20 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : MENGGUBAL SEMULA DASAR PENDIDIKAN NEGARA


Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad
Ahli Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012


"Dasar pendidikan negara akan dirombak semula selepas lebih 50 tahun Dasar Razak dan Dasar Rahman Talib dihasilkan. Sekiranya draf kajian semula sistem pendidikan ini dapat disediakan di akhir tahun ini maka akan dibawa kepada Kabinet untuk diluluskan. Dasar baru itu dijangka akan dilaksanakan mulai tahun hadapan." Demikian di antara intipati ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis penutupan Dailog Nasional Pendidikan Negara yang diadakan di Johor Bahru, baru-baru ini. Mahu tak mahu penggubalan semula dasar pendidikan negara perlu dilakukan bagi memastikan ia lebih berkesan. Perubahan tersebut mempunyai kaitan rapat dengan tuntutan perubahan masa dan keperluan negara menjelang tahun 2020. Kini matlamat pendidikan bukan sahaja menekankan isu perpaduan rakyat tetapi yang lebih penting memastikan pelajar yang dihasilkan melalui sistem tersebut mempunyai kebolehpasaran pekerjaan dan berupaya menjana pendapatan yang tinggi.

Jika ditinjau semula sejarah pendidikan selepas merdeka perkembangannya boleh dibahagikan kepada empat peringkat. Peringkat pertama ialah selepas penggubalan Dasar Razak (1956), Dasar Rahman Talib (1961) dan Penyata Kabinet (1970). Ketiga-tiga dasar ini menekankan tentang keperluan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum dan akses pendidikan iaitu memberi peluang kepada pelajar luar bandar mendapat pendidikan yang lebih baik. Peringkat kedua apabila diperkenalkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPN) pada 1988 yang menekankan perkembangan seimbang potensi pelajar dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). FPN juga memasukkan nilai-nilai murni dalam pengajaran dan pembelajaran guru bertujuan bagi mewujudkan masyarakat madani. Sementara itu, peringkat ketiga apabila bermulanya era ICT dan globalisasi di alaf baru tahun 2000. Ketika itu penekanan diberikan kepada bidang sains dan teknologi kerana perkembangan pesat negara dalam bidang industri dan ekonomi.

Kini sampailah ke peringkat keempat di mana negara sedang menuju kepada negara maju melalui Wawasan 2020. Penekanan akan diberikan kepada elemen kreativiti dan inovasi serta melahirkan pelajar yang berfikir secara kritis. Di antara kriteria negara maju rakyatnya mesti mempunyai pendapatan tinggi, sedia bersaing, sanggup menghadapi cabaran dan mempunyai pelbagai kemahiran insaniah seperti komunikasi yang baik, berupaya membuat keputusan dan memiliki ciri kepimpinan yang unggul. Persaingan ketika itu bukan lagi di kalangan rakyat tempatan tetapi penanda arasnya sudah tentu dengan rakyat di negara maju. Keupayaan persaingan tersebut mestilah bermula daripada sistem pendidikan yang berkualiti. Sesungguhnya sistem pendidikan berkesan akan dapat melahirkan pelajar yang memiliki minda kelas pertama. Penggubalan semula pendidikan ini merupakan anjakan berganda dalam sistem pendidikan kita. Dialog Nasional Pendidikan Negara akan merangka Pelan Pembangunan Pendidikan (2013-2025).

Ia merangkumi pelan pembangunan dan pelan strategik program jangka pendek, sederhana dan panjang. Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan ia akan dilakukan mengikut fasa-fasa tertentu. Menurut Muhyiddin sekiranya pelan tersebut dapat dilakukan lebih awal dari 15 tahun, maka sistem pendidikan negara mampu dilonjakkan setanding dengan negara maju yang lain. Apa yang menariknya dalam menyediakan dasar pendidikan ini pandangan dan pendapat daripada beberapa pihak telah diambil kira. Di antaranya adalah pandangan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Dunia, pasukan Panel Bebas dan Panel Antarabangsa yang dilantik. Selain itu, hasil Dialog Nasional Pendidikan Negara turut diambil kira dan dianggap sangat signifikan dalam menyediakan dasar baru itu.

Anggota panel dialog ini telah bertemu lebih 10,000 orang di seluruh negara. Dua kaedah yang dilakukan iaitu melalui sesi 'town hall' yang melibatkan antara 500 - 800 orang pada setiap pertemuan. Kaedah kedua melalui mesyuarat meja bulat iaitu pertemuan antara 20-40 orang yang terdiri daripada persatuan dan pertubuhan tertentu, NGO dan pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan. Kedua-dua kaedah ini telah menemukan anggota panel dengan hampir segenap lapisan masyarakat seperti golongan petani, pemandu teksi, pekerja kilang, peniaga, warga pendidik hinggalah kepada pelbagai latar belakang kumpulan profesional. Melalui dialog tersebut nampaknya peserta menyuarakan pendapat masing-masing tentang bagaimanakah seharusnya sistem pendidikan yang berkualiti dilaksanakan.

Dalam siri dialog tersebut sebanyak sembilan bidang keutamaan disediakan iaitu dari segi profesion perguruan, kepimpinan sekolah, kualiti sekolah, kurikulum dan pentaksiran, profisiensi pelbagai bahasa, peluang lepasan menengah, ibu bapa dan sektor swasta, kecekapan sumber kementerian dan keupayaan sistem penyampaian kementerian. Walau bagaimanapun peserta dialog bebas memberikan pendapat mereka di luar bidang keutamaan tersebut. Seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri melalui analisis yang dilakukan terdapat tiga perkara yang agak popular dibangkitkan iaitu pertama berkaitan guru seperti profesionalisme keguruan, kebajikan guru dan proses pengajaran. Kedua mengenai aspirasi iaitu soal sistem dan masalah pelajar dan ketiga kualiti sekolah yang melibatkan struktur, infrastruktur dan jenis sekolah.

Menurutnya lagi, hasil dialog itu akan dikumpulkan sebelum dikemukakan kepada beliau untuk dibawa ke Kabinet dijangkakan hujung tahun ini bagi kelulusan dan seterusnya akan dilaksanakan pada tahun depan. Ternyata bahawa penyediaan dasar baru pendidikan tersebut pandangan dan pendapat rakyat telah diberi keutamaan. Kaedah ini bersesuaian dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa dalam menyediakan sesuatu dasar atau sistem sudah sampai masanya tidak semata-mata disediakan oleh pegawai kerajaan tetapi pandangan rakyat perlu didapatkan. Sudah tentu pandangan mereka itu datangnya dari perasaan tulus ikhlas untuk melihat anak-anak mereka mendapat pendidikan yang berkualiti dan dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Moga-moga penggubalan dasar baru ini akan dapat menyediakan sistem pendidikan yang lebih berkualiti dan berkesan seterusnya akan mempercepatkan lagi matlamat ke arah negara maju.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
20 Julai 2012

09 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : PROGRAM iTR1M SATU-SATUNYA DI DUNIA


Rencana ini ditulis oleh :
Alimuddin Mohd. Dom


Keluarga berpendapatan rendah dan pencapaian pelajar itu sendiri rendah. Kedua-dua itu adalah kriteria yang menjadi keutamaan syarat program Interaktif Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Jun lalu. Mahu tidak mahu, ibu bapa mana pun pastinya akan akur beban yang terpaksa dipikul dalam penyediaan tuisyen untuk anak mereka. Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Klang, untuk tuisyen Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja boleh mencapai kos RM50 ke RM100 untuk satu subjek. Ia untuk tuisyen yang berkualiti. Kalau ‘sorang-sorang’ tuisyen (panggil guru ke rumah), lagilah mahal. Katakan seorang pelajar ambil empat mata pelajaran = 4x RM50=RM200. Ah! bagi orang berpendapatan rendah, hendak dikeluarkan RM200 sebulan boleh lari bajet bulananlah. Kalau seorang anak, boleh larat lagi, tetapi bagaimana anak kedua, ketiga dan seterusnya. Akhirnya tak mampu hantar anak ke tuisyen.

Tetapi dengan iTR1M, bajet untuk seorang pelajar dari keseluruhan 10,500 pelajar yang menikmati manfaat program di Selangor, hanyalah RM40 sebulan sekepala daripada peruntukan keseluruhan RM2 juta. Setiap pelajar akan diperuntukkan masa belajar 32 jam sebulan untuk empat subjek (satu subjek 8 jam). Mana nak dapat dengan 32 jam = RM40 seorang. Kos untuk iTR1M ini bagaimanapun adalah percuma, ditanggung penuh oleh kerajaan tanpa mengenakan sebarang caj kepada pelajar. Bercakap kepada Utusan Malaysia Rabu lalu, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, iTR1M lahir dari keprihatinan YGMB terhadap masa depan pelajar yang terbeban kerana kekangan pendapatan keluarga terutama prestasi diri pelajar itu sendiri. “Jadi, pihak kami telah menyediakan satu kertas konsep kepada Perdana Menteri dan nampaknya beliau tertarik dengan apa yang kita bentangkan. Dan beliau telah meluluskan untuk dilaksanakan program ini di Selangor.

“Pada saya, sebenarnya pelajar itu tidak perlu tuisyen, ini dari segi pandangan sebagai seorang pendidik kerana apa yang diajarkan di sekolah sudah mencukupi. Tetapi hari ini orang bercakap tentang kecemerlangan. “Pada saya peperiksaan ini macam orang nak masuk pertandingan sukan...dia perlu buat satu latihan dan percubaan lebih dari kebiasaan. Hari ini kalau nak maju, seseorang itu tidak boleh sekadar cukup makan sahaja," kata beliau. Selangor, kata beliau, menjadi projek perintis memandangkan taburan pelajar-pelajarnya adalah lebih luas. Maknanya, ada sekolah di tengah bandar, di luar bandar, di kawasan Felda, kawasan nelayan dan juga pertanian. Malah, boleh dikatakan di negeri itu terdapat banyak pusat komuniti yang menyediakan kemudahan komputer termasuk di rumah-rumah pangsa. “Jadi apabila kita buat program rintis di sini (Selangor), kita akan mendapat satu hasil yang memuaskan kerana melibatkan pelbagai jenis latar belakang," katanya.

Bagi program iTR1M di Selangor, ia melibatkan sejumlah 107 buah sekolah di seluruh negeri itu. Masing-masing 77 sekolah rendah terdiri daripada sekolah kebangsaan, SJKC dan SJKT dan 30 sekolah menengah dengan penyertaan 350 guru cemerlang yang dipilih sendiri oleh pengetua dan guru besar sekolah. Di bawah program ini, calon-calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan menggunakan kaedah pembelajaran dan penilaian kendiri secara dalam talian dari rumah, sekolah dan pusat-pusat komuniti. Calon-calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dibimbing secara konvensional di beberapa sekolah menengah terpilih. Calon-calon SPM yang mengambil mata pelajaran Sains Tulen (Biologi dan Matematik Tambahan) akan menggunakan kaedah pembelajaran dan penilaian kendiri secara dalam talian dari rumah.

BOLEHKAH CIKGU DALAM BANDAR MACAM CIKGU ZUL INI AJAR TUISYEN PROGRAM iTR1M?

“Di Selangor, boleh dikatakan kesemua 10 daerahnya ada sekolah yang terpilih. Pemilihan sekolah di bawah jabatan pelajaran negeri tetapi kita letakkan kriteria iaitu sekolah yang besar dengan pelajarnya terdiri daripada pelbagai kaum dan ramai ibu bapa yang berpendapatan rendah di situ," katanya. Kata beliau: “Program ini diadakan pada waktu petang, malam dan hujung minggu. Bagi meluaskan program ini, kita juga bercadang nak adakan seminar dan bengkel peperiksaan. Ini kita akan buat terutamanya untuk SPM nanti. Mungkin sebulan sebelum peperiksaan dengan menjemput pakar-pakar ataupun guru yang berpengalaman dalam peperiksaan. Dari segi tenaga pengajar, ujar Alimuddin, program iTR1M akan mendapatkan guru yang paling baik dan berpengalaman. Sama ada datang dari sekolah berkenaan, sekolah luar atau guru-guru yang telah bersara.

Bagi guru yang telah bersara, seelok-eloknya tempoh persaraan itu tidak lama - setahun dua sahaja. “Guru yang telah bersara ini ada kelebihannya kerana mereka tidaklah sesibuk guru yang masih mengajar di sekolah. Untuk ini, kita akan minta mereka turut datang ke rumah pelajar untuk akses dengan ibu bapa. Guru-guru ini boleh beri panduan kepada ibu bapa. Jika melihat kepada keadaan sekitar dalam rumah, barangkali kemungkinan ada gangguan, seperti banyak masa dibazirkan menonton televisyen atau pelajar terpaksa pula menjaga adik kecilnya sehingga mengganggu pembelajaran. Dalam konteks ini, guru berkenaan boleh bercakap dengan ibu bapa soal kekangan ini, bagaimanapun ia bergantung kepada kesedaran keluarga itu sendiri," katanya.

Alimuddin seperti mana imej pendidik yang jujur terpapar pada perawakannya enggan mengulas lanjut ketika ditanya berhubung dakwaan Kerajaan PKR Selangor bahawa iTR1M seolah-olah ‘mengganggu’ Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS). Beliau bagaimanapun meminta semua pihak merenung perkara ini. Sebenarnya kita umpama tak terbuat (program tuisyen ini) kerana di seluruh negara ketika ini ada 5.3 juta pelajar. Daripada jumlah itu, hampir sejuta pelajar sahaja berada di Selangor. Tuisyen ini memang kita alu-alukan sesiapa sahaja nak buat. Bagi saya kalau ada 10 badan mengendalikan ini sudah cukup bagus kerana pelajar ramai datang daripada keluarga yang pelbagai latar belakang. “Jadi, kalau kerajaan Selangor kata kita ‘bertembung’ atau bertindan ke, itu tidak tepat kerana di Selangor ini pelajar sekolahnya ramai," katanya.

Apa pun Alimuddin tidak mahu melayan ‘provokasi’ pakatan pembangkang itu. iTR1M adalah lambang kesungguhan, komitmen dan keprihatinan Perdana Menteri terhadap nasib pelajar yang kurang bernasib baik. Ia sama seperti mana usaha Najib menggerakkan semua produk berjenama 1Malaysia di hujungnya - tayar, bantuan rakyat, klinik, kedai dan banyak lagi. Perkembangan iTR1M akan dipantau untuk memastikan kualiti guru dan penambahbaikan pelajar ketara. Selepas Selangor, ia akan diperluaskan ke negeri lain. Tidak timbul soal ketirisan dalam iTR1M kerana tiga pegawai daripada YGMB dipastikan akan turun ke setiap sekolah setiap hari sama ada petang, malam atau hujung minggu. Di sini, mereka akan mendapatkan laporan-laporan lengkap daripada guru-guru yang mengajar, pengetua atau guru besar sekolah berkenaan. iTR1M digerakkan seminggu lebih awal pada 18 Jun sebelum pelancaran oleh Perdana Menteri. Dikatakan respons daripada ibu bapa cukup mengujakan. Tidak ada program seumpamanya di dunia seperti iTR1M.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
09 Julai 2012

08 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : PELAJAR TINGKATAN ENAM SUDAH TIDAK SESUAI PAKAI BAJU SEKOLAH


Rencana ini ditulis oleh :
Azman Anuar


Sesiapa yang pernah menjadi pelajar Tingkatan Enam pasti ada menyimpan perasaan malu ketika berpakaian seragam sekolah dalam usia 18 -20 tahun ketika itu. Pakaian sekolah inilah antara faktor yang tidak merangsang ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pelajaran ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Walaupun sudah ada penambahbaikan dari segi kurikulumnya yang mesra pelajar, sistem peperiksaan dirombak ikut sistem semester, kos pengajiannya murah, yurannya ditanggung oleh kerajaan, tetapi soal berpakaian seragam sekolah dilihat sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa. Selepas meninggalkan Tingkatan Enam kira-kira 30 tahun lalu, saya lihat pakaian baju putih, seluar panjang hijau tua bagi lelaki dan baju kurung putih dan berkain biru laut bagi perempuan - masih melekat di tubuh pelajar 'dewasa' sekolah menengah sampai sekarang.

Mereka juga ada perasaan untuk bergaya. Tetapi kepada pelajar yang sudah memasuki usia remaja, mereka diwajibkan berpakaian seragam itu untuk ke kelas. Apabila melihat rakan sebaya yang menuntut di pusat asasi, matrikulasi atau kolej universiti serta institut pengajian yang menawarkan sijil pun - mereka berpakaian biasa. Kalau ada pakaian seragam pun tidak sama dengan pakaian sekolah. Persepsi pelajar tingkatan enam macam budak-budak sekolah sedikit meruntun rasa kecil hati mereka. Tapi itulah yang ditetapkan oleh kerajaan sejak wujud tingkatan enam lagi. Remaja dalam usia sedemikian dari segi psikologinya merasa malu. Perubahan zaman pantas berubah dan bertukar penampilan. Namun dalam usia remaja sedemikian, mereka merasa malu masih dilihat seperti pelajar tingkatan lima ke bawah.

CIKGU ZUL SETUJU SANGAT, 
ANDA BAGAIMANA?

Ubahlah dasar pakaian sekolah bagi membenarkan pelajar tingkatan enam berpakaian kemas sebagaimana ditetapkan peraturan kepada pelajar di universiti. Kita mahu melihat pelajar tingkatan enam berubah imej dengan pakaian kemas dan berkasut hitam. Seluar jeans dan baju T tidak dibenarkan. Dengan perubahan sedemikian tidak nampak lagi perbezaan pelajar tingkatan enam dengan rakan sebayanya di peringkat prauniversiti. Pakaian pelajar tingkatan enam ini perlu diberi perhatian utama dalam usaha Kementerian Pelajaran memberi wajah baru kepada pelajar STPM. Cadangan ini bersesuaian dengan pengumuman bahawa perubahan besar bakal dilakukan kerajaan dengan memisahkan pelajar tingkatan enam daripada pelajar tingkatan satu hingga lima di sekolah sedia ada untuk ditempatkan di pusat pengajian khas.

Banyak pihak menyambut baik berita yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN (ASED) Ke-7 di Yogyakarta, Indonesia kelmarin. Tingkatan enam sepatutnya menjadi pentas bagi melatih para pelajar supaya mereka lebih berdikari dan dapat menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran di universiti. Oleh itu amat sesuai sekali sistem pelajaran tingkatan enam diberi penjenamaan semula. Imej pelajar, sistem dan kualiti pendidikan tersebut perlu diselaras dengan sistem pendidikan prauniversiti lain. Memang elok sangat cadangan Muhyiddin supaya kelas tingkatan enam dipisahkan dari sekolah menengah sedia ada. Guru yang mengajar pelajar tingkatan enam juga harus golongan guru yang berbeza.

Apa sahaja yang difikirkan baik untuk memulihkan semangat dan imej tingkatan enam, lakukanlah. Kalau kerajaan mahu mengkaji tempoh pembelajaran tingkatan enam dipendekkan kepada enam bulan lebih awal seperti yang dilalui oleh pelajar-pelajar matrikulasi, maka teruskan usaha tersebut. Memang kerajaan perlu mengubah sistem pendidikan tingkatan enam kerana persepsi sebilangan besar masyarakat terhadap tingkatan enam dilihat berada di peringkat bawah berbanding dengan pendidikan matrikulasi. Sedangkan kelulusan dan kelayakan pelajar yang mengambil STPM dan matrikulasi adalah sama. Mereka perlu bersaing untuk merebut tempat melanjutkan pelajaran ke universiti. Tiada beza nilai sijil STPM dengan sijil matrikulasi, cuma yang membezakan mereka ialah sistem pelajaran, tempat belajar dan pakaian seragam. Jadi jika Kementerian Pelajaran ingin membuat perubahan, jangan lupa ubah juga imej baju sekolah itu.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
08 Julai 2012

JADIKAN MOTIVASI UNTUK BERJAYA : KEHEBATAN DATUK JIMMY CHOO


Rencana ini ditulis oleh :
RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH


Jarang benar kelibat pereka kasut bertaraf antarabangsa, Profesor Datuk Dr. Jimmy Choo Yeang Keat kelihatan di Malaysia. Kesempatan bertemu secara eksklusif yang diaturkan Pengarah Urusan Tradisi Busana, Dodi Mohasdi Mohammad, membuatkan penulis teruja. Apa yang mengagumkan penulis, bukanlah status atau namanya yang glamor. Sebaliknya, sifat rendah diri dan mesra beliau. Anak kepada seorang tukang kasut ini lahir dalam sebuah keluarga yang kecil. Beliau dibesarkan di Lebuh Hutton, Georgetown, Pulau Pinang dan gemar menghabiskan masa dengan berenang di Gurney Drive. Sekalipun telah mencipta nama di luar negara, namun Jimmy akan pulang ke kampung halamannya setiap tahun bersama keluarga.

Bercerita tentang pengalamannya sebagai pereka fesyen kasut, Jimmy memberitahu, sebaik saja tamat pengajian, beliau bekerja sebagai penolong pereka fesyen di sebuah kilang di Hackney, London. Beliau hanya bekerja selama dua tahun sebelum membuka kedainya sendiri. "Pada masa itu sangat sukar untuk menjual kasut kerana anda bukan orang terkenal. Penglibatan awal saya di sana sangat susah kerana London bukan kota kecil dan ia sangat popular. Secara jujurnya, bekerja sebagai orang asing di tanah asing sebenarnya sangat mencabar. Namun, saya mengambil cabaran itu dan syukur pada Tuhan saya berjaya mengharunginya," ujarnya. Nasibnya berubah selepas kasutnya mendapat liputan sebanyak lapan muka surat dalam majalah fesyen terkemuka Vogue pada 1998.

Motivasi

Tambahnya, seseorang yang berminat dalam industri kasut boleh memilih untuk menjadi pereka fesyen kasut atau seorang tukang kasut. Sesetengah pereka fesyen kasut tidak tahu cara memotong pola kasut tetapi adalah lebih baik kalau mereka memahami selok-belok teknikal membuat kasut. Bagi Jimmy, apa sahaja boleh menjadi inspirasinya kerana dia selalu berfikir; "inspirasi boleh datang pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja". Jika ada yang bertanya mengenai motivasinya dalam bidang ini, jawapannya mudah; "'Minat saya terhadap kasut". Jimmy mengakui, kerja kuat juga sangat penting untuk berjaya. "Tahun demi tahun, saya mengalami perubahan. Semuanya kerana kerja keras. Sejak bermula dalam bidang ini, motivasi saya berubah.

"Banyak benda yang saya lakukan menjadi mudah dan saya berjaya mencipta nama secara global. Saya tidak fikir saya sudah berjaya mencapai apa yang dimahukan untuk menjadi yang terbaik. Ini kerana masih banyak perkara yang perlu saya lakukan," katanya. Jimmy tidak pernah menganggap dirinya yang terbaik. "Prinsip ini sangat penting walaupun suatu hari anda menjadi pereka fesyen yang tersohor di dunia, anda masih perlu terus belajar," ujarnya. Sebagai pereka kasut, kenangan paling manis Jimmy apabila kasutnya diterima dan dipakai di seluruh dunia, bukan sahaja di Malaysia. Menurutnya, kejayaan yang diperoleh hari ini kerana keazaman yang asli. "Saya seronok dengan pekerjaan saya sekarang kerana dapat berkongsi karya seni saya dengan semua orang. Kepada generasi muda yang ingin berjaya, anda perlu bekerja kuat dan buka minda anda," ujarnya.

Jika terpaksa memilih antara kerjaya dan keluarga, Jimmy pantas menjawab akan memilih berkongsi kasih sayang bersama keluarga. Justeru, tidak hairanlah beliau berusaha membahagikan masa sebaik mungkin. "Keluarga sangat penting untuk kesejahteraan kita," tegasnya menutup bicara sambil sempat berkongsi rahsia senaman dan diet seimbang untuknya kekal sihat dan sentiasa nampak muda.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
08 Julai 2012



ISU UMUM : SELAMAT DATANG KERETA ELEKTRIK


Rencana ini ditulis oleh :
Johardy Ibrahim


Selama  seminggu, kereta Mitsubishi Innovative Electric Vehicle atau i-MiEV menjadi tumpuan rakan sepejabat bukan sahaja kerana reka bentuk kecilnya yang futuristik tetapi paling utama, ia adalah kereta elektrik sepenuhnya. i-MiEV menjadi perhatian kerana ia dicas bateri di pejabat. Ya, kaedah mengecas bateri kereta ini boleh menggunakan soket biasa di kediaman atau pun pejabat. Ia dibekalkan dengan kabel khas, dengan kepalanya seperti kepala pam minyak dan satu kotak petunjuk aliran elektrik. Kereta i-MiEV ini dibina berdasarkan kereta mini 'i' berenjin petrol tetapi di sebalik menggunakan enjin pembakaran dalaman, ia menggunakan sumber tenaga tunggal daripada bateri lithium-ion yang menjana tetap magnet motor elektrik. Bateri 330V dipasang dibawah lantai kereta, sementara motor elektrik terletak di bawah but.

Tiga soalan wajib yang kerap ditanya ialah berapa lama ia perlu dicas, sejauh manakah ia mampu berjalan dan berapa kelajuannya? (Anda juga boleh menonton video ulasan i-MiEV di Utusan Online) Ini jawapannya. Pertama: Secara purata ia memerlukan tempoh mengecas selama lapan jam menerusi sistem elektrik di rumah atau pejabat. Di Malaysia, kenderaan elektrik masih di peringkat pengenalan yang sangat-sangat awal. Ibarat bayi baru dilahirkan. Selain i-MiEV, satu lagi ialah Nissan Leaf. Kedua-dua syarikat buat masa ini, membawa masuk dua unit sahaja bagi tujuan demonstrasi kepada kerajaan dan orang ramai.

Berbeza dengan Eropah dan Jepun, kereta elektrik sudah sampai ke peringkat pertengahan iaitu selain dijual dalam kuantiti tertentu, beberapa lokasi disediakan infrastruktur iaitu pusat mengecas khusus, sama seperti fungsi stesen minyak sekarang. Pusat seumpamanya adalah berbentuk sebuah bangunan atau tiang seperti meter parking, boleh mengecas lebih pantas iaitu 80 peratus kapasiti dalam tempoh 30 minit. Ia berbeza dengan rumah kerana fasiliti itu membekalkan keupayaan elektrik bervoltan tinggi iaitu 50 kiloWatt (kW). Matlamat Mitsubishi dan Nissan serta syarikat kereta lain yang berminat memperkenalkan kereta elektrik di Malaysia adalah sama seperti yang dilakukan di negara-negara maju tersebut iaitu selain membekalkan kenderaan mengikut permintaan, infrastruktur mengecas elektrik juga boleh didapati di mana sahaja.

Soalan kedua: Selepas dicas sepenuhnya selama lapan jam, ia boleh bergerak sejauh 150 kilometer. Pengalaman daripada pandu uji tersebut saya dapati, ia menyerupai bateri telefon pintar. Jika sekadar untuk bercakap atau SMS, maka 150 km akan tercapai. Tetapi apabila kerap pula diguna membelek Facebook dan Twitter, maka lagi cepat bateri haus. Dalam konteks i-MiEV, selain jarak perjalanan, penggunaan pendingin hawa juga mempengaruhi hayat bateri. Dengan cas sepenuhnya lapan jam, bateri itu secara puratanya bertahan selama dua hari ulang-alik ke pejabat. Secara purata saya memandu 70 km ulang-alik, maka trip keempat iaitu terakhir pada hari kedua, bateri perlu dicas semula. Itupun tinggal antara empat dan tiga bar, menyebabkan saya menghentikan pendingin hawa. Mujur ia waktu malam.

Antara kebimbangan umum ialah bila bateri mati di tengah jalan dan tiada tempat mengecas. Buat masa ini, kebimbangan itu ada kebenarannya. Bagaimana hendak pulang ke Kelantan? Untuk permulaan, kereta ini direka untuk kegunaan dalam bandar sahaja. Jadi bukan sangat untuk menjelajah jauh-jauh. Dan harus kita ingat, kita masih di peringkat bayi. Kereta ini adalah untuk masa hadapan. Akan tiba masanya nanti bila semua isu berkaitan `lokasi mengecas’ tidak timbul kerana ia akan ada sama banyak seperti stesen minyak hari ini. Namun, ia bergantung kepada kesungguhan semua pihak berwenang untuk merealisasikan penggunaan kereta elektrik ini. Benar terdapat isu kos penjanaan elektrik tetapi beberapa kajian yang dilakukan menunjukkan kos elektrik masih rendah berbanding petrol. Dan sekiranya tarif elektrik terpaksa juga dinaikkan (disebabkan kos arang batu), suatu aspek yang boleh difikirkan ialah pemberian insentif khas bagi pemilik kereta elektrik sama ada dalam bentuk potongan pada harga belian atau cukai.

Soalan ketiga: i-MiEV memiliki kuasa output 49 kW dan kuasa kilas (torque) 180 Newton meter, dan boleh dipecut sehingga 130 km sejam. Mungkin satu hari pada minggu lepas anda jengkel melihat kereta aneh ini memotong kiri ke kanan dan ke kiri semula, saya mohon maaf. Tengah uji pandu. Ia ternyata sebuah kereta yang ligat, cergas dan `menyeronokkan’. Persepsi awal mengatakan ia mirip kereta lektrik buggy di padang golf, adalah jauh panggang dari api. i-MiEV adalah sebuah kereta normal dari segi pengendalian dan prestasi. Ia mungkin tidak boleh memintas Perodua Kelisa atau Viva tetapi boleh mengekori dengan rapat dari belakang. Sejak dilancarkan pada Julai 2009, MMC telah mengeluarkan lebih 20,000 unit kenderaan elektrik ini, membentuk perkongsian dengan lebih 60 rakan kongsi tempatan dalam sektor awam dan swasta di seluruh dunia untuk mengadakan ujian bersama, aktiviti pendidikan mengenai infrastruktur yang diperlukan. MMC mula menjual i-MiEV pada April 2010, sejak itu sebanyak 6,000 unit i-MiEV dan MINICAB-MiEV di Jepun dan dieksport ke 45 negara di seluruh dunia.

Di Malaysia, belum ada ketetapan lagi mengenai harganya tetapi ia dijual di Eropah pada harga antara 33,000 euro hingga 35,000 euro dan jika dikira dari segi tukaran matawang, ia adalah RM132,000 hingga RM140,000 tanpa mengira potongan insentif tambahan kerajaan. Sebenarnya, kereta elektrik bukan suatu fenomena baru pada abad ke-21 ini. Ia telah dihasilkan sejak akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 lagi. Sejarah ringkas dunia automotif menunjukkan minat terhadap penghasilan kereta elektrik terbantut ekoran harga minyak yang murah. Krisis tenaga pada 1970-an dan 80-an mengembalikan sekejap minat kereta elektrik tetapi hanya setelah krisis minyak yang mencanak naik sejak pertengahan tahun 2000, minat dalam pengeluaran kereta elektrik berupaya menghidupkan semula satu pilihan gentian bahan api selain daripada minyak. Malah, kelebihan ketara pada kereta elektrik adalah ia mematuhi kriteria pemuliharaan alam sekitar kerana ia tidak mengeluarkan asap.

Seperti ditegaskan di atas, kejayaan kereta elektrik di atas jalan raya Malaysia bergantung kepada Dasar Automotif Negara yang bakal diumumkan tidak lama lagi. Komuniti automotif rata-ratanya menyokong langkah kerajaan memberi penekanan kepada kereta hijau supaya tidak bergantung terlalu besar terhadap minyak. Kereta elektrik mungkin adalah jawapan kepada masa depan pengangkutan kita.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
08 Julai 2012

03 Julai 2012

ISU SOSIAL : KEUNIKAN, IDENTITI BANGSA DALAM SEJARAH


Rencana ini ditulis oleh :
Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.


Lambakan maklumat di alam maya boleh menimbulkan masalah apabila kita disogokkan dengan bahan yang tidak ilmiah atau yang salah fakta. Karya asal atau tulisan tulen dalam bentuk jurnal, ensaiklopedia, majalah, dokumen atau buku teks banyak tersimpan di perpustakaan awam atau di institusi pengajian tinggi kadang kala sukar untuk diperolehi jika dibandingkan dengan penggunaan komputer. Keadaan akan menjadi tidak terkawal apabila terdapat penulis yang tidak beretika menulis sejarah menggunakan fakta dan pendekatan yang salah. Demikian kerisauan yang diluahkan oleh Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Tan Sri Omar Hashim dalam ucapan alu-aluannya semasa berlangsung Seminar Sejarah Malaysia yang diadakan di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 20 Jun lalu.

Seminar yang bertemakan ‘Sejarah, Etnisiti dan Identiti’ dihadiri lebih 200 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli PSM termasuk penggiat, peminat dan pelajar sejarah. Objektif seminar adalah untuk mengetengah dan membincangkan isu-isu kontroversi di sekitar sejarah tanah air. Ia turut meneliti permasalahan keetnikan dan cabaran pembinaan identiti bangsa dalam konteks sejarah nasional. Ada pendapat menyatakan bahawa penulisan sejarah boleh berubah mengikut perspektif dan pendekatan yang dikehendaki oleh penulis dan persekitarannya. Sebagai contoh semasa saya belajar di sekolah menengah lewat l960-an dalam mata pelajaran Sejarah, JWW Birch Residen Perak yang pertama dianggap sebagai wira kerana dibunuh di Pasir Salak ketika menjalankan tugas. Beliau dianggap berjasa kerana bertugas atas restu Ratu Inggeris dan sedang berusaha melakukan transformasi terhadap pentadbiran kerajaan negeri Perak terutama menyusun kembali penguasaan kutipan cukai.

Namun demikian apabila kita melihat sejarah melalui kaca mata kita sendiri maka wira sebenarnya ialah mereka yang merancang dan membunuh petualang negara itu. Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan rakan- rakannya dianggap sebagai pejuang ulung yang menentang kemasukkan penjajah ketika itu. Langkah lebih berkesan telah diambil oleh pihak penguasa tempatan apabila menukar semua nama jalan bernama Birch kepada Maharajalela. Dalam konteks masyarakat majmuk penulisan sejarah mempunyai kaitan yang rapat dengan etnik, kumpulan status, gender dan warga generasi. Prof. Dr. Kamaruddin M Said dalam kertas yang bertajuk Kesedaran Sosial dan Pentafsiran Sejarah menyatakan sebahagian besar penulisan sejarah Malaysia dibina oleh nasionalisme Melayu khususnya pada pertengahan pertama abad ke- 20. Dengan kejayaan UMNO menjadi pendukung utama kepada kemerdekaan tanah air maka pentafsiran sejarah dari kaca mata nasionalis Melayu telah diterima pakai dalam penulisan teks sejarah.

Namun demikian akhir-akhir ini pentafsiran sejarah telah menerima saingan daripada pihak lain secara lebih berani. Misalnya Chin Peng tokoh utama Parti Komunis Malaya (PKM) telah menerbitkan memoirnya yang bertajuk My Side of History (Chin Peng 2003). Pentafsiran Chin Peng terhadap sejarah kolonialisme dan kemerdekaan Malaysia adalah antitesis kepada pentafsiran yang dibuat oleh nasionalis Melayu. Demikian juga buku-buku yang ditulis oleh tokoh-tokoh penting PKM seperti Abdullah CD, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh dan Ibrahim Chik menafsirkan sejarah ‘gerakan kiri’ dan PKM daripada sudut pandangan peribadi masing-masing.

Demikian juga buku yang berkisar peristiwa hitam 13 Mei 1969 selain buku yang dihasilkan oleh Tunku Abdul Rahman bertajuk 13 Mei: Sebelum dan Selepas (Tunku 1969) dan buku Tragedi 13 Mei: Suatu Laporan Majlis Gerakan Negara (Mageran 1969) yang merupakan laporan rasmi kerajaan, terdapat juga buku lain yang melihat peristiwa itu daripada perspektif yang berbeza. Antaranya buku yang ditulis oleh Kua Kia Soong bertajuk May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 yang merujuk banyak dokumen Pejabat Rekod Awam, London. Sementara itu buku yang bertajuk Patriots and Pretenders: The Malaysan People‘s Independence Struggle (Kua Kia Soong 2011) mengetengahkan peranan yang dimainkan oleh ‘golongan kiri’ dalam sejarah perjuangan kemerdekaan.

Sementara itu bagi Abd Ghapa Harun yang membentangkan kertas bertajuk Memahami Permasalahan Etnisiti dan Identiti dan Pengaruhnya ke atas Historiografi Negara Berbagai Kaum, Malaysia menyatakan dalam mengidentifikasi permasalahan negara maka peranan historiografi dan pendidikan sejarah adalah penting. Menurutnya diagnosis ke atas historiografi akan dapat meneliti pengaruh dan kesannya ke atas isu etnik dan identiti. Dalam abad ke-21, akibat proses globalisasi di kebanyakan negara, isu kepelbagaian etnik dan perbezaan identiti semakin ketara. Akibatnya isu keetnikan dan identiti semakin mendominasi arena politik. Ia menyemarak apabila pelbagai kelompok masyarakat khususnya etnik minoriti semakin kerap menuntut proses demokrasi dilaksanakan secara terbuka dan memperjuangkan politik multikulturalisme. Memuncaknya isu tersebut mendorong para peneliti sains sosial dan sains politik memberi perhatian mendalam terhadap implikasi kepelbagaian tersebut ke atas proses pembinaan negara. Pelbagai saranan telah dimajukan bagi menangani isu tersebut melalui penulisan, perbincangan dan seminar.

Bagi negara kita dengan pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan telah dapat mengurangkan isu keetnikan dan identiti tersebut. Pendidikan menekankan konsep perpaduan di kalangan pelbagai etnik dan membina jati diri serta mengumpulkan kanak-kanak belajar di bawah satu bumbung. Malah mata pelajaran Sejarah digunakan untuk membentuk pemikiran pelajar dan menjadi alat penting bagi pembinaan negara bangsa. Atas kesedaran tersebut Menteri Pelajaran menjadikan mata pelajaran itu wajib dipelajari oleh semua pelajar. Sejarah bukan sahaja untuk mengenal asal usul tetapi dapat dijadikan alat mengukuhkan jati diri bagi mengukuhkan perpaduan pelbagai etnik yang menghuni negara ini.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
02 Julai 2012

ISU SOSIAL : CABARAN PUSAT KESIHATAN MENTAL KOMUNITI


Pandangan IKIM
PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).


Sesuatu  yang menggembirakan apabila baru-baru ini kerajaan mengumumkan akan menubuhkan pusat kesihatan mental komuniti bagi setiap negeri. Ini sememangnya langkah bijak dan proaktif bagi meningkatkan tahap penjagaan kesihatan mental masyarakat di negara ini. Semua anggota masyarakat berasa sungguh bertuah kerana aspek penjagaan kesihatan mental kini mula mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya. Bagi pesakit dan keluarga mereka khususnya, hak mereka untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya dan bebas daripada stigma buruk dan negatif menjadi semakin cerah. Jika ditinjau dari segi sejarah perkembangan kesihatan mental di negara ini, pada peringkat awal (akhir kurun ke-18) ia lebih tertumpu kepada merawat pesakit mental dalam persekitaran yang amat terhad dan hanya melibatkan sekelompok pakar perubatan dan kesihatan mental.

Dalam fasa pertama ini, perkhidmatan hanya terdapat di hospital-hospital mental sahaja. Pesakit pula akan ditempatkan di hospital berkenaan dalam tempoh yang amat panjang dan berjauhan dengan keluarga. Secara tidak langsung, mereka akan tersisih daripada masyarakat awam. Keadaan ini tidak membantu proses untuk pulih yang menyeluruh. Di samping menyisihkan pesakit dari dunia luar, keluarga mereka dan masyarakat awam, ia juga meningkatkan stigma negatif dan pandangan buruk masyarakat terhadap golongan pesakit mental. Malahan, ia turut meningkatkan beban penjagaan dan kos rawatan para pesakit dan kewangan negara. Kaum keluarga dan masyarakat pula semakin menjauhi dan menganggap pesakit sebagai makhluk yang pelik dan ganjil. Ini kerana pada ketika ini, pesakit mental dilihat sebagai mangsa kerasukan makhluk halus dan roh jahat dan lain-lain pengaruh berkaitan alam ghaib. Hanya pada sekitar pertengahan kurun ke-19, gerakan reformasi dalam sistem perkhidmatan kesihatan mental bergerak aktif dalam usaha untuk memberi harapan baru kepada para pesakit dan keluarga mereka, memperbaiki kaedah rawatan dan mengiktiraf peranan penting masyarakat dalam membantu proses pemulihan.

Fasa kedua ini menyaksikan kesan dalam pemodenan sistem perkhidmatan kesihatan dan peningkatan mutu kajian serta kewujudan penemuan-penemuan baru dalam bidang sains perubatan yang akhirnya mengubah persepsi dunia terhadap bidang kesihatan mental. Jika di peringkat fasa pertama masalah berkaitan gangguan mental dilihat berpunca daripada pengaruh makhluk halus dan roh jahat, pada fasa kedua ini, masalah itu dilihat berpunca akibat ketidakseimbangan hormon tertentu dalam badan pesakit yang menjejaskan tahap kesihatannya. Seterusnya pada awal dan menjelang pertengahan kurun ke-20, perkhidmatan kesihatan mental memasuki fasa ketiga di mana ia menjadi semakin berkembang dan maju. Di antara beberapa petanda kemuncak dalam perkhidmatan ini pada peringkat ini adalah kewujudan pusat-pusat kesihatan mental komuniti dan masyarakat. Di antara peranan perkhidmatan pusat-pusat kesihatan mental seperti ini adalah mewujudkan proses pemulihan itu berlaku di peringkat komuniti.

Ia juga merupakan pendekatan untuk mengintegrasikan peranan setiap anggota keluarga dan masyarakat dalam proses pemulihan dan penjagaan kesihatan mental yang lebih bersepadu. Di samping itu, pendekatan ini juga membentuk dan mendidik masyarakat supaya lebih bersikap terbuka dan positif terhadap kesihatan mental dan memahami apakah penyakit mental serta lebih menerima pesakit dan keluarga pesakit tersebut. Ia akhirnya diharapkan dapat menghilangkan pandangan buruk anggota masyarakat terhadap perkara ini dan seterusnya menghapuskan sebarang stigma berkaitan penyakit mental. Walaupun pendekatan seperti ini lama diamalkan oleh negara maju, namun ia baru dilaksanakan di negara ini. Memang ini merupakan satu langkah yang baik, namun terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan bagi mencapai matlamat penubuhannya dan untuk memastikan usaha murni bagi memperbaiki taraf kesihatan mental ke tahap yang lebih baik lagi untuk kebaikan masyarakat dan negara dapat dicapai.

Beberapa langkah dan aktiviti tertentu ke arah usaha dan matlamat ini perlu dilakukan seperti menyediakan kemudahan mencukupi, khususnya dari segi sumber tenaga manusia. Pendekatan ini merupakan satu usaha untuk memasyarakatkan sistem perkhidmatan kesihatan mental kepada orang ramai. Oleh kerana ia lebih tertumpu kepada masyarakat, sudah pasti ia tidak lagi tertumpu di hospital besar, dan sudah pasti juga jumlah tenaga pakar perubatan dan kesihatan akan menjadi lebih terhad. Masalah ini perlu di atasi segera seperti menempatkan pusat-pusat tersebut berhampiran hospital besar bagi tujuan rujukan dan kecemasan bagi kemudahan berkaitan dan jika berlaku perkara tidak diingini. Begitu juga, peranan anggota masyarakat yang terbabit untuk membantu usaha murni ini perlu diperbanyakkan lagi dan diberi latihan khusus. Perlu ada perancangan kerajaan bagi tujuan ini. Adakah wajar dengan menempatkan pakar berkaitan, atau beberapa pakar kesihatan mental yang lain?

Di negara yang lebih maju, lebih ramai anggota masyarakat yang pakar dan diiktiraf dalam perkhidmatan kesihatan mental terlibat seperti pakar psikiatri komuniti, pakar psikologi klinikal, pekerja sosial, dan kaunselor profesional. Adakah negara kita mempunyai orang seperti ini dengan jumlah yang mencukupi, diiktiraf dan telah menerima latihan yang kukuh dan bersesuaian? Ini kerana sekadar melantik dan melatih sesiapa sahaja yang berminat bukan satu langkah bijak, malah mereka gagal untuk berperanan secara aktif dalam menyumbang ke arah mencapai matlamat yang murni itu, lantas menggagalkan matlamat penubuhan pusat kesihatan mental masyarakat seperti yang dicadangkan.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
02 Julai 2012

ISU UMUM : SETIAP ORANG MESTI MEMAINKAN PERANAN MENYELAMAT MAS


Rencana ini ditulis oleh 
Amir Tan


Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) kini berada di persimpangan jalan. Masa depannya tergantung kepada dana yang diperoleh untuk membiayai kos operasinya masa kini dan seterusnya 'menyelamat' MAS daripada terus tenggelam dalam industri penerbangan komersil serantau dan global seandainya semua usaha yang dirancang menemui jalan buntu atau gagal. Inilah realiti yang dihadapi MAS sekarang. Untuk menyelamat atau memulihkan kedudukan MAS, ia dilaporkan memerlukan dana berjumlah RM9 bilion yang mungkin diperoleh daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) atau sumber-sumber lain yang belum pasti. Seandainya GLC dan GLIC bersedia membiayainya, maka pelan 'menyelamat' menjadi mudah dan melegakan para pelabur yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan MAS.

Angka RM9 bilion adalah sangat besar bagi sesuatu pelaburan. Namun, pelaburan itu mungkin menjadi wajar untuk menggiatkan operasi sebuah syarikat multinasional seperti MAS. MAS menjadi lambang penerbangan negara yang telah menebarkan sayapnya di ruang angkasa serantau dan antarabangsa selama lebih empat dekad lamanya. Dengan dipertaruhkan dana sebanyak itu ia mungkin berbaloi untuk 'menyelamat' dan seterusnya memastikan syarikat penerbangan nasional ini kekal beroperasi. Dalam dunia perniagaan tanpa mengambil kira apa jua bidangnya, untung dan rugi menjadi pertaruhan yang tidak dapat dielakkan. Banyak faktor yang menyumbang kepada kedua-dua senario itu. Antaranya ialah aspek pengurusan dan sumber tenaga manusia.

Selain daripada menerap sistem pentadbiran yang telus dan ikhlas, ia mesti didokong oleh sejumlah dana untuk membiayai kos operasi berskala besar, seperti yang dikehendaki MAS sekarang. MAS kini bukan sahaja terpaksa bersaing dalam penerbangan domestik dan antarabangsa. Syarikat-syarikat penerbangan multinasional antrabangsa seperti JAL, Qantas, KLM, Air France, Cathay Pacific, British Airways dan lain-lain tidak dapat tidak menjalankan 'perang harga' yang mungkin menjejaskan MAS kerana masalah modal yang dihadapinya sekarang. MAS juga tidak mampu mengatur usaha sama strategik akibat kelemahan itu. Mana mungkin syarikat yang untung mahu membantu yang rugi? Oleh kerana itu, MAS dilihat seperti bersendirian untuk keluar daripada permasalahannya. Mahu tidak mahu, MAS perlu mewujudkan pelan tindakannya sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana pihak yang bersikap seperti seteru kepada MAS.

Wang adalah bukan segalanya walaupun sangat diperlukan oleh sesebuah syarikat. Ia juga sangat memerlukan sumber manusia yang jujur, ikhlas serta bersatu hati untuk membangun syarikat yang menjadi tempat mereka bernaung. Dalam hal ini, MAS mungkin beruntung kerana nilai-nilai ini telah diterapkan sejak MAS mula beroperasi. Lantaran itu, anggota Kesatuan Pekerja MAS (MASEU) yang mewakili 20,000 orang pekerja tidak banyak mencetuskan kerenah meskipun MAS berada dalam keadaan gawat. Ini adalah aset yang sangat berharga kepada MAS. Salah satu sebab tekanan terhadap operasi MAS ialah kenaikan harga bahan api yang semakin meningkat. Ditokok dengan kos pengurusan yang tinggi telah menyebabkan pendapatan MAS menyusut. MAS mengalami kerugian dari tahun ke tahun.

Di sebalik kesulitan ini, kewujudan MAS terus dipertahan oleh pasukan pengurusan yang berintegriti dan disertai dengan iltizam politik yang tinggi oleh pihak kerajaan. Namun, penghujung jalannya belum lagi cerah dan jelas sehingga kini. MAS mungkin akan menerima satu pasukan peneraju yang baru apabila RM9 bilion diperoleh. Pasukan ini pastinya memiliki iltizam yang lebih tinggi untuk melihat MAS kekal di persada syarikat penerbangan komersil antarabangsa. Selain itu, pasukan ini juga dipercayai akan membelanjakan dana yang diperoleh dengan cermat dan bijaksana. Dengan demikian, dana itu akan menjadi lebih berharga dan bermakna dari jumlah yang sebenarnya.

Dalam pelan 'menyelamat' ini pengurusan sekarang atau yang baru seharusnya memikirkan bagaimana harga tambang MAS lebih kompetitif tanpa mengorbankan keselesaan para penumpang. Pihak pengurusan MAS mungkin terlepas pandang, harga tambang domestik amat tinggi dan telah menyebabkan pelanggan lari dan membuat pilihan yang lain. MAS sewajarnya mengkaji tambang jarak dekat, seperti KL-Kota Bharu, KL-Pulau Pinang, KL-Kuantan, KL-Senai, KL-Alor Setar dan KL-Kuala Terengganu. MAS boleh menyediakan perkhidmatan yang asas sahaja tanpa menyediakan minuman sepanjang perjalanan ke destinasi-destinasi tersebut. Pengurusan MAS juga wajar memperkenalkan tambang murah dengan kadar berpatutan kepada 50 penumpang yang pertama (first 50 customers) bagi menggalakkan mereka menaiki pesawat MAS. Penumpang selebihnya perlu membayar tambang biasa, tetapi kompetitif harganya.

Untuk menjimatkan kos, MAS wajar menswastakan executive lounge di semua lapangan terbang domestik dan antarabangsa sebagai langkah berjimat cermat. Kos yang dibelanjakan untuk ruang itu mungkin boleh digunakan dan diserapkan ke dalam tambang domestik. Dengan langkah ini, MAS mungkin dapat memancing semula para pelanggan yang kian menjauhkan diri daripada penerbangan MAS semata-mata kerana harga tambang yang tinggi. Pihak pengurusan tidak boleh terlepas pandang bahawa budaya pengembara masa kini ialah memilih perkhidmatan yang murah dan baik. Dengan mengorbankan sedikit apa yang dikatakan keselesaan atau comfort, tambang MAS mungkin menjadi lebih kompetitif pada masa hadapan. Tidak mustahil mereka yang menjauhkan diri akan kembali menikmati perkhidmatan MAS secara lebih wajar dan adil.

Walau apa sahaja langkah atau tindakan 'menyelamat' MAS diatur dan dilaksanakan, MAS mesti dihindar daripada terjebak dengan isu kontroversi yang boleh melemahkan semangat mereka yang dipertanggungjawabkan. Semua pihak mesti memberi peluang kepada mereka menyusun strategi yang tepat dan selamat untuk membangun semula MAS sebagai syarikat penerbangan terunggul di rantau ini dan global. Rakyat sudah pastinya sayang dan cintakan MAS kerana ia telah berjaya memenuhi tanggungjawab sosialnya sejak mula diperbadankan. Rakyat sewajarnya memberi sokongan supaya MAS boleh meraih keuntungan dengan pelan-pelan terbarunya. Setiap orang mesti memainkan peranan 'menyelamat' MAS sebagai satu komitmen yang tidak boleh diabaikan. Nescaya dengan semangat ini, MAS akan kembali cemerlang dan unggul sepanjang zaman. Bagaimanapun, semua perkara itu tidak seharusnya mendorong peneraju syarikat mengambil mudah apabila diamanah mentadbir dan mengurus syarikat itu. Ia mesti dilakukan sejujur mungkin melalui strategi perniagaan iaitu pengurusan yang bersih.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
01 Julai 2012

02 Julai 2012

ISU SERANTAU : TOR-TOR, BERTINDAKLAH SEBAGAI NEGARA SAHABAT


Rencana ini ditulis oleh :
Ramli Abdul Karim


Ramai yang bertanya kepada penulis mengenai kesudahan kontroversi budaya Mandailing, Tor-tor dan Gordang Sambilan yang menyebabkan hubungan Indonesia-Malaysia sedikit goyah bermula 18 Jun 2012 yang lalu. Sebelum memperhalusi isu ini, wajar dijelaskan terlebih dahulu latar belakang kontroversi itu. Tor-tor dalam bahasa Mandailing bermaksud tarian, manakala Gordang Sambilan bermaksud gendang sembilan. Di pihak Malaysia tiada yang tersembunyi atau pelik apabila Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada 14 Jun lalu menyatakan, kerajaan akan mengiktiraf kebudayaan Mandailing di Malaysia terutama tarian dan gendangnya.

Dalam ucapan selepas merasmikan Perhimpunan Anak-Anak Mandailing Malaysia dan pelancaran Persatuan Halak Mandailing Malaysia (Mandailing Malaysia) Daerah Gombak di Dewan Sri Siantan, Jalan Sungai Tua, Batu Caves pada petang hari berkenaan, Rais berkata: "Buat permulaan kita akan daftar Tor-tor Mandailing dan Gordang Sambilan ini sebagai budaya suku kaum Mandailing di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005." Rentetan kontroversi bermula dua hari kemudian. Dengan tajuk 'Malaysia Klaim Tari Tor-Tor?' menerusi akhbar online Kompas pada 5.15 petang (6.15 petang Malaysia) 16 Jun lalu misalnya, menjadi antara peniup api kemarahan tidak rasional rakyat Indonesia. Artikel itu memetik laporan agensi berita Bernama mengenai kenyataan Rais tetapi mengubah suai tajuk asalnya. Ia dibaca 51,552 orang pelawat KOMPAS.com sehingga 3 petang, Jumaat lalu. Ia dikongsi (share) 3,764 orang ke akaun laman sosial peribadi atau kumpulan masing-masing di Facebook atau Twitter dan 3,764 orang yang menekan butang 'Suka' atau 'Like'.

Selain tajuk provokatif, KOMPAS.com menyelitkan foto tidak relevan sekumpulan penari Batak Karo dalam berita itu walaupun tarian yang dimaksudkan Rais adalah tarian Mandailing. Sepantas kilat, ia diulang kongsi dan diulang salin, sehinggalah menjelang petang esok (Ahad) dan malamnya, ia merebak ke jutaan akaun Facebook dan Twitter milik rakyat Indonesia. Keributan rakyat Indonesia lebih pantas memuncak apabila kebanyakan portal berita Indonesia turut memetik laporan Bernama itu. Mereka mengubah suai atau menulisnya ke bahasa Indonesia mengikut fahaman dan gaya tersendiri. Di Indonesia, perkataan "klaim" (dakwaan pemilikan) sangat sensitif. Sentimen dan api kemarahan rakyat Indonesia meledak sepenuhnya pada Isnin, 18 Jun. Televisyen, radio, akhbar dan portal serta edisi online akhbar di Indonesia mula memperbesar-besarkan isu ini. Tanpa segan silu dan rasa bersalah rakyat Indonesia mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat, cacian, penghinaan dan ugutan kepada Malaysia. Daripada orang biasa sehinggalah kepada tokoh masyarakat serta para pemimpin termasuk menteri dan anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Indonesia melakukan penghinaan tahap paling rendah kepada Malaysia.

Ini termasuk kenyataan memperlekeh Raja-Raja Melayu, melabel Malaysia sebagai negara miskin budaya dan mengesyorkan negara ini dibom. Api kemarahan rakyat yang terus-terusan ditiup, mencapai tahap kemuncak ketidakwarasan apabila sekumpulan Pemuda Pancasila menyerang dan merosakkan bangunan Kedutaan Malaysia dan Malaysia Hall di Jakarta pada 22 Jun lalu. Dalam tempoh 18 Jun sehingga semalam, pelbagai andaian salah dibuat di Indonesia, antaranya:

1. KLAIM: Menuduh Malaysia mencuri Tor-tor Mandailing dan Gordang Sambilan.

2. UNESCO: Andaian bahawa Malaysia telah ke Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk mendaftarkan kedua-duanya.

3. PATEN: Mentafsir secara salah bahawa mendaftarkannya di bawah Akta Warisan Kebangsaan bermaksud mahu mempatenkannya.

4. ASET NASIONAL: Mendakwa pendaftaran oleh Malaysia itu kerana mahu mengaut untung dengan mengkomersialkan kedua-duanya.

5. WARISAN: Mentafsir perkataan 'warisan' sebagai turut bererti pemilikan.

6. MANIPULASI UNDANG-UNDANG: Maksud klausa dalam akta itu termasuk pemilikan budaya berpindah kepada kerajaan jika warisan dijual, dimanipulasi. Ia sebenarnya khusus buat warisan ketara seperti bangunan dan istana. Kebudayaan adalah warisan tidak ketara yang mustahil dijual.

7. SENTIMEN RASIS TIDAK RELEVAN: Memfokus kontroversi kepada Tor-tor Batak Toba/Karo sedangkan yang berbangkit adalah tarian Mandailing yang dipersembahkan dengan iringan Gordang Sambilan termasuk Tor-tor Na Uli Bulung (ditarikan anak-anak gadis) dan dan Tor-tor Na Poso Bulung (tarian pemuda). Ia jauh berbeza dengan Tor-tor Toba dan Karo, kecuali berkongsi maksud perkataan tor-tor iaitu tarian.

Semua andaian salah itu dikutip daripada reaksi tidak rasional di Internet dan ketika diwawancara televisyen Indonesia atau ditemu bual wartawan akhbar mereka. Malangnya, daripada puluhan akhbar yang meminta penjelasan penulis, tiada seorang pun wartawan Kompas. Berbalik kepada persoalan mengenai penyelesaian isu ini dan apa yang dipelajari jika salah faham seumpamanya berulang, penulis berpendapat ia banyak bergantung kepada pihak Indonesia. Selagi perkara pokok, iaitu andaian-andaian mengenai "klaim", mencuri budaya, paten, aset nasional dan lain-lain menjadi asas pertimbangan Indonesia, ia tidak akan menemui titik pertemuan. Pemimpin dan rakyatnya perlu sedia mendengar penjelasan, berlapang dada, mengikhlaskan hati dan jangan secara tidak semena-mena mencurigai serta membuat penghakiman mendahului penjelasan.

Mempertahan

Penulis yakin, pemerintah Indonesia sejak dari dulu sentiasa meletak harapan tinggi untuk mempertahan dan mengekalkan hubungan sebagai negara berjiran dan negara bersahabat dengan Malaysia. Tetapi, mengimbas pendekatan Indonesia menangani kontroversi terdahulu seperti tarian Pendet dan Barongan (Reog Ponorogo) selain 'lagu Rasa Sayang', batik dan lain-lain, komitmen mengekang kontroversi daripada merebak masih boleh diperbaiki. Pantas mendapatkan gambaran tepat mengenai sesuatu isu dan segera memberi penjelasan kepada rakyat, antara yang boleh dilakukan. Paling utama, menghalang media memanipulasi salah faham sehingga meniup api kemarahan rakyat, sebaliknya turut berperanan meredakan kontroversi. Membuat kenyataan rasmi selepas beberapa hari atau minggu kontroversi merebak dan meledak, mungkin tidak membawa apa-apa makna lagi.

Sebagai negara berjiran, sebarang kontroversi boleh mengundangkan banyak kesan negatif. Pemerintah perlu berusaha menghalang atau mendidik rakyat supaya tidak menghiris perasaan rakyat Malaysia dengan kata-kata kejian. Ditegaskan, tiada seorang pun rakyat Malaysia mendakwa Tor-tor Mandailing dan Gordang Sambilan serta budaya suku lain berasal dari Malaysia sebaliknya di Sumatera Utara bagi orang Mandailing, Kepulauan Jawa bagi suku Jawa dan Sumatera Barat bagi Minangkabau. Dalam mendepani realiti bahawa Indonesia dan Malaysia berkongsi 1,001 persamaan termasuk suku-suku kaum penduduknya, bahasa, kebudayaan, pakaian, makanan dan lain-lain, maka aspek "pemilikan" terhadap semua itu tidak sepatutnya dijadikan isu besar dan terlalu sensitif. Sempadan politik kedua-dua negara hanya mula ditandakan garis perbatasannya selepas Indonesia dan Malaysia masing-masing merdeka pada 1945 dan 1957.

Sempadan budaya masyarakat kedua-dua negara sebelum kemerdekaan itu terlalu luas. Ratusan tahun lalu, selain orang Mandailing, Jawa, Bugis, Minangkabau, Banjar dan lain-lain suku kaum rumpun Melayu atau Nusantara telah mengamalkan budaya suku masing-masing jauh lebih awal daripada tertubuhnya negara Indonesia mahupun Malaysia. Kesimpulannya, jika "pemilikan budaya" dalam konteks tafsiran sempit terus menjadi agenda besar di Indonesia; selagi media Indonesia berlumba-lumba menjadi juara melaga-lagakan kedua-dua negara; dan apabila istilah bahasa Malaysia enggan difahami secara tepat; tidak mustahil isu Tor-tor Mandailing dan Gordang Sambilan bukan kontroversi terakhir.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
01 Julai 2012