24 Mei 2012

ISU PENDIDIKAN : 13 RESOLUSI UNTUK MANTAPKAN PENDIDIKAN KEBANGSAAN


Rencana ini ditulis oleh:
NIZAM YATIM


Sidang Meja Bulat Kajian Semula Sistem Pendidikan Kebangsaan yang diadakan di Memorial Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur pada 19 Mei lalu telah meluluskan 13 resolusi. Ia diluluskan secara sebulat suara oleh para hadirin yang terdiri daripada wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kesatuan guru, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), bekas pegawai kanan Kementerian Pelajaran dan cendekiawan Melayu. Resolusi berkenaan menggariskan perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh kerajaan apabila melaksanakan sebarang pindaan terhadap sistem pendidikan kebangsaan dan cadangan-cadangan baru bagi memantapkannya. Berikut adalah inti pati resolusi-resolusi yang diluluskan pada persidangan anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkenaan.

RESOLUSI 1

Sebarang pindaan sistem pendidikan kebangsaan hendaklah selaras dan tidak bertentangan dengan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan mengenai bahasa kebangsaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 yang antaranya menggariskan bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan digunakan di peringkat kebangsaan. Istilah bahasa Melayu mesti dikembalikan dan dinobatkan penggunaannya dengan rasmi menggantikan perkataan bahasa Malaysia. Pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah, menengah, prauniversiti dan peringkat tertiari hendaklah menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantarnya. Mahasiswa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dikehendaki mengambil bahasa Melayu sebagai subjek wajib lulus dan tuntutan untuk mengembalikan sekolah aliran Inggeris tidak wajar dilayan.

RESOLUSI 2

Perlu dipelihara dan dikekalkan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah serta Sarawak seperti yang termaktub dalam Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan dalam bidang pendidikan tanpa tolak ansur oleh kepentingan mana-mana pihak dan tekanan politik. Sehubungan itu, kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi melanjut pelajaran melalui Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) wajar dikembalikan kepada nisbah asal 90 peratus Melayu dan bumiputera serta 10 peratus bukan bumiputera seperti sebelum 2008. Dasar meritokrasi hanya dilaksanakan sesama atau dalam kalangan Melayu dan bumiputera sahaja, sementara kaum-kaum lain bertanding sesama mereka.

RESOLUSI 3

Kerajaan tidak seharusnya dari semasa ke semasa meminda atau memperkenalkan dasar baru pendidikan dengan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada akta dan dasar pendidikan yang sedia ada. Ini termasuk Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran 1979, Falsafah Pendidikan Negara 1988, Akta Pendidikan 1996 dan Pindaan Akta Pendidikan 1997.

RESOLUSI 4

Kementerian Pelajaran digesa memperkukuhkan dan memperluaskan kurikulum pendidikan agar sejajar dengan keperluan semasa dan tuntutan antarabangsa. Perlu dikaji semula dasar penggredan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dimulakan pada 2010 berasaskan A+, A dan A- bagi memilih pelajar tercemerlang daripada kalangan cemerlang kerana ia menimbulkan perlumbaan tidak sihat di kalangan pelajar, ibu bapa, guru dan sekolah.

RESOLUSI 5

Kementerian Pelajaran digesa mengambil langkah serius, drastik dan pragmatik supaya matlamat memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan yang digunakan dalam pentadbiran awam dan swasta tercapai dengan jayanya.

RESOLUSI 6

Mengakui bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara ini wajib diajar dan dipelajari oleh semua murid. Sehubungan itu, perlu digembleng semula tenaga guru-guru bahasa Inggeris yang mendapat latihan di luar negara sejak awal 1970-an bagi mengurangkan kos perbelanjaan membawa masuk tenaga pengajar asing.

RESOLUSI 7

Kerajaan perlu memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah aliran perdana dengan memberikan peruntukan kewangan, lain-lain perbelanjaan berulang tahunan (LPBT), peruntukan penyelengaraan dan peruntukan mata pelajaran, 100 peratus lebih banyak berbanding Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil. Harus diperbanyakkan kelas bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa ketiga di sekolah kebangsaan. Pelaksanaan kurikulum dan pengajaran sekolah kebangsaan perlu lebih fleksibel dan bijak, bukan birokratik dan mengongkong supaya anak-anak daripada semua kaum boleh belajar dengan kreatif di bawah satu bumbung.

RESOLUSI 8

Sekolah Berasrama Penuh (SBP) perlu terus memainkan peranan bagi melahirkan golongan intelek yang bakal menjadi pemimpin dan golongan profesional Melayu serta bumiputera dalam pelbagai bidang. Kementerian Pelajaran digesa meneruskan dasar memberi keutamaan kepada pelajar Melayu dan bumiputera cemerlang dari keluarga miskin terutama dari luar bandar dalam pengambilan pelajar SBP.

RESOLUSI 9

Perlu dipastikan nisbah murid yang mengikuti mata pelajaran sains khusus tidak tergelincir daripada sasaran. Menggesa Kementerian Pelajaran menyemak semula dasar nisbah 60:40 bagi subjek sains dan sastera yang sehingga kini didapati sukar untuk dicapai.

RESOLUSI 10

Harus dikawal pembukaan sekolah antarabangsa yang kini berkembang pesat akibat liberalisasi pendidikan swasta kerana ia hanya memberi manfaat kepada golongan berada dan boleh menghakis semangat patriotik terhadap negara. Perlu dipastikan sekolah antarabangsa dan sekolah swasta yang mempunyai aliran antarabangsa mengajar bahasa Melayu kepada pelajar tempatan.

RESOLUSI 11

Menggesa kerajaan menarik balik pengiktirafan sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah Cina (UEC) kerana ia bertentangan dengan dasar pelajaran kebangsaan. Pengiktirafan ini akan menebalkan lagi polarisasi kaum kerana ia menggalakkan murid Cina bersekolah di SJKC dan meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Bantuan Cina dan Sekolah Persendirian Gabungan Cina yang kini berjumlah 60 buah dengan 60,481 pelajar.

RESOLUSI 12

Perlu ditambah bilangan pusat matrikulasi bagi menampung permohonan pelajar cemerlang lepasan SPM yang gagal mendapat tempat di universiti tempatan. Kerajaan digesa mengekalkan nisbah kuota pengambilan pelajar di pusat matrikulasi iaitu 90 peratus kaum Melayu dan bumiputera serta 10 peratus bukan bumiputera.

RESOLUSI 13

Subjek Pengetahuan Agama Islam perlu dijadikan mata pelajaran wajib lulus bagi pelajar Islam dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM. Murid harus memahami bacaan dalam solat dan boleh membaca serta menulis asas-asas jawi pada akhir tahun dua.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
23 Mei 2012

23 Mei 2012

ISU PENDIDIKAN : PELAJAR GAGAL KE IPTA MAMPU CEMERLANG JIKA DIBERI PELUANG


Rencana ini diambil dari :
Ruangan Minda Pengarang


Setiap tahun ratusan ribu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memohon melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Namun, disebabkan tempat yang terhad, tidak semua pelajar ini terpilih untuk mengikuti program asasi dan diploma sebagai persediaan ke peringkat ijazah sarjana muda, walaupun mereka memenuhi kelayakan diperlukan. Tahun ini, hanya 46,698 daripada 218,931 lepasan SPM dan setaraf dengannya ditawarkan tempat program asasi dan diploma di 17 IPTA dan tiga Politeknik Premier. Dengan bilangan tempat yang terhad, ditambah pula persaingan sengit, sudah pasti ramai lepasan SPM yang tidak mendapat tawaran. Ini menyebabkan sebahagian daripada mereka terpaksa beralih kepada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Bagi yang kurang mampu, mengikuti pengajian Tingkatan Enam adalah satu-satunya peluang bagi mereka menyambung pelajaran. Menyedari kekangan itu, perlu ada pihak yang tampil membantu golongan ini, terutama di kalangan pelajar Melayu agar potensi yang ada tidak dipersiakan.

Kita patut memuji langkah Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang menyediakan 10,000 tempat untuk program khasnya bagi pelajar terbabit. Di bawah program itu, pelajar mengikuti pengajian peringkat pradiploma, praperdagangan dan prasains selama 16 minggu di kampus cawangannya di seluruh negara. Mereka kemudian meneruskan pengajian di UiTM dan memilih bidang pengajian bersesuaian pada peringkat diploma dan ijazah selepas menamatkan program khas berkenaan.  Langkah UiTM ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu memperluaskan peluang pendidikan kepada semua pelajar berkelayakan dan berpotensi untuk berjaya agar mereka tidak ketinggalan. Seperti ditegaskan Naib Canselor UiTM, Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, kelmarin, kerajaan sedar persaingan sengit untuk memasuki IPTA.

Sebenarnya pelajar luar bandar yang tercicir adalah disebabkan kekurangan kemudahan, di samping faktor lain, termasuk masalah keluarga. Usaha ini adalah sebahagian daripada program khas Gerakan Destini Anak Bangsa (GDAB) dengan kerjasama UiTM yang mana pelajar gagal ke IPTA dikenal pasti dengan tujuan membantu mereka melanjutkan pengajian. Usaha GDAB dan UiTM ini wajar dicontohi kerana masih ramai pelajar Melayu yang belum mendapat tempat di IPTA. Jika UiTM tidak mengambil inisiatif ini, pelajar Melayu terutama dari luar bandar tentunya tidak mampu membiayai pengajian di IPTS kerana kos pengajiannya yang terlalu tinggi. Tidak mustahil pelajar yang diberikan peluang menerusi program ini akan mencapai kejayaan cemerlang setanding pelajar lain, jika belajar bersungguh-sungguh. Apa yang penting mereka mesti diberi peluang dan pada masa sama, pelajar berkenaan harus membuktikan peluang itu tidak dipersiakan demi masa depan mereka dan keluarga.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Berita Harian
23 Mei 2012

ISU KESIHATAN : PEMBEDAHAN JANTUNG TERBUKA DI TWITTER CIPTA SEJARAH, PERTAMA DI DUNIA

Rencana ini ditulis oleh:
Liow Tiong Lai
Menteri Kesihatan Malaysia.

Ikuti beliau melalui blog
atau twitter (@liowtionglai)


Pakar bedah Hospital Memorial Hermann Northwest, AS, berkongsi pembedahan jantung terbuka di twitter buat kali pertama di dunia. Orang ramai patut manfaatkan ilmu kesihatan di laman sesawang bantu cara hidup sihat. Kebanyakan daripada kita berhubung dengan dunia luar menerusi media sosial. Saya mengikuti perkembangan kawan dan keluarga melalui facebook serta membaca twitter untuk mengetahui isu berkaitan rakyat Malaysia dan mengikuti perkembangan berita daripada blog seluruh dunia. Semua platform ini adalah bentuk media secara bersosial yang sebenar. Dengan kewujudannya, saya dapat berhubung dengan lebih ramai orang berbanding dulu.

Sebelum doktor itu mula twit di dewan pembedahan, mereka sudah melakukannya melalui persidangan perubatan, berkongsi perkembangan terkini dan hasil kaji selidik yang menarik sambil mereka mendengar penerangan lintas langsung daripada penceramah. Kaedah ini adalah satu revolusi kerana ia membuka akses maklumat supaya ilmu dapat dikongsi bersama semua orang dan tidak terbatas kepada golongan elit belaka. Walaupun saya menemui rakyat apabila melawat bahagian saya termasuk pada peringkat akar umbi, saya jarang berpeluang untuk bertukar perbualan kecuali bercakap sepatah dua kata dengan mereka. Bagaimanapun, melalui facebook dan twitter, saya mendapat maklum balas serta berinteraksi dengan lebih bermakna bersama rakyat.

Media sosial bukan lagi alat peribadi untuk mencari kawan lama dan memaparkan foto keluarga. Ia menjadi forum awam untuk pengiklanan, berjual beli, menyebarkan idea dan mendidik rakyat. Berkomunikasi dalam media sosial sangat berbeza berbanding media tradisional kerana anda boleh mendekati pelbagai audiens, berhubung secara interaktif dan lebih bersifat peribadi, serta menggalakkan mereka berkongsi pengetahuan dengan jaringan kenalan. Dalam menggunakan media sosial untuk khidmat dan pendidikan kesihatan, banyak perkara menarik berlaku di luar sana.  Baru-baru ini, saya membaca melalui Masabale (satu laman web untuk media sosial dan berita teknologi) mengenai pembedahan jantung terbuka yang ditwit buat kali pertama di dunia, dijalankan pakar bedah Hospital Memorial Hermann Northwest di Houston, Texas, Amerika Syarikat.

Dr Michael Macris menjalankan pembedahan berganda pemintasan arteri koronari terhadap pesakit berusia 57 tahun, manakala rakan sejawatannya, Dr Paresh Patel memberi perkembangan prosedur itu melalui twitter dan menjawab soalan ke akaun twitter hospital berkenaan. Mereka berkongsi foto dan rakaman video yang diambil ketika pembedahan. Amalan ini memberikan pendidikan kepada orang ramai mengenai prosedur pembedahan jantung biasa. Dengan pendedahan itu, doktor berharap orang ramai memahami perlunya mereka mempelajari cara mencegah penyakit kardiovaskular yang memerlukan pembedahan sedemikian.

Malah, sebelum doktor itu mula twit di dewan pembedahan, mereka sudah melakukannya melalui persidangan perubatan, berkongsi perkembangan terkini dan hasil kaji selidik yang menarik sambil mereka mendengar penerangan lintas langsung daripada penceramah. Kaedah ini adalah satu revolusi kerana ia membuka akses maklumat supaya ilmu dapat dikongsi bersama semua orang dan tidak terbatas kepada golongan elit belaka. Satu lagi cara terbaik bagi doktor dan golongan profesional berhubung dengan orang awam ialah menganjurkan perbualan twitter untuk menjawab soalan pengguna twitter lain atau mengadakan perbincangan terbuka mengenai topik perubatan yang tertentu.

Facebook adalah cara terbaik untuk mengumpulkan kumpulan besar bagi mencapai satu-satu matlamat. Contohnya, saya pernah melihat kempen kesihatan di facebook, untuk mendapatkan kawan menyertai aktiviti kempen seperti perlumbaan maraton, forum atau acara mengumpul tabung amal. YouTube dan video lain atas talian adalah cara berkesan menarik perhatian orang ramai serta membolehkan perkongsian maklumat yang relevan. Video Persatuan Jantung Amerika (http://www.youtube.com/user/americarnheart assoc) sangat berkesan kerana ia memaparkan seorang aktres popular dan menghantar mesej peribadi secara langsung mengenai cara untuk mengenal pasti serangan jantung, dan pada waktu yang sama rakaman itu menghiburkan.

Pada peringkat tempatan, ada usaha Persatuan Nutrisi Malaysia (NSM) dan portal Try Masak (http://www.trymasak.my.sihat/) yang menyediakan resipi sihat NSM didemonstrasikan pakar diet serta seorang chef melalui rakaman video pendek. Masyarakat semakin beralih kepada media sosial, bukan setakat mendapatkan perisian, malah menguruskan rawatan penjagaan kesihatan mereka. Antara idea yang saya dapati sangat menarik ialah bagi pakar rawatan penjagaan kesihatan menggunakan aplikasi telefon mudah alih bagi menguruskan rawatan untuk pesakit. Perkara seperti janji temu perubatan, peringatan supaya mematuhi rawatan dan preskripsi maklumat keselamatan boleh disimpan dalam sesuatu aplikasi (App) itu. Memandangkan telefon pintar semakin murah, lebih ramai mendapat akses Apps bila-bila masa mereka memerlukan maklumat dan tidak perlu lagi menunggu untuk giliran di hospital atau klinik.

Satu aspek penting menggunakan media sosial untuk mempromosikan kesihatan ialah menggunakan mekanisme maklum balas. Sebagaimana yang disebutkan awal tadi, media sosial membolehkan saya mendengar apa yang diperkatakan di luar mengenai isu yang relevan untuk saya. Media sosial juga platform untuk memuatkan perisian, oleh itu, ia bukan semata-mata perisian daripada saya. Saya lebih banyak mempelajari perkara baru daripada perisian yang dimuatkan oleh orang lain – saya belajar mengenai apa yang penting bagi mereka dan mengapa mereka melakukan sesuatu perkara. Kita berada pada zaman yang sangat menarik, banyak maklumat pada hujung jari untuk membantu membuat keputusan lebih baik bagi kesihatan. Media sosial bukan saja satu bentuk komunikasi yang penting dan berkesan, ia sangat menyeronokkan dan mewarnai hidup kita. Dalam hubungan ini, penyebaran virus sangat sesuai untuk kesihatan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Berita Harian
23 Mei 2011

ISU BAHASA : SIKAP TAK KISAH KIKIS IDENTITI BANGSA


Rencana ini ditulis oleh :
Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
         

Biarpun dianggap bahasa picisan namun dominasi bahasa rojak dalam kehidupan masyarakat moden masa kini cukup ketara. Penggunaan yang semakin meluas terutama di kalangan generasi muda juga dikhuatiri bakal mengikis nilai identiti bangsa tanpa disedari. Berilah pelbagai alasan, isu bahasa rojak seharusnya ditangani segera bagi mengelakkannya terus melarat apatah lagi sikap masyarakat yang lebih mementingkan konsep mudah dan praktikal boleh mengancam kewibawaan bahasa standard. Persoalannya, mengapa bahasa rojak sangat digemari? Apakah kelebihannya?

Ketua Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Adi Yasran Abdul Aziz, berkata, penggunaan bahasa rojak yang ‘sempoi’, ‘santai’ namun bergaya adalah faktor ia menjadi pilihan. Menurutnya, konsep kehidupan masyarakat terutama generasi muda hari ini yang ‘malas’ untuk berfikir juga menjaga standard menjadikan mereka lebih selesa dengan penggunaan bahasa itu. “Masyarakat hari ini lebih mementingkan penampilan, bukan saja gaya tapi bahasa juga perlu sofistikated dan mengikut perkembangan semasa. Bahasa rojak tidak memerlukan unsur peraturan, justeru mudah diterima ramai menjadikan masyarakat sangat selesa menggunakannya,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, biarpun mudah namun masih tetap mencemarkan identiti bahasa dan budaya sekali gus menghakis jati diri bangsa. Menurutnya, setiap bangsa di dunia dihakimi melalui peradaban bahasa dan sosial, justeru penggunaan bahasa rojak yang berleluasa dikhuatiri boleh menjejaskan usaha memartabatkan keunikan identiti sesuatu bangsa. “Bahasa adalah imej yang melambangkan keperibadian dan ketinggian budaya bangsa, justeru biarlah bahasa digunakan bersesuaian.  Ramai menganggap isu ini picisan namun kesedaran untuk menggunakan bahasa standard perlu ada. Jika tidak ia akan mengikis penggunaan bahasa sedia secara perlahan-lahan. Sekali gus membunuh nilai identiti bangsa hingga mencacatkan perjalanan bahasa untuk generasi akan datang pula,” katanya.

Pusat Rujukan Bahasa Melayu Dewan Bahasa Pustaka mentakrifkan bahasa rojak sebagai bahasa yang bercampur aduk kata-kata yang digunakan penuturnya. Dengan kata lain, percampuran penggunaan bahasa Melayu yang diselangselikan dengan bahasa asing seperti bahasa Inggeris sekali gus boleh menjadikan struktur ayat tunggang-langgang. Penggunaan bahasa berkenaan juga lebih sinonim kepada generasi muda yang dikaitkan dengan sikap ‘tidak kisah’ dengan apa yang melanda institusi bahasa negara. Mengulas mengapa bahasa rojak pantas berkembang dan menjadi pilihan, beliau berkata penggunaan yang ringkas, mudah serta senang difahami menjadikan ia dekat dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Malah, akuinya, bahasa ini tidak mengenal usia, latar belakang serta status penutur menyebabkan masyarakat mudah menerimanya. “Lazimnya, masyarakat memang mudah tertarik dengan sesuatu yang mudah kerana hari ini semuanya perlu serba pantas tidak terkecuali bahasa. Penggunaannya tidak salah dan isu bahasa rojak pun bukanlah isu yang perlu diperbesarkan. Cuma penggunaan tidak terkawal terutama di kalangan pelajar sekolah boleh memberi impak negatif dalam peperiksaan. Bayangkan jika mereka menulis karangan menggunakan bahasa rojak. Bukan guru saja pening malah memberi kesan terhadap pemberian markah sedangkan bahasa Melayu adalah subjek wajib lulus,” katanya.

Beliau tidak menyekat jika bahasa rojak digunakan dalam pertuturan seharian biarpun boleh memberi kesan jangka panjang. “Ia mungkin menyakitkan telinga segelintir orang namun kesannya tidaklah mendalam berbanding penggunaannya dalam penulisan peperiksaan. Fokus utama ialah golongan pelajar.  Ini yang perlu diteliti dan diambil tindakan kerana saling berkait rapat dengan kepentingan sistem pemarkahan peperiksaan. Bahasa rojak tidak diterima. Ini satu kerugian sedangkan mereka boleh memperoleh markah yang baik dengan penggunaan bahasa teratur. Inilah bahayanya bahasa rojak jika tindakan proaktif tidak diambil,” katanya.

Akuinya, bahasa rojak juga sudah dinilai standard sebagai bahasa Melayu campur sedangkan kerana bahasa lain tidak menghadapi masalah serupa. Menurutnya, bahasa Melayu senang dimanipulasi berbanding bahasa lain kerana penggunaan bahasa itu dipenuhi pelbagai perkataan dan kota kata indah serta puitis. “Biarpun bahasa Inggeris bahasa antarabangsa, ia jarang dimanipulasi kerana struktur ayatnya kukuh. Umumnya, bahasa Inggeris juga ringkas dan terus pada maksud. Berbanding bahasa Melayu, walaupun mempunyai struktur kukuh namun penggunaan perkataannya sangat luas, panjang, indah, berbunga dan melankolik.  Menyebabkan mereka yang kurang sabar bertindak mencari perkataan paling mudah untuk mengungkapkannya seperti ‘sayangkan u’ berbanding ‘sayangkan awak’,” katanya.

Perkembangan pantas teknologi juga pada masa sama memberi kesan terhadap penggunaan bahasa rojak. “Penggunaan bahasa rojak dulu hanya terbatas melalui pertuturan namun kini sudah biasa digunakan dalam komunikasi maya menyebabkan ia semakin merebak tanpa kekangan. Pada masa sama, mereka yang mempertahankan penggunaan bahasa juga mungkin sudah ‘penat’ dan gagal bersaing dengan tempias teknologi menyebabkan bahasa rojak semakin mendominasi. Sekali gus mencacatkan usaha dilakukan bagi memartabatkan penggunaan bahasa Melayu standard yang menjadi kebanggaan generasi dulu,” katanya.

Tidak menolak juga kemungkinan bahasa rojak adalah pengaruh rakan, beliau berkata, perlu disuntik kesedaran untuk mendaulat dan menggunakan bahasa yang betul. “Sekurang-kurangnya, ia boleh membantu memperoleh markah yang baik dalam peperiksaan. Ini bukan soal tidak ada gaya atau sebagainya, sebaliknya kualiti dan standard yang sudah ditetapkan. Justeru, perlu wujudkan satu kesedaran di kalangan generasi muda supaya tidak terlalu mengagungkan bahasa rojak yang bercampur baur antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris,” katanya.

Antara mekanisme boleh dilakukan ialah dengan mengadakan bengkel deklamasi sajak, penulisan pantun, karangan, cerita pendek dan sebagainya bermula di peringkat sekolah rendah. “Walaupun usaha ini terpaksa bersaing dengan teknologi, sekurang-kurangnya kepekaan asas terhadap penggunaan bahasa yang betul sudah ada dan boleh diasah serta dipraktikkan. Langkah awal perlu disusun supaya mereka tahu menyusun rentak penggunaan antara bahasa rojak dan keperluan bahasa standard. Sekali gus menyedarkan masyarakat betapa pentingnya mempertahankan penggunaan bahasa yang betul sekali gus tidak teraba-raba mencari nilai identiti diri dan bangsa,” katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Harian Metro
21 Mei 2012


21 Mei 2012

ISU UMUM : BINA KEKAYAAN BARU MELALUI ANGKASA


Rencana ini ditulis oleh :
NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my


Malaysia mula mengorak langkah serius dalam arena aeroangkasa pada tahun 1997 menerusi pembentukan Pelan Induk Pembangunan Industri Angkasa Malaysia. Ketika itu, pelan yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara tidak rasminya menggariskan harapan sektor tersebut mampu memacu pertumbuhan bidang sosial dan ekonomi negara ke peringkat lebih baik. Rentetan inisiatif berkenaan, sebuah syarikat yang menjurus ke arah teras penyelidikan dan pembangunan (R&D) bidang sains angkasa, Astronautics Technology Sdn. Bhd. (ATSB) telah ditubuhkan. ATSB secara asasnya berperanan membawa Malaysia menyertai persaingan dalam industri teknologi angkasa global menerusi pelaksanaan aktiviti seperti mereka bentuk dan merangka sistem satelit berteknologi tinggi.

Kejayaan satu-satunya syarikat tempatan yang terlibat secara langsung dalam industri itu terbukti apabila satelit mikro pertama Malaysia, TiungSAT-1 dilancarkan pada tahun 2006. Tidak menunggu lama untuk terus mengatur langkah cemerlang memacu industri satelit dan angkasa negara secara lebih konsisten, ATSB pada tahun 2009 melancarkan pula satelit remote sensing dikenali RazakSAT. Selepas 15 tahun, ATSB hari ini perlu berbangga dengan pencapaian serta kepakaran yang dimiliki mereka sehingga mampu melaksanakan pembangunan bidang aeroangkasa secara bersepadu. Ketua Pegawai Eksekutif ATSB, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, teknologi satelit dan angkasa di Malaysia telah mencapai peringkat matang. ‘‘Tanpa disedari, kita sebenarnya telah menerima teknologi ini sebagai sebahagian daripada kehidupan kita. Ia termasuk aktiviti menonton siaran televisyen secara langsung, berkomunikasi menerusi telefon bimbit dan mengaplikasi peranti navigasi perjalanan, semuanya dibantu oleh teknologi satelit.

‘‘Bagaimanapun, daripada segi pendedahan dan penerimaan masyarakat terhadap teknologi itu masih berada di peringkat permulaaan,’’ katanya ketika di temui di pejabatnya di Shah Alam baru-baru ini. Ini kerana menurutnya, rakyat masih menganggap teknologi angkasa sebagai industri yang mahal tanpa melihat faedah yang ditawarkan kepada orang ramai. Faedah yang dimaksudkan adalah termasuk membantu operasi pemantauan remote sensing untuk jangkaan cuaca lebih tepat, kejadian hujan, kemarau dan banjir. Ini kerana, dengan adanya data-data yang dibekalkan oleh satelit, ia dapat membantu perjalanan aktiviti seperti pertanian sekali gus memberi manfaat kepada para petani. Bagi menyemarakkan aktiviti R&D pula, Ahmad Sabirin berkata, Malaysia belum meletakkan komitmen yang besar daripada segi dana untuk memperluas teknologi angkasa.

Tidak seperti negara-negara yang komited dengan pembangunan industri tersebut seperti Amerika Syarikat (AS), India, Korea Selatan, China dan Jepun yang sanggup melabur sekurang-kurangnya RM2 bilion setahun untuk tujuan R&D. ‘‘Kekangan dana bagi tujuan R&D seperti inilah yang menyebabkan ATSB sukar untuk memperluaskan aktiviti penyelidikan. Di samping itu, dalam usaha memastikan industri ini terus dijana secara proaktif, kita perlu meletakkan hala tuju yang jelas bermula sekarang demi memastikan Malaysia mempunyai produk teknologi angkasa yang unggul dalam masa 30 tahun akan datang,’’ katanya. Dalam perkembangan sama, ATSAB juga ada menjalankan kerjasama pintar dengan universiti-universiti tempatan dalam bentuk R&D dan keusahawan. Matlamatnya adalah untuk memupuk minat pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai usahawan teknologi bermula dari peringkat awal pengajian.

Antara universiti terlibat adalah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). ‘‘Kita ada mengambil pelajar dan graduan daripada universiti-universiti ini untuk menjalankan R&D secara maya di mana pihak universiti akan menggaji mereka untuk melakukan penyelidikan manakala ATSB pula menjalankan urusan pengkomersialan. Menerusi cara itu, kedua-dua pihak akan dapat memperoleh keuntungan secara bersama,’’ katanya. Menurut Ahmad Sabirin lagi, modul pengajian universiti sekarang perlu diubah dengan menerapkan nilai serta atmosfera seperti dalam industri sebenar demi merealisasikan fokus pembangunan bidang tersebut.

Bagi tujuan sama juga, ATSB turut menyokong program yang dilaksanakan TalentCorp Malaysia untuk memanggil pakar-pakar tempatan dalam bidang teknologi yang berkhidmat di luar negara untuk kembali semula ke negara ini dengan syarat mereka perlu disediakan dengan program pembangunan yang jelas. Melihat ATSB untuk jangka masa 10 tahun akan datang, Ahmad Sabirin berkata, organisasi itu bukan bakal sahaja bersaing di peringkat Asia tetapi juga dunia melalui medium perkongsian pintar serta perniagaan strategik bersama rangkaian syarikat-syarikat global. ATSB turut akan memberi tumpuan terhadap pembangunan sub sistem dalam teknologi angkasa merangkumi sistem komunikasi, navigasi, perkakasan dan perisian berbanding pembinaan satelit yang memakan masa terlalu lama.

‘‘Jika kita ingin maju pada tahun 2020, kita perlu mengorak langkah menjana teknologi angkasa ini sebagai sumber kekayaan baru dengan memberi fokus terhadap transformasi perniagaan serta mengubah pemikiran tradisi kepada yang baru. Komitmen daripada pihak kerajaan daripada segi dana dan kesinambungan aktiviti R&D juga mampu menyediakan masa depan yang cerah untuk sektor ini sekali gus memberi pulangan ekonomi cukup lumayan kepada negara,’’ ujarnya. Dengan segala kesungguhan yang ditunjukkan, ATSB kini berada pada posisi paling hadapan dalam persaingan inovasi teknologi satelit dan angkasa diikuti rapat oleh syarikat-syarikat dari negara Thailand dan Vietnam.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
21 Mei 2012

ISU SOSIAL : BELIA HARUS TEKANKAN KEJAYAAN DIRI DAN NEGARA


Rencana ini ditulis oleh :
EZARUDDIN ABD RAHMAN
Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.


Terpegun melihat banting-banting di merata tempat dan papan iklan besar terpampang Himpunan Jutaan Belia 2012 di Putrajaya. Belia Malaysia telah diiktiraf oleh pihak kerajaan dan ia satu sambutan terbesar di dunia untuk belia. Pelbagai syarikat swasta turut tampil bersama meraikan sambutan Hari Belia Negara pada tahun ini dan ia pasti sambutan yang paling meriah dan hebat. Sejarah membuktikan belia Malaysia mampu menjadi pendesak seperti menentang Malayan Union dan bersama dengan kerajaan untuk menuntut kemerdekaan. Di mana-mana sahaja di dunia golongan muda adalah kumpulan pendesak terhadap negara dan mampu bangkit untuk menuntut hak-hak mereka. Belia Malaysia telah banyak memberikan bakti mereka seperti dalam aktiviti pertubuhan belia, sukrelawan, inovasi, sukan sebagai bukti kemampuan mereka.

Di samping itu, belia diibaratkan hujung tombak bangsa Malaysia yang akan menjadi barisan hadapan dalam menangkis segala tohmahan dan krtikan terhadap negara kita. Pada masa yang sama belia Malaysia tidak harus terlena dalam buaian yang menidurkan mereka dengan permainan pihak-pihak luar. Baru-baru ini kita sangat sedih apabila melihat anak-anak muda diheret ke jalan raya semasa perhimpunan Bersih 3.0 dengan mempamerkan budaya samseng yang tentunya bercanggah dengan budaya timur kita. Mereka telah dicandu dengan provokasi oleh pihak-pihak tertentu agar mereka boleh bertindak ganas sehingga sanggup melakukan keganasan. Kita ingin melahirkan mentaliti kelas pertama kepada belia Malaysia. Mereka harus mengembangkan personaliti tinggi, karisma, daya saing serta kemahiran diri agar kita mampu membina kemampuan hebat anak muda Malaysia. Kita tidak harus memandang penglibatan anak muda dalam menyertai demonstrasi dianggap kebangkitan anak muda, sebaliknya kita harus memandang kebangkitan belia apabila anak muda berjaya menguasai pelbagai bidang termasuk menjadi pemimpin di usia yang muda.

Membina negara ini bukannya mudah apabila menyaksikan negara kita pernah dijajah oleh negara asing hingga kita terpaksa merempat dan hidup dalam ketakutan. Percayalah bahawa untuk membina kembali sebuah negara yang musnah bukannya boleh dilakukan dalam masa setahun malah ia bertahun-tahun. Belia mempunyai kekuatan mereka tersendiri. Dalam usia muda David Cameron menjadi Perdana Menteri (Britain) pada usia 45 tahun, Barack Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat pada usia 47 tahun dan bekas Presiden Rusia, Dmitry Medvedev jadi presiden pada usia 45 tahun. Parlimen Belia yang bakal dilaksanakan sepenuhnya di Malaysia akan dapat membenihkan ciri-ciri pemimpin muda yang hebat dan matang. Mengambil kata-kata Perdana Menteri: "Kita Mahu Hari Esok Lebih Baik Dari Hari Ini" sempena tema sambutan Hari Belia tahun 2012 dan kita harus menyahut seruan ini untuk bersama-sama dengan pihak kerajaan melonjakkan prestasi belia yang berprestasi tinggi dan hebat.

Belia boleh memimpin dalam organisasi tanpa timbul prasangka di atas kemampuan mereka kerana mereka mempunyai stamina serta idea-idea yang baru yang boleh dikembangkan. Belia jangan menjadi tawanan kepada politik murahan sebaliknya harus menjadi pengerak transformasi politik baru dengan menawarkan khidmat untuk memimpin parti politik agar mereka boleh membentuk kepimpinan hebat. Pada minggu ini dijangka jutaan belia akan berkumpul di Putrajaya dalam meraikan hari mereka. Ini bukannya sebuah pesta belia sebaliknya ia adalah perhimpunan anak-anak muda yang ingin membuktikan kepada dunia bahawa belia Malaysia hebat dan mempunyai kepelbagaian kemahiran dan kemampuan. Sertailah aktiviti sempena hari belia dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia dan bersama Majlis Belia Malaysia dan Malaysian Indian Youth Council akan menganjurkan Konvensyen Belia Negara 1Malaysia pada 24 Mei 2012 dan diharapkan anak-anak muda dapat menyertainya. Ia sebuah forum santai untuk mendengar padangan suara anak muda Malaysia.

Biarlah kita bangun pada hari ini untuk kita berazam menjadi rakyat yang menabur bakti bukannya memikirkan bagaimana kita ingin merosakkan negara ini. Selamat Hari Belia 2012!

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
21 Mei 2012

20 Mei 2012

ISU UMUM : TANDAS MODEN



Pertubuhan Tandas Dunia (WTO) yang menggabungkan serta membincangkan masalah penggunaan tandas dan sistem pembuangan sisa pernah mengutarakan kebimbangan mengenai kekurangan asas keperluan sanitasi. Ia berikutan kajian yang menunjukkan 40 peratus penduduk di dunia kini kekurangan asas sanitasi serta keperluan untuk mencari penyelesaian yang berkekalan bagi isu membabitkan tandas moden. Seperti biasa, Jepun mempelopori teknologi yang digelar ‘tandas moden’ apabila menghasilkan teknologi yang memberi manfaat kepada manusia khususnya masyarakat negara ini bagi mengelakkan pembaziran serta menyalurkan najis kepada sistem lebih baik.

Konsep tandas moden yang direkacipta di Jepun hanya memerlukan pengguna duduk di atas tandas dan selepas selesai membuang air besar, mereka dikehendaki menekan butang dan air serta sabun akan terpancut dari depan dan belakang untuk membasuh bahagian yang kotor. Boleh dikatakan, penggunaan tandas moden sekarang diaplikasi meluas di Jepun, Eropah, Amerika Syarikat, Hong Kong dan Korea Selatan sesuai bagi mereka yang mementingkan aspek kebersihan tandas. Menariknya, tandas moden dikawal oleh sistem mikrokomputer bagi membolehkan ia berfungsi secara automatik. Di kanan tandas dipasang beberapa butang yang berfungsi mengawal kekuatan pancutan air, kawalan suhu air, sumber kuasa dan butang memanaskan tempat duduk tandas. Manakala di sebelah kiri tandas pula dilengkapi butang yang berfungsi menghentikan pancutan air, mengubahsuai arah dan jenis pancutan, mengawal pancutan air di bahagian depan dan belakang tandas serta satu tempat sabun.

Sememangnya, keperluan tandas moden juga mengelakkan kekotoran yang bersepah akibat pancuran air tidak stabil apabila kita memegang paip di tangan kanan. Sering sekali lantai tandas menjadi kotor dengan air seterusnya dipijak kasut yang dipakai sehingga boleh mengakibatkan tandas tersumbat dan mengganggu sistem sanitasi.  Teknologi Jepun memang mampu membantu apatah lagi mereka sudah memulakan langkah menerusi syarikat bernama Toto yang mempunyai inovasi berdasarkan konsep ‘washlet’. Tandas moden washlet, yang dapat membersih mangkuk tandas dan pengguna secara automatik dikhabarkan mampu menjimatkan sehingga 50 peratus penggunaan bagi kerja pembersihan serta menjadikan lantai bersih. Ia didatangkan dengan pancutan air suam atau sejuk bagi tujuan membersihkan diri, selain pelapik tandas yang boleh diselaraskan suhu mengikut keselesaan pengguna.

Lebih mengagumkan, kawalan suhu dan pancutan air itu mudah dikawal menerusi butang khas yang disediakan membolehkannya dianggap sebagai inovasi paling maju di dunia. Malah, ia pernah disenaraikan dalam Guinness Book of Records sebagai tandas paling canggih di dunia apabila diperkenalkan pada 1997 menerusi model Zoe. Sekali imbas washlet kelihatan seperti tandas biasa, tetapi jika dilihat teliti barulah kita menyedari ia bukan sekadar tandas biasa apabila butang digital ditempatkan sekurang-kurangnya di dua lokasi strategik mudah capai. Antara ciri tambahan yang disertakan pada mangkuk tandas ini termasuk alat pengering, pemanas tempat duduk, pilihan pancutan air dengan tiga fungsi berlainan untuk buang air besar atau kecil, serta basuh keseluruhan, pancutan air boleh selaras, arah air serta pelapik tandas dibuka secara automatik.

Tidak dilupakan, curahan air (flush) automatik selepas guna, panel kawalan tanpa wayar dan pendingin hawa dalam bilik tandas yang beroperasi secara automatik sebaik pintu dibuka berdasarkan tempoh penggunaan tandas. Baru-baru ini, Toto mencapai satu kegemilangan global dengan warisan washlet terbaru selepas berjaya menjual kira-kira 30 juta tandas moden terbabit sejak pelancarannya pada 1980. Bagi meraikan kejayaan itu, Toto memperkenalkan tiga model baru iaitu Washlet G500 bersepadu, Washlet S350e dan S300e yang dipertingkat­kan dengan E-Water baru yang inovatif serta berteknologi tinggi. Washlet model ini menggunakan air tulen dan bersih serta pelbagai inovasi teknologi untuk membuatkan pengguna merasai aspek kebersihan tambahan yang lebih baik de­ngan mencipta semula tempat duduk tandas sebagai sistem pembersihan peribadi. Apabila butang pembersihan diaktifkan, sistem akan membuka Wonderwave iaitu teknologi khas Toto yang menyediakan aliran air hangat untuk pembersihan lengkap mengikut bentuk badan manusia. 

Disebabkan air diambil terus dari bekalan air mentah rumah, Washlet mengalirkan air suam yang sentiasa bersih dan tulen.  Sebaik pembersihan selesai, pengguna mula menerima aplikasi pengeringan di sekitar ruang yang menggunakan udara panas untuk mengering­kan kawasan terbabit secara perlahan sekali gus melindungi alam sekitar dengan mengurangkan keperluan tisu tandas.

Teknologi eWater+

Berdasarkan idea ‘Inovasi Pertama Masyarakat’, Toto memenuhi keperluan dunia sebenar berasaskan teknologi apabila memperkenalkan penggunaan air yang elektrolit direka untuk membuatkan mangkuk tandas lebih mudah untuk kerja pembersihan.  Udara secara elektrolit akan membasmi kuman lama yang melekat walaupun ia tidak kelihatan pada mata kasar. Ia biasanya digunakan dalam pembersihan penyediaan makanan. Manakala bagi mewujudkan eWater+, jurutera Toto hanya menggunakan bekalan air masuk ke rumah dan memprosesnya berasaskan teknologi yang dipatenkan syarikat.

eWater+ digunakan dalam mangkuk selepas butang pancuran air ditekan dan diaktifkan setiap lapan jam sekali semasa tidak digunakan.  Ia akan kembali kepada keadaan asal dalam tempoh dua jam selepas diaktifkan yang mana wap air kosong disalurkan meningkatkan kebersihan mangkuk dengan memeteraikan permukaan menerusi bakteria positif. Sistem terbabit 80 peratus lebih baik daripada sistem ‘porselin’ kering sedia ada. Malah, eWater+ baik untuk bumi apabila ia mengurang­kan keperluan untuk bahan kimia toksik yang digunakan untuk membersihkan tandas seterusnya membantu untuk melindungi alam sekitar serta menjimatkan wang ringgit pengguna.

Washlet G500

G500 menggabungkan sistem pembersihan jenis washlet peribadi yang mempunyai reka bentuk moden serta padat dengan pengesan automatik yang dikendalikan. Toto memperkenalkan sistem flush Dual Max Cyclone baru membolehkan pengguna untuk memilih isipadu air yang diperlukan untuk mengosongkan mangkuk tandas berdasarkan kapasiti 1.28gpf untuk sisa pepejal atau 0.9gpf untuk cecair yang menjimatkan penggunaan wang dan air.  Sistem flush Dual Max Cyclon menggabungkan pembersihan siklon pada mangkuk dengan tindakan nanoteknologi SanaGloss yang direka sendiri Toto untuk meningkatkan kebersihan mangkuk dan mengurangkan keperluan untuk membersihkan.

Washlet S300e dan S350e

Boleh dipasang pada hampir mana-mana tandas yang sedia ada, kombinasi duo yang dinamik menawarkan reka bentuk yang kompak kerana mereka boleh melaraskan mangkuk tandas lebih rendah menghampiri unit pembersihan. Sememangnya dalam kehidupan moden, manusia mementingkan kebersihan khususnya tandas apatah lagi ia sangat dituntut agama.  Cuma, kita perlu berusaha mendidik masyarakat untuk menggunakan tandas moden berkenaan bagi memastikan mereka benar-benar yakin serta mampu memelihara kebersihan yang bermula di tandas.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Metro Ahad
20 Mei 2012


ISU ANTARABANGSA : POL POT - MENGUKUR DARJAH KEZALIMAN


Coretan Marhaen


Bagi sesiapa yang pernah ke Phnom Penh dan berpeluang mengunjungi dua pasar tersebut, satu lama, panas dan berdebu manakala satu lagi moden dan teratur - pasti bertemu lelaki-lelaki Kemboja agak berumur yang kudung sebelah kaki atau kedua-dua belah kaki. Dengan baju lusuh, bertongkat atau bertopang, mereka pantas mendekati pelancong atau sesiapa sahaja yang kelihatan seperti warga asing. Namun mereka bukan pengemis. Mereka ialah mangsa jerangkap samar semasa rejim Pol Pot. Rata-ratanya akan membawa kotak kayu seumpama bekas mamak menjual kacang putih sekitar tahun 70-an di Malaysia, yang didalamnya tersusun buku-buku - semuanya tentang kisah penderitaan rakyat Kemboja di bawah pemerintahan zalim rejim Pol Pot.

Jika 10 tahun lalu, penulis tak ambil pot mengenai lelaki-lelaki ini, maklumlah apa yang ada dalam kepala ketika itu hanya lah delima merah dan nilam biru - dua batu berharga yang cukup popular di negara itu untuk dibawa pulang. Entah kenapa, mungkin faktor usia membuatkan penulis cepat simpati melihat kelibat mereka. Dalam keadaan bertopang, berpeluh-peluh dalam cuaca panas , mereka bersusah payah menjual buku. Tiada tajuk lain. Semuanya eksklusif tentang penderitaan di bawah rejim Pol Pot. Siapa Pol Pot? Bagi yang tak tahu, Pol Pot atau nama sebenarnya Saloth Sar ialah ahli revolusi, pengikut pemimpin komunis China, Mao Tse Tung (Maoist), bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Kemboja yang memimpin rejim Khmer Rouge dari 1963 hingga 1998.

Walaupun hanya menjadi Perdana Menteri selama tiga tahun, dasar pemerintahan kuku besinya menyebabkan kematian 800,000 hingga tiga juta rakyat negara itu iaitu lebih 20 peratus populasi penduduk Kemboja, sama ada ketika menjadi buruh paksa di ladang-ladang yang dibukanya, akibat kebuluran atau dihukum mati. Selepas membelek beberapa tajuk, buku First They Killed My Father tulisan seorang wanita Kemboja 'menangkap' mata penulis untuk membelinya. Ternyata berbaloi, buku yang hanya berharga lima dolar Amerika itu sarat dengan kisah benar penulisnya Loung Ung, kanak-kanak yang hanya berusia lima tahun (pada 1975) ketika tentera Khmer Rouge pimpinan Pol Pot 'menceroboh' bandar Phnom Penh termasuk rumahnya yang didiami bersama 13 ahli keluarga.

Pada usia sekecil itu, anak keenam daripada tujuh beradik ini terpaksa menempuh trauma maha dahsyat apabila terpaksa berpisah dengan bapa dan dua abangnya yang 'diculik' tentera Khmer Rouge di depan mata. Ibu dan adik beradiknya yang lain dihantar ke kem buruh paksa dengan abangnya yang baru berusia 10 tahun terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Loung sendiri dilatih menjadi tentera kanak-kanak di kem anak yatim. Menyelak beberapa helai pertama buku itu membuatkan penulis teruja untuk mengunjungi Killing Fields - tapak pembunuhan ribuan rakyat Kemboja yang menjadi sasaran rejim termasuk sami Buddha, orang Islam/Melayu Champa, golongan intelek, orang kurang upaya dan etnik Cina, Laos dan Vietnam.

Dikatakan di situ, mangsa diarah menggali kubur mereka sendiri sebelum dipukul hingga mati atau ditanam hidup-hidup. Hasrat ke Killing Fields hampir-hampir terbantut gara-gara rakan serombongan enggan ke sana - antaranya takut. Mujurlah ada yang sanggup menemani ke sana. Perjalanan ke situ mengambil masa 45 minit dari pusat bandar Phnom Penh. Kami melalui jalan yang sesak dipenuhi motosikal dan motor teksi atau tuktuk. Lori-lori terlebih muatan dengan beberapa lelaki bertenggek selamba di atasnya - turut menambah kesibukan jalan yang padat dan berselirat. Selepas hampir kebas terhentak-hentak melalui jalan berbatu kerikil dan berlubang, kami sampai ke destinasi. Kawasan berpagar dan pondok tiket menyambut ketibaan kami. Selepas membayar dua dolar Amerika seorang (terima kasih Zainab Yatim) kami melangkah masuk ke kawasan Killing Fields. Masing-masing ternganga. Inikah dia? Hanya ada satu binaan seumpama menara dengan enam anak tangga di dalam kawasan itu.

Sekitarnya sunyi-sepi, malah para pelancong yang ramai juga senyap tak berbunyi. Mendekati binaan menara tunggal itu, kami tersenyum melihat hamparan Welcome dengan tiga pasu bunga yang tersusun di hadapan pintu kaca. Sesudah membuka kasut - syarat memasuki binaan tersebut dan menolak pintu kaca, kami tergamam melihat apa yang ada di depan mata. Almari kaca bertingkat-tingkat dipenuhi tengkorak manusia yang tersusun rapi dalam rak mengikut usia. Dalam hati berkata - patutlah semua senyap! Tanpa dipaksa-paksa, perasaan sebak menyebu. Kami melangkah keluar dari situ dalam senyap. Berjalan di sekeliling Killing Fields dan melalui pokok besar, lembah dan busut tempat seksaan - terbayang penyeksaan mangsa. Jika tiada ukuran kezaliman, inilah dianya! Tanpa dipaksa-paksa juga penulis terus teringatkan tanah air dan rasa cukup bertuah, lalu cepat-cepat bersyukur!

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
20 Mei 2012

19 Mei 2012

ISU PENGGUNA : REKOD KEJAYAAN TRIBUNAL TUNTUTAN PEMBELI RUMAH


Rencana ini ditulis oleh :
Oleh HASHNAN ABDULLAH


Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mungkin boleh dianggap sebagai 'hero yang dilupakan' walaupun telah beroperasi sejak 2003 dan sehingga kini mengendalikan lebih 6,000 kes. Juga dilaporkan bahawa kadar penyelesaian kes tuntutan yang difailkan kepada TTPR sejak ia ditubuhkan hingga Disember tahun lalu adalah sekitar 96.28 peratus. Jelas sekali dalam mana-mana pameran perumahan sama ada berskala kecil atau besar, kaunter TTPR jarang sekali dikunjungi atau diberikan perhatian oleh bakal pembeli, walaupun ia terletak di satu sudut yang agak strategik. Mungkin bakal pembeli 'sibuk' memenuhi impian memiliki rumah sendiri, sehingga terlupa peranan TTPR yang boleh membela mereka jika kediaman yang dihajati indah khabar dari rupa terutamanya apa yang diuar-uarkan dalam risalah promosi.

Rumah tidak dibina menurut pelan asal, ukuran kawasan tanah tidak menurut keluasan dalam perjanjian, projek rumah terbengkalai, kerosakan bahagian bangunan rumah, kemudahan tidak disediakan atau tidak lengkap dan rumah disiapkan lewat. Selepas berhadapan dengan masalah, barulah TTPR yang ditubuhkan berikutan pindaan Akta Pemajuan Perumahan (kawalan dan pelesenan) 2002 terlintas di fikiran selain mengadu kepada media massa atau orang politik. Pengerusinya, Shamsulbahri Ibrahim yang ditemui di pejabatnya, di Putrajaya baru-baru ini mengakui, biar pun sering dilupakan namun pihaknya tidak pernah jemu turun padang menyedarkan orang ramai tentang peranan TTPR. ''Bila kami pergi kempen atau promosi, barulah orang ramai tahu adanya TTPR dan kita juga buka kaunter pada pameran perumahan atau Ekspo Harta Malaysia (Mapex) tetapi pada masa itu, orang ramai tidak perasan kerana mereka sibuk nak beli rumah.

''Kurang kesedaran itu telah menyebabkan ada kes-kes tuntutan tertentu yang terpaksa kami tolak kerana ia difailkan selepas tempoh 12 bulan daripada tamatnya tempoh jaminan," katanya. Mulai 2007, tempoh jaminan sesebuah rumah adalah 24 bulan selepas tarikh serah kunci dan pembeli masih mempunyai tempoh 12 bulan lagi untuk membuat sebarang tuntutan selepas tempoh jaminan itu tamat. Dengan kata lain, pembeli mempunyai tempoh untuk membuat sebarang tuntutan selama tiga tahun iaitu 24 bulan dalam tempoh jaminan dan 12 bulan lagi selepas tempoh jaminan itu tamat. Bagaimanapun, Shamsulbahri tidak menyalahkan orang ramai dalam hal itu kerana bagi beliau, sudah menjadi lumrah setiap manusia teruja mahu memiliki rumah sendiri. Beliau berkata, ia sejajar dengan langkah kerajaan mewujudkan dasar pembelian rumah mengikut pendapatan penduduk iaitu kos rendah, sederhana dan mewah.

''Kini setiap orang mampu membeli rumah dan kemampuan itu turut menyebabkan harga rumah meningkat setiap tahun. Ditambah pula apabila pemaju memberi nilai tambah lain pada rumah yang dijual seperti percuma pendingin hawa, pemanas air, kolam mandi dan sebagainya," katanya. Sehubungan itu, beliau berkata, sudah tiba masanya bidang kuasa TTPR diperkasakan lagi sebagai satu usaha mendidik pemaju agar bersifat jujur dalam membina rumah. Langkah itu, katanya, amat perlu kerana bidang kuasa TTPR kini hanyalah RM50,000 ke bawah dan ia dilihat tidak lagi sesuai dengan harga rumah yang kebanyakannya RM300,000 ke atas. ''Mungkin jumlah yang sesuai adalah sekitar RM70,000 hingga RM90,000 dan ia sejajar dengan peranan TTPR sebagai alternatif kepada pembeli yang tidak mahu menggunakan mahkamah untuk membuat tuntutan ganti rugi daripada pemaju,'' katanya.

Menurut Shamsulbahri, pembeli rumah yang teraniaya boleh membawa kes ke mahkamah tetapi tribunal boleh menjadi alternatif yang bagus kerana ia mudah, murah dan cepat sejajar dengan akta. Seperkara lagi, katanya, khidmat peguam tidak dibenarkan dalam perbicaraan TTPR kecuali dalam dua keadaan iaitu isu undang-undang yang rumit dan ada pihak akan mengalami keadaan kewangan yang teruk. Selaku individu yang mengetuai TTPR, Shamsulbahri mempunyai impian mewujudkan satu sayap yang akan menguatkuasakan perintah tribunal. Ini kerana, katanya, sejak Januari 2003, TTPR merekodkan sebanyak 4,431 kes ingkar perintah dan kesemuanya telah diserahkan kepada penguatkuasa Jabatan Perumahan Negara KPKT. ''Sejauh manakah ia selesai, kami tidak tahu kerana ia jabatan yang lain," katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
19 Mei 2012

18 Mei 2012

ISU SOSIAL : FACEBOOK MEDIUM DAKWAH MODEN


Rencana ini ditulis oleh :
Muhamad Farid Yusof
Pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


Facebook (FB) merupakan laman sosial paling popular dalam kalangan remaja sekarang. Ada sokongan bagi menguatkan kenyataan ini adalah, 34 peratus daripada jumlah pengguna FB di Malaysia adalah generasi muda yang berumur antara 18 hingga 24 tahun. Di peringkat dunia pula, Malaysia menduduki tangga ke-17 pengguna FB sebagaimana dilaporkan oleh laman www.socialbakers.com. FB yang dilancarkan pada 2004 diilhamkan oleh Mark Zuckerberg, ketika berumur 21 tahun seorang lulusan Harvard umumnya bertujuan memudahkan penggunanya untuk bersosial secara aktif dengan kenalan mereka serta menyatakan pendirian terhadap sesuatu isu secara cepat dan berkesan. Oleh demikian, FB mempunyai kelebihan yang perlu digarap oleh umat Islam untuk meluaskan jaringan dakwah serta menerokanya dalam ertikata untuk memperbaiki persepsi terhadap Islam itu sendiri.

Namun, persoalannya, sejauh mana laman sosial popular seperti FB ini boleh digunakan sebagai medium dakwah dalam kalangan umat Islam dan bukannya sebagai satu alat yang melekakan dan mengurangkan produktiviti masyarakat? Jawapan kepada persoalan ini sebenarnya memanggil pendakwah zaman moden kini berdepan dengan cabaran baru yang jauh lebih sengit daripada era media massa tradisional yang terbatas kepada radio, televisyen dan akhbar sahaja apabila sesetengah masyarakat tidak lagi terpikat dengan cara ceramah, khutbah, dakwah seperti berlaku pada tahun 1970-an, 1980-an dan 1990-an. Oleh yang demikian, umat Islam perlu mula memikirkan jawapan kepada cabaran baru ini agar Islam tidak ketinggalan dalam peredaran zaman globalisasi kini.

Antara langkah utama setiap muslim dalam menyebarkan dakwah di FB adalah setiap informasi mestilah bersandarkan ilmu dan pendekatan yang diolah dengan bijaksana agar mencetuskan perubahan kepada diri manusia sebagaimana mafhum daripada Surah An Nahl ayat 125. Sebagai contoh, dakwah boleh disebarkan dengan kita mendisiplinkan diri semasa 'berFB' iaitu menulis status menggunakan perkataan dan gaya bahasa yang baik. Justeru, setiap muslim haruslah mengambil faedah dengan menggunakan segala kelengkapan yang ada pada FB tersebut seperti Wall Post, Notes, Pictures Sharing sebagai medium untuk menyampaikan fikrah dakwah kepada pengguna Facebook.

Selain itu , kita boleh kongsikan aktiviti harian dan pengalaman berbentuk pengajaran yang disulami dengan ayat-ayat Allah SWT dan Hadis Rasulullah SAW sebagai bahan dakwah yang berkesan kerana ia boleh di likes dan di-share kan oleh semua pengguna FB serata dunia hanya dalam beberapa saat. Contohnya, status FB berunsur dakwah yang diselitkan mafhum ayat al-Quran dan hadis oleh bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin di-likes dan di-share oleh beribu-ribu pengguna laman sosial itu. Bahkan "page Dr.Maza.com di-likes hampir 111 ,000 pengguna laman sosial itu. Ini menunjukkan bahawa dakwah melalui FB juga mendapat tempat di hati masyarakat namun ia memerlukan kaedah dan metod yang sesuai.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman dalam laporan Utusan Malaysia Online yang bertajuk "Capaian dakwah maya lebih meluas" berkata bahawa media baru kini umpama ribut tsunami kerana ia berupaya mempopularkan seseorang serta menyebarkan pengaruh dalam masa yang amat singkat. Beliau juga berkata hampir, semua orang mempunyai akaun FB sendiri, semestinya mereka mempunyai jumlah rakan tersendiri dalam laman sosial tersebut. Oleh itu, setiap status yang dikemas kini akan dibaca oleh setiap rakan maka pendakwah perlu segera merancang dan mengambil kesempatan daripada kemudahan ini untuk menyebarkan Islam melalui pendekatan yang santai dan digemari tersebut. Strategi yang digunakan untuk menyampaikan dakwah perlulah bersifat fleksibel dan praktikal agar relevan dengan peredaran semasa.

Sekiranya kita sebagai pendakwah mampu memanfaatkan FB dengan memaksimumkan kreativiti, pengisian serta gaya penulisan yang baik, maka ia akan menjadi tarikan kepada pembaca serta medium berguna untuk kita sebarkan link blog dan mempromosikan artikel dakwah yang ditulis. Sebagai contoh, laman web iluvislam.com mempunyai pengikut hampir satu juta di laman sosial FB, bahkan setiap artikel dan hasil penulisannya sering di-likes dan di-copy serta di-share oleh pengguna FB dalam masa beberapa minit ia dikeluarkan. Kini, ia menjadi tempat rujukan utama oleh pengguna FB untuk mendapatkan bahan-bahan dakwah. Penguasaan FB oleh umat Islam mampu merubah fenomena 'kegilaan' masyarakat daripada perkara yang tidak bermanfaat kepada pengetahuan ilmu agama dengan mengislamkan dunia siber.

Jika hal ini menjadi kenyataan, maka aktiviti-aktiviti yang 'menjolok mata' dan melemahkan minda seperti kenyataan yang melampaui batas, penyebaran hadis-hadis palsu, penyebaran fitnah dan kongsi gambar-gambar yang bersalahan dengan syariat yang berlaku dalam pengisian FB dapat dikurangkan. Sewajarnya, FB boleh dijadikan medium untuk merapatkan lagi hubungan interaksi sesama kaum serta mendekatkan masyarakat bukan islam dengan Islam itu sendiri. Buktinya, banyak 'status' tentang hukum-hukum Islam tersebar dalam laman FB mereka, bahkan ia turut dikongsi oleh mereka. Fenomena ini dapat dilihat dengan jelas dalam akaun laman sosial seseorang yang mempunyai rakan pelbagai kaum sama ada Cina, India mahupun Melayu dimana hubungan interaksi antara kaum menjadi semakin rapat dalam FB, walaupun secara lumrahnya masing-masing segan untuk bertegur sapa. FB menjadi tunjang dalam menyebarkan dakwah di era millennium ini.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Mei 2012