. Sekiranya kita berbelanja secara
berhemah, tidak mengikut rasa, ukur baju di tubuh sendiri dan berbelanja atas
perkara-perkara yang perlu, sudah pasti isu-isu melibatkan kewangan setiap tiba
Hari Raya dapat diatasi. Dan kita juga dapat menjalani ibadah berpuasa dalam
bulan Ramadan ini dengan hati dan fikiran yang tenang, fokus, tanpa
diserabutkan dengan masalah-masalah kewangan.
Kita perlu mensyukuri dengan
kemakmuran yang diberikan Tuhan di negara ini, di bulan Ramadan, kita dapat
berpuasa, membuat amal ibadah dengan aman, serba serbi ada, sedangkan umat
Islam di negara lain seperti Somalia dan umat Islam Rohingya di Myanmar bukan
sahaja tiada makanan untuk bersahur, berbuka pun begitu juga. Inikan pula
hendak membuat persiapan seperti kita untuk menyambut raya. Dan ada juga suami
isteri yang tidak bertegur sapa, bertengkar di bulan yang mulia ini kerana
hal-hal perbelanjaan untuk berhari raya! Yang peliknya, pada Hari Rayalah semua
benda hendak ditukar baru. Seolah-olah kalau tidak ditukar, tidak boleh beraya.
Dan berlaku juga amalan pembaziran, sehingga ada kuih raya yang dibeli masih
ada apabila menyambut Hari Raya Aidiladha nanti. Ada yang membeli baju
berpasang-pasang, sudahnya berlapuk disimpan di dalam almari dan dipakai
setahun sekali sahaja.
Dalam pada itu, kita juga meminta
pihak yang berkaitan agar membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap
peniaga-peniaga yang mungkin mengambil kesempatan menaikkan harga barang dengan
sesuka hati. Dengan pemberian bonus kepada kakitangan awam, pesara, peneroka
Felda dan kecenderungan orang kita berbelanja sakan untuk menyambut Aidilfitri
ini, kita bimbang ramai peniaga yang gatal menaikkan harga barangan. Selain
isu harga, kualiti barangan juga perlu ditengok sama. Dalam berbelanja kitalah
sebenarnya menentukan apa yang perlu, apa yang tidak, bukannya promosi atau
iklan-iklan produk. Jika mampu berbelanja lebih, tidak mengapa, jika tidak,
kesannya mungkin menganggu kesejahteraan dan kualiti hidup kita dan keluarga
dalam tempoh yang agak panjang.
Sumber :
Utusan Malaysia
1 Ogos 2012
MENGAPA HARUS
MENGORBANKAN KEBAHAGIAAN
JANGKA PANJANG UNTUK
MENIKMATI KEBAHAGIAAN
JANGKA PENDEK?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan