Rencana ini ditulis
oleh :
RABIATUL ADAWIYAH KOH
ABDULLAH
Jarang benar kelibat
pereka kasut bertaraf antarabangsa, Profesor Datuk Dr. Jimmy Choo Yeang Keat
kelihatan di Malaysia. Kesempatan bertemu secara eksklusif yang diaturkan Pengarah
Urusan Tradisi Busana, Dodi Mohasdi Mohammad, membuatkan penulis teruja. Apa
yang mengagumkan penulis, bukanlah status atau namanya yang glamor. Sebaliknya,
sifat rendah diri dan mesra beliau. Anak kepada seorang tukang kasut ini lahir
dalam sebuah keluarga yang kecil. Beliau dibesarkan di Lebuh Hutton,
Georgetown, Pulau Pinang dan gemar menghabiskan masa dengan berenang di Gurney
Drive. Sekalipun telah mencipta nama di luar negara, namun Jimmy akan pulang ke
kampung halamannya setiap tahun bersama keluarga.
Bercerita tentang
pengalamannya sebagai pereka fesyen kasut, Jimmy memberitahu, sebaik saja tamat
pengajian, beliau bekerja sebagai penolong pereka fesyen di sebuah kilang di
Hackney, London. Beliau hanya bekerja selama dua tahun sebelum membuka kedainya
sendiri. "Pada masa itu sangat sukar untuk menjual kasut kerana anda bukan
orang terkenal. Penglibatan awal saya di sana sangat susah kerana London bukan
kota kecil dan ia sangat popular. Secara jujurnya, bekerja sebagai orang asing
di tanah asing sebenarnya sangat mencabar. Namun, saya mengambil cabaran itu
dan syukur pada Tuhan saya berjaya mengharunginya," ujarnya. Nasibnya
berubah selepas kasutnya mendapat liputan sebanyak lapan muka surat dalam
majalah fesyen terkemuka Vogue pada 1998.
Motivasi
Tambahnya, seseorang
yang berminat dalam industri kasut boleh memilih untuk menjadi pereka fesyen
kasut atau seorang tukang kasut. Sesetengah pereka fesyen kasut tidak tahu cara
memotong pola kasut tetapi adalah lebih baik kalau mereka memahami selok-belok
teknikal membuat kasut. Bagi Jimmy, apa sahaja boleh menjadi inspirasinya
kerana dia selalu berfikir; "inspirasi boleh datang pada bila-bila masa
dan di mana-mana sahaja". Jika ada yang bertanya mengenai motivasinya
dalam bidang ini, jawapannya mudah; "'Minat saya terhadap kasut". Jimmy
mengakui, kerja kuat juga sangat penting untuk berjaya. "Tahun demi tahun,
saya mengalami perubahan. Semuanya kerana kerja keras. Sejak bermula dalam
bidang ini, motivasi saya berubah.
"Banyak benda
yang saya lakukan menjadi mudah dan saya berjaya mencipta nama secara global.
Saya tidak fikir saya sudah berjaya mencapai apa yang dimahukan untuk menjadi
yang terbaik. Ini kerana masih banyak perkara yang perlu saya lakukan,"
katanya. Jimmy tidak pernah menganggap dirinya yang terbaik. "Prinsip ini
sangat penting walaupun suatu hari anda menjadi pereka fesyen yang tersohor di
dunia, anda masih perlu terus belajar," ujarnya. Sebagai pereka kasut,
kenangan paling manis Jimmy apabila kasutnya diterima dan dipakai di seluruh
dunia, bukan sahaja di Malaysia. Menurutnya, kejayaan yang diperoleh hari ini
kerana keazaman yang asli. "Saya seronok dengan pekerjaan saya sekarang
kerana dapat berkongsi karya seni saya dengan semua orang. Kepada generasi muda
yang ingin berjaya, anda perlu bekerja kuat dan buka minda anda," ujarnya.
Jika terpaksa memilih
antara kerjaya dan keluarga, Jimmy pantas menjawab akan memilih berkongsi kasih
sayang bersama keluarga. Justeru, tidak hairanlah beliau berusaha membahagikan
masa sebaik mungkin. "Keluarga sangat penting untuk kesejahteraan
kita," tegasnya menutup bicara sambil sempat berkongsi rahsia senaman dan
diet seimbang untuknya kekal sihat dan sentiasa nampak muda.
Pohon bersandar,
pohon cemara,
Menderu angin,
bergoyang dahan,
Jangan sekadar,
membaca sahaja,
Tulislah komen,
berilah cadangan.
Sumber
Utusan Malaysia
08 Julai 2012
1 ulasan:
saya suka semua rekaan Datuk Jimmy Choo... sya juga ingin menjadi sepertinya...
Catat Ulasan