Rencana ini ditulis oleh :
DR. AHMAD ZAKI ISMAIL
Penasihat Persatuan Pengguna Islam
Malaysia.
Memandu di lebuh raya terutama arah
timur, barat, utara atau selatan tidak lagi mengundang keselesaan. Tanpa
mengira waktu, baik di awal pagi, rembang tengah hari atau waktu dinihari sudah
tidak lagi terasa ketenteramannya. Malah setiap kali terpaksa memandu melalui
lebuh raya ini para pengguna sentiasa diancam kebimbangan bakal berhadapan
dengan kemalangan. Umpama memasuki medan peperangan, yang mana risiko
kecederaan dan kematian sentiasa terbayang dalam minda. Ini dikukuhkan dengan
bukti yang saban waktu kita baca, kita lihat paparannya di media bagaimana
ngerinya kemalangan yang bukan sahaja meragut satu nyawa pada satu ketika
tetapi memakan korban hingga puluhan nyawa. Ia bukan sahaja sekadar kematian
yang ditangisi oleh keluarga mangsa tetapi sebenarnya mendatangkan kerugian
besar kepada negara dari impak ekonomi, pelaburan dan tenaga kerja. Malah
rata-rata yang terkorban adalah dalam lingkungan umur yang produktif.
Pelbagai kempen serta penguatkuasaan
sudah dilaksanakan namun statistik kemalangan jalan raya di negara kita tidak
pernah menurun. Malah menunjukkan peningkatan dan menelan korban yang semakin
ramai. Tentu ada yang tidak kena. Mustahil penyakit tidak mempunyai ubat dan
penawarnya atau masalah tidak menemui penyelesaian dan menjadi usai begitu
sahaja. Sedangkan masalah global boleh kita maju ke hadapan menjadi juara
takkanlah pula masalah di jalan raya kita sudah buntu menggaru kepala? Malangnya,
kita semua sudah seperti hilang punca dan cara dan menyerahkan semua pada pihak
berkuasa. Pihak berkuasa mana pula agaknya yang patut menjadi juara? Ini pun
menjadi satu lawak jenaka apabila berlaku upacara tuding menuding dan saling
melepaskan tengkuk masing-masing.
Cuba kita perhatikan di lebuh raya
yang mempunyai tiga lorong. Bagaimana sikap buruk pemandu kita yang memandu
perlahan di lorong paling kanan. Ini mengundang rasa marah kepada pemandu di
belakang yang tidak dapat memotong. Alasan mereka, had laju cuma 110 kilometer
sejam jadi kiranya sudah memandu pada had laju berkenaan orang di belakang
sudah melanggar undang-undang, jadi persetankan mereka. Benarkah begitu cara
pemanduan di lebuh raya? Kemudian kita lihat kenderaan berat dan komersial.
Baik lori, bas, teksi, van, treler bukan sahaja memandu melebihi had laju malah
saling berlumba. Bukan setakat lorong yang diperuntukkan kepada mereka yakni
lorong pertama dan kedua tetapi sudah bermaharajalela di lorong paling kanan
yang sememangnya 'diharamkan' untuk mereka. Tetapi dengan selamba mereka memandu
di lorong itu bukan setakat waktu memotong tetapi kadangkala berjam lamanya
berada di lorong berkenaan.
Tidakkah mereka diberi kursus wajib
sebelum mendapat lesen PSV mengenai tatacara memandu di lebuh raya? Sudahlah
begitu, dengan barangan yang dibawa terdedah seperti sampah sarap, pasir, malah
daging babi yang menjengkelkan memang menggambarkan seolah-olah tidak ada
undang-undang dan peraturan yang perlu mereka patuhi. Menjadi kepantangan
kepada golongan pemandu kenderaan komersial ini jika diberi lampu atau dihon
supaya ke tepi, alamat bala bakal menanti sama ada ditunjuk isyarat lucah
dihimpit malah dibaling dengan botol minuman juga seringkali berlaku. Tidak
cukup dengan itu, kini penunggang motosikal juga sudah berani menunggang secara
cilok ke tepi dan ke tengah tanpa menghiraukan keselamatan diri seolah-olah
mereka berada di jalan persekutuan dan menganggap cara pemanduan begitu
dibenarkan di atas lebuh raya.
Lebih merisaukan apabila lebuh raya
seperti Lebuh Raya Koridor Guthrie yang sudah menyediakan lorong khusus untuk
motosikal juga tidak berupaya menghalang laluan lebuh raya dirampas oleh
penunggang motosikal. Alasannya, lorong motosikal lebih terpencil, jauh dan
sunyi sehingga memungkinkan berlaku kejadian jenayah. Tetapi yang menjadikan
lorong motosikal itu sunyi adalah disebabkan mereka sendiri tidak
menggunakannya. Sudah tentu banyak tanda tanya kini berlegar di minda kita
bagaimana ini boleh berlaku dan bagaimana pula boleh terjadi sedemikian atau
apa pula caranya untuk diselesaikan? Sebenarnya banyak yang boleh dilakukan
selain operasi menjelang perayaan atau saman ekor dan saman acilut macam orang
main polis sentry di pedalaman dahulu kala. Sambil menyorok ambil gambar sudah
tentu seronok menghantar saman yang mana keberkesanannya memang diragukan.
Malah menimbulkan kemarahan rakyat
seperti mana menganiaya pemandu dan sengaja pula ditahan jerat di
kawasan-kawasan yang tidak munasabah seperti had laju turun bukit adalah 80 km
sejam lantas di hujung sana sudah menunggu mangsa yang jika menekan brek ketika
menurun bukit akan mengundang bencana belakang dihentam oleh pemandu di
belakang. Sudah sampai masanya, anggota penguat kuasa ini diberikan modul
khusus penguatkuasaan yang lebih komprehensif bagi menangani isu-isu di atas. Kehebatan
dan kesamsengan pemandu kenderaan berat dan komersial di negara kita memang
sudah menjadi buah mulut kepada pelancong asing yang datang hingga timbul
komentar sebahagian daripada mereka bahawa rakyat negara ini memang amat tinggi
budi bahasa mereka kecuali bila berada di jalan raya. Atau lebih menyakitkan
telinga apabila mereka memberikan komen bahawa ekonomi negara sudah menghampiri
negara pertama tetapi minda masih ditakuk lama.
Jadi kepada siapa ingin kita marah?
Pada pemerintah, pada penguat kuasa, pemandu jentera atau pada diri kita
sendiri? Kerana itu, berbalik semula kepada perkara asas yakni semuanya perlu
dilaksanakan secara penuh komited serta berterusan bukan setakat bermusim atau
ikut sedap. Seperti kempen memasang lampu di kenderaan berat yang menyala
apabila dipandu melebihi had, atau memasang GPS dan kotak hitam yang boleh
merekod aktiviti pemandu kenderaan seperti had laju, jarak perjalanan, dan juga
laluan yang digunakan sebenarnya tidak akan berkesan jika sekadar melepas batuk
di tangga semata-mata. Kita tidak pernah melihat sebarang papan tanda
memaparkan bagaimana cara menggunakan lebuh raya selain amaran-amaran seperti
kenderaan berat ikut lorong kiri. Kadangkala ditulis kenderaan berat dilarang
memotong. Malangnya, tidak ada satu pun yang menunjukkan bagaimana cara betul
menggunakan lebuh raya dua lorong, tiga lorong dan seterusnya. Malah tidak ada
juga ditunjukkan larangan kepada kenderaan komersial yang tidak boleh
menggunakan lorong paling kanan sehingga ramai yang tidak menyedari ia menjadi
satu kesalahan.
Oleh itu, adalah baik sekiranya
dilaksanakan kempen khusus terutama oleh pihak pengendali lebuh raya sendiri
sebagai tanggungjawab sosial mereka dengan menggunakan pelbagai medium terkini
supaya ilmu pemanduan sedia ada boleh dipertingkatkan. Pada masa sama, Plus
Ronda turut diberi kuasa membantu penguat kuasa untuk mengenakan tindakan,
memberi tunjuk ajar atau menghambat keluar penjenayah lebuh raya ini ke jalan
biasa sekiranya masih berdegil dengan sikap biadab mereka ini. Ia seperti mana
yang diperolehi oleh Penguatkuasa Dewan Bandaraya yang diberikan kuasa menyaman
pesalah trafik ketika ini. Polis, JPJ, SPAD, MKJR dan sebagainya perlu
melaksanakan usaha sama secara bersepadu dengan modul khusus secara berterusan.
Ia memang terbukti mampu dilaksanakan sebagaimana kejayaan Kementerian Dalam
Negeri memperkenalkan Strategi Gelombang Biru mereka yang menggabungkan
pelbagai agensi dalam gerak kerja membanteras jenayah, mengekang dan
membetulkan perspektif umum terhadap indeks jenayah di negara ini.
Sumber :
Utusan Malaysia
1 Ogos 2012
PERJUANGAN KITA BELUM SELESAI
JANGAN DILANGSAIKAN DI JALAN RAYA
INGATLAH ORANG YANG TERSAYANG
MEREKA PERLUKAN KITA
KITA PERLUKAN MEREKA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan